Khamis, 23 Disember 2010

Politiksukusakat

Politiksukusakat


Saman ekor, Mahfuz pohon Istana campur tangan bahas semula RUU JPJ

Posted: 23 Dec 2010 08:13 PM PST


WAN NORDIN WAN YAACOB

KUALA LUMPUR : Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar memohon campur tangan Istana Negara bagi menitahkan supaya Rang Undang-undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010 yang baru diluluskan, dibahaskan semula di Parlimen.

Dalam satu memorandum kepada Yang DiPertuan Agong, Sultan Mizan Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin Al Muktaffibilashah, pada 23 Disember lalu, Mahfuz berkata ia perlu dipandang serius kerana membabitkan jutaan wang rakyat yang terpaksa membayar saman ekor yang dipertikai kesahihannya.

Turut serta menyerahkan memorandum itu, Ahli Parlimen Baling, Ustaz Dato' Taib Azzamuddin Mohammad Taib; Ahli Parlimen Shah Alam, Ir Khalid Samad: Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Md Ramli: Adun Paroi, Mohd Taufek Abdul Ghani dan beberapa orang penasihat undang-undang pasukan tersebut.

"Ia tidak dibahas dengan masak. Tempoh perbahasan dalam dua jam, ahli parlimen berbahas hanya lima minit," kata ujar Mahfuz ketika mengadakan sidang medianya di perkarangan Istana Negara.

Bagi Mahfuz ia satu akta yang begitu penting menyentuh kepentingan rakyat, tetapi dibuat begitu tergesa-gesa, katanya.

"Jadi kami fikir tidak wajar dan mohon kepada baginda menitah supaya dibawa balik ke parlimen (untuk dibahaskan kembali)," katanya lagi.

Ujar Mahfuz rang undang-undang tersebut tidak menyelesaikan pelbagai masalah besar berbangkit, antaranya berkaitan kemalangan maut, kesalahan memandu secara merbahaya, saman ekor dan masalah senarai hitam pemilik kenderaan.

"Kebanyakkan yang dinaikkan (dalam rang undang-undang) adalah kesalahan teknikal, katanya.

Sambil menyifatkan ia bukan kesalahan jenayah, Mahfuz berkata masalah pertukaran alamat atau kegagalan memberi maklumat yang betul menyebabkan pengguna jalan raya akan dikenakan hukuman penjara.

Dalam memorandum yang diserahkan kepada wakil Seri Paduka, dilampirkan juga hansard perbahasan di parlimen berhubung akta tersebut.

Ditanya mengenai reaksi pihak Istana, Mahfuz yang juga timbalan pesuruhjaya PAS Kedah berkata: "Wakil Tuanku menerimanya dengan baik".

Sementara itu, Taufek yang juga naib pengerusi KASE berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk menyusun langkah penerangan mengenai isu berkenaan kepada rakyat.

"Selagi rakyat tidak mendapat maklumat yang jelas tentang perkara ini, saya rasa rakyat tidak akan melihat isu ini sebagai isu yang besar," katanya.

Sementara itu, dalam satu ulasan isu yang sama, Mahfuz mempersoal bentuk saman ekor yang baru dengan penggunaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang akan dikendalikan oleh dua syarikat swasta.

Katanya, dalam perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010, timbalan menteri pengangkutan menjelaskan, urusan itu akan dikendalikan oleh Beta Tegap Sdn Bhd dan Commercial Circle (M) Sdn Bhd.

"Ia bukan dikendalikan oleh JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) atau polis. Betul kerajaan tidak mengeluarkan apa-apa peruntukan, (kerana) mesin, kamera dan semuanya akan disediakan oleh dua syarikat ini," katanya.

Tetapi katanya syarikat ini akan mendapat habuan mereka daripada jumlah saman yang dikeluarkan.

Menurut sistem ini, AES sistem penggunaan kamera - akan mengambil gambar kenderaan yang melakukan kesalahan, memprosesnya dan kemudiannya mengeluar dan menghantar saman kepada pesalah trafik.

Mahfuz berkata enam juta saman yang dikeluarkan, seperti disebut dalam parlimen baru-baru ini, sejumlah 35 peratus hasilnya akan diperolehi oleh kedua-dua syarikat tersebut.

"Itu baru enam juta saman, (berapa) kalau 10 hingga 14 juta saman. Maknanya, saya tidak nampak bagaimana hendak mendidik rakyat (untuk) mencapai 'zero' saman.

"(Maknanya) saman mesti kena ada, kalau tidak, syarikat itu akan rugi lah. Dia pasang kamera, tapi tak dapat habuan untuk dia (syarikat itu)," katanya.

Beliau turut mempersoalkan tindakan kerajaan memberikan kontrak pengendalian kepada Beta Tegap dan Commercial Circle sebelum pindaan RUU itu diluluskan.

Tiada ulasan: