Khamis, 16 Disember 2010

MIMPI SENJA

MIMPI SENJA


Penggantungan kami tidak sah - Karpal Singh

Posted: 16 Dec 2010 09:55 PM PST

PETALING JAYA, 17 Dis — Pengerusi DAP Kebangsaan Karpal Singh berkata, penggantungan empat Ahli Parlimen Pakatan Rakyat termasuk beliau yang diputuskan semalam adalah tidak sah.

Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor berkata, usul yang diluluskan itu melarang beliau dan tiga Ahli Parlimen lain daripada menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.

Beliau menegaskan, Parlimen hanya boleh menggantung daripada menghadiri sidang Parlimen, bukannya menggantung tugas sebagai Ahli Parlimen.

"Kami digantung daripada menjalankan tugas sebagai Ahli Parlimen. Tugas kami tidak terhad di Parlimen sahaja.

"Ini akan jadi poin utama. Ini adalah satu pencabulan hak kami sebagai Ahli Parlimen yang mana telah termaktub dalam Perlembagaan (Persekutuan)," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Semalam, Dewan Rakyat menggantung Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Karpal, R. Sivarasa (Subang) dan Azmin Ali (Gombak) daripada tugas sebagai Ahli Parlimen selama enam bulan.

Dalam usul itu, jelas mengatakan Karpal (gambar), Sivarasa dan Azmin digantung daripada tugasnya sebagai Ahli Parlimen manakala Anwar digantung tugas dari jawatan Ahli Parlimen selama enam bulan.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh itu digantung ekoran dakwaan beliau mengenai isu berkaitan APCO Worldwide dan gagasan 1 Malaysia.

Sementara Karpal, Sivarasa dan Azmin digantung kerana melanggar peruntukan Peraturan Mesyuarat 85 iaitu keterangan yang diambil di hadapan sesebuah Jawatankuasa Hak dan Kebebasan dan apa-apa surat yang dikeluarkan kepadanya tidak boleh disiarkan oleh siapa jua sebelum panel itu membentangkan laporannya.

"Dalam negara kita Parlimen bukan yang paling tinggi, Perlembagaan yang paling tinggi. Keputusan yang dibuat Parlimen mesti berdasarkan Perlembagaan.

"Ketika saya digantung pada 1994 kerana menghina Yang di-Pertuan Agong, ayat yang digunakan sangat jelas, digantung daripada perkhidmatan di dalam Dewan," kata Karpal.

Karpal turut berkata, Pakatan Rakyat sudah membuat keputusan untuk menyaman Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz.

Beliau juga mengaitkan penggantungannya dengan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zamry Abdul Kadir yang mencabar keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan membawa perkara itu ke mahkamah.

"Sebagai contoh, dalam kes Zamri keputusan boleh dicabar. Selagi kita yakin, kes ini akan dibawa ke mahkamah dan kita serius tentang perkara ini," katanya.

Karpal juga berkata, Pakatan Rakyat akan membawa kes itu ke mahkamah dalam masa terdekat.

"Hujung minggu ini saya akan sediakan dokumen-dokumen, kita akan bawa kes ini dalam masa terdekat," katanya.

Pada sidang media itu, Anwar yang juga Penasihat PKR menimbulkan persoalan kenapa APCO Worldwide yang mempunyai kaitan dengan Israel tidak boleh "disentuh."

"Siapa APCO ini? Dewa kayangankah sampai tidak boleh disentuh? Mengapa APCO ini dianggap begitu berkuasa?

"APCO kata mereka badan profesional bebas tapi kenapa terlibat dalam kempen politik Malaysia? Kita minta APCO hentikan kempen politik ini.

"Sebab APCO, Ahli Parlimen digantung tanpa ikut peraturan," katanya.

Kerana sebab Apcolah 4 Ahli Parlimen digantung -

Posted: 16 Dec 2010 08:43 PM PST

Ahli Parlimen Pakatan Rakyat hari ini mengadakan sidang media bagi memberi penjelasan berkenaan kekecohan di Parlimen semalam apabila usul meminta Speaker menarik diri.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan pihaknya kecewa kerana Tan Sri Pandikar Amin Mulia menafikan pihak Pakatan Rakyat memberi penerangan terhadap isu yang dibangkitkan.

"Tapi operasi mereka sebelum itu adalah Myteam. Malaysian Insider beri keterangan jelas wakil Apco menasihat Najib tentang 1Malaysia. Tiada penafian dari Najib. Apco nafi terbabit dengan Israel. Saya buktikan dokumen kerajaan Israel dengan Apco. Apa isunya? Isunya Umno tuduh orang lain agen Yahudi, tapi mereka sendiri meterai perjanjian," kata Anwar.

Turut Hadir ialah Karpal Singh, Datuk Mahfuz Omar, Dr Syed Husin Ali, Dr Lo'Lo Ghazali, Tian Chua, R Sivarasa, Yusmadi Yusuf dan Datuk Johari Abdul.

"Saya ulangi 12 tahun lalu sampai sekarang saya dituduh agen Yahudi. Umno guna kempen ini di kampung-kampung. Tapi saya buktikan mereka guna bukan sahaja syarikat Yahudi, tapi juga syarikat yang berpengkalan di Israel.

"Saya buktikan dalam jawapan kepada mereka, Apco Worldwide ditubuh sebelum Najib jadi Perdana Menteri(PM), maka soal 1Malaysia One Israel tidak berbangkit.

Jelas Anwar, Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali dihukum kerana sentuh surat Apco. Dia tidak menyiarkannya pun. Apa apco ini? Dewata raya ka? Bahkan Apco tidak ditegur kerana tidak dapt sertai jawatankuasa. - TV Selangor

"Mengapa Apco terlibat dalam politik negara? Apco jangan bersekongkol dengan Umno. Mereka harus jawab, harus bertanggungjawab, kerana sebab merekalah empat ahli parlime digantung tanpa proses yang wajar," kata Anwar - anwaribrahimblog.com

Gantung sebab nak tutup salahlaku menteri Umno termasuk Najib - DSAI

Posted: 16 Dec 2010 06:37 PM PST

BUKIT KATIL, 17 Dis: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tindakan menggantung beliau dan beberapa orang lagi Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) adalah untuk menyelamatkan pemimpin Umno yang terlibat dengan penyelewengan, salah laku dan rasuah.

"Pemimpin BN khasnya Umno takut kerana pendedahan demi pendedahan telah dibuat pada sidang parlimen menyebabkan mereka tidak senang duduk dan kepanasan.

"Sebagai contoh kita telah dedahkan terdapatkan seorang yang rapat dengan bekas Menteri Pertahanan yang mendapat kontrak dari kementerian tersebut berjumlah berbilion ringgit, kita ada nama orang itu, nama syarikat, berapa jumlah kontrak secara lengkap, perkara seperti inilah yang amat digeruni oleh pemimpin BN," katanya.

Tambahnya, bagi mengelakkan pendedahan itu, beliau dan tiga lagi Ahli Parlimen iaitu Azmin Ali, Karpal Singh dan R.Sivarasa digantung enam bulan.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ceramah di Pejabat PAS Paya Dalam, Kawasan Bukit Katil malam tadi.

Hampir 10,000 rakyat negeri Melaka hadir pada program tersebut yang turut menampilkan Pengarah Penerangan Negeri Selangor, Dr Badrul Amin Baharom, Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman dan Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Melaka, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Menyentuh isu WikiLeaks, Anwar berkata, isu itu sengaja dibesarkan bagi menutup isu-isu lain sedangkan laporan WikiLeaks tentang pembunuhan Altantuya tidak disiarkan.

"Mana dia laporan WikiLeaks tentang pembunuhan Altantuya, mengapa media menutup cerita ini?

"Mengapa mereka takut untuk mendedahkan isu pembunuhan Altantuya, ini semua tidak lain adalah untuk menyelamatkan Najib?" soalnya.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu menegaskan berani untuk berhadapan dengan semua isu berkenaan dan akan menyaman beberapa akhbar arus perdana serta Dr Mahathir kerana kenyataan mereka yang mengelirukan serta bersifat fitnah merujuk kepada pendedahan oleh WikiLeaks baru-baru ini. - Harakah Daily

22 gadis hamil luar nikah setiap bulan -

Posted: 16 Dec 2010 03:59 PM PST

Dasar salah laku zina masih kabur
KUALA LUMPUR, 16 Dis — Penguatkuasaan dasar yang jelas adalah perlu bagi membendung salah laku seksual dan penzinaan yang kian meruncing dalam kalangan remaja, kata Ketua Sub Unit Seksualiti Bahagian Reproduksi Manusia Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Dr Hamizah Mohd Hassan.

Kita memang mempunyai beberapa polisi atau dasar tetapi ianya masih kabur dan samar-samar, malah tidak ada satupun yang menekankan tentang isu salah laku seksual atau penzinaan," katanya kepada Bernama pada Muzakarah Pakar Menangani Zina serta Pembuangan Bayi di Kalangan Remaja dan Pelajar Sekolah di sini hari ini.

Hamizah berkata dasar sedia ada lebih menjurus kepada pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial sahaja tetapi kurang memberikan perhatian kepada penzinaan dan salah laku seksual.

"Remaja hari ini menjadikan zina sebagai kerjaya umpamanya perniagaan seks...GRO, kerana ia mendatangkan pulangan lumayan dan menguntungkan, malah ada antara mereka berumur 16 hingga 18 tahun," katanya.

Hamizah juga berkata rumah-rumah perlindungan dapat memberikan ruang dan peluang kepada golongan remaja untuk tidak mengulangi kesilapan lalu.

"Sekarang ini terlalu ramai remaja yang hamil luar nikah atas dasar suka sama suka tetapi saya harap rumah-rumah perlindungan lebih kepada kes-kes sumbang mahram dan rogol," katanya.

Bekas pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Fatimah Abdullah berkata, pendekatan holistik melibatkan keluarga, remaja dan komuniti perlu dibentuk kerana dasar dan program bersepadu yang menjurus kepada remaja hamil tanpa nikah tidak ada pada masa ini.

"Tiada data lengkap mengenai mereka khususnya berkaitan dengan latar belakang sosioekonomi, pergaulan, hubungan hetroseksual dan pengalaman hubungan seks sebelum berkahwin," katanya dalam kertas kerja ''Analisis Sosial Kes-kes Zina Berdasarkan Data Daripada Kajian Mengenai Kehamilan Luar Nikah'' yang dibentangkan pada muzakarah itu.

Beliau berkata kaedah-kaedah yang dilakukan di Barat seperti penggunaan kaedah kontraseptif untuk pencegahan kehamilan tidak wajar diaplikasikan dalam konteks remaja Melayu yang beragama Islam.

"Peningkatan bilangan remaja hamil tanpa nikah dalam kajian sosial adalah manifestasi kepada isu yang lebih besar tentang kekalutan dalam struktur organisasi sosial dalam masyarakat," katanya.

Pengasas dan Pengarah Kem Modal Insan (KEWAJA) Yahya Mohamed Yusof berkata bahawa pada tahun ini pihaknya telah menerima 260 orang gadis yang hamil luar nikah berbanding 240 orang tahun lepas.

"Sejak KEWAJA ditubuhkan pada tahun 1988 dan sehingga kini terdapat lebih 2,500 gadis hamil luar nikah, ini antara kenapa kita memerlukan satu polisi dan dasar yang dapat membincangkan masalah ini secara lebih serius," katanya.

Yahya, yang mempunyai pengalaman 20 tahun mengendalikan rumah perlindungan, berkata rumah perlindungan diibaratkan seperti ''Persatuan Bulan Sabit Merah'' dalam membantu remaja yang bermasalah.

"Apabila mereka ada masalah, mereka takut, keliru dan tidak tahu ke mana nak tuju malah ada di kalangan mereka hilang keluarga, jadi sinilah tempat mereka mendapatkan perlindungan," katanya. — Bernama

ADUN Tenang meninggal dunia

Posted: 16 Dec 2010 07:32 AM PST

ADUN Tenang dari BN (UMNO) Datuk Sulaiman Taha telah kembali ke rahmatullah

Allahyarham adalah Ketua UMNO Bahagian Labis

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Takziah buat keluarga Datuk ... Alfatihah

Pakatan Rakyat heret Pandikar Amin ke mahkamah

Posted: 16 Dec 2010 12:40 AM PST

Pakatan Rakyat bercadang mengheret Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia ke mahkamah berhubung tindakannya menggantung Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tiga lagi ahli parlimen pembangkang selama enam bulan daripada menghadiri
persidangan Dewan Rakyat.

Ahli parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh yang antara digantung itu berkata keputusan berkenaan berikutan mereka tidak diberi peluang untuk memberi penjelasan ketika perbahasan usul penggantungan.

"Kita mungkin bawa ke mahkamah. Ada satu duluan dalam kes Gobind Singh di mana, sebenarnya, kita bawa Speaker, Pandikar Amin sendiri…? Mahkamah memutuskan bahawa dalam keadaan tertentu, terutama apabila peraturan keadilan asasi tidak dipatuhi, waktu itu mahkamah mempunyai bidang kuasa.

Terang-terangan

"Ia secara terang-terangan, dan tindakan Speaker, dalam apa jua cara ia tidak boleh dipertahankan. Kita mahu perintah kehakiman dan kami tidak akan biarkan dia terlepas. Kita tidak mahu ini menjadi satu duluan pada masa depan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Anwar pula berkata beliau akan menggunakan Konvensyen Pakatan Rakyat yang dijadualkan di Pulau Pinang, Ahad ini untuk menjelaskan kepada orang ramai mengenai penggantungannya dan tiga lagi ahli parlimen pembangkang.

"Kita saksikan tadi cara Speaker mengendalikan sidang. Usul Bukit Gelugor agar speaker berundur kerana percanggahan kedudukan beliau dalam beberapa contoh termasuk pencelaan kepada Bukit Gelugor kerana dibuat secara langsung pertelagahan dalam mesyuarat di antara Bukit Gelugor dan Speaker.

"Tidak wajar Speaker yang buat laporan, dia yang siasat dan dia yang hukum. Dia enggan ambil keputusan yang tegas dalam hal ini maka kita juga enggan teruskan. Bagaimanapun dalam sidang tadi saya bangun untuk meneruskan ucapan tapi dia kata tak ada orang nak berucap.

"Jadi sebenarnya saya nampak dia begitu 'bias'. Jadi kita ambil pendirian keluar membantah proses ini kerana tidak ada keadilan dan cara Umno BN yang begitu ganas dan rakus menjalankan kuasa, memperolokkan proses dan menghina Parlimen," kata Anwar.

Nasharudin Mat Isa (PAS-Bachok) pula berkata, Pandikar harus berundur dari mempengerusikan dewan kerana beliau sudah tidak mendapat kepercayaan daripada ahli parlimen lagi.

Terima arahan menteri

Ini tegasnya jelas terbukti apabila Pandikar menerima arahan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz untuk membuat keputusan.

"Jelas sebelum kita keluar tadi kita melihat bagaimana speaker menerima arahan daripada menteri. Kita lihat pertukaran nota berlaku dari meja menteri kepada Speaker dan di sini jelas menunjukkan Speaker kita bukanlah seorang individu yang bebas membuat keputusan mengikut peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh mana-mana undang-undang ataupun peraturan mesyuarat.

"Di sini mengiyakan lagi bahawa apa yang berlaku hari ini ialah Speaker gagal untuk melaksanakan tugasnya daripada awal minggu hingga hujung minggu ini kerana arahan yang diterima daripada BN," katanya yang juga timbalan presiden PAS.

Sehubungan itu tegasnya, integriti Pandikar sebagai Speaker sudah hilang dan beliau harus berundur.

Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul menggantung Anwar (PKR-Permatang Pauh)
daripada menghadiri persidangan selama enam bulan kerana membuat kenyataan mengaitkan konsep 1Malaysia dengan kempen One Israel.

Turut digantung Karpal Singh, R Sivarasa (PKR-Subang) dan Azmin Ali (PKR-Gombak) di atas beberapa kesalahan.

Karpal dan Sivarasa didakwa telah melanggar peruntukan Peraturan mesyuarat 85 iaitu keterangan yang diambil di hadapan sesebuah Jawatankuasa Pilihan dan apa-apa surat yang dikeluarkan kepadanya tidak boleh disiarkan oleh sesiapa jua, sebelum Jawatankuasa itu membawa penyata itu kepada Majlis (Dewan Rakyat).

Azmin, melalui pemberitahu bersurat bertarikh 6 Dis 2010 di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) didakwa telah menyentuh tentang keterangan dan surat yang dikemukakan semasa Mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan pada 3 Dis 2010 - mkini

2 ditangkap di luar Parlimen - Video

Posted: 16 Dec 2010 12:22 AM PST

Tiada ulasan: