Ahad, 31 Oktober 2010

MIMPI SENJA

MIMPI SENJA


Dadah : Ameng dipenjara dan didenda

Posted: 31 Oct 2010 09:58 PM PDT

KUALA LUMPUR, 1 Nov — Penyanyi kumpulan Spring Wan Aminuddin Wan Ismail atau lebih dikenali sebagai Ameng, hari ini dihukum penjara dua bulan dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas didapati bersalah terhadap pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badannya.

Majistret Zaki Asyraf Zubir membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Alias berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan itu.

Zaki Asyraf turut memerintahkan Ameng, 42, dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda itu selain pengawasan dari Agensi Dadah Kebangsaan (ADK) selama tiga tahun.

"Mahkamah telah mencapai keputusan dan tertuduh disabitkan dengan kesalahan itu yang bermula daripada tarikh sabitan," katanya.

Bagaimanapun, Zaki Asyraf membenarkan penangguhan hukuman penjara dan pengawasan dengan mengenakan syarat tambahan Ameng perlu memfailkan notis rayuan pada hari ini juga dan wang jaminan sebelum ini iaitu RM3,500 dinaikkan menjadi RM5,500 dengan seorang penjamin.

Peguam bela, Kamarul Zaman Abdul Rahman yang mewakili Ameng memberitahu mahkamah anak guamnya itu tiada masalah untuk membayar denda.

Zaki Asyraf dalam keputusannya berkata keterangan tertuduh dalam prosiding membela dirinya bahawa wujudnya konpirasi untuk menjatuhkannya adalah tidak berasas dan tiada kaitan dengan pertuduhan yang dihadapinya.

"Selain keterangan saksi pendakwaan yang lain, keterangan tertuduh sendiri yang mana menyatakan dirinya dianiayai adalah satu alegasi yang tidak berasas dan tiada kena mengena langsung dengan pertuduhan ke atas beliau," katanya.

Pada 12 Mei lepas, Ameng mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan memasukkan dadah jenis ganja ke dalam badannya di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul pada 3.45 petang 2 April lepas.

Dia yang diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun.

Pada 7 Sept lepas, mahkamah memerintahkan Ameng, 42, membela diri atas tuduhan itu.

Seramai lima saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan dikemukakan sepanjang prosiding itu. — Bernama

Mahkamah tolak rayuan KDN - Raja Petra bebas

Posted: 31 Oct 2010 09:31 PM PDT

PUTRAJAYA, 1 Nov — Blogger kontroversial Raja Petra Raja Kamarudin kini bebas selepas Mahkamah Persekutuan pagi ini menolak rayuan Kementerian Dalam Negeri berhubung pembebasan beliau daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), yang diputuskan ekoran permohonan habeas corpus dua tahun lalu.

Keputusan itu dibuat selepas mahkamah dimaklumkan bahawa perintah tahanan ISA selama dua tahun ke atas pengendali blog Malaysia Today itu sudah pun tamat.

Kementerian Dalam Negeri merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 7 November 2008 membebaskan Raja Petra (gambar) yang ditahan selama dua tahun di bawah ISA.

Awal September lalu, Timbalan Pendakwa Raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah memberitahu tiga panel hakim Mahkamah Persekutuan, yang diketuai Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria, bahawa pihak pendakwaan masih belum menyerahkan notis rayuan kepada Raja Petra.

Oleh itu, Arifin yang bersidang bersama hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hashim Yusof dan Tan Sri James Foong Cheng Yuen, membenarkan permohonan pendakwaan untuk menangguhkan rayuan itu kerana mereka masih belum menyerahkan notis rayuan itu kepada Raja Petra.

Apabila ditanya oleh Hashim tentang peluang untuk menyerahkan notis rayuan itu kepada Raja Petra, Tun Majid menjawab: "Alamat Raja Petra masih tidak diketahui."

Ketika itu, peguam Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili Raja Petra memberitahu mahkamah, rayuan itu bersifat akademik kerana perintah menteri untuk menahan anak guamnya selama dua tahun telah pun tamat.

"Perkara itu bersifat akademik tetapi tiada apa yang boleh menghalang menteri untuk mengeluarkan perintah baru selepas dua tahun," katanya.

Tun Majid berkata perintah menteri itu akan bersifat akademik selepas 21 September 2010.

Pada 7 November 2008, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan pembebasan Raja Petra daripada ISA selepas memutuskan penahanannya selama dua tahun di Kem Tahanan Kamunting di Taiping, Perak adalah tidak sah.

Raja Petra ditangkap pada 12 September 2008 kerana beliau disifatkan sebagai satu ancaman terhadap keselamatan negara dan perintah untuk menahan beliau di bawah ISA dikeluarkan pada 22 September 2008.

Penulis blog itu ditahan atas alasan beliau antara lain, memiliki dan mengusahakan laman web Malaysia Today dan berniat dan sengaja menyiarkan artikelnya dan juga komen pembaca dalam Malaysia Today yang kritikal dan menyinggung perasaan orang Islam, kesucian Islam dan Nabi Muhammad.

Dalam permohonan habeas corpus, Raja Petra menamakan Menteri Dalam Negeri sebagai reponden - TMI

P Pinang akan terus beri sumbangan pada warga emas : Guan Eng

Posted: 31 Oct 2010 07:48 AM PDT

TASEK GELUGOR, 31 Okt — Kerajaan Pulau Pinang akan terus memberi sumbangan wang penghargaan kepada warga emas dan waris warga emas yang meninggal dunia selagi Pakatan Rakyat memerintah negeri itu.

"Selaku kerajaan negeri yang bertanggungjawab di Pulau Pinang, kami tetap berpendirian tidak akan tunduk kepada mana-mana tekanan dan usaha mana-mana pihak yang mahu menggagalkan usaha membantu dan membela nasib warga emas dan mereka yang tidak mendapat pembelaan sewajarnya," kata Ketua Menteri Lim Guan Eng hari ini.

Lim (gambar) berkata, inisiatif kerajaan negeri bagi menghargai warga emas berusia 60 tahun dan juga waris kepada warga emas yang meninggal dunia adalah bagi mengiktiraf golongan warga emas di Pulau Pinang.

Beliau juga berkata, oleh kerana kepimpinan kerajaan terdahulu gagal untuk menobatkan warga emas sebagai sesuatu yang amat berharga bagi mereka dan apabila usaha diambil kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Pulau Pinang mendapat sokongan rakyat, tindakan menggagalakan program ini dilakukan oleh sesetengah pihak yang cemburu dan iri hati.

"Telah beberapa kali kita menjelaskan bahawa kerajaan negeri memperoleh lebihan RM88 juta bagi kali pertama pada 2008 dan lebihan sebanyak RM77 juta pula pada 2009 hasil perbelanjaan berhemah dan jimat cermat.

"Kerajaan negeri juga telah mendapat pengiktirafan dalam usaha menentang rasuah kerana pengurusan kewangan yang baik daripada Ketua Audit Negara buat kali kedua tahun ini," kata beliau pada majlis sumbangan RM1,000 seorang kepada 153 waris warga emas yang meninggal dunia, di Sungei Dua di sini pagi ini.

Sehubungan itu kata beliau, warga emas khususnya masyarakat Islam diharap tidak terpedaya dengan fitnah dilemparkan oleh sesetengah pihak tidak bertanggungjawab bagi melihat sokongan terhadap PR luntur dan terhakis.

Sebelum ini program penghargaan warga emas dengan sumbangan RM100 seorang oleh kerajaan negeri telah dipertikaikan oleh Umno Pulau Pinang apabila mereka mendakwa dana yang digunakan untuk menyalurkan wang tersebut datangnya dari punca yang tidak halal.

Rentetan daripada itu beberapa siri program memulangkan kembali wang pemberian kerajaan negeri turut diadakan di Penaga, Seberang Perai Utara, Bayan Baru dan Balik Pulau.

Pada 12 Oktober lalu pula, sejumlah besar warga emas dari Seberang Perai Utara telah menyatakan sokongan mereka terhadap kerajaan negeri apabila berhimpun di Dewan Haji Ahmad Badawi dan menyelar mereka yang telah diperdayakan oleh Umno Pulau Pinang agar memulangkan kembali wang penghargaan yang telah diterima.

Namun, tindakan yang telah diambil Umno Pulau Pinang bagi mengelirukan warga emas tidak mendapat sokongan apabila sebahagian besar warga emas masih lagi turun beramai-ramai untuk menerima wang sumbangan tersebut.

Pada 23 Oktober lalu, seramai 123 waris warga emas yang telah meninggal dunia turut menerima sumbangan kerajaan negeri dalam satu majlis diadakan di Yayasan Aman, Penanti.

Sejumlah RM123,000 telah disumbangkan sebagai menghargai jasa waris-waris yang menjaga dan menghargai ibu bapa mereka semasa hayat mereka masih ada.

Sementara itu sebanyak RM153,000 pula telah diberikan pada pagi ini kepada 153 penerima yang berada di Seberang Perai Utara.

Lim juga menyelar pemimpin pembangkang di Pulau Pinang yang membuat tuduhan tidak berasas ke atas kerajaan negeri semata-mata untuk mendapat sokongan menjelang pilihan raya umum yang akan datang.

"Cuma yang mereka sering war-warkan ialah sekeping salinan surat ucapan teruima kasih yang ditujukan kepada Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang sebagai sumbangan dana untuk program Rakan Anti Kemiskinan (RAK) yang mana program RAK ini tidak ada kena-mengena langsung dengan program sumbangan dan penghargaan kepada warga emas.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Penyelaras DUN Penaga, Rosidi Hussan yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Exco Kerajaan Negeri dan Pegawai Daerah Seberang Perai Utara, Hassan Mat Daud dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Farizan Darus. - TMI

Tiada ulasan: