Selasa, 12 Oktober 2010

MANDOR.BLOGSPOT.COM

MANDOR.BLOGSPOT.COM


GALAS - JIKA MAIN PROVOKASI, MEREKA SILAP TEMPAT

Posted: 11 Oct 2010 06:00 PM PDT

Oleh: WFAUZDIN NS

PRK Dun Galas tidak dapat mengelak pertembungan di antara Umno dan PAS. Ada ramalan yang menyebut bahawa akan terdapat lebih dari seorang calon bebas akan bertanding, namun pertarungan sebenar adalah hanya tertumpu kepada dua parti terbesar ini. Umno yang dasarnya Kebangsaan, manakala PAS pula dasarnya Islam. Inilah dua parti yang ditawarkan kepada seluruh rakyat di Dun Galas.

PAS lebih awal memberi peringatan kepada semua jentera dan penyokongnya agar tidak melayani sebarang provokasi daripada pihak lawan. Tidak pernah pihak lawan tidak mengadakan provokasi di dalam mana-mana pilihanraya sebelum ini termasuk provokasi dari pihak media di bawah kawalan mereka. PAS sebagai sebuah parti yang amat berpengalaman di dalam Pilihanraya, tentunya arif dengan bentuk provokasi mereka.

Namun ingin diingatkan kepada Umno, sekiranya mereka masih ingin `bermain' dengan provokasi seperti sebelum ini, mereka sebenarnya silap tempat. Galas bukan seperti di Bagan Pinang yang mana provokasi yang dimainkan sedikit sebanyak menguntungkan mereka. Di Bagan Pinang banyak kita lihat berbagai aksi samseng mewarnai suasana kempen di sana. Akhirnya mereka menang di Bagan Pinang.

Galas, sebuah kawasan yang berada di dalam Negeri Kelantan. Bukan saya ingin melabelkan orang-orang Kelantan ini `gedebe', tetapi semua tahu orang-orang Kelantan tidak sama dengan orang-orang negeri lain. Kita masih ingat, di Bagan Pinang bagaimana puak-puak yang mulanya ingin tunjuk `berani dan samseng' untuk menakutkan penyokong-penyokong dan jentera PAS, tetapi apabila tibanya jentera kempen dari Kelantan membantu, puak-puak ini mula `menekan brek'. Sifat orang-orang Kelantan yang sanggup menyahut cabaran walau di mana bumi dipijak itulah yang membezakannya dengan masyarakat negeri lain.

Inilah yang amat dikhuatiri oleh PAS Kelantan. PAS Kelantan bimbang jika Umno terlupa bahawa mereka sekarang sedang `bermain' di Negeri Kelantan. Silap besar jika mereka masih ingin menggunakan taktik yang sama seperti di Bagan Pinang. Mereka boleh berkempen atau berlakon menjadi `penoreh getah' seperti yang telah mereka lakukan di PRK Dun Manek Urai dahulu, mereka boleh menjadi `Penyumpit' kali ini tetapi mereka dinasihatkan agar tidak bermain dengan provokasi yang keterlaluan.

Kita tetap yakin, di bawah kepimpinan Tuan Guru Nik Aziz selaku MB Kelantan yang selalu mengingatkan rakyat Kelantan agar berakhlak dan bermoral tidak akan melayani provokasi jauh sekali untuk memulakannya. Itu harapan kita, tetapi kadangkala `orang yang bersungguh ingin menjual, ada juga yang teringin membeli'nya. /wfauzdin.blogspot.com

PEMILIHAN PKR - TERGUGATKAH AZMIN DENGAN KEHADIRAN TAN SRI KHALID ?

Posted: 11 Oct 2010 10:27 AM PDT

Oleh: WFAUZDIN NS

TERLEBIH dahulu saya ucapkan tahniah kepada Tan Sri Khalid Ibrahim yang berani membuat keputusan untuk bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden PKR. Pengumuman beliau itu patut kita lihat secara positif walaupun beliau mungkin dianggap terlalu awal untuk menduduki kerusi berkenaan namun Dato Zaid dilihat lebih `muda' dari Tan Sri Khalid di dalam PKR. Dato Zaid juga ingin bertanding jawatan yang sama. Tidak menjadi masalah besar kerana ini suatu bukti menunjukkan PKR sentiasa mengamalkan demokrasi yang lebih baik dari Umno.

Beberapa alasan yang diberikan oleh Tan Sri Khalid yang merasakan wajar beliau bertanding jawatan tersebut bolehlah kita terima sebagai alasan yang munasabah. Lebih wajar lagi untuk beliau mencuba nasib di kerusi nombor dua itu adalah kerana kedudukan Tan Sri Khalid sekarang sebagai MB Selangor. Beliau juga dilihat tidak `rakus' berkempen dan tidak pernah `mengusik' sesiapa apatah lagi memburukkan kepimpinan parti. Beliau seorang yang tegas, berkarisma dan tidak mudah untuk di`provokasi'kan oleh musuh luar dan dalam parti. Semangat setiakawan Tan Sri Khalid amat disenangi oleh ahli-ahli PKR termasuk pemimpin parti.

Jika ada pun sesiapa yang ingin mencari sebab untuk tidak menyokong beliau hanyalah kerana Tan Sri Khalid terlalu bersifat `profesional' dan tidak mempunyai kepintaran politik. Walaupun Tan Sri Khalid tidak sebaik YB Azmin di dalam kehebatan berpidato, tetapi kecekapannya menguruskan Negeri Selangor mungkin lebih baik dari YB Azmin sekiranya MP Gombak itu menjadi MB Selangor. Itulah hebatnya Tan Sri Khalid Ibrahim.

Bagaimana pula dengan Dato Zaid Ibrahim? Bagaimana dengan janji beliau yang tidak akan bertanding kerusi Timbalan Presiden PKR sekiranya Tan Sri Khalid bertanding jawatan yang sama? Apakah Dato Zaid sudah bersedia untuk menunaikan janjinya? Bagaimana pula dengan janji terbaru Dato Zaid, bahawa beliau sanggup menarik diri bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR sekiranya YB Nurul Izzah juga bertanding jawatan yang sama? Mana satu pilihan Dato Zaid sekarang? Kita percaya Dato Zaid tidak akan memungkiri janji-janji beliau lagi.

Adakah YB Azmin tergugat dengan keputusan Tan Sri Khalid ini? Sudah tentu keputusan Tan Sri Khalid sedikit sebanyak akan membuatkan YB Azmin lebih perlu bekerja kuat untuk meyakinkan ahli-ahli PKR. Pertandingan ini tentunya akan menjadi lebih hebat dan meriah sekiranya YB Nurul Izzah juga memasuki gelanggang. Sdr Mustafa Kamil Ayub juga mempunyai peluang yang agak besar sama seperti Tan Sri Khalid. Pada saya, YB Nurul Izzah harus berfikir banyak kali untuk mencuba nasib di peringkat ini.

Saya tetap yakin, menaruh harapan bahawa YB Azmin akan dipilih untuk menjadi Timbalan Presiden PKR. Komitmen beliau terhadap parti, berkarisma serta mempunyai kelebihan berkomunikasi yang hebat menjadi salah satu faktor mengapa YB Azmin perlu diangkat menduduki kerusi nombor dua di dalam PKR itu.

Namun, seandainya beliau tewas tidak ralat atau rugi rasanya jika Sdr Mustafa Kamil Ayub mahu pun Tan Sri Khalid dinobatkan sebagai Timbalan Presiden PKR. Calon yang lain daripada itu sukar untuk saya lihat kehebatan dan kelebihannya. Namun, semuanya atas pilihan ahli-ahli PKR sendiri./wfauzdin.blogspot.com

Tiada ulasan: