Sabtu, 18 Disember 2010

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Boikot Sidang Parlimen, Kaji Implikasinya Dahulu

Posted: 18 Dec 2010 12:54 AM PST

Pakatan diminta boikot sesi Parlimen dipengerusi Pandikar

KUALA LUMPUR, 18 Dis — Pakatan Rakyat disyor timbang kemungkinan memulau persidangan Dewan Rakyat sesi akan datang yang dipengerusikan Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia (gambar) ekoran penggantungan empat wakilnya Khamis lalu.

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad bercadang mengemukakan saranan itu kepada kepimpinan Pakatan Rakyat bagi menyampaikan "mesej protes yang keras" kepada Pandikar agar tidak bertindak bias selaku ketua Dewan Rakyat dan sewenang-wenangnya "membuli" wakil rakyat pembangkang.

Lazimnya perjalanan Dewan Rakyat dipengerusikan secara bergilir-gilir oleh speaker dan dua timbalannya.

Dua timbalannya merupakan anggota Dewan Rakyat yang dipilih dalam pilihan raya umum lalu.

Katanya, cadangan itu hanya membabitkan mana-mana sesi yang dipengerusikan oleh Pandikar.

"Saya akan mencadangkan kepada kepimpinan Pakatan Rakyat, kemungkinan ketika konvensyen Ahad ini (esok) atau pada mesyuarat Pakatan akan dating . . . kita kena menyampaikan mesej yang tegas kepada Tan Sri Pandikar agar wakil-wakil rakyat Pakatan Rakyat tidak dibuli," kata beliau.

Yang Dipertua PAS Shah Alam ini menyampaikan idea itu ketika berceramah di Puchong semalam.

Ketika dihubungi, Khalid berkata, apa yang berlaku pada hari-hari terakhir sidang Dewan Rakyat terbaru menunjukkan ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat seolah-olah dibuli dan tidak dihormati sebagai barisan yang mempunyai satu pertiga kerusi di Parlimen.

Dewan Rakyat akan bersidang semula mulai awal Mac depan di sebalik spekulasi bahawa pilihan raya umum akan diadakan awal tahun depan.

"Mereka kena ingat Pakatan Rakyat ada satu pertiga kerusi di Parlimen . . . tapi mereka nak buli, nampak jelas Speaker pilih kasih kepada BN dengan kenyataan-kenyataan sinis seperti 'bercita-cita mahu ke Putrajaya . . . kata-kata ini tidak harus keluar daripada seorang speaker," kata Khalid yang menegaskan Pandikar selaku Speaker Dewan Rakyat perlu bertindak berkecuali demi integriti Parlimen.

Oleh itu kata Khalid, beliau berharap Dewan Rakyat mempunyai seorang speaker yang benar-benar adil kepada semua parti.

"Kita memerlukan seorang speaker yang boleh memastikan perjalanan Dewan Rakyat yang adil dan dengan baik," katanya.

Pakatan Rakyat juga bercadang mengambil tindakan ke atas Pandikar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazi Aziz ekoran penggantungan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Karpal Singh, R Sivarasa dan Azmin Ali.

Bagaimanapun menurut Nazri, cadangan tindakan mahkamah terhadap Pandikar tidak akan berjaya.

Nazri, menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Parlimen, yakin sekiranya perkara itu dibawa ke mahkamah ia akan ditolak oleh mahkamah kerana Parlimen mempunyai "kekuasaan" yang tersendiri.

Dewan Rakyat pada Khamis lalu meluluskan usul menggantung Anwar (PKR-Permatang Pauh) daripada menghadiri persidangan selama enam bulan kerana membuat kenyataan tidak benar yang mengaitkan konsep 1Malaysia dengan kempen One Israel.

Turut digantung enam bulan ialah tiga lagi anggota Parlimen pembangkang, iaitu Karpal, Sivarasa (PKR-Subang) dan Azmin (PKR-Gombak) kerana menghina dewan.

Pandikar mempengerusikan sesi yang menyaksikan keempat-empat mereka digantung. -TMI

Ulasan GB

Ia mungkin satu cadangan yang baik tetapi kena kaji implikasinya sebab ia sama sekali tidak akan menghalang persidangan dewan rakyat dijalankan dan apa-apa rang undang-undang dibentangkan untuk pindaan. Jika itu berlaku bererti apa saja rang undang-undang yang dibentang akan diluluskan tanpa sebarang bantahan dari PR.

Kedua, ia akan dijadikan oleh UMNO BN untuk melakukan backfire semula kepada PR semasa kempen pilihanraya, bahawa, anggota parlimen PR makan gaji buta.

[Video] Motosikal Unik Dijual RM172,452

Posted: 17 Dec 2010 11:42 PM PST

MIAMI - Sebuah motosikal yang digerakkan program komputer seperti dalam filem sains fiksyen, Tron: Legacy kini direalisasikan ke dunia nyata oleh pembuat motosikal, Parker Brothers Choppers yang beribu pejabat di Florida, Amerika Syarikat (AS), lapor sebuah akhbar semalam.

Motosikal yang dikenali sebagai Light Cycle itu sepanjang 2.43 meter, lebar 58.4 sentimeter dan seberat 215 kilogram. Ia boleh digunakan di atas jalan raya biasa dan mampu mencecah kelajuan sehingga 193 kilometer sejam.

Syarikat Parker Brothers Choppers menyatakan pihaknya hanya menghasilkan lima buah Light Cycle yang ditawarkan pada harga AS$55,000 (RM172,452) seunit.

Pengurus Operasinya, Jeff Halverson memberitahu ia menggunakan enjin TL1000R.

"Empat unit sudah dijual dan hanya sebuah lagi yang tinggal," kata Halverson.

Terdapat sambungan komputer tablet iPad yang membolehkan statistik tunggangan dimuat turun daripada komputer yang ada pada motosikal itu.

Gambar motosikal itu boleh dilihat di laman web YouTube.

Populariti motosikal itu di laman tersebut telah menarik perhatian syarikat perfileman Disney dan penerbit filem Tron: Legacy yang mahu menggunakan Light Cycle dalam acara promosi filem berkenaan. - Agensi



5 Leaks Lagi Muncul Selepas WikiLeaks

Posted: 17 Dec 2010 10:00 PM PST

OpenLeaks, Brussels Leaks, TradeLeaks, Balkan Leaks, IndoLeaks beroperasi

Gambar: ASSANGE menunjukkan kertas mahkamah mengizinkannya dibebaskan atas ikat jamin di Mahkamah Tinggi, London.

LONDON: Web pembocor maklumat, WikiLeaks, kini menjadi inspirasi kepada orang lain untuk turut mewujudkan portal yang menjalankan fungsi sama seperti Julian Assange.

Amerika Syarikat dan pihak berkuasa lain sudah bertindak bagi menghukum WikiLeaks dan Assange atas penyiaran beribu-ribu kabel diplomatik yang memalukan Washington kerana mencetuskan pelbagai perbahasan mengenainya di seluruh dunia.

Assange yang mengasaskan WikiLeaks pada 2006 baru dibebaskan daripada tahanan di London selepas dibenarkan ikat jamin berhubung kes pencabulan wanita di Sweden.

Ketika diwawancara majalah Forbes, beliau berkata: "Memang benar, bukan mudah untuk melakukannya tetapi kami akan rasa dibantu jika lebih ramai orang terbabit dalam industri ini."

Hasilnya, sejak beberapa minggu lalu, lima lagi web berteraskan misi membocor maklumat wujud iaitu OpenLeaks, Brussel Leaks, TradeLeaks, Balkan Leaks dan IndoLeaks.

OpenLeaks diwujudkan oleh bekas pembantu Assange, Daniel Domscheit-Berg. Web itu masih belum ada apa-apa kandungan kecuali logo berbunyi 'Coming Soon.'
Domscheit-Berg enggan membincangkan sebab membuka portal baru tetapi menuduh WikiLeaks keluar daripada misi asal.
Domscheit-Berg berkata, OpenLeaks sudah ada di Twitter dan memulakan tugas awal 2011.

Brussels Leaks pula sudah ada laman web dan Twitter bertujuan mendedahkan perkara tersembunyi dalam sistem Kesatuan Eropah (EU).

"Ianya bertujuan mendedahkan maklumat penting kepada umum. Itulah sebabnya kami akan 'senyap' untuk beberapa minggu," kata laman web itu.

Web TradeLeaks sudah ditonton 60,000 kali beberapa jam selepas dilancarkan bertujuan membocorkan maklumat perniagaan. Ia diasaskan oleh Ruslan Kogan, pemilik perniagaan elektronik Australia, Kogan Technologies.

Balkan Leaks pula dibentuk oleh Atanas Chobanov, seorang ekspatriat Bulgaria di Paris, bertujuan mempromosi ketelusan dan memerangi rasuah di rantau Balkan.

Pengguna boleh menghantar dokumen ke laman itu menerusi sistem rahsia yang hanya disiarkan kepada umum selepas disahkan. Moto organisasi itu ialah 'Rantau Balkan tiada lagi rahsia.'

Laman IndoLeaks sudah menyiarkan laporan bedah siasat tragedi negara pada 1965 yang dianggap dokumen kontroversi, lapor akhbar Jakarta Post.

Ia juga menyiarkan dokumen sensitif mengenai perbincangan Timor Leste pada 1975 antara bekas Presiden Indonesia, dengan bekas Presiden Amerika, Gerald Ford. – Agensi

Amerika Bakal Ada Presiden Gay

Posted: 17 Dec 2010 09:27 PM PST

AS bakal ada presiden gay

Gambar: JIMMY CARTER

WASHINGTON - Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-39, Jimmy Carter percaya bahawa negara itu bakal mempunyai seorang presiden homoseks pada masa hadapan, lapor sebuah akhbar semalam.

Beliau dalam sebuah wawancara bersama laman web Big Think memberitahu bahawa seluruh penduduk AS kini bersedia untuk memilih seorang presiden gay.

"Saya tidak pasti mengenai pilihan raya yang akan datang (pengundi memilih seorang presiden gay)," katanya.

"Namun, saya fikir dalam waktu terdekat kerana kita mula menyedari bahawa homoseksual adalah sama seperti berdepan dengan hal berkaitan kaum," tambahnya.

Menurutnya, penduduk negara ini sudah menyesuaikan diri untuk menerima seorang presiden yang mungkin wanita.

Beliau berkata, apa yang jelas, penduduk AS kini sudah menerima seorang presiden berkulit hitam dan mungkin seorang gay pada masa depan. Carter telah menjadi presiden dari tahun 1977 hingga 1981.

Barack Obama merupakan Presiden AS kulit hitam yang pertama di AS dan negara itu turut mempunyai seorang presiden yang berstatus bujang iaitu James Buchanan yang memerintah dari 1857 hingga 1861. - Agensi

Bas Wanita Elak Gangguan Seksual

Posted: 17 Dec 2010 07:30 PM PST

Tidak perlu himpit lelaki

KUALA LUMPUR: Kebanyakan penumpang terutamanya wanita mahu perkhidmatan bas khas untuk wanita, Rapid Bas Wanita dilanjutkan selepas tamat tempoh percubaan 31 Disember ini berikutan memberi kemudahan dan keselesaan kepada mereka.

Tinjauan Harian Metro selepas dua minggu perkhidmatan bas khas itu beroperasi mendapati rata-rata penumpang amat berpuas hati dengan inisiatif Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn Bhd (RapidKL) memperkenalkan bas khas itu di Lembah Klang, mulai 1 Disember lalu.

Pekerja swasta, Nur Ain Zolkefli, 25 berkata pendekatan RapidKL itu tepat pada masanya bagi menjamin keselamatan wanita dan berharap perkhidmatan itu diperluaskan di lebih banyak lagi laluan. "Ia memberi keselesaan dan boleh mengelak berlaku gangguan seksual terhadap penumpang wanita terutama dalam keadaan sesak pada waktu puncak.

"Bas ini lebih selesa kerana wanita tidak perlu lagi berhimpit dengan lelaki namun diharapkan selepas tempoh percubaan, perkhidmatan ini akan diteruskan," katanya.

Bagi Norliana Zulkarnain, 24, kemudahan khas itu amat dialu-alukan dan dijangka menghindarkan penumpang wanita daripada menjadi mangsa kejadian tidak diingini seperti ragut dan cabul. Malah, katanya, dengan adanya bas yang khusus untuk kaum wanita, peluang warga emas, wanita mengandung dan yang membawa anak kecil mendapat tempat duduk lebih cerah. "Bas khas untuk penumpang wanita ini adalah langkah yang baik terutama dalam mengurangkan risiko wanita menjadi sasaran gangguan seksual dan kecurian," katanya.

"Diharap RapidKL dapat menimbangkan untuk menyediakan perkhidmatan khas ini untuk laluan malam atau laluan terakhir," katanya.

Bagi seorang penumpang, Mohd Akmal Nordin, 30, bas khas itu langkah tepat bagi mengurangkan risiko wanita menjadi mangsa gangguan seksual dan penyeluk saku. "Ia memberi kelebihan kepada wanita kerana mereka tidak perlu bimbang bersentuhan dengan berlainan jantina. Begitu juga lelaki kerana tak semua antara kami selesa jika terpaksa berhimpit dengan wanita," katanya. Sementara itu, jurucakap Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) berkata, sehingga kini sambutan yang diterima orang ramai berkaitan perkhidmatan bas berkenaan amat menggalakkan selain menerima maklum balas positif terutamanya penumpang wanita.

"Kami akan memantau perkhidmatan bas hingga tempoh percubaan iaitu 31 Disember ini tamat sebelum memutuskan sama ada meneruskan perkhidmatan berkenaan atau tidak," katanya.

"Selain itu, kami juga akan pertimbangkan untuk memperluaskan perkhidmatan di lebih banyak laluan bergantung kepada keperluan orang ramai," katanya.

Tempoh percubaan Rapid Bas Wanita dilaksanakan sebulan bermula 1 Disember lalu dengan melalui tujuh laluan utama pengguna. Dua bas tambahan disediakan masing-masing bagi perkhidmatan pada pagi bermula jam 6.45 hingga 7.30 pagi serta petang pada jam 6 hingga 6.45 petang setiap hari. Perkhidmatan pada pagi membabitkan laluan U1 iaitu Hab Pinggiran Batu Caves; U8 (Hab Damansara Damai); U22 (Hab Sri Nilam); U40 (Hab Terminal Kajang); U60 (Hab Puchong Utama); U80 (Hab UiTM Shah Alam) dan U81 (Hab Subang Suria). Pada petang, bas akan melalui U1 (Hab Medan Pasar); U8 (Hab Medan Pasar); U22 (Hab Jalan Hang Lekiu); U40 (Hab Pasar Seni); U60 (Hab Pasar Seni); U80 (Hab Pasar Seni) dan U81 (Hab Pasar Seni).

Pelacuran Dan Amalan "Sugar Daddy" Meluas Di IPT

Posted: 17 Dec 2010 06:56 PM PST

Cegah segera pelacuran di universiti

Angkatan Siswi Dinamis UKM (AKSIS) terpanggil untuk membicarakan isu hangat siswi-siswi di institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/S) yang didapati melacur dan perihal menyimpan 'sugar daddy'. Masakan bau bangkai gajah dapat ditutup. Gambar Fail

Tidak dapat tidak, setiap hari kita dapat membaca sama ada di akhbar-akhbar rasmi mahupun di media-media tidak rasmi di alam maya , yang menyebut tentang kegiatan pelacuran yang dilakukan oleh golongan siswi IPT-IPT tempatan, tidak kira awam mahupun swasta.

Isu ini kembali hangat apabila ADUN Tanjung Batu, Datuk Hamisa Samat meminta Kementerian Pengajian Tinggi beri perhatian serius kepada masalah aktiviti pelacuran di kalangan mahasiswi kerana ia menjejaskan nama baik IPT, selain menyelamatkan masa depan golongan yang terlibat.

AKSIS jelas terpanggil untuk menyatakan dengan tegas atas apa alasan sekali pun kegiatan melacur ini adalah haram. AKSIS juga percaya permasalahan ini timbul apabila di kalangan pengurusan universiti dan pihak berkuasa serta kerajaan tidak tegas dan menyebabkan hari ini, kegiatan pelacuran ini baik secara sukarela atau terpaksa makin membiak.

AKSIS percaya semua kegiatan ini berpunca daripada hasil pulangan yang lumayan. Lebih-lebih lagi ada tangan-tangan yang menjadi 'ejen' untuk melakukan urusaniaga yang jijik sebegini.

AKSIS kecewa kerana status siswi yang sedang berada di pusat pengajian tinggi maka menyebabkan harga diri yang ditawarkan akan menjadi lebih tinggi.

Kita yakin harga yang ditawarkan semakin tinggi berdasarkan ilmu akademik. Ditambah lagi kalau ada rupa paras maka semakin mahal harga lacuran mereka.

AKSIS juga kecewa kerana seandainya di peringkat pendidikan tertinggi mula disaluti kegiatan melacur maka tidak mustahil sedikit masa lagi makin ramai yang terjebak dalam kegiatan pemerdagangan orang ini.

Dengan status mereka yang berpendidikan tinggi, bertopengkan pelajar di pusat pengajian tinggi, masyarakat sudah terpedaya dengan helah mereka maka jangan terkejut sekiranya selepas tamat pengajian, melacur ini menjadi kerja sampingan mereka.

Sistem 'perniagaan' mereka akan lebih bersistematik kerana mereka berselindung dengan kerjaya yang sah, mempunyai jawatan dan berpendapatan tetap.

AKSIS berpandangan jelas bahawa inilah natijahnya sistem pendidikan negara yang berorientasikan kepada peperiksaan dan pasaran kerja tanpa mengambilberat ajaran agama yang menyebabkan fenomena pelacuran ini akan berterusan dan makin berpengaruh tanpa dapat disekat.

AKSIS juga berpandangan jelas pelacuran dan amalan menyimpan 'sugar daddy' di kalangan pelajar IPT perlu dibersihkan segera.

Program pemutihan perlu dilakukan segera kerana gelaja pelacuran ini tidak mustahil akan melibatkan pekerja universiti kerana golongan ini adalah mereka yang berhubungan dengan siswa-siswi setiap hari. Jalan mudah untuk mendapat gred yang baik, serahkan diri anda kepada pensyarah!

AKSIS UKM di bawah Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) jelas menjunjung Falsafah Universiti Kebangsaan Malaysia yang jelas menekankan paduan antara iman kepada Allah dengan ilmu yang bermanfaat serta gabungan antara teori dengan amal adalah dasar utama bagi perkembangan ilmu.

Seharusnya ilmu yang tinggi mampu mendidik dan menjadi benteng untuk mengawal maruah bukannya dijadikan batu loncatan untuk mencari pendapatan lumayan dengan kerja-kerja haram seperti pelacuran ini.

AKSIS juga dengan ini menyeru pihak pentadbiran IPT-IPT awam mahupun swasta, ahli-ahli Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM), badan-badan pelajar yang berauthoriti serta orang perseorangan khususnya yang terlibat dan berhubungan dengan kampus-kampus setiap hari agar bersama-sama memantau gejala yang hari demi hari merosakkan nusa, bangsa dan negara ini.

Bersama-sama kita mencegah dan membanteras aktiviti tidak bermoral ini. Laporkan kepada pihak berkuasa sekiranya anda mendapati rakan-rakan anda terlibat dengannya.

Wanita Koma Ditikam 19 kali, Disimbah asid

Posted: 17 Dec 2010 04:48 PM PST

Bayi dalam kandungan maut

NURAIN ASHIKIN yang menjadi mangsa tikaman 19 kali dan melecur disimbah asid.

ULU TIRAM: Seorang wanita yang mengandung enam bulan koma manakala bayi dalam kandungannya meninggal dunia selepas dia ditikam bertubi-tubi serta disimbah cuka getah dalam kejadian di rumahnya di Kampung Sungai Redan, di sini pagi kelmarin.

Mangsa kini dalam keadaan kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Intensif Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru berikutan cedera di bahagian perut, selain melecur di muka, belakang badan, tangan dan kaki.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 pagi itu, mangsa, Nurain Ashikin Jemedi, 17, didatangi seorang lelaki berusia 42 tahun yang kemudian secara tiba-tiba menikam mangsa sebelum menyimbah cuka getah ke seluruh badan mangsa.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa berada bersama adik perempuannya berusia 13 tahun dan anak saudaranya berusia 2 tahun, manakala ibunya keluar menoreh getah di kawasan berhampiran rumah mereka.

Suspek dikatakan menyerbu masuk rumah mangsa sebelum menendang pintu biliknya dan menyerang mangsa dengan menikamnya sebanyak 19 kali.

Mangsa cuba melarikan diri ke bilik air, namun suspek mengejar mangsa serta menyimbahnya dengan cuka getah menyebabkan mangsa terjatuh dan pengsan.

Adik mangsa yang berada di tempat kejadian menelefon kakak mereka bagi memaklumkan kejadian itu yang kemudian membuat laporan di Balai Polis Ulu Tiram.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintendan Muhammad Shamsuddin, ketika mengesahkan kejadian berkata, suspek ditahan selepas menyerah diri sejurus kejadian.

Katanya, siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai berpunca akibat cemburu selepas mangsa yang mengenali suspek sejak berusia 12 tahun, dikatakan keluar bersama lelaki lain.

"Anak dalam kandungan mangsa meninggal dunia akibat terkena tikaman suspek, malah mangsa juga kini koma dan hampir seluruh badannya termasuk bahagian muka melecur akibat disimbah asid.

"Suspek kini direman sehingga 21 Disember ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307/326 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan menyebabkan kecederaan," katanya di sini, semalam.

Sementara itu, kakak mangsa, Zuraidah Jemedi, berkata dia dan keluarganya tidak menyangka kejadian itu boleh menimpa adiknya.

"Kami dan tidak menyangka suspek boleh berkelakuan sebegitu. Suspek memang baik dengan keluarga kami, malah dia turut ada hati dengan Ain," katanya. -BH


[Bergambar] Islam Semakin Bersinar Di Eropah

Posted: 17 Dec 2010 03:32 PM PST

Beratus-ratus masjid baru dibina ketika banyak gereja terbiar

Benua Eropah yang menjadi antara lubuk sentimen Islamfobia yang dihangatkan lagi dengan rentetan cubaan serangan terbaru di Britain, baru-baru ini, sebaliknya semakin diterangi sinar Islam menerusi projek pembinaan beratus-ratus masjid baru. Setakat ini, di Britain saja ada sebanyak 1,500 masjid manakala 10 di Perancis, lapan di Sweden, empat di Hungary dan dua di Russia termasuk Masjid Qolsharif di Tatarstan yang menjadi masjid terbesar Eropah pada masa ini.

Projek pembinaan masjid baru dari Jerman ke Sepanyol dan Britain, sekaligus membuktikan keberanian masyarakat Muslim menonjolkan identiti sebenar mereka, tanpa perlu rasa takut mahu pun terancam dengan perkembangan di sekeliling mereka. Lebih menarik, jika dulu mereka terpaksa secara rahsia menunaikan solat di bilik gelap di bahagian paling bawah bangunan kerana bimbang dicemuh, keadaan sekarang sebaliknya. Mereka yang kebanyakannya golongan pendatang dari Turki dan Afrika Timur, bukan setakat berani keluar masuk masjid, malah bekerjasama mengumpul dana dan bersatu hati menghadapi sebarang dugaan bagi memastikan masjid yang diingini dapat menjadi satu realiti.

Malah, seperti dilaporkan media Barat baru-baru ini, kehadiran kubah masjid terbesar di Jerman misalnya, semakin menenggelamkan menara gereja petunjuk keyakinan baru ke atas Islam ketika gereja pula semakin terbiar di negara Eropah itu.

Di Jerman saja, sehingga 184 masjid baru kini dalam proses pembinaan termasuk di daerah Kreuzberg, Berlin. Keadaan jauh berbeza jika dibandingkan bertahun-tahun lalu apabila 180 rahib kumpulan Katolik Sisters of the Divine Savior diibaratkan sebagai nadi di bandar itu. Malangnya, hari ini mereka cuma tinggal 8 orang. Setiap minggu, purata 150 penganut Roman Katolik menghadiri perhimpunan di Gereja Liebfrauen berbanding kira-kira 3,000 Muslim memenuhi Masjid Yavuz-Sultan-Selim. Sejak pembukaannya pada 1995, kehadiran kedai dan pusat belia Muslim menjadi 'besi berani' bagi kalangan penduduk Islam.

Di sekitar Eropah, Islam yang juga agama paling pesat berkembang, semakin ketara dan jelas kewujudannya berbanding satu ketika dulu apabila ia diamalkan secara senyap-senyap. Perubahannya bukan menyentuh aspek seni bina pada bandarnya, tetapi juga nilai sosial masyarakat setempat. Dalam apa dirujuk sebagai lambang integrasi Muslim, fenomena kemunculan ketara Islam ini turut dilihat sebagai bukti yang dunia Islam jelas mengancam budaya Kristian Eropah.

"Masyarakat Muslim sudah berani keluar menonjolkan diri mereka yang sebenarnya," kata Claus Leggewie, pakar Sains Politik Universiti Giessen, Jerman.

Kenyataannya itu berdasarkan kajiannya mengenai evolusi landskap dan binaan masjid di Jerman.

"Menerusi projek pembinaan masjid yang besar sedemikian, mesej yang mahu disampaikan (umat Islam) adalah kami di sini. Kami mahu menjadi sebahagian landskap simbolik Jerman. Kami ada di sini dan akan terus kekal di Jerman," kata Leggewie.

Pembinaan masjid besar dari Cologne, Jerman sehingga ke Amsterdam (Belanda) dan Seville, Sepanyol, berdepan bantahan keras penduduk dan pemimpin tempatan yang mendakwa ia lubuk menghasilkan pengganas. Lebih menyedihkan, apabila ada kalangan umat Islam yang meragui pembinaan masjid itu. Ini dibuktikan dengan kenyataan ahli keluarga dua suspek keganasan di Glasgow, Scotland yang mendakwa suspek itu dilatih menjadi radikal oleh kumpulan pendakwah Tablighi Jamaat (Jemaah Tabligh) kumpulan sama yang sedang hebat memperjuangkan hak bagi pembinaan kompleks Masjid Besar London di tanah seluas 18 ekar. Malah, pembinaannya berhampiran stadium Olimpik 2012, juga bakal mencatat sejarah sebagai masjid terbesar Eropah.

Kewujudan bangunan seumpamanya jelas berbeza daripada ruang bawah tanah gelap dan kecil yang menjadi tempat jemaah seperti Halif Kuzpinar menunaikan solat Jumaat, sejak 33 tahun lalu selepas dia berhijrah dari Turki ke kawasan di Frankfurt, Jerman. Siapa sangka, pergerakan Islam yang dianggotainya itu dapat membeli sebuah pasar raya di penempatan bandar Wiesbaden, di tengah Jerman.

"Di sini ada tempat letak kereta, pusat kanak-kanak dan untuk golongan belia. Kami mahu mewujudkan pusat setempat bagi membolehkan orang ramai melihat apa yang sebenarnya kami lakukan di sini," kata Kuzpinar.

Berikutan kewujudan tempatnya sendiri, Mili Gorus sebuah pertubuhan hak asasi Islam Turki yang dipantau kerajaan Jerman, mahu memiliki sesuatu yang tidak pernah dikecapinya iaitu pengiktirafan rakyat di negara yang sudah menjadi tanah air mereka.

Namun, usaha murni itu berdepan bantahan keras. "Ia sepatutnya dijual sebagai sebuah pasar raya, bukannya masjid," kata Wolfgang Kopp, pemilik pangsapuri di seberang premis itu.

Beliau bersama jiran lain, berjaya menghalang usaha menjadikan bangunan pasar raya itu kepada masjid, tetapi hanya untuk sementara waktu. Ini disebabkan, Perlembagaan Jerman jelas menyatakan semua agama boleh memiliki tempat ibadatnya sendiri. Sejak menjejakkan kaki di Jerman, golongan pendatang seperti Kuzpinar, terpaksa bersolat di bilik gelap yang menjadi simbol kegelapan masyarakat Islam yang tersepit di antara kebebasan mengamalkan agama serta budaya masyarakat setempat di negara yang menjadi tanah air mereka.

Kini, generasi ketiga yang semakin berjaya, saling berusaha dalam projek pembinaan masjid yang lengkap dengan menara. Jika 10 tahun lalu cuma wujud sebilangan kecil saja masjid, Jerman kini menyaksikan 159 masjid manakala 184 projek pembinaan masjid baru, mengikut Institut Arkib Islam Jerman.

Aachen, bandar Jerman yang didiami 257,000 penduduk di sempadan Belgium dan 9 peratus masyarakatnya beragama Islam, baru saja memberi kelulusan pembinaan masjid besar.

"Ia petanda yang masyarakat Muslim menjadi sebahagian anggota penting masyarakat," kata Datuk Bandarnya, Jurgen Linden.

Kata-katanya terbukti benar apabila Islam yang ingin ditonjolkan sebagai agama pengganas, sebaliknya semakin hari semakin mendapat tempat di hati ramai anggota masyarakat รข€" tanpa perlu kempen besar-besaran mahupun mencela agama lain yang sudah bertapak kukuh di negara Eropah terbabit.

Hasil kerjasama dan kesabaran di kalangan Muslim sudah cukup menjadi bukti keagungan Islam sebagai agama keamanan dan kemunculan kubah masjid mengatasi menara gereja di Jerman hanyalah antara permulaan awal kebangkitan sinar Islam di bumi Eropah.

Hayati foto-foto masjid di bawah ini yang melambangkan kebangkitan Islam di Eropah:

Masjid Di England




Masjid Di Perancis




Masjid Di Switzerland


Masjid Di Jerman




Masjid Di Austria




Masjid Di Sepanyol




Masjid Di Netherlands




Masjid Di Albania




Masjid Di Kosovo




Masjid Di Greece




Masjid Di Bulgaria



Masjid Di Denmark



Masjid Di Ireland




Masjid Di Norway



Masjid Di Sweden



Masjid Di Findland



Masjid Di Scotland



Masjid Di Ukraine



Masjid Di Portugal



Masjid Di Russia




Selingan:

Surrounded by Muslims

Two business men seated on an airplane noticed a Muslim man sitting in front of them, one of the men says to the other with a wink, "I was going to go to Africa until I found out that half the country is Muslim so I don't want to go there".

The other man says, "We'll how about Saudi Arabia then?"

The first man says "No way, that place is loaded with those Muslims too."

The other man suggests a trip to the US but his companion says "The Muslims have spread out over the whole country every time I turn around there I bump into one."

The men are watching the Muslim, and can see that the Muslim man is fidgeting and getting kind of agitated about their conversation. The fellow who started the teasing decides to really get him mad and says "I really wanted to go to Pakistan but that place is crawling with Muslims"

At this the Muslim man has had it and finally turns around in his seat and sweetly says to the men, "Why don't you both go to hell? There's hardly any Muslims there!"

Pandikar Amin Tidak Wajar Sembunyi Di sebalik Kerusi Speaker - ALIRAN

Posted: 17 Dec 2010 07:00 AM PST

Pandikar jangan bersembunyi disebalik kerusi Speaker, kata Aliran

PETALING JAYA: Aliran Kesedaran Negara (Aliran) mempertikaikan kredibiliti Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebagai seorang Speaker Dewan Rakyat apabila gagal menjalankan fungsinya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

Presidennya, P Ramakrishnan berkata, kegagalan Pandikar melakukan tanggungjawab sebagai Pengerusi Jawatankuasa Hak dan Kebebasan itu sekaligus membuktikan prinsip keadilan dan hak asasi seseorang ahli Parlimen turut diketepikan.

Merujuk kepada penggantungan Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Anwar Ibrahim bersama tiga ahli Parlimen Pakatan Rakyat iaitu Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), (PKR-Gombak) Azmin Ali, dan (PKR-Subang) R Sivarasa selama enam bulan daripada tugas, Aliran berkata situasi itu hanya menyebabkan sistem doktrin pengasingan kuasa di negara ini hanya menjadi satu bahan cemuhan.

"Pengerusi jawatankuasa ini adalah Speaker Parlimen. Mengikut rekod hansard, Speaker memberi jaminan kepada Anwar beliau akan diberikan peluang untuk mempertahankan dirinya dalam mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

"Namun sebagai pengerusi mesyuarat, beliau tidak mengotakan janjinya dan tidak membenarkan Anwar membuat sebarang penjelasan malah tidak membenarkan Anwar melantik peguam bagi mempertahankan dirinya.

"Beliau tidak boleh mendakwa ada satu usul daripada ahli jawatankuasa mengatakan tidak perlu mendengar penjelasan Anwar… dan kemudian memasukkanya sebagai undi walaupun beliau tidak boleh mengundi dalam jawatankuasa itu, tidak ada merit dalam kenyataannya itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ramakrishnan berkata, Pandikar sepatutnya mempunyai kuasa mengarahkan jawatankuasa memerhatikan prinsip keadilan, namun beliau mencemarkan tugasnya dengan membenarkan dirinya bertindak sesuka hati.

Ini kerana menurut beliau, Pandikar sepatutnya boleh menggunakan kuasa budi bicaranya sebagai Speaker untuk membuat sebarang keputusan walaupun beliau tidak boleh mengundi.

"Bukankah beliau juga mempunyai beberapa kuasa tertentu sebagai pengerusi bagi memastikan jawatankuasa dikendalikan dengan adil secara akar umbi?

"Pandikar merupakan pengerusi dewan semasa usul dikemukakan untuk menggantung Anwar daripada tugasnya sebagai ahli parlimen selama enam bulan.

"Bagaimana beliau boleh bersikap neutral dalam isu ini semasa beliau mempengerusikannya sebagai sepaker? Jadi bermakna dakwaan Karpal itu betul bahawa beliau kehilangan kuasa moral dalam mempengerusikan Dewan," katanya.

Begitu juga dengan nasib Karpal, Azmin, dan Sivarasa apabila Ramakrishnan mempersoalkan mengenai keputusan yang dikenakan terhadap mereka tanpa sebarang notis tunjuk sebab dikemukakan dan diberi peluang untuk membela diri.

Melihat kepada keadaan ini, beliau berkata undian yang didalangi majoriti ahli parlimen Barisan Nasional jelas membuktikan BN kini terdesak mahu mendapatkan kemenangan majoriti dua pertiga dalam pilihan raya umum satu jumlah yang gagal dicapai oleh mereka semasa PRU 2008.

"Apa yang berlaku di Perak kini berlaku dalam Dewan Rakyat. Peristiwa semalam melihat kepada sistem demokrasi negara menjadi sebaliknya.

"Corakmya sama, caranya licik. Tindakan ini jelas menunjukkan satu cubaan untuk memperolehi kerus majoriti dua pertiga yang gagal diperoleh BN semasa pilihan raya umum 2008," katanya. -FMT

Bekas Suami Daphne Iking Terkejut Isobel Bukan Anak Kandungnya

Posted: 17 Dec 2010 05:30 AM PST

Bekas Suami Daphne Iking Terkejut Isobel Bukan Anak Kandungnya

KUALA LUMPUR: Bekas suami kepada pengacara, Daphe Iking memberitahu, bahawa beliau terkejut semasa mengetahui bahawa anak perempuan mereka, Isobel Daniella bukanlah anak kandungnya.

Ryan Chong Yiing Yih, 32, menambah, beliau telah membawa Isobel, 2, menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan darah di sebuah klinik di Petaling Jaya, dekat sini selepas mengesyaki perkara tersebut.

"Sampel spesimen tersebut kemudian dihantar ke Australia untuk diuji dan daripada laporan perubatan tersebut menerangkan bahawa saya bukan bapa kepada Isobel," katanya.

Katanya lagi, darah beliau dan Daphne adalah jenis O tetapi Isobel mempunyai darah kumpulan A.

Terdahulu, Ryan yang memberi keterangan di Mahkamah Majistret di sini Jumaat, memaklumkan perasaan syak timbul selepas terbaca e-mel antara Daphne dengan Darren Choy Khin Ming di komputer bekas isterinya.

Katanya lagi, dalam e-mel itu Daphne menulis bahawa seorang doktor yang dikenali sebagai Dr. Kamajit telah memberitahu bahawa wajah Isobel mirip dengan wajah Darren, seorang ahli perniagaan.

Pada prosiding sama, Ryan turut mengemukakan kiriman e-mel dan salinan perbualan antara Daphne dan Darren yang didakwa berlaku di ruang siber.

Antara e-mel tersebut bertarikh antara 13 September 2006 dan 3 Jun 2008 dan mengandungi ayat-ayat seperti 'I love you' dan 'you are my baby'.

Ryan juga memberitahu, beliau mengetahui Daphne dan Darren ada membuat rancangan untuk bercuti di Indonesia untuk melakukan hubungan intim.

Turut dikemukakan di mahkamah ialah invois percutian di sebuah hotel di Bali, Indonesia yang didakwa antara Daphne dan Darren.

Ryan sedang memberi keterangan terhadap Darren, 45, yang dinamakan sebagai defendan dalam saman peribadinya kerana didakwa memikat Daphne yang semasa itu masih berstatus isterinya.

Ryan berkahwin dengan Daphne pada 27 Januari 2007 di Bali.

Darren didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat supaya Daphne atau nama sebenarnya Daphne Eleanor Iking, 31, melakukan persetubuhan yang ditegah dengannya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di B-13-2, The Plaza, Jalan Wan Kadir 3, Taman Tun Dr Ismail, di sini, antara Julai 2007 dan September 2008.

Darren dipercayai merupakan individu pertama yang didakwa mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jka sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, Ryan diwakili peguam-peguam Wong Kian Kheong dan Chris Lim manakala peguam-peguam Akbardin Abdul Kader dan Datuk Jagjit Singh mewakili Darren.

Perbicaraan yang didengar di hadapan Majistret Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah bersambung Isnin ini. -mstar

Ahli Tabligh Mati Lemas Di Dungun

Posted: 17 Dec 2010 05:04 AM PST

Ahli tabligh mati lemas

DUNGUN – "Dengan segala keringat yang ada, saya cuba menolaknya ke tepi beberapa kali, namun arus deras menyebabkan kami hanyut ke tengah semula. Seketika kemudian saya mengalami kekejangan otot menyebabkan saya terpaksa melepaskannya dari pelukan sebelum berenang ke tepi untuk menyelamatkan diri.

"Akhirnya dia tenggelam dan hilang dari pandangan. Saya benar-benar terkilan kerana gagal menyelamatkannya."

Demikian menurut Muhamad Sulaiman, 30-an, saksi kejadian yang turut berhadapan detik mencemaskan ketika cuba menyelamatkan rakannya, Bahaman Md Yusof, 26, daripada dihanyutkan ombak ketika sedang mandi bersama empat lagi rakannya di Pantai Batu Pelanduk, Kampung Kuala Abang, dekat sini, pagi semalam.

Muhamad berkata, tragedi yang mengorbankan nyawa sahabat karibnya itu berlaku kira-kira jam 10 pagi ketika mereka sedang mandi di tepi pantai setelah tiba bersama jemaah tabligh untuk aktiviti keagamaan di Masjid Kuala Abang.

Mayat mangsa ditemui jam 12.20 tengah hari semalam oleh pasukan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Dahlan Mohd Noor berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun, di sini, untuk dibedah siasat.

"Jenazah mangsa dituntut ahli keluarganya untuk dikebumikan di Kampung Pengkalan Nyireh, Kampung Raja, Besut," katanya.

Konspirasi SPR: MB Kedah Tunggu Jawapan

Posted: 17 Dec 2010 03:36 AM PST

Pas masih tunggu respon SPR

ALOR SETAR - Pas Kedah mempertikaikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana masih belum menerima maklum balas berhubung bantahan yang dibuat mengenai pendaftaran pemilih baru di Kedah bagi suku ketiga, yang didakwa berlaku penipuan.

Pesuruhjayanya, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, bantahan yang dibuat Oktober lalu seolah dipandang remeh SPR, malah didakwa tidak berpandukan prosedur yang digariskan SPR apabila pihak yang membuat bantahan tidak dipanggil untuk soal siasat.

"Saya hairan kerana sehingga hari ini, tiada maklum balas daripada SPR mengenai isu ini, sedangkan bantahan telah dikemukakan secara rasmi. Saya masih menunggu jawapan daripada SPR berhubung dakwaan yang saya dedahkan itu," katanya, ketika dihubungi.

Pada 19 November lalu, Azizan meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat siasatan terhadap SPR berhubung pendaftaran pemilih baru di Kedah bagi suku ketiga, yang dipamerkan 27 Oktober lalu kerana didakwa berlaku penipuan.

Azizan berkata, pihaknya telah pun membuat bantahan rasmi terhadap SPR, mendakwa penipuan daftar pemilih berlaku di beberapa kawasan di negeri ini, antaranya di Kem Bukit Kayu Hitam, serta Kompeni Batalion 304 Askar Wataniah di Belantek dan Kem Gubir, membabitkan isteri-isteri anggota tentera.

Azizan mendakwa SPR tidak telus kerana berdasarkan daftar pemilih yang dipamerkan itu, nama-nama pengundi baru terbabit adalah isteri-isteri anggota tentera. Turut menimbulkan keraguan apabila terdapat nama yang dipamerkan itu menetap di kawasan lain, tetapi namanya didaftarkan di kem tersebut.

"Sepatutnya wakil kita yang membuat bantahan sudah dipanggil untuk beri keterangan dan tunjukkan bukti. Sampai sekarang saya masih tunggu, jangan fikir kami berdiam diri bermakna sudah lupa dan akan ketepikan isu itu, saya akan tetap bangkitkan semula apabila tiba masanya nanti," katanya.

Menurutnya, pihaknya akan memberi lebih masa kepada SPR untuk meneliti perkara terbabit, namun tidak menetapkan tempoh tertentu, sebaliknya bercadang mengambil tindakan susulan yang lebih serius sekiranya perkara itu tidak diberi perhatian.

"Buat masa ini saya hanya mahu tunggu jawapan SPR, jika mereka masih tidak endah, saya akan fikirkan cara lain," katanya. -SH

Tiada ulasan: