Rabu, 6 Oktober 2010

MIMPI SENJA

MIMPI SENJA


Siapa Rahimi Osman?

Posted: 06 Oct 2010 09:43 PM PDT

Oleh: Aidila Razak

PKR, yang mendapat publisiti buruk khususnya pada mesyuarat agung tahunan beberapa cabangnya sejak beberapa minggu kebelakangan ini, sekali mencuri tumpuan dengan pendedahan oleh Rahimi Osman.
Beliau membuat laporan polis semalam dengan mendakwa Ketua Penerangan PKR, Latheefa Koya dan Ketua Pemuda PKR Kedah Saiful Izham Ramli memaksanya membuat dua laporan bersumpah pada tahun 2008.
Dalam laporannya, beliau berkata akuan bersumpah berkenaan dipinda kandungannya untuk memalit dan memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor dalam konspirasi terhadap Anwar dalam kes liwat tersebut.

Rahimi adalah pembantu Anwar pada tahun 2007 dan 2008 dan dikatakan antara mereka yang paling rapat dengan ketua umum PKR itu semasa pilihan raya umum.
Kandas di UIA

Beliau direkrut pada Mac 2007 bagi mengemas-kini blog Anwar, selepas kandas dalam peperiksaannya di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA).

Jejaka berusia 25 tahun itu ditempatkan di pejabat PKR di Seksyen 16, Petaling Jaya yang juga dianggotai oleh kakitangan lain seperti Nik Nazmi Nik Ahmad, Sim Tze Tzin dan anak perempuan Anwar, Nurul Izzah - semua mereka sekarang ini adalah perwakilan PKR.

Seorang lagi kakitangan adalah Nathaniel Tan yang mengendalikan sebuah lagi pejabat di Phileo Damansara.

"Rahimi menyertai pada mulanya sebagai seorang sukarelawan. Tetapi beliau kemudian menguruskan semua temu-janji Anwar khususnya ketika tempoh pilihan raya kerana semua pembantu lain sibuk dengan kempen masing-masing," kata seorang lagi kakitangan, Farhash Wafa Salvador.

Yang menarik, Rahimi adalah rakan sekolah Mohd Saiful Bukhari Azlan, di SMK Damansara Utama.

Saiful adalah pembantu kepada Anwar yang mendakwa dirinya diliwat tanpa rela oleh ketua pembangkang itu.

Rahimi juga adalah orang yang memperkenalkan Saiful kepada bossnya itu.

Perkara berkenaan didedahkan oleh Saiful semasa perbicaraan kes liwatnya itu.

Malah, nama Rahimi ditimbulkan sebanyak dua kali pada perbicaraan berkenaan.

Saiful juga membuat pengakuan bahawa Rahimi menghubunginya untuk berbual pada satu ketika pada Mac 2008 sebelum pilihan raya umum diadakan - Utara Online

PRK Galas : Berahim katak harus bertanding Bebas bukti perjuangan Perkasa

Posted: 06 Oct 2010 09:25 PM PDT

Oleh Jamilah Kamarudin

SHAH ALAM: Ahli Parlimen Shah Alam Abdul Khalid Samad telah mencabar presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali supaya bertanding dalam pilihanraya Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas di Kelantan bagi membuktikan perjuangannya membela ketuanan Melayu dan Bumiputera selama ini diterima.

Khalid berkata pelantikan Ibrahim sebagai calon Galas itu nanti akan menjadi platform kepada Perkasa mengukur tahap penerimaan masyarakat kaum Melayu terhadap badan bukan kerajaan (NGO) itu, sekaligus dapat membuktikan badan tersebut bukan ditaja Umno seperti yang didakwa sebelum ini.

"Ibrahim Ali perlu buktikan dia benar-benar membawa wawasan Melayu. Jika dia berani bertanding maka kita akan dapat tengok sejauh mana dia dan Perkasa mampu mewakili kehendak masyarakat Melayu dan bukan hanya sebagai persatuan yang ditaja Umno," katanya dalam sidang media disini semalam.

Kawasan DUN Galas mempunyai taburan penduduk seramai 11,553 orang dan 61.63 peratus daripadanya adalah Melayu, manakala 20.08 peratus Cina, 1.6 peratus India, 0.9 peratus Bumiputera Sarawak dan 16.37 peratus masyarakat Orang Asli.

Selain itu, Khalid yang juga Lujnah Politik PAS Pusat, turut mempertikaikan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam menentukan tarikh penamaan calon pada 26 Oktober (Selasa) serta tarikh mengundi pada 4 November (Khamis) depan.

Beliau mendakwa penetapan tarikh tersebut merupakan helah Barisan Nasional (BN) menghalang pengundi, terutamanya yang berada di perantauan, daripada melakukan tanggungjawab mengundi.

"Keputusan ini tidak logok. Saya yakin BN berjaya mempengaruhi SPR supaya tetapkan tarikh pada hari Khamis supaya anak perantauan tidak pulang mengundi akibat komitmen kerja dan urusan lain.

"SPR sebagai badan bebas sepatutnya perlu menetapkan Sabtu (6 November) sebagai hari mengundi dan bukannya Khamis. Ini menunjukkan bahawa BN disebalik kata-kata angkuh, mereka sebenarnya tidak yakin boleh menang malah menyulitkan lagi pengundi daripada luar kawasan untuk pulang mengundi.

Difahamkan tarikh tersebut turut bercanggah dengan persidangan DUN Kelantan yang akan berlangsung pada 1 hingga 8 November depan.

Langkah terdesak Umno

Beliau turut mengkritik kebanyakan pemimpin Umno yang mendesak agar Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) dicalonkan sebagai wakil BN semasa pilihanraya nanti.

Khalid menyifatkan permintaan mereka itu merupakan langkah 'terdesak'dan hanya sebagai satu bukti kelemahan Umno kerana Ku Li satu ketika dahulu pernah dipinggirkan daripada partinya sendiri akibat kelantangannya mahu merebut jawatan tertinggi dalam Umno, serta isu royalti minyak di Kelantan.

"Jika mereka kuat atas dasar kredibiliti BN, letak calon apa pun (jika layak) mesti boleh menang. Dahulu Ku Li dicerca dan diketepikan kerana berhasrat untuk bertanding presiden Umno tapi bila sudah tersepit Ku Li diangkat sebagai wira.

"Pelantikan Ku Li sebagai pengarah pilihanraya Galas merupakan satu kenyataan tersirat bahawa Umno-BN tidaklah sekuat mana," katanya. - FMT

Raja Azura sah bercerai

Posted: 06 Oct 2010 05:32 PM PDT

Oleh Roslen Fadzil

2010/10/07 KUALA LUMPUR: Pelakon, pengacara dan penyampai radio popular, Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin, 38, disahkan bercerai talak satu dengan suaminya, Adzmin Tan Sri Osman, 37, pada 28 September lalu.

Sumber memberitahu Harian Metro semalam, Raja Azura atau lebih mesra dikenali sebagai Kak Engku (KE) bercerai di sebuah mahkamah syariah di Selangor, pada tarikh berkenaan dan ia dilaksanakan dalam prosiding tertutup atas permintaan pasangan itu.

"Raja Azura mahupun Adzmin tidak mahu kecoh-kecoh dengan perceraian mereka. Rumah tangga mereka sudah gagal diselamatkan selepas masing-masing cuba mendapatkan khidmat kaunseling bagi menyelesaikan kemelut yang melanda sejak beberapa lama itu. Namun, mereka bercerai secara baik dan menerima hakikat tiada lagi jodoh," kata sumber itu.

Pada 6 Ogos lalu, pengacara Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) itu mengadakan sidang media tergempar untuk menjelaskan khabar angin menyatakan rumah tangganya bergolak, sekali gus memberitahu sebab kunjungannya bersama Adzmin ke Mahkamah Rendah Syariah, Shah Alam, pada 3 Ogos lalu.

Pada sidang media itu, Raja Azura menegaskan kunjungan mereka ke mahkamah tiada kena mengena isu memfailkan permohonan cerai seperti yang hangat diperkatakan, sebaliknya bagi mendapatkan khidmat kaunseling demi menyelesaikan kemelut yang melanda.

Raja Azura berkahwin dengan Adzmin yang juga anak bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Arof, pada 10 Mac 2001. Pasangan ini dikurniakan tiga cahaya mata, Megat Muhammad Raziq, 8, Megat Luqman Hakim, 7, serta Puteri Mia Maizurah, 4.

Sumber itu berkata, walaupun Raja Azura amat bersedih dengan perceraian itu, dia masih meneruskan tugas rutinnya seperti biasa iaitu sebagai penyampai radio Sinar FM dan pengacara beberapa program TV serta majlis rasmi.

Ketika ditanya sama ada punca perceraian itu disebabkan orang ketiga, sumber itu enggan mengesahkannya.


"Itu tidak dapat dipastikan dan biar perkara itu wartawan bertanya kepada Raja Azura. Hakikat ini kerana selama ini dia tidak pernah bercakap mengenai hal rumah tangga mahupun suaminya kepada orang lain. Dia (Raja Azura) tidak akan sekali-kali mendedahkan aib sesiapa termasuk suaminya," katanya.

Harian Metro cuba mendapatkan komen Raja Azura berhubung perceraian itu semalam, namun difahamkan dia berada di Genting Highlands, Pahang, kerana terbabit rakaman program Kedek-Kedek Drypers, sekali gus menutup talian telefon bimbitnya.

Raja Azura dalam kenyataan sebelum ini mengaku dia dan Adzmin berkahwin atas dasar cinta sama cinta. Kali terakhir mereka dilihat bersama ialah ketika pulang beraya di Alor Setar, Kedah, pada 10 September lalu. - Metro

Isteri buang mayat suami tepi longkang

Posted: 06 Oct 2010 05:28 PM PDT

MELAKA: Pencarian punca bau busuk yang disangka bangkai tikus oleh seorang penduduk di Kampung Batu 4, Solok Pantai, Batu Berendam, dekat sini, semalam membawa kepada penemuan mayat lelaki warga emas dalam keadaan dibungkus dengan plastik sampah.

Lebih mengejutkan, mayat mangsa, Abdul Halim Manan, 70, yang juga seorang pembantu kedai makan di Taman Melaka Baru itu, ditemui kira-kira jam 7.30 pagi di kawasan pokok pisang di tepi longkang yang ditutup dengan pelepah kelapa dipercayai diletakkan di situ sejak malam Sabtu lalu.

Penduduk, Mohd Azahari Mohd Zin, 13, berkata dia terkejut dengan penemuan mayat lelaki warga emas berkenaan, tetapi mendakwa ada melihat seseorang meletakkan plastik sampah terbabit di kawasan itu tanpa mengesyaki sesuatu.

Menurutnya, ketika kejadian dia berada di dapur rumahnya dan mendengar bunyi orang berjalan di belakang rumah.

"Saya dengar bunyi orang berjalan di belakang rumah dan mengintai dari belakang pintu. Saya nampak seorang perempuan sedang mengheret satu bungkusan plastik hitam dan meletakkannya di pangkal pokok pisang di tepi longkang.

"Berikutan itu, saya menegurnya dan orang itu hanya jawab dia mahu buang sampah sebelum beredar," katanya.

Menurutnya, disebabkan rasa ingin tahu, selepas hujan lebat keesokan harinya dia pergi melihat ke tempat wanita itu membuang sampah berkenaan dan melihat ada satu bungkusan plastik hitam ditutupi dengan pelepah kelapa.

"Pagi Ahad lalu saya pergi ke tempat itu dan melihat terdapat satu bungkusan hitam. Saya tidak syak apa-apa ataupun mengusik plastik berkenaan yang kelihatan seperti sampah biasa.

"Pagi tadi (semalam), saya dan datuk (Hamzah Baba, 60) tercium bau yang amat busuk. Datuk arahkan saya mencari sama ada bangkai tikus atau haiwan mati. Saya beritahu datuk bau busuk itu mungkin datang dari bungkusan sampah itu.

"Datuk memeriksa bungkusan plastik itu sebelum mengoyak sebahagiannya menggunakan sabit sebelum dia terperanjat melihat benda seperti kepala manusia," katanya.

Katanya, datuknya kemudian memberitahu penemuan itu kepada beberapa penduduk kampung sebelum memeriksa dan mendapati ada mayat manusia di dalam plastik terbabit sebelum seorang jiran menghubungi polis.

Sementara itu, Hamzah berkata, beberapa hari sebelum ini dia tidak perasan perkara pelik ataupun terhidu bau busuk mayat mangsa yang dipercayai sudah mati.

"Pagi tadi (semalam) masa keluar rumah kira-kira jam 7.15 pagi untuk menghantar cucu ke sekolah, saya tercium bau amat busuk dan menyangkakan bangkai tikus tetapi tidak sempat mencarinya.


"Sebaik pulang, saya menyuruh cucu pergi mencari dari mana datangnya bau busuk itu sebelum memeriksa bungkusan plastik sampah di kawasan kebun di belakang rumah saya dan mendapati ada mayat di dalamnya," katanya.

Sementara itu, suasana di kampung terbabit gempar dengan berita penemuan mayat lelaki itu yang tersebar menyebabkan kawasan tempat kejadian dipenuhi orang ramai.

Beberapa jiran mangsa termasuk pemilik rumah sewa nyata terkejut dengan penemuan mayat lelaki itu.

Peniaga kedai runcit, Norlin Alias, 31, berkata tiga hari sebelum penemuan mayat itu, isteri mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan kelihatan pelik apabila dilihat mundar-mandir di kawasan tempat kejadian. - metro

Akuan sumpah: Ketua Penerangan PKR nafi dakwaan bekas pembantu Anwar

Posted: 06 Oct 2010 09:00 AM PDT

Oleh Clara Chooi

KUALA LUMPUR, 6 Okt – Ketua Penerangan PKR Latheefa Koya turut menafikan dakwaan bahawa beliau telah memaksa seorang saksi kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim agar menandatangani dua akuan bersumpah mengaitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

Latheefa mendakwa saksi itu Rahimi Osman, yang satu ketika dulu merupakan pembantu Anwar secara "sukarela" telah bekerjasama dengan pasukan guaman penasihat PKR itu semasa menandatangani akuan bersumpah itu pada Jun 2008.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya mengenakan tekanan ke atas dia.

"Ketika itu dia merupakan saksi yang berpotensi dalam kes Anwar, sebagai sebahagian daripada pasukan pembela, kami hanya menyediakan kenyataan-kenyataan melibatkan saksi-saksi berpotensi, yang merupakan perkara biasa dalam mana-mana pembelaan perundangan," kata beliau dalam kenyataan SMS petang tadi.

Latheefa yang melabel dakwaan Rahimi ke atas dirinya dan anggota PKR yang lain sebagai "fitnah dan tohmahan" bercadang mengambil tindakan ke atas bekas pembantu Anwar itu.

Terdahulu ketika dihubungi oleh The Malaysian Insider, Latheefa berkata adalah sesuatu yang tidak masuk akal Rahimi boleh membuat kenyataan bahawa dia dipaksa menandatangani deklarasi seumpama itu memandangkan ia tidak digunakan oleh pasukan pembela setakat ini.

"Kami hanya menghimpunkan kenyataan daripada saksi-saksi yang kenal Mohd Saiful Bukhari Azlan dan dia (Rahimi) kenal sangat (saksi utama itu)," katanya lagi.

Rahimi adalah rakan satu sekolah Saiful dan dipercayai telah dirujuk kepada Anwar agar mengambil dia kerja pada 2008.

"Akuan-akuan bersumpah tidak menyelesaikan masalah kami sebab ia tidak digunakan... ia bukan sesuatu yang luar biasa.

"Lebih-lebih lagi, apa sahaja yang dinyatakan dalam akuan bersumpah itu sudah pun dibangkitkan dalam perbicaraan," kata Latheefa.

Justeru katanya, beliau akan memanggil satu sidang media dalam waktu terdekat.

Terdahulu, peguam pasukan Anwar, Sankara Nair dalam reaksinya menafikan dakwaan Rahimi bahawa bekas pembantu Ketua Umum Pakatan Rakyat itu telah dipaksa menandatangani dua akuan bersumpah berkaitan kes liwat akhir Jun 2008.

Sankara berkata, Rahimi menandatangani akuan bersumpah itu secara sukarela selepas mengadakan pertemuan dengan peguam-peguam Anwar di Quality Hotel dua tahun lalu.

"Saya hendak menegaskan di sini bahawa Rahimi tidak dipaksa menandatangani akuan bersumpah. Dia menyediakan akuan bersumpah secara sukarela yang memihak kepada Anwar," katanya.

"Dia (Rahimi) dengan bebas memberi maklumat... saya hadir bersama dengan beberapa peguam semasa dia menerangkan apa yang sebenarnya telah berlaku," kata beliau kepada The Malaysian Insider petang ini.

Sankara juga berkata Latheefa, yang juga salah seorang peguam kes Anwar dalam kes liwat terbaru sekarang ditanggungjawabkan untuk mendapatkan tandatangan Rahimi pada akuan bersumpah yang dimaksudkan.

Petang tadi, Rahimi mendakwa beliau telah dipaksa mengaitkan Najib dan Rosmah kes liwat kedua dihadapi Anwar dengan menandatangani dua akuan bersumpah.

Rahimi berkata beliau telah dipaksa menandatangani akuan bersumpah pada 28 Jun 2008, yang mendakwa Najib dan Rosmah mendalangi konspirasi terhadap Anwar dalam kes liwat melibatkan bekas pembantunya, Mohd Saiful.

Saiful mendakwa dia diliwat Anwar beberapa hari sebelum itu dan kes itu sedang berlangsung.

Laporan polis dibuat Rahimi kira-kira 3.03 petang tadi.

Dalam laporan itu, Rahimi mendakwa beliau telah dipaksa menandatangani dua akuan bersumpah oleh Latheefa dan juga beberapa anggota parti di Quality Hotel akhir Jun 2008 - TMI

Sekolah 'Anak Haram' terima bayi pertama

Posted: 06 Oct 2010 08:55 AM PDT

Sekolah Harapan sambut kelahiran bayi pertama

JASIN, 6 Okt – Sekolah Harapan yang menempatkan remaja hamil di sini menyambut kelahiran bayi pertama – lelaki seberat 3.6 kilogramme.

Bayi itu dilahirkan pada pukul 8 pagi, Isnin lepas di Hospital Jasin, kata Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang mencetuskan idea penubuhan sekolah itu.

"Saya difahamkan bayi tersebut akan diambil oleh keluarga kepada remaja perempuan itu," katanya kepada pemberita hari ini.

Mohd Ali berkata di samping memberi perlindungan kepada remaja hamil, penubuhan sekolah itu juga dapat mengelakkan kes pembuangan bayi.

Sekolah itu mula dibuka pada 17 September lepas, kini menempatkan sembilan lagi remaja yang sedang hamil.

Sekolah berasrama itu dikendalikan Majlis Agama Islam Melaka. – Bernama

Tiada ulasan: