Khamis, 23 Disember 2010

Senyum Tangis Sendu

Senyum Tangis Sendu


Al-Fatihah: Meninggal Selepas Mengambil Keputusan PMR

Posted: 23 Dec 2010 05:44 AM PST

Seorang pelajar yang dalam perjalanan pulang bersama ibunya selepas mengambil keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) maut apabila motosikal yang dinaiki mereka dihempap lori pasir di lampu isyarat Kok Lanas dekat sini petang ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang, lori tersebut turut menghempap tiga buah kereta. Bagaimanapun, penumpang serta pemandu tiga kenderaan terbabit terselamat.

Siti Aisyah Zakaria, 15, dan ibunya, Aziza Musa, 42, meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan badan selepas dihempap lori tersebut yang keluar dari simpang arah Selising ke Machang.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azham Osman berkata, kejadian berlaku ketika Aziza menunggang motosikal dalam perjalanan pulang dari Maahad Shamsul Maarif (P) yang terletak kira-kira lima kilometer dari rumahnya selepas mengambil keputusan PMR yang diumumkan hari ini.

Allahyarham Siti Aisyah telah memperoleh keputusan 4A, 4B dan 1C dalam PMR.

Kitab Al-Quran Ditulis Dengan 24 Liter Darah

Posted: 22 Dec 2010 03:03 PM PST

MUKA surat al-Quran yang ditulis dengan darah Saddam Hussein.


Pemerintah Iraq buntu memikirkan apa yang sepatutnya dibuat berhubung kitab suci al-Quran yang ditulis dengan menggunakan 24 liter darah bekas Presiden Iraq, Saddam Hussein (gambar), lapor sebuah akhbar semalam.
Kitab al-Quran setebal 650 muka surat itu kini disimpan di sebuah kamar berkunci di sebuah masjid yang dikenali sebagai 'Ibu Segala Peperangan' di sini.
Empat menara masjid berkenaan menyerupai laras raifal AK-47 manakala empat lagi menara mirip peluru berpandu Scud.
Saddam dipercayai memulakan projek al-Quran itu sebagai tanda kesyukuran selepas anak lelakinya, Uday terselamat daripada percubaan untuk membunuhnya.
Ia ditulis oleh seorang ahli kaligrafi, Abbas Shakir Joody al-Baghdaddi yang dilantik oleh Saddam.
Kitab al-Quran itu ditulis dengan menggunakan darah yang didermakan oleh Saddam selama tiga tahun.
Sementara itu, Presiden Majlis Pentadbiran Iraq mahu semua barang yang berkaitan dengan Saddam termasuk kitab suci tersebut dimusnahkan.
Namun, Ali al-Moussawi yang merupakan jurucakap Perdana Menteri, Nouri al-Maliki berkata, al-Quran itu perlu disimpan bagi mengingatkan rakyat mengenai kekejaman Saddam.
Saddam yang memerintah dari tahun 1979 hingga 2003, mati dihukum gantung selepas dia ditangkap askar-askar Amerika Syarikat (AS) yang menceroboh Iraq. Saddam dihukum mati selepas didapati bersalah melakukan jenayah kemanusiaan.-
Sumber: Agensi

Tiada ulasan: