Lumrah kehidupan, insan yang cantik, bijak dan berwawasan akan sentiasa menjadi perhatian, apatah lagi jika dia seorang pemimpin. Tetapi tidak semua semestinya positif kerana personaliti seperti ini tidak dapat lari daripada golongan PHD (perasaan hasad dengki). Ini biasa dalam dunia politik.
Orang mengenali Shahanim Mohd Yusof sebagai Naib Ketua Puteri UMNO Malaysia. Tetapi tidak ramai yang tahu bahawa beliau pernah bertugas dengan Maybank selama 14 tahun dan menerima anugerah "Best Financial Executive for Maybank Finance in Malaysia" pada 2001.
Setelah memenangi anugerah itu beliau dihantar ke Barcelona, Sepanyol serta Itali dan dinaikkan pangkat kepada Eksekutif Pembangunan Perniagaan sebelum letak jawatan pada 2004 untuk menjadi usahawan dengan membuka sebuah stesen minyak dan pada masa yang sama memberi lebih perhatian kepada politik.
Namun sebaik melangkah kaki ke dunia politik, kehidupan Shahanim tidaklah seindah yang dilihat pada zahirnya. Pelbagai duri dan liku terpaksa diharungi….dan yang paling menghantui nya apabila difitnah beraksi dalam VCD lucah,mempunyai skandal dengan seorang Menteri Besar serta membuat kekayaan menerusi politik. Tidak cukup dengan itu, baru-baru ini beliau dikatakan tidak sebulu pula dengan ketuanya.
Dalam satu pertemuan dengan Agendadaily, Shahanim meluahkan segala yang telah terpendam di dalam hatinya mengenai isu-isu berkenaan sehingga ada ketika tertentu, beliau tidak dapat menahan sebak di dada..
Shahanim berkata beliau menyangka dengan berdiam diri selama ini, semua fitnah dan tohmahan terhadapnya akan lenyap. Harapanya nyata meleset. Kini beliau merasakan sudah sampai masanya membuka mulut.
Agendadaily: Ada desas desus kononnya Shahanim tidak sebulu dengan Ketua Puteri, Datuk Rosnah Rashid Shirlin?
Shahanim: Saya dah selalu sangat dengar perkara ini. Saya nak jelaskan bahawa antara saya dan Rosnah tak ada masalah. Saya buat kerja saya dan dia buat kerja dia. Sedikit pergeseran itu adalah perkara biasa tetapi fokus sekarang ialah dalam keadaan UMNO yang macam ini… saya kena buat kerja macam mana nak jadikan gelombang wanita muda dapat bantu UMNO dan BN menang PRU ke-13. Saya anggap desas-desus ini sebagai perkara remeh.
Agendadaily: Dengar cerita puan tak puashati apabila tidak dilantik ke sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO?
Shahanim: Itu keputusan dan hak Datuk Rosnah sebagai Nombor 1. Dia tak lantik saya sebagai MT pun saya tak pernah persoal.

Agendadaily: Tetapi sayap lain seperti Wanita dan Pemuda UMNO, naib ketua masing-masing secara automatik dilantik ke MT. Mengapa Puteri tidak? Tidakkah ini memberi gambaran bahawa puan telah diketepikan dan puan mempunyai sebab kukuh untuk tidak sebulu dengannya?
Shahanim: Biar saya berterus terang. Pada tarikh perlantikan MT dibuat, saya sedang menganjurkan kenduri bersama keluarga sempena sambutan hari lahir suami saya pada 24 April. Sedang kita raikan kenduri, Datuk Rosnah menelefon dan beritahu saya dia tak lantik saya sebagai MT di atas sebab-sebab yang tertentu. Saya tidak tanya banyak dan cakap it is okay. Saya cakap pada dia, itu hak dia untuk melantik Dr Norashikin. (YB Dr. Wan Norashikin Wan Noordin). Saya kata saya akur.
Agendadaily: Timbalan Perdana Menteri telah meletakkan tiga KPI kepada Puteri, iaitu menambah ahli, daftar pengundi muda dan berbaik dengan NGO. Bukankah secara logik, tugas besar ini patut diberikan kepada Naib Ketua?
Shahanim: Saya telah diberi amanah sebagai Pengerusi Biro Antarabangsa yang saya rasakan saya tak dapat nak menyumbang lebih. Tetapi sebagai naib saya akur dan tidak pernah mempertikaikan jawatan yang diberi.
Sebenarnya dalam mesyuarat Exco Puteri bulan lalu, Datuk Rosnah ada membuat rombakan. Saya tidak dapat datang kerana terpaksa hadir di sekolah anak saya untuk menandatangani buku laporan. Ketika itu memang saya ada menaruh harapan kerana saya rasa saya mampu pegang jawatan biro keahlian dan turun ke negeri-negeri bagi mewujudkan minat dan meyakinkan golongan wanita muda mengapa kita perlu pilih UMNO. Saya tunggu tetapi keputusan tak memihak kepada saya, dan kini saya masih pegang jawatan biro antarabangsa.
Agendadaily: Rasa terkilan ke tidak ?
Shahanim: Terasa juga…sebab saya rasa saya patut pegang biro yang telah diberi KPI oleh Tan Sri Muhyiddin selaku Timbalan Presiden UMNO. Atas kapasiti saya sebagai Nombor 2, saya yakin saya boleh buat kerja itu. Tetapi apabila tidak diberi kpercayaan, memang rasa terkilan. Bagaimanapun saya akur dengan keputusan Ketua Puteri.
Agendadaily: Tetapi dengan TPM meletakkan KPI berkenaan, apa relevan tugas puan sebagai Pengerusi Biro Antarabangsa dengan persiapan menghadapi PRU?
Shahanim: Dengan keadaan empat negeri yang kalah, untuk menghadapi PRU ke-13 kita perlu dapatkan banyak sokongan wanita muda. Kalau nak tarik golongan wanita muda berusia antara 21 dan 40 tahun, biro-biro yang kurang beri faedah patut dikurangkan dan beri fokus kepada menambah ahli. Kita harus letak lebih ramai orang di situ kerana kalau letak seorang sahaja, susah nak laksana tanggungjawab itu.
Agendadaily: Adakah puan berpendapat bahawa mungkin tidak dilantik oleh Rosnah untuk memikul tanggungjawab penting seperti MT dan Biro keahlian kerana isu kononnya ada VCD lucah puan dan beberapa gosip lain ?


Shahanim: Saya rasa mungkin sedikit sebanyak mempengaruhi keputusan beliau tetapi beliau kena ingat orang politik tak pernah lepas dari fitnah dan saya menjadi mangsa fitnah terbesar dan kini sudah sampai masanya saya nak clear everything .
Selepas berdiam diri ke atas fitnah yang dilemparkan terhadap saya sejak 2006, hari ini saya menemui seorang wartawan yang berani tanya soalan maut ini. Sebelum ini tak ada wartawan yang berani bertanya.
Apabila saya berhenti dari Maybank pada 2004, saya telah dilantik oleh Datuk Seri Syed Razak (mantan Menteri Besar Kedah) sebagai ketua Puteri Kedah. Saya bukan dilantik oleh Dato' Seri Mahadzir Khalid.
Pada mulanya saya menolak tawaran itu dengan alasan saya sudah memegang jawatan Exco Pergerakan Puteri UMNO. Tetapi setiausaha sulit kepada Datuk Seri Syed Razak telefon saya dan cakap, Menteri Besar dah bagi kepercayaan dan saya harus terima amanah itu. Jadi saya pun terimalah.
Pada 2006, Datuk Seri Syed Razak sakit dan jawatan itu diambil alih oleh Datuk Seri Mahadzir Khalid. Beliau tak lantik saya sebagai Ketua Puteri kedah. Tetapi beliau lantik Ketua Puteri, Ketua Pemuda dan Ketua Wanita sebagai pegawai khas untuk membantu sayap-sayap di negeri Kedah.
Berdasarkan pengalaman 14 tahun saya di Maybank, beliau telah melantik saya sebagai pegawai khas yang jaga GLC (syarikat berkaitan kerajaan) . Ahli Dewan Negeri kawasan Air Hangat yang juga Ketua Pemuda Kedah serta Ketua Wanita Kuala Kedah juga dilantik sebagai pegawai khas.
Sebagai pegawai khas, pastinya ke mana MB Kedah ada, kita kena ada…bos saya pula Pengerusi Perhubungan Negeri kedah. Maka, ke mana sahaja majlis UMNO beliau ada, saya pun pergi juga.
Rentetan itu, orang tengok di mana ada Mahadzir, di situ ada Shahanim. Ada kalanya mesyuarat GLC sampai malam. Dah lumrah sikap orang kita. Kalau saya duduk satu hotel dan kebetulan bos duduk hotel yang sama, itu dah dianggap skandal. Kalau minum dan gelak sama-sama pun disebut skandal. Kita boleh tutup mulut tempayan, tetapi kita tak boleh tutup mulut manusia daripada menyebarkan tohmahan.
Tahun lepas semasa nak pergi umrah, saya cakap kat emak saya bahawa saya doakan orang yang fitnah saya ini supaya diberi petunjuk dan hidayah oleh Allah.
Agendadaily: Bagaimana menghadapi fitnah kononnya ada VCD lucah puan disebarkan tu ?
Shahanim: Sebagai orang poiltik, saya boleh hadapi semua tohmahan dan fitnah ini, tetapi apabila anak-anak menjadi mangsa, saya tak tahan. Bayangkan apabila anak saya pulang dari sekolah dan beritahu kawan-kawan sekolahnya mengatakan mereka lihat gambar saya dalam YouTube… (pada ketika ini Shahanim tidak dapat mengawal rasa sebak).

Macammana saya nak yakinkan dan suruh anak saya counter balik cerita-cerita itu kepada kawan-kawannya?. Orang sanggup fitnah saya sampai ke tahap itu. Anda perhatikan sendiri. Dah jelas gambar itu menunjukkan muka saya dicantumkan dengan badan orang lain. Saya tengok badan itu badan seorang artis sebab saya dah cek pelakon itu memakai baju yang sama dengan gaya yang sama. Fikirlah sendiri.
Perkara ini menjadi lebih sensitif apabila guru sekolah anak saya bertanyakan kepada anak saya sama ada saya dan suami sudah bercerai! Saya dan suami saya sudah 16 tahun berkahwin, tak pernah ada masalah. Sampaikan guru sekolah pun jadi macam itu. Saya terpaksa tukarkan sekolah anak saya dari Sungai Petani ke Kuala Lumpur.
Saya berpegang, macam mana pun kita buat, kebenaran akan timbul sama ada cepat atau lambat. Saya bersyukur dapat suami yang amat memahami dan mengenali diri saya. Kepercayaan yang dia bagi adalah asas kekuatan diri saya.
Agendadaily: Boleh komen mengenai dakwaan bahawa puan mendapat kekayaan semasa bekerja dengan Mahadzir Khalid, serta isu mengenai hadiah kereta kepada suami dan stesen minyak?
Shahanim: Kereta Harrier itu adalah second-hand . Saya bayar RM40ribu dan buat pinjaman RM70ribu. Sampai ke hari ini masih berhutang RM12ribu. Bulan lepas tertunggak tiga bulan. Kalau hadiah tak payah hutang.
Stesen minyak saya pula, saya pergi interbiu di Petronas sebelum saya letak jawatan di Maybank dan dapat pada 2004…sebelum saya join MB Kedah. Saya kerja dengan Datuk Seri Mahadzir Khalid pada 2006.
Saya nak cabar siapa yang dok kata saya cari kekayaan atau dapat projek supaya menamakan projek itu dan berapa jumlahnya. Apa yang saya dapat semasa jadi Ketua Puteri Kedah, yang merupakan hak saya, cuma satu…ialah sebagai salah seorang board of directors Kumpulan Ladang. Sebagai pengarah saya dapat RM2ribu sebulan dan pada hujung tahun syarikat GLC itu buat keuntungan, saya dapat RM70ribu setahun.
Agendadaly: Kenapa selama ini puan berdiam diri terhadap gosip dan fitnah ini?
Shahanim: Masa mula-mula dulu saya bercadang nak buat laporan polis di Bukit Aman, tetapi beberapa pemimpin veteran UMNO kata dalam politik ini perkara biasa dan saya tak perlu heboh. Mereka kata kalau buat report berrmakna kita melatah.
Tetapi seminggu sebelum PRU ke-12 pada 8 Mac 2008 tersebar SMS yang mengatakan VCD lucah saya akan disebarkan sekiranya nama saya naik jadi calon. Macam biasalah, dalam masa tak sampai lima minit, satu Malaysia dapat SMS itu. Maka orang sibuk mencari-cari VCD itu…termasuk saya sendiri. Sehingga hari ini mana ada?

Setakat gambar superimpose muka saya dicantum dengan badan pelakon…adalah. Saya sendiri nak tengok VCD itu kalau ada. Malah saya buat tawaran RM30ribu kepada sesiapa yang boleh buktikan dan tunjukkan VCD itu kepada saya. Sehingga hari ini tak ada pun orang datang dan tunjuk bukti fitnah itu betul atau tidak.
Selepas itu timbul gosip kononnya PKR sedang menyiarkan video Shahanim, Saya hantar orang pergi tengok tetapi tak ada pun. Ternyata cuma ceramah biasa PKR sahaja.
Mengenai stesen minyak. Jangan salah faham. Untuk mendapatkan sesebuah stesen minyak bukan mudah. Duit sahaja tak cukup kerana Petronas mendapat beribu permohonan. Kalau mereka kata saya dapat sebab politik…itu salah. Semak dengan Petronas dan tengok syarat ketat yang diletakkan. Mereka mahukan orang yang mempunyai rekod yang bagus dan saya yakin Petronas meluluskan permohonan saya kerana rekod saya di Maybank.
Kalau pasal politik, periksalah stesen minyak di Malaysia, hanya dua tiga kerat sahaja ahli politik yang dapat. Petronas tak pandang langsung ahli politik dalam bab bisnes. Semasa ditemuramah oleh Petronas, saya beritahu mereka saya dah jual saham Maybank, ada duit tapi tak ada kerja bila berhenti nanti.
Mereka tanya apa yang saya jangkakan. Saya kata gaji saya di Maybank RM6 ribu ketika itu dan saya rasa kalau ada stesen minyak boleh dapat antara RM20 ribu hingga RM30 ribu sebulan. Malah bila sampai kritikal sebagai Naib Ketua Puteri UMNO yang tidak dapat sebarang elaun atau projek untuk bantu parti…saya telah menggunakan pendapatan dari stesen minyak ini untuk menanggung program-program Puteri.
Saya pergi rasmi program Puteri sana sini dan bila nak buat tuntutan perjalanan dan sebagainya, Puteri UMNO kata tidak ada peruntukan. Jadi saya kena guna duit sendiri Saya kena berkorban kerana jika orang tak dapat Nombor 1, mereka akan cari Nombor 2 untuk datang ke program masing-masing. Saya tak mahu biarkan orang yang telah menyokong saya. Saya kena turun padang, walaupun terpaksa pakai duit sendiri.
Agendadaily: Tolong cerita bebanan menjadi Nombor 2?
Shahanim: Yang pertama, apabila orang Nombor 2 bertanding nombor 2, dia tahu dia akan jadi Nombor 2. Dia tahu dia akan jadi nada bos Nombor 1. Pastinya kesetiannya pada bos Nombor 1. Cabaran lain ialah, bos biasalah ada ego dia sendiri. Jadi ada kalanya susah kita nak sampaikan pandangan dan pendapat kita. Kalau bos mahu dengar, dia dengarlah. Kalau dia tak mahu dengar, dia tak dengarlah.
Sebagai orang Nombor 2, kita tidak boleh terlebih laju atau terlajak sedikit daripada bos. Kita nak kawal diri supaya tak melepasi bos, walhal kekuatan kita, jati diri kita boleh buat banyak benda melepasi bos. Tetapi disebabkan kita Nombor 2, kita ada sifat setia pemimpin, dan lebih baik ambil sifat berdiam diri.
Agendadaily: Ramai orang kata Puteri tidak seagresif dulu jika dibandingkan ketika di bawah kepimpinan Datuk Azalina Osman Said dan Datuk Noraini Ahmad?
Shahanim: Ini adalah isu pendekatan. Azalina membawa pendekatan agresif. Masa Puteri mula ditubuhkan beliau banyak tekankan pada jati diri, input kita dan kita bersemangat dan berani lawan. Beliau pemimpin yang sangat tegas, kalau bagi arahan, beliau nak arahan itu sampai turun ke bawah.
Datuk Noraini pula guna pendekatan lemah lembut tetapi masih lagi turun ke bawah dengan satu program yang menyentuh hati dan perasaan saya sehingga hari ini, iaitu Puteri Menyusur Akar. Beliau bersma-sama turun ke kampong, lawat rumah orang miskin dan daif.
Pendekatan Datuk Rosnah pula, beliau ada cara sendiri dan saya masih tengah nak baca pendekatannya.
Agendadaily: Apakah pengalaman puan dalam Maybank dapat diterapkan atau dikongsi bersama dengan Puteri?
Shahanim : Yang pertama, di Maybank kita terapkan KPI. Keduanya kita ada sasaran, ketiga, pencapaian dan keempat, reward. Dari dulu saya, sebelum sertai Puteri, saya sudah hidup dengan KPI. Di Maybank Finance saya buat dana amanah, pinjaman peribadi, insurans dan sebagainya. Dalam mengendalikan semua produk ini saya kena capai sasaran. Kalau di bank kita mencapai sasaran, kita dapat lima bulan bonus atau lawatan ke luar negara.
Saya berhenti Maybank pada 2004. Dalam Puteri pun saya buat KPI dan pengurusan masa. Untuk tahun ini saya dah ada plan. Saya dah ada target apa nak buat dalam bulan puasa dan bulan-bulan seterusnya termasuk program yang membabitkan pelajar yang akan menduduki UPSR, PRM dan SPM.
Agendadaily: Datuk Seri Azalina ada menyuarakan kebimbangannya terhadap nasib yang menimpa bekas pemimpin Puteri yang diketepikan oleh Wanita UMNO. Puan sedia komen?
Shahanim: Ya. Saya juga sedih dengan nasib bekas pemimpin dan ahli Puteri. Apabila habis Puteri, apabila mereka mahu menyumbang kepada Wanita, mereka tak diterima. Saya memohon keterbukaan pemimpin Wanita.

Sayangilah adik-adik Puteri ini sebab kami adalah produk pemimpin pelapis UMNO. Kalau bekas pemimpin Puteri dibiarkan tanpa jawatan, setakat jadi ahli wanita biasa, bakat kepimpinan mereka akan terbiar begitu sahaja. Contohnya, saya, apabila habis tempoh Puteri nanti, kalau Wanita tak ambil saya…kena balik berniagalah.
Saya mohon Wanita pertimbang untuk serap pemimpin Puteri yang tamat tempoh ke dalam G5. Jika tidak, UMNO akan kehilangan produk pemimpin pelapis. Kesetiaan wanita muda amat tinggi. Puteri dah banyak berjuang untuk membantu Wanita dan UMNO.