Khamis, 23 Disember 2010

.

.


Prolog Pagi

Posted: 22 Dec 2010 06:49 PM PST

Mujurlah Kalau Berlaku...

SAYA tidak berani menyatakan dengan jelas apa yang saya tahu ini. Tetapi perkhabaran ini menggembirakan saya. Saya kira orang lain, seluruh orang Melayu juga merasai sama dengan apa yang saya rasakan. Suka dan gembira.

Kita doakan semoga ia berlaku seperti mana dirancangkan. Semoga tidak ada pihak yang cuba mengelak untuk mengagalkan peristiwa ini. Apa yang lebih penting ialah melihat kepada kepentingan bersama, mengenai masa depan negara, masa depan Melayu dan juga agama Islam.

Kata orang kita kena berikhtiar dan Allah yang akan menentukan. Dalam hidup ini jalan tidak selalu gelap. Jika kita rajin berjalan, mengembara dan bersungguh mencari penyelesaian cahaya akan ada di hujung terowong.

Saya akan memaklumkan perkhabaran gembira ini selepas segala selesai nanti. Oleh itu sama-sama kita mengangkat tangan mendoakan dan memohon kepada Allah agar ia mempermudahkan segala usaha yang baik ini. Amin. [ttdi kl 10:50 am 23/12/10]

Susupan Petang

Posted: 22 Dec 2010 03:26 AM PST

Abdullah Badawi Ziarahi Nik Aziz?

DALAM perjalanan ke kilang cetak Siasah pagi tadi saya menerima panggilan dari seorang rakan, bekas Yang Berhormat. Dia melaporkan satu berita yang pada saya senang didengarnya. Berita itu ialah mengenai bekas Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi telah menziarahi Tok Guru Nik Abdul Aziz beberapa hari lalu ketika Nik Aziz berihat di hospital USM, Kubang Kerian.

Saya tidak mudah untuk mempercayainya. Berita mengenai kunjungan Abdullah itu sedikitpun tidak disiarkan dalam mana-mana media atau blog. Apakah ianya tidak tersambar oleh mana-mana wartawan atau bloger? Sukar untuk dipercayai kalau apa-apa peristiwa yang mempunyai nilai sebegitu tinggi tidak terhidu oleh wartawan.

"Benar sheikh..!" kata kawan itu, apa bila saya mahukan kepastiannya. Dan selepas menyiasat dan menghubungi seseorang ternyata berita itu benar.

Syukurlah. Nampaknya hubungan kemanusiaan antara Abdullah dengan Nik Aziz masih ada. Ternyata Abdullah tidak mendendami Nik Aziz. Beliau boleh melupai ucapan Nik Aziz yang ditulis oleh setiausaha politiknya yang memperkecil dan menyindir Abdullah semasa majlis perlancaran Koridor Raya Pantai Timur (Ecer) dua tahun lalu.

Bila teringat akan hal ini - budi baik atau nilai kemanuisaan Abdullah terhadap Nik Aziz saya teringat bagaimana mulanya Tok Guru bergembira bila mana terdengar Abdullah akan mengambil alih jawatan Perdana Menteri dari Dr Mahathir Mohamad. Kegembiraan Nik Aziz itu dilahirkan menerusi sepucuk surat tahniah beliau kepada Abdullah Badawi.

"Ana dah pun menulis surat ucap tahniah kepada Pak Lah tapi nampaknya beliau belum jadi PM lagi," begitu luah Tok Guru kepada saya. Ketika itu saya berada di pejabatnya di SUK. Waktu itu sudah riuh mengatakan Abdullah akan mengambil jawatan itu.

Ucapan Nik Aziz menerusi surat bertulis jawi itu menunjukkan beliau berkenaan kalau Abdullah jadi Perdana Menteri. Tidak dapat dipastikan apakah surat bertulis jawi itu dihantar oleh Tok Guru atau tidak selepas Abdullah disahkan menjadi perdana menteri waktu itu.

Jumaat lepas saya bertemu dengan Abdullah di masjid Al Ghufran Taman Tun Dr Ismail. Dalam pertemuan itu tidak pula saya bertanya apa-apa mengenai pertemuan itu. Kalau saya sudah dapat maklumat ini pasti saya akan bertanya kepada beliau.

Kalau Jumaat ini saya berkebetulan bersembahyang Jumaat disitu dan sempat berjumpa Abdullah saya akan tanya apakah benar atau tidak beliau ada menxiarahi Tok Guru. Atau kalau benar apakah yang dibincangkan dalam pertemuan itu.

Apa yang saya difahamkan katanya ada perbincangan istimewaan di antara mereka berdua selama beberapa minit berada di hospital USM itu. Ehemmm...[wm.kl. 7:30 pm 22/12/10]

Pemakluman Senja

Posted: 22 Dec 2010 02:39 AM PST

Siasah Baru Sudah Selamat Dicetak

HARI ini sehari suntuk berada di kilang percetakan untuk menunggu kelahiran pertama Siasah di bawah pengurusan baru. Penat tidak usah ceritalah. Menanti kelahiran Siasah sulung lebih perit daripada menanti anak sulung. Bukan saja debaran, tetapi cemas. Kalau anak pertama hanya akan dilihat oleh keluarga terdekat saja, tetapi Siasah akan dibelek dan dinilai oleh pembaca seluruhnya.

Berlainan dengan kehaliran seorang bayi akan dipuji dan diucapkan tahniah. Siasah pula akan dinilai dan ditilik dari setiap jerung dan sudut. Apa lagi Siasah pernah berada dipasaran sebelum ini selama lima tahun. Tentu ia akan dibanding dan dinilai.

Saya tidak akan berkecil hati apakah bentuk kritikan yang bakal datang. Yang penting Siasah keluar juga dengan seadanya. Kritikan akan diterima dengan penuh hormati dan dijadikan penawar buat saya dan juga karyawan lainnya. Kritikan adalah cabaran bukan satu pelemah semangat.

Atas kelahiran hari ini diucapkan terima kasih banyak kepada semua pihak yang memberi semangat. Sebagai sesuatu yang baru tentulah banyak cacat celanya. Saya sendiri tidak berpuas hati dengan apa yang ada, tetapi cukup bersyukur kerana apa yang ada itulah kurniaan dan keizinan Allah.

Kepada pembaca dan mereka yang senantiasa menunggu kehadirannya, juga yang ragu-ragu mengenai status Siasah selamat membaca dan menilai dengan mata terbuka dan penuh keikhlasan. Mungkin buat awal waktu ini pengedaran Siasah tidak menyeluruh kerana sebab-sebab teknikal dan juga pertukaran pengedar.

Manakala kepada seluruh karyawan Siasah diucapkan terima kasih dan tahniah atas serba kedaifan kita akhirnya Siasah lahir juga.

Kepada pengedar yang sukar mendapat Siasah bolehlah menghubungi bahagian pemasaran di nombor telefon: 03-7724 1649.

Dan kepada penjenguk blong Merah Tinta maaflah kerana sehari dua ini tidak kerap membuat posting kerana kesibukan untuk menanti kelahiran Siasah ini. [wm.kl.6:40 pm 22/12/10]

Tiada ulasan: