Khamis, 28 Oktober 2010

MIMPI SENJA

MIMPI SENJA


Fatwa 'Ikut Suka PAS' buat UMNO keliru - TGNA

Posted: 28 Oct 2010 08:33 AM PDT

oleh : Tn Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

Tergerak hati saya untuk memberikan ulasan berkenaan kenyataan Timbalan Presiden UMNO ketika berkempen di Galas, semalam. Seperti yang disiarkan di bawah ajuk TPM BIDAS 'FATWA' IKUT SUKA PAS di muka 3, akhbar Utusan Malaysia, 28 Oktober 2010, Tan Sri Muhyiddin Yasin dilaporkan menyebut :

''Perangai mereka macam biasalah, apa yang mereka buat 'halal' yang kita 'haram', yang dia (buat) masuk syurga, yang kita masuk neraka. Dari segi konteks kerjasama dengan masyarakat apa bezanya antara DAP dan MCA,"

Nampaknya pilihanraya kecil N.45 Dun Galas sekali lagi menjadi medan UMNO untuk menghentam PAS khususnya berkenaan kerjasama PAS dengan DAP. Nampak sangat kemarahan UMNO apabila PAS menjalinkan hubungan kerjasama dengan DAP. Gerun benar UMNO apabila PAS yang dijadikan hantu untuk menakut-nakutkan masyarakat Cina rupa-rupanya sudah boleh didekati dan tidak lagi digeruni.

Perbezaan kerjasama antara UMNO dan MCA serta MIC dalam Barisan Nasional dengan kerjasama PAS dan DAP dalam Pakatan Rakyat amat jelas sekali. Bagaikan langit dengan bumi. Hairannya, penjelasan demi penjelasan telah diberikan. Namun, apabila telinga disumbat dan mata ditutup, tidak ada gunanya segala penjelasan yang diberikan. Pada hemat saya, pemimpin UMNO sudah tenggelam dalam keghairahan untuk memburu kemenangan di Galas, hingga lupa tinggi rendahnya lantai tempat berpijak.

Beberapa hari lepas, orang yang sama telah mencadangkan supaya Sejarah menjadi mata pelajaran yang wajib lulus dalam SPM mulai tahun 2013, saya ingin menambah bahawa al-Quran sendiri tidak pernah meninggalkan aspek sejarah dalam penceritaannya. Bermula dengan sejarah penciptaan manusia seterusnya sejarah dakwah para nabi dan juga sejarah kehancuran umat-umat terdahulu, al-Quran mahukan kita belajar dari sejarah. Justeru, PAS sendiri tidak pernah lupa untuk berguru dengan sejarah.

Bukankah sejarah mencatit bagaimana PAS telah diajak masuk bergabung ke dalam Barisan Nasional oleh Allahyarham Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia pada tahun 1973? Dengan hati yang ikhlas, PAS pada masa itu menyambut huluran tangan perpaduan tanpa menyedari musibah yang akan dihadapi. Rupanya Barisan Nasional hanyalah merupakan perangkap bagi PAS. PAS bergabung dengan UMNO membentuk Barisan Nasional demi perpaduan, namun hasilnya PAS di Kelantan khususnya telah berpecah kepada empat :- PAS, Bebas Bersatu, Hamim dan Berjasa. PAS hampir-hampir ranap akibat perpecahan tersebut. Seterusnya peristiwa PAS ditendang daripada Barisan Nasional dan akhirnya kehilangan kerajaan di Kelantan pada tahun 1978. Apa hasilnya kerjasama PAS dengan UMNO? Tangan UMNO yang terkapai-kapai kelemasan dipegang erat oleh PAS, lalu PAS pula ditendang supaya lemas keseorangan.

Dengan DAP yang dikatakan chauvinis Cina, PAS tidak dikhianati. Jika Timbalan Perdana Menteri bertanya, apa bezanya kerjama dalam Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat? Jawapannya, kerjasama PAS dengan DAP dalam Pakatan Rakyat tidak pernah menjejaskan prinsip PAS sebagai sebuah gerakan Islam. PAS masih dengan agenda Islamnya bahkan kami di Kelantan setiap tahun meraikan Hari Hudud. Islam tidak pernah diketepikan di dalam perjuangan PAS. Bahkan DAP sendiri pernah keluar daripada Barisan Alternatif apabila tidak dapat menerima agenda Islam yang dibawa oleh PAS. Secara umumnya, pemimpin DAP tidak anti Islam dan hari ini beransur-ansur mengenali Islam. Sekurang-kurangnya Islam sudah tidak digeruni oleh non muslim sebagaimana yang UMNO mahukan. Pemimpin DAP sekurang-kurangnya ada yang sudah boleh memetik ayat-ayat al-Quran untuk rujukan, pemimpin UMNO pula semakin menjauhi al-Quran. Ingin saya bertanya, apa ruginya Islam apabila DAP mula berjinak-jinak dengan Islam?

Sayang sekali, UMNO masih berfikir dengan kerangka perjuangan Melayu yang sempit. Melayu pun tidak terbela, Islam pun tidak terjaga. Umpama lebai malang, ke hilir pun berlapar, ke hulu pun tidak kenyang. Kononnya, bila Melayu dan Islam ialah perkara yang sama. Jika demikian, kenapa UMNO membenarkan isteri Perdana Menteri sendiri menjadi penaung Islamic Fashion Festival? Pada saat umat Islam yang prihatin di seluruh Malaysia bangun menentang program maksiat yang dibuat atas nama Islam ini, di mana pula 'keris' pemimpin UMNO? Tersimpan dalam sarungkah atau hanya menjadi hiasan di dinding? Manakala hari ini apabila pentadbiran kerajaan UMNO/Barisan Nasional bercadang untuk menjadikan Malaysia sebuah hub pusat hiburan malam kononnya bagi memacu industri pelancongan mengikut Program Transformasi Ekonomi (ETP), di pagar mana pula disangkut agenda Melayu Islam ala UMNO?

Hakikatnya, UMNO yang memperalatkan Islam. Bila tersepit, Islam juga yang dicari. Bukankah salah seorang Naib Presiden UMNO sendiri sewaktu Perhimpunan Agung UMNO yang lepas mencadangkan supaya UMNO menjadikan masjid sebagai tempat untuk mendaftar pengundi baru? Hairan saya, tidakkan bagi UMNO politik tidak boleh dibawa ke masjid? Hari ini, bila tersepit UMNO sendiri mula menggadaikan prinsip? Bukankah saya dihentam begitu teruk kerana kononnya ingin berpolitik di atas masjid? Nampaknya, selepas bangunan UMNO di Kota Bharu sudah terjual, UMNO sendiri sudah ingin menjual prinsipnya pula..

Nasihat saya, kembalilah kepada Islam. Tinggalkanlah pemikiran sekular yang tidak akan sampai ke akhirat. Sangatlah jauh berbeza pemikiran seorang mukmin dan seorang pendukung sekular. Orang-orang Mukmin melihat jauh ke akhirat berbeza dengan orang-orang sekular melihat hanya setakat dunia sahaja. Umpama seorang anak yang berumur dua tiga tahun bila bersama ibunya ke pasar. Anak kecil itu hanya berfikir untuk membeli belon dan alat-alat permainan yang boleh menyeronokkan. Berbeza dengan pemikiran si ibu yang berfikir lebih jauh, pemikiran ibu berkisar kepentingan sekeluarga, apakah lauk pauk atau makanan yang perlu dibawa pulang untuk kesiapan rumah nanti. Itulah perumpamaan pemikiran sekular yang hanya terhenti setakat di dunia, ia tidak lebih umpama seorang anak kecil yang hanya berfikir untuk alatan permainannya semata-mata .- HD

Masjid mati sebelum manusia mati angkara UmNO

Posted: 28 Oct 2010 05:29 AM PDT

KUALA LUMPUR, 28 Okt: Umno yang bekerjasama dengan bukan Islam mematikan majlis ilmu, meletakkan ahli jawatankuasa masjid bukan ahlinya sebagai orang yang mengendalikan masjid.
Akhirnya, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, masjid dan surau telah mati sebelum manusia mati.

Sehubungan itu, beliau menafikan dengan sekeras-kerasnya dakwaan Tan Sri Muhyidin Yassin yang mengatakan bahawa PAS meniru Umno dalam soal kerjasama dengan parti bukan Islam.

"Perlu ditegaskan kerjasama PAS dengan bukan Islam ialah tahaluf siasi tanpa menggadaikan prinsip perjuangan yang dibawa oleh PAS, sedangkan kerjasama Umno dalam Barisan Nasional dalam dalam bentuk wala', yang menggadaikan prinsip Islam," ujarnya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, PAS sebagai sebuah parti yang berdasarkan Islam, rujukannya pula ialah al-Quran,as-Sunnah, ijmak dan qias.

PAS, tegasnya sekali-kali tidak akan membuat sesuatu yang boleh menjerumuskan diri ke dalam neraka, semata-mata untuk mendapatkan kuasa kerana perjuangan yang menuntut mardhatillah tidak akan menggadaikan prinsip Islam.

"Jika dunia dan kuasa menjadi perhitungan, lebih baik PAS bekerjasama dengan BN untuk sama-sama menaja program mungkar yang terbaru seperti pusat hiburan malam yang bakal meruntuhkan tamadun negara ini," ujarnya sinis.

Sehubungan itu, tegasnya PAS mencabar Muhyiddin jelaskan bila PAS menggadaikan prinsip Islam dan memusnahkan Islam di negara ini.

Katanya, tidak ada sebuah masjid dan surau yang ditutup dan diroboh ketika PAS bekerjasama dalam Pakatan Rakyat.

Sebaliknya, kata beliau Umno yang bekerjasama dengan bukan Islam dalam BN telah bertindak biadab dengan agama, antaranya ialah merobohkan Masjid Bujal Kemaman, Surau Kampung Berembang Ampang Jaya, menutup Surau al-Rahman Seksyen 8 Shah Alam dua minggu sebelum puasa 2007.

Jelasnya lagi, tahaluf siasi membolehkan PAS melaksanakan dakwah dengan lebih cergas di mana masjid dan surau meriah dengan majlis ilmu. - HD

Qazaf: Anwar diberi tempoh tiga minggu fail afidavit

Posted: 28 Oct 2010 05:26 AM PDT

KUALA LUMPUR, 28 Okt – Mahkamah Rayuan Syariah hari ini memberi tempoh tiga minggu kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memfailkan afidavit jawapan terhadap notis yang dikemukakan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan dan dua lagi, bagi mengenepikan rayuan Anwar berhubung permohonan qazafnya.

Ketua Pendaftar Mahkamah Syariah Abdul Razali Kefli menetapkan 18 November ini sebagai tarikh akhir untuk Anwar menjawab notis yang dikemukakan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan Shamsuddin Hussain, Pengarah Jabatan Agama Islam (Jawi) Datuk Che Mat Che Ali dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom pada 14 Mei lepas.

Beliau berkata rayuan Anwar berhubung permohonan qazafnya yang ditolak Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 14 April lepas, akan didengar dalam bulan Januari tahun depan.

Abdul Razali menetapkan tarikh itu selepas bertemu peguam Zainul Rijal Abu Bakar dan Roslizam Rahim yang mewakili Shamsuddin, Che Mat dan Jamil Khir serta peguam Dorina Abdullah bagi pihak Anwar.

Ketiga-tiga pemohon memfailkan permohonan untuk mengenepikan notis rayuan Anwar dengan alasan ia cacat, salah aturan dan telah memberi implikasi yang besar terhadap permohonannya.

Mereka juga mendakwa anggota Parlimen Permatang Pauh itu juga gagal menyatakan secara terperinci, bahagian mana keputusan Mahkamah Tinggi Syariah yang ingin dirayunya.

Ketika ditemui media, Zainul Rijal berkata notis rayuan yang difailkan Anwar tidak mematuhi prosedur mengikut Akta Tatacara Mal (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998.

Pada 23 April lepas, Anwar memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Syariah yang menolak permohonannya supaya memerintahkan pendakwaan yang diwakili Shamsuddin, meneruskan pertuduhan qazaf terhadap bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Pertuduhan qazaf ialah membuat tuduhan terhadap seseorang yang melakukan zina tanpa membawa empat saksi lelaki, dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Dalam permohonannya, Anwar telah menamakan Jamil Khir, Shamsuddin dan Che Mat sebagai responden.

Pada 9 Februari lepas, ketiga-tiga responden memfailkan bantahan awal terhadap permohonan Anwar dengan alasan Mahkamah Tinggi Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan permohonan qazaf berkaitan kesalahan jenayah melalui prosedur Mal. – Bernama

Pelakon AC Mizal dipenjara

Posted: 28 Oct 2010 05:18 AM PDT

KUALA LUMPUR, 28 Okt – Pengacara dan pelakon AC Mizal dipenjara 25 hari dan denda RM1,500 oleh Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat hari ini selepas didapati bersalah ingkar perintah mahkamah membayar tunggakan nafkah anak berjumlah RM50,000.

Hakim Syarie Abdul Halim Abdullah turut memerintahkan pengacara itu didenda RM1,500 selepas mendapati beliau melanggar dan menghina mahkamah kerana gagal mengemukakan akaun tahunan syarikatnya.

Permohonan terhadap bekas pengacara Akademi Fantasia dikemukakan oleh bekas isterinya, Shafnie Zainuddin.

Ia berhubung kes komital atau perintah memenjarakan yang difailkan oleh Shafnie kerana menghina mahkamah selepas gagal membayar nafkah anaknya seperti yang diperintahkan.

Bagaimanapun laporan Berita Harian Online menyebut, AC Mizal tidak dipenjarakan selepas akur dengan membayar nafkah tertunggak RM9,800 dan denda RM1,500.

AC Mizal berkahwin dengan Emelia Rosnaida kemudian.

Shafnie dan AC Mizal atau nama sebenarnya Mizal Zaini berkahwin pada 24 Jun 1995 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad Shafiq Iman, 13, dan Muhammad Shabil Iman, 10, sebelum disahkan bercerai pada 17 Oktober 2001.

Dalam permohonan mengubah tuntutannya awal bulan ini, Shafnie yang diwakili peguam syarie, Mohd. Ridhwan Husin menuntut agar jumlah RM300 sebulan bagi dua orang anak diubah kepada RM3,770 sebulan.

Ia merangkumi makan minum bulanan sebanyak RM400, pengangkutan (RM240), insurans pendidikan (RM1,000), pembantu rumah (RM200), pengajian al-Quran (RM280), dana amanah pendidikan (RM1,000) dan sewa atau ansuran rumah (RM650).

Selain itu, dia meminta perbelanjaan tahunan berjumlah RM9,000 yang merangkumi pakaian (RM3,000), perubatan (RM1,500), yuran sekolah atau tuisyen (RM500), aktiviti kokurikulum (RM1,000) dan hiburan serta percutian (RM3,000).

Selain kes itu, mereka mempunyai satu lagi kes yang melibatkan isu tunggakan nafkah dua anak mereka yang berjumlah RM50,000 di mahkamah yang sama. - TMI

Tiada ulasan: