Selasa, 7 Disember 2010

kalam Perantau

kalam Perantau


BERSIH 2.0 minta pengundi berhati-hati dengan sempadanan semula

Posted: 07 Dec 2010 11:00 PM PST

Oleh : Susan Loone

Ketua BERSIH 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan mengingatkan pengundi agar berhati-hati dengan kemungkinan berlaku pemindahan pengundi secara tidak sah apabila Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) membuat persempadanan semula.

Menurut Ambiga, persempadanan semula itu dijangkakan pada Mac akan datang kerana yang terakhir dijalankan pada Mac 2003.

Lazimnya, SPR mengadakan persempadanan semula setiap lapan kali. Paling lewat, ia seharusnya dilakukan 10 tahun daripada tarikh yang terakhir.

Ambiga berkata persempadan semula yang terakhir dijalankan dengan buruk dan BERSIH semasa mesyuarat tiga jam dengan SPR telah membangkitkan isu itu, bulan lalu.

"Kita berkongsi kajian, menunjukkan beberapa slaid berhubung persempadanan semula 2003. Terdapat beberapa pola yang sangat menghairankan dengan beberapa penyempadanan kawasan pilihan raya bertindih dengan sempadan pihak berkuasa tempatan dan mewujudkan bentuk yang pelik," katanya pada forum ‘Rakyat Menuntut Reform Pemilihan’ di Pulau Pinang semalam.

"(Apabila) kita bentangkan kepada SPR, mereka terkejut melihat betapa buruk (persempadanan semula) ia telah dilakukan."


UMNO perlu insaf: Tok Guru Nik Aziz

Posted: 07 Dec 2010 08:30 PM PST

KOTA BHARU – Pas menyangkal dakwaan parti mereka sudah tersasar daripada perjuangan asal mereka seperti yang didakwa UMNO.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pelbagai tohmahan dan andaian buruk yang dilemparkan kepada Pas termasuk hubungan baik bersama DAP dan Pakatan Rakyat adalah satu rekaan semata-mata untuk menjatuhkan parti berkenaan.

Menurutnya, ahli-ahli yang berada di dalam Pas mengetahui perkara yang sebenarnya daripada orang UMNO.

"Orang Pas sendiri lebih tahu daripada UMNO, pada zaman Nabi Muhammad saw dahulu pun ketika berada di Makkah orang bukan Islam yang menjaganya, Nabi berbaik dengan orang kafir.

"Saudara saudari dalam UMNO tolong insaf sikit, kerana waktu kita hendak tahluf kertas kerja diluluskan oleh Dewan Ulama Pas," katanya.

Terdahulu beliau merasmikan Majlis Pelancaran Dataran Rakyat Bandar Baru Tunjong, dekat sini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Datuk Husam Musa.

Nik Aziz juga menegaskan supaya semua ahli dan rakyat tidak perlu bimbang dengan keadaan yang melanda Pas sekarang kerana tahaluf berkenaan dianggotai oleh alim ulama dan ia diluluskan oleh Pas Pusat.

"Ahli-ahlinya juga terdiri daripada pakar-pakar, alim ulama, mufti yang jauh lebih tahu daripada orang UMNO," katanya.


Kenyataan Ku Li pandangan peribadi : Pengelola Istana

Posted: 07 Dec 2010 04:00 PM PST

KOTA BHARU  – Kenyataan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang mempertikaikan pelantikan Sultan Muhammad V sebagai Sultan Kelantan perlu diteliti oleh pakar perundangan.

Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad berkata, sewajarnya kedudukan baginda tidak dipertikai oleh mana-mana pihak kerana ia telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Beliau bagaimanapun menyifatkan kenyataan Tengku Razaleigh yang juga nenda saudara kepada Sultan Muhammad sebagai pandangan peribadi bekas Menteri Kewangan itu.

“Barangkali kenyataan Tengku Razaleigh dibuat atas pandangan beliau, barangkali perlu diteliti oleh pihak yang pakar dalam bidang undang-undang kerana kedudukan sultan telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

“Saya tidak boleh beri apa kenyataan kerana benda ini perlu dapat titah daripada Tuanku dahulu baru boleh saya beri ulasan dengan teliti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Hijratul Rasul di Kompleks Balai Islam Lundang di sini, malam tadi.

Majlis disempurnakan oleh Sultan Muhammad V. Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang turut dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah bagi negeri ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Tengku Razaleigh yang mempersoalkan status Sultan Kelantan dari aspek perundangan.

Tengku Razaleigh dilaporkan turut menyifatkan Sultan Ismail Petra walaupun gering masih mempunyai keupayaan menjalankan tugas-tugas sebagai sultan.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, berdasarkan pemahamannya iaitu berasaskan perlembagaan sedia ada, pelantikan sultan baru hendaklah disebabkan tiga perkara iaitu sultan terdahulu mangkat, berhenti menjadi sultan atau meninggalkan negeri lebih 12 bulan tanpa sebab.

Tengku Razaleigh mengeluarkan kenyataan itu selepas diminta mengulas keputusan Sultan Muhammad V memperkenan penarikan balik dua anugerah kebesaran negeri yang dikurniakan kepadanya berkuat kuasa 2 Disember lalu.

Difahamkan, penarikan tersebut berikutan kenyataannya sebelum itu yang disiarkan akhbar berbahasa Cina dan menyinggung perasaan Sultan Kelantan.

Tuanku Muhammad Faris Petra ibni Sultan Ismail Petra telah dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan pada 13 September lalu dengan gelaran Sultan Muhammad V.

Berkuat kuasa tarikh yang sama, baginda turut berkenan menarik balik anugerah dan darjah kebesaran Ahli Yang Kedua (Dato’ Paduka) bagi darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Yang Amat Mulia (D.J.M.K.) (Al-Ismaili I) daripada Dr. Yaacob Hussain Merican, 72, serta pelantikan Jaksa Pendamai (J.P.).

Yaacob dikatakan turut mengeluarkan kenyataan yang menyinggung perasaan baginda ketika mewakili anak guamnya, Sultan Ismail Petra ketika prosiding di Mahkamah Persekutuan Kuala Lumpur pada 25 Oktober lalu.

Pada Oktober lalu, Sultan Muhammad V menarik balik anugerah dan darjah kebesaran daripada empat individu termasuk gelaran ‘Datuk’ kepada Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali dan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri, Wan Hashim Wan Daud.

Dua lagi individu adalah kerabat Istana Kelantan iaitu Tengku Mohamed Shafie Tengku Ibrahim dan Tengku Abu Bakar Tengku Mansor


Ku Li minta Majlis Raja-Raja Beri Perhatian Terhadap Krisis Istana Kelantan

Posted: 07 Dec 2010 01:00 AM PST

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Gua Musang Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah (Gambar kiri – Kuli bersama isteri)  meminta Majlis Raja-Raja, kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap krisis istana di Kelantan yang berlanjutan bagi mengelakkan kegelisahan dan kekeliruan rakyat dengan situasi semasa di negeri itu.

Beliau juga mengedarkan kenyataan yang dikeluarkan Sultan Ismail Petra yang tertulis bahawa baginda adalah Sultan Kelantan yang sah mengikut Perlembagaan.

Kenyataan bertarikh 27 November lepas, diedarkan oleh Tengku Razaleigh di pejabatnya di sini supaya dapat memberikan gambaran sebenar kedudukan Sultan Ismail Petra.

“Inilah titah beta kepada rakyat Kelantan dan kepada seluruh dunia. Peristiwa dan perkembangan sejak mutakhir ini telah menimbulkan beberapa keraguan terhadap darjat dan taraf diri serta kedudukan beta. Maka dengan ini beta menjelaskan kedudukan sebenar.

“Beta adalah Sultan dan pemerintah yang berdaulat bagi negeri Kelantan Darul Naim. Ini adalah hak beta menurut perlembagaan dan perjanjian-perjanjian yang dicapai antara kerajaan British di bawah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan di bawah Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 dan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Kedudukan beta sebagai Sultan adalah hak peribadi beta untuk menjadi pemerintah dan raja yang berdaulat sehingga akhir hayat beta," kata Sultan Ismail Petra dalam kenyataan itu.

Dalam kenyataan itu turut tertulis tiada mana-mana pihak dan sesiapa yang boleh mendakwa menjadi Sultan.

“Beta tidak kehilangan keupayaan untuk terus menjadi Sultan dan pemerintah yang berdaulat bagi negeri Kelantan Darul Naim untuk terus menjalankan tugas Perlembagaan beta menurut hak Perlembagaan.

“Dengan demikian maka beta dengan ini mengisytiharkan bahawa tiada mana-mana pihak dan sesiapa pun selain daripada beta yang boleh mendakwa menjadi Sultan dengan menderhaka kepada beta dan tradisi serta adat dan melanggar hak-hak sejarah para waris raja yang kini sudah merupakan bahagian yang mutlak dalam Perlembagaan Kelantan,” kata Sultan Ismail Petra.

Tengku Razaleigh juga melafazkan taat setia beliau kepada Sultan Ismail Petra sebagai Sultan Kelantan yang sah dan menyifatkan pelantikan Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru, adalah tidak mengikut lunas-lunas perlembagaan.

Berikutan itu, beliau berkata: “Saya setia kepada Sultan Ismail. Saya cuma hendak tengok keluarga diraja ini dapat didamaikan dan tidak ada lagi krisis sebagaimana berlaku sejak Tuanku gering pada bulan Mei tahun sudah,” katanya.

Menurut Tengku Razaleigh, dalam erlembagaan, seorang Sultan boleh digantikan sekiranya, pertama Sultan yang sedia ada itu mangkat, kedua Sultan itu berhenti menjadi Sultan dan ketiga, Sultan itu meninggalkan negerinya tanpa sebarang alasan yang munasabah selama 12 bulan.

Katanya, pelantikan Sultan Ismail Petra sebagai Sultan Kelantan yang sah dilakukan mengikut perlembagaan di mana baginda ditabalkan sebagai Sultan Kelantan selepas kemangkatan ayahandanya, Sultan Yahya Petra. “Tiba-tiba ada pindaan kepada perlembagaan yang dibuat oleh Pemangku Raja negeri, itu saya tidak tahu bagaimana boleh dilakukan. Kalau mahkamah mengesahkan, itu hak mahkamahlah. Tapi biasanya ia tidak dilakukan.

“Ini yang menjadi tanda tanya, Sultan yang ada sekarang, Sultan Ismail Petra adalah sultan yang sah yang telah ditabal dan dimahkotakan selepas mangkatnya Sultan Yahya Petra.

“Dia (Sultan Ismail) sudah menjadi raja tanpa berlaku kesalahan apa-apa, cuma gering baru-baru ini tapi beransur pulih. Mengikut doktor, baginda berupaya untuk melaksanakan tugasnya cuma tidak boleh berjalan,” katanya.

Ditanya bagaimana penerimaan rakyat di Kelantan mengenai krisis ini, Tengku Razaleigh berkata rakyat di negeri itu berkelakuan baik dan menerima apa yang berlaku tetapi tetap melahirkan rasa gelisah mereka mengenai urus tadbir kerajaan negeri.

“Kalaulah keadaan yang berlaku di Kelantan itu, berlaku di mana-mana sahaja, saya rasa, boleh berlaku huru-hara negara kita. Kalau raja boleh dibuang dengan senang dan ini pula dibuang oleh orang di dalam negeri berkenaan, kerana dia memangku dan disifatkan ada kuasa seperti raja juga maka dibuang raja yang ada walaupun bapa, huru hara. Tiada siapa yang akan kekal menjadi raja.

“Ini adalah peristiwa yang tidak pernah berlaku yang saya rasa boleh menimbulkan keadaan kucar-kacir yang tidak menentu dalam negeri dan negara dan sudah tentu akan merisaukan dan mengelirukan rakyat ramai. Dan kestabilan pun akan tergugat dan pemerintahan pun tidak dapat menentukan yang sepatutnya untuk dijalankan pemerintahan,” katanya.

Sementara itu, mengenai pelucutan dua pingat, Tengku Razaleigh berkata hal itu tidak menjadi persoalan yang besar kerana yang penting adalah rakyat bukan darjah kebesaran.

Pada Ahad, Istana Kelantan mengesahkan Sultan Muhammad V perkenan menarik balik dua pingat darjah kebesaran dengan salah satunya Darjah Kerabat (D.K) yang dikurniakan kepada Tengku Razaleigh.

Dua pingat kebesaran tersebut ialah Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (D.K) (Al-Yunusi) dan tauliah Pelantikan Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (S.P.M.K) Al-Muhammadi I).

Tengku Razaleigh, 73, yang juga Ketua Umno Gua Musang adalah datuk saudara kepada Sultan Muhammad V sebelah bondanya, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid. – BERNAMA


Tiada ulasan: