Rabu, 22 Disember 2010

WFAUZDIN.BLOGSPOT.COM

WFAUZDIN.BLOGSPOT.COM


TERPAKSA GUNA ORANG LUAR UNTUK MENJADI BENTENG PERTAHANKAN 1 MALAYSIA

Posted: 22 Dec 2010 04:00 PM PST

Oleh: WFAUZDIN NS

APABILA pemimpin kerajaan tiada hujah untuk membalas serangan DS Anwar di Parlimen berhubung `1 Malaysia' dan `One Israel' serta APCO, maka terpaksa mendapatkan akuan bersumpah dari Robert M. Shrum sebagai benteng mereka. Siapa Robert M. Shrum? Beliau adalah seorang warga negara Amerika Syarikat yang merupakan pakar strategi dan perunding dalam banyak kempen politik di pelbagai peringkat termasuk sebagai penasihat kanan pada 1999 dalam kempen Perdana Menteri Israel Ehud Barak.

Sharum juga terlibat dalam kempen One Israel pada masa itu, menafikan penglibatan APCO seperti yang didedahkan oleh DS Anwar. Apakah orang yang pernah bekerja dengan Israel Yahudi ini boleh dijadikan rujukan untuk mempertahankan 1 Malaysia dan APCO? Bukan kita tidak tahu sesiapa sahaja yang berbaik dengan Israel, kesemua cakapnya tidak boleh digunapakai langsung apatah lagi mahu dijadikan saksi. Semenjak bila golongan ini bercakap benar?

Tetapi, orang ini lah yang digunakan oleh Nazri untuk mempertahankan bosnya Najib. Oleh kerana tidak larat untuk berdebat dan berhujah di Parlimen, maka DS Anwar digantung selama 6 bulan. Mereka tahu selagi DS Anwar berada di Parlimen semakin banyak pendedahan yang bakal dilakukan oleh Ketua Pembangkang ini. Kita ingin cabar Najib, jika beliau benar sila adakan debat terbuka di antara beliau dengan DS Anwar berkaitan isu ini. Najib boleh gunakan jurucakap Israel ini untuk membelanya nanti. Saya yakin Najib tidak akan berani menyahut cabaran ini kerana Najib tiada kekuatan diri. Mungkin Rosmah lebih berani dari beliau.

Rakyat kini tidak peduli lagi tentang 1 Malaysia, One Israel mahu pun APCO. Rakyat kini lebih pentingkan kehidupan mereka yang semakin susah di bawah Kerajaan Bn. Samada kakirangan kerajaan, swasta mahu pun pekerja sendiri semuanya merasa tertekan dengan kehidupan sekarang. Kenaikan harga barang sudah tidak dapat dikawal lagi di dalam masa yang sama pemimpin negara terus berangan untuk membina projek-projek mewah yang menguntungkan segelintir yang kaya.

PR telah mengemukakan pilihan kepada rakyat samada ingin terus menderita di bawah Bn atau mahu berubah kepada PR. Justeru itu, pemimpin Umno amat bimbang jika rakyat memilih PR di dalam PRU akan datang. Mereka mendakwa jika PR memerintah maka negara ini akan muflis. Sila sebutkan negeri mana yang kini diperintah oleh PR yang telah muflis? Setahu kita Pahang adalah negeri yang hampir muflis, dan Pahang bukan berada di bawah PR. Mereka yang mendakwa negara ini akan muflis jika PR memerintah adalah mereka yang gila kerana buat apa PR memerintah sebuah negara yang muflis?/wfauzdin.blogspot.com

ZUL KULIM KENA BERTAUBAT SEBELUM TERLAMBAT - KOR MING

Posted: 22 Dec 2010 11:54 AM PST

Zulkifli jumud: PR


IPOH – Timbalan Pesuruhjaya Pas I Negeri, Datuk Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin menyanggah kenyataan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin yang mengaitkan DAP meniru strategi PAP dan menyifatkan kenyataan itu sebagai jumud.

Menurutnya, kenyataan itu merupakan pandangan cetek serta memperlihatkan sentimen perkauman yang menebal dalam diri Zulkifli.

"Pandangan yang dilontarkan oleh Zulkifli menunjukkan bahawa beliau ketinggalan serta mempunyai pemikiran kurang matang.

"Dalam masa sama, seolah-olah beliau mempunyai agenda tertentu yang mungkin didalangi oleh sesetengah pihak untuk menimbulkan kemarahan kepada umat Islam," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi DAP Negeri, V Sivakumar berkata, DAP merupakan satu parti yang bersemangat nasionalis memperjuangkan hak semua rakyat Malaysia.

Katanya, tidak ada sebab untuk DAP memaparkan sifat jelmaan kepada PAP kerana kami mempunyai pemimpin yang unggul dan tidak perlu dikaitkan dengan idea orang asing.

"Tambah pula, DAP menjunjung prinsip Rukun Negara, Kepercayaan kepada Tuhan dan tidak pernah anti Islam atau mana-mana agama lain.

"Ini merupakan muslihat Barisan Nasional (BN) untuk membuat orang Islam benci kepada DAP dan meneruskan dasar pecah dan perintah," katanya.

Setiausaha DAP Negeri, Nga Kor Ming pula menyifatkan Zulkifli berpandangan cetek dan boleh dikatakan tidak waras.

"Bagaimana beliau boleh mengatakan sedemikian sedangkan DAP adalah parti berbilang kaum yang berjuang untuk semua rakyat.

"Pemimpin DAP pernah berkorban untuk umat Islam sehingga dipenjara termasuk Lim Guan Eng," katanya.

Beliau berkata, Zulkifli hanya alat kepada UMNO untuk menabur fitnah dan terbukti relevan apabila menyerang Pakatan Rakyat (PR).

"Saya berdoa agar beliau bertaubat dan kembali ke pangkal jalan sebelum terlambat," katanya.

Kelmarin, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin menggesa masyarakat Islam di Malaysia perlu menolak DAP walaupun parti itu menggunakan pendekatan Islamik kerana jelas ia serupa dengan strategi PAP ketika parti utama Singapura itu mendapatkan kuasa./Sinar

MENGAPA TAKUT DENGAN AKUAN BERSUMPAH BALA ?

Posted: 22 Dec 2010 10:52 AM PST

Akuan Bersumpah : Peguam Bala Pertikai Alasan Nazri

Ditulis oleh Nor Azarina
22/12/2010


SHAH ALAM 22 DIS : Peguam Penyiasat Persendirian P. Balasubramaniam, Americk Sidhu mempertikai kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nazri Abdul Aziz bahawa penarikan kenyataan bersumpah Balasubramaniam atau Bala bukan satu kesalahan kerana ia tidak dilakukan 'bagi tujuan prosiding mahkamah.'

Americk menegaskan pengakuan bersumpah yang bercanggah itu merupakan kesalahan mengikut Seksyen 199 Kod Undang-undang Jenayah yang menyatakan bahawa kenyataan palsu yang dibuat mengikut hak undang-undang dianggap sebagai pemberian bukti palsu di mahkamah dan boleh didakwa.

Malah Americk 'hairan' dengan sikap Nazri dan Peguam Negara, Datuk Abdul Ghani Patail yang seolah-olah mengelak untuk memanggil Bala ke mahkamah walaupun Bala sendiri sedia dihadapkan ke muka keadilan bagi menjelaskan pengakuan bersumpah beliau.

"Saya tak faham (atau mungkin saya faham) kenapa anda (Nazri dan Peguam Negara) menghabiskan terlalu banyak masa dan tenaga cuba mengelak dari menghadapkan anak guam saya ke mahkamah sedangkan kesalahan ini telah diperakui beliau."

Americk menyatakan demikian dalam kolum khas beliau di portal Malaysia Today semalam.

Pada sidang media 3 Julai 2008, Bala mengedar satu akuan bersumpahnya berkaitan pembunuhan Altantuya, tetapi keesokannya menarik balik akuan bersumpah itu dan mengemukakan satu akuan bersumpah lain.

Dia kemudian menghilangkan diri dipercayai ke luar negara bersama keluarga.

Bala juga mendakwa adik Perdana Menteri, Nazim Razak memintanya membatalkan akuan bersumpah pertamanya dan bersedia disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan syarat ia diadakan di luar negara.

Malah 13 April lalu di Parlimen, Nazri sendiri mendakwa apabila Balasubramaniam menarik balik salah satu akuan bersumpahnya, ia bermaksud penyiasat persendirian berkenaan telah melakukan penipuan semasa bersumpah dan ia boleh diambil tindakan.

Americk juga mempersoalkan mengenai hal sama terhadap blogger Raja Petra Kamaruddin yang tanpa bertangguh waran dikeluarkan kerana menarik pengakuan bersumpah beliau mengenai kes yang sama.

"Adakah anda ingat mengenai Pengakuan Bersumpah YM Raja Petra Kamaruddin dulu mengenai kehadiran Rosmah Mansor di tempat Altanthuya dibom?Ya, bagaimana boleh lupakan perkara ini.

Ketika itu, tiada sebarang keraguan mendakwa Raja Petra atas tuduhan mencemarkan nama baik Rosmah walaupun Pengakuan Bersumpah itu tidak dilakukan 'bagi tujuan prosiding mahkamah,"kata Americk lagi./TVNews

`PENDEKAR TAIK MINYAK' BOLEH DIBELI

Posted: 22 Dec 2010 10:10 AM PST


Oleh Suara Keadilan


my_silatKUALA LUMPUR 22 Dis - Takut kedudukan sebagai Timbalan Presiden Umno di rampas oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Tan Sri Muhyiddin Yassin kini didakwa menggunakan persatusan silat untuk mengukuhkan kedudukannya dalam parti.

Masa depan beliau sebagai orang nombor dua dilihat semakin goyah apabila kalangan pemimpin kanan parti secara peribadi berkata presiden Datuk Seri Najib Razak nampaknya telah memberi lampu hijau kepada Zahid yang kini menjawat naib presiden untuk mencabar kerusi empok Muhyiddin dalam Umno.

Zahid yang pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Najib dikatakan sedang giat menyiapkan jentera pilihan rayanya bagi 'melanggar' Muhyiddin kelak.

Walaupun alasan persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13 digunakan untuk menangguh pemilihan Umno 2011 selama 18 bulan namun ramai pemimpin parti itu berpendapat ia akan digunakan oleh Zahid sepenuhnya untuk memperkukuhkan kedudukan bagi peperangan menumbangkan Timbalan Perdana Menteri itu.

Perkara ini telah dihidu oleh Muhyiddin sendiri dan beliau juga dikatakan tidak berdiam diri serta menyusun strategi untuk mengekalkan jawatan dan terus menerajui jawatan kedua tertinggi dalam kerajaan.

Malah kebelakangan ini Najib dan Muhyiddin memperlihatkan keakraban mereka dengan pertubuhan silat di negara ini dengan menganugerahkan pelbagai manisan politik bagi menarik sokongan ahli-ahli silat diseluruh negara.

Contohnya baru-baru ini Muhyiddin telah meluluskan geran sebanyak RM7.5 juta kepada Persatuan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM) yang diterajui oleh Datuk Omardin Mauju untuk membina kompleks silat di atas tanah seluas kira-kira 5 ekar di Gombak, Selangor.

Mungkin secara kasar pemberian ini dilihat sebagai usaha kerajaan untuk membangunkan seni silat di negara ini tetapi sumber memberitahu Suara Keadilan geran yang diberikan adalah daripada dana awam dan lebih aneh ia dibakal diserahkan dalam bentuk cek tunai kepada persatuan tersebut.

Muhyiddin dikatakan berbuat demikian kerana mahu menagih sokongan PSSLM dalam kempen pemilihan Umno kelak.

Sumber juga memberitahu pembinaan kompleks PSSLM iru akan merangkumi dua asrama, dewan serbaguna, surau, gelanggang badminton, tenis, gim serta banglo mewah 2 tingkat kepunyaan Omardin yang dipercayai bernilai hampir RM2 juta.

"Secara ringkasnya awam ini digunakan oleh Muhyiddin untuk membeli undi dan mendapat sokongan persatuan silat seperti PSSLM bagi menghadapi pilihan raya Umno kelak.

"Sekiranya benar wang ini untuk kompleks persatuan silat mengapa perlu mengguna sebahagian besar wang tersebut untuk membina banglo mewah untuk mahaguru persatuan ini. Bukankah ini satu bentuk rasuah dan juga penyalahgunaan wang rakyat?" tanya sumber tersebut.

Pada perhimpunan PSSLM sempena sambutan ke-50 tahun silat lincah yang diadakan di Kepala Batas, Pulau Pinang 20 November lalu Muhyiddin dianugerahkan gelaran Ulul Amri Keempat PSSLM oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas.najib_gayong


Jika Muhyiddin menggunakan PSSLM, Najib pula tidak kurangnya mengeksploitasi Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) dengan mendapat anugerah sandang Mahkota Agong Seri Bintang Pelangi yang membawa gelaran Imam Khalifah Agung sempena majlis Perhimpunan Perdana Gayong Malaysia di padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya 2 Oktober lalu.

Menurut sumber Najib juga didakwa telah membuat sejumlah sumbangan kepada PSSGM yang secara tidak langsung bertujuan meraih sokongan politik bagi beliau./SK

Tiada ulasan: