Jumaat, 31 Disember 2010

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Lelaki mati dalam loji kumbahan

Posted: 31 Dec 2010 03:00 PM PST

http://kosmo.com.my/kosmo/pix/2011/0101/Kosmo/Negara/ne_05.1.jpg

Oleh ATIKAH DALI
atikah.mohddali@kosmo.com.my

PASUKAN polis forensik memeriksa serpihan tulang dipercayai milik Kuan Mang yang ditemui di dalam loji kumbahan di Taman Pasir Mas, Kajang semalam.

KAJANG – Misteri kehilangan seorang lelaki sejak dua bulan lalu terjawab apabila dia ditemui mati dalam keadaan tragis dengan anggota badannya terpisah antara satu sama lain di loji rawatan kumbahan Taman Pasir Mas, Sungai Chua di sini kelmarin.

Mayat Liew Kuan Mang, 29, dari Taman Berjaya Sungai Chua, Kajang di sini ditemui pada pukul 2.30 petang oleh seorang pekerja syarikat Indah Water Konsortium Sdn. Bhd.

Pekerja tersebut dikatakan menemui anggota badan mangsa dari paras pinggang ke lutut ketika sedang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di situ. Dia kemudian melaporkannya kepada polis.

Jurucakap polis berkata, ketika ditemui, bahagian tersebut dilengkapi dengan seluar jeans yang mengandungi kad pengenalan mangsa.

"Usaha mencari bahagian anggota badan yang lain sedang dijalankan di loji kumbahan tersebut. Kita sedang menjalankan siasatan lanjut dan setakat ini masih belum dipastikan sama ada mangsa dibunuh atau sebaliknya," katanya di sini semalam.

Janda Akhil Hayy kemalangan

Posted: 31 Dec 2010 02:33 PM PST

http://kosmo.com.my/kosmo/pix/2011/0101/Kosmo/Negara/ne_02.1.jpg

Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI
syakir.sazili@kosmo.com.my

MAIZAWATI ditemani Mohd. Yassin selepas menjalani pembedahan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh semalam.

IPOH - "Saya bersyukur kerana bayi dalam kandungan saya disahkan selamat."

Demikian luahan Maizawati Zainal, 35, bekas isteri penceramah dan penyanyi, Akhil Hayy, beberapa jam selepas menjalani pembedahan memasukkan dua plat besi pada tangan kirinya selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Sultan Azlan Shah di sini pagi Selasa lalu.

"Doktor pakar mengesahkan tiada sebarang komplikasi terhadap kandungan yang kini berusia hampir lima bulan," katanya ketika ditemui di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 5.15 pagi itu, kereta Proton Gen 2 yang dipandu Maizawati atau lebih dikenali sebagai Maiza merempuh sebuah kereta dari arah bertentangan yang secara tiba-tiba membuat pusingan U berdekatan Sekolah Menengah Izzudin Shah di sini.

Akibat kemalangan itu, Maiza patah tangan kiri dan cedera kedua-dua kaki selain mengalami lebam pada dahi.

Dr Mujahid terbuka terima kritikan buku ‘Menuju PAS Baru’

Posted: 31 Dec 2010 09:00 AM PST

GEORGE TOWN, 31 Dis — Ahli jawatankuasa kerja PAS Pusat Dr Mujahid Yusuf Rawa berkata beliau bersikap terbuka terhadap kritikan daripada mana-mana pihak berhubung buku terbarunya "Menuju PAS Baru: Krisis, Peluang dan Dinamisme", yang dihasilkannya dengan hasrat untuk memperbaiki organisasi parti.

"Jika ia baik untuk parti saya berbangga kerana telah menjalankan tanggungjawab saya tetapi sekiranya tidak diterima sekalipun saya bersyukur kerana telah berusaha ke arah melihat masa depan PAS yang pastinya akan menjadi parti arus perdana dalam negara ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata menjadi tanggungjawabnya untuk menjelaskan segala kekeliruan yang timbul hasil daripada penulisan bukunya itu termasuk keputusan Dewan Ulama PAS Kedah yang menolak pandangannya dalam buku itu sepertimana yang disiarkan beberapa akhbar tempatan baru-baru ini.

Dewan Ulama PAS Kedah dalam satu kenyataan pada Rabu lepas berkata dewan itu menolak tulisan Dr Mujahid dalam buku itu yang antara lain mahu mengubah konsep kepimpinan ulama dalam parti itu dan bahawa PAS perlu berpijak di bumi nyata dan harus "dinasionalkan".

Dr Mujahid berkata buku tulisannya itu merupakan usaha untuk melihat masa depan PAS dengan mengambil kira aset perjuangan parti sejak lebih 50 tahun lepas.

"PAS juga melalui fasa-fasa kepimpinannya dan buku "Menuju Pas Baru" hanyalah garapan saya terhadap masa depan organisasi parti yang perlu difikir oleh generasi muda.

"Kekeliruan dari sudut istilah-istilah yang digunakan dalam buku tersebut boleh dijelaskan dengan mengadakan wacana dan diskusi yang sihat bagi membudayakan sikap keterbukaan kepada pandangan-pandangan yang berbeza," katanya. — Bernama

‘Third Force’ bantu kempen Pakatan di Tenang, kata Raja Petra

Posted: 31 Dec 2010 08:00 AM PST

Oleh Debra Chong


KUALA LUMPUR, 31 Dis — Di sebalik tanggapan bahawa 'bertegang leher' dengan Pakatan Rakyat, Gerakan Kebebasan Sivil Malaysia (MCLM), yang diketuai blogger berpengaruh Raja Petra Kamarudin, bersedia untuk membantu perikatan itu ketika pilihan raya kecil kerusi DUN Tenang akhir bulan depan.

Editor Malaysia Today yang lantang ini, yang kelihatan berselisih dengan kepimpinan Pakatan Rakyat sejak kebelakangan ini, mula mengetepikan perbezaan ideologi mereka untuk memfokus pada perjuangan bersama - menghalang Barisan Nasional (BN) daripada merekodkan satu lagi kemenangan pada 30 Januari ini.

BN menang dua pilihan raya kecil serentak awal bulan lepas.

"Majlis Perwakilan PAS UK & Eire, Friends of Pakatan Rakyat dan MCLM akan berganding untuk mengutip dana bagi (membiayai kempen) pilihan raya kecil Tenang.

"MCLM juga akan berkempen pada pilihan raya kecil," kata Raja Petra yang mengetuai gerakan yang berpejabat di London itu menerusi ruangan beliau "No Holds Barred" hari ini.

Raja Petra yang turut dikenali sebagai "RPK" menambah, kempen gerakan itu akan diterajui blogger Bernard Khoo.

MCLM didaftar di London dua bulan lalu dianggap sebagai 'Third Force', yang turut menimbulkan kerisauan di kalangan pemimpin Pakatan Rakyat.

Pakatan Rakyat akan diwakili oleh calon PAS di Tenang. Bagaimanapun Raja Petra membisu sama ada dua calonnya yang dinamakan setakat ini untuk diturunkan pada pilihan raya umum ke-13 iaitu Malik Imtiaz Sarwar dan Sreekant Pillai akan turun berkempen di Tenang.

Malik memberitahu The Malaysian Insider, beliau tidak disertakan dalam barisan kempen dan tiada sebarang rancangan untuk muncul di Tenang bagi membantu calon Pakatan Rakyat.

"Saya tidak dalam MCLM. Saya fikir MCLM boleh menguruskannya," kata peguam dan aktivis hak asasi manusia ini. Pun begitu beliau tidak menolak kemungkinan untuk menyertai kempen itu kelak.

"Ada kemungkinan (untuk sertai bersama)," kata Malik. Khoo yang menguruskan laman Zorro Unmasked menolak tanggapan bahawa ketegangan antara kumpulannya dan perikatan tiga parti itu akan muncul ketika kempen lapan hari nanti.

"Sekian lama, kami sentiasa cenderung kepada Pakatan. Kami sentiasa mengatakan bahawa kami akan menyokong mereka dan kami akan lakukan apa yang kami katakan sejak dari dahulu lagi," kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Katanya, apa yang penting ialah memperkukuhkan usaha ke arah pilihan raya umum ke-13.

"Apabila tiba masa kelak, kami akan bercakap mengenainya," kata Khoo apabila ditanya sama ada MCLM mampu untuk meyakinkan pengundi-pengundi Tenang bahawa calon Pakatan Rakyat adalah yang terbaik untuk mewakili mereka berbanding calon bakal diturunkan BN.

Sehubungan itu kata beliau, adalah "sangat penting untuk menunjukkan bilangan (penyokong) pada hari penamaan calon" jika Pakatan Rakyat mahu bertapak di Tenang.

Khoo berkata, pasukan kempennya akan terdiri daripada 10 orang buat masa ini dan akan memfokus usaha memikat pengundi masyarakat Cina menerusi pendekatan lawatan rumah ke rumah.

"Ia seperti (kempen) ketika (pilihan raya kecil) Kuala Terengganu (awal tahun lalu)," kata Khoo sambil menambah, kebanyakan ahli MCLM, yang kebanyakannya anggota komuniti berita alternatif online akan membawa berita-berita tempatan sebaik sahaja calon yang bakal bertanding diumumkan.

Pilihan raya kecil kerusi DUN Tenang merupakan yang ke-14 sejak pilihan raya umum 2008.

Penamaan calon pilihan raya kecil Tenang akan diadakan 22 Januari ini dan jika ada pertandingan pengundian diadakan pada 30 Januari.

Kerusi itu kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Sulaiman Taha. Allahyarham Sulaiman mempertahankan kerusi DUN Tenang pada pilihan raya umum ke-12 dengan menewaskan calon PAS, Mohd Saim Siran dengan majoriti 2,492 undi.

Pilihan raya kecil itu akan menggunakan Daftar Pemilih Induk 2009 yang digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama 2010, Suku Tahun Kedua 2010 dan Suku Tahun Ketiga 2010.

Terdapat 14,753 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 14,735 pemilih biasa dan 18 pemilih biasa, dengan kebanyakan penduduk bekerja sebagai petani, pekerja di ladang getah dan kelapa sawit.

Daripada jumlah itu, 7,014 orang (47.54 peratus) terdiri daripada kaum Melayu, Cina (5,766), India (1,780), Bumiputera Sabah (enam), Bumiputera Sarawak (lima) dan Orang Asli (171) dan 11 lagi dalam kategori lain-lain.

Melayu pun kena tutup aurat

Posted: 31 Dec 2010 07:45 AM PST

Muhammad Yusri Amin

KOTA BHARU, 31 Dis: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, orang Melayu juga mesti menutup aurat di dalam kawasan surau atau masjid.

Beliau menyatakan demikian ekoran isu yang ditimbulkan media mutakhir ini berhubung senamrobik yang dilakukan masyarakat bukan Melayu di kawasan berkenaan.

"Usahkan di dalam kawasan masjid, di dalam masjid pun tidak apa, termasuklah juga pembelajaran dan persoalan perlantikan ketua negara dan ketua perang serta urusan sakit demam. Semuanya dilaksanakan dalam masjid seperti yang berlaku pada zaman Nabi Muhammad s.a.w.

"Namun dari segi aurat, mestilah dijaga. Usahkan orang Cina, orang Melayu sendiri mesti menutup aurat. Tinggal lagi hendaklah ditegur orang yang tidak menutup aurat dengan sempurna itu," katanya kepada media pada kuliah mingguan di sini, hari ini.

Mengulas komitmen sesetengah masyarakat Cina terhadap rumah ibadah, beliau berkata walau pun kaum Cina, Orang Asli atau warga Afrika yang hitam, namun apabila mereka itu muslim dan muttaqin, maka adalah layak dilantik menjadi imam sembahyang.

"Ini kerana hina atau tidaknya manusia itu bukan terletak kepada tubuhnya tetapi adalah terletak kepada taqwanya.

"Walau pun dia hamba, tetapi apabila dia diangkat menjadi ketua (termasuk imam sembahyang) maka mesti diikuti.

"Oleh demikian, di Kelantan sendiri, saya sudah membina masjid di Rantau Panjang. Saya meminta orang Cina menjadi imam sembahyang dan saya menjadi makmum pada bulan Ramadhan yang lalu," katanya.

Perutusan Tahun Baru 2011 oleh Lim Guan Eng

Posted: 31 Dec 2010 07:30 AM PST

Perutusan Tahun Baru 2011 oleh Lim Guan Eng di Komtar, George Town pada hari Jummat, 31hb Disember 2010:

Pulau Pinang mesti mencerap masa depan untuk menjadi Bandaraya Pintar dan Antarabangsa yang membolehkan kita hidup bebas bermaruah dan dihormati

Tahun 2010 berakhir dengan penuh gemilang apabila pasukan bolasepak Malaysia membanggakan kita semua apabila memenangi Piala Suzuki AFF buat kali pertama dalam 21 tahun. Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyambut pengumuman Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Razak dengan mengisytiharkan cuti yang sama kepada semua kakitangan kerajaan negeri sebagai penghormatan kepada kejayaan bersejarah ini.

Semua rakyat Malaysia bangga dengan kejayaan pasukan bolasepak negara kerana kita telah berjaya menewaskan jiran antarabangsa kita. Kita tidak mahu dilihat lagi sebagai jaguh kampung tetapi sebagai wira antarabangsa di rantau ASEAN.

Atas sebab yang sama ini, Pulau Pinang mesti mencerap masa depan. Masa depan Pulau Pinang adalah transformasi diri untuk menjadi sebuah bandaraya pintar dan antarabangsa. Kita boleh berjaya jika kita dapat menanggap bakat insan kita dengan mengumpul kekuatan tenaga mereka, mengasah kemahiran niaga mereka dan mencungkil kepakaran mereka.

Sebagai sebuah negeri tanpa sumber asli, kita perlu membina modal insan kita melalui latihan, latihan semula dan tarikan bakat insan baru. Pulau Pinang tidak ada pilihan lain kecuali menjadi bandaraya pintar yang berpaksikan ekonomi berteknologi tinggi, nilai tambah tinggi dan padat ilmu pengetahuan. Kerajaan PR Pulau Pinang akan menggubal dasar-dasar yang menggalak dan mencetuskan inovasi yang membolehkan kita bersaing menuju ke puncak.

Apa yang semua warga Pulau Pinang mahu adalah supaya anak-anak kita dapat hidup dinegeri yang bersih, hijau, selamat, mengamalkan integiti dan peluang saksama untuk semua. Kerajaan PR Pulau Pinang akan berusaha ke arah melaksanakan semua aspirasi ini dengan memperkuasakan rakyat dengan hak asasi manusia, memperkayakan mereka dengan nilai moral, memperkasakan mereka dengan kemahiran, menyediakan rumah yang mampu dimiliki, mengatasi masalah kemiskinan, memperbaiki jalan-jalan dan pengangkutan awam, meningkatkan jaminan keselamatan dan penggunaan CCTV, membersihkan Pulau Pinang dan melindungi alam sekitar dengan peraturan "Tiada Beg Plastik Percuma".

Kita mahu Pulau Pinang menjadi sebuah negeri di mana kita dan anak-anak kita dapat hidup bebas bermaruah dan dihormati. Dalam mencerap masa depan, kita tidak boleh terperangkap dengan sikap mengabaikan tanggungjawab dan tidak peduli sebagai mana yang berlaku pada masa-masa lalu. Perpaduan kita tidak boleh dipecahkan oleh mereka yang mahu melihat kepelbagaian kita sebagai punca masalah, dan bukannya sumber kekuatan kita. Kita tidak boleh dipesongkan oleh mereka yang mendendangkan mesej dendam, marah dan benci sebagai jalan keluar kepada masalah; sebaliknya kita perlu berkerjasama secara harmoni.

George Town dan Pulau Pinang berpengalaman hampir 225 tahun dalam soal hidup bersama secara harmoni dan saling hormat-menghormati di kalangan kumpulan-kumpulan kaum dan budaya. Ini dicerminkan melalui kewujudan masjid, gereja, kuil Hindu dan Cina yang dibina berdekatan antara satu sama lain. Tradisi harmoni dan saling hormat-menghormati ini telah diiktiraf oleh UNESCO apabila George Town dianugerahkan taraf Bandar Warisan Dunia pada 7 Julai 2008.

Semua warga Pulau Pinang bangga dengan warisan bersama kita yang telah mendapat pengiktirafan dunia. Jangan kita benarkan pembohongan menutup mata kita daripada melihat kebenaran, iaitu kita semua adalah bersaudara, bertekad atas perkongsian kepelbagaian nilai dan ini sudah terbukti kejayaannya – tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan. Pulau Pinang mesti mencerap masa depan di mana kita boleh bersaing di peringkat antarabangsa dengan penuh bermaruah dan dihormati.

*Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang

Ramai kaki kentut di Kedah

Posted: 31 Dec 2010 07:22 AM PST

"Lately" MR yang sebenarnya dah majai dan cemuih nak buat apa-apa komen tentang situasi politik semasa khasnya di Kedah dan Pulau Pinang kerana "jet lag" dan kesibukan untuk menyudahkan beberapa "chapter" lagi buku tulisan MR yang sudah melangkau "dateline".

Walaubagaimanapun dek dikejan dan diligan oleh beberapa sahabat di Kedah untuk mendapatkan komen dan pendapat tentang perubahan pucuk pimpinan UMNO Negeri Kedah terpaksa juga MR mengalih tumpuan seketika menyelidik situasi pendapat akar umbi di Kedah tentang penerimaan mereka terhadap Ketua Perhubungan UMNO Negeri yang baru, Datuk Ahmad Bashah Abu Hanipah.

Jika tidak silap Ahmad Bashah pernah berkhidmat sebagai kerani dengan syarikat pembalakan Datuk Khalid Julung @ Tan Seri Khalid Abdullah bekas Pengerusi Utusan Melayu Bhd rakan karib Che Det.

Apa juga pertimbangan untuk melantik pemimpin kelayakan akademik tidak seharusnya menjadi ukuran kerana di dalam politik demokrasi penerimaan rakyat terhadap seseorang pemimpin itu adalah kriteria utama.

Rakyat menilai bukan setakat personaliti pemimpin itu sahaja tetapi keseluruhannya sehingga ke dalam kain pemimpin itu, isteri, anak-anak, kawan-kawan dan di mana tempat pemimpin itu sering berfoya-foya dan kedai mana mereka kerap tikam ekor. (thanks to WikiLeaks)

Bertolak daripada itu pemimpin itu juga dinilai sejauh mana wawasan mereka dan arah mana perubahan yang bakal dibawa.

Begitu jugalah lantikan baru pucuk pimpinan itu dibuat kerana pucuk pimpinan atasan ingin membawa perubahan dengan dimensi yang baru, dinamik dan progressif bagi mengembalikan keyakinan rakyat Kedah kepada UMNO dan BN.

Persoalannya apa pembaharuan yang Datuk Ahmad Bashah boleh lakukan untuk UMNO Kedah dan Barisan Nasional sedangkan semasa beliau menjadi Timbalan Pengerusi UMNO Kedah di bawah DS Shafie Apdal pun langsung tidak nampak apa satu hasil tangan beliau yang boleh meninggalkan kesan di hati dan jiwa nurani rakyat.

Tugas-tugas yang di "delegate" oleh DS Shafie Afdal kerapkali menjadi bangkai hanyut dan yang mendapat impak negatif dan "backfired" ialah DS Shafiee Afdal sehingga DS Shafiee dilihat gagal memimpin UMNO Kedah. Orang lain yang kentut orang lain yang kena tuduh.

Hari ini kaki yang kentut kuat dilantik pula menjadi ketua dan kentut ini pasti akan tempias sehingga kepada timbalannya Mukhriz kalau tak pandai mengelak.

Menurut pemerhati politik Kedah rupa-rupanya ramai kaki kentut yang sedang memimpin bahagian di Kedah, mereka licik membaling batu tangan disembunyi, "wait and see, you don't change you mati".

http://mummyrokiah.blogspot.com/2010/12/ramai-kaki-kentut-di-kedah.html

Tapak Warisan Dunia: Perusahaan Burung walit dilarang

Posted: 31 Dec 2010 06:00 AM PST

Muhayat Jasmin

GEORGETOWN, 31 Dis: Aktiviti perusahaan burung walit tidak akan dibenarkan beroperasi lagi di Tapak Warisan Dunia oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang bermula pada 1 Januari 2011 akan datang.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalu Lintas Negeri, Chow Kon Yeow, dengan larangan tersebut maka kesemua 78 pengusaha burung walit yang sedang beroperasi di tapak tersebut perlu menghentikan operasi mereka berkuatkuasa pada tarikh tersebut.

"Kesemua pengusaha tersebut perlu menghentikan operasi mereka dan mencari lokasi lain dalam tempoh tiga tahun mulai 1 Januari 2011 ini.

"Dalam jangkamasa tersebut, mereka juga tidak dibenarkan menggunakan alat rakaman bunyi. Semua struktur tambahan pada bangunan yang telah didirikan tanpa mendapat permit dari pihak berkuasa tempatan harus segera dirobohkan serta dipulihkan semula premis tersebut kepada keadaan asal, " katanya lagi.

Kata Chow, dari sejumlah 129 pengusaha burung walit yang terdapat di Pulau Pinang, hanya 78 sahaja yang terlibat dalam aktiviti di kawasan Tapak Warisan Dunia.

Pada 7 Julai 2008 yang lalu Georgetown dan Melaka telah mendapat pengiktirafan dari Jawatankuasa Mesyuarat Warisan Dunia sebagai Tapak Warisan Dunia.

Sehubungan itu Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil insiatif bagi mengekalkan kawasan tapak tersebut dari dicemari oleh apa jua aktivtiti yang boleh mencemarkan imej dan kedudukan kawasan tersebut sebagai Tapak Warisan Dunia

Cara Baru Buang Bayi?

Posted: 31 Dec 2010 05:45 AM PST

SEREMBAN, 31 Dis (Bernama) -- Qurratnaini Amni Jamaludin, 20, sedang menunggu rakannya di Stesen KL Sentral bila tiba-tiba bahunya ditepuk dari belakang.

Beliau lantas menoleh dan terlihat seorang wanita Melayu dalam lingkungan 20-an mendukung bayi lelaki dipercayai baru berusia seminggu.

Wanita bertudung serta berseluar jean dan berbaju warna hijau lumut itu meminta beliau menjaga bayinya seketika kerana katanya dia hendak ke tandas.

Qurratnaini menunggu seketika untuk wanita itu mengambil semula bayinya.

"Kemudian, saya tunggu, dan tunggu...hingga kira-kira dua jam!, namun wanita itu tidak juga muncul.

"Saya mula panik, curiga dan bimbang...Saya hubungi ibu bapa saya di Rantau (Negeri Sembilan).

"Mereka datang dengan kereta untuk mengambil saya dan membawa bayi itu ke Seremban," katanya kepada Bernama di sini.

Qurratnaini berkata, atas nasihat ibu bapanya, bayi seberat 3.5 kilogram dan berkulit sawo matang itu diserah kepada Hospital Tuanku Ja'afar di sini, sebelum mereka membuat laporan polis.

Sebelum itu, Qurratnaini, pelajar jurusan kejururawatan bersama seorang rakannya menaiki komuter dari stesen keretapi Seremban pada kira-kira pukul 9.15 pagi untuk ke KL Sentral.

Mereka tiba di stesen itu di Kuala Lumpur pada kira-kira pukul 10 pagi.

Selangor utamakan merit calon SUK – Rodziah

Posted: 31 Dec 2010 05:30 AM PST

SHAH ALAM 31 Dis - Kerajaan Pakatan Rakyat (Pakatan) Selangor mengutamakan merit dalam memilih Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) menerusi mekanisma yang digariskan, tegas Exco Kerajaan Negeri Selangor, Rodziah Ismail.

Justeru tidak timbul asas politik dalam aspek pemilihan yang melibatkan individu penting dalam pentadbiran sesebuah negeri.

"Ada tatacara yang diguna pakai untuk perlantikan, maksudnya sebelum perlantikan ada mekanisma untuk memilih calon, itu yang kerajaan Selangor buat.

"Kerajaan Pakatan tidak mengamalkan pilih kasih, kita mengamalkan merit dan siapa yang terbaik, merekalah yang sepatutnya diiktiraf," jelas beliau lagi ketika ditemu bual hari ini di sini.

Rodziah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Tiga berkata, pegawai kerajaan perlu diberi pengiktirafan dari sudut kebolehan dan kemampuan untuk memimpin selain kerjasama baik di kalangan penjawat awam lain di negeri itu.

Tambah beliau, kerajaan Selangor tidak pernah mempertikai soal peribadi namun kredibiliti menjadi keutamaan seraya mengetengahkan calon individu yang paling layak memegang jawatan tersebut.

Kerajaan Selangor telah mula mencari calon SUK baru selepas selesai Sidang Dun Selangor, justeru kata Rodziah, tiada isu senarai nama calon lambat dihantar memandangkan Datuk Ramli akan melepaskan jawatan itu secara rasmi pada bulan Mac 2011.

"Kita sebagai kerajaan telah pun bersedia untuk mencari pengganti dan kita tidak terlalu lewat. Tidak sampai tiga bulan kita sudah ada calon. Sebab kita tahu dari sudut pentadbiran perlu ada pengalihan yang licin semasa pengalihan itu dilakukan," kata Rodziah.

Keluarga Bangga Persembahan Khairul Fahmi Di Piala AFF Suzuki

Posted: 31 Dec 2010 05:15 AM PST

KOTA BAHARU, 31 Dis (Bernama) -- Kejayaan pasukan negara menjuarai Piala AFF Suzuki 2010 cukup membanggakan seluruh keluarga penjaga gol skuad Harimau Malaya itu, Khairul Fahmi Che Mat, 21.

Aksi cemerlangnya pada final kedua di Stadium Gelora Bung Karno benar-benar mengejutkan keluarganya terutama bapanya Che Mat Hussain, 58, yang menyifatkan ia sebagai hadiah amat bermakna buat negara.

"Kami semuanya teruja dengan apa yang telah ditunjukkan pada perlawanan akhir itu dan kami sangat berbangga Pak Su (gelaran buat Khairul Fahmi) telah berbuat sesuatu untuk negara.

"Mungkin ini rezeki buatnya untuk terus maju dalam bola sepak dan kejayaan ini adalah berkat usaha dan disiplin yang tinggi yang ditunjukkan serta semangat tidak mudah putus yang ada dalam dirinya," kata Che Mat kepada pemberita di rumahnya di Kampung Dusun Raja, Cherang di sini.

Beliau berkata sebelum perlawanan akhir itu, Khairul Fahmi ada menghubunginya dari Jakarta bagi memohon restu agar perlawanan akhir itu akan berpihak kepada negara "dan prestasinya pada malam itu benar-benar menjadi".

"Itulah anak saya...baik sebelum beraksi untuk Kelantan, atau untuk negara tidak akan lupa untuk memohon restu daripada keluarga," katanya.

Akhbar hari ini melaporkan persembahan cemerlang penjaga gol Malaysia itu bukan sekadar menarik peminat baru ke akaun facebooknya malah menempatkannya di kedudukan kelima tertinggi di seluruh dunia bagi trend terkini rangkaian laman sosial di Twitter.

Dalam tempoh sejam selepas kemenangan, penjaga gol kelahiran Kelantan yang sebelum ini tidak begitu dikenali meningkat secara mendadak ke tempat kelima menumpaskan 'Support Timnas' yang menyokong pasukan bola sepak Indonesia.

Menyentuh mengenai minat Khairul Fahmi dalam bola sepak, ayahnya memberitahu ia bermula ketika dia berumur lapan tahun lagi dan minatnya hanya di posisi penjaga gol sahaja.

"Dari kecil lagi, dia cukup minat dengan posisi tersebut dan mula beraksi bersama pasukan sekolahnya iaitu Sekolah Kebangsaan Tapang ketika berumur 12 tahun," katanya.

Khairul Fahmi kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Sekolah Sukan Bandar Penawar Johor Baharu dan kemudian berpindah ke Sekolah Sukan Bukit Jalil.

Che Mat berkata satu sambutan besar-besaran akan dilakukan oleh penduduk kampung dengan kerjasama wakil rakyat untuk menyambut kepulangan Khairul Fahmi pada 3 Jan ini.

Laman web dedah gambar mangsa rogol menteri

Posted: 31 Dec 2010 05:00 AM PST

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 31 Dis: Kisah tentang menteri yang didakwa merogol pembantu rumahnya tidak boleh disembunyikan lagi apabila sebuah laman web menyiarkan gambar mangsa rogol tersebut semalam.

Laman web itu, Sabahkini.net, juga turut menyiarkan kenyataan seorang pemimpin PKR Sabah agar menteri berkenaan meletakkan jawatan.

Laman itu juga menyiarkan nama menteri berkenaan serta laporan bertulis yang dibuat oleh sebuah NGO yang menjaga kepentingan pekerja Indonesia, Migrant Care yang menyiasat kes ini sejak Julai 2007 lalu.

Blogger Rocky Bru atau nama sebenarnya Ahiruddin Atan pula membandingkan negara Yahudi Israel pernah memenjarakan menterinya yang didapati bersalah merogol pembantunya.

Namun, tulis Rocky, laporan yang dibuat pada tahun 2007 itu dipercayai diperap sahaja oleh Perdana Menteri ketika itu.

"Tak boleh biar orang tuduh pemimpin kita melakukan jenayah terkutuk tanpa siasatan. Tapi pasal kita dah tak siasat dan kes tu dah terpendam, sekarang ni tampak macam kita telah cuba mengabui mata rakyat," tulis Ahiruddin dalam blognya.

Sebelum ini, Ahirudin pernah disiasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SCMM) ekoran tindakannya mendedahkan dalam blognya anak seorang menteri mendapat projek dari kementerian yang dijaga oleh menteri berkenaan.

Sementara itu, Ketua Unit Media Baru Pemuda Umno, Tun Faisal mahu menteri yang merogol pembantu rumahnya itu diambil tindakan.

Tun Faisal yang menjawab pertanyaan seorang rakan twitter berkata, "ambik tindakan, apa masalah." apabila ditanya "@tunfaisal mcm mana dgn menteri rogol.apa cer?"

Harakahdaily sebelum ini sudah empat kali menyiarkan cerita ini termasuk tiga pendedahan mengenainya.

Ini kerana, selepas didedahkan oleh WikiLeaks dan laporan oleh Ahiruddin Atan melalui blog Rocky Bru nya, Harakahdaily menebual sendiri Country Coordinator Migrant Care, Alex Ong mengenai penyiasatan Migrant Care.

Alex mengesahkan laporan itu dan mengesahkan Migrant Care telah membuat siasatan terperinci mengenainya pada bulan Julai 2007.

Pada 1 Ogos 2007, Alex bersama dua lagi pemimpin Migrant Care telah menandatangani satu kenyataan media mengenai kes mangsa rogol yang bernama Robengah ini.

Kenyataan ini kemudiannya didedahkan semula oleh NGO Tenaganita pada 27 Disember lepas apabila kes ini timbul semula ekoran pendedahan WikiLeaks.

Pemuda Umno protes Kelantan benarkan Wali Band

Posted: 31 Dec 2010 04:45 AM PST

KOTA BARU, 31 Dis — Pergerakan Pemuda Umno Kelantan hari ini mempersoalkan kewajaran kerajaan Kelantan membenarkan sebuah kumpulan popular dari Indonesia, Wali Band mengadakan persembahannya di sini malam ini yang semata-mata bermotifkan politik.

Ketuanya Anuar Safian berkata memang menghairankan Kelantan yang dahulunya langsung tidak membenarkan konsert seumpama itu diadakan di negeri itu tetapi kini demi mendapat sokongan golongan muda, parti itu sanggup melakukan apa sahaja.

"Dahulu persembahan seperti ini dianggap haram kerana terdapat percampuran lelaki dan perempuan tetapi apa kewajaran sehingga membenarkan kumpulan luar negara pula mengadakan persembahan.

"Apakah tidak akan berlaku percampuran lelaki dan perempuan dan tidak adakah kumpulan nasyid yang hebat di negara kita untuk membuat persembahan seperti ini," katanya selepas majlis sumbangan beg sekolah kepada murid-murid pendidikan khas Pejabat Pelajaran Daerah Kota Baru di sini hari ini.

Majlis itu dianjurkan Biro Sosial dan Etika Pergerakan Pemuda Umno Malaysia yang dipengerusikan Anuar dan penyerahan beg itu disempurnakan Pegawai Pelajaran Daerah Kota Baru Che Ab Aziz Daud.

Malam ini kumpulan itu dijadual mengadakan persembahan di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV atas nama Amal Cakna Palestin yang dianjurkan Sekretariat Misi Cakna Palestin dengan kerjasama Kerajaan Negeri.

Penganjurnya semalam berkata persembahan itu merupakan satu lagi usaha untuk memberi peluang kepada orang ramai membantu mangsa kezaliman Yahudi di bumi Palestin.

Mengulas perkara itu, Anuar berkata ia juga seperti membenarkan persembahan pada malam tahun baru dan tidak ada bezanya dengan sambutan di tempat lain.

Pesuruhjaya III PAS Kelantan Datuk Nik Mohd Amar Abdullah bagaimanapun ketika ditemui enggan mengulas lanjut perkara itu kerana tidak mengetahui secara terperinci intipati persembahan itu. — Bernama

Raja diminta bersih kabinet dari menteri perogol

Posted: 31 Dec 2010 04:30 AM PST

Abdul Aziz Mustafa

TASEK GELUGOR, 31 Dis: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar memohon Raja-Raja Melayu bertindak membersihkan nama negara apabila dua orang pemimpin negara ini dikaitkan dengan kezaliman terhadap rakyat asing.

"Perdana Menteri sampai hari ini tidak pernah dilihat bersih ekoran pembunuhan kejam Altantuya Shaariibuu dan ketika Perdana Menteri dilihat begitu gagal membersihkan namanya, tiba-tiba sejak beberapa hari lalu berulang lagi kehebohan tentang seorang menteri kabinet dituduh merogol warga Indonesia yang menjadi orang gajinya.

"Pelbagai peristiwa selepas pembunuhan Altantuya menyebabkan Perdana Menteri semakin dilihat tidak bersih ekoran pembunuhan wanita Mongolia itu manakala dokumen yang mengaitkan menteri berkenaan dengan perbuatan merogol orang gajinya semakin tersebar.

"Kesemua itu membusukkan nama negara dan menyebabkan negara ini dipandang hina," kata beliau kepada pemberita selepas menyampaikan ceramahnya di Karnival Jubli Perak PAS Tasek Gelugor.

Sebelum ini, Harakahdaily dan lain-lain media telah menyiarkan laporan WikiLeaks serta temubual dengan pihak-pihak terbabit tentang menteri kebinet yang dipercayai terlibat memperkosa pembantu rumah warga Indonesianya tiga tahun lalu.

Mahfuz yakin Raja-Raja Melayu tidak sanggup membiarkan nama baik negara terus buruk dan warga negara ini dipandang hina akibat perkara tersebut.

"Sokongan Raja-Raja Melayu amat diperlukan untuk membolehkan rakyat menuntut supaya diadakan suruhanjaya siasatan terhadap perkara itu bagi membersihkan nama baik negara ini," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Ketika para pelabur telah pun diingatkan oleh Bank 0f America Merrill Lynch supaya mengurangkan pelaburan ke negara ini, beliau bimbang keadaan ekonomi negara akan bertambah buruk jika Raja-Raja Melayu tidak bertindak tegas dengan segera untuk membersihkan nama baik negara ini.

Sebelum itu, dalam ucapannya di karnival itu, Mahfuz mengecam keras tindakan Umno yang semakin jelas memperalatkan Raja-Raja Melayu bagi memastikan ia terus berkuasa.

Beliau menyeru Raja-Raja Melayu supaya tidak membiarkan diri mereka diperalat dan menjadi "balang oksigen" yang menyambung nafas Umno yang penuh dengan sejarah kerakusan mengkhianati orang-orang Melayu.

Sebelum ini, Mahfuz mengingatkan bahawa pihaknya akan berkempen secara ofensif dan habis-habisan ke seluruh negara untuk mendedahkan pengkhianatan Umno terhadap orang-orang Melayu.

Tiada masalah dengan pakaian MP Serdang, kata ketua masjid

Posted: 31 Dec 2010 04:15 AM PST

Oleh Boo Su-Lyn

KUALA LUMPUR, 31 Dis — Pengurusan Masjid Taman Cheras Jaya berpendapat pihaknya tidak melihat adanya sebarang masalah dengan pakaian Ahli Parlimen Serdang yang menyertai program senamrobik di pekarangan rumah ibadat itu meskipun pemimpin-pemimpin Umno menyifatkan tindakan itu telah mencemari kesucian Islam.

"Kami tidak ada apa-apa masalah sama sekali dengan pakaian YB Teo," kata pengerusi jawatankuasa Masjid Taman Cheras Jaya Azman Idris kepada The Malaysian Insider hari ini.

Dalam kenyataan yang dilihat menolak kritikan disiarkan akhbar Umno yang dibawa sejak semalam, Azman menjelaskan, menutup aurat terpakai kepada umat Islam sahaja.

"Menutup aurat terpakai hanya kepada Muslim. Jadi, isu menutup aurat tidak terpakai kepada YB Yeo," kata beliau.

Malah kata beliau, pihaknya hanya mengadakan aktiviti itu di tempat letak kereta, bukannya dalam masjid sebagaimana dijadikan isu semata-mata.

"Saya tidak melihat ada apa-apa masalah dalam isu ini," tambah beliau sambil menjelaskan, sesetengah wanita Islam yang menghadiri karvinal Maal Hijrah pada 12 Disember lalu juga tidak menutup aurat. Program itu diadakan sempena karnival tersebut.

"Ada yang mengenakan jeans yang ketat. Tetapi kami tiada masalah," katanya lagi.

"Kami ada meletakkan papan tanda mengatakan sila menutup aurat. Tetapi, kami tidak menguatkuasakan kerana ia tanggungjawab individu terbabit. Kami hanya boleh menggalakkan (mereka berbuat demikian)," kata beliau.

Dalam pada itu, laporan Bernama memetik Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Islam tidak melarang sebarang kegiatan termasuk senamrobik dilakukan dalam kawasan masjid asalkan kegiatan itu tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, tidak menjadi masalah untuk melakukan kegiatan di luar atau dalam masjid sama ada oleh orang Islam atau bukan Islam.

"Adalah tidak salah dalam Islam pihak tertentu mengadakan kegiatan dalam rumah ibadat orang Islam, kerana zaman Nabi Muhammad s.a.w dahulupun, ada orang kafir masuk (kawasan) masjid kerana ia menjadi pusat segala kegiatan termasuk politik," katanya.

Majlis Agama Islam Selangor (Mais) pula dikatakan mahu memanggil nazir Masjid Taman Cheras Jaya untuk menjelaskan kehadiran Teo dan menyertai senamrobik di pekarangan masjid itu.

Timbalan Setiausaha Mais Abdul Halem Hapiz Salihin dipetik Utusan Malaysia berkata, pihaknya juga akan menyiasat mengapa tindakan wakil rakyat daripada DAP itu tidak ditegur oleh pihak pengurusan masjid.

Laporan akhbar itu semalam mendakwa Teo masuk ke pekarangan Masjid Taman Cheras Jaya, yang terletak di Balakong, dengan mengenakan pakaian ketat semasa melakukan senamrobik bersama jemaah masjid.

Menurut Abdul Halem Hapiz, tidak salah melakukan aktiviti berfaedah seperti senamrobik di pekarangan masjid tetapi biarlah mematuhi adab seperti memakai pakaian yang sesuai.

Tambah beliau, sepatutnya wakil rakyat itu dinasihatkan memakai pakaian sukan yang lebih sopan seperti berlengan panjang dan menutup kepala serta senamrobik diasingkan antara lelaki dan wanita atau lelaki di hadapan dan wanita di belakang.

Ogos lalu Teo didakwa menyampaikan 'tazkirah' dalam sebuah surau di Kajang Sentral.

Bagaimanapun jawatankuasa surau itu juga menafikan wakil rakyat itu menyampaikan tazkirah sebagaimana dipertikaikan media milik Umno dan pemimpin-pemimpin mereka.

Kelakuannya itu dilaporkan menimbulkan kemurkaan Sultan Sharafuddin. Teo telah memohon maaf kepada baginda di atas perbuatannya itu.

Semalam, Teo memberitahu The Malaysian Insider bahawa beliau akan meneruskan pendekatannya menyertai aktiviti anjuran umat Islam meskipun akhbar Utusan Malaysia terus-menerus menyerangnya.

Meskipun mengakui tindakan menyertai aktiviti itu di Masjid Taman Cheras kemungkinan menjejaskan sokongan undi orang Melayu, Teo berkata, beliau akan terus menyertai aktiviti seumpama itu dalam usaha merapatkan hubungan dengan para pengundinya.

Menurut Teo dalam blognya di www.wretch.cc/blog/teonieching, acara tersebut adalah program pertama Karnival Maal Hijrah anjuran masjid berkenaan.

"Apabila saya mendapat jemputan daripada masjid, saya akan pergi," kata Teo.

Tahun 2011 pilih BN atau Pakatan?

Posted: 31 Dec 2010 04:00 AM PST

Ramli Abdul Samad


Pabila tirai 2010 melabuh tidak lama lagi, maka tinggal sekurang-kurangnya tiga bulan saja sekiranya Pilihanraya Umum(PU) ke-13 menjelang bilamasa yang banyak pihak menjangkakannya.

Pastinya BN mahupun Pakatan akan membuat strategi terbaik bagi mendapat mandat daripada rakyat untuk mentadbir negara tercinta kita, Malaysia.

Biasanya parti pemerintah tidak akan menunggu sehingga genap lima tahun dari tarikh BN menang pada PRU ke-12 dulu untuk memanggil PRU ke-13.

Ada dua kecenderungan yang sedang wujud dalam lanskap politik negara kita. Pertama prestasi BN boleh dikatakan sedang merosot kerana terlalu banyak kes yang tidak mungkin boleh meyakinkan rakyat bagaimana ia wajar diberi peluang lagi untuk memerintah selepas 53 tahun sarat dengan rekod buruknya – khasnya yang melibatkan keruntuhan tiang seri atau institusi demokratik seperti lembaga polis, kehakiman, SPRM, SPR, Parlimen dan Pejabat Peguam Negara.

Keduanya kos untuk hidup selesa semakin meningkat bagi golongan bawahan mahupun pertengahan. Lebih daripada setengah penduduk negara adalah dalam kategori pendapatan rendah. Kos hidup akibat inflasi dan tingginya kos utiliti seperti elektrik, harga makanan, tol dan minyak petrol sebenarnya membawa kepada rendahnya mutu hidup rakyat. Rakyat dalam kategori berpendapatan rendah dan sederhana tidak mungkin boleh membeli rumah di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Johor Bahru kerana harga kos rumah sudah melambung dan di luar kemampuan rakyat biasa untuk memilikinya.

Pengenalan GST nanti akan memburukan lagi keadaan walaupun kerajaan BN ingin membawa negara ke status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Agensi kerajaan 'mendera personaliti'

Peristiwa-peristiwa yang mengkaitkan pada badan-badan berkenaan sepanjang 53 tahun dahulu atau sepanjang dua setengah tahun selepas PRU12 menunjukkan bahawa adalah jelas sekali kesemua badan itu tidak lagi mempamerkan kebebasan mereka. Mereka bertindak tetapi cenderung memilih bulu. Contoh terbaik ialah badan-badan itu lebih condong mendera personaliti daripada Pakatan.

Pemerintah BN jarang sekali menjejaki kes besar yang melibatkan berbilion-bilion ringgit wang rakyat akibat angkara daripada personaliti BN, jika ada pun kes itu tidak ke mana melainkan pada tahap akhirnya diputuskan sebagai kes berkenaan masih tidak mencukupi bukti kukuh untuk menghukumi mereka yang bertanggungjawab. BN akan bertindak ke atas kes-kes kecil tetapi akan menggambarkannya bagaikan ia bertindak tidak memilih kasih.

Kes besar misalnya bagaimana pada era pemerintahan Mahathir dulu yang melibatkan ketirisan berbilion-bilion ringgit atau pada zaman pemerintahan Abdullah Badawi yang jumlah ketirisan bagi kedua pemerintahan itu melenyapkan sebanyak RM350 bilion. Ketirisan di sini bermaksud amalan kegiatan rasuah dan salah urus tadbir dalam melaksanakan pelbagai projek pembangunan negara.

Rakyat disedarkan melalui pelbagai wahana ICT semasa oleh mereka daripada kalangan pembangkang akan skandal-skandal mega. Sekian hari sekian ramai rakyat yang sedar, khasnya yang hidup di persekitaran kota, dan dengan kesedaran ini akan diterjemahkan kepada undi bagi pihak Pakatan.

Bagaimanapun BN akan terus bersikap menafikan lalu mengguna jentera pemerintah sama ada akhbar atau media arus perdana miliknya untuk memomokkan dakwaan daripada Pakatan. Perang psikologi ini akan berteruskan saban hari dan akan memuncak sehingga PRU13 nanti. Setiap hari akhbar Utusan Malaysia, Berita Harian, RTM, TV3, TV7 dan Awani akan mencanang pelbagai cerita bertujuan memburukkan kredibiliti dan potensi Pakatan bak secara langsung atau tak langsung.

Dicekik kerajaan pusat

Pakatan juga sedar bahawa ia mempunyai idea ke hadapan bagi mentadbir negara tetapi sedar juga bahawa untuk mentadbir negara ia tidak lagi mempunyai pengalaman sewajarnya seperti BN. BN kaya pengalaman dalam hal ehwal mengurus kegiatan rasuah tingkat tinggi.

Inilah satu kekurangan yang menonjol daripada PR. Pengalaman PR memerintah di empat buah negeri penuh dengan kesulitan sehingga tidak mungkin dapat memenuhi janji-janji muluk yang dibuat sebelum dapat memerintah dahulu, apatah lagi bantuan kewangan daripada pusat ke negeri-negeri berkenaan tidak berjalan begitu lancar. Kekurangan dana boleh menjejaskan perjalanan program untuk rakyat.

Bukan itu saja, malahan masalah dalaman sama ada yang benar berlaku atau direkayasa oleh BN selalu tersiar di akhbar dan perkara sebegini juga akan mempengaruhi persepsi rakyat dalam proses membuang undi pada PRU13 nanti.

Apakah rakyat dapat menerima dan masih boleh bersabar dengan kerenah Pakatan yang memerintah di empat buah negeri itu. Pakatan telah mengadakan beberapa konvensyen dan mengeluarkan dasar yang amat progresif bagi menangani pentadbiran negara.

Apakah mesej itu sudah disebarluaskan? Mesej itu menghimbau rakyat kembali kepada amalan dan keluhuran undang-undang dan menuju kepada kecermerlangan dan kedaulatan rakyat. Jika sudah, besar kemungkinan Putrajaya adalah milik Pakatan pada PRU13 nanti.

BN pula kerjanya asyik hendak menampal kebocoran yang sedang berlaku pada kapal BN dengan lembaga-lembaga yang disebutkan tadi.

BN harus bekerja keras untuk mendapatkan jumlah kerusi Parlimen seperti pada tahun 2004 dulu iaitu 109 bagi Umno, tidak seperti 79 kerusi buat ketika ini. Mendapatkan semula kerusi sebanyak itu bukanlah satu usaha yang mudah dalam tempoh terdekat ini. Harus diingat jumlah pengundi muda semakin meningkat dan anak muda pun sulit hendak menerima konsep 'Ketuanan Melayu' ala Umno. Ketuanan Melayu adalah pegangan dan akidah politik Umno.

Parti rakannya seperti MCA, MIC, PPP dan Gerakan kini dalam krisis, meskipun skala keseriusan adalah berbeda-beda. Tetapi tetap akan memberi kesan negatif kepada bakal pengundi nanti.

Tampaknya jika Pakatan boleh memantapkan perpaduan dan ikatan yang lebih, maka sulit BN akan dapat menggekalkan status quonya.

Kita tidak tahu apa lagi taktik paling kotor atau hodoh yang akan digunakan oleh BN untuk meruntuhkan Pakatan. Kes 'Liwat kedua' Anwar Ibrahim adalah jijik bagi orang yang simpati pada BN mahupun Pakatan dan kes sejumlah RM350 bilion yang hangus di bawah pemerintahan Abdulllah Badawi dan Mahathir Mohamad dulu adalah tidak kurang jijiknya pada rakyat jelata. Jadi bagaimana perhitungan rakyat?

Memilih BN atau PR? Banyak negara di dunia telah mengalami pertukaran parti pemerintah dalam apa jua sistem 'demokrasi' kecuali segelintir saja yang masih menggekalkan parti sejak mereka merdeka seperti China, Singapura, Cuba dan Brunei.

Negara seperti Indonesia, Korea Selatan, Thailand, Sepanyol, Amerika Syarikat, New Zealand, United Kingdom dan banyak lagi di negara Amerika Latin mahupun di Eropah telah mengalami pertukaran parti untuk memerintah dari masa ke semasa.

Malaysia, jangan pula menjadi sebuah negara terakhir untuk mengalami pertukaran parti, maknanya BN akan selama-lamanya memerintah Malaysia.

Pengusaha baik pulih penghawa dingin ditemui dalam kumbahan

Posted: 31 Dec 2010 03:30 AM PST

KAJANG, 31 Dis – Misteri kehilangan seorang pengusaha baik pulih penghawa dingin sejak 7 November lepas terjawab apabila beberapa anggota badannya termasuk tengkorak dan lengan ditemui dalam kolam kumbahan di Taman Pasir Mas, Sungai Chua di sini pagi ini, lapor Bernama.

Menurut polis mayat Liew Kuan Mang, 29, ditemui pagi ini berikutan penemuan bahagian badan dari paras pinggang lelaki itu hingga paras buku lali oleh pekerja-pekerja Indah Water yang sedang melakukan rondaan dan pembersihan kolam kumbahan itu pukul kira-kira pukul 2.30 petang semalam.

"Pekerja yang menemui telefon bimbit, dompet berisi wang dan kad pengenalan lelaki itu di dalam poket seluarnya, terus membuat laporan kepada polis, sebelum gerakan mencari anggota badan lain mangsa diteruskan pagi ini," kata satu sumber.

Kehilangan Kuan Mang sejak bulan lepas pernah dilaporkan oleh bapanya, Liew Tin Soon, 66, kepada Pengerusi Biro Aduan Awam MCA Datuk Michael Chong.

Michael Chong sebelum ini mendedahkan Kuan Mang yang belum berkahwin, hilang selepas memasuki tandas sebuah restoran berdekatan rumahnya di Kajang selepas pulang dari kelab malam berhampiran Menara Berkembar Petronas (KLCC) bersama sama rakan-rakannya, kira-kira pukul 2 pagi.

Michael Chong berkata sebelum itu Kuan Mang bersama rakan-rakannya dikatakan bergaduh dengan seorang 'bouncer' kelab malam berkenaan, dan tiga rakannya yang terbabit dengan pergaduhan pada malam itu cedera dan menerima rawatan di sebuah hospital berdekatan.

Sementara itu, bapa Kuan Mang yang ditemui berhampiran dengan kolam kumbahan itu enggan ditemuramah.

Tinjauan Bernama mendapati gerakan mencari anggota badan lain masih giat dijalankan oleh kira-kira 20 anggota termasuk dari Bahagian Forensik Polis, Bomba dan Penyelamat serta Indah Water.

-Bernama-

Kenderaan yang menghalang malam ini akan ditunda – polis

Posted: 31 Dec 2010 03:15 AM PST

KUALA LUMPUR, 31 Dis - Polis mengingatkan orang ramai yang mahu menyaksian sambutan ambang tahun baru di sekitar ibu kota malam ini supaya meletakkan kenderaan di tempat yang sepatutnya.

Ini kerana pihak polis akan menunda kenderaan yang diletakkan sesuka hati termasuk di bahu jalan dan menghalang lalu lintas, kata Ketua Trafik Kuala Lumpur, ACP Rusli Mohd Noor.

"Kalau yang menghalang kita akan tunda. Saya ingatkan mereka yang ingin menyambut ambang tahun baru malam ini supaya meletakkan kenderaan di tempat yang sepatutnya.

"Tindakan ini adalah bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas di bandar raya," katanya ketika dihubungi Bernama.

Rusli turut mengingatkan orang ramai supaya menggunakan pengangkutan awam seperti transit aliran ringan (LRT) bagi mengelak mereka daripada terperangkap dalam kesesakan ketika hendak pulang ke rumah selepas sambutan.

"Saya nasihatkan kepada orang ramai supaya meletakkan kenderaan di kawasan LRT dan seumpanya sekiranya boleh, kerana selain membantu mengurangkan kesesakan pada malam ini, ia juga akan memudahkan mereka pulang ke rumah selepas sambutan itu," katanya.

-Bernama

Dr Xavier sangkal Kuil Sivan ditutup kerana arahan Anwar

Posted: 31 Dec 2010 03:00 AM PST

SHAH ALAM, 31 Dis - Exco Selangor, Dr Xavier Jayakumar menjelaskan Kuil Sivan, Bukit Gasing terpaksa ditutup sementara bagi memberi laluan membaik pulih cerun untuk mengelakkan sebarang malapetaka di kawasan itu.

Kenyataan ini sekali gus menyangkal dakwaan N Gobalakrishnan menuduh Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan penutupan kuil tersebut.

Sehubungan dengan itu, kerajaan Selangor akan memberi penjelasan terbuka secepat mungkin kepada penduduk kaum Hindu di kawasan itu mengenai perkara tersebut.

"Pihak kuil telah bersetuju membelanjakan RM1.4 juta untuk membaik pulih cerun dengan kerjasama juruteraKumpulan Ikram Sdn Bhd. Ada berlaku tanah runtuh di kawasan itu baru- baru ini," jelas beliau pada sidang media di Ibu Pejabat Parti KEADILAN Rakyat (KEADILAN) petang semalam.

Kata Xavier, pembinaan kuil Sivan telahpun berjalan sebelum kerajaan Pakatan Rakyat (Pakatan) mengambil alih Selangor.

Menurut beliau, kuil tersebut dibina di tapak hutan simpan tanpa kelulusan, namun setelah perbincangan kerajaan negeri membenarkan projek diteruskan.

Namun setelah pemeriksaan, jurutera mendapati pembinaan kuil tersebut tidak menepati spesifikasi jurutera selain berisiko tinggi berlaku tanah runtuh.

Justeru katanya, kerajaan Selangor terpaksa memberhentikan pembinaan demi keselamatan umum.

"Setelah laporan dikeluarkan, kita mendapati perlu ada kerja membaikpulih cerun dan kerja ubahsuai perlu diberhentikan. Kita halang orang ramai memasuki kuil.

"Penjelasan kepada penduduk akan dibuat secepat mungkin berhubung kawasan itu dan kita berharap dapat menyelesaikan perkara ini. Kita perlu pastikan keselamatan awam sebelum ia dibuka kepada umum," jelas beliau.

Umno kurang pemimpin, Najib kekal Pengerusi Umno Selangor

Posted: 31 Dec 2010 02:30 AM PST

SHAH ALAM, 31 Dis – Kesudian Najib untuk terus menjawat jawatan Pengerusi Umno di Selangor bukanlah satu penghargaan tetapi lebih kepada penghinaan terhadap kepimpinan Umno Selangor.

Menurut Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, perlantikan ini menunjukkan parti tersebut berada dalam keadaan goyah sehingga menyebabkan tiada pimpinan baru yang layak bagi menerajui Umno Selangor.

"Ia merupakan pengiktirafan akan kegagalan pemimpin-pemimpin Umno di negeri Selangor ini untuk memainkan satu peranan yang boleh meyakinkan pimpinan Umno peringkat pusat, ianya sepatutnya dilihat sebagai satu penghinaan terhadap Umno selangor itu sendiri.

"Ini menunjukkan betapa Umno Selangor sekarang berada dalam keadaan kucar-kacir sehingga tidak ada kepimpinan yang boleh diketengahkan oleh Najib sendiri," jelasnya.

Tambah Khalid lagi, beliau yakin ini merupakan satu lagi taktik kotor Umno yang ingin menakluk Selangor semula seperti yang dilakukan terhadap negeri Perak sebelum ini.

"Ini merupakan satu petanda bahawa Umno hendak rampas kuasa di negeri Selangor dalam apa jua cara sekali pun, dia nak ulangi apa yang berlaku di Perak," katanya.

Khalid membuat kenyataan selepas Ketua Umno Bahagian Subang, Datuk Muhammad Bushro Mat Johor yang menyifatkan kesudian Najib terus menjawat jawatan sebagai Pengerusi Umno Selangor merupakan satu penghargaan kepada Umno Selangor.

Guan Eng hails footballers as example for Penang

Posted: 31 Dec 2010 02:00 AM PST

By Yow Hong Chieh

KUALA LUMPUR, Dec 31 — Penang must "embrace the future" like the national football side and develop human capital to transform itself into an international city, the state's chief minister has said.

Taking note of Malaysia's historic AFF Suzuki Cup win, Lim Guan Eng said Penang should emulate the achievements of the national side to become truly competitive regionally.

Malaysia beat Indonesia 4-2 on aggregate in the AFF Suzuki Cup 2010 final held in Kuala Lumpur and Jakarta earlier this week.

"2010 ended with a bang when our Malaysian football players made us all proud by winning the AFF Suzuki Cup for the first time in 21 years," Lim said in his New Year's Day message today.

"All Malaysians are proud of our football success because we have beaten our international neighbours. We do not want to be seen as jaguh kampongs but as international champions in the Asean region."

The DAP secretary-general said the Penang government will formulate policies to encourage innovation and harness local entrepreneurship so that the resource-shy state could "join the race to the top".

"Penang has no choice but to be an intelligent city centred on high technology, high-value added and knowledge-intensive economy," he said.

"As a state without any natural resources, we need to build up our human capital by training, retraining, retaining and attracting new human talents."

Lim, however, also stressed that Penang had to compete internationally with dignity and respect and urged locals to see diversity as a strength rather than a source of weakness.

He said this had been recognised by Unesco when the UN body awarded George Town World Heritage City status in 2008.

"All Penangites are proud that our common heritage has achieved international recognition. We must not allow lies to blind us to the truth that we are all bonded by blood, driven by shared values of diversity and tested by time," he said.

Islam tak larang senamrobik di kawasan masjid, kata Nik Aziz

Posted: 31 Dec 2010 01:30 AM PST

KOTA BARU, 31 Dis — Islam tidak melarang sebarang kegiatan termasuk senamrobik dilakukan dalam kawasan masjid asalkan kegiatan itu tidak bercanggah dengan syariat Islam, kata Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menteri Besar Kelantan itu berkata tidak menjadi masalah untuk melakukan kegiatan di luar atau dalam masjid sama ada oleh orang Islam atau bukan Islam.

"Adalah tidak salah dalam Islam pihak tertentu mengadakan kegiatan dalamrumah ibadah orang Islam, kerana zaman Nabi Muhammad s.a.w dahulupun, ada orang kafir masuk (kawasan) masjid kerana ia menjadi pusat segala kegiatan termasuk politik," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Dataran Ilmu, di sini hari ini.

Dipetik Bernama, beliau mengulas tindakan Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching yang masuk ke pekarangan Masjid Taman Cheras Jaya, Balakong, Selangor, kononnya dengan memakai baju ketat semasa melakukan senamrobik bersama jemaah masjid itu, yang disifatkan tidak menghormati rumah suci itu.

Menurut Nik Aziz, soal Ahli Parlimen itu berpakaian tidak sopan atau tidak menutup aurat, adalah perkara kedua yang perlu diperbetulkan.

"Yang pasti kita kena beritahu mereka perkara-perkara yang ditegah agama ketika berada dalam masjid . . . kena beritahu kaedah dan pantang larang dari segi Islam sebelum seseorang itu memasuki masjid," katanya.

Kemelut SUK: Selangor menuju krisis perlembagaan, kata pakar

Posted: 31 Dec 2010 01:00 AM PST

Oleh G Manimaran dan Shazwan Mustafa Kamal

KUALA LUMPUR, 31 Dis — Pelantikan kontroversi Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri dilihat menuju krisis perlembagaan jika istiadat mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor, yang dijadual untuk diadakan 6 Januari ini, diteruskan, kata pakar-pakar perundangan dan perlembagaan.

Pakar-pakar perlembagaan berhujah upacara Khamis depan itu sebagai "tidak sah" memandangkan perlembagaan negeri menyebut bahawa upacara seumpama itu perlu dilaksanakan di hadapan Menteri Besar bukannya Sultan Selangor.

Kerajaan negeri Selangor sebelum ini menegaskan ia mempunyai kata putus dalam menentukan calon Setiausaha Kerajaan Negeri selepas Sultan Selangor memberi perkenan kepada nama yang disyorkan Putrajaya untuk melantik Khusrin.

Pentadbiran Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim juga dikatakan telah mempersembahkan tiga nama untuk pertimbangan Sultan Selangor bagi mengetuai perkhidmatan negeri yang paling kaya itu.

Sedangkan Khalid menganggap pelantikan itu belum muktamad tetapi Istana Selangor menegaskan, keputusan melantik Khusrin yang akan berkuat kuasa esok adalah muktamad.

Khalid yang bercadang untuk menghadap Sultan Selangor Rabu lalu tetapi terpaksa menangguhkan hasrat beliau sebab baginda bercuti sehingga awal minggu depan.

Difahamkan Datuk Ramli Mahmud yang akan bersara sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Mac depan juga pernah mengangkat sumpah di hadapan Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Mac 2006 ketika negeri itu ditadbir oleh Barisan Nasional (BN).

Ini kali pertama seorang Setiausaha Kerajaan Negeri dilantik selepas Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri pada Mac 2008.

Peguam veteran Karpal Singh berkata, perkembangan ini boleh membawa kepada krisis perlembagaan kerana ia tidak selari dengan perlembagaan negeri.

"Sultan perlu mendapatkan nasihat perundangan daripada penasihat undang-undang negeri sebelum majlis angkat sumpah diteruskan.

"Dalam perkara-perkara macam ini, Sultan bertindak atas nasihat Eksekutif, Tuanku tidak boleh bertindak sendirian.

"Perkara yang dikhuatiri ialah jika majlis itu diadakan, ia boleh diisytihar sebagai tidak sah oleh mahkamah," kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Sehubungan itu kata beliau, langkah tersebut bercanggah dengan perlembagaan negeri memandangkan ia tidak tertakluk kepada Undang-undang Tubuh Selangor.

"Perlembagaan negeri tidak membenarkan perkara ini . . . tetapi saya berharap ini tidak berlaku, itu sebabnya Sultan perlu berhati-hati sebelum meneruskan perkara ini," kata beliau lagi.

Karpal juga berkata, beliau juga secara peribadi telah diminta oleh Khalid agar melihat aspek itu dari sudut kesahihan perundangan.

"Saya sebenarnya sedang lihat pada aspek perundangan sekarang. Saya diminta membantu bagi pihak Menteri Besar," kata wakil rakyat DAP itu.

"Tindakan Sultan (menyempurnakan majlis angkat sumpah) boleh dibawa ke mahkamah," kata Karpal.

Artikel 52(4) perlembagaan negeri Selangor menyebut bahawa Setiausaha Kerajaan Negeri perlu menyempurnakan majlis angkat sumpah kerahsiaan tugas di hadapan Menteri Besar.

Tiada sebutan mengenai majlis angkat sumpah di hadapan Sultan Selangor.

Dalam pada itu, pakar perlembagaan Prof A Aziz Bari juga menyifatkan majlis angkat sumpah di hadapan Sultan Selangor sebagai "amalan baru" yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Pada pengetahuan dan pengalaman saya ini kali pertama majlis angkat seumpama diadakan, walaupun saya berpendapat ia hanya satu majlis rasmi semata-mata dan tidak diperlukan," kata beliau.

Menurut beliau, tiada peruntukan dalam perlembagaan negeri Selangor yang memerlukan pegawai-pegawai kanan negeri mengangkat sumpah di hadapan Sultan.

Sehubungan itu beliau juga melihat perkembangan tersebut akan membawa implikasi baru dalam politik negara ini dan kesan ke atas negeri-negeri lain.

"Ia seolah-olah sesuatu yang tidak dibolehkan mula diguna pakai dalam keadaan tertentu, macam Speaker DUN tiada kuasa mengambil tindakan ke atas ahli dewan sebagaimana disaksikan di Perak dulu, tetapi di Parlimen Speaker dikatakan boleh," katanya yang melahirkan rasa hairan dengan perkembangan semasa.

Setiausaha Sulit kepada Menteri Besar Selangor Faekah Husin mengesahkan Pejabat Menteri Besar menerima jemputan majlis angkat sumpah tiga hari lalu.

"Surat undangan diterima dua tiga hari yang lalu," kata beliau ketika dihubungi, yang turut mengesahkan majlis angkat sumpah kerahsian tugas perlu disempurnakan oleh seseorang Setiausaha Kerajaan Negeri di hadapan Menteri Besar.

Khalid juga membayangkan beliau tidak akan menerima Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru.

"Itu peruntukan dalam perlembagaan negeri," katanya lagi.

Ketika majlis solat hajat di kediamannya di Shah Alam malam tadi, Menteri Besar Selangor menekankan, beliau ada opsyen untuk tidak menerima Khusrin dengan tidak memberikan persetujuan bagi majlis angkat kerahsiaan.

"Jika Khusrin tidak mengangkat sumpah kerahsiaan di hadapan Menteri Besar, maka beliau tidak boleh menyempurnakan tugas sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri sepenuhnya.

"Beliau tidak boleh hadir mesyuarat Exco Kerajaan Negeri atau ada kuasa untuk akses dokumen-dokumen rahsia kerajaan. Sudah pasti beliau akan bertindak sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri atas nama bukan dari segi tugas dan tanggungjawab.

"Menteri Besar membayangkan ini opsyen yang Selangor ada, tidak membenarkan Setiausaha Kerajaan Negeri angkat sumpah," kata Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad kepada The Malaysian Insider hari ini.

Beliau antara mereka yang hadir pada majlis malam tadi di mana Menteri Besar Selangor membuat kenyataan terbuka buat kali pertama.

Kelmarin, kerajaan negeri Selangor menyangkal dakwaan Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, bahawa ia lewat menghantar senarai calon untuk mengisi jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Faekah berkata tidak ada peruntukan yang menyatakan bahawa pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri perlu dibuat dalam tempoh masa tertentu.

Beliau berkata, kerajaan negeri mengadakan proses pemilihan bagi jawatan tersebut pada 27 November lepas dengan menubuhkan sebuah panel temu duga sejajar dengan nota amalan.

"Panel Pemilihan telah menyenarai pendek calon-calon (bagi mengisi jawatan Setiausaha Kerajaan) dan Menteri Besar pada 17 Disember lepas mempersembahkan nama-nama tersebut untuk pertimbangan Sultan Selangor.

"Meskipun penubuhan panel ini bukanlan satu kemestian, Kerajaan Selangor mahu menyemai satu tatacara yang baik yang mana pelantikan jawatan tinggi perlu melalui proses telus, bebas dan bertanggungjawab.

"Menteri Besar tidak mahu menggunakan kuasa penentu untuk memilih pegawai tinggi kerajaan," kata Faekah.

Khalid sebelum ini dilaporkan berkata pelantikan Khusrin, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru belum muktamad kerana beliau tidak pernah dimaklumkan mengenainya.

Kenyataan itu dikeluarkan ekoran pengumuman pelantikan Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri berkuat kuasa esok oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Terima kasih Rajagobal, terima kasih Harimau Malaysia

Posted: 31 Dec 2010 12:30 AM PST

KUALA LUMPUR, 31 Dis — Ramai pasti tidak lupa detik-detik ketika Hassan Sani melorongkan bola kepada James Wong yang merembat masuk gol kemenangan Malaysia 2-1 ke atas Korea Selatan pada pusingan kelayakan Sukan Olimpik di Stadium Merdeka pada 1980.

Seluruh negara melonjak gembira.

Perasaan itu dirasai semula malam kelmarin, selepas 30 tahun.

Bola sepak Malaysia begitu disegani di Asia pada era 1950-an, kemudiannya ketika era legenda Mokhtar Dahari, R. Arumugam, Soh Chin Aun dan Santokh Singh.

Selepas kemenangan gandingan James Wong-Hassan Sani, bola sepak negara mulai merudum pada 1990-an dan awal 2000-an.

Ia tampak bangkit semula Disember tahun lepas apabila skuad negara memenangi pingat emas Sukan SEA di Vientiane, Laos. Kejayaan memenangi Piala AFF Suzuki 2010 selepas mengalahkan Indonesia dengan agregat 4-2 mengesahkan Malaysia jaguh sebenar bola sepak Asia Tenggara.

Malah pasukan yang sama juga mencipta kejutan apabila menewaskan Korea Selatan 1-0 tahun ini.

Pujian kepada jurulatih tempatan, K. Rajagobal, 54, yang mula menjadi jurulatih kebangsaan bawah 23 tahun sejak April 2009.

Skuad bimbingannya telah berjaya "mengajak" penyokong bola sepak supaya memenuhi semula Stadium Nasional di Bukit Jalil. Buat pertama kalinya Stadium Nasional dipenuhi 85,000 penonton bola sepak semasa perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF Ahad lepas.

Tidak mustahil penyokong negara beramai-ramai mengibarkan Jalur Gemilang di Stadium Gelora Bung Karno jika tidak wujud keraguan terhadap keselamatan di Jakarta Rabu lepas.

Kali terakhir Stadium Nasional padat dengan kebanjiran penonton ialah ketika perlawanan persahabatan skuad kebangsaan menentang pasukan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United FC pada 18 Julai 2009.

Lebih bermakna kejayaan Malaysia kali ini apabila skuad kebangsaan terdiri daripada anak jati Malaysia.

Selepas mengambil alih jawatan jurulatih kebangsaan daripada B. Sathianathan, Rajagobal telah membuat kenyataan bahawa beliau meminta tempoh tiga tahun untuk membentuk skuad yang mampu mengembalikan keagungan bola sepak negara.

Semasa Sukan Asia 2010 di Guangzhou baru-baru ini, skuad negara yang menghadapi masalah kecederaan turut membuat kejutan apabila berjaya melayakkan diri ke pusingan kedua meskipun terpaksa akur apabila dibelasah Iran 1-3.

Selepas beraksi di Sukan Asia, skuad "Harimau Malaysia" cuma berehat seminggu sebelum menyambung latihan bagi mempersiapkan diri untuk kejohanan bola sepak Piala Suzuki.

Rajagobal, yang memegang lesen A Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), pernah melatih pasukan Selangor pada tahun 2000 dengan membawa pasukan tersebut menjuarai Liga Perdana Satu, separuh akhir Piala Malaysia dan Suku Akhir Piala FA.

Selain itu, beliau juga pernah membawa Kelantan sehingga peringkat separuh akhir pada musim 2001/2002 Piala Malaysia sebelum dilantik sebagai ketua jurulatih skuad bawah 21 tahun kebangsaan dari tahun 2003 hingga 2009.

Rajagobal pernah berkata tiga aspek penting jika mahu kembali disegani di peringkat Asia Tenggara ialah pembangunan pemain peringkat akar umbi, pembangunan jurulatih dan Liga Malaysia sendiri perlu menghasilkan pemain-pemain yang berpotensi.

"Saya tahu dan seluruh rakyat tahu bahawa ia merupakan satu perkara yang tidak mudah tetapi saya akan cuba memberikan yang terbaik dan bersikap realistik," katanya selepas dilantik tahun lepas.

Beliau berkata ketiadaan pemain import merupakan peluang terbaik bagi pemain tempatan untuk menonjolkan prestasi masing-masing.

Rajagobal dikenali sebagai seorang yang peramah dan merendah diri tetapi tetap tegas ketika berada di atas padang mengendalikan sesi latihan buat anak didiknya.

Sebagai bekas pemain kebangsaan, beliau dikenali sebagai seorang "nippy striker" yang pernah bermain bersama pemain legenda negara, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari lewat zaman 1970-an.

Ketika itu, beliau bermain untuk pasukan PKNS FC dalam liga semi-pro negara dari tahun 1978 hingga 1989.

Kejayaan Rajagobal dan skuad Harimaunya kini menyemarakkan semangat Malaysia melangkah ke tahun baru dengan lebih yakin untuk mencatat lebih banyak kejayaan.

Terima kasih Rajagobal. Terima kasih Harimau Malaysia. — Bernama

Lima hilang selepas bot nelayan tenggelam di Kuantan

Posted: 31 Dec 2010 12:00 AM PST

KUANTAN, 31 Dis — Lima nelayan hilang selepas bot pukat tunda mereka tenggelam di 15 batu Nautika tenggara dari Tanjung Gelang di sini pada 9 pagi semalam.

Ketua Penguatkuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Kuantan Kapten Maritim Abdul Aziz Idrus berkata bot nelayan pukat tunda kelas C berkenaan dipercayai keluar untuk menangkap ikan dari Jeti Nelayan Batu 3 di sini, pada petang Rabu lepas.

Beliau berkata bot nelayan berkenaan membawa empat nelayan warga Thailand yang dikendalikan oleh seorang tekong warga tempatan dikenali sebagai Chuk Luck.

"Bagaimanapun, kami menerima laporan mengenai kejadian itu pada 2 petang semalam sebelum kapal KM Lang bersama 24 pegawai tiba di lokasi kejadian 40 minit kemudian," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat turut melibatkan Pasukan Gerakan Marin dan Kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Perak.

Abdul Aziz berkata pasukan mencari dan menyelamat kemudian berjaya menemui bot nelayan terbabit dalam keadaan hanya bahagian hadapan bot yang masih timbul kira-kira 5 petang.

Namun, katanya awak-awak dan tekong bot berkenaan gagal ditemui.

Beliau berkata ketika kejadian, ketinggian ombak dilaporkan mencecah 3.5 meter manakala kelajuan angin 20 hingga 40 kilometer sejam.

"Operasi mencari dan menyelamat akan diteruskan sehingga 7 petang ini dan akan disambung semula pagi esok jika nelayan berkenaan masih belum dijumpai," katanya.

Bot sepanjang 18.12 meter dan lebar 5.7 meter itu kini ditarik oleh beberapa bot nelayan lain ke pantai. — Bernama

Tiada ulasan: