Jumaat, 24 Disember 2010

kalam Perantau

kalam Perantau


Surau Al-Hidayah Rawang : Demonstrasi hanya provokasi

Posted: 24 Dec 2010 02:30 AM PST

BANDAR BARU SELAYANG – Demonstrasi bantahan terhadap Surau Al-Hidayah, Kampung Melayu Pekan Rawang yang dikatakan bakal dirobohkan hanyalah provokasi.

Yang Dipertua Pas Kawasan Selayang, Mohamad Abdul Rahman berkata, tujuan demonstrasi pihak tertentu berhubung surau itu, hanya mencari populariti murahan bagi menghasut rakyat membenci dan keliru, kononnya Pakatan Rakyat (PR) tidak prihatin isu agama Islam.

"Rakyat kini semakin cerdik menilai. Pihak berkenaan hanya mahu membuat provokasi dengan menguar-uarkan kepada penduduk Rawang, seolah-olah berlaku kelemahan dan ketidakcekapan Kerajaan Negeri sekarang, menyebabkan satu-satunya tanah orang Melayu di Pekan Rawang jatuh ke tangan syarikat swasta.

"Kita bukan sekadar mempertahankan tanah, tetapi lebih daripada itu kesucian Islam," katanya selepas majlis mengangkat sumpah sebagai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer di Shah Alam.

Dalam pada itu, beliau yang juga Penasihat Permuafakatan Nazir-Nazir Masjid Selayang berkata, pihaknya menyokong kenyataan Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin bahawa Kerajaan Negeri tidak terlibat dengan pelan pembangunan tapak seperti dituduh.

Menurutnya, pihaknya mengenal pasti mereka menghadiri demonstrasi yang majoritinya terdiri pimpinan tertentu termasuk Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) Datuk Zainal Abidin Sarkom, yang penglibatannya disifatkan tidak wajar.

Katanya, kenyataan semasa demonstrasi menghentam Kerajaan Negeri itu tidak berasas dan memakan diri kerana kini, daripada rakyat tidak tahu menahu, ia sebenarnya memecahkan tembelang pihak terlibat.

"Tanah terlibat dalam projek pembangunan itu sebenarnya dimiliki oleh satu syarikat yang akan menjalankan projek bersama sebuah syarikat swasta. Rekod menunjukkan syarikat yang dimaksudkan bukan lagi anak syarikat milik Kerajaan Negeri Selangor semenjak 2002 lagi.

"Sebenarnya bukan setakat Surau Al-Hidayah sahaja kita sentuh, tetapi ada beberapa perkara lain berkaitan dengan tanah dan agama Islam di Rawang dan Pas Selayang akan cuba membongkar isu berkaitan," katanya.

Mohamad berkata, pihaknya sedang mengumpul bukti termasuk tergadainya sebahagian tanah Masjid Nurul Iman Rawang untuk pembinaan jalan oleh syarikat swasta sama.

Menurutnya, ini termasuk tanah surau dan rizab kubur di Rawang yang sudah digazetkan telah bertukar status, di mana ia dikatakan berlaku semasa pemerintahan Kerajaan Negeri lalu.

"Mungkin tidak ramai tahu sejarah Surau Al-Hidayah di Kg Melayu, Rawang termasuk kronologi surau itu. Oleh itu pihak kami meminta rakyat dan penduduk sekitar Rawang tidak mudah percaya kenyataan dikeluarkan pihak tertentu.

"Mereka yang mahukan maklumat lanjut boleh merujuk Pentadbir Masjid Nurul Iman Rawang sebagai penaung semua surau di dalam pentadbirannya," katanya.

Mohamad juga menggesa penilaian rakyat sebaiknya kerana sepanjang PR memerintah tidak pernah berlaku lagi perobohan masjid dan surau begitu juga rumah ibadah bangsa agama lain. Katanya, masjid dan surau kini juga sentiasa diimarahkan oleh rakyat, berbeza berbanding masa pemerintahan sebelum ini.

Menurutnya sehubungan itu, pihaknya menyokong Kerajaan Negeri agar polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat siasatan lanjut berkenaan isu Surau Al-Hidayah.

"Siasatan ini termasuk dari sudut pengutipan sewa kepada gerai di tapak surau itu dan bayaran yang disalurkan ke tabung surau.

"Insya-Allah kami akan sentiasa memberi kerjasama bersama dengan pihak Kerajaan Negeri untuk memberi keterangan," katanya.

Dalam demonstrasi 19 Disember lalu, Penasihat Badan Bertindak Surau Al-Hidayah (BBSAH), Datuk Ir Md Nasir Ibrahim mempertikaikan tapak surau yang juga rizab masjid terbabit didakwa dipecahkan kepada lapan lot, manakala lima daripadanya dikatakan sudah ada pembeli.


Pilihan Raya Kecil DUN Tenang 30 Jan, Penamaan Calon 22 Jan

Posted: 23 Dec 2010 11:34 PM PST

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan tarikh penamaan calon pilihan raya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Johor pada 22 Jan depan dan jika ada pertandingan, pengundian diadakan pada 30 Jan.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata SPR menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Negeri Johor pada 17 Dis lalu berhubung kekosongan kerusi DUN Tenang berikutan kematian penyandangnya Datuk Sulaiman Taha pada hari yang sama.

“Sehubungan itu, SPR mengadakan mesyuarat khas mengenainya pada hari ini dan menetapkan satu pilihan raya kecil perlu diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh kekosongan yang diputuskan oleh SPR bagi mengisi kekosongan kerusi berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Sulaiman, 59, disahkan meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam darah dan penyakit kencing manis di Hospital Pakar Ampang Puteri, Kuala Lumpur.

Sulaiman mempertahankan kerusi DUN Tenang pada pilihan raya umum ke-12 dengan menewaskan calon PAS, Mohd Saim Siran dengan majoriti 2,492 undi.

Abdul Aziz berkata pilihan raya kecil itu akan menggunakan Daftar Pemilih Induk 2009 yang digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama 2010, Suku Tahun Kedua 2010 dan Suku Tahun Ketiga 2010.

Beliau berkata terdapat 14,753 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 14,735 pemilih biasa dan 18 pengundi pos, dengan kebanyakan penduduk bekerja sebagai petani, pekerja di ladang getah dan kelapa sawit.

Daripada jumlah itu, 7,014 orang (47.54 peratus) terdiri daripada kaum Melayu; Cina (5,766); India (1,780); Bumiputera Sabah (enam), Bumiputera Sarawak (lima) dan Orang Asli (171).

Abdul Aziz berkata SPR akan menggunakan pejabat Majlis Daerah Labis sebagai pusat penamaan calon manakala Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis sebagai pusat penjumlahan rasmi undi.

“Sebanyak sembilan buah sekolah dan tiga buah dewan akan digunakan sebagai pusat mengundi yang mengandungi 32 saluran tempat mengundi. Seramai 376 petugas akan terlibat dalam pilihan raya kecil ini, ” katanya.

Ketua Penolong Pegawai Daerah Kecil Labis Md Asri Amir dilantik sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya selain tiga Penolong Pegawai Pengurus bagi menjalankan pilihan raya kecil berkenaan. Abdul Aziz berkata tiga pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya akanditubuhkan, yang diketuai oleh seorang pegawai penguatkuasa bagi setiap pasukan,bagi tujuan memantau semua aktiviti kempen pilihan raya sepanjang lapan hari tempoh rasmi berkempen.

Kira-kira RM1.1 juta diperuntukkan untuk menjalankan pilihan raya kecil yang ke-14 sejak pilihan raya umum 2008 diadakan, yang telah membelanjakan sekurang-kurangnya RM10 juta.- BERNAMA


Tiada ulasan: