Sabtu, 4 Disember 2010

WFAUZDIN.BLOGSPOT.COM

WFAUZDIN.BLOGSPOT.COM


Matikan segera isu PAS adalah pengampu DAP

Posted: 04 Dec 2010 05:00 PM PST

Selena Tay

Tidak dapat dinafikan bahawa Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU-13) akan diadakan dalam beberapa bulan lagi. Ada satu perkara yang amat penting yang perlu diberi penerangan oleh PAS iaitu fitnah Umno bahawa PAS ampu DAP. Jika PAS tidak berhempas-pulas memberi penjelasan yang bernas, kukuh dan berdasarkan fakta mengenai perkara ini, maka PAS akan kehilangan banyak kerusi di PRU-13 yang akan datang ini.

Fitnah Umno ini memang mampu menghakis sokongan yang diberi oleh orang Melayu kepada PAS dan seterusnya boleh menggugat kedudukan PAS. Tidak dapat dinafikan bahawa ini ialah senjata Umno yang amat efektif untuk menjatuhkan PAS.

Umno menggunakan fitnah ini untuk menggugat kedudukan PAS di Perak dimana mantan Menteri Besar Perak, Nizar Jamaluddin telah dituduh menjadi boneka Ngeh dan Nga dari DAP. Sehingga sekarang tuduhan ini dilemparkan oleh Umno dan oleh itu orang Melayu di Perak merasa kurang senang untuk memberi sokongan kepada PAS Perak.

Di Pulau Pinang pula, PAS telah dituduh menyokong tindakan Lim Guan Eng memberi 'wang judi' kepada warga emas padahal wang yang diberikan itu bukannya datang dari Kelab Lumba Kuda. Walaupun Ustaz Salleh Man dari PAS telah memberi penerangan mengenai perkara tersebut, terdapat juga orang Melayu yang berasa was-was hendak menerima wang itu.

Manakala di Selangor pula, PAS telah dituduh sebagai sebuah parti yang tidak berani bersuara dan oleh itu telah tunduk kepada telunjuk DAP dalam Exco Selangor.

Semua fitnah, tohmahan dan tuduhan melulu ini telah memberi gambaran yang buruk kepada PAS dan merosakkan imej PAS di kalangan penyokongnya pada peringkat akar-umbi terutamanya di kampung-kampung dan kawasan pendalaman dimana maklumat yang benar sukar diperolehi.

Ini adalah juga satu sebab mengapa PAS kalah di pilihanraya kecil Galas, kerana PAS tidak memberi jawapan menangkis topik fitnah ini.

Selagi PAS tidak dapat membunuh topik ini, PAS akan mengalami kesusahan untuk mendapat sokongan kaum Melayu. Ini berbanding dengan Umno yang menjadi tuan besar dalam Barisan Nasional (BN). Apabila kaum Melayu tengok Umno tidak tunduk kepada MCA, mereka pun akan menyokong Umno kerana mereka telah terpedaya oleh kata-kata Umno bahawa PAS ampu DAP. Kaum Melayu akan menyokong Umno sebab Umno tidak tunduk kepada mana-mana pihak manakala PAS kelihatan dibawah telunjuk DAP. Ini ialah persepsi pengundi Melayu dan persepsi inilah yang boleh membunuh PAS.

Dalam Pakatan Rakyat, semua parti komponen mempunyai kuasa yang sama dan tidak ada sesiapa yang menjadi tuan besar.

Oleh itu, penulis ingin menggesa pemimpin-pemimpin PAS terutamanya Anggota Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS supaya dengan segera menangkis fitnah dan tohmahan yang tidak berasas, tidak logik dan tidak berakal ini dengan memberi penerangan yang jelas kepada para pengundi di kawasan Parlimen dan kawasan DUN mereka. Jika tidak, sokongan kaum Melayu untuk PAS akan menjadi kian terhakis dan ini akan membawa kesan yang amat buruk kepada PAS dalam PRU-13 nanti.

Penulis ingin memberi amaran kepada PAS supaya jangan leka dalam hal ini sebab topik 'PAS ampu DAP' ialah senjata Umno yang paling kuat untuk menumbangkan PAS dan sehingga kini senjata ini telah terbukti berkesan.

Pertempuran telah bertambah sengit. PAS mesti bertindak sekarang juga!
---------------------
Penulis adalah ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29656:matikan-segera-isu-pas-adalah-pengampu-dap&catid=97:pendapat-dan-analisis&Itemid=131

Memo Air : Angkat Ketuanan Rakyat, Humban "Ketuanan Melayu"

Posted: 04 Dec 2010 07:00 AM PST

Dec 02, 2010

Angkatan Muda Keadilan Selangor (AMK Selangor) menyeru seluruh rakyat Selangor kalangan generasi muda dan setiap golongan untuk turun mengiringi Menteri Besar Selangor bagi menghantar memorandum air kepada Yang DiPertuan Agong pada 5 Disember ini ke Istana Negara.

AMK Selangor mengajak semua rakyat bangkit menyatakan pendirian mengangkat ketuanan rakyat marhaen, ketuanan petani pesawah dan peladang, ketuanan pemandu teksi, ketuanan pekerja awam dan swasta, ketuanan peneroka kota dan desa dan menghumban agenda "Ketuanan Melayu" yang dipergunakan segelintir elit dan korporat untuk mengaut kekayaan demi kepentingan diri sendiri. Ketuanan ini lebih mulia daripada agenda "ketuanan Melayu" yang kini gagal memartabatkan bangsa Melayu malahan mengkhianati Melayu dan rakyat Malaysia.

AMK Selangor yakin inilah masanya untuk rakyat Selangor menyatakan pendirian tegas agar hak milik air dikembalikan semula kepada rakyat agar harganya stabil di samping menikmati kemudahan yang lebih baik. Dasar penswastaan air jelas hanya memberikan keuntungan kepada segelintir korporat sedangkan hak asasi rakyat untuk menikmati kemudahan air pada harga yang stabil dan munasabah terabai.

AMK Selangor menyatakan pendirian tegas bahawa isu air ini perlu diselesaikan segera tatkala kerajaan persekutuan berdolak dalik melindungi dasar penswastaan jelas merugikan rakyat..

Inilah saat penting seluruh rakyat Selangor bangkit menyatakan hak bahawa rakyat adalah tuan dan menjadi "hamba" kepada segelintir pemimpin dan korporat yang berselindung di sebalik agenda "ketuanan Melayu".

AMK gesa agar mobilasi kekuatan ini dizahirkan dengan turun bersama-sama mengiringi Menteri Besar Selangor ke Istana Negara sebagai titik tolak perjuangan memartabatkan ketuanan rakyat agar pengurusan air dikembalikan semula kepada rakyat.

Ayuh kita gerakkan rakyat pada 5 Disember ini dan bersama ribuan rakyat berkumpul di Masjid Negara samada menggunakan kenderaan awam, sewa atau persendirian. Detik itu kita nobat jadikan saat Ketuanan Rakyat adalah sejarah penggerak kebangkitan seluruh rakyat Malaysia.


*Kenyataan media oleh Khairul Anuar Ahmad Zainuddin (gambar kiri) selaku Ketua AMK Selangor merangkap Timbalan Ketua AMK Malaysia/MerdekaraReview

Tiada ulasan: