Isnin, 1 November 2010

MIMPI SENJA

MIMPI SENJA


Betul ke Guan Eng ambil tanah Melayu & Cina di Balik Pulau?

Posted: 01 Nov 2010 09:20 PM PDT

Sekumpulan kira-kira 100 orang yang mewakili peniaga di Komtar dan ahli Parti Cinta Malaysia mengadakan bantahan di hadapan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pagi ini.

Mereka membantah kenaikan tarif air dan isu pengambilan tanah di Balik Pulau. Penunjuk perasaan juga menuntut untuk berjumpa dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tetapi dihalang oleh dua pagar yang berkunci di luar bangunan itu.

Laungan "pengecut" dan "Allahu Akbar" bergema sambil penunjuk perasaan menggoncang pagar berkenaan.

DUN Pulau Pinang mula bersidang semalam.

Seorang daripada penunjuk perasaan merantaikan dirinya di pintu pagar sambil diberi tepukan gemuruh oleh rakan-rakannya yang lain.

Tidak kurang juga yang membawa sepanduk dan kain rentang yang mencaci kerajaan Pakatan rakyat. Antaranya berbunyi "Kami tidak rela tanah kami dijadikan 'business' kerajaan negeri" dan Jangan perbodohkan orang kampung. Kami ada maruah!"

Azian Ariffin, yang mewakili pemilik tanah di Balik Pulau, mendakwa kumpulannya ingin berjumpa dengan Lim secara baik.

Katanya, tujuan mereka ke mari hari ini adalah untuk menyerahkan memorandum bantahan secara peribadi kepada ketua menteri dan bukannya melalui wakilnya.

Azian berkata 29 lot tanah yang dimiliki oleh masyarakat Melayu dan 12 lot yang dimiliki oleh masyarakat Cina telah diambilalih bagi pembinaan sebuah institusi pendidikan tinggi.

Namun, dakwanya, tidak ada pemilik tanah yang berhasrat untuk berpindah kerana tanah kepunyaan mereka itu adalah sebahagian daripada warisan mereka - malaysiakini

DJ radio ditangkap khalwat

Posted: 01 Nov 2010 03:42 PM PDT

ALOR SETAR: Dia dikenali sebagai penyampai radio yang mempunyai ramai peminat sendiri namun itu tidak menghalang pihak berkuasa daripada menahannya atas tuduhan berkhalwat bersama pasangan berusia 24 tahun, malam kelmarin.

Ketika ditahan deejay yang juga penerbit rancangan radio di utara berusia 34 tahun itu memberi alasan menemani teman wanitanya yang tinggal berseorangan di rumah sewa di Taman Tunku Sarina, Jitra dekat sini, menjamu selera.

Pasangan itu dicekup kira-kira jam 11.15 malam oleh sepasukan pegawai penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu (PADKP).

Difahamkan, 'orang kuat' stesen radio itu mengenali wanita berkenaan yang berasal dari Sarawak ketika wanita itu membuat latihan amali di stesen radio tempat dia bekerja beberapa bulan lalu.

Menurut sumber, hasil maklumat orang awam, sepasukan anggota PADKP bergegas ke sebuah rumah di taman perumahan itu dan mengesyaki sesuatu mencurigakan apabila mendapati rumah berkunci.

Katanya, apabila pintu diketuk, seorang lelaki berpakaian lengkap membukanya dan membenarkan pemeriksaan dijalankan di dalam rumah berkenaan.

"Pemeriksaan mendapati ada seorang wanita di dalam rumah itu yang turut berpakaian lengkap dan siasatan mendapati mereka tiada hubungan mahram atau suami isteri.

"Lelaki itu mengaku mengenali pasangannya ketika wanita yang berasal dari Sarawak itu menjalani latihan amali di stesen radio berkenaan beberapa bulan lalu," katanya.

Sumber itu berkata, penyampai radio itu juga memberi alasan menemani pasangannya menjamu selera kerana wanita itu menyewa seorang diri di rumah berkenaan.

Difahamkan, penyampai radio itu terkenal di kawasan utara Semenanjung menduda sejak beberapa tahun lalu manakala wanita berkenaan masih bujang.

Sumber itu berkata, sebelum ini pihaknya menerima aduan penyampai radio berkenaan kerap bermalam di rumah wanita itu selepas waktu kerja atau pada hari cuti dan hanya pulang keesokan hari.

"Pasangan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu sebelum dibawa ke pejabat agama daerah untuk diambil keterangan," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 9(1)(2) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988 dan jika sabit kesalahan pasangan itu boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya sekali. - myMetro

Ahmad Maslan tidak tahu di mana Galas?

Posted: 01 Nov 2010 03:03 AM PDT

Mungkin Ahmad kali pertama ke Galas
Idris Ahmad

Parti Islam Se-Malaysia PAS ingin menjawab cabaran Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahamad Maslan yang mencabar apa yang kerajaan Kelantan buat sepanjang 20 tahun memerintah. PAS ingin memaklumkan kepada Datuk Ahmad Maslan, Kelantan masih lagi di dalam negara Malaysia, bukan berada di bawah negara Mozambique.

Walaupun Kelantan dinafikan dalam konteks federalisme, namun atas kebijaksanaan pemimpin yang bertaqwa dan bertanggungjawab kepada rakyatnya namun Kelantan boleh mentadbir dengan baik walaupun mengalami kekangan kewangan akibat dasar pilih kasih dan pencabulan amalan demokrasi. Buktinya kadar kemiskinan di Kelantan menurun pada 4.1% tahun 2008 berbanding 7.2% pada tahun 2007 dan 10.4% pada 2004. Sedangkan kadar kemiskinan di peringkat negara 3.8% sahaja. Maknanya Kelantan lebih tinggi 0.3% sahaja. Kira ok lah ini.

Kadar kemiskinan tegar di Kelantan hanya 0.6% di mana lebih rendah kadar jumlah kemiskinan tegar peringkat kebangsaan 0.8%. Perkara didedahkan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Senator Tan Sri Nor Mohamed Yakcop ketika rombongan Kelantan berunding mengenai teras asas dan pemulihan projek bagi pelaksanaan RMK10 pada 25 Jan 2010.

Dakwaan Ketua Penerangan Umno tidak ada pembangunan yang PAS laksanakan di Galas, mungkin inilah pertama kali beliau datang ke Galas. Nasib baik ada pilihanraya kecil, kalau tidak Ahmad Maslan tidak tahu di manakah Galas dan Gua Musang. Setakat hari ini tidak ada berita Ahmad Maslan turun menoreh getah seperti di Manek Urai, mungkin selepas ini dia tidur dalam ladang kelapa sawit pula.

Untuk pengetahuan Datuk Ahmad Maslan Gua Musang berubah wajah sejak PAS mentadbir Kelantan 1990. Saya harapkan beliau sedar, ketika beliau jadi Ketua Penerangan Umno, rakyat bukan hidup dalam Gua Tempurung tapi dalam dunia maklumat di hujung jari.

Sepatutnya beliau tidak perlu persoalkan kewibawaan PAS mentadbir Kelantan. Memang sudah terbukti dan teruji serta berjaya melunaskan hutang lapuk zaman Umno sebanyak RM760 juta dan meningkat taraf hidup rakyat menjadi negeri ke 6 miskin, sedangkan Sabah dan Terengganu mengekalkan pingat emas dan perak dari segi kemiskinan walaupun negeri itu ada hasil minyak. Cuba bayangkan kalau Kelantan dapat rayalti minyak, sudah tentu Kelantan akan meninggal jauh negeri di bawah kekuasaan Umno.

Sebelum beliau hendak menuding jari kepada Kelantan, lebih baik beliau menyelesaikan masalah Felda yang memerah keringat orang miskin, majoritnyai Melayu. Cabaran Penegrusi Anak, Saudara Mazlan Aliman untuk berdebat masih tidak tersahut.

Sebelum beliau cabar apa PAS buat 20 tahun di Kelantan, maka pengundi Galas juga hendak tahu ke mana wang Felda telah menguncup daripada RM4.08 bilion (2004) kepada RM1.35 bilion (2009). Wang orang miskin dibelanja untuk mendirikan bangunan RM662 juta, tanam semula RM2 bilion dan yang pelik sekali sebanyak RM253 juta untuk basmi kemiskinan di Sabah. Ke mana pergi wang minyak Sabah, sehingga mengemis dengan Felda. Sedangkan negeri yang banyak rancangan Felda ialah Pahang, Johor,Terengganu, Perak dan Kelantan. Kenapa pula wang itu ditabur ke Sabah - HD

DUN P.Pinang gantung samseng UmNO 6 bulan ...

Posted: 01 Nov 2010 02:25 AM PDT

GEORGE TOWN, 1 Nov – Ketua Pembangkang Datuk Azhar Ibrahim digantung selama enam bulan berkuat kuasa 17 Ogos lepas hingga Februari tahun depan daripada menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana didakwa mengeluarkan kata-kata kesat dan berbaur hasutan pada persidangan DUN 16 Mei lepas.

Keputusan itu diluluskan oleh Yang Dipertua DUN Datuk Abdul Halim Hussain pada persidangan hari ini setelah usul yang dikemukakan oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng (Air Putih-DAP) disokong oleh anggota dewan undangan negeri (Adun) dari pakatan pembangkang.

Bagaimanapun segala saraan dan elaun beliau sebagai Adun Penaga dikekalkan.

Terdahulu pada perbahasan yang diadakan selepas pembentangan usul itu, Azhar, dari Barisan Nasional, bertegas dengan pendiriannya tidak mahu memohon maaf disebabkan beberapa perkara iaitu tiada dakwaan khusus untuk mengenakan hukuman terhadap dirinya.

"Selain itu usul yang dirujuk juga cacat dan bercanggah dengan peraturan 37 kerana usul itu tidak pernah dibahaskan sebaliknya speaker ketika itu terus mengambil keputusan mengemukakan masalah itu dan satu undi telah diambil," katanya.

Katanya faktor lain, ialah setiap perkataan kesat yang dirujuk telah ditarik balik dan diterima oleh dewan tanpa sebarang reaksi.

Azhar sebelum itu telah dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang dipengerusikan oleh Abdul Halim dan telah bermesyuarat sebanyak tiga kali, beliau juga telah memberi penjelasan berhubung perkataan yang disebut pada persidangan 6 Mei lepas.

Pada mesyuarat yang diadakan itu juga Azhar telah diminta untuk mengemukakan permohonan maaf tetapi beliau enggan berbuat demikian.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, beliau berkata ia merupakan cara pakatan pembangkang untuk menghalangnya mengikuti persidangan DUN dan perbahasan Bajet kali ini.

"Saya adalah ketua pembangkang yang paling vokal dan selalu mengkritik pemerintahan mereka, ini juga yang pertama berlaku dalam sejarah Pulau Pinang. Selepas ini Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya (Telok Bahang-BN) akan menggantikan tempat saya," kata beliau dipetik Bernama.

Beliau yang mengakui ''sakit hati'' dengan keputusan yang diluluskan itu menyifatkan corak pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang hari ini lebih bersifat ''ala Guan Eng''.

Ditanya mengapa beliau tetap enggan memohon maaf walaupun berkali-kali diminta berbuat begitu beliau berkata:

"Untuk apa saya minta maaf, saya tidak bersalah, saya teraniaya, ini cara mereka untuk tutup mulut saya," katanya. - TMI

Tiada ulasan: