Khamis, 23 Disember 2010

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Saman ekor macam peragut tunggu mangsa

Posted: 23 Dec 2010 02:59 AM PST

Alias Mat

Saya menyokong Kempen Anti Saman Ekor (KASE). Ini disebabkan rakyat seperti saya sering teraniaya dengan saman ekor. Anggota polis sering menunggu di kawasan 60 km/j untuk memerangkap kami.

Yang kami persoalkan ialah cara pegawai polis menyaman kami. Semua sudah maklum iaitu pegawai akan bersembunyi di sebalik pokok dan lain-lain supaya kehadiran polis tidak disedari. Kaedah ini sama macam peragut yang menunggu mangsanya leka atau cuai untuk meraih keuntungan.

Kerajaan berjaya mengaut wang saman berjuta-juta. Namun keadaan jalan raya di Malaysia terutama di jalan persekutuan dan negeri tak banyak berubah sejak 10 tahun dahulu.

Saya sering berulang-alik dari Teluk Intan ke Kampar, Perak. Keadaan jalan seperti 16 tahun dulu juga tiada perubahan pun. Ke mana wang saman disalurkan?

Harap KASE berjuang untuk rakyat dan kebenaran.

Khir akui BN jual tapak surau Al Hidayah

Posted: 23 Dec 2010 02:56 AM PST

Harakahdaily

SHAH ALAM: Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo menafikan tapak surau Al Hidayah, Rawang dijual semasa pentadbirannya iaitu pada 2003 tetapi telah dijual sebelum tahun 2000 lagi.

Menurut Khir dalam blognya, "Kelulusan penjualan tanah kepada SAP Holdings dibuat sebelum tahun 2000 lagi, yang mana ini bermakna ia dibuat sebelum pentadbiran saya"

(Gambar: Demo ini sepatutnya diadakan di depan bangunan Umno atau MCA, kata Faekah)

Ini bererti tapak surau itu dijual ketika kerajaan Selangor dipimpin oleh Barisan Nasional (BN) dimana Umno menguasai sebahagian besar kerusi dalam Dewan Undangan Negeri Selangor.

Khir membuat penjelasan itu ekoran kenyataan Setiausaha Politik MB Selangor, Faekah Husin, berdasarkan rekod kerajaan negeri tanah itu dijual pada tahun 2003.

Baru-baru ini, sekumpulan penduduk tempatan termasuk para pemimpin Umno telah membuat demontrasi di perkarangan surau itu kerana membantah kerajaan negeri Selangor yang membenarkan surau itu dirobohkan untuk dibuat projek pembangunan.

Ini ekoran dari tindakan pemilik tanah itu memberikan notis sehingga 30 November lepas agar ia dikosongkan untuk membolehkan tanah itu dimajukan.

Antara yang membantah kerajaan negeri itu adalah pemimpin Umno yang juga Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan Selangor, Datuk Zainal Abidin Sakom.

(Gambar: Surau Al Hidayah pekan Rawang yang kini menjadi pertikaian)

Tanah itu kini dimiliki oleh SAP Holding bekas anak syarikat kerajaan negeri Selangor yang telah dijual oleh kerajaan negeri kepada pihak swasta.

Mengikut rekod kerajaan negeri, saham SAP Holdings Sdn Bhd dijual oleh Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) kepada syarikat persendirian pada tahun 2003.

Namun kini, Khir Toyo berkata, ia telah diluluskan sebelum tahun 2000 lagi.

SAP Holdings Sdn Bhd adalah sebuah syarikat dimana pemegang-pemegang sahamnya adalah: Chew Ting Teck, Hung Te Hsin @ Ang Teck Thieng, Siaw Kwee Mow @ Sia Hock Chai, Sip Kew Yin, Tan Kok Yee, Tan Pang Kuan, Chow Soon Tat @ Chew Soon Tat, Chew Teng Meng @ Francis Chew, Chew Siew Ying and Dhew Teng Fook @ Chow Teng Fook.

Lembaga Pengarah SAP Holdings Berhad sekarang ialah Datuk Abu Bakar Mohd Amin, Norihan Mohd Bakri, Tan Kok Yee, Chong Fook Sin, chew Siew Ying dan Chew Ting Teck.

"Fakta jelas mendedahkan siapa yang sebenarnya telah mengorban orang Melayu dan Islam di Rawang. Saya rasa mungkin lebih sesuai penduduk berhimpun di pejabat Umno dan MCA untuk membuat aduan mereka," kata beliau.

Faekah menjelaskan, tanah yang terlibat dalam projek pembangunan tersebut dimiliki SAP Holdings Sdn Bhd yang akan menjalankan projek tersebut bersama satu lagi syarikat swasta Mahumas Sdn Bhd.

"Zainal sepatutnya selidik dahulu sebelum membuat tuduhan liar. SAP Holdings bukan lagi anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor.

"Pada 2002, Kerajaan Negeri Umno-Barisan Nasional (BN) telah membenarkan Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) melepaskan saham kepada pihak swasta," tegasnya.

Namun begitu, kata Faekah, kerajaan Selangor melalui Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan berusaha untuk menyelesaikan masalah ini agar penduduk di kampung itu dapat terus menjalankan ibadat seperti biasa.

Turun padang perjelas tawaran 100 Hari

Posted: 23 Dec 2010 02:55 AM PST

Harakahdaily

PARIT BUNTAR: Pemimpin Pakatan Rakyat mesti melakukan sesuatu supaya rakyat faham dengan tawaran 100 Hari itu dan mereka kekal dengan momentum anti BN.

"Pimpinan PAS, DAP dan PKR perlu turun padang bagi menjelaskan program 100 Hari tersebut," kata Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, Drs. Khalil Idham Lim.

Katanya, ini kerana rakyat menaruh harapan tinggi agar kerajaan mampu mengatasi masalah besar yang melanda Malaysia pada hari ini, antaranya masalah jenayah, rasuah, salah guna kuasa, kemerosotan ekonomi, kemusnahan sistem kehakiman, dan yang paling mengusarkan hati ialah masalah salah faham Islam dalam kalangan umat Islam sendiri.

Selain itu, katanya apabila pemimpin Pakatan turun ke bawah menjelaskan isu berkenaan sekaligus menyakinkan rakyat bahawa itu adalah suatu kenyataan yang boleh dilakukan oleh Pakatan Rakyat apabila diberi mandat memerintah nanti.

"BN nampaknya seperti sudah tidak mampu menangani permasalahan rakyat, respons awal Najib dan Muhyiddin menampakkan mereka menggelabah.

"Saya kira strategi Pakatan Rakyat sudah mengena dan usaha turun ke bawah menjelaskan kepada rakyat dan mestilah disegerakan," tegasnya yang juga Adun Titi Serong.

Beliau juga bersetuju dengan cadangan "Buku Jingga" yang dilancarkan dalam Konvensyen Pakatan Rakyat ke-2, Ahad lalu diperbanyakkan dan disebarkan secara percuma kepada rakyat bagi memastikan pelbagai tawaran lain sampai kepada mereka.

"Waktu sekarang mereka ada masa untuk baca, kalau parlimen dan Dun dibubarkan nanti, mereka tidak baca lagi, waktu itu sudah terlambat," katanya.

Pakatan Rakyat juga, katanya perlu membentuk satu pelan jangka pendek, dalam masa yang sama tidak mengabaikan pelan jangka masa panjang dalam misi menawan Putarajaya.

"Pelan tersebut haruslah merangkumi gerak kerja dari peringkat pimpinan tertinggi parti dan di semua peringkat dalam Pakatan Rakyat turun padang, bersua dengan rakyat bertujuan memperjelaskan program 100 Hari sebagaimana yang termaktub di dalam buku Jingga yang menjadi topik perbahasa dalam konvensyen, Ahad lalu," ujarnya.

Felda 'rayu' jangan saman

Posted: 23 Dec 2010 02:53 AM PST

Khairil Abdul Rahim

BANDAR JENGKA: Sudah terhantuk baru terngadah. Begitulah yang diibaratkan kepada pekeliling daripada Pengarah Besar Felda Datuk Dzulkifli Abd Wahab yang disifatkan memujuk peneroka supaya tidak menggunakan saluran undang-undang bagi menuntut hak mereka.

Naib Presiden Persatuan Anak-Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) Aris Fezul Ismail, menyifatkan risalah bertajuk 'Penyelesaian masalah, Isu atau Pertelingkahan Melalui Kaedah Timbang Tara' yang diedarkan kepada peneroka-peneroka serta dibacakan isinya di masjid-masjid di sini seolah-olah melambangkan keresahan Felda menghadapi kebangkitan peneroka.

Antara lain, risalah dua helai itu menyatakan tindakan saman oleh peneroka terhadap agensi pembangunan tanah itu didakwa telah menyebabkan wujud suasana yang tidak harmoni antara peneroka dengan pengurusan Felda.

Kandungan risalah tersebut turut membangkitkan, surat perjanjian asal antara peneroka dengan Felda telah memperuntukkan bahawa sekiranya terdapat perselisihan antara kedua belah pihak perlu dirujuk kepada Penimbang tara iaitu Perdana Menteri selaku menteri yang bertanggungjawab kepada Felda.

Aris yang juga Setiausaha Lajnah Pembangunan Tanah PAS Pusat mempertikaikan, kenapa baru kini iaitu selepas peneroka menang saman di Felda Kemahang 3 dan Felda Sungai Koyan timbul tawaran menyelesaikan lambakan permasalahan peneroka melalui kaedah Timbang tara.

"Sebelum ini Anak sendiri pernah menghantar memorandum kepada Pengerusi Timbang tara iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tetapi jangankan kata penyelesaian, respons pun tidak ada. Bahkan kalau kita dengar baru-baru ini bagaimana PM dengan angkuhnya menempelak siapa kata Felda bankrap adalah pengkhianat. Bolehkah orang seperti ini mahu dirujuk sebagai penimbang tara?

"Bukan itu saja, baru-baru ini Anak telah menyerahkan memorandum 20 perkara berkaitan masalah peneroka kepada Timbalan Menteri yang menjaga Felda Datuk Ahmad Maslan yang konon katanya nak selesaikan dalam tempoh dua minggu. Tapi sekarang dah hampir dua bulan, respons pun tak dengar.

"Di Pahang ini sendiri, Exco yang menjaga Felda Datuk Tan Aminuddin. Apabila peneroka membangkitkan hak mereka yang diceroboh pada satu ketika dulu, beliau bingkas mencabar mana-mana peneroka yang tak setuju dengan Felda boleh keluar dari tanah rancangan. Pada saya ini satu kenyataan angkuh seolah-olah peneroka-peneroka ini menumpang dan mengemis sedangkan mereka tuan tanah," hujahnya.

Tambah Aris, suasana yang tidak harmoni dicetuskan sendiri oleh pengurusan Felda. Contohnya dalam kes Felda Kemahang apabila Ketua Hakim Negara berkata Felda terbukti menipu peneroka dalam kes kadar perahan gred (KPG) sawit, Felda masih tidak mengaku kesalahan malah enggan membayar ganti rugi kepada peneroka.

"Begitu juga dengan kes peneroka Felda Sungai Koyan yang mana mahkamah telah putuskan peneroka layak menerima wang tabung tanam semula (TTS) tetapi menterinya kata Felda memang nak bayar sedangkan dalam mahkamah peguam mereka bermati-matian berusaha supaya Felda tidak mahu bayar. Pada saya sikap seperti ini semua tidak membawa keharmonian," katanya.

Mengenai saranan Pengarah Besar Felda agar peneroka mengemukakan sebarang aduan dan permasalahan kepada pengurusan rancangan melalui blok, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR), Gabungan Pertubuhan Wanita (GPW) dan pertubuhan belia, Aris berkata ia hampir mustahil kerana semuanya dilantik oleh Felda dan bukan dipilih oleh peneroka malah dikuasai parti politik kerajaan.

"Barangkali Datuk Dzulkifli tidak turun ke bawah melihat bahawa kebanyakan pemilihan ketua-ketua blok yang mewakili 24 orang ahli dipilih berdasarkan mana yang Felda suka, bukannya pilihan peneroka secara mutlak. Naib Pengerusi JKKR yang sepatutnya dipilih melalui mesyuarat agung, tapi hanya ditentukan oleh Felda. Jadi dia mewakili Felda, bukan suara peneroka. Sebab itu dapat dilihat bagaimana sikap mereka terhadap peneroka tanam sendiri iaitu seperti anak tiri yang melakukan satu kesalahan besar.

"Pertubuhan belia pula hanya ada pada nama saja. Mesyuarat agung pun tak pernah sehingga tak tahu siapa AJK. Mana perginya peruntukan kewangan? Sama jugalah dengan AJK masjid, bukan dilantik melalui mesyuarat agung," jelasnya.

Umno BN tak faham masalah peneroka

Posted: 23 Dec 2010 02:49 AM PST

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR: Pengerusi Persatuan Anak-anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman menyeru warga Felda menolak Umno yang jelas gagal memahami masalah peneroka.

Katanya, sikap elit pemimpin Umno yang tidak mahu turun padang menyelami masalah peneroka namun mendabik dada sebagai pembela rakyat, hanya mempamerkan mentaliti murahan mereka.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan bahawa cadangan Pakatan Rakyat untuk membahagikan semua tanah rancangan Felda kepada anak peneroka hanya sekadar gimik politik.

"Itulah dia mentaliti murahan pemimpin Umno. Oleh kerana mereka menjadi pemimpin elit mereka tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku di bawah.

"Oleh kerana dia jarang turun padang dia gagal untuk menghayati kehendak rakyat. Untuk pengetahuan Ahmad Maslan dan pemimpin-pemimpin Umno, antara isu kritikal yang telah melanda generasi kedua dan ketiga Felda ialah soal kediaman," katanya.

Jelasnya, isu penempatan generasi kedua dan ketiga Felda sewajarnya dapat diselesaikan Umno BN sejak dari dahulu lagi memandangkan Felda ditubuhkan sebelum merdeka lagi.

"Sepatutnya soal kediaman ini telah ditangani lama oleh mereka sebab felda ini telah wujud sejak tahun 1956. Hari ini jumlah peneroka asal semakin berkurangan dan generasi kedua dan ketiga yang duduk di tanah rancangan Felda, dan mereka tidak punya tempat tinggal sebab rumah yang didiami itu adalah rumah pusaka.

"Apabila mereka ada ramai adik beradik mereka jadi berbalah kerana memikirkan soal kediaman dan kediaman itu satu sahaja. Sebab itu kita menangani isu perumahan ini sebagai agenda penting kita.

Jika Pakatan memerintah katanya, generasi kedua akan dibantu sama ada dalam bentuk peruntukan awal mendirikan rumah-rumah atau dalam bentuk subsidi dengan anak-anak syarikat kerajaan negeri.

"Ini tanggungajawab asas kerajaan tapi dia (Ahmad Maslan) tak faham, dia ingat semua anak peneroka tinggal di luar," jelasnya.

"Tapi saya nak sebutkan pengalaman di Johor, tanah yang diberi hak milik oleh kerajaan negeri, mereka tak buat apa pun akhirnya tumbuh lalang dan anak-anak peneroka yang mengharapkan satu program pembangunan perumahan, tidak berlaku dan ini yang sedang kita tangani dan ini yang gagal ditangani oleh BN," katanya lagi.

Azwan, penyokong gay dan kerajaan dikecam di alam siber

Posted: 23 Dec 2010 02:47 AM PST


azwan gay_250_220Oleh K Pragalath

PETALING JAYA: Rata-rata pembaca dan penulis di alam siber berasa marah dan melahirkan rasa meluat terhadap pengakuan Azwan Ismail dalam rakaman video Youtube bahawa dia seorang gay.

Azwan, seorang jurutera Melayu yang mengaku dirinya gay dalam video, merupakan satu daripada 15 video mengenai komuniti lesbian, gay, biseksual dan transseksual. Video tersebut buat kali pertama telah dipertontonkan pada festival seni Seksualiti Merdeka di Kuala Lumpur Ogos lalu.

Blogger Zainol Abideen, yang lebih dikenali sebagai Mahaguru58 mengutuk kerajaan Barisan Nasional yang didakwa 'terbukti semakin hari semakin tidak berani menegakkan hukum-hakam agama Islam di negara ini'.

"Perdana Menteri Dato Seri Mohd Najib Tun Razak dan sepupu beliau Dato Seri Hishamuddin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri seolah-olah buta dan lemah terhadap keperluan memantau penularan budaya kemaksiatan yang semakin menjadi-jadi ini," tulisnya dalam entri blog yang bertajuk "Azwan Ismail, Budaya Gay dan Seksualiti Merdeka.

JAKIM dan Kerajaan BN Buta Ke?

Dalam artikel, beliau turut menamakan golongan aktivis homoseksual dan lesbian sebagai 'sebahagian daripada pelopor projek homoseksual dan lesbianisme sedunia.

Azwan dan ibu bapanya turut dikecam . Beliau menulis bahawa Azwan tidak akan wujud hari ini sekiranya bapa Azwan seorang peliwat.

Merujuk kepada Sunnah Rasulullah saw, baginda menyatakan bahawa hukuman kepada mereka yang melakukan liwat ialah hukum bunuh.

Penyokong gay turut jadi sasaran

Sementara itu, pihak-pihak yang dilihat sebagai menyokong budaya gay turut menjadi sasaran perasaan marah pengguna laman sosial.

Seorang yang dikenali sebagai Muzzamil Faridza telah mengutuk penyanyi Liyana Fizi di laman Facebooknya: "!@#$ %^& Liyana Fizi kerana sokong mak nyah".

Muzammil yang menyamakan gay sebagai zalim turut menyoal pendirian Liyana yang mempertahankan hak 'pelaku kesalahan'.

Liyana membalas dengan menyatakan bahawa golongan mak nyah tidak pernah merompak, menipu atau mencederakan diri atau keluarganya.

Pengguna laman komuniti turut tidak ketinggalan mengutuk Azwan. "Allah melaknat kaum sodomi….xblja agma btol die nih…." komen seorang yang dikenali dengan nama Ajiq di laman komuniti, gempak.org

PR cadang beri RM500 imbuhan khas pendidik

Posted: 23 Dec 2010 02:44 AM PST

FREE MALAYSIA TODAY

Anwar Ibrahim 5PETALING JAYA: Pakatan Rakyat berhasrat untuk memperkenalkan imbuhan khas pendidik sebanyak RM500 kepada semua pegawai dan guru yang bertanggungjawab dalam sistem pendidikan seperti terkandung dalam program 100 hari.

Ketua Pembangkang Dato' Seri Anwar Ibrahim berkata demikian dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, usaha menaiktaraf mutu pendidikan negara bermula dengan reformasi pendidikan dari pihak atas (penggubalan dasar, pembangunan keguruan) sehinggalah ke tahap pengajaran di bilik darjah (keberkesanan pembelajaran dan pengajaran).

Menurut beliau, Pakatan Rakyat telah meneliti kesan kewangan dari pelaksanaan ini.

"Kita mengambil kira bahawa terdapat 537,221 jawatan di dalam perkhidmatan pendidikan termasuklah pengurusan kementerian (24,153), dasar dan pembangunan pendidikan (4,059), operasi pendidikan (498,399) dan pembangunan profesionalisme keguruan (10,610)," katanya.

Jumlah kecil berbanding pembaziran

Beliau berkata, "ini akan menelan belanja RM3.2 bilion setahun. Jumlah ini adalah kecil jika dibandingkan dengan pembaziran-pembaziran lain yang kini berleluasa di bawah Umno-Barisan Nasional (BN).

"Saya kesal dengan kenyataan Menteri Pendidikan baru-baru ini yang memperlekehkan peranan guru sebagai pembina negara. Beliau menyebut bahawa tindakan memperkenalkan imbuhan khas pendidik sebanyak RM500 setiap orang setiap bulan akan menyebabkan Malaysia muflis," katanya.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, "kos perbelanjaan semua lawatan Perdana Menteri ke luar negara setakat ini sahaja adalah sebanyak RM8.7 juta dan boleh menanggung imbuhan bagi 1,450 orang guru.

"Bayaran kepada APCO sebanyak RM77 juta bagi tahun 2009 boleh menampung imbuhan bagi 12,800 orang guru iaitu keseluruhan tenaga kerja yang membangunkan profesionalisme keguruan. Pembaziran Umno-BN sebanyak RM131 juta bagi menampung
perbelanjaan perunding.

"Kos operasi PEMANDU bagi tahun 2010 boleh membayar imbuhan bagi 21,833 lagi orang guru, iaitu hampir keseluruhan tenaga kerja kementerian," jelas beliau.

Subsidi gas RM19 bilion

Ujar beliau, "ini belum lagi pembaziran-pembaziran mega seperti subsidi gas sebanyak RM19 bilion kepada sektor korporat dan kroni, kos menyelamatkan kroni yang melibatkan Empangan Bakun sebanyak RM6 bilion dan ketirisan akibat rasuah yang dianggarkan mencecah RM28 bilion setiap tahun.

Justeru katanya, persoalan sama ada negara mampu membayar imbuhan khas pendidik sebanyak RM500 setiap bulan ini tidak timbul. Perkara yang sebenar adalah keikhlasan Umno-BN untuk mengangkat martabat pendidikan di negara ini.

"Hakikatnya, bidang pendidikan tidaklah berada di dalam senarai kepentingan Umno-BN. Isu kualiti pendidikan telah ditimbulkan sejak sedekad yang lalu, tetapi sehingga kini tidak ada satu langkah konkrit untuk mengiktiraf sumbangan guru di samping memastikan kerjaya perguruan menarik minat calon-calon yang berkualiti tinggi," tambahnya.

Anwar menegaskan, "langkah Pakatan Rakyat memperkenalkan imbuhan ini adalah langkah pertama ke arah memartabatkan kerjaya perguruan setaraf dengan kerjaya profesional lain seperti jurutera, doktor dan akauntan."

Semalam, akhbar-akhbar melaporkan persetujuan Perdana Menteri untuk menubuhkan satu badan perundingan khas untuk menyelesaikan isu-isu perkhidmatan perguruan.

Reaksi cemas Umno-BN

Katanya, perkara ini telah disyorkan CUEPACS sejak tahun 2002 lagi tetapi hanya selepas Pakatan Rakyat membuat cadangan yang konkrit untuk menaikkan martabat perguruan, Umno-BN memberikan reaksi cemas.

"Baru sekarang, Perdana Menteri mahu mendengar keluh kesah guru-guru yang bergelumang dengan pelbagai masalah setiap hari," ujar beliau.

Beliau berkata, "ini bukanlah caranya kita merancang kebijakan pendidikan negara. Tanggungjawab menjaga kebajikan guru-guru bukanlah satu reaksi yang hanya ada tindakan apabila Pakatan Rakyat bersuara.

"Pakatan Rakyat percaya bahawa tindakan utama yang perlu diambil untuk memulihkan kualiti pendidikan negara adalah dengan menjaga kebajikan guru secara berterusan dan bertanggungjawab.

"Oleh itu, jumlah RM3.2 bilion setiap tahun bukanlah jumlah yang terlalu besar demi masa depan anak-anak Malaysia," katanya.

PAS Johor yakin boleh tawan DUN Tenang

Posted: 23 Dec 2010 02:41 AM PST

BERNAMA

pasJOHOR BAHRU: PAS Johor yakin dapat menawan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang pada pilihan raya kecil (PRK) nanti, kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata keyakinan ini berdasarkan trend semakin ramai pengundi memilih parti itu sejak pilihan raya umum ke-12 lalu.

"Jumlah undi yang diperoleh calon PAS Mohd Saim Siran meningkat dari 2,138 undi pada PRU-11 kepada 3,875 undi pada PRU-12 yang lalu, jadi kita yakin mampu menawan Tenang pada PRK kali ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Komposisi pengundi di N.05 Tenang ialah 50 peratus Melayu, 38 peratus Cina dan 12 peratus India.

Keadaan itu hampir serupa dengan komposisi pengundi di dua kerusi yang dimenangi PAS pada PRU-12 yang lalu iaitu DUN Maharani dan DUN Sungai Abong, tambah beliau.

"Mengambil senario pengundi Cina masih bersama dengan PAS dan Pakatan Rakyat, maka fokus gerak kerja PAS adalah untuk meningkatkan undi daripada pengundi Melayu dan India," kata Dzulkefly.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya daripada Barisan Nasional (BN) Datuk Sulaiman Taha, 59 akibat jangkitan kuman dalam darah dan penyakit kencing manis di Hospital Pakar Ampang Puteri Kuala Lumpur Jumaat lepas.

SPR umum tarikh esok

Esok, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) akan mengumumkan tarikh penamaan calon dan pengundian untuk PRK DUN Tenang.

Dzulkefly berkata bagaimanapun kemenangan PAS nanti tidak akan menjejaskan kekuasaan BN di Johor, namun ia akan menambah suara pembangkang di DUN kepada tujuh yang ada, dua PAS dan empat DAP.

Ini katanya, akan mewujudkan konsep keseimbangan yang berkesan agar setiap keputusan yang dibuat kerajaan negeri, akan sentiasa memberikan kesan yang baik dan menguntungkan rakyat.

Beliau berkata isu yang akan dibangkitkan PAS pada PRK itu antaranya rasuah, kelemahan urus tadbir negeri dan peningkatan jumlah hutang kerajaan negeri kepada kerajan pusat.

Mengenai calon, Dzulkefly berkata lima individu telah disenarai pendek untuk kelulusan PAS Pusat.

Calon itu mestilah mempunyai faktor-faktor boleh menang seperti diterima penduduk dan pengundi, memahami suasana dan masalah rakyat dan berpendidikan di samping komited untuk berkhidmat kepada penduduk tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik.


Pegawai khas Ronnie Liu bebas tuduhan pecah amanah

Posted: 23 Dec 2010 02:38 AM PST

BERNAMA

SHAH ALAM – Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan Wong Chuan How, pegawai khas kepada anggota exco kerajaan Selangor Ronnie Liu daripada tuduhan pecah amanah membabitkan cek bernilai RM5,000.

Hakim Azhaniz Teh Azman Teh membuat keputusan itu selepas berpuas hati dengan pihak pendakwaan yang gagal membuktikan kes terhadap Wong (gambar), 51, melampaui keraguan yang munasabah.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Baharuddin Ahmad Kasim mengendalikan pendakwaan sementara Wong diwakili peguam Imran Hadzalie Abdul Hamid dan Salim Bashir.

Wong membela diri atas tuduhan melakukan pecah amanah melibatkan sekeping cek bernilai RM5,000 iaitu wang peruntukan menganjurkan perjumpaan anggota Jawatankuasa Persatuan Penduduk dan anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Pelek di Pejabat Daerah Sepang pada 19 Feb tahun lepas.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sepanjang perbicaraan, pihak pembelaan mengemukakan dua orang saksi iaitu Wong dan Anggota Majlis Sepang Titus Gladwyn.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan Wong membela diri selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan beliau daripada tuduhan itu yang diputuskan oleh Azhaniz Teh pada 21 April lepas.

Beliau melepas dan membebaskan Wong daripada tuduhan itu tanpa dipanggil membela diri selepas sembilan saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan.

Dalam reaksinya selepas itu, Wong berkata beliau gembira dengan keputusan mahkamah yang masih menyebelahinya walaupun telah diarahkan untuk membela diri.

"Saya tiada niat jahat untuk menipu. Saya juga berterima kasih kepada wartawan kerana mengambil serius terhadap badan kehakiman negara kita," katanya.

WikiLeaks: Anwar tuntut Mahathir, Utusan tarik balik komen fitnah

Posted: 23 Dec 2010 02:36 AM PST

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menghantar surat tuntutan meminta bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Utusan Malaysia menarik balik komen-komen, didakwa bersifat fitnah, susulan pendedahan WkiLeaks menyentuh kes liwat beliau.

Peguam Anwar, Sankara Nair berkata, tindakan seumpama itu membabitkan individu-individu tertentu dan organisasi media yang lain akan menyusul dalam beberapa hari lagi.

"Ini adalah dua notis pertama dikeluarkan dan beberapa lagi akan dihantar kepada individu tertentu dan organisasi media lain dalam beberapa hari lagi," kata Sankara dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Notis tuntutan itu meminta agar kenyataan berunsur fitnah itu ditarik dan memohon maaf secara terbuka.

Kedua-dua pihak diberikan tempoh 14 hari, kata notis tuntutan itu.

Laporan Utusan Malaysia memetik Dr Mahathir sebagai berkata, "aktiviti liwat membabitkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim sememangnya sudah diketahui umum tetapi ada kalangan parti politik yang 'buat-buat tidak tahu' akan hal tersebut."

Kenyataan notis tuntutan itu berkata, "sambil mengakui yakin menteri mentor Singapura Lee Kuan Yew mengetahui mengenai pembabitan Anwar dalam aktiviti liwat, Dr Mahathir berkata 'memang saya pun fikir dia tahu... tapi parti politik yang buat tak tahu'."

Dr Mahathir dipetik mengulas laporan WikiLeaks mengenai pendedaghan agensi perisikan Singapura terhadap kegiatan liwat Anwar.

Notis tuntutan itu menambah, perkataan-perkataan itu menggambarkan bahawa Anwar seorang yang tidak jujur dalam kapasiti peribadi dan rasmi, pembohong, tidak boleh dipercayai dan tidak layak jadi ahli politik, tidak layak memegang jawatan awam, tidak berprinsip dan korup, melakukan kesalahan jenayah di bawah Seksyen 377(B) Kanun Keseksaan dan kesalahan-kesalahan lain dan tidak beretika.

Selain meminta agar menarik balik dan memohon maaf, notis tuntutan itu juga mahu Utusan Malaysia dan Dr Mahathir berjanji tidak akan mengulangi dakwaan dan komen-komen bersandarkan perkataan-perkataan berunsur fitnah itu dan membayar sejumlah ganti rugi kepada Anwar.

Sankara berkata, pihaknya akan mengambil prosiding perundangan jika kedua-dua Utusan Malaysia dan Dr Mahathir tidak memenuhi tuntutan Anwar dalam tempoh 14 hari.

Pada 14 Disember lalu, Dr. Mahathir berkata, beliau bersedia berhadapan dengan tindakan undang-undang daripada penasihat Parti Keadilan Rakyat itu.

Malah beliau menganggap, tindakan Ketua Pembangkang itu menyaman dirinya bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana sebelum ini pun Anwar pernah melakukan perkara yang serupa.

"Tak apalah... samanlah. Dia dah saman saya RM100 juta. Kalau dia nak saman, saya masuk jellah. Tak apalah...," katanya.

Anwar sebelum ini pernah memfailkan saman fitnah bernilai RM100 juta terhadap Dr. Mahathir pada 2006 kerana mendakwa bekas Perdana Menteri itu menuduhnya sebagai seorang homoseksual.

Bagaimanapun, tahun lepas, Mahkamah Rayuan membatalkan rayuan saman fitnah tersebut dan mengarahkan Anwar membayar kos kepada bekas Perdana Menteri itu.

Dr. Mahathir berkata, Anwar boleh menyaman sesiapa sahaja termasuk akhbar-akhbar yang melaporkan pendedahan yang dibuat oleh laman web tersebut namun tegas beliau, ia tidak akan berkesudahan.

Ini kerana, laman web seperti WikiLeaks akan terus menyiarkan apa sahaja bahan dan penyiaran pendedahan itu hanya akan mengundang masalah kepada seluruh dunia.

Ia menjadi isu kontroversi susulan laporan The Sun-Herald dua minggu lalu yang membawa pendedahan kabel Jabatan Negara Amerika Syarikat, menunujukkan pegawai-pegawai risikan Singapura memberitahu rakan sejawatan mereka dari Australia bahawa Anwar terlibat dalam perbuatan yang dikenakan tuduhan itu.

"Jabatan Risikan Kebangsaan Australia juga mengatakan bahawa kelakuan itu adalah akibat perangkap oleh musuh-musuh Dr Anwar," lapor akhbar itu.

Laman web WikiLeaks telah menyiarkan sekitar 250,000 kabel diplomatik dari Amerika Syarikat, pendedahan mengenai pandangan dan ulasan yang amat mengejutkan, melibatkan pelbagai negara dan banyak pemimpin dan ketua kerajaan. Sekitar 1,000 kabel pula berkaitan dengan Malaysia termasuk sebahagiannya mengenai keengganan Putrajaya bekerjasama dengan beberapa pihak utama dunia.

Anwar, 63, dituduh meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 25, di Unit 11-5-1 Desa Damansara Condominium di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Kes itu sedang didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan akan disambung bulan depan.

Menurut akhbar itu, kabel melibatkan kedudukan Anwar merupakan salah satu daripada beberapa kandungan yang mendedahkan pandangan mengejutkan pegawai-pegawai kanan Singapura termasuk dakwaan bahawa Malaysia berada dalam keadaan terkeliru dan ahli-ahli politiknya tidak kompeten.

Kabel mengenai kes liwat Anwar ini bertarikh November 2008 iaitu lima bulan selepas kes liwatnya terdedah dan disiasat polis.

Ia menyebut, "Australia mengatakan bahawa perkhidmatan risikan Singapura dan (pemimpin kanan Singapura) Lee Kuan Yew memberitahu ONA dalam pertukaran pandangan bahawa pemimpin pembangkang Anwar sememangnya melakukan perbuatan itu, yang beliau dikenakan tuduhan sekarang."

Dokumen itu juga mengatakan bahawa Singapura memberitahu ONA yang mereka membuat penilaian itu berasaskan risikan teknikal, yang mana kemungkinan dikaitkan dengan komunikasi yang dipintas, kata akhbar itu.

"ONA membuat penilaian, dan rakan-rakan sejawatan mereka dari Singapura bersetuju, ia adalah (satu) kerja (dia) diperangkap dan kemungkinan dia tahu mengenainya, tetapi bagaimanapun dia terlibat," kata kabel itu.

Harga minyak: Alasan tidak rasional

Posted: 22 Dec 2010 10:25 PM PST

FREE MALAYSIA TODAY

minyak21KUALA LUMPUR: Kerajaan Barisan Nasional (BN) sering memberi alasan yang tidak rasional apabila mengambil keputusan untuk menaikkan harga minyak hingga mencetuskan kenaikan harga barang keperluan harian dan membebankan rakyat terbanyak.

Alasan yang diberi untuk merasionalkan kenaikan harga minyak ialah, ianya bukan kenaikan tetapi penyelarasan, mengelak penyeludupan minyak ke negara jiran, harga minyak lebih murah dari Singapura dan Thailand, subsidi minyak dihapuskan untuk kerajaan memajukan pengangkutan awam dan naik lima sen seliter sahaja.

Berikut cuba lihat perbandingan harga minyak antara Malaysia dan negara-negara pengeluar minyak dunia.

United Arab Emirates RM1.22/liter
Bahrain RM0.89/liter
Qatar RM0.72/liter
Kuwait RM0.69/liter
Libya RM0.46/liter
Arab Saudi RM0.39/liter
Iran RM0.36/liter
Nigeria RM0.33/liter
Turkmenistan RM0.26/liter
Venezuela RM0.16/liter
MALAYSIA (RON95) RM1.90/liter

Jika BN terus memerintah negara, subsidi minyak, gas, tepung, gula dan barangan keperluan lain terpaksa dikurangkan bagi mengelak negara jatuh bankrap pada 2019. (sumber Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala).

Jen (B) Tun Ibrahim Ismail meninggal dunia

Posted: 22 Dec 2010 10:23 PM PST

BERNAMA


Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berbual dengan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia,Jeneral (B) Tun Ibrahim Ismail,88, ketika menziarahinya di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di sini, hari ini. Beliau meluangkan masa kira-kira 15 minit bersama Ibrahim yang dimasukankn ke hospital tersebut sejak tiga bulan lepas akibat sakit tua.— Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR — Bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jen (B) Tun Ibrahim Ismail, 88, meninggal dunia di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di sini awal pagi tadi.

Menurut Pegawai Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pertahanan, Mejar Marina Harun, Allahyarham meninggal pada 4.40 pagi.

Jenazah beliau telah dibawa ke rumahnya di No 22, Villa Sang Suria, Jalan Mesra off Jalan Damai Kelab Aman di sini sebelum dibawa ke Masjid Negara untuk dikebumikan di Makam Pahlawan selepas solat Asar.

Allahyarham dirawat di hospital berkenaan kerana sakit tua, sejak tiga bulan lepas.

Anak kelahiran Johor Baharu ini yang asalnya merupakan Pegawai Kadet dalam pasukan Askar Timbalan Setia Johor merupakan Panglima Angkatan Tentera (PAT) yang ketiga.

Pada 30 Nov 1977, beliau menamatkan perkhidmatan setelah 36 tahun berkhidmat sebagai tentera dan sekaligus menamatkan perkhidmatan selama tujuh tahun sebagai PAT.

Sepanjang menjadi PAT, beliau dikatakan banyak mengatur kerjasama dengan negara-negara jiran bagi membanteras ancaman komunis.

Allahyarham pernah berkhidmat di dalam pasukan Force 136 sekitar 1940-an bagi menentang pendudukan Jepun di Tanah Melayu.

Dalam pada itu, orang ramai boleh menziarahi dan memberi penghormatan terakhir terhadap Ibrahim di Dewan Syarahan Utama Masjid Negara mulai 3 petang ini.


Menurut kenyataan Masjid Negara, solat jenazah akan diadakan sejurus selepas solat Asar manakala upacara pengebumian akan disempurnakan di Makam Pahlawan selepas itu.


Allahyarham Ibrahim, 88, meninggal dunia di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di sini pukul 4.40 pagi tadi

30,863 calon PMR 2010 dapat semua A

Posted: 22 Dec 2010 10:21 PM PST

THE MALAYSIAN INSIDER

PUTRAJAYA — Seramai 30,863 daripada 439,456 calon peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini memperoleh semua A, peningkatan 0.65 peratus berbanding 28,188 calon tahun lepas.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Abdul Ghafar Mahmud berkata Gred Purata Nasional (GPN) pada tahun ini adalah 2.74 berbanding 2.78 tahun lalu, menunjukkan peningkatan pencapaian pelajar pada tahun ini.

"Pada keseluruhannya, pencapaian calon PMR tahun 2010 dalam 16 mata pelajaran adalah yang terbaik daripada perbandingan empat tahun," katanya semasa membentangkan analisis keputusan PMR 2010 di sini hari ini.

Pada tahun ini, calon yang mendapat semua E menurun kepada 386 orang daripada 397 orang tahun lepas.

Abdul Ghafar berkata bagi calon luar bandar, pencapaian mereka mencatatkan peningkatan daripada segi nilai GPN, pencapaian semua A dan pencapaian melepasi tahap minimum.

Nilai GPN calon luar bandar adalah 2.97 berbanding 2.93 manakala calon bandar mencatat nilai GPN daripada 2.68 kepada 2.65, bermakna jurang pencapaian calon luar bandar dan bandar semakin rapat, katanya.

Abdul Ghafar berkata pencapaian calon "istimewa" pada tahun ini secara keseluruhannya menunjukkan sedikit penurunan berbanding tahun lepas, walaupun jumlah yang menduduki peperiksaan bertambah daripada 1,188 kepada 1,345 orang.

Beliau berkata daripada jumlah itu, seramai lima pelajar berjaya mendapat semua A, berbanding tujuh tahun lepas manakala 146 pelajar melepasi tahap minimum berbanding 161 sebelumnya.

Abdul Ghafar berkata enam mata pelajaran menunjukkan kenaikan signifikan dalam Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) 2010 berbanding tahun lepas, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Arab, Matematik, Sains dan Kemahiran Hidup Pertanian.

Bagi mata pelajaran Pendidikan Kesenian yang merupakan tahun kedua diperkenalkan dalam peperiksaan PMR, Bidang Tari menunjukkan pencapaian tertinggi daripada segi peratusan bilangan memperoleh Band 4 (pencapaian tertinggi), diikuti Teater, Muzik dan Seni Visual. — Bernama

Tak rasmi: Omar kekal presiden Cuepacs, Lok SU Agung baru

Posted: 22 Dec 2010 10:19 PM PST


KUALA LUMPUR — Omar Osman berjaya mempertahankan jawatan Presiden Cuepacs dengan kemenangan selesa meskipun berhadapan dengan isu beliau dilanjutkan kontrak perkhidmatan selama setahun lagi.

Malah, keputusan tidak rasmi yang diperoleh The Malaysian Insider menunjukkan, calon barisannya juga sapu bersih pemilihan kali ini kecuali jawatan setiausaha kewangan dan timbalan setiausaha kewangan masing-masing merupakan calon barisan saingan kumpulan Omar.

Tiga tahun lalu Omar menang jawatan presiden tanpa cabaran.

The Malaysian Insider difahamkan Omar memperoleh 815 undi manakala pencabarnya Ramli Omar, yang pernah cuba tiga kali, mendapat 153 undi.

Setiausaha Agung Ahmad Shah Mohd Zin gagal mengejut dalam usahanya mempertahankan jawatan itu.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan, Lok Yim Peng memperoleh 468 undi untuk mengambil alih jawatan itu.

Seorang lagi pencabar, Ku Azmi Ku Ibrahim, yang kali pertama bertanding jawatan setiausaha agung, mendapat 278 undi manakala Ahmad Shah menerima 263 undi.

Ramli berganding dengan Ahmad Shah yang mempertahankan jawatan setiausaha agung buat penggal ketiga.

Lok, yang turut dicalonkan bertanding jawatan timbalan presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), yang pemilihannya akan diadakan minggu depan.

Ini kali kedua wanita dipilih sebagai setiausaha agung Cuepacs.

Jawatan timbalan presiden pula dimenangi oleh Azih Muda dan Zainal Ismail.

Azih yang juga timbalan presiden semasa memperoleh undi tertinggi dan dijangka akan menggantikan Omar apabila beliau bersara tahun depan.

Tiga kerusi jawatan timbalan setiausaha agung dimenangi oleh Adnan Mat, Abd Rahman Norrdin dan Mohamad Baharom.

Jawatan setiausaha kewangan yang menyaksikan persaingan satu lawan satu dimenangi Ja'apar Mansor, yang menewaskan Samuel Devadasan.

Azhar Abdul Shukri menewaskan Hamzah Masri untuk menerajui jawatan timbalan setiausaha kewangan.

Persidangan Tritahunan Cuepacs dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, semalam.

Keputusan rasmi pemilihan akan diumumkan hari ini — pada hari terakhir persidangan.

RM4.5 juta-Wanita Pertama, Monologku Dengan Bayang-bayang

Posted: 22 Dec 2010 10:18 PM PST

Oleh laniisma

"RM4.5 juta. Apa? RM4.5 juta, Sidang Wanita Pertama. Gila!! Siapa? 1Wanita, kononnya wanita pertama. 1Wanita mana? Yang gila 'title', tak sedar diri. Permaisuri Agung? Ntah! jadi yang keberapa. Berapa yang datang? 15 orang, dari Afrika.

RM4.5 juta perabis untuk 'mem' gelap Afrika? Yelah! Kenapa? Tak kelas langsung. Wanita Pertama Amerika? Tak layan. Wanita Pertama Britain? Tak pandang! Wnita Pertama Euro? Geli! Sebab? Ada 1Wanita mengaku wanita pertama, tak iktiraf. Sebab? Mereka tahu 1Wanita perabis duit rakyat. Ooo....begitu.

RM4.5 juta, 3 hari. Apa? Tiga hari! Berapa? Tiga hariiii. Makan angin? Takkk. Habis?Bersidang. Bersidang? Cara nak mencari 'title'. Lepas tu? Nun, hantar kat PBB nun. Lepas tu? Kononnya PBB terima. Kah! Kah! Kenapa ketawa? PBB terima, riuh kat TV. TV mana?TV3, TV1. Patut pun, terima masuk arkib.

Apa rakyat dapat? Malaysia tersohor. Chess...Malaysia tersohor, tersohor apa kejadahnya? nama 1Wanita sampai PBB. PBB tahu 1Wanita belasah duit rakyat sampai RM4.5 juta. Rakyat? Ngangalah! Kenapa nganga? 1Wanita jadi tersohor. Chaitt! tersohor? Tu rakyat pekak badak, fikir pakai kepala lutut. Rakyat mana? Penyokong totok, tahu pangkah aje. Kau? Cerdik sedikit, walaupun tak pandai sangat. Cerdik? Samalah kita, sama-sama tak bodoh.

RM4.5 juta, apa menteri wanita kata? Kita bagi. Menteri lain? Nyiru mereka tadahkan. Tak faham? Ambillah seberapa mahu. Sebab? Bini PM. Sebab? Takut dipecat PM. Apa pula kata PM? Abang bagi sebagai upah. Upah apa? Picit belakang dan ........ Duit rakyat? Tak, mereka kira duit mak bapak mereka. Chaithh...bengong.

Kenapa kau tulis? Geram. Apasal geram? Geramlah, perabis duit rakyat. Kau tak rugi pun? Tak rugi!! aku pembayar cukai, geramlah. Katalah, kalaulah Pas perabis RM4.5 juta macam tu? Tak mungkin! Sebab? Duit rakyat. Sebab? Roh agama. Sebab? Dosa pahala. Sebab? Masuk neraka woi...1Wanita tak rasa gitu? Aaaa...aaaa...ntah!!! Dak eh! kalau Pas buat juga? Tobat, aku tak undi lagi, aku harap tak begitu. PKR? DAP? Ntah, kau pergi tanya dia. Janganlah macam tu? Dah...dah...aku nak tido...bini dah panggil. Woi, woi...nanti la!!!

Exco sedia dialog isu padi

Posted: 22 Dec 2010 09:42 PM PST


SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM – Dr Yaakob Sapari bersedia untuk mengadakan mesyuarat bersama Datuk Seri Noh Omar dan serta pegawai- pegawai berkaitan untuk menyelesaikan isu benih dan baja padi.

Exco Selangor itu berkata, beliau akan menyemak semula surat yang dihantar oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berkaitan isu itu.

Menurutnya, pengetahuan yang kurang berkaitan pertanian menyebabkan petani kerugian hampir separuh daripada pendapatannya sekarang.

"Datuk Seri Noh tiada pengetahuan berkaitan pertanian. Kesannya tender benih diberikan kepada syarikat yang tiada pengalaman mengendalikan benih padi.

"Beliau juga tidak tahu cara dan teknik terbaik untuk meningkatkan hasil petani seperti mempercepatkan pengeluaran padi," katanya.

Katanya, tindakan menswastakan benih padi dan baja juga merupakan salah satu faktor menyumbang kepada kerugian petani.

"Sebelum proses penswastaan, sistem pengurusan benih padi adalah terkawal dan teratur dan baja serta benih padi yang diterima adalah berkualiti.

"Selepas penswastaan diperkenalkan, baja dan benih padi yang diberikan kurang berkualiti hingga menyebabkan banyak berlaku padi angin," katanya.

Katanya, untuk mengelakkan kerugian berterusan, petani mengambil inisiatif sendiri dengan mendapatkan bekalan daripada Perak.

"Petani terpaksa menggunakan kos yang lebih tinggi untuk mendapatkan kualiti yang lebih baik.

"Penswastaan juga menyebabkan petani perlu berbayar lebih tapi kualiti yang diterima mengecewakan," katanya.

Noh kelmarin bersedia untuk berdialog secara terbuka dengan Yaakob bagi membincangkan isu padi.

Ribuan bangkai ikan penuhi tasik

Posted: 22 Dec 2010 09:37 PM PST

SINAR HARIAN ONLINE

PUCHONG – Ribuan bangkai ikan yang terapung di tasik 'Lake Edge' di sini akan dibersihkan dengan segera selepas penduduk mendakwa tidak tahan menanggung bau busuk dari tasik itu sejak Sabtu lalu.

Difahamkan, ikan di tasik yang turut berdekatan beberapa perumahan elit di sini mati sedikit demi sedikit sejak Khamis lalu sebelum semakin banyak bangkai ditemui.

Sinar Harian dimaklumkan ia bukanlah kejadian pertama ribuan ikan di tasik itu mati malah dikatakan berlaku setiap tahun sejak 2004.

Wakil Bahagian Perkhidmatan Bandar Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) berkata, beberapa faktor dikenal pasti mungkin menjadi punca kejadian itu berlaku.

Katanya, fenomena semulajadi seperti perubahan suhu dan cuaca serta pencemaran air turut mengundang kepada faktor ikan itu mati.

"Kita sudah berhubung dengan Jabatan Perikanan dan dimaklumkan perubahan suhu dan cuaca menyumbang kepada perkara itu.

"Dalam kes ini, punca kejadian masih belum dikenal pasti dan ia mungkin disebabkan pencemaran oleh air tidak dirawat,"katanya.

Sementara itu Ahli Parlimen Puchong,Gobind Singh Deo ketika meninjau lokasi mahu satu cara difikirkan supaya kejadian itu tidak lagi berulang dan semua pihak dapat membuat persediaan sekiranya ia masih berlaku.

"Saya difahamkan kejadian berlaku setiap tahun, dalam kes ini ia dipercayai berlaku disebabkan pelepasan air tidak terawat dari loji IWK.Disebabkan itu saya minta agensi berkenaan turut sama membantu membersihkan bangkai ikan.

"Kita tidak mahu perkara ini menimbulkan isu kesihatan dan pencemaran air,"katanya yang mahu satu mesyuarat diadakan antara pemaju dan penduduk berdekatan supaya kesemua pihak tahu apa tindakan segera patut diambil sekiranya kejadian berulang semula.

Sementara itu, Yang Dipertua MPSJ, Datuk Adnan Md Ikshan berkata, pihaknya sudah menulis surat kepada IWK supaya mengambil tindakan segera merawat air kumbahan yang mengalir ke tasik itu.

Selain itu menurut beliau, MPSJ turut mengeluarkan notis kepada pihak yang menjalankan kerja tambak tanah di kawasan berhampiran kerana melakukan kesalahan ingkar syarat-syarat kerja tanah.

"Pihak itu berdepan tindakan kompaun RM25,000 kerana membuang sisa selain binaan untuk menambak tasik itu.

"Mereka tidak boleh meneruskan kerja sekiranya kerja pembersihan tidak dijalankan,"katanya

Pengantin baru mati tukar mentol

Posted: 22 Dec 2010 09:35 PM PST

Oleh Junita Mat Rasid

MUAR: Seorang guru lelaki hanya sempat mengecap nikmat perkahwinan empat hari sebelum meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik ketika menukar mentol di rumah keluarganya di Parit Pinang Seribu di sini, malam kelmarin.

Keluarganya cuba membantu, tetapi Shahrizal Salleh, 30, gagal diselamatkan. Polis yang datang menyiasat menghantar mangsa ke ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), tetapi dia disahkan meninggal dunia.

Seorang penduduk kampung yang enggan dikenali berkata, mangsa baru melangsungkan perkahwinan Sabtu lalu.

Menurutnya, keluarga Shahrizal dijadualkan mengadakan majlis menyambut menantu, Sabtu ini.


Katanya, persiapan untuk majlis di rumah keluarga Shahrizal sudah hampir siap sepenuhnya.


"Difahamkan, mangsa cuba menukar mentol lampu tanpa menyedari terdapat aliran elektrik menyebabkan dia terkena renjatan, terjatuh dan tidak sedarkan diri.

"Keluarganya cuba membantu, tetapi mendapati mangsa sudah tidak bernafas dan menghubungi polis. Mangsa dibawa ke HPSF oleh polis tetapi disahkan sudah meninggal dunia," katanya di sini, semalam.

Difahamkan, kejadian dipercayai berlaku ketika hujan lebat yang berkemungkinan menyebabkan renjatan elektrik itu berlaku.

Shahrizal yang mengajar di sekolah berhampiran kampungnya berkahwin dengan pasangannya yang juga mendiami daerah ini.

Ahli keluarga mangsa ketika ditemui enggan ditemubual kerana terlalu sedih dengan kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohammad Nasir Ramli ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan pihaknya menerima laporan kes berkenaan.

"Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan kami percaya mangsa terkena renjatan elektrik. Keluarga mangsa menuntut jenazahnya di HPSF selepas bedah siasat," katanya.

SPNB cadang hapuskan wang tahanan

Posted: 22 Dec 2010 09:34 PM PST

BERNAMA

KUALA LUMPUR – Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB)bercadang menghapuskan serta merta wang tahanan RM2,500 yang dikenakan ke atas kontraktor yang membina Projek Rumah Mesra Rakyat (RMR) bermula projek yang akan datang.

Pengerusi SPNB, Datuk Ir Idris Haron berkata langkah itu akan membantu kontraktor mendapatkan julat keuntungan yang lebih banyak.

"Projek kita melibatkan kos yang kecil, iaitu lebih kurang RM70,000 sahaja dan wang tahanan ini hanya akan menjejaskan julat keuntungan mereka… sudahlah keuntungan mereka kecil saja," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Inden Kerja Kontraktor Program RMR di sini hari ini.

"Dengan keadaan industri pembinaan yang begitu mendesak, keuntungan mereka hanyalah dalam lingkungan RM5,000 ke RM10,000 sahaja. Jadi dengan adanya wang tahanan, keuntungan mereka akan berkurangan dan ini sekaligus akan menjejaskan kualiti pembinaan," katanya.

Wang tahanan adalah sejumlah wang yang ditahan oleh SPNB dari bayaran kemajuan kerja kontraktor, yang bertujuan melindungi mutu kerja dari sebarang kecacatan.

Ia akan ditahan sehingga selesai tempoh jaminan kecacatan tamat, iaitu selama satu tahun selepas projek siap.

Selain itu, mengenai penyerahan inden kerja kontraktor, Idris berkata ia selaras dengan hasrat kerajaan untuk menampung keperluan rumah untuk rakyat, lebih-lebih lagi kepada mereka yang berpendapatan rendah.

Di majlis itu, 203 kontraktor Bumiputera telah dianugerahi Inden kerja bagi Projek RMR di Terengganu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Johor.

Kini, SPNB sedang membina dan memproses perjanjian pembinaan 2,954 unit rumah yang dijangka siap tidak lama lagi.

"Setakat ini, SPNB telah menerima 43,859 permohonan di seluruh negara untuk projek RMR dan daripada jumlah itu, 17,971 permohonan dengan peruntukan RM1.1 bilion telah diluluskan," katanya.

SPNB telah menyerahkan 15,017 unit RMR di seluruh negara dengan nilai projek RM840 juta sejak 10 tahun lepas.


GMI teruskan kempen mansuhkan ISA

Posted: 22 Dec 2010 09:30 PM PST

SELANGOR KINI


KUALA LUMPUR – Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) mendesak kerajaan supaya akta itu dimansuhkan dan meneruskan kempen bagi membebaskan lebih 25 tahanan ISA yang masih di Kem Kamunting.

Antara tuntutan lain termasuk memansuhkan Ordinan Kecemasan (EO), Akta Dadah Berbahaya (DDA) dan RRA atas alasan melanggar semangat Perlembagaan Negara dan Perkara 9, 10 dan 11 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) 1948.

GMI seterusnya mendesak kerajaan melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), menggunakan undang-undang yang terkandung dalam Kanun Keseksaan untuk tuduhan jenayah.

Bercakap ketika sidang media di ibu negara pagi tadi, Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh menyifatkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Najib Razak seolah-olah mengenakan corak pemerintahan diktator tanpa mengambil kira desakan umum.

"Kajian ke arah meminda ISA, dikatakan ada 5 isu untuk dibawa ke Dewan Rakyat, tetapi setelah lebih setahun pegumuman dibuat Perdana Menteri pada 3 April 2009, tiada sedikit pun pindaan yang dibentangkan di parlimen.

"Jadi di manakah janji seorang Perdana Menteri apabila ingin mmebuat kajian semula tentang ISA?" soal beliau pada sidang media di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCH)di ibu negara pagi tadi.

Syed menambah, GMI akan bekerjasama dengan kerajaan Pakatan Rakyat (Pakatan) secara lebih komprehensif dalam isu ini.

"Jika Pakatan berjaya mengambil alih dan mereka (PR) mempunyai kerusi majoriti, kita akan sedaya upaya menghapuskan akta tersebut dan sekiranya tidak berlaku kita akan membawa ianya ke mahkamah," ujar beliau kepada media.

Tambahnya lagi, sebanyak empat blok baru sedang dibina di kem tahanan ISA Kamunting.

Antara perkara yang dibincangkan merangkumi isu-isu yang diperjuangkan GMI sepanjang tahun 2010 termasuk kuasa menteri, tempoh penahanan, persepsi awam untuk kepentingan politik.

Turut hadir ke sidang media adalah isteri kepada seorang tahanan ISA warganegara Indonesia yang masih ditahan di kem Kamunting, Khairunaizah Mohd Akhir.

Beliau yang masih trauma dengan kejadian 11 Ogos 2010 lalu menceritakan bagaimana polis menggunakan kekerasan ketika menahan suaminnya, Mustawan Ahbab kerana dituduh terlibat dengan gerakan pengganas antarabangsa.

"Masa saya jumpa dia di Bukit Aman dan masa saya jumpa dia di Kamunting memang tidak sama," kata Khairunaizah.

Ujarnya lagi, polis turut menggenakan ugutan terhadap isteri mangsa supaya tidak melibatkan diri dengan badan bukan kerajaan (NGO) anti ISA.

"Tempoh tahanan itu tidak tahu berapa lama, tapi dia ada beritahu kalau saya berjumpa dengan mana-mana NGO mungkin dia akan ditahan lama, mungkin kurang atau lebih," jelas beliau kepada media.

Program Jelajah 1Malaysia lebih bersifat politik

Posted: 22 Dec 2010 09:28 PM PST

SELANGOR KINI


SHAH ALAM - Pembangunan yang dicanang Perdana Menteri Najib Abdul Razak tertumpu kepada aspek material dan meminggirkan pembangunan jatidiri dan modal insan.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata, konsep 1Malaysia bersifat politik, dan kosong tanpa fokus kepada pembangunan rohani.

Sepanjang konsep 1Malaysia diperkenalkan, kegelinciran moral di kalangan remaja belia masih di paras membimbangkan.

Dr Halimah berkata, Program Jelajah 1Malaysia nampaknya tidak memberi penekanan kepada pembentukan insan yang matang, bertanggungjawab dan berfikiran kritis, komponen utama dalam pembentukan negara yang harmoni, demokratik dan berdaya saing.

"Itu bukan target mereka sebenarnya, tujuan utama jelajah 1Malaysia adalah tujuan politik Umno-Barisan Nasional (BN), bukan untuk mengurangkan gejala sosial yang melanda belia di Malaysia, sasaran mereka tidak akan tercapai sebab itu bukan tujuan sebenar mereka," katanya.

Dr Halimah menjelaskan, program jelajah 1Malaysia berbeza dengan program Generasi Idaman Selangor atau GeMS yang diwujudkan sebagai komponen penting dalam agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Program GeMS mensasarkan pembangunan belia yang maju, dengan kesedaran moral yang tinggi dan peka kepada keperluan masyarakat dan negara.

"Sedangkan jelajah GeMS adalah khusus untuk menangani gejala sosial, perancangan kita, perbincangan kita berkisar di atas gejala sosial, sedangkan 1Malaysia ini untuk mengetengahkan agenda-agenda Umno-BN," jelasnya.

GeMPS adalah program yang menjadi taruhan Kerajaan Negeri Selangor dalam usaha menangani masalah gejala sosial di kalangan belia di Selangor.

Dr Halimah berkata, program GeMS anjuran kerajaan negeri mengajak semua lapisan masyarakat termasuk ibu bapa, pimpinan masyarakat, untuk sama- sama berganding bahu memainkan peranan mengekang gejala tidak sihat dikalangan muda mudi masa kini.

Program ini juga membabitkan penglibatan artis serta ikon belia bagi membantu memberi kesedaran kepada komuniti remaja ini.

Kase serah memo mohon campur tangan Agong

Posted: 22 Dec 2010 09:27 PM PST

SELANGOR KINI

SHAH ALAM – Jawatankuasa Anti Saman Ekor (Kase) bakal menyerahkan satu memorandum bagi memohon campur tangan Yang di Pertuan Agong (YDPA) terhadap kelulusan Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010 oleh kerajaan, tegas pengerusinya, Datuk Mahfuz Omar.

Kelulusan itu juga menurutnya dibuat secara tergesa-gesa dan melalui undi belah bahagi pada persidangan Dewan Rakyat minggu lalu.

Bagaimanapun menurut Mahfuz, masih ada peluang kerana YDPA belum menandatangani rang undang-undang tersebut.

"Dalam konteks perundangan ini, Yang Di Pertuan Agong merupakan orang terakhir yang boleh memberi pertimbangan. Untuk memberi pertimbangan wajar samada untuk dititah semula untuk penambah baikan kemudian dikembali ke Parlimen. Jadi esok saya nak minta kepada YDPA untuk tidak menandatangani." katanya ketika dihubungi TVSelangor.

Memorandum itu akan dihantar ke Istana Negara jam 10 pagi esok bersama beberapa ahli Parlimen Pakatan Rakyat.

Pada 15 Disember lalu, Dewan Rakyat meluluskan pindaan rang undang-undang itu yang antara lain akan membolehkan pendaftaran kereta elektrik, pelaksanaan sistem penguatkuasaan automatik (AES) bagi membanteras pemanduan berbahaya, dan penubuhan Suruhanjaya Pengangkutan Darat (Span).

Bagaimanapun, kelulusan rang undang-undang itu terpaksa melalui proses undi belah bahagi pada bacaan kedua yang menyaksikan 70 menyokong, manakala 40 lagi menentang.

Rang undang-undang itu menurut Mahfuz mengandungi beberapa perkara yang tidak adil untuk rakyat khususnya pelaksanaan sistem AES yang disifatkanya sebagai saman ekor cara baru.

Justeru beliau berharap YDPA sebagai pemimpin tertinggi boleh membantu.

"Saya nak mohon perkenan di bawah duli Tuanku demi untuk rakyat, ini yang perlu dilakukan oleh Tuanku," katanya.

RM36 Billion Untuk Kroni

Posted: 22 Dec 2010 04:06 PM PST

SABAH DAILY

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata perlaksanaan projek aliran transit massa (MRT) di Lembah Klang dijangka menjana Pendapatan Negara Kasar (GNI) antara RM3 bilion dan RM4 bilion setiap tahun dari tahun hadapan hingga 2020, hasil daripada pembinaan dan operasi.

najib pc 091210 01Najib berkata antara RM8 bilion dan RM12 bilion akan dijana melalui limpahan dari kerja-kerja pembinaan.

"Sebanyak RM21 bilion impak peningkatan GNI setiap tahun akan dijana pada tahun 2020 dari penambahan nilai hartanah dan penambahan kadar produktiviti," katanya selepas mengumumkan bahawa Jemaah Menteri pada mesyuarat mingguannya semalam telah meluluskan perlaksanaan projek MRT berkenaan di Petaling Jaya.

Projek MRT yang merupakan projek infrastruktur yang terbesar di Malaysia adalah satu projek kemasukan ekonomi (EPP) untuk NKEA (Bidang Ekonomi Utama Negara) Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Beliau juga berkata projek MRT ini akan menjana 130,000 peluang pekerjaan dalam tempoh masa pembangunannya.

Katanya kerja pembangunan projek tersebut dijangka bermula Julai tahun depan dan akan mengambil masa lima atau enam tahun.

Stesen integrasi

Najib berkata laluan pertama projek MRT ini akan menghubungkan Sungai Buloh dengan Kajang dan akan melalui pusat bandaraya Kuala Lumpur.

NONE"Jarak laluan ini adalah lebih kurang 60km dan 35 stesen akan dibangunkan sepanjang laluan ini. Stesen-stesen integrasi akan dibangunkan di lokasi di mana laluan MRT bersilang dengan laluan KTM Komuter, laluan transit aliran ringan atau light rail transit (LRT) Kelana Jaya dan laluan LRT Ampang," katanya.

Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang ini akan memberi perkhidmatan tren yang efisyen kepada kira-kira 1.2 juta penduduk, katanya, sambil menyatakan bahawa MRT itu akan melalui kawasan padat penduduk seperti Kota Damansara, Mutiara Damansara, Bandar Utama, Taman Tun Dr Ismail, Bukit Damansara, Cheras, Bandar Tun Hussein Onn dan Balakong.

Katanya lebih daripada 400,000 orang dijangka menggunakan perkhidmatan MRT tersebut setiap hari.

Najib berkata laluan muktamad MRT tersebut serta lokasi stesen masih belum ditetapkan dan kajian pengurusan nilai akan dijalankan untuk menentukan laluan yang muktamad dengan mengambil kira kadar penggunaan yang optima serta pengrealisasian nilai hartanah yang maksima.

Oleh kerana itu, katanya kos projek yang tepat hanya akan dapat ditetapkan setelah kajian tersebut diselesaikan.

NONE"Harga keseluruhan projek ini masih lagi dalam peringkat dihalusi, anggaran awal projek ini dalam tahun 2009 dalam lingkungan RM36 bilion tetapi ini akan tertakluk kepada perubahan apabila sampai pada masanya," katanya.

Beliau berkata harga terakhir projek tersebut bergantung kepada faktor seperti kontrak-kontrak yang akan ditawarkan melalui tender terbuka, kenaikan harga barangan dan sebagainya.

Rel tidak mencukupi

Najib berkata kerajaan telah memilih laluan Sungai Buloh-Kajang untuk memulakan projek MRT di Lembah Klang kerana koridor ini tidak mempunyai perkhidmatan pengangkutan awam rel yang mencukupi.

Pada masa yang sama, kajian terperinci atas laluan ini telah pun dijalankan kerana laluan ini telah dicadang oleh Syarikat Prasarana Negara Bhd pada tahun 2008 dan juga oleh MMC-Gamuda Joint Venture Sdn Bhd baru-baru ini.

public transportation 260706 star lrtLaluan MRT Sungai Buloh-Kajang adalah fasa pertama dalam pembangunan jaringan MRT di Lembah Klang.

Laluan-laluan yang akan dibangunkan pada masa hadapan telah dicadangkan dan kini sedang dikaji di bawah skop Pelan Induk Pengangkutan Awam Bandar yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat.

Pembangunan laluan yang lain itu akan dilaksanakan dalam beberapa fasa, katanya.

Ditanya mengenai sama ada kerajaan akan mengumumkan projek baru di bawah EPP, Najib berkata terdapat beberapa projek baru yang akan diumumkan Januari tahun depan.

Projek MRT Lembah Kelang mula dibina Julai

3 Juta sakit mental kata Ketua Pengarah IKIM

Posted: 22 Dec 2010 03:59 PM PST

SABAH DAILY

Isu kesihatan mental adalah isu yang amat besar dihadapi negara kerana mengikut kajian 2010, tiga juta rakyat Malaysia mengalami gangguan mental," Ketua Pengarah Institusi Kefahaman Islam Malasyia (Ikim), Datuk Nik Mustapha Nik Hassan

(Nampaknya negara kita Malaysia memerlukan lebih banyak hospital khusus untuk merawat pesakit mental. 11.3 peratus rakyat Malaysia sakit mental, bermakna hampir 3.3 juta orang. 50,000 kes cuba bunuh diri setahun dengan hanya 233 pakar sakit jiwa seluruh Malaysia. Bacalah sendiri rintihan, penderitaan, kisah seorang ibu mempunyai anak yang menghidap sakit mental pada pautan berikut http://waghih.blogspot.com/2010/11/negara-amat-perlukan-lebih-banyak.html )

TIGA JUTA TERGANGGU MENTAL

KUALA LUMPUR: "Isu kesihatan mental adalah isu yang amat besar dihadapi negara kerana mengikut kajian 2010, tiga juta rakyat Malaysia mengalami gangguan mental," Ketua Pengarah Institusi Kefahaman Islam Malasyia (Ikim), Datuk Nik Mustapha Nik Hassan

Beliau berkata, isu yang sering dipandang remeh oleh segelintir masyarakat itu perlu ditangani bagi meningkatkan mutu kesihatan rakyat, sekali gus membolehkan negara mencapai Wawasan 2020.

Berikutan masalah itu yang boleh mengugat negara, katanya, Pusat Perundingan dan Latihan Institut Kefahaman Islam Malaysia (PPLI) menganjurkan Bengkel Pengurusan Tekanan Mental (Stress).

"Bengkel ini bertujuan memberi kemahiran kepada peserta mengenal pasti dan menangani tekanan pada diri dan membantu mereka yang lain untuk mengurangkan tekanan yang dihadapi," katanya pada sidang media selepas membentangkan modul bertajuk 'Pandangan Hidup Islami Mencegah Tekanan Mental, di sini.

Menurutnya, bengkel yang dihadiri 150 orang terdiri wakil organisasi dan individu daripada pelbagai peringkat usia itu turut menerapkan aspek pencegahan gangguan mental dari perspektif Islam.

"Melalui bengkel ini, Ikim memainkan peranannya supaya masyarakat khususnya yang beragama Islam memahami apa yang dimaksudkan dengan tekanan mental dan bagaimana cara mengatasinya melalui perspektif Islam.

"Tekanan mental adalah gangguan terhasil daripada kesihatan yang terganggu dengan penghayatan dalam hidup Islam dapat mengurangkan tekanan dan mereka yang terlibat perlu mengambil langkah proaktif dengan menjaga kesihatan," katanya.

Nik Mustapha berkata dalam usaha mengatasi gangguan mental di kalangan masyarakat, Ikim akan membangunkan modul yang dibentangkan dalam bengkel berkenaan untuk dikembangkan ke pasaran umum dan akan dibangunkan dalam bentuk pendekatan Islam sesuai dengan peranan yang dibawa Ikim.

"Sebelum ini, kita sudah menganjurkan seminar kesihatan mental yang hanya disampaikan secara teori, tetapi melalui modul yang dilahirkan pada waktu ini dapat menghasilkan gerak kerja untuk mengatasi masalah secara praktikal.

"Modul ini akan dikembangkan untuk dipasarkan ke seluruh negara sama ada untuk agensi mahupun individu yang memerlukan bagi mengurangkan gangguan mental di kalangan masyarakat dan bagaimana Islam memainkan peranan," katanya.

http://www.hmetro.com.my

Harga Susu Tin Naik 30 Sen 1 Jan

Posted: 22 Dec 2010 03:57 PM PST

SABAH DAILY

Kenaikan harga itu adalah untuk susu tin 400 gm dan 500 gm. Demikian dinyatakan oleh Presiden Persekutuan Persatuan Peniaga Barangan Runcit Malaysia, Lean Hing Chuan.

"Sekarang ini harga susu tin di dalam lingkungan RM2.40 ke RM3.20," tambahnya dengan menyatakan pelarasan itu disebabkan peningkatan kos.

Pada bulan April lalu harga susu telah naik 5 sen. Kemudian susu dinaikkan lagi 10 sen pada Oktober lepas. Dan pada 1 Januari depan harga tersebut meningkat sebanyak 30 sen lagi.

Presiden Persatuan Peniaga Kedai Kopi Malaysia, Ngo Soo Boon menyatakan beliau percaya harga minuman akan naik awal tahun depan ekoran kenaikan harga barang.

"Ini bukan saja disebabkan kenaikan harga susu, tetapi kos-kos lain seperti upah dan sewa juga telah turut naik," kata Ngo semalam.

"Ia adalah riaksi berantai berikutan kenaikan harga bagi lain-lain barangan." -GB

Tiada ulasan: