Jumaat, 19 November 2010

kalam Perantau

kalam Perantau


Mat Said ‘bohong’ lagi kerana nama?

Posted: 19 Nov 2010 08:00 PM PST

Oleh : Wan Kay   

Kuala Terengganu : Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said dilaporkan sanggup membohongi rakyat Terengganu dan Malaysia amnya, dengan program berkhatam al-Quran beramai-ramai hingga memecah rekod Negara dan dunia.

Kononnya, ramailah anak-anak Terengganu ini berkhatam al-Quran hingga dalam satu masa mencecah hampir 17,000 orang diadakan serentak.

Skuad Buletin, bukan cuba menafikan tanpa sebab tetapi didedahkan maklumat ini oleh para guru dan murid-murid sendiri yang terlibat dengan majlis khatam Quran itu.

Ianya, dibuat semata-mata inginkan nama tercatat dalam Malaysia Book of Records sebagaimana yang pernah dibuat oleh mantan Menteri Besarnya, Dato' Seri Idris Jusoh.

Hari ini, MB Mat Said juga meraikan kejayaannya apabila menjadi negeri pertama perkenalkan khatam al-Quran menggunakan buku elektronik atau e-Book yang diagihkan kepada para pelajar tahun enam sejak dua tahun lalu.

Sekaligus, katanya tercatatlah dalam Malaysia Book of Records program tersebut berlangsung serentak di seluruh daerah di negeri ini menyaksikan seramai 2,170 murid khatam menggunakan e-Book.

Bahkan, katanya seramai 16,929 orang murid tahun lima dan enam di seluruh negeri terlibat dengan program khatam al-Quran tersebut.

Tinjauan Skuad Buletin pada majlis khatam al-Quran yang diadakan di Stadium Tertutup Kompleks Gong Badak, Kuala Terengganu telah melihat sendiri ada sesuatu yang tidak kena serta bermotif politik.

Ibubapa dan orang ramai dapat melihat sendiri dengan jelas sebahagian besar para pelajar khatam al-Quran yang sepatutnya menggunakan e-Book tidak berbuat demikian.

Sebaliknya, murid-murid terbabit membaca dengan berpandukan kitab kecil yang dibekalkan kepada setiap peserta.

Buku elektronik (e-Book) yang diletakkan dihadapan pelajar itu sekadar hiasan sahaja dan apa sebab tidak diketahui.

Selain itu, pemilihan murid yang terlibat dengan khatam al-Quran turut diragui kerana terdapat ramai di kalangan pelajar berkenaan sebenarnya belum lagi khatam sepenuhnya.

Menurut sumber dalaman pemilihan para pelajar terbabit adalah termasuk mereka yang boleh membaca al-Quran meski pun belum khatam sepenuhnya.

Malah, apa yang melucukan terdapat juga di kalangan para pelajar terbabit yang terpilih ke program khatam al-Quran kerana mengikut kawan sahaja.

Seorang guru pengiring yang enggan disebut namanya mendakwa pemilihan pelajar ke program khatam al-Quran dibuat secara angkat tangan.

"Kelakar juga kali ini, pemilihan pelajar untuk program khatam al-Quran ini dibuat secara angkat tangan.

"Guru akan tanya anak muridnya sesiapa yang telah khatam Quran angkat tangan dan beri nama untuk menyertai majlis berkhatam beramai-ramai di Stadium," ujarnya.

Menurutnya, jika diselidiki betul-betul jumlah pelajar yang benar-benar khatam al-Quran tidak seramai yang diumumkan Menteri Besar Terengganu.

Seorang pelajar, Mohd Firdaus (bukan nama sebenar) mengakui belum 'tamat' (khatam) Quran tetapi terpilih kerana mengangkat tangan ikut kawan.

"Saya belum tamat (khatam) lagi Quran 'besar' tetapi boleh membacanya. Bila ustaz tanya dalam kelas siapa tamat Quran angkat tangan. Saya pun angkatlah ikut kawan," jelasnya dari sebuah sekolah di daerah Kuala Terengganu.

Katanya, tindakan berbuat demikian dilakukan oleh ramai lagi kawan-kawan yang lain kerana pemilihan terbuka.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah menyifatkan kes pelajar yang belum tamat al-Quran tetapi 'dikhatamkan' usaha terdesak kerajaan Barisan Nasional mencari nama.

Katanya, demi mengejar nama untuk dibanggakan kerajaan Umno-BN Terengganu boleh buat apa sahaja walau pun dengan cara menipu.

"Ini bukan perkara baru, banyak kes yang berlaku di negeri ini dibuat hanya untuk cari nama dan dibanggakan walau pun secara tidak betul.

"Pencapaian UPSR setiap tahun diragui, kejayaan mengatasi kemiskinan diragui, khatam Quran diragui dan banyak lagi pencapaian di bawah kerajaan Umno-BN diragui," ujarnya.

Menurutnya, PAS bukan menentang usaha baik yang dilakukan kerajaan negeri jika benar-benar terjadi tanpa 'pembohongan'.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Payung berkata akan membangkitkan beberapa isu yang meragukan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) akan datang.


Zaid: ‘Saya tidak sertai PAS, susah parti besar-besar ini’

Posted: 19 Nov 2010 04:00 PM PST

Oleh Syed Mu'az Syed Putra

PETALING JAYA, 19 Nov — Datuk Zaid Ibrahim hari ini menjelaskan beliau tidak akan menyertai mana-mana parti politik termasuk PAS sebaik sahaja keluar secara rasmi daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) 16 Disember ini.

Sebaliknya, bekas pengerusi PKR Wilayah Persekutuan itu berkata, adalah lebih baik jika menubuhkan parti baru daripada menyertai PAS.

"Saya tidak akan masuk PAS, susah parti besar-besar ini.

"Lebih baik saya sendiri," kata beliau kepada The Malaysian Insider ketika ditemui selepas sidang media di rumahnya di sini pagi ini.

Terlebih dahulu ketika sidang media itu, Zaid berkata beliau akan meninggalkan PKR berkuat kuasa 16 Disember ini.

Beliau turut mengesahkan kemungkinan akan menubuhkan parti baru berkata beliau "sudah pasti" akan bertanding dalam pilihan raya umum ke-13.

Namun menurut Zaid, parti baru itu hanya akan ditubuhkan sekiranya mendapat sokongan daripada penyokong-penyokong beliau.

Semalam, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata sama ada parti Islam itu akan menerima Zaid sebagai ahli PAS bergantung kepada keputusan yang dibuat Zaid hari ini.

"Lagipun beliau tidak minta (masuk PAS), macam mana kita nak tahu.

"Kita tunggu sahajalah apa keputusan beliau nanti, tunggu kata putus daripada beliau dulu," kata Had yang juga Ahli Parlimen Marang.

PAS walaupun berhadapan dengan hubungan "dingin" dengan Zaid sebelum ini tetapi menyokong dan berkempen untuk beliau ketika pilihan raya kecil Hulu Selangor April lalu.

Terdahulu kata Zaid, beliau menyertai PKR kerana mempercayai wadah perjuangan reformasi yang tulen yang diamalkan parti itu.

"Saya memasuki parti ini dan terus menjadi ahli seumur hidupnya bersama-sama dengan anak-anak saya kerana saya mahu parti ini menjadi wadah perjuangan reformasi dan keadilan yang tulen, jauh sekali untuk menghancurkannya dari dalam.

"Saya juga merasa yakin bahawa banyak pihak lain yang turut berkongsi kepercayaan dengan saya bahawa mana-mana perjuangan yang didasarkan di atas hasrat untuk menyelamatkan karenah peribadi pemimpinnya semata-mata adalah satu perjuangan yang palsu," katanya.

Menurut Zaid adalah wajar baginya meninggalkan PKR apabila beliau tidak lagi dipercayai oleh pemimpin-pemimpin atasan yang menganggapnya sebagai pengkhianat.

"Saya bukan penakut dan saya juga bukan kaki merajuk. Saya akan terus bersama dengan kawan-kawan dalam arena politik bagi memperjuangkan politik yang sihat dan bertanggungjawab demi membela hak rakyat.

"Saya juga amat menghargai sokongan kuat yang telah diberikan oleh kawan-kawan dan ahli parti kepada saya selama ini.

"Ingin saya tegaskan bahawa karier politik saya adalah sesuatu yang kecil sahaja, (tapi) yang paling penting kepada kita ialah politik kotor dan penipuan yang mesti kita tentang walau dari mana ia datang," katanya.


Zaid keluar PKR kuat kuasa 16 Dis, tanding PRU-13

Posted: 19 Nov 2010 04:00 AM PST

Oleh Syed Mu'az Syed Putra
 
PETALING JAYA, 19 Nov — Datuk Zaid Ibrahim akan meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkuat kuasa 16 Disember ini dan surat pemakluman mengenainya telah dihantar kepada ibu pejabat parti itu hari ini.

Zaid yang turut mengesahkan akan menubuhkan parti baru berkata, beliau "sudah pasti" akan bertanding dalam pilihan raya umum ke-13, yang dijangka diadakan tahun depan.

Zaid pernah menang kerusi Parlimen Kota Baru pada pilihan raya umum 2004 ketika masih di Umno dan bertanding  pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor April lalu atas tiket PKR tetapi tewas.

Pada sidang media di rumahnya di sini hari ini, Zaid yang kelihatan terus membidas PKR dan penasihatnya Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mengambil keputusan itu ekoran perasaan kecewa terhadap parti itu dan kepimpinannya selain hasrat mahu menjana pembaharuan politik yang sebenar di negara ini.

Ketika ditanya signifikan tarikh 16 Disember yang dipilihnya, Zaid dengan ketawa besar berkata, Anwar sendiri memilih 16 September (2008) untuk mengambil alih kerajaan persekutuan.

Pelan 16 September itu tidak menjadi kenyataan.

"Mengapa 16 Disember? Kalau Anwar gemar 16 September, maka saya pula suka 16 Disember.

"Sekurang-kurangnya saya tidak seperti beliau, mendakwa ada cukup Ahli Parlimen akan menyertai PKR. Bagi saya, saya hanya mengumumkan saya akan keluar PKR," kata beliau.

Bagaimanapun beliau berkata, tindakannya mahu keluar PKR dan kemungkinan menubuhkan parti baru tidak bermakna akan memutuskan hubungan dengan Pakatan Rakyat.

"Saya mahu semua menjadi kawan saya.

"Sama ada Pakatan Rakyat terjejas atau tidak, kena tanya PAS dan DAP," kata Zaid.

Bekas Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan itu juga memberitahu, keputusan untuk menubuhkan parti baru itu akan dibentuk sekiranya mendapat sokongan daripada penyokongnya.

 "Saya kini sedang membuat persiapan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Kalau ada sokongan daripada penyokong saya akan tubuhkan parti baru tapi apa-apa pun kita tunggu reaksi daripada penyokong dulu," katanya.

Menurut Zaid, parti baru yang akan ditubuhkan itu akan berdasarkan prinsip prinsip yang adil, demokratik dan memperjuangkan isu-isu penting.

"Perjuangan parti baru ini berasaskan perjuangan yang betul, sebuah parti yang demokratik dan berteraskan isu-isu penting.

"Kalau nak tahu dengan lanjut tentang parti baru ini, kita kena tunggu ia ditubuhkan dulu," kata bekas pemimpin ini yang menyertai PKR pertengahan tahun lalu, beberapa bulan selepas dipecat oleh Umno.

Zaid yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, sekiranya sehingga pilihan raya masih belum ditubuhkan parti baru beliau akan bertandung sebagai calon Bebas.

"Soal di mana saya nak bertanding, itu saya masih belum tahu. Tapi saya memang akan bertanding.

"Sekiranya dalam tempoh itu belum ada parti baru, walaupun sukar untuk gagal, maka terpaksalah saya bertanding sebagai calon Bebas.

"Tapi kalau nak bertanding lebih elok jika berada di bawah satu label (parti), selain itu kita juga akan ada penyokong," katanya.

Tambah Zaid, rakyat di negara ini dapat membuat keputusan bijak dalam pilihan raya akan datang.

"Saya tidak boleh nak anggarkan berapa ramai penyokong saya, nanti jadi macam PKR dan Umno pula.

"Tapi saya percaya rakyat cukup bijak untuk membuat keputusan, kalau mereka masih mahu berada dalam penipuan dan bermimpi mereka boleh bersama Anwar tapi mereka mungkin juga boleh memilih untuk bersama saya.

"Saya bukan Anwar yang anggap diri sebagai pemimpin alaf 21 dan saya juga bukan penceramah terbaik macam Anwar.

"Saya percaya masih ada penyokong yang mempercayai perjuangan saya. Saya meletakkan kepercayaan kepada kebijaksanaan rakyat untuk memahami bahawa kita mesti berpegang teguh kepada prinsip dasar yang ikhlas walau dalam apa jua situasi," katanya.

Terlebih dahulu ketika mengumumkan keluar PKR, Zaid berkata tindakan tersebut disebabkan tuduhan dan fitnah yang dilemparkan pemimpin kanan parti berhubung dengan pemilihan PKR yang sedang berlangsung sekarang.

"Ini berikutan episod pemilihan parti di mana saya telah dituduh dan difitnah oleh pemimpin-pemimpin kanan parti seperti Saifuddin Nasution Ismail (Setiausaha Agung PKR) tuduh saya berniat jahat, kononnya saya telah merancang untuk menubuhkan parti baru.

"Syed Husin Ali (Timbalan Presiden PKR) dan Azmin Ali (Naib Presiden PKR) pun sama bercakap tentang niat jahat saya untuk menggugat kepimpinan parti.

"Anwar pula menggelar saya sebagai 'Trojan Horse' dan 'Sore Loser', fitnah dan putar belit ini memaksa saya untuk keluar dari parti ini. Saya rasa hari ini mereka gembira," katanya.

Zaid, salah seorang calon jawatan timbalan presiden PKR menarik diri daripada saingan minggu lalu atas alasan kecacatan dan kepincangan dalam proses pemilihan dan awal minggu ini mengumumkan akan keluar PKR


Masuk PAS?: Kita tunggu dulu keputusan Zaid, kata Hadi

Posted: 19 Nov 2010 02:35 AM PST

Oleh Syed Mu'az Syed Putra

KUALA LUMPUR, 18 Nov – Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang meminta semua pihak supaya menghentikan spekulasi yang membabitkan Datuk Zaid Ibrahim yang mengumumkan akan keluar parti itu.

Zaid yang sebelum ini membatalkan sidang media menjadualkan semula sesi bertemu pemberita di rumahnya di Petaling Jaya, pagi esok. Malah ketika dihubungi The Malaysian Insider, Hadi berkata, Zaid sehingga kini masih belum membuat sebarang keputusan secara rasmi sama ada akan keluar PKR ataupun tidak.

"Beliau (Zaid) belum buat keputusan untuk keluar PKR atau tidak. Jadi kita tidak tahu apa yang akan beliau lakukan.

"Saya tidak suka kalau bercakap soal kalau sahaja, kita tunggu sahaja apa keputusan yang akan dibuat Zaid nanti," katanya.

Ketika ditanya sama ada PAS akan menerima Zaid sebagai ahli PAS, Hadi bagaimanapun berkata "kita perlu tunggu sahaja keputusan Zaid nanti.

"Lagipun beliau tidak minta (masuk PAS), macam mana kita nak tahu.

"Kita tunggu sahajalah apa keputusan beliau nanti, tunggu kata putus daripada beliau dulu," kata Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang.

PAS walaupun berhadapan dengan hubungan 'dingin' dengan Zaid sebelum ini tetapi menyokong dan berkempen untuk beliau ketika pilihan raya kecil Hulu Selangor April lalu.

Kelmarin, ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Datuk Husam Musa menafikan laporan yang memetiknya sebagai berkata parti itu akan menerima Zaid, bekas Pengerusi PKR sebagai anggotanya.

Husam berkata laporan Bernama yang memetik beliau berkata demikian adalah tidak tepat. Zaid sebelum ini mengesahkan akan meninggalkan PKR tetapi belum mengemukakan notis rasmi berhubung keputusannya kepada ibu pejabat parti itu.

Beliau mengambil keputusan ini ketika tinggal sebulan lagi Pakatan Rakyat dijadual mengadakan konvensyen kedua mereka di Pulau Pinang. Malah kata Zaid, beliau diserang bertubi-tubi hanya kerana meminta agar diadakan pemilihan yang bersih dan adil. Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu pada 8 November lepas mengumumkan keputusannya untuk menarik diri daripada bertanding selain melepaskan semua jawatannya dalam parti itu.

Malah Zaid meminta Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pesaing jawatan timbalan presiden Azmin Ali agar meninggalkan PKR atas alasan mereka punca kepada segala masalah dalam parti komponen Pakatan Rakyat itu.
Hari ini, Anwar berkata, Zaid bebas untuk meninggalkan PKR jika mahu sambil menegaskan bahawa partinya telah memberikan ruang secukupnya termasuk memilihnya sebagai calon pilihan raya kecil Hulu Selangor April lalu. Kata Anwar, PKR telah memberikan banyak peluang dan layanan khas kepada bekas menteri Kabinet dan bekas pemimpin Umno itu.

Zaid juga disebut-sebut akan menubuhkan parti barunya bagi meneruskan perjuangan politik beliau.


Tiada ulasan: