Sabtu, 2 Oktober 2010

Muslimeen United

Muslimeen United


Syarat Tok Guru Nik Aziz Untuk Calon Pas Dun Galas

Posted: 02 Oct 2010 09:32 AM PDT



Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, antara kriteria calon PAS bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas adalah kalangan mereka yang diterima penduduk seperti tidak merokok, tidak meninggalkan solat dan tidak pernah berpoya dengan perempuan.
"Kalau merokok saya memang tidak boleh terima untuk jadi calon," kata Nik Aziz.

"Itu kena bagi tau awal-awal kerana merokok ini boleh merosakkan segala-galanya dan tidak ada doktor baik Islam atau kafir mengatakan rokok ini baik.

"Yang lain kriteria mesti diterima rakyat dan kita pilih hak terbaik tetapi nak cari satu orang yang boleh diterima semua memang tidak ada kerana Nabi Muhammad S.A.W pun ada yang kritik," kata beliau dipetik Bernama.

Terdahulu beliau merasmikan Mesyuarat Agung Ke-13 Pertubuhan Kerabat Raja Jembal Kelantan di sini, hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat pada Rabu depan bagi membincangkan mengenai tarikh penamaan calon dan pengundian bagi pilihan raya kecil DUN Galas.

Kerusi DUN Galas kosong berikutan kematian penyandangnya Che Hashim Sulaima, 46, pada Isnin lalu akibat barah usus.

Semalam, Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata partinya telah mula menyenaraipendekkan beberapa nama dan akan mengutamakan faktor calon dalam misi mempertahankan kerusi DUN Galas.

"Kami sudah mengenal pasti beberapa pemimpin yang telah disenaraipendekkan," kata Tuan Ibrahim.

Berhubung soalan sama ada bakal calon itu orang tempatan, Tuan Ibrahim berkata, "senarai yang panjang itu ada yang muda, ada yang profesional."

Bagaimanapun kata beliau, keutamaan kali ini ialah "faktor calon."
"Itu faktor penting dan insya-Allah kita akan pilih calon anak tempatan, calon tempatan," kata beliau.

Tarbiah tarik minat bukan Islam sertai PAS

Posted: 02 Oct 2010 09:26 AM PDT



MARANG, 2 Okt: Pemuda dan pemudi PAS harus menjadi agen parti untuk menyanggah tanggapan sesetengah pihak bahawa PAS sebuah gerakan tanpa tarbiah, sebaliknya parti politik semata-mata.

Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa berkata, perkara yang membezakan pemuda PAS dengan orang lain ialah tarbiah yang menjadi salah satu sebab orang bukan Islam tertarik dengan parti ini sehingga wujudnya Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

"Hasil daripada tarbiah dalaman sehingga menghasilkan ahli yang istiqamah dengan perjuangan parti menyebabkan orang bukan Islam tertarik dengan PAS.

"Sebab itulah daripada kelab penyokong, kini parti mempunyai Dewan Himpunan Penyokong PAS yang menghimpunkan orang bukan Islam yang yakin dengan keikhlasan perjuangan kita," kata beliau ketika menyampaikan ulasan 'Pengukuhan PAS Melalui Tarbiah' di Ijtima' Tarbawi Dewan Pemuda di Masjid Rusila.

Sebelum itu, veteran PAS, Datuk Yahya Othman membentangkan kertas kerja pertama bertajuk 'PAS dan Tarbiah Islamiah'.

Kertas kerja itu menekankan tiga tonggak utama kekuatan pemuda iaitu iman, ilmu dan akhlak.

Nasharudin yang juga ahli Parlimen Bachok juga berkata, sebuah gerakan Islam di luar negara, Hamas turut mengagumi kejayaan PAS menarik orang bukan Islam untuk dekat dengan PAS.

"Sewaktu perjumpaan dengan gerakan-gerakan Islam di peringkat antarabangsa, pimpinan Hamas pernah memberitahu bahawa mereka akan belajar daripada PAS bagaimana untuk menarik orang bukan Islam," katanya.

Justeru pemuda dan pemudi, ujarnya perlu mengekalkan persepsi baik orang bukan Islam terhadap PAS.

"Orang bukan Islam memang meletakkan kepercayaan kepada PAS sehingga tidak takut untuk memberikan derma kepada parti kerana mereka yakin pemimpin PAS tidak menggunakan wang itu untuk kepentingan diri sebaliknya menggunakannya untuk kerja-kerja kebajikan," katanya.

Selain itu katanya, pemuda dan pemudi harus mementingkan ilmu pengetahuan agar perjuangan yang didokong tidak bertunjangkan semangat dan ikut-ikutan semata-mata.

Hari kedua ijtima' pagi tadi dimulakan dengan tafsir surah al-Hujurat oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. -Hrkh

SANDARKAN PERJUANGAN PADA TARBIYYAH, BUKAN SEMANGAT

Posted: 02 Oct 2010 09:12 AM PDT





MARANG, 2 Okt: Lebih 5000 peserta Ijtima' Tarbawi Dewan Pemuda PAS peringkat kebangsaan menerima suntikan semangat daripada Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam majlis perasmian malam tadi.

Abdul Hadi dalam ucapannya mengingatkan pemuda bahawa golongan mereka penting dalam perjuangan Islam.

"Islam meletakkan pemuda sebagai kumpulan yang penting dalam perjuangan sehingga Allah meletakkan satu surah yang khusus mengenai pemuda dalam al-Quran," kata Abdul Hadi.

Namun jelasnya, perjuangan pemuda haruslah ditunjangi tarbiah dan bukannya semangat semata-mata.

"Terdapat kumpulan yang menyambung perjuangan Rasulullah S.A.W. Perjuangan ini mempunyai ciri-ciri sebagaimana yang dilakukan oleh nabi-nabi dan rasul-rasul terdahulu.

"Oleh itu Allah meletakkan agenda tarbiah kepada perjuangan ini," katanya yang juga ahli Parlimen Marang.

Sementara itu,Naib Presiden,Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam sidang media selepas majlis itu mengulangi penegasan Abdul Hadi mengenai kepentingan tarbiyah di kalangan pemuda.

"Kita lihat bagaimana Presiden telah meletakkan asas-asas utama yang perlu difahami dalam proses tarbiyah.

"Bukan sahaja kita bergerak kerja atas dasar semangat tetapi dengan bimbingan, panduan daripada wahyu Allah dalam al-Quran dan hadis," kata Tuan Ibrahim.

Menurutnya juga, di samping ilmu dan kesungguhan,tarbiyah merupakan elemen penting dalam parti untuk menghadapi tekanan politik di negara ini.

"Dalam menghadapi tekanan politik di Malaysia, tarbiyah merupakan elemen penting dan kita harapkan agar kepimpinan yang lahir selepas ini dapat menilai sesuatu berdasarkan nas dan asas-asas yang bersumberkan sirah Rasulullah S.A.W.," kata beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Beliau juga menyifatkan ijtima' ini sebagai tepat pada waktunya memandangkan PAS memerlukan jentera bagi menghadapi pilihan kecil di Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas tidak lama lagi.

"Ijtima' ini diadakan sesuai pada waktunya walaupun sebenarnya ia dirancang awal, sebelum berlaku kematian lagi.

"Ini boleh dijadikan asas bagi menyusun gerak kerja untuk pilihan raya di Galas dan kita harap ia menjadi pemangkin semangat untuk pemuda menghantar jentera ke sana," katanya.

Tiada ulasan: