Ahad, 19 Disember 2010

kalam Perantau

kalam Perantau


Hindraf ancam PR?

Posted: 19 Dec 2010 11:00 PM PST

HRP kepada Pakatan: Beri kami 15 kerusi parlimen

Parti pelampau – Hindraf-Parti Hak Asasi Manusia (HRP) telah memberi kata dua kepada Pakatan Rakyat supaya memberi laluan kepada parti kaum India itu bertanding satu lawan satu dengan BN di 15 kerusi parlimen dan 38 kerusi negeri dalam pilihanraya umum akan datang.

Dalam surat yang dihantar hari ini kepada ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, penasihat DAP Lim Kit Siang dan presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang, setiausaha agung penaja HRP, P Uthayakumar berkata jika Pakatan tidak memenuhi permintaan parti itu, gabungan itu akan berdepan dengan pertandingan tiga penjuru di kawasan berkenaan.

Sebagai ganjaran tidak bertanding, menjanji sokongan dan menyediakan bantuan jentera kepada HRP, Pakatan akan mendapatkan “sokongan tidak berbelah bagi dan kerjasama di semua 207 kerusi parlimen dan 538 kerusi DUN untuk memenangi semula sokongan pengundi India.

Beliau berkata, pihaknya telah menyokong (Pakatan) dalam pilihanraya umum ke-12, dan sekarang “kami meminta anda membalas budi itu.”

Uthayakumar berkata, pihak berharap Pakatan tidak akan meletak calon di kawasan berkenaan sehingga menyebabkan berlakunya pertandingan tinga penjuru “menentang musuh politik bersama kita (Umno-BN).

Dikehendaki: Ijok, Lembah Pantai, Padang Serai

Bercakap dalam satu sidang akhbar di ibupejabat HRP di di Bangsar, Kuala Lumpur, Uthayakumar berkata bahawa kerusi yang dipilih itu mempunyai jumlah besar pengundi India, termasuk kerusi yang kini diwakili wakil rakyat PKR seperti Padang Serai di Kedah, Ipoh di Perak Barat, Kota Raja di Selangor dan Lembah Pantai di Kuala Lumpur.

Mereka juga berminat dengan kerusi parlimen Sungei Siput, Perak, yang kini diwakili oleh anggota jawatankuasa pusat PSM, Dr D Jeyakumar.

Uthayakumar berkata, 15 aktivis setia Hindraf telah disenarai-pendekkan sebagai calon.

“Mereka telah teruji, telah menjadi sebahagian daripada Hindraf sejak hari pertama, tidak akan melompat ke parti lain dan sama kuat dengan calon PAS,” katanya.

Ditanya mengapa HRP memilih untuk tidak menyokong calon Pakatan di kawasan pilihan raya berkenaan, Uthayakumar berkata, ia kerana isu yang dihadapi oleh masyarakat miskin India di situ tidak di bawa ke Parlimen.

Bagaimanapun, HRP tidak menolak kemungkinan bertanding di bawah tiket Pakatan jika mereka gagal mendaftarkannya sebagai parti

politik dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) menjelang pilihan raya umum akan datang.

Uthayakumar berkata, pihaknya telah mengemukakan semua dokumen yang diperlukan oleh ROS pada 25 November.

Menurutnya sama ada didaftar atau tidak, mereka akan bertanding, termasuk sebagai calon Bebas.

Kerusi parlimen yang dituntut bahawa HRP ialah:

1. Padang Serai (Penyandang: PKR-N Gobalakrishnan)
2. Batu Kawan (DAP-P Ramasamy)
3. Sungei Siput (PSM-Dr D Jeyakumar)
4. Ipoh Barat (DAP-N Kulasegaran)
5. Bagan Datoh (Datuk Zahid Hamidi BN-Ahmad)
6. Cameron Highlands (BN-SK Devamany)
7. Hulu Selangor (BN-P Kamalanathan)
8. Kuala Selangor (PAS-Dzulkefy Ahmad)
9. Klang (DAP-Charles Santiago)
10. Kota Raja (PAS-Siti Mariah Mahmud)
11. Rasah (DAP-Anthony Loke)
12. Teluk Kemang (PKR-Kamarul Baharin Abbas)
13. Alor Gajah (BN-Fong Chan Onn)
14. Tebrau (BN-Teng Boon Soon)
15. Lembah Pantai (PKR-Nurul Izzah Anwar)

Malam ini, Uthayakumar juga akan dilancarkan buku kedua yang ditulisnya ketika 514 hari berada dalam tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Berjudul ’25 November Hindraf Rally 2007 “, buku setebal 400 halaman itu merupakan catatan peribadinya mengenai peristiwa yang membawa kepada perhimpunan bersejarah yang disertai oleh 30,000 kerana memprotes diskriminasi terhadap kaum India, dan pengalamannya di bawah ISA.


Umno Biadab Dengan Raja-Raja Melayu

Posted: 19 Dec 2010 09:12 PM PST

Oleh : Idris Hj Ahmad 
 
Sah, pemimpin umno layak untuk menerima anugerah terbaik dalam festival filem drama politik Malaysia.  Contohnya umno yang sesak nafas dan tidak cukup oksigen untuk bernafas, maka cuba memanjangkan talian sampai ke pagar istana. Mereka cuba memainkan sentimen bahawa sekarang  ada pihak yang hendak menggugat Raja-Raja  Melayu. Tindakan umno sama seperti pepatah Arab yang mengatakan "dia pukul aku, dia menangis, dia maki aku maka dia mengadu orang yang maki dia". Sebenarnya  pemimpin umno silap, bahawa sejarah tidak boleh menipu, walaupun pemimpin umno kaki penipu dan putar alam dalam isu Raja-Raja Melayu. Di bawah ini sebagai bukti yang menghina Raja-Raja Melayu ialah pemimpin umno. 

  1. Pengasas Umno Dato' Onn Jaafar dibuang daripada istana Johor pada tahun 1920 dan membawa diri ke Singapura kerana kritik Sultan atas isu harta. 
  2. Tahun 1974  Tan Sri Ghazali Jawi (bapa Dato' Seri Tajul Rosli) yang tidak mahu meletak jawatan Menteri besar Perak, walaupun perjanjian asal dia hanya hendak pegang dua tahun sahaja. Apabila sampai masanya dia tidak mahu lepas jawatan. Sultan Idris murka dan bernazar tidak mahu cukur jambang, selagi Ghazali Jawi tidak mahu letak jawatan. Bukankah ini derhaka namanya. Tiba-tiba Datuk Seri Tajul Rosli kata Umno tidak pernah derhaka tidak pernah ucap macam Nizar.( UM 12/2/09). Tindakan bapanya kepada Sultan Perak apa pula maknanya.
  3. Begitu juga pada tahun 1979 kes Dato' Rahim Bakar bekas Menteri besar Pahang yang berselisih dengan Sultan pahang. Media pro Umno mengkritik sultan secara terbuka.
  4. 1983  Umno hendak meminda supaya kuasa DYMM Yang Di Pertua Agong mengenai pengisytiharan darurat dikurangkan maka Umno membelasah Raja-Raja Melayu kerana menolak cadangan tersebut.
  5. Pada  tahun 1991 dalam  Persidangan Agung Umno,  Sultan Kelantan dihentam secara terbuka kerana menyebabkan Umno kalah di Kelantan. 
  6. Dalam Persidangan Agung Umno juga, perwakilan Umno meminta  harta raja disiasat. Berita ini dilaporkan oleh Utusan Malaysia muka surat depan. Apakah ini bukan derhaka?
  7. Satu demontrasi dan hantar memorandum kepada Sultan Kelantan telah dibuat oleh pemimpin Umno Kelantan. Kenapa FRU tidak tembak gas? Apakah ini bukan derhaka namanya.?
  8. Pada 18hb Jan 1993 Pindaan Perlembagaan Persekutuan  yang membolehkan raja di bawa ke mahkamah. Apabila Raja-Raja Melayu minta tangguh pindaan ini, maka media mengkritik secara terbuka salah laku raja. (BH 19/1/1993)
  9. Beberapa siri rapat umum haram Umno di Alor Setar, Bagan Datoh, Seremban, Batu Pahat dan Melaka untuk menunjuk sokongan pada Tun Mahathir dan mengecam raja-raja Melayu.
  10. Sebab itu Ku Li dengan sinis menyatakan "Mana satukah yang lebih merbahaya Pindaaan 1993  atau tindakan rakyat  tidak menunjukkan hormat pada sultan Perak pada 6/2/09. Ku Li tidak bersetuju dengan tindakan Karpal saman Sultan Perak, tetapi beliau menyatakan Karpal membuat suatu perkara yang dibenarkan oleh perlembagaan yang pemimpin Umno yang beri laluan pada tahun 1993.  (Star On Line 17/2/09). Tiba-tiba sekarang Umno pula menjerit marah kepada Karpal. Sepatutnya orang Umno kena buat demo depan pejabat Umno. Saya yakin hak yang pergi demo itu memang zero IQ, yang tidak sedar bahawa pemimpin merekalah yang menjatuhkan martabat raja sehingga boleh dibawa ke mahkamah.
  11. Peristiwa pertabalan Tengku Ibrahim Inderaputera untuk mengganti  Sutan Ismail Putera 29hb April 1993 di Ketereh Kelantan oleh Dato' Annuar Musa . Ini lagi memalukan, apakah ini bukan derhaka atau kurang ajar namanya?  Budaya mana pemimpin umno ambil 
  12. Kenyataan biadab  Shahidan Kasim bekas MB Perlis mengatakan " Sultan Kelantan sekarang tidak layak menduduki takhta dia ada bukti" (BH 11hb Jun 1993)
  13. Dato' Muhamad Taib kata Nizar derhaka, Dia lupakah yang dia  bawa lari Ku Yah (puteri Sultan Selangor kahwin lari sampai Sultan murka). Apakah ini bukan derhaka?. 
  14.  23 daripada 24 ADUN Terengganu ugut boikot angkat sumpah Dato' Ahmad Said  selepas pilihanraya 2008. Mereka buat kenyataan terbuka menyanggah pihak istana dan mahu Idris Jusoh juga jadi MB Terengganu.  Manakala penyokong Umno pula mengatakan sultan binatang. Kenapa polis tidak tangkap mereka yang demo dan hina sultan. Apakah pihak polis buta sampai tidak tahu siapa yang pegang kain rentang yang menghina sultan sebagai binatang. Kenapa polis boleh tangkap mereka yang demo di depan Istana Kuala Kangsar 6hb Feb 2009. 
  15. Shahidan Kasim  boikot perlantikan Dr Isa Sabu sebagai MB Perlis, bukankah ini derhaka namanya. 
  16. Tan Sri Rahim Tamby Chik sewaktu menjadi Ketua Menteri Melaka meminta supaya amalan panggilan 'patik' yang digunakan sewaktu berkomunikasi dengan sultan dihentikan, memadai dengan hanya menyatakan 'saya tuanku'. BH 3/2/1993. Ini ungkapan yang biadab dan derhaka kepada Raja Melayu. 
  17. Dato' Ahmad Zahid Hamidi ketika menjadi Ketua Pemuda Umno mencabar supaya Sultan Kelantan Ismail Petra turun takhta kerana beliau bukan waris yang sah (BH 11/2/1993). Ini sikap biadab yang ditunjukkan oleh Zahid Hamidi terhadap sultan yang cuba campurtangan soal pelantikan raja-raja melayu.
    Banyak kenyataan yang berupa penghinaan kepada Raja-Raja Melayu ketika pemimpin Umno bergaduh dnegan Raja-Raja melayu. Dr Mahathir mengatakan Raja tidak henti meminta daripada kerajaan BH 30/1/1993 
  18. Berita harian 23/1/1993  mengaibkan mendedahkan pesta arak di majllis sultan dan membawa perempuan cantik kadang-kadang lapan orang.

Sekarang jelas siapa derhaka dan tidak hormat Raja. Siapakah penderhaka sebenarnya di negara  ini. Jawabnya tentulah pemimpin Umno . Pemimpin Umno hanya menggunakan istana untuk talian hayat mereka sahaja. Mereka bukan jujur, merekalah yang menjatuhkan martabat raja-raja Melayu.


INTIPATI UCAPAN PRESIDEN PAS SEMPENA KONVENSYEN PAKATAN RAKYAT KE-2

Posted: 19 Dec 2010 03:30 PM PST

Dewan Millenium, Kepala Batas, Pulau Pinang

19 Disember 2010

Mukaddimah

Yang Dihormati Saudara Pengerusi, YB Dato' Seri Anwar Ibrahim – Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), YAB Saudara Lim Guan Eng – Setiausaha Agung DAP – Ketua Menteri Pulau Pinang, Yang Dihormati Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail – Presiden PKR, Seluruh Anggota Kepimpinan  PAS – PKR – DAP, YAB Menteri Besar Kelantan – Kedah – Selangor, NGO, para tetamu dalam dan luar negara, Wakil-wakil Kedutaan Asing, Ahli-ahli Yang Berhormat serta seluruh perwakilan dan pemerhati sekalian.

Kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana kita sekali lagi berada dalam kesempatan yang sangat bermakna di penghujung tahun 2010, setelah setahun lalu kita sama-sama melakarkan sejarah dengan mengadakan Konvensyen Pakatan Rakyat yang pertama di Shah Alam pada bulan Disember 2009.

Tentunya Konvensyen Pakatan Rakyat kali kedua ini pula akan menjadi medan kita bermuhasabah, menilai keperluan, menanda aras pencapaian dan menambahbaik tindakan, setelah kita diberikan amanah menguruskan kerajaan di empat buah negeri dan seterusnya memimpin rakyat untuk membuat perubahan di negeri-negeri yang lain, insyaAllah.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

Ketetapan Konvensyen Pertama

Setahun yang lalu, kita telah sama-sama menerokai dasar bersama yang dipersetujui, dengan rangka matlamat melaksanakan muafakat yang sangat bermakna dalam negara kita ini bagi membebaskan negara dari kemelut yang sangat menekan rakyat dan penuh dengan penyakit di segenap sudut, seterusnya membentuk gagasan alternatif terbaik untuk negara.

Maka kita telah mencorakkan dasar bersama yang penting di bawah Muafakat Rakyat iaitu untuk (1) Mengembalikan demokrasi telus dan tulen, (2) Memacu Ekonomi Berprestasi Tinggi, Mapan dan Adil, (3) Keadilan Sosial dan Pembangunan Insan dan (4) Hubungan Persekutuan-Negeri dan Dasar Luar Negara.

Semua dasar bersama ini akan terus dilaksanakan selari dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, yang merupakan suatu  penzahiran cita-cita dan harapan rakyat Malaysia yang merdeka.  Di dalamnya hak asasi setiap rakyat termasuk hak agama, bahasa, kerakyatan dan budaya dijamin sepenuhnya.

Dalam hal ini, PAS akan terus menjadi penjaga amanah bagi memperkasakan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, di mana perubahan kita adalah dalam ruang lingkup undang-undang negara dengan mengambilkira Islam sebagai agama rasmi negara, dengan meletakkan Islam berdasarkan kepada maknanya yang sebenar. Dalam masa yang sama agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana sahaja di negara kita ini.

PAS percaya bahawa kekeliruan terhadap Islam yang adil yang ingin dibawa oleh PAS berlaku kerana contoh dan tafsiran salah terhadap Islam yang ditunjukkan oleh UMNO selama ini, sehingga melahirkan pemimpin yang tidak amanah, dan berkuasa melalui rasuah serta penipuan.

PAS percaya bahawa keadilan sejagat Islam yang sememangnya bersesuaian dengan fitrah manusia boleh menjadi tiang seri yang mampu untuk menyatukan hati manusia. Kita mesti menyedari bahawa di sana ada perkara yang sama dan berbeza dalam kalangan manusia yang perlu diraikan. Islam mengiktiraf kewujudan pelbagai kaum, dan perpaduan itu mestilah berteraskan rasa saling hormat menghormati dan kenal mengenal di atas sifat kemanusiaan serta dilayan dengan adil, walaupun berbeza agama dan kaum.

Firman Allah SWT  :

Maksudnya :

Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal. [49:13]

Kita juga telah bersetuju untuk terus melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153, mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi raja berperlembagaan, memartabatkan pengunaan Bahasa Melayu selari dengan Perkara 152 Perlembagaan dan memperluaskan Bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau, dan dalam masa yang sama melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum.

Seluruh ketetapan yang sama-sama kita lakarkan dalam konvensyen yang lalu, sebenarnya telah menjawab segala tohmahan jahat dari pihak musuh politik kita bahawa kononnya Pakatan Rakyat adalah golongan yang tidak memahami perlembagaan dan akan menjual rakyat dengan harga yang murah.

Hakikatnya, merekalah yang sebenarnya tidak menghormati tonggak demokrasi berparlimen, apabila dengan penuh keangkuhan telah menggunakan kuasa bagi menyingkirkan Ahli Parlimen kita dari Parlimen Malaysia. Apa yang berlaku hingga kini ialah, mereka takut untuk berhujah dan gagal memberikan apa-apa jawapan yang meyakinkan mengenai isu yang diperkatakan. Merekalah sebenarnya yang telah memberikan nama buruk negara ke persada dunia.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

Persidangan Shah Alam 2010

Selain dari itu, kita juga menjadikan persidangan yang dihadiri oleh Menteri Besar dan Ketua Menteri, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Agensi Kerajaan Negeri, semuanya dari Negeri Pakatan Rakyat pada 29 November lalu sebagai komitmen kita untuk menambahbaik aspek ekonomi, sosial, politik dan pentadbiran kerajaan yang kita pimpin.

Saya amat berharap agar segala buah fikiran dan perancangan yang begitu baik itu tidak menjadi bahan yang tinggal di atas kertas sahaja, tetapi di berikan kefahaman kepada pegawai pentadbiran kerajaan agar mereka memahami aspirasi kita dan seterusnya melaksanakannya. 

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

Masa Bergerak Ke Depan

Hari ini juga kita berhimpun, dengan penegasan yang lebih bermakna, bahawa kita ingin terus melakukan perubahan, di atas prinsip Tahalluf Siyasi, yang menggariskan prinsip kebersamaan kita  dengan menekankan persamaan untuk memerangi kezaliman, ketidakadilan serta rasuah tanpa menafikan asas pembentukan negara Malaysia dan struktur masyarakatnya.

Pada hari ini juga kita menghasilkan satu dokumen kerja dan sasaran yang ingin kita capai dalam berbagai sudut.  Cabaran terbesar kita nanti ialah bagaimana kita menterjemahkan perancangan ini ke dalam bentuk tindakan yang bukan sahaja difahami oleh pelaksana yang terdiri dari pegawai-pegawai kerajaan di bawah negeri Pakatan Rakyat, tetapi juga difahami oleh rakyat yang berada di bawah kerajaan Pakatan Rakyat khususnya, dan rakyat dalam negara kita ini umumnya. Rakyat lah nanti yang akan menjadi hakim di atas kesungguhan dan komitmen kita untuk melaksanakan perubahan. Jangan kita sekali-kali membiarkan rakyat menghukum kita dalam pilihanraya umum yang akan datang nanti.

Kita juga sedar dan insaf, bahawa perubahan menyeluruh yang diimpikan oleh gagasan Pakatan Rakyat tidaklah mudah dicapai, kerana kita berdepan dengan konsep federalisme sonsang yang dipegang oleh Kerajaan Pusat pimpinan Barisan Nasional, yang tidak lagi menghormati pilihan yang dibuat oleh rakyat dalam negeri yang telah memilih Pakatan Rakyat.

Selain dari itu, kita juga berdepan dengan kekangan pentadbiran yang sudah membarah selama puluhan tahun di bawah Kerajaan BN. Dalam masa yang sama, kita juga dibelenggu dengan kelemahan diri sendiri apabila ada di antara kita yang mula hilang tumpuan, setelah kita mula diserang dari segenap penjuru oleh kerajaan pimpinan Barisan Nasional ini. Kadangkala kita berhadapan dengan perbezaan pandangan dan pendekatan untuk menyelesaikan masalah, dan di sinilah cabaran terbesar kita yang perlu dirungkaikan supaya kita menjadi gagasan terbaik untuk negara ini.

Saya menyeru kepada semua para hadirin yang menjadi petugas kepada perubahan dalam negara kita ini, supaya kita tidak sekali-kali tersasar dari tujuan kita untuk melakukan perubahan menyeluruh yang bermakna kepada generasi yang akan datang.

Dengan perasaan penuh keikhlasan kita menyedari akan kelemahan-kelemahan ini, tetapi kita bukanlah seperti komponen musuh yang saling bercakaran sesama sendiri, lalu bertindak menyembunyikan masalah mereka sehingga ianya menjadi seperti 'api dalam sekam' yang menunggu masa untuk menjahanamkan negara kita yang tercinta ini. Inilah beza nya pakatan kita dengan mereka, di mana kita berani untuk berdepan, berbincang, berbahas, semuanya dalam semangat yang tulin bagi menyelesaikan sebarang masalah yang timbul dalam gagasan kita ini. Inilah yang ingin kita sampaikan kepada rakyat.

Perlu kita ingat, bahawa Pakatan kita ini bukan sahaja bergerak untuk menafikan kekebalan pemerintahan Barisan Nasional semata-mata, tetapi adalah untuk melaksanakan perubahan yang adil di mana keharmonian dan keupayaan masyarakat memahaminya di jadikan teras dalam perubahan dalam negara kita ini.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

Perlu muhasabah

Marilah sama-sama kita bermuhasabah akan pencapaian kita, setelah diberi tanggungjawab melaksanakan amanah pemerintahan di negeri-negeri Pakatan Rakyat, menilai dengan penuh kejujuran akan kelemahan dasar dan pelaksanaan, kita mencelikkan mata-telinga kita seluas-luasnya dan berlapang dada dengan kritikan rakyat, seterusnya melakukan rombakan pentadbiran dan perubahan menyeluruh apabila difikirkan perlu. Berdasarkan maklumat kelemahan kita ini, maka kita perlu bangkit kembali dengan terus melaksanakan penambahbaikan dalam pemerintahan kita dan memperkemaskan jentera parti di negeri-negeri yang belum bersama kita.

Asas perubahan

PAS ingin menyatakan bahawa dasar yang ingin kita laksanakan dalam negeri di bawah Pakatan Rakyat perlulah bertitik tolak dari pemahaman bahawa (1) kita membaiki kerosakan yang ada dalam negara kita, (2) kita ingin meletakkan negara dan negeri di atas dasar yang sepatutnya, (3) semuanya dilaksanakan dengan semangat dalam perkara yang menjadi Dasar Bersama kita.

Tetapi kita tiada masa yang panjang untuk melakukan semua ini kerana musuh akan sentiasa mencari jalan untuk meruntuhkan negeri di bawah Pakatan Rakyat yang telah kita sama-sama bina. Negeri yang sama-sama kita bina ini pula tidak akan memberikan sebarang makna dalam politik baru negara kita, sekiranya kita gagal menunjukkan kaedah pemerintahan yang jauh lebih baik dari negeri yang diperintah oleh Barisan Nasional.

Pemerintahan yang lebih baik yang ingin kita capai ialah bukan hanya berkaitan dengan pencapaian ekonomi semata-mata, dan juga bukan hanya mengenai dasar perindustrian serta pelaburan sahaja, kerana kita juga tidak mahu melahirkan masyarakat yang hanya melihat pembangunan material yang berselerakan di kiri kanan persekitaran mereka dan dalam masa yang sama jiwa mereka kosong sehingga melahirkan berbagai penyakit kemanusiaan dalam masyarakat kita ini.

Apa yang kita mahu, bahawa kita perlulah juga menumpukan kepada kesejahteraan spiritual dan akhlak serta pembangunan rohani, yang dihubungkan dengan pegangan agama yang mampu untuk memandu kehidupan rakyat di bawah jagaan kita. Indeks kesejahteraan yang ingin kita capai juga perlu mengambil kira persekitaran masyarakat beragama berbagai kaum dan fahaman yang wujud dalam negara kita ini, apatah lagi ianya mungkin berbeza dengan pentafsiran kesejahteraan di negara-negara lain. Kita inginkan kerukunan sebuah keluarga, yang mampu untuk berdepan dengan krisis moral dan akhlak yang semakin berleluasa di zaman yang serba moden ini.

Dalam melaksanakan dasar dalam negeri yang diperintah Pakatan Rakyat secara bersama, maka penting juga untuk kita berhati-hati dengan cuba lebih memahami betapa pentingnya bagi setiap parti untuk menguruskan sensitiviti masyarakat – tanpa perlu untuk kita menongkah kepercayaan agama dan budaya setiap kaum di negara ini. Jangan pula kita untung secupak tetapi rugi segantang dalam pertimbangan kita.

Kegagalan untuk memahami perkara asas ini akan membuka ruang kepada UMNO dan BN untuk menyebarkan dakyah mereka menerusi media massa yang dikawal oleh mereka. Kita akan berada dalam keadaan yang sangat 'defensive' untuk melawan kuasa media mereka yang akhirnya membuatkan rakyat terbanyak akan menjadi keliru. Akhirnya kita semua akan rugi.

Pendekatan bertahan ini perlulah diubah, dengan kita sendiri menentukan agenda kita bersama rakyat, dan bukan hanya responsif terhadap serangan musuh. Oleh yang demikian, sudah tiba masanya untuk kita memasuki fasa seterusnya dalam gerakerja kita, dengan kita menggunakan media kita sendiri yang boleh sampai kepada rakyat. Gerakerja ini perlulah disusun secara bersama di kalangan negeri Pakatan Rakyat, petugas parti dan semua kalangan pengamal media yang bersama dengan kita.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

Persediaan Pilihan Raya

Belum pun kita sempat melaksanakan amanah dengan sempurna, angin yang bertiup kencang di waktu ini telah memberi gambaran bahawa saat dan ketika untuk kita berdepan dengan Pilihanraya Umum ke 13 detiknya semakin hampir. Suasana sebegini dizahirkan oleh pimpinan utama BN bahawa mereka merasakan semakin selesa dan kononnya rakyat akan kembali bersama mereka.

Kepada mereka, marilah kita pertegaskan pada hari ini bahawa kita bukan sahaja komited untuk mempertahankan kerajaan Pakatan Rakyat di empat buah negeri ini, tetapi kita akan bangkit untuk merubah kedudukan percaturan politik yang menjadi dominasi Barisan Nasional selama ini, insyaAllah.

Kita juga mencabar pimpinan Barisan Nasional untuk berani turun ke gelanggang secara amanah dan jujur, tanpa bergantung kepada agensi dan institusi kerajaan, tidak memperkudakan media massa serta menaburkan janji kosong pilihanraya yang saban tahun menjadi rasuah mereka kepada rakyat. Marilah kita turun ke gelanggang secara penuh demokrasi, bukannya berpaut kepada demokrasi yang rosak.

Kepada saudara saudari yang hadir dalam konvensyen ini, ingatlah bahawa sekiranya kita ingin mencapai kejayaan yang lebih baik dari pilihan raya umum yang lalu, maka pada ketika dan saat ini kita perlu memperkemaskan jentera pilihan raya, mempersiapkan petugas, merangka strategi berkesan, membaiki kelemahan, dan seterusnya menampilkan calon yang amanah dan jujur kepada rakyat.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

Akhirnya, saya ingin mengucapkan tahniah kepada seluruh jawatankuasa konvensyen, pimpinan Pakatan Rakyat, para perwakilan dan pemerhati, dan rakyat yang bersama kita di merata tempat, serta sekalung terimakasih kepada tuan rumah konvensyen yang menjayakan perhimpunan yang bersejarah ini.

Mudah-mudahan konvensyen kali kedua ini mampu untuk mencapai objektif yang dicita-citakan.

Wassalamualaikum wbr.


Tiada ulasan: