Selasa, 28 Disember 2010

KARPET KUNING

KARPET KUNING


Piala AFF Suzuki 2010 - Indonesia mahu tebus maruah selepas dibenam Malaysia.

Posted: 28 Dec 2010 06:40 PM PST



Oleh Mohd Sani Ali

'DUNA belum kiamat. Bangkitlah teruskan perjuangan!'

Demikian antara pojok media Pos Kota di Jakarta dalam usaha membakar semangat juang kesebelasan Indonesia dalam pertarungan akhir pusingan kedua Kejohanan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) Piala Suzuki, di Stadium Bung Karno Senayan, Jakarta, malam ini.

Rata-rata media di Jakarta berusaha meniup semangat anak didik jurulatih Alfred Riedl untuk menebus maruah Sang Garuda bagi membenam Harimau Malaysia di kandang sendiri.

Bagaimanapun, pertarungan yang dijangka sengit itu mungkin dilanda masalah jika penyokong fanatik Merah Putih memilih untuk mengganggu pertarungan seperti yang tercetus di Stadium Bukit Jalil Ahad lalu.

Ini disebabkan ramai peminat Indonesia masih berpendapat bahawa penyokong Malaysia bersikap curang dengan menggunakan sinaran laser mengganggu dan menggugat tumpuan pemain mereka.

Pada masa yang sama, media Malaysia pula mengemukakan bukti bahawa penyokong Indonesia terlebih dahulu 'menyerang' pemain Malaysia dengan sinaran laser ketika anak didik jurulatih K. Rajagobal digilis 5-1 pada 1 Disember lalu.

Jadi, jika penyokong Malaysia boleh melontar 'letupan' di tengah padang Stadium Bukit Jalil, apakah peminat Indonesia tidak boleh melakukan tindakan serupa?

Timbul juga pertanyaan mengenai kemampuan pegawai keselamatan tuan rumah mengawal keadaan di Senayan selepas para penyokong merobohkan pagar pemisah antara penonton dengan padang.

Malah, seorang peminat Indonesia dilaporkan meninggal dunia kerana diasak sewaktu berebut-rebut membeli tiket pertandingan yang habis terjual.

Kini pertanyaan yang lebih berat dihadapi Riedl ialah mampukah Indonesia menjaringkan empat gol malam ini?

'Matlamat kami ialah menjaringkan gol awal dan berharap ia mampu meningkatkan moral dan keyakinan mereka untuk meneruskan pertarungan. Bagaimanapun, peluang kami tinggal 5-10 peratus sahaja. Tetapi kami akan turun dengan permainan menyerang,' kata jurulatih asal Austria itu kepada kompas.com.

Walaupun mengakui peluang Indonesia kecil, Riedl menegaskan dalam bola sepak apa-apa boleh terjadi.

'Kami berjaya mencatat kemenangan selesa 5-1, apakah kami tidak mampu muncul sebagai juara?' katanya.

'Tetapi ini tugas berat. Untuk mencatat empat gol terlalu sukar. Jika berjaya menjaring tiga gol sudah bagus.'

Riedl pasti ingin anak didiknya mencontohi kebangkitan Liverpool dalam final Liga Juara-Juara Eropah 2004 apabila mereka bangkit selepas ketinggalan 0-3 untuk mencatat seri 3-3 dan akhirnya menang menerusi penalti.

Beliau turut berharap sokongan padu peminat setempat dapat menjejas semangat pemain muda Malaysia, terutama penjaring gol utamanya, Mohd Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha.

Namun, kebangkitan Malaysia selepas menyingkirkan juara bertahan Vietnam dengan agregat 2-0 dan menang 3-0 dalam perlawanan final pertama tetap membuat Riedl gusar.

Tiada ulasan: