Ahad, 14 November 2010

Muslimeen United

Muslimeen United


Kenyataan Zahid Serlah Watak Rasis Pemimpin Umno

Posted: 13 Nov 2010 02:48 PM PST

ArmiKUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad menyifatkan kenyataan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa orang bukan Melayu kurang menyertai bidang ketenteraan disebabkan 'kurang patriotisme' sebagai mencerminkan pemikiran pemimpin Umno yang masih dibelenggu dengan perasaan perkauman.

Menurut beliau, kenyataan itu berasaskan kepada corak pemikiran yang masih kuat tersemat di kalangan pemimpin Umno bahawa orang bukan Melayu ini adalah orang asing dan lebih setia kepada negara asal mereka.

"Zahid sepatutnya memikirkan cara untuk menaik taraf bidang ketenteraan bagi menarik minat rakyat untuk menyertainya.

"Kementerian juga harus merangka satu pelan jangka panjang kepada mereka yang menyertai bidang ketenteraan sebelum menuduh orang bukan Melayu kurang menyertai bidang ini kerana kurang semangat patriotik.

"Soal mereka tidak mahu menyertai ketenteraan,ini persoalan pilihan kerjaya. Mereka tak nampak kerjaya ini boleh membawa kepada satu arah yang lebih maju," kata Khalid.

Menurutnya lagi, jikalau perkhidmatan dalam tentera itu boleh dirangka dengan satu corak sehingga seseorang itu bersara dari angkatan tentera pada usia 40 tahun, mereka sudah tentulah mempunyai kerjaya yang jelas sebagai jurutera,pegawai pentadbir,pegawai logistik dan sebagainya kerana mereka mendapat latihan yang profesional dalam bidang tertentu.

"Ini boleh menarik orang bukan Melayu menyertai bidang ini kerana pilihan kerjaya ini bagus.

"Ini yang sepatutnya difikirkan oleh Menteri Pertahanan. Jangan fikir bila masuk tentera,bila dah pencen jadi pemandu teksi atau pun cukup dengan pencen yang diperoleh," kata beliau dalam sidang media di lobi Parlimen.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ipoh Barat Kulasegaran Murugeson berkata beliau akan membentangkan satu usul di Dewan Rakyat bagi mencadangkan gaji Menteri Pertahanan dipotong RM10.

Tegasnya,usul di bawah Peraturan Mesyuarat 66(9) itu bagi membantah dakwaan Zahid yang disifatkan telah menyinggung perasaan orang bukan Melayu.

"Zahid tidak boleh melarikan diri dengan menafikan bahawa beliau mengeluarkan kenyataan menyinggung perasaan orang bukan Melayu," katanya.

Tiada ulasan: