Ahad, 26 Disember 2010

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Tragedi bas ragut nyawa ke-28

Posted: 26 Dec 2010 03:30 PM PST

IPOH - Mangsa nahas bas persiaran yang terlibat dalam kemalangan ngeri di Kilometer 15, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini pada Isnin lalu kini bertambah kepada 28 orang apabila seorang lagi mangsa, Darunee Songserm (gambar kecil) meninggal dunia semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Azisman Alias berkata, Darunee, 59, atau Dariah Ismail menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 2.26 petang setelah seminggu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

"Dia mengalami kecederaan parah di kepala dan dada telah diletakkan dalam pemerhatian di ICU hospital tersebut sejak Isnin lalu," katanya kepada Kosmo! semalam.

Azisman berkata, dua lagi mangsa nahas warga Thailand iaitu Somchai Polanan, 63, dan Achara Wiwati, 36, masih dirawat di ICU hospital tersebut dan keadaan mereka juga agak kritikal.

Piala AFF-Suzuki 2010 : Malaysia tewaskan Indonesia 3-0

Posted: 26 Dec 2010 03:03 PM PST

KUALA LUMPUR, 27 Dis - Skuad 'Harimau Malaya' berjaya menewaskan Indonesia dengan kemenangan selesa 3-0 pada perlawanan akhir pertama Piala AFF-Suzuki 2010 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.

Mohd Safee Mohd Sali menjadi wira Negara apabila berjaya menyumbang dua gol pada minit ke-59 dan 71, manakala gol ketiga hasil jaringan Mohamad Ansari Samsudin pada minit ke-67.

Beraksi di hadapan kira-kira 85,000 penonton, anak didik K.Rajagobal itu nyata sedikit selesa dengan agregat gol yang besar bagi membawa mereka kepada perlawanan terakhir di gelanggang skuad 'Garuda' itu nanti.

Pada 29 Disember ini Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta, Indonesia pula bakal menyaksikan perlawanan timbal balik akhir bagi menentukan kejuaraan piala tersebut musim ini.

Khalid Samad: 1Malaysia hanya untuk kepentingan Umno

Posted: 26 Dec 2010 02:00 PM PST

SHA ALAM, 26 Dis – Kenyataan 1 Malaysia bukan alat politik oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terus dibidas oleh pimpinan Pakatan Rakyat.

Terbaru Ahli Lajnah Politik PAS, Khalid Samad menegaskan 1 Malaysia itu hanya untuk kepentingan politik Umno walaupun umum mengetahui apa yang diperjuangkan oleh parti itu sendiri sehingga mengabaikan kaum lain di negara ini.

"Ia memanglah dilakukan atas dasar kepentingan politik Umno-BN apabila ia nampak ekstrem dari segi persoalan perkauman ini. Lalu timbul persoalan formula 1 Malaysia ini seolah nak hilangkan isu perkauman yang diperjuangkan selama ini maka ia dikemukakan atas kepentingan politik," katanya.

Semalam Najib mendakwa 1 Malaysia tidak mempunyai tujuan politik tetapi adalah untuk menyatukan masyarakat berbilang kaum di negara ini bagi menjawab keputusan Kerajaan Selangor mengharamkan penggunaan logo 1 Malaysia kecuali untuk tujuan perniagaan.

Turut menyanggah kenyataan Najib ialah Penasihat DAP Lim Kit Siang katanya, hakikatnya keadaan dalam negara ini makin teruk sejak pengenalan slogan 1 Malaysia, rakyat didahulukan pencapaian diutamakan kerana ia hanya bersifat retorik semata.

Menurut Lim retorik mengenai perkauman, ektremisme dan penindasan kaum yang bertentangan dengan prinsip 1 Malaysia datang dari Umno sendiri sehingga timbul persoalan mengenai komitmen dan keikhlasan Najib dalam mengamalkan 1 Malaysia yang sebenar.

Sentimen ini turut dikongsi oleh Khalid yang berpendapat Umno-BN sememangnya tidak mampu membawa konsep kesatuan kaum kerana mereka sendiri tidak dapat bersatu dan hanya memperjuangkan kaum masing-masing.

"Dari sudut itu yang dipertikaikan ialah sejauh mana BN boleh melaksanakan atau menghayati wawasan itu sedangkan kita lihat mereka ini terdiri dari parti komponen setiap kaum yang memperjuangkan kepentingan kaum mereka sendiri. Maka falsafah BN itu sendiri bercanggah dengan semangat 1 Malaysia itu," ujarnya.

Justeru, Khalid berpendapat dasar 1 Malaysia ini hanya merugikan Najib dan Umno-BN sendiri.

Beliau yakin rakyat dapat menilai bagaimana perbezaan penghayatan keadilan dan kesamaan kaum sebenar Pakatan Rakyat dan retorik 1 Malaysia Umno-BN.

"Bila mereka menonjolkan dasar seperti ini, ia sekali lagi senjata makan tuan. Ia dikemukakan atas kepentingan politik BN dan akhirnya ia akan menikam balik Umno-BN," katanya.

Papa Gomo Tergomol! Fitnah Zina Adun Terbongkar! Taik Papa

Posted: 26 Dec 2010 06:45 AM PST

Pihak team kami sebenarnya malas nak ambil port berkaitan isu fitnah zina sorang adun. Kami dah tahu kalau la papa gomo yang dedahkan, tak lain tak bukan mengarut dan untuk naikan rating blog saje.

Sekarang isu fitnah dibongkar. Ceh macam dalam cerita filem pulak kan. Terima kasih kepada kawan-kawan yang sama menelanjangkan papa gomo dengan ustaz saidi yang menjadi pengarah dan pelakon rasanya la. Kesian tengok paper Utusan Malaysia yang dok ulas isu ni. Kesian! Bila la rakyt Malaysia akan keluar daripada kepompong suapan fitnah dari puak laknat yang menyebarkan fitnah ini!

Anda boleh baca sendiri pendedahan di blog sahabat, Pria Malaya. Sekarang team Kerabu Bersuara tengah meraikan kemenangan pasukan Harimau Malaya dulu.

sila baca pendedahan tersebut


http://ruangbicarapriamalaya.blogspot.com/2010/12/bongkar-sandiwara-papa-gomo-nadi-rakyat.html

Dua anggota polis ditahan disyaki pukul seorang lelaki

Posted: 26 Dec 2010 05:30 AM PST

KUALA LUMPUR, 26 Dis – Dua anggota polis, dipercayai memukul seorang lelaki yang ditahan semasa sekatan jalan raya kerana disyaki membawa dadah Sabtu lepas, ditahan hari ini, lapor Bernama.

Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata kedua-dua anggota berpangkat konstabel serta berumur 25 dan 27 tahun dari Balai Polis Kota Damansara itu ditahan selepas kawad cam oleh lelaki berkenaan semalam.

"Dalam kawad cam itu, enam orang telah dibuat kawad cam dan dari jumlah itu, dua telah ditahan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Beliau berkata sebelum itu, satu pasukan khas ditubuhkan bagi menyiasat laporan yang dibuat mangsa berhubung kejadian tersebut.

"Polis melihat kes ini adalah serius dan wujudnya penyalahgunaan kuasa di kalangan anggota polis, dan tiada sebarang diskriminasi jika mereka bersalah," katanya.

Bagaimanapun, Tun Hisan berkata siasatan mendapati terdapat elemen palsu dalam laporan polis lelaki tersebut.

"Selepas itu, satu laporan telah dibuat oleh pasukan itu tentang laporan lelaki tersebut yang dipercayai mempunyai elemen palsu.

"Seramai 20 orang telah direkodkan percakapannya, termasuk doktor yang menjalankan pemeriksaan terhadap lelaki itu, polis yang ditahan serta orang awam," katanya.

Beliau berkata penahanan kedua anggota polis yang berkhidmat selama empat tahun itu bukan bermakna mereka bersalah tetapi bagi membantu siasatan, dan mereka akan ditahan reman mulai esok.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan," katanya.

Sabtu lepas, seorang lelaki mendakwa dipukul beberapa anggota polis ketika ditahan dalam sekatan jalan raya di Petaling Jaya Utara kerana disyaki membawa dadah, dan wangnya sebanyak RM13,000 telah diambil anggota polis tersebut.

1Malaysia Yang Menyatukan Masyarakat. Islam Najib Letak Mana?

Posted: 26 Dec 2010 04:54 AM PST

1Malaysia bukan propaganda politik menggelikan, kata pegawai MB Selangor

KUALA LUMPUR: Kenyataan Perdana Menteri (PM) bahawa slogan 1Malaysia bukan alat propaganda politik BN tetapi wadah penyatuan membina masyarakat amat menggelikan hati, kata Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin

Beliau berkata, sebaiknya PM (Datuk Seri Najib Tun Razak) mengarahkan syarikat yang membolot kontrak mencetak kain rentang dan banting slogan ini menarik balik semula kain rentang dan banting yang telah mereka cetak dan pasang.

Jika tidak, katanya ia akan menunjukkan PM menipu dalam terang.

"Rakyat melihat dengan jelas bagaimana lambang BN terpapar pada setiap banting yang dipasang.

"Gambar PM yang jauh lebih besar dari jalur gemilang juga menjengkelkan mata.

"Nasihat saya baik tarik semula sebelum diketawakan anak-anak.

"Apapun, isu yang lebih penting yang PM atau TPM harus jelaskan kepada rakyat ialah; jika benar ia adalah alat penyatuan dan bukan propaganda UMNO-BN mengapa perkara ini tidak pernah dibincang dan dibahaskan dalam parlimen?

"Mengapa ia tidak dimasukkan di dalam bajet Negara sedangkan bayaran bagi menghasilkan slogan "indah" ini mencecah RM100 juta.

"Mengapa hanya setelah Ketua Pembangkang membangkitkan perkara ini dengan kaitan kepada penglibatan APCO barulah Parlimen membahaskannya?

"Itupun bukan untuk membahaskan kewujudannya, bayaran ke atasnya, mahupun matlamat mewujudkannya tetapi mahu menghukum Ketua Pembangkang kerana mengetengahkannya," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Faekah berkata, sebarang perkara untuk kebaikan rakyat majmuk di Negara ini khusus perpaduan, pasti mendapat sokongan hatta dari Ahli Parlimen pembangkang.

Namun persoalannya, ini tidak di lakukan dan seluruh proses kewujudan 1Malaysia ini cuba dirahsiakan.

Elizabeth: Hanya iklan bisnes dilarang guna logo 1Malaysia

Posted: 26 Dec 2010 02:30 AM PST

SHAH ALAM – 26 Dis – Larangan penggunaan logo 1 Malaysia di negeri Selangor adalah sah tetapi ia terpakai ke atas iklan-iklan komersil, kata Exco Kerajaan Negeri Elizabeth Wong.

Memetik laporan The Malaysian Insider Elizabeth berkata, kerajaan negeri mempertahankan langkah pengerusi jawatankuasa pihak berkuasa tempatan Ronnie Liu yang memutuskan larangan logo 1 Malaysia pada papan-papan iklan.

Katanya, peraturan pihak berkuasa tempatan sudah pun dikuatkuasakan sejak 2007 ketika Selangor masih diterajui Barisan Nasional (BN), dan oleh itu, ia bukan sesuatu yang baru sebagaimana disangkakan sesetengah pihak.

Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri pada pilihan raya umum Mac 2008. Wong juga mendedahkan kerajaan negeri telah mengeluarkan arahan kepada pihak berkuasa tempatan agar tidak membenarkan logo 1 Malaysia pada papan-papan iklan bisnes bulan lalu.

"Di bawah peraturan kecil, logo mana-mana parti tidak dibenarkan pada iklan perniagaan. Ia seperti membenarkan logo PKR pada syarikat elektronik Ahmad, kita tidak boleh berbuat demikian.

"Kami boleh benarkannya jika ia membabitkan program kerajaan yang bersifat berkecuali. Tetapi kita semua tahu bahawa logo 1 Malaysia sinonim dengan Barisan Nasional, malah ia digunakan ketika pilihan raya kecil (termasuk Hulu Selangor April lalu)," kata beliau.

Bagaimanapun BN masih boleh menaikkan bunting yang membawa logo 1 Malaysia atau simbol parti di negeri itu memandangkan ia satu perkara yang sangat berbeza.

"Mereka masih boleh menggunakan logo 1 Malaysia atau BN pada bunting untuk tujuan ceramah atau perjumpaan perayaan seperti Tahun Baru, Krismas. Anda bayar untuk penggunaan bunting di bawah (kategori) pengiklanan politik. Wujud perbezaan yang jelas," katanya lagi.

"Point di sini ialah peraturan kecil terpakai pada logo politik pada iklan-iklan bisnes dan ruang niaga bisnes.

"Malah Rocket Cafe, pada satu tahap, (tindakan) mereka juga bercanggah dengan peraturan kecil dan mereka telah dimaklumkan mengenainya. Jadi, ini terpakai kepada semua parti," jelasnya.

Elizabeth mengakui bahawa wujud sedikit kekeliruan mengenai butiran larangan itu.

Ini kerana katanya, Ronnie Liu tidak mengambil tindakan sewajarnya untuk menjelaskan perkara tersebut.

"Jika orang ramai tahu bahawa ia hanya terpakai kepada iklan bisnes, tidak harus wujud keliruan sangat dalam isu ini," kata beliau.

Awal pagi ini, Exco Kanan Kerajaan Negeri Selangor bagi pelaburan, industri dan perdagangan, Teresa Kok berkata, pemimpin-pemimpin kanan negeri akan bertemu minggu depan untuk membincangkan isu itu.

"Saya tidak mahu mengulas kerana Exco Kerajaan Negeri belum bertemu lagi dan membincangkan perkara ini. Kami akan bertemu minggu pertama bulan depan untuk membincangkan perkara ini dan lihat apa yang perlu dilakukan," kata beliau selepas menghadiri majlis sambutan.

PAS tegur Ali suka berhutang

Posted: 26 Dec 2010 02:00 AM PST

Ahmad Danial

MELAKA, 26 Dis: Ahli Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka, Ramli Dalip membidas sikap kerajaan negeri Melaka yang suka berhutang bagi menjalankan projek-projek pembangunan di negeri ini.

Ramli berkata, kerajaan negeri sepatutnya tidak menjalankan projek-projek mega kerana hasil negeri tidak dapat menampung hutang yang telah meningkat dari RM441.76 juta pada 2008 kepada RM587.3 juta pada tahun 2009.

"Semua projek besar kerajaan negeri ditampung dengan pinjaman dari kerajaan pusat dan ianya tidak dapat dijelaskan oleh kerajaan negeri sehingga hutang negeri meningkat dari sehari ke sehari.

"Ternyata kerajaan negeri hanya pandai menjalankan projek pembangunan tetapi tidak pandai mencari dana sendiri untuk membiayai projek-projek teresebut, malah lebih malang lagi projek-projek tersebut tidak berdaya maju sehingga sesetengahnya menanggung kerugian bernilai jutaan ringgit," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Ramli, banyak projek-projek mega yang tidak sepatutnya dijalankan antaranya projek monorel, Eye On Malaysia, Litar Go-Kart dan lain-lain yang kesemuanya menemui kegagalan.

Ramli berkata demikian ketika diminta komen tentang kenyataan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dalam media 2 hari lepas di mana menurutnya Melaka memerlukan RM2 bilion lagi muncul sebagai negeri bandar yang pertama di negara ini.

Ali dilaporkan berkata, berkata wang RM2 bilion itu diperlukan untuk membina jalan 4 lorong menghubungkan Melaka dengan Johor dan Negeri Sembilan.

"Kita pun tidak faham apa maksud negeri bandar yang dinyatakan oleh Ali. Sama seperti kita tidak faham tentang apakah benar Melaka Negeri Maju 2010 sedangkan EACD sendiri tidak mengiktirafnya.

"Apakah Ali mahu menipu rakyat Malaysia dan Melaka sekali lagi sepertimana beliau menipu tentang status Melaka Maju 2010?" soal Ramli.

Nampaknya, kata beliau, ketua menteri itu tidak serik-serik untuk berhutang lagi dengan kerajaan pusat walaupun hutang negeri Melaka seperti dalam laporan Ketua Audit Negara 2009 telah mencecahkan RM500 juta lebih.

Katanya, memang jelas kerajaan negeri Melaka hanya pandai berhutang tetapi tidak tahu membayarnya kerana apa yang penting bagi mereka ialah projek banyak maka ianya menguntung orang tertentu.

Negara tidak bankrap laksana tawaran 100 Hari

Posted: 26 Dec 2010 01:30 AM PST

Fakhri Ali

SEBERANG JAYA, 26 Dis: Negara tidak akan bankrap sekiranya Pakatan Rakyat (PR) melaksanakan apa yang telah dipersetujui dalam Konvensyen Pakatan Rakyat (PR) ke-2, baru-baru ini.

Begitu juga dengan cadangan untuk memansuhkan tol serta pembayaran kepada para pendidik.

"10 janji yang dinyatakan oleh PR bukannya satu retorik politik. Ia juga bukannya omongan kosong yang akan memufliskan negara. Apa yang kita nyatakan adalah hasil dari perkiraan dan congak yang telah dilakukan oleh kepimpinan sebelum ianya dijadikan sebagai satu matlamat untuk dicapai sekiranya PR berjaya memerintah negara.

"Sepatutnya Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak harus merasa gentar dengan janji yang kita buat sebagai sebuah kerajaan yang akan memerintah negara sekiranya berjaya memenangai pilihan raya umum yang akan datang, " demikian dinyatakan oleh Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Ng Wei Aik semasa berucap di pentas Anak Muda Keadilan Pulau Pinang, semalam.

Katanya lagi, dakwaan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa negara akan muflis sekiranya apa yang dicadangkan oleh PR dalam janji 100 hari itu dilaksanakan juga merupakan lemparan dakwaan yang meleset.

Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Komtar berkata, negara akan bertambah bankrap sekiranya sokongan terus diberikan kepada BN untuk memerintah negara.

Katanya, dengan kuasa yang ada pada BN maka rasuah akan berleluasa, korup dan penyelewengan akan bertambah parah.

Rakyat, tambahnya akan menjadi mangsa apabila harga barangan dinaikkan hasil dari tindakan pemimpin BN yang tidak cekap mentadbir negara.

"Selama ini pun kita telah merasai bagaimana kenaikan harga barangan keperluan yang memberi kesengsaraan kepada rakyat dalam jangkamasa panjang.

"Sekiranya kita tidak mahu kuasa disalahgunakan oleh BN yang memimpin, maka rakyat mesti yakin dan mengubah sokongan mereka secara drastik kepada PR, " tegasnya lagi.

Hadir bersama dalam majlis tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari dan Ketua AMK Pulau Pinang, Amir Ghazali.

Ketuanan Melayu: Konsep pendidikan Islam tidak tercapai

Posted: 26 Dec 2010 01:00 AM PST

Ismail Hashim

SHAH ALAM, 26 Dis: Wajib berlaku reformasi dalam semua hal kehidupan bagi menjayakan transformasi dalam sistem pendidikan demi agama dan negara, tegas Pengerusi Sekretariat Majlis Ulama Asia Tenggara (Shura), Ustaz Abdul Ghani Samsudin.

Menurutnya, isu pendidikan Islam menjadi lebih baik, diakui dan dipertingkatkan pelaksanaannya jika semua ahli politik negara ini cuba dan boleh memahami konsep pendidikan tersebut.

Beliau berkata demikian ketika bercakap dalam wacana bertajuk Transformasi Pendidikan: Realiti, Globalisasi dan Harapan bersama Timbalan Presiden Wadah Pencerdasan Umat, Dr Mohd Nor Manuty, Timbalan Naib Cancelor HEP Unisel, Prof Madya Dr Zainal Abidin Kidam.

Wacana ini dijalankan sebagai acara pertama dalam Konvensyen Pendidikan Islam Malaysia 2010 anjuran Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor dengan kerjasama Lajnah Pendidikan PAS Pusat, di sini bermula semalam hingga petang nanti.

"Bagaimana mungkin konsep pendidikan Islam ini dapat digapai matlamatnya jika kedapatan ramai pemimpin negara yang hanya mengagungkan ketuanan Melayu sahaja.

"Kerana itu, pendidikan Islam hanya akan berjaya bila adanya kepimpinan negara memahami Islam, perundangan dan media Islami yang menaikkan imej tokoh-tokoh yang berkecimpung dalam perjuangan pendidikan Islam.

"Lebih dari itu, transformasi pendidikan Islam hanya akan bermula dan berjaya dengan berlakunya reformasi dalam semua hal terutama politik, perundangan dan kepolisan," tegasnya.

Dalam hal ini, Ustaz Abdul Ghani menarik perhatian hadirin dengan menukilkan sepotong ayat Al-Quran bererti Tidak akan berjaya orang yang mengambil air laut dengan jari tangan terbuka untuk menggapainya ke muka kerana usaha dan impian tidak sama.

Justeru, jelasnya, kesatuan fikir mesti diseimbangkan terlebih dahulu dalam kalangan semua pihak kerana tanpanya, hasrat reformasi pendidikan Islam tidak akan berjaya apatah lagi jika ada yang hanya perjuangkan ketuanan tertentu.

Reformasi umat dan transformasi rakyat terutama dalam bidang politik, tambahnya, bakal menghasilkan kesan positif kepada sistem pendidikan negara.

Persatuan Peniaga Indonesia beri tiket percuma

Posted: 26 Dec 2010 12:30 AM PST

KUALA LUMPUR: Sebahagian warga Indonesia yang tinggal di Malaysia telah membeli tiket untuk dibahagikan secara percuma kepada penyokong mereka untuk ke Stadium Bukit Jalil malam ini.

Malaysia menentang Indonesia dalam final pertama Piala AFF.

Sebanyak 15, 000 tiket diperuntukan kepada penyokong Indonesia.

Pemberian tiket percuma itu dicetuskan oleh Persatuan Peniaga lndonesia di Malaysia.

"Sebanyak 120 keping tiket telah kami beli dengan harga RM30 satu, Alhamdulillah semuanya telah dibahagikan," kata ketua persatuan, Hotman Wangi.

Dianggarkan ada lebih sejuta warga Indonesia berada di Malaysia dan separuh tinggal di Lembah Kelang.

Penyokong Indonesia dan Malaysia diberikan akses masuk dan tempat parkir berbeda di Stadium Bukit Jalil.

Penyokong Indonesia diberikan akses masuk melalui Pintu Biru dan Pintu Ungu. Mereka diberikan lokasi parkir di zon D dan zon E.

Sementara itu, penyokong l Malaysia diberikan akses masuk melalui Pintu Merah, Pintu Hijau, dan Pintu Kuning. Mereka diberikan lokasi parkir di zon A, B, dan C.

Bas ekspres dua tingkat terbabas, enam cedera

Posted: 26 Dec 2010 12:15 AM PST

TEMERLOH, 26 Dis – Satu kemalangan berlaku awal pagi tadi membabitkan sebuah bas ekspres dua tingkat yang terbabas di KM363, Jalan Raub-Bentong mengakibatkan enam cedera manakala dua lagi mangsa patah tulang rusuk.

Ketua Polis Daerah Raub Supt Wan Mohd Samsuddin Wan Osman berkata dalam kejadian kira-kira 5.30 pagi itu, bas ekspres Mahligai berkenaan sedang dalam perjalanan dari Kota Baharu, Kelantan ke Kuala Lumpur dengan membawa 39 penumpang.

Beliau berkata, setibanya di tempat kejadian, bas terbabit dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke tebing bukit berdekatan.

Katanya penumpang yang mengalami patah tulang rusuk dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh sementara empat lagi penumpang menerima rawatan di Hospital Raub.

"Penumpang selebihnya tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya hasil ujian air kencing yang dijalankan ke atas pemandu bas mendapatinya bebas dadah.

Sekolah bermula, ibu bapa pening kepala

Posted: 26 Dec 2010 12:00 AM PST

Oleh Nazli Ibrahim

PETALING JAYA: Perbelanjaan persekolahan untuk tahun 2011 yang dikatakan terdapat peningkatan berbanding tahun sebelumnya menggusarkan para ibu bapa khususnya bagi berpendapatan rendah.

Rata-rata ibu bapa di dua buah sekolah rendah dan menengah di Damansara Damai yang ditemui di perkarangan sekolah ketika membeli buku sekolah mengeluh apabila ditanya tentang perbelanjaan untuk memulakan persekolahan penggal 2011 berikutan peningkatan perbelanjaan persekolahan berbanding tahun sudah.

Seorang bapa yang hanya mahu dikenali sebagai Salam, 38 tahun, berkata perbelanjaan buku sekolah untuk dua anak beliau yang bersekolah rendah dan seorang yang bersekolah menengah dianggarkan kira-kira RM700.

"Belanja untuk buku sekolah sahaja lebih kurang RM600 hingga RM700 tidak termasuk pakaian sekolah dan peralatan lain. Mungkin saya terpaksa membeli dua kali sebab gaji saya kecil tak boleh nak beli semua sekaligus," kata beliau.

Beliau turut menunjukan senarai buku-buku untuk murid darjah lima dan memberitahu terdapat pertambahan jumlah buku yang perlu dibeli yang terdapat di ruang senarai buku wajib dibeli yang dikeluarkan oleh pihak sekolah itu.

"Contohnya dalam senarai buku untuk murid darjah lima ini, tahun 2010 anak saya yang di darjah lima, jumlah keseluruhannya lebih kurang RM150 tetapi untuk tahun 2011 adiknya pula yang masuk darjah lima hampir RM170.

"Itu semua jumlah buku yang diwajibkan beli. Tetapi bila saya periksa buku-buku anak saya sewaktu penggal persekolahan berjalan tidak pula semua buku digunakan oleh guru yang mengajar.

"Sepatutnya buku-buku yang tidak digunakan oleh pihak sekolah diletakkan di bahagian 'buku pilihan' supaya ibu bapa boleh menggunakan budi bicara mereka sendiri untuk beri latihan di rumah atau mengikut kemampuan mereka," katanya yang mengaku memperolehi pendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan.

Sementara itu, Siti Mariam Ithnin, 40 tahun memberitahu, pemotongan yuran sekolah yang diumumkan oleh Kementerian Pelajaran tahun lalu tidak memberi banyak kesan kepada perbelanjaan persekolahan anak-anaknya.

"Walaupun Kementerian Pelajaran ada memberikan pemotongan yuran sekolah tapi jumlah potongan itu sangat kecil, kalau tak silap RM5.00 sahaja dan tak beri apa-apa kesan pun.

"Pada masa yang sama pula pihak sekolah mengenakan bermacam-macam yuran lain hinggakan yuran penyelenggaraan tandas. Mungkin kalau ibu bapa yang berpendapatan tinggi tak terasa tapi bagaimana orang-orang seperti kami?," katanya lagi yang mempunyai anak bersekolah di darjah tiga,enam dan tingkatan tiga.

Sementara itu, Nik Alimat, 34 tahun, pula mempersoalkan tindakan pihak sekolah yang enggan menerima buku-buku latihan yang dibeli di luar sekolah hanya disebabkan perbezaan pada kulit buku yang tidak mempunyai logo Jabatan Pelajaran negeri.

"Sudahlah harga petrol dan barang-barang lain naik, belanja persekolahan juga bertambah. Apa yang saya hairan ialah adanya buku-buku latihan tidak dibenarkan dibeli di luar yang harganya lebih murah cuma disebabkan sedikit perbezaan tertentu seperti logo kementerian di kulit buku.

"Ada kena-mengenakah atau sebarang kepentingankah pihak pejabat pelajaran dengan pihak pengeluar buku-buku ini sehingga mewajibkan buku-buku syarikat tertentu ini sahaja dibeli?

"Padahal orang seperti saya yang cuma kerja kilang dengan gaji rendah tentulah nak berjimat dengan membeli yang buku yang lebih murahnya tapi isinya masih sama. Lagipun buku-buku latihan memang banyak dijual di luar dengan harga lebih murah," ujar beliau.

Ulama UMNO Bakar Kapal

Posted: 25 Dec 2010 06:04 PM PST

Saya bukan orang politik. Bukan aktivis mana-mana parti. Saya seorang rakyat yang memerhati perkembangan pemikiran Islam dalam negara ini. Artikel ini akan menyebut istilah ulama UMNO atau ulama pro-UMNO. Walaupun istilah ini umum, namun saya mengecualikan mereka yang ikhlas dan tidak bersikap seperti yang disebutkan nanti.

Saya tidak faham mengapakah Umno kebelakangan ini suka berkeras mengambil pandangan-pandangan agama yang bersifat perkauman dan amat konservatif.

Dulu mereka lebelkan PAS demikian. Namun hari ini apabila PAS mula membuka ufuknya, melihat Islam dalam kerangka yang lebih luas, Umno pula yang cuba kembali ke zaman ortodoks tersebut.

Ya, memang masih ada dalam PAS sendiri kelompok yang 'ala ulama Umno' hari ini, yang juga mengurung diri dengan pandangan-pandangan yang agak konservatif dan menolak keluasan ijtihad.

Namun suara pembaharuan dan keterbukaan jelas kedengaran dalam PAS. Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat tidak lagi bersendirian dengan pandangan-pandangan pembaharuannya.

Pelik, sebagai pemerintah mengapa Umno menerima pandangan-pandangan yang sempit itu. Padahal pandangan-pandangan itu hanyalah tafsiran 'kurang luas' golongan konservatif agama, atau satu ijtihad yang boleh untuk dilihat atau dibandingkan dengan ijtihad yang lain.

Apakah kerana Umno merasakan bahawa mereka hanya mampu bernafas dalam iklim yang kurang 'oksigen keluasan ijtihad' atau hanya gas perkauman dan fahaman 'sempit' agama sahaja yang mampu menghidupkan Umno.

Atau, apakah ulama-ulama pro-Umno hanya mampu bernafas selagi parti itu dikurangkan oksigen keluasan berfikir? Atau, apakah Umno melihat rupa paras Islam dalamnya hanya mampu dilihat jika ia bersifat keras dan sokongan Melayu pun akan datang kepadanya dengan membakar isu-isu tersebut?

Dimanakah keserasian wajah 1 Malaysia Perdana Menteri dengan pendekatan Islam Umno hari ini?

Sebagai pemerintah bagi sebuah negara yang berbilang bangsa dan agama, oksigen keluasan ijtihad diperlukan oleh Umno. Mengapakah Umno menerima pendapat-pendapat yang menajamkan salah faham terhadap Islam di negara ini.

Dulu Umno menolak pihak yang membangkitkan tuduhan 300 ribu orang Melayu murtad serta menuduh individu dan institusi itu dan ini sebagai pusat Kristian.

Hari ini pendapat pihak seperti tersebut diterima pakai. Bahkan beliau dijadikan perlambangan ulama pro-Umno. Atau memang Umno kini berminat dengan perdekatan yang sifatkan media antarabangsa sebagai 'ala-ala Taliban'?

Segala tudingan Umno dahulu kepada PAS sebagai pembawa Islam sempit dan jumud, hari ini PAS hampir dapat membebaskan diri dan imejnya seumpama itu sedangkan sebaliknya Umno pula yang memakai seragam kejumudan dan kesempitan tersebut.

Peguam bukan Islam

Lihat, isu peguam bukan Islam di Mahkamah Syariah. Media-media Umno membesar-besarkan isu ini seakan ia akan memusnah orang Islam.

Diambil pendapat pihak yang menyatakan bahawa itu akan mengelirukan umat Islam dan mengancam Islam. Saya ditanya oleh Utusan Malaysia, namun apabila saya beri pendapat yang berbeza, ia tidak disiarkan.

Isu itu boleh memberikan gambaran salah kepada bukan Islam, dan juga generasi baru Muslim mengenai Islam.

Bagaimanakah mungkin, universiti rasmi kerajaan UIAM memberikan sijil yang sah dalam bidang tersebut kepada peguam berkenaan, tetapi kerajaan yang sama menyatakan ia tidak boleh digunapakai?

Apakah ini secocok dengan keadilan Islam?

Kedua, bayangkan dalam sebuah negara Islam sepenuhnya yang hanya bertunjangkan Mahkamah Ssyariah, tiba-tiba kita beritahu bukan Islam tidak boleh menjadi peguam!

Apakah dalam negara yang berbilang agama ini, mereka akan pandang tinggi tentang konsep keadilan di mahkamah yang bersifat Islam seperti itu?

Peguam ialah pembela. Sesiapa sahaja boleh membela tertuduh di mahkamah Islam. Yahudi pernah menang kes menentang Saidina 'Ali dalam pertikaian baju besi.

Pada zaman Nabi SAW dan al-Khulafa al-Rasyidin, tiada sistem guaman secara rasmi. Seseorang boleh menuntut keadilan dengan hujah-hujahnya di hadapan hakim. Untuk membela atau berhujah, sesiapa pun boleh berhujah.

Penentunya, sistem kehakiman itu sendiri, bukan peguam. Di zaman kini lebih jelas. Undang-undang telah dienakmenkan. Ia bertulis dan setiap pihak terikat dengan undang-undang bertulis itu.

Sesiapa sahaja yang berhujah, sama ada Islam atau bukan Islam, mereka terikat dengan hal tersebut. Hakim akan menentukannya secara adil. Keadilan sebenar dapat diperolehi jika hakim adil.

Setiap pihak berhak membela diri, dan berhak meminta sesiapa sahaja yang mampu membelanya. Keadilan itu buta warna kulit dan jenis agama.

Islam yang seperti itulah patut digambarkan jika kita ingin menuju kepada Islamisasi negara yang sebenar. Jika ada beberapa peruntukan undang-undang yang kurang sesuai dalam masyarakat yang rencam ini maka ia perlu diubah.

Cara Umno mengendalikan isu tersebut, mengelirukan bukan Islam!

Jika tidak mahu benarkan, mengapa dia diizinkan melalui pengajian dan menghabiskan masa untuk itu, kemudian dimaklumkan 'sijil awak tidak laku'.

Ulama pro-Umno bising. Menariknya, apabila ada orang yang ditahan tanpa diberikan hak perbicaraan, mereka diam! Tidakkah ini mengelirukan Islam dan bukan Islam?

Jika ini tidak diubah, Islam di negara ini terus menjadi defensive, takut pada bayang-bayang sendiri dan gagal memahamkan bukan Islam tentang keindahan Islam.

Lebih 50 tahun Umno memerintah, generasi baru bukan Islam bertambah prejudis dengan Islam yang dibawa oleh Umno. Golongan muda Islam juga demikian.

Agama dijadikan senjata permusuhan, bukan lagi rahmat yang menimbulkan kedamaian dan keyakinan rakyat kepada keindahan Islam.

Jika tanpa pendakwah-pendakwah dan tokoh-tokoh yang ikhlas menjelaskan tentang hakikat Islam sebenar, tentu bukan Islam bertambah prejudis kepada Islam.

Generasi Islam yang terpelajar juga akan mula mempersoalkan Islam seperti ini.

Isu kalimah Allah

Isu kalimah Allah juga demikian. Ulama pro-Umno, termasuk 'ala Umno' yang berada dalam PAS membakar rakyat awam dengan isu ini.

Sehingga ada ulama pro-Umno yang cuba mengkafirkan orang lain dalam isu nama Allah tersebut. Tidak cukup dengan 300 ribu yang dimurtadkan dulu, ditambah pula ahli politik yang cuba dijadikan murtad baru.

Semuanya kerana tafsiran yang sempit. Padahal, isu itu boleh diselesaikan dengan adil dan saksama. Diraikan hak agama lain dan dibuat beberapa peraturan untuk ketenteraman awam. Saya sendiri telah menggaris panduan dalam media. Bukan Islam ramai yang setuju.

Namun, ada yang cuba bermain sentimen rakyat yang kurang faham.

Media Umno pula hanya menerang pendapat sebelah pihak. Namun sekarang apabila melihat kekalahan di Sibu yang membabitkan penduduk Kristian, Umno mula gelisah. Apakah Umno akan meminta fatwa baru dari 'mufti' yang setia berkhidmat itu?

Isu masuk masjid

Isu bukan Islam tidak boleh masuk ke dalam masjid juga dipopularkan oleh media Umno. Padahal larangan bukan Islam masuk masjid hanya salah satu pendapat dalam kalangan ulama.

Ulama hadis ramai berpendapat sebaliknya. Ini disebabkan hadis-hadis menunjukkan bukan Islam pada zaman Nabi SAW masuk ke dalam masjid dan mempelajari Islam.

Jsuteru, di zaman kini yang banyak salahfaham terhadap Islam, mereka lebih patut dibenarkan masuk.

Cumanya, letakkan beberapa peraturan atas asas siyasah syar'iyyah (islamic administration). Namun, jika apabila dikemukakan pendapat bahawa bukan Islam boleh masuk ke masjid, bangkitlah ulama-ulama pro-Umno dengan fatwa-fatwa ketat dan seakan hendak berjihad mempertahankannya.

Malang sekali, apabila timbul isu judi bolasepak, tidak pula mereka berani lantang dan tegas. Tidakkah ini mengelirukan? Apa tidaknya, apabila bukan Islam hendak masuk masjid dihalang, tapi apabila diberikan keizinan berjudi didiamkan!

Isu Sebat

Isu sebat tiba-tiba muncul. Dulu Umno sensitif dengan hudud. Dalam persekitaran yang ada, saya juga fikir PAS tidak perlu menegaskan isu hudud. PAS sejak dulu patut angkat isu keadilan seperti mereka lakukan sekarang.

Keadilan itulah objektif. Hudud adalah mekanisma yang boleh diselaraskan apabila keadaan wajar.

Hukum yang baik untuk tempat yang sesuai. Sama seperti wanita yang baik untuk lelaki yang baik. Jika wanita yang baik dikahwinkan dengan lelaki yang jahat, kepincangan akan berlaku.

Demikianlah hudud. Saya telah beri pandangan dalam masalah ini.

Tapi kini, tidak semena-mena tanpa mukadimah yang jelas agar rakyat faham, Umno mencanangkan isu sebat Kartika dan tiga wanita di Wilayah Persekutuan.

Menurut laporan media, mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria kata sesiapa hina hukum sebat murtad kerana ia hukum Allah. Namun, apabila Sultan Pahang batalkan hukuman, beliau berkata itu hak Sultan.

Saya telah beri pandangan dalam kes ini, boleh rujuk laman web saya. Keajaiban ulama dalam media Umno!

Perarakan Maulid

Apabila Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat kata perarakan maulid bukan galakan agama, media Umno dan ulama pro-Umno membuat ulasan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng diserang. Walaupun saya ketika itu menulis dalam Mingguan Malaysia, saya memberikan pandangan yang berbeza.

Artikel saya 'Melayu dan Mamak Penang' boleh dirujuk. Media Umno jadikan seakan isu itu benteng Melayu-Islam di Malaysia.

Di Kelantan, lebai entah dari mana datangnya, pun menulis di Mingguan Malaysia kononnya Nik Aziz - Wahabi disebabkan isu-isu seperti ini.

Bisinglah mereka. Malangnya, media dan ulama pro-Umno tidak pula bising keruntuhan moral muda-muda Melayu-Islam saban tahun disebabkan perhimpunan pesta sambutan tahun baru yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin politik!

Inilah ulama yang pro-Umno sekarang. Apakah mereka ini dapat menarik perhatian generasi baharu Islam dan bukan Islam kepada Islam?

Barah

Banyak lagi isu lain jika hendak disebutkan yang membabitkan ulama dalam Umno.

Saya bukan anti-Umno tetapi inilah realitinya. Saya ramai sahabat dalam Umno. Kepimpinan Umno bermula dari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sehingga ke lapisan bawah, ramai yang baik dengan saya. Tapi ini realiti. Kritikan saya untuk semua. Kali ini khas untuk Umno.

1 Malaysia yang dicanangkan oleh Najib akan tenggelam dibakar oleh pemikiran sempit dan berkepentingan oleh sesetengah ulama Umno ini.

Malang sekali, di kala rakyat Malaysia mula bersikap terbuka, memahami Islam dari kerangkanya yang luas, menelaah ijtihad yang berbagai dan bersedia untuk berhujah secara matang, Umno memilih fatwa atau pandangan yang kian sempit dan berkepentingan.

Dunia sudah terbuka disebabkan media baru, Umno cuba kembali ke zaman selepas kemerdekaan.

PAS yang dahulunya dilihat kolot, mula dipenuhi dengan tokoh-tokoh politik Islam yang kian matang dan mampu mengadaptasi Islam dalam lakarannya yang luas. Pada masa yang sama Umno sedang kerumuni oleh sesetengah mereka yang 'narrow-minded' dan melihat Islam dalam kerangka perkauman.

Bolehkah 1 Malaysia tajaan Perdana Menteri berjaya jika ini terus berlaku. Generasi muda Islam dan bukan Islam telah jauh ke hadapan meninggalkan kesempitan ini. Islam dalam kerangkanya yang lebih universal akan mengambil tempat.

Ulama Umno sebenarnya sedang membakar kapal sendiri dan menenggelamkannya. Perdana Menteri, patut menilai semula agenda 1 Malaysia!

Dr Asri Zainal Abidin
* Tersiar dalam Malaysiakini pada 28 Mei 2010.

Bertenang ketika di Tenang

Posted: 25 Dec 2010 05:00 PM PST

Bertenang ketika di Tenang (Mingguan Malaysia 26 Disember 2010)

Tarikh pilihan raya kecil DUN Tenang telah diketahui. DUN Tenang mengandungi 49.66% Melayu, 38.13% Cina, 12.11% India , 0.10% lain-lain. UMNO mendapat majoriti 5517 tahun 2004 dan majoritinya menurun kepada 2492 pada tahun 2008, dengan makna sokongan terhadap UMNO merosot. Pada pengamatan saya, pilihan raya kecil ini adalah cerminan kepada pilihan raya umum akan datang, sebab nisbahnya hampir mewakili kedudukan sebenar penduduk Malaysia, antara Islam dan bukan Islam. Majoriti yang dimenangi amat penting dalam menentukan lanskap politik negara, walaupun semua ini belum boleh dimuktamadkan.

PAS dilihat tidak mempunyai masalah untuk menentukan calon. Mereka akan akur kepada keputusan pucuk pimpinan, tanpa ada undi protes. Inilah kelebihan PAS yang turut diakui oleh Karpal Singh dan parti lawan. Ahlinya setia dan istiqamah. Jarang kedengaran wakil rakyatnya melompat parti berbanding parti-parti politik yang lain. Terus terang, antara PAS dan UMNO, ahli-ahli PAS dilihat lebih komited dan bersatu. Walaupun bilangan ahlinya tidak seramai UMNO, kuantiti bukanlah penentu ukuran kejayaan, tetapi adalah kualitinya.

Seringkali apabila berlaku pilihan raya, penentuan calon adalah sesuatu perkara yang amat sukar bagi parti lain sebab masing-masing mahu jadi calon. Ada yang sudah mula melobi apabila mendengar sahaja DUN atau Parlimen akan dikosongkan, sama ada disebabkan oleh kematian atau meletak jawatan. Kadangkala kita lihat ketika wakil rakyat itu sedang sakit atau nazak, lobi-melobi sudah bermula. Semua mahu jadi wakil rakyat kerana di situ ada kuasa. Kuasa boleh mendapatkan banyak perkara, terutama tiga ta, wanita, takhta dan harta.

Lebih malang lagi, calon yang tidak terpilih biasanya akan memberontak, sama ada tidak turun mengundi, atau mengundi parti lain atau mungkin juga mempengaruhi pengikut-pengikutnya melakukan tindakan yang sama. Akibatnya, undi pecah. Jika menangpun, majoritinya tidak banyak. Tidak mustahil juga akan kalah. Budaya sebegini amat tidak sihat dan perlu dibenteras dalam program transformasi yang sedang diusahakan Perdana Menteri.

Dahulu, orang takut menjadi pemimpin, sebab mereka tahu bahawa memimpin itu adalah satu tanggungjawab dan amanah yang akan disoal oleh Allah Swt. Sebagai respon, rakyat selalu mendoakan pemimpin atau wakil rakyat mereka supaya sentiasa sihat dan panjang umur. Kini, keadaan mula berubah. Semua berlumba-lumba mahu jadi pemimpin, tanpa mengira kelayakan, bakat dan kebolehan. Golongan cerdik pandai sukar untuk mendapat tempat kerana telah dicantas sejak awal-awal lagi.

Mungkin ada benarnya kata-kata, rakyat hari ini mula mendoakan wakil rakyatnya cepat mati, kerana dengan kematian itu akan berlaku pilihan raya kecil dan hajat untuk dicalonkan sebagai wakil rakyat mungkin tercapai. Bagi rakyat marhaen pula, lain pula keseronokannya, kerana mendapat berbagai peruntukan seperti jalan raya dan rumah baharu. Pendek kata, dengan adanya pilihan raya, lanskap atau keadaan sesuatu kawasan berubah serta-merta. Tidak kira sama ada kawasan tersebut di bawah BN atau PR.

Inilah budaya pemikiran pandir atau politik pandir yang masih berlaku dalam budaya politik negara kita seperti yang diungkapkan oleh Syed Hussin Al-attas. Perkara sebegini jarang berlaku di negara maju. Mereka yang ingin menjadi pemimpin, mesti membuktikan bahawa mereka benar-benar boleh memimpin. Jika tidak, mereka mereka akan ditinggalkan dalam arus perdana.

Justeru, kita lihat pemimpin negara maju mengamalkan sikap begitu mulia, jika terpilih jadi pemimpin, Alhamdulillah. Tidak terpilih, bersangka baik dan tidak khianat. Malah, terus berusaha memperkasakan parti demi untuk agama, bangsa dan negara. Itulah bahasa yang mudah diungkapkan, walaupun semua negara maju adalah bukan negara Islam. Tetapi nilai-nilai Islam dapat dilihat di sana. Nilai-nilai inilah yang menjadikan mereka cepat maju. Berbanding dengan negara-negara Islam yang masih ketinggalan. Nama saja Islam, akhlak entah ke mana, hidup penuh khianat, tipu daya dan pura-pura. Pahit juga untuk membuat generalisasi sedemikian, tetapi itulah hakikatnya.

Senario yang disebutkan perlu menjadi ingatan kepada kita dalam menikmati suasana tenang di DUN Tenang dalam sebuah negara yang tenang. UMNO (BN) tidak boleh terlalu yakin dengan kemenangan sebelum ini kerana Pakatan Rakyat (PR) juga mempunyai keyakinan yang sama, apatah lagi setelah berakhir konvensyen mereka baru-baru ini. Ternyata parti ultra kiasu telah mengubah strateginya. Kalau dahulu, mereka begitu elergi dengan negara Islam PAS, kali ini rentaknya sudah berubah, mereka mahukan penyelesaian. Apakah konsep negara Islam PAS akan diterima?

Menurut Profesor Aziz Bari, isu negara Islam tidak termasuk dalam Dasar Bersama Pakatan Rakyat selain tidak disebutkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Beliau juga mencadangkan adalah lebih baik Pakatan Rakyat yang dianggotai PAS, PKR dan DAP memberi tumpuan ke atas perkara-perkara lain daripada bercakap soal negara Islam, seperti program-program ekonomi termasuk langkah-langkah untuk pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri dan sebagainya. Aziz berkata, apa yang penting setiap rakyat harus mematuhi peruntukan Perlembagaan Persekutuan memandangkan ia menjaga kepentingan setiap rakyat.

Saranan Aziz Bari bukan mudah untuk dipersetujui oleh PAS kerana Presiden PAS sudah memberikan respon bahawa PAS perlukan masa untuk menjelaskan kepada DAP tentang konsep negara Islam. Saranan saya, PAS tidak perlu jelaskan kepada DAP, kerana DAP tidak pernah akan bersetuju. Lebih baik PAS duduk bersendirian daripada bersubahat dengan kemungkaran dalam Pakatan Rakyat.

Saya juga ingin sangat mendapatkan komen Pas mengenai gambar Lim Kit Siang mengangkat dan memegang tangan Presiden PKR Wan Azizah di atas pentas ketika konvensyen PR baru-baru ini yang siarkan dalam Malaysianinsider. Malangnya gambar tersebut tiba-tiba hilang apabila saya ingin cetak kerana telah dikeluarkan. Inilah kegusaran PAS dan mungkin juga PKR, apabila berdepan dengan parti ultra kiasu yang bersifat sekular ini. Mereka tidak kenal halal haram, walaupun mereka mendakwa mahu mengikut pemerintahan Umar Abdul Aziz.

Jangan pula tanya saya, UMNO pun sama juga? Bukankah selama ini PAS menuduh UMNO tidak Islamik? Jadi, jika ada perkara yang melanggari batas, jawapannya wajar. Jika PAS benar-benar ikhlas dengan perjuangan, tidakkah wajar PAS mengkoreksikannya, daripada terus menuduh UMNO semuanya tidak betul. PAS juga wajar diperbetulkan oleh UMNO, kerana dilihat 'dipergunakan'.

Perkembangan PAS mutakhir ini begitu menarik perhatian. Sedikit demi sedikit PAS mula berubah mengikut peredaran masa, walaupun mungkin terpaksa 'menggadaikan prinsip'. Namun, PAS berada dalam keadaan yang sukar dalam pilihan kecil ini. Jika PAS mahukan 'silent'kan isu negara Islam, sudah tentu ia akan mendapat tentangan daripada ahli-ahli partinya. PAS, negara Islam dan hudud sudah sinonim. Walaupun Karpal Singh sudah menunjukkan 'lampu hijau' untuk membincangkan isu negara Islam, itu bukan bermakna beliau menerima isu yang dilihat "duri dalam daging" dalam hubungan PAS-DAP.

Kedua-dua parti ini mendakwa mereka adalah parti untuk semua kaum. Namun, tindak-tanduk mereka tidak sedemikian. PAS tetap akan bertanding di kawasan majoriti Melayu, begitu juga dengan DAP di kawasan majoriti Cina. Jika mereka benar-benar parti untuk semua kaum, bertandinglah di kawasan yang sebaliknya. Apapun, DAP tetap parti dominasi Cina, begitu juga dominasi Melayu dalam PAS.

Sesiapapun yang mengkaji politik Malaysia mengetahui, memang senario politik Malaysia adalah bersifat perkauman. Mahu tidak mahu, UMNO perlu wujud. UMNO perlu mewakili majoriti orang Melayu kerana semua etnik telah diwakili melalui penubuhan parti-parti politik etnik masing-masing. Malangnya parti etnik Melayu hanya diwakili oleh UMNO satu sahaja. Sedangkan bukan Melayu diwakili oleh begitu banyak parti-parti etnik bangsa dan suku-sukunya dalam BN. Begitu juga dengan isu agama, Islam yang dibawa UMNO terpaksa menghadapi paling kurang lima agama yang diwakili oleh parti-parti tersebut. Bagaimanakah UMNO hendak menghadapinya semua tuntutan ini, jika Islam yang diwakilinya tidak begitu kuat atau banyak bilangannya?

Selama ini UMNO berseorangan menghadapi mereka semua. Itu yang menyebabkan kadang kala keputusan UMNO ibarat diluah mati mak, ditelan mati bapak, terutama selepas PRU 2008. Ada kalanya UMNO terpaksa 'menggadaikan prinsip' disebabkan oleh tuntutan dan desakan luar teramat kuat. Pada saya, di saat-saat ini PAS perlu tampil menghulurkan bantuan. Bukan seronok melihat UMNO hancur.

Percayalah, jika UMNO hancur, Melayu akan hancur. Tidak semua Melayu UMNO akan menyokong PAS sekiranya UMNO hancur. Walaupun PAS mungkin boleh mendabik dada dengan mengatakan bahawa PAS adalah parti altenatif orang Melayu, selepas melihat UMNO hancur.

Sejarah membuktikan bahawa percubaan untuk menubuhkan parti pelbagai kaum telah gagal seperti yang cuba dilakukan oleh Dato Onn Jaafar melalui Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) 1951, setelah kecewa dengan UMNO. Walaupun Parti Negara yang ditubuh selepas itu tidak membuka keahlian kepada bukan Melayu, tetapi tidak mendapat sambutan, kerana orang Melayu sudah ada altenatif iaitu UMNO.

Pendek kata, politik Malaysia sudah sebati dengan perkauman. Politik, ekonomi, pendidikan dan sosial semuanya perkauman. UMNO boleh berbeza pendapat dengan PAS. Begitulah sebaliknya. Tetapi janganlah sampai perbezaan tersebut sehingga boleh menimbulkan konflik yang berpanjangan. Tidak perlulah mengeluarkan kata-kata hancurlah UMNO atau hancurlah PAS. Bertandinglah secara profesional tanpa mengecam dan mengumpat. Elok kita bertenang sedikit ketika berada dalam suasana Tenang.

Janganlah dicemari dengan insiden-insiden politik pandir yang saya sebutkan tadi. Apatah lagi jika mesej Islam yang diperjuangkan oleh parti yang bertanding. Kalimah 'Islam' itu membawa makna yang begitu besar apabila Ia digunakan dan tidak boleh sama sekali dipermainkan.

Penggunaan kalimah Islam sepatutnya melembutkan hati-hati kita, bukan menjadikan kita semakin ego. Sudahkah kita lupa adab-adab berbeza pendapat atau adabul ikhtilaf. Berbeza pendapat dibenarkan selagi tidak putus persaudaraan, apatah lagi sehingga berpecah-belah. Jika Rasulullah SAW hidup ke saat ini dan melihat keadaan umatnya, Baginda pasti akan menitiskan air mata. HatiNya mungkin terasa hiba melihat betapa negara-negara Islam begitu ketinggalan berbanding negara-negara Barat. Kehibaan ini bukan disebabkan oleh keadaan umat Islam ketinggalan, tetapi yang membuat hati Nabi Muhammad begitu terluka, adalah ketika umat Baginda saling membenci dan bermusuhan antara satu sama lain. Umatnya begitu bodoh sehingga boleh dipergunakan. Inilah punca mereka ketinggalan.

Dr. Mohd Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, merangkap Setiausaha Agong, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis

RM400 untuk peneroka - termakan tak umpan kali ini?

Posted: 25 Dec 2010 04:28 PM PST

"FELDA akan memulakan pembayaran bonus sebanyak RM400 bagi seorang peneroka dan ini menjadi satu lagi 'tip' yang plihanraya umum sudah menjelang" kata salah seorang pemeroka yamg saya kenali semasa menghadiri majlis persandingan sepupu saya disalah satu rancangan Felda diGemas hari ini.

Pengundi dari peneroka Felda mempunyai pengaruh besar setidak-tidaknya dalam 50 kawasan Parlimen di seluruh negara. Felda akan membayar kurang sedikit dari RM100.1 juta untuk maksud ini dan pembayaran akan bermula pada awal 2011 ini dipejabat-pejabat Felda dirancangan-rancangan tanah itu diseluruh negara. Berita ini rupa-rupanya memang sudah keluar melalui punca berita alternatif.

Saya tidak akan mendapat apa-apa berita dari media letronik dan cetak perdana kerana saya sudah hampir 6 tahun tidak menengok TV dan membaca akhbar perdana kerana saya mempunyai kurang keyakinan terhadap berita-berita yang disiarkan oleh media perdana. Kalau pun saya melihat rancangan berita TV selalunya saya akan menonton rancangan berita itu setelah setengah jalan rancangan itu berlalu untuk mengikuti berita-berita sukan yang terkini.

Jika pasukan bola Kelantan mengalah pasukan NS didalam pertandingan akhir Piala Malaysia dengan keputusan 2-1 atau 3-1 misalnya media perdana tidak akan dapat mengubah jumlah gol yang diperolehi oleh mana-mana pasukan itu, dan berita itu adalah berita benar dan tidak dapat diubah oleh editor-editor TV atau akhbar-akhbar perdana itu. Dalam akhbar-akhbar perdana ada 2 lagi berita yang pasti benar; iaitu keputusan Empat Nombor Ekor dan waktu sembahyang 5 waktu itu. Selain dari itu saya terpaksa berfikir samada berita yang tersiar itu benar atau sebaliknya.

Memberikan 'hand-out' seperti ini merupakan amalan yang telah menjadi budaya oleh pemerintah untuk mendapatkan undi dalam pilihanraya umum. Dengan pemberian ini adalah diharapkan ianya akan memberikan 'advantage' kepada BN kerana RM400 ini boleh dijadikan umpan dan bahan ungkitan dalam kempen pilihanraya umum nanti. Tentunya pihak pemerintah mengharapkan 'budi' ini akan digantikan dengan undi. Jika ini dianggap sebagai 'budi' maka BN berpendapat ianya akan memberikan kekuatan kepada UMNO dan BN dilima puluh kerusi parlimen dalam mana terdapat tanah rancangan Felda yang luas, khususnya ditiga buah negeri, Pahang, Johor dan Negeri Sembilan.

Persoalannya bolehkah RM400 itu menjadi umpan yang efektif untuk tujuan memenangi PRU 13 ini?

Dalam sinario politik yang dahulu umpan seperti ini boleh memastikan sokongan kuat dari peneroka, kerana krisis keyakinan terhadap kepimpinan tidak begitu nyata. Tetapi jika itu masih menjadi senjata untuk memikat hati dan sokongan dari peneroka sekarang ini ianya merupakan tindakkan yang tidak lagi membawa bekas kepada mereka.

Peneroka sekarang tahu yang RM400 itu bukannya datangnya dari sumber lain tetapi sumbernya adalah dari peneroka sendiri. Peneroka sekarang telah terbuka minda mereka hasil dari 'exposure' anak-anak mereka yang bekerja bertaburan diseluruh pelusuk negara dan mereka bukan lagi mudah diumpan secara begini. Mereka seperti juga masyarakat lain tetap mahu melihat kepimpinan yang bertanggungjawab tanpa ada unsur rasuah dan salah guna kuasa yang keterlaluan.

Mereka tahu yang mereka tidak boleh membiarkan pimpinan melakukan sesuatu yang membebankan rakyat dan mereka tahu bahawa apa yang dilakukan pada hari ini mempengaruhi keadaan dimasa yang akan datang. Mereka tahu juga selain dari kenyataan yang sumber RM400 itu datangnya dari mereka sendiri mereka juga tidak boleh dibeli dengan harga RM400 untuk memberikan kuasa selama lima tahun yang belum tentu ada kebaikkannya. RM400 itu jika dibahagikan dengan lima tahu bermakna mereka hanya mendapat RM80 bagi setahun untuk membiarkan pimpinan yang tidak diyakini untuk memerintah.

Itulah sebabnya blog ini selalu mengingatkan bahawa yang penting bukan RM400 itu; yang penting ialah untuk melihat kepimpinan yang bersih dan amanah dan tidak dipengaruhi oleh unsure-unsur kebathilan dalam pentadbiran kerajaan yang memerintah.

Mereka juga sedar yang mendapat keuntungan dari usaha dan penat-lelah mereka ialah Felda. Tidak ada sesiapa patut menafikan yang Felda perlukan keuntungan untuk mentadbir tanah rancangan yang begitu luas tetapi peratusan keuntungan kepada peneroka itu adalah terlalu kecil jika dibandingkan dengan apa yang diperolehi oleh Felda. Berbillion keuntungan yang diraih oleh Felda itu adalah terlalu tinggi jika kita baca dari segi matlamat penubuhan Felda itu dahulu.

Matlamatnya ialah untuk memberikan tanah dan kebun untuk mereka yang tidak bertanah. Maka jika keuntungannya menjadi begitu besar adalah lebih wajar peneroka diberikan lebih menufaatnya dari Perbadanan Felda itu sendiri.

Jika Felda sudah terlalu besar tidak bolehkah Felda membeli hasil mahsul ladang-ladang peneroka ini dengan harga yang lebih baik dari harga belian sekarang ini? Kenapa membeli hasil peneroka terlalu rendah dari harga yang ditawarkan oleh pembeli luar dari Felda?

Kita bukan mengkritik dengan semborono sahaja. Tetapi peneroka sepatutnya telah mendapat lebih dari apa yang apa yang mereka dapati sekarang ini jika dibandingkan dengan apa yang telah dicapai oleh Felda (Perbadanan).

Sampai bila kah budaya memberikan 'hand-outs' semasa pilihanraya akan mendatang ini? Kenapa kita tidak mendapatkan sokongan dari dasar-dasar dan pencapaian kerajaan.

Sampai bila rakyat dijadikan seperti ikan didalam sungai: diumpan dengan cacing, apabila ikan termakan umpan dan melekat dimata kail, ikan itu akan belah dan digaramkan untuk dimasak bagi hidangan seorang dua.

http://aspanaliasnet.blogspot.com/2010/12/rm400-untuk-peneroka-termakan-tak-umpan.html

Tiada ulasan: