Sabtu, 2 Oktober 2010

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Mahathir Dimasukkan Ke Hospital Di Melbourne

Posted: 01 Oct 2010 11:48 PM PDT

Dr Mahathir Dimasukkan Ke Hospital Di Melbourne

MELBOURNE -- Bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad dimasukkan ke sebuah hospital di sini malam Jumaat bagi rawatan "batuk dan selesema".

Beliau kini sedang berehat di Hospital Epworth.

Dalam jawapan melalui SMS, pegawai khas Dr Mahathir, Sufi Yusof mengesahkan bekas perdana menteri dimasukkan ke hospital itu untuk rawatan bagi selesema dan batuk.

Dr Mahathir, 85, tiba di sini beberapa hari lepas untuk berucap pada seminar mengenai pembangunan manusia anjuran Kelab Umno Australia Melbourne di University of Melbourne pada Sabtu.

Beliau dijadual berkongsi pandangan dan pendapatnya mengenai topik "Are We Ready for 1Malaysia: Does Race Still Play A Part?" (Adakah Kita Bersedia Bagi 1Malaysia: Adakah Bangsa Masih Memainkan Peranan).

(1Malaysia ialah prinsip yang digariskan untuk membina sebuah negara yang bersatu dan progresif pada Abad ke-21 melalui pemupukan semangat dan nilai kekitaan tanpa mengira bangsa dan agama.)

Sejurus sebelum seminar itu bermula, juruacara majlis mengumumkan Dr Mahathir tidak dapat hadir pada majlis itu yang beliau (Dr Mahathir) nanti-nantikan dan sedih kerana tidak dapat berbuat demikian.

Beliau telah meminta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamed untuk berucap pada seminar itu bagi mewakilinya.


Dr Mahathir menjalani pembedahan pintasan koronari di Hospital Besar Kuala Lumpur pada Januari 1989 dan menjalani pembedahan kedua di Institut Jantung Negara pada September 2007.

Walaupun sudah berusia, Dr Mahathir, yang merupakan penasihat syarikat pengeluar kereta nasional Malaysia, Proton dan perbadanan minyak negara Petronas, sering ke luar negara untuk menghadiri persidangan antarabangsa berikutan beliau terus menjadi pilihan pihak penganjur untuk menyampaikan syarahan pada majlis tempatan dan antarabangsa. -- BERNAMA

Ulasan GB

Benarlah catatan GB sebelum ini bahawa Tun Dr Mahathir sedang sakit. Sebelum ini Mahathir dilaporkan terlantar di rumahnya kerana sakit.

Dan kini GB difahamkan TDM terlantar di katil kerana dilaporkan tidak sihat. Kita sudah menyatakan sebelum ini bahawa Mahathir sepatutnya sudah wajar benar-benar bersara. Membersihkan diri demi menghadapi Rabbul-Jalil pada bila-bila masa dan supaya rohnya bisa tenteram di alam barzakh nanti.



PRK Galas Dijangka Selepas Deepavali

Posted: 01 Oct 2010 11:00 PM PDT

Tarikh penamaan dijangka selepas Deepavali

Tarikh penamaan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Kelantan dijangka diadakan selepas Deepavali, manakala hari mengundi pada 14 November iaitu tiga hari sebelum Aidiladha.

Sumber berkata, tempoh berkenaan dianggap paling sesuai diadakan pilihan raya kerana ia memberi masa cukup kepada parti dan calon membuat persiapan dan bertanding bagi merebut kerusi DUN berkenaan.

"Waktu ini juga memberi kelebihan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengadakan pilihan raya yang selamat dan aman bagi pengundi keluar mengundi.

"Ia juga akan memberi kelebihan kepada petugas SPR termasuk polis dan pasukan keselamatan mengawal perjalanan pilihan raya," katanya, semalam.

Kelmarin, SPR menyatakan pihaknya akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan mengenai pilihan raya kecil DUN Galas pada 6 Oktober ini di Ibu Pejabat SPR di Putrajaya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, ketika dihubungi, berkata pihaknya perlu menilai pelbagai aspek dan faktor bagi memilih hari mengadakan pilihan raya kecil itu.

Antara faktor diambil, termasuk senario semasa politik negara, sidang Parlimen, cuti umum atau sekolah dan peristiwa penting yang berlaku dalam negara.

Antara cuti umum diambil kira SPR ialah Deepavali pada 5 November, Aidiladha (17 November) manakala peristiwa besar ialah Perhimpunan Agung UMNO (19 hingga 23 Oktober) dan pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (31 Oktober hingga 21 November). -BH

Perlukah PAS Merasa Terpinggir?

Posted: 01 Oct 2010 09:30 PM PDT

DDatuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang semalam menegur ahli-ahli PAS yang berkerja cukup minima untuk perjuangan parti.

"Nak menang pilihan raya, buat kerja seminggu. Bubar parlimen baru buat kerja, sekarang tak buat kerja," ujarnya sambil menggesa seluruh ahli dan penyokong PAS sentiasa melaksanakan tugas masing-masing, harakahdaily dipetik.

Prsiden PAS itu berkata demikian sewaktu merasmikan Ijtima' Tarbawi Pemuda PAS Peringkat Kebangsaan 2010 yang disertai sekitar 5,000 pemuda di Masjid Rusila, malam tadi.

Tuan Guru Abdul Hadi juga menegur ahli PAS yang mahukan kemenangan yang cepat di dalam pilihan raya tetapi melakukan kerja dalam masa yang singkat.

Ini, katanya kerana perjuangan Islam yang dibawa oleh rasul-rasul juga memakan masa untuk mencapai kejayaan.

Beliau mengambil contoh perjuangan Nabi Musa dan Harun memakan masa 40 tahun walaupun doa mereka diperkenankan oleh Allah untuk menumbangkan Firaun.

Begitu juga, katanya perjuangan Nabi Muhammad s.a.w. juga mengambil masa 23 tahun untuk menegakkan Islam dan meruntuhkan jahiliah.

Sebelum itu Presiden PS menegaskan bahawa PAS adalah parti yang memimpin, bukannya dipinggirkan apabila mencapai kemenangan.

Beliau tidak mahu kesilapan yang lepas berulang di mana kumpulan Islam dipinggirkan apabila negara mencapai kemerdekaan.

Katanya, sewaktu negara dijajah, kumpulan Islam di depan menentang penjajah tetapi setelah merdeka, mereka dipinggirkan.

"Kita parti yang memimpin, menjadi teras, bukan dipinggirkan mudah-mudah oleh orang," tegasnya.

PAS mempunyai wawasan yang panjang iaitu dari dunia sehingga akhirat, bukan setakat 2020.

Ini, katanya kerana perjuangan PAS adalah untuk mendapatkan keredhaan Allah Taala.

"Kalau tanya ahli PAS yang bebal pun, mengapa sokong PAS, mereka kata nak pahala, mengharapkan keredhaan Allah," ujarnya.

Beliau menjelaskan, perkara itu tidak diharapkan oleh pihak musuh kerana mereka berjuang untuk mendapatkan bantuan dan kebendaan.

Tuan Guru Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen menekankan supaya ahli dan penyokong PAS hendaklah sentiasa ditarbiah bagi meneruskan perjuangan Islam untuk meruntuhkan jahiliah.

Katanya, golongan yang memperjuangkan Islam sejak zaman nabi-nabi terdahulu ditarbiah dengan berbagai ujian dan kezaliman sehingga ada di kalangan mereka yang dibunuh.

Beliau menambah, keperitan yang dirasai akibat dizalimi oleh golongan jahiliah menyebabkan golongan Islam tidak melakukan kezaliman apabila mereka mendapat kuasa.

"Kita perit rasa dizalimi, kalau kita perintah, kita tidak melakukan kezaliman," ujarnya lagi.

Ulasan GB

Di dalam konteks Pakatan Rakyat, PAS hanya mampu menjadi parti yang memimpin sekiranya PAS berjaya menjadi parti yang mendominasi PR.

Dominasi itu diukur dari segi kekuatan yang ada pada sesebuah parti yang mempunyai bilangan ahli parlimen majoriti.

Semasa selepas pilihanraya umum 1999, PAS berjaya buat pertama kali menjadi parti yang dominan di dalam barisan pembangkang (Angkatan Perpaduan Ummah) di Parlimen. PAS menang 27 kerusi, DAP 10 dan Keadilan 5. TG Haji Abd Hadi ketika itu dinobatkan sebagai Ketua Pembangkang.

Akibat keselesaan itu, beberapa YB-YB PAS "lupa diri" sehingga dihukum oleh rakyat pada pilihanraya 2004 dimana PAS hanya berjaya memperolehi 7 kerusi, Keadilan 1 manakala DAP 12 sekaligus merampas kerusi Ketua Pembangkang daripada Abd Hadi untuk diserahkan kepada Lim Kit Siang. Malah Abd. Hadi tewas di kerusi Parlimen Marang di tangan Abdul Rahman Bakar.

Di dalam pilihanraya 2008, PAS sekali lagi menerima tamparan. Sekalipun Pakatan Rakyat menang banyak kerusi Parlimen tetapi PAS hanya memperolehi 24 kerusi, berbanding PKR yang memperolehi 31 manakala DAP 8. Sekali lagi Ketua Pembangkang beralih kepada orang lain, kali ini PKR.

Persoalan kini, apakah PAS perlu merasakan dirinya dipinggirkan jika PAS sendiri belum mampu secara konsistennya mendominasi Pakatan Pembangkang?

Kita bercakap mengenai "keredhaan Allah" , tetapi kita walau sealim mana pun, tidak tahu dan tidak akan tahu secara hakiki hal-hal yang menjadi milik mutlak Allah s.w.t. seperti "mardhatillah".

Kita hanya disuruh, diarah untuk bekerja bersungguh-sungguh kerana demikian hadith "Sesungguhnya Allah itu suka jika seseorang daripada kamu membuat sesuatu pekerjaan dengan tekun dan bersungguh-sungguh" yang saya kira Abd Hadi lebih arif mengenainya.

Apakah lantaran untuk mencapai keredhaan itu maka kita harus mengkhianati rakan-rakan lain di dalam PR dan berbaik-baik dengan mereka selama ini dikategorikan sebagai musuh hanya semata-mata kita sudah tidak lagi mendominasi PR dan merasa terpinggir?

GB terpaksa merungkai hal ini untuk kita sama-sama renungkan supaya selepas ini kita bekerja bersungguh-sungguh sepertimana yang dihasratkan oleh Presiden supaya PAS mampu menjadi parti yang memimpin PR.

GB tidak tahu apa "agenda sebenar" Pemuda PAS melalui Ijtima Tarbawi ini yang dihadiri oleh peserta pemuda seluruh negara yang di atas pentas dilihat hanya pemimpin-pemimpin yang dikategorikan sebagai mereka yang sehaluan dengan satu kumpulan sahaja di dalam PAS.

Ini kebenaran. GB terpaksa dedahkan kerana ia sebenarnya barah yang telah lama dihidapi oleh parti yang telah membawa kepada perpecahan (al-ghazwul fikr) di kalangan ahli jemaah. Dan sesungguhnya, Allah itu Al-Haq.

Hal yang sama pernah berlaku di dalam perhimpunan bogger satu ketika dulu. Dan ia menjadi tidak berfungsi dan merupakan satu kegagalan kerana awal mula pertama mula, agenda mengadakan seminar dan pembentukan jawatankuasa blogger itu tidak bermula dengan matlamat yang jernih sekalipun amat lunak di atas kertaskerja.

Apakah Ijtima Tarbawi ini bakal mengundang natijah yang serupa dengannya? Muga-muga tidak dan kita berharap "ukhwah Islamiah" sebenar terjalin di seluruh kalangan ahli jika PAS ingin terus tidak merasa terpinggir.

Kita tidak boleh meminggirkan orang yang tak sehaluan dengan kita di dalam jemaah sebelum nantinya kita tidak dipinggir orang lain di luar jemaah!


Pemilihan PKR: Debaran Di 33 Cabang PKR Hari Ini Dan Esok

Posted: 01 Oct 2010 07:00 PM PDT

Ketua Cabang MATC: Adun, Ahli Parlimen PKR jadi tumpuan

PETALING JAYA: Kedudukan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan ahli parlimen PKR menjadi tumpuan pemerhati pada pemilihan peringkat Cabang pada hujung minggu ini, sama ada mereka mampu mempertahankan sokongan mahupun sebaliknya.

Pemilihan pada hari ini dan esok seperti dijadualkan merupakan Mesyuarat Agung Tahunan (MATC) PKR Cabang yang terakhir selepas 173 Cabang selesai menjalankan tanggungjawab memilih dan memutuskan calon masing-masing.

Tujuh Cabang yang bermesyuarat minggu lalu terpaksa ditunda ekoran berlakunya masalah teknikal dan gangguan bantahan.

Antara 33 Cabang di enam negeri yang bakal menjalankan mesyuarat pada minggu ini ialah Selangor (13 cabang), Sarawak (8), Johor (9), Sabah (Penampang), Kedah (Padang Serai) dan Pulau Pinang (Bukit Gelugor).

Cabang yang menjadi tumpuan termasuklah Gombak, Kuala Selangor, Ampang, Kelana Jaya, Hulu Selangor dan Padang Serai.

Nasib Azmin ditentukan Ahad

Naib Presiden Azmin Ali yang kini mendahului pencalonan timbalan presiden, bakal menghadapi cabaran daripada Abu Bakar Ninggal yang menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Cabang Gombak.

Ramai pemerhati menjangka Azmin bakal menang besar di cabang tersebut namun seorang lagi calon yang juga Adun Batu Caves Amirudin Shari turut menghitung nasib sama bagi jawatan timbalan ketua cabang.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang bertanding jawatan ketua cabang Kuala Selangor juga dikatakan bakal mendapat tentangan hebat daripada tiga pesaing lain.

Nasib Ahli Parlimen Padang Serai N Gobalakrishnan pula dalam pertaruhannya merebut jawatan ketua cabang bakal diketahui Ahad ini selepas mesyuarat cabang itu, selepas ditangguhkan sejak dua minggu lalu.

Manakala perebutan jawatan Ketua Cabang Kelana Jaya bakal menyaksikan pertandingan dua penjuru antara Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Syed Shahir Syed Mohamud dengan Abdul Rakaz Mohamed Jalil.

Mesyuarat Cabang PKR Hulu Selangor yang berlangsung esok dijangka 'panas' dengan tujuh pencalonan (paling ramai stakat ini) yang bakal berentap merebut jawatan ketua cabang.

Sementara Ketua Wanita PKR Pusat Zuraida Kamaruddin juga bakal berhadapan satu lawan satu bagi kerusi Cabang Ampang.

Cabang Sabak Bernam pula akan menentukan sama ada Ahli Majlis Pimpinan PKR Pusat Dr Badrulamin Baharon atau dua calon lain bertanggungjwab menggalas jawatan ketua cabang.

Cabang bermasalah tangguh sehingga Kongres?

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Dr Molly Cheah berkata, mesyuarat cabang yang didapati bermasalah dan tertangguh akan ditunda sehingga ke tarikh yang ditetapkan semula kelak.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan terdapat mesyuarat cabang yang didapati bermasalah itu akan ditangguhkan sehingga dua bulan dan hampir kepada tarikh Kongres Pemilihan Parti yang akan diadakan pada hujung November depan di Shah Alam, Selangor.

"Kami akan menilai semula semua laporan daripada pengawas, selain memanggil individu dan pihak yang terlibat sehingga timbulnya kekalutan semasa mesyuarat.

"Kemudiannya kami akan putuskan tarikh baru bagi mesyuarat cabang yang tertangguh itu, manakala bagi individu yang didapati bersalah JPP akan mengambil tindakan termasuk menggantung keahliannya," katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Cabang yang bakal bermesyuarat pada 2 dan 3 Oktober 2010:

SELANGOR
Sabak Bernam
Sungai Besar
Hulu Selangor
Serdang
Puchong
Kelana Jaya
Tanjong Karang
Kuala Selangor
Selayang
Gombak
Ampang
Pandan
Hulu Langat

JOHOR
Tenggara
Kota Tinggi
Tebrau
Pasir Gudang
Johor Bahru
Pulai
Kulai
Gelang Patah
Pontian

KEDAH
Padang Serai
PULAU PINANG
Bukit Gelugor
SABAH
Penampang

SARAWAK
Lawas
Hulu Rejang
Mambong
Santubong
Bandar Kuching
Batang Lupar
Saratok
Sarikei
-FMT

Mohd Sidek Hassan Perlu Dibersarakan Segera!

Posted: 01 Oct 2010 05:30 PM PDT

Kerajaan keluar pekeliling bagi kenyataan sentuh sensitiviti kaum, agama

KUALA LUMPUR: Surat Pekeliling Am sudah dikeluarkan kepada semua Ketua Jabatan kerajaan mengingatkan pegawai awam berhati-hati dan menghindari daripada mengeluarkan kenyataan yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan hari ini.

Beliau berkata, pekeliling itu mengkehendaki Ketua Jabatan mengambil tindakan segera lagi tegas berdasarkan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 terhadap pegawai yang didapati berbuat demikian.

Mohd Sidek dalam satu kenyataan berkata, kerajaan memandang serius dan tidak akan bertolak ansur terhadap perbuatan segelintir pegawai awam yang didakwa mengeluarkan kenyataan sedemikian kebelakangan ini.

Beliau tidak memberikan contoh tetapi berkata bilangan pegawai yang terbabit amat kecil berbanding 1.2 juta orang pegawai awam di negara ini.

"Kerajaan akan berusaha membendung perbuatan tersebut yang boleh meruntuhkan kerukunan antara pelbagai kaum yang dinikmati selama ini," katanya.

Mohd Sidek berkata, tindakan itu termasuk mengenakan tindakan tatatertib terhadap mereka sekiranya benar-benar didapati bersalah.

"Dengan 1.2 juta orang pegawai awam, walaupun terdapat peraturan-peraturan dan garis panduan yang jelas bagi mengawal selia tingkah laku pegawai awam, adalah sesuatu yang mustahil untuk menjamin 100 peratus pematuhan," kata beliau.

Katanya, dalam mana-mana organisasi, pastinya akan ada segelintir yang tersasar daripada visi dan misi organisasi.

"Malah Majlis Peguam Malaysia baru-baru ini dilaporkan sebagai berkata pihaknya tidak dapat mengawal tingkah laku 13,000 orang ahlinya," katanya.

Ketua Setiausaha Negara itu berkata, insiden yang membabitkan segelintir pegawai awam itu tidak seharusnya dilihat sebagai menggambarkan pendirian kerajaan.

"Malah pihak pentadbiran kerajaan tidak pernah dan tidak akan membiarkan berlaku apa-apa tindakan dan kelakuan yang bertentangan dengan keharmonian kaum yang dipupuk selama ini terutamanya daripada pegawai awam yang juga golongan pelaksana dasar Kerajaan," katanya.

Beliau berkata, tindakan secara pentadbiran menggantung mana-mana pegawai awam yang didakwa mengeluarkan kenyataan sedemikian dari tugasnya hendaklah juga diambil dengan serta-merta sementara menunggu siasatan lanjut.

Langkah ini adalah untuk meredakan ketegangan yang mungkin timbul berikutan kenyataan yang berunsur hasutan yang didakwa dikeluarkan itu.

Mohd Sidek berkata, apabila tersebar luas kenyataan-kenyataan berbaur perkauman yang didakwa dibuat oleh pegawai awam dalam kapasiti mereka sebagai pegawai kerajaan, banyak pihak memberi reaksi mendesak kerajaan untuk mengambil tindakan segera ke atas pegawai awam berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, orang ramai harus faham sebarang tindakan tatatertib ke atas pegawai awam perlu dibuat mengikut lunas undang-undang dan peraturan-peraturan tatatertib yang diwartakan.

Kerajaan tidak boleh tergesa-gesa mengenakan tindakan semata-mata berdasarkan sesuatu dakwaan tanpa siasatan yang rapi serta mengikut undang-undang dan peraturan yang berkuatkuasa. - BERNAMA

Ulasan GB

Pekeliling dikeluarkan, tetapi tindakan terhadap kes-kes yang nyata menyentuh sensitiviti kaum dan agama seperti Pengetua dan BTN yang sebelum ini dilaporkan tidak lagi dilakukan.

Malah Ketua Setiausaha Negara memberi alasan bahawa bilangan pegawai yang terbabit amat kecil berbanding 1.2 juta orang pegawai awam di negara ini.

Beliau berkata: "Malah Majlis Peguam Malaysia baru-baru ini dilaporkan sebagai berkata pihaknya tidak dapat mengawal tingkah laku 13,000 orang ahlinya."

Kita ingin memberitahu kepada KSN yang bernama Mohd Sidek Hassan bahawa, jika anda telah menyatakan bahawa kes-kes sedemikian adalah serius, maka tidak timbul persoalan samada ia segelintir ataupun sekapal. Ia tetap perlu dilihat sebagai kesalahan besar yang mengancam keharmonian negara dan tidak perlu untuk melihat dari segi peratusan yang dikatakan kecil itu.

Mengambil contoh kenyataan Presiden Majlis Peguam yang tidak dapat mengawal tingkah laku 13,000 orang ahlinya adalah silap dan pemesongan terhadap tanggungjawab seorang "kakitangan awam".

Majlis Peguam tidak menerima gaji dari rakyat. Tetapi kamu-kamu di Jabatan Perkhidmatan Awam dibayar gaji dari wang rakyat untuk mempastikan jentera perkhidmatan awam dilakukan dengan cekap dan berkesan.

Jika kamu hendak menjadikan Majlis Peguam sebagai contoh, maka kamu perlu berkhidmat secara sukarela dan kemudian kamu boleh menciplak ayat Majlis Peguam itu enggan menyatakan sukar untuk mengawal sekalian 1.2 juta pegawai awam di negara ini.

Tiadanya tindakan pantas ke atas Pengetua dan Timbalan pengarah BTN terhadap isu perkauman menjelaskan bahawa berlakunya sikap "berlengah-lengah" disamping tidak memandang serius kesalahan yang dilakukan oleh mereka yang menyebabkan api perkauman di negara menjadi semakin marak dan berbahaya.

Justeru itu wajar Mohd Sidek Hassan dibersarakan dan digantikan dengan seorang Ketua Setiausaha Negara yang lebih berwibawa dan lebih cekap.



Mustaffa Kamil Ayub Mampu Mengganti Anwar

Posted: 01 Oct 2010 04:30 PM PDT

Umno Tidak Terlibat Dalam Kekecohan Mesyuarat Cabang PKR - Mustafa Kamil

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Naib presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mustafa Kamil Ayub menafikan dakwaan setiausaha agung parti itu Saifuddin Nasution, bahawa Umno dan Barisan Nasional (BN) terlibat mendalangi kekecohan yang berlaku dalam beberapa mesyuarat cabang PKR.

Beliau berkata pemimpin dan anggota PKR sedia maklum bahawa sistem satu anggota satu undi yang diperkenalkan untuk pemilihan parti itu mempunyai kekurangan dan perlu dibaiki.

"Saya kurang bersetuju (dengan dakwaan itu). Bagi saya, apabila wartawan ajukan soalan ini, saya kata ini proses kali pertama kita menggunakan pendekatan satu anggota satu undi, dan rekod telah membuktikan daripada 180 cabang yang telah mengadakan mesyuarat, hanya tujuh cabang yang ada masalah.

"Sedikit kelemahan mesti diperbaiki, kita telah bincang dan memang ada ruang untuk kita baiki, tetapi saya tidak cenderung untuk menyalahkan Umno dan Barisan Nasional," katanya pada sidang akhbar di sini Jumaat.

Pada sidang akhbar itu, Mustafa Kamil turut mengumumkan keputusannya untuk bertanding jawatan timbalan presiden PKR pada pemilihan parti tersebut bulan depan.

Beliau menyifatkan dakwaan Umno menjadi dalang insiden kekecohan pada pemilihan cabang parti itu sebagai tidak berasas, malah katanya, PKR sepatutnya bertanggungjawab ke atas masalah tersebut, dan bukannya menuding jari kepada orang lain.

Selasa lalu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mencabar Saifuddin supaya mendedahkan identiti mereka yang didakwa menjadi "ejen Barisan Nasional" di dalam parti pembangkang itu

Mengenai keputusannya bertanding jawatan kedua tertinggi dalam PKR itu, Mustafa Kamil berkata ia diputuskan atas kepercayaan meneruskan kesinambungan perjuangan yang bermula sejak 12 tahun lalu, dan menjadikan parti itu sebagai parti masa depan rakyat Malaysia.

Keputusan beliau menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mustafa Kamil, naib presiden parti Azmin Ali dan pengerusi PKR Wilayah Persekutuan Datuk Zaid Ibrahim.

Mustafa Kamil berkata walaupun kedua-dua lawannya mempunyai kehebatan tersendiri, beliau akan terus komited dengan hasratnya untuk bertanding, malah bertegas tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak, sekiranya ada cubaan untuk memujuknya menarik diri.

Beliau berkata tinjauan ke peringkat akar umbi dan maklum balas yang diterimanya menunjukkan kejutan boleh berlaku ke atas dua calon pilihan tersebut.

"Keputusan saya muktamad...saya tidak akan menarik diri sehingga hari pemilihan, dan jika tewas, kita akan bawakan khidmat dalam bentuk lain.

"Tak perlulah saya menyaingi kenyataan Azmin dan Zaid dalam soal ini. Walaupun saya faham saya calon 'underdog', saya bukan ahli yang berhormat, bukan senator, bukan juga bekas menteri," katanya. -- BERNAMA

Ulasan GB

Apabila sebelum ini GB menulis dengan entri bertajuk "Apa Ada Dengan Mustaffa Kamil Ayub?" ada pula yang bertanya mengapa tajuk itu provokatif sangat? Biarlah dia bertanding...

Memang pun GB berharap sangat beliau bertanding. Jika tidak masakan GB dedahkan biodatanya secara terperinci dan GB menyatakan di situ:

Mustaffa bakal menggalas tugas besar untuk merubah PKR dengan satu pewarnaan yang lebih holistik. Setidak-tidaknya itu harapan sebahagian besar ahli-ahli PKR jika mahu parti dipimpin oleh tokoh yang boleh menjadi role-model.

Pengalaman Mustaffa yang luas di dalam gerakan Islam dan karisma kepimpinannya mampu menjadikan beliau seorang yang boleh menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Mungkin namanya tidak hebat, tetapi karismanya hebat. Hanya jauhari yang mengenal mutu manikam.

Oleh kerana blog bukan sebuah akhbar maka tidak salah bagi blogger memberikan pendapat yang berpihak. Blogger bukan pimpinan mana-mana parti sekalipun ada pimpinan parti yang menjadi blogger.

Apa Ada Dengan Mustaffa Kamil Ayub?

Posted: 01 Oct 2010 08:30 AM PDT

Mustaffa Kamil sah tanding kerusi timbalan presiden PKR

Mustaffa Kamil Ayub mengumumkan keputusan bertanding jawatan timbalan presiden PKR pada sidang media petang ini.

KUALA LUMPUR, 1 Okt — Naib Presiden PKR Mustaffa Kamil Ayub dengan meletakkan tema "Kesinambungan Perjuangan", hari ini secara rasmi menawarkan diri bertanding kerusi timbalan presiden parti itu.

Dengan keputusan itu pemilihan jawatan nombor dua PKR akan menyaksikan persaingan tiga penjuru antara Azmin Ali, Datuk Zaid Ibrahim dan Mustaffa.

"Saya dengan rasa rendah diri menawarkan diri untuk kerusi timbalan presiden," kata beliau pada sidang media di Kelab Sultan Sulaiman di sini petang ini.

"Saya yakin, kesinambungan perjuangan perlu untuk meneruskan sumbangan yang bagi saya cukup besar oleh timbalan presiden Senator Dr Syed Husin Ali.

"Saya berharap anggota-anggota parti boleh membantu saya memperkukuh kepimpinan parti bersama Saudara Anwar dan Dr Wan Azizah," katanya lagi.

Dari segi pencalonan, Azmin dan Zaid berada di depan berbanding Mustaffa.

Mustaffa mempunyai 23 pencalonan setakat sementara 34 cabang akan mengadakan mesyuarat tahunan esok dan luas - pusingan terakhir daripada tiga minggu.

Pemilihan pucuk kepimpinan akan bermula secara berperingkat mulai minggu ketiga dan keputusan akan diumumkan pada Kongres PKR November ini.

Mengenai pencalonan, Mustaffa berkata mengakui dua calon lain di depan, tetapi menjelaskan beliau yakin dengan kebijaksanaan ahli-ahli membuat pengundian terbaik.

"Bercakap mengenai pencalonan, pada tahun 2007 saya menduduki tempat keenam dari segi pencalonan tetapi dari segi undi terbanyak, saya muncul tempat ketiga.

"Jadi percaya pada kebijaksanaan pengundi dalam membuat keputusan. Saya kalah di Pasir Salak, tetapi mendapat pencalonan untuk jawatan timbalan presiden," kata yang beliau yang pernah tewas dalam pemilihan jawatan timbalan ketua Angkatan Muda Keadilan PKR pada 2001.

"Saya tahu mereka ada kekuatan, mereka juga kelemahan. Saya pun ada kekuatan dan saya pun ada kelemahan. Saya yakin ahli-ahli akan membuat keputusan yang bijak," katanya lagi.

Pada 2004 beliau memenangi pemilihan jawatan naib presiden dan dikekalkan tiga tahun lalu.

Mustaffa, 48, berkata beliau akan mengunjungi Presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Syed Husin petang ini untuk menyatakan secara peribadi keputusannya mahu bertanding jawatan timbalan presiden.

Ditanya ada beliau akan berusaha mendapat sokongan kumpulan Syed Husin, Mustaffa secara berseloroh berkata, "saya mahukan sokongan beliau, sokongan semua pemimpin dan ahli parti."

Beliau menemui kedua-dua mereka selepas sidang media yang turut dihadiri sekitar 200 penyokongnya yang turut melaungkan "lawan tetap lawan" dan "Hidup Mustaffa, Hidup PKR."

Mustaffa yang tewas pemilihan ketua bahagian Pasir Salak minggu lalu berkata, dalam kempen kali ini beliau tidak mahu bertanding atas semangat "berpuak".

"Saya ajak semua kita angkat politik nilai, saya pohon teman-teman dalam parti, bantu saya untuk sama-sama kita angkat nilai moderat, inklusif, sederhana, kasih sayang, perpaduan parti, semak dan imbang dalam parti sempena pemilihan kali ini," katanya lagi.

Pengerusi PKR Perak ini berkata sekiranya diberikan amanah memikul jawatan timbalan presiden beliau akan memperkukuhkan politik ini sebagai satu kesinambungan perjuangan PKR.

Ketika ditanya sama ada kemungkinan akan berkompromi dan menarik diri daripada bertanding kelak, Mustaffa berkata, keputusannya hari ini adalah muktamad.

"Tidak tidak... ini keputusan muktamad, saya tidak akan tarik diri," katanya lagi.

Mustaffa juga berkata sebagai calon beliau tidak menolak kemungkinan juga Umno akan "jadikan lagi beg tinju untuk mencalar imej parti masa depan ini."

"Tetapi saya yakin PKR dan kematangan kita mampu menangani semua cabaran ini," katanya lagi.

Ulasan GB

Tahniah Mustaffa kerana mengambil langkah berani.

Apabila GB selalu menyebut "perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan" maka sudah tentu Mustaffa sendiri tidak asing mendengar perkataan itu.

Mustaffa bakal menggalas tugas besar untuk merubah PKR dengan satu pewarnaan yang lebih holistik. Setidak-tidaknya itu harapan sebahagian besar ahli-ahli PKR jika mahu parti dipimpin oleh tokoh yang boleh menjadi role-model.

Pengalaman Mustaffa yang luas di dalam gerakan Islam dan karisma kepimpinannya mampu menjadikan beliau seorang yang boleh menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Biodata:

Anak kelahiran Pasir Salak ini mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Kebangsaan Kg Gajah dan kemudiannya di Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, Jitra, Kedah sebelum melanjutkan pengajian tingginya di Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Islam Antarabangsa.

Memperolehi ijazah sarjana muda sains dengan kepujian pada tahun 1987 sebelum meneruskan pengajian di peringkat diploma pendidikan di UIA pada tahun 1989 dan kemudiannya diploma kewangan Islam pada tahun 1994.

Beliau adalah seorang aktivis mahasiswa dan pernah menjadi Yang Di Pertua PMUKM sesi 1984/85.

Beliau pernah menjadi Presiden paling lama untuk Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) iaitu dari sessi 1986/87 sehinggalah 1989/90.

Menjadi Pengarah Persidangan antarabangsa ke-7,IIFSO pada tahun 1988

Mustafa Pengerusi Persatuan Pelajar Islam Asia Tenggara(PEPIAT).

Pada tahun 1989, beliau menyertai keluarga staf UIA dan dilantik ke jawatan Ketua Jabatan Latihan Kepimpinan sehinggalah beliau meninggalkan kerusi tersebut pada tahun 1995 untuk menyertai dunia politik sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Belia dan Sukan Malaysia.

Beliau pernah memegang jawatan Ketua Penerangan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Pada masa yang sama beliau mengetuai Majlis Kerjasama Belia Asean dan memegang jawatan Naib Presiden Majlis Belia Malaysia dari tahun 1994 hingga 1998.

Sepanjang perkhidmatannya dalam pergerakan belia, Mustaffa telah dijemput untuk membentangkan kertas kerja di Jepun, Brunei, Singapura, Thailand, Indonesia, Belanda, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Maldives.

Beliau juga aktif menulis. Antara hasil tulisannya ialah Generasi Muda; Penyemarak Kecemerlangan Alaf Baru dan Youth Renaissance - Partners in Development.


PKR, Hentikan Kerja Mengarut Dan Melalut.

Posted: 01 Oct 2010 06:30 AM PDT

Henti mengkritik sesama calon – Manikavasagam

PETALING JAYA: Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR S Manikavasagam hari ini mengeluarkan kenyataan yang pedas bercampur nasihat mengenai "perang mulut" yang berlaku sesama anggota parti terutama mereka yang bertanding untuk jawatan tinggi.

Beliau menasihat Naib Presiden Dr Lee Boon Chye supaya mengambil sikap neutral dan berhenti dari mengeluarkan kenyataan-kenyataan bernada serangan terhadap calon-calon lain, termasuk serangan ke atas Ketua PKR Wilayah Persekutuan, Dato' Zaid Ibrahim.

"Dr Lee mesti sedar bahawa beliau juga dalam pertandingan untuk merebut jawatan tinggi dalam parti dan beliau tidak harus dilihat sebagai menjalankan kempen untuk meraih undi dengan memperlekeh orang lain," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Semalam Dr Lee mengeluarkan kenyataan membidas Zaid kerana mengkritik parti sendiri dalam satu wawancara eksklusif yang tersiar dalam akhbar milik Umno, Mingguan Malaysia Ahad lalu.

Mengenai pemilihan parti di peringkat Cabang yang sedang berlangsung, beliau berkata, "saya rasa parti dan ahli-ahli jawatankuasanya gagal untuk menegak prinsip asas demokrasi iaitu dengan mengadakan pemilihan yang bebas dan adil.

"Walaupun saya menjangkakan terdapat beberapa masalah timbul ekoran dari mengendalikan pilihan raya bercorak baru 'satu ahli satu undi', saya merasa sedih apabila mendapat tahu keseluruhan proses pemilihan telah dicemari oleh anasir-anasir tertentu," katanya.

Manikavasagam yang juga Ahli Parlimen Kapar berkata, "saya berharap parti dapat mententeramkan keadaan bagi menghadapi pemilihan Cabang pada hujung minggu ini supaya parti kita tidak menjadi bahan ketawa di negara ini.

"Saya menyeru semua pihak supaya mengendalikan pemilihan ini dengan bersih dan adil.

Kita tidak seharusnya mengkritik Suruhanjaya Pilihan Raya mengenai cara mereka mengendalikan pilihan raya-pilihan raya di negara ini apabila kita sendiri tidak dapat melaksanakan tugas itu dengan baik," ujar beliau.


Parti perlu lebih ramai pemimpin reformasi

PETALING JAYA: Naib Presiden PKR Jeffrey Kitingan hari ini berkata parti memerlukan lebih ramai lagi pemimpin berpemikiran reformasi.

"Parti juga memerlukan para pemimpin yang mempunyai pemikiran yang terbuka supaya parti dapat bergerak maju ke hadapan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Kata beliau, "saya fikir semua ahli parti harus mengalu-alukan cadangan-cadangan yang konkrit yang dibuat oleh sesiapa saja bertujuan untuk memperbaiki parti.

Sambil merujuk kepada kenyataan Naib Presiden Dr Lee Boon Chye semalam, beliau berkata beberapa cadangan Dato' Zaid (Ibrahim) boleh membantu kita mencapai matlamat kita untuk rakyat.

Beliau berkata, "saya telah membaca kenyataan Dr Lee semalam dan merasakan kenyataan itu dibuat tidak kena pada masanya, terutama ketika parti sedang menghadapi saat-saat getir dalam pemilihan peringkat Cabang hujung minggu ini.

"Saya juga membaca beberapa wawancara dengan Zaid oleh pihak media. Saya rasa ia mengandungi aspirasi parti dan tidak lebih dari itu. Beliau bukan bertindak selaku "mangsa" sepertimana yang diutarakan oleh Dr Lee," katanya.

Beliau menggesa semua pemimpin parti berhenti dari menyerang calon Timbalan Presiden dan juga Ketua PKR Wilayah Persekutuan, Dato' Zaid. -FMT


Ulasan GB

GB rasa cukuplah setakat ini disiarkan mengenai persoalan kekecohan di dalam PKR sekalipun nampaknya ia seperti takkan tamat walau selepas pemilihan.

Cuma GB menasihatkan pihak-pihak yang bertanding kembali kepada matlamat asal perjuangan disamping mengenepikan agenda peribadi sehingga membentuk klik-klik yang merosakkan parti.

Pemimpin tertinggi parti perlu adil, tidak boleh dilihat partisan.

Jawatankuasa Disiplin perlu peka dan cepat bertindak di atas sebarang aduan salahlaku untuk mempastikan parti tidak dirosakkan oleh parasit-parasit yang kelak seluruh parti akan hancur kerananya.

Media-media alternatif pula juga perlu tegak berdiri menjadi pendamai dan bersikap saksama kepada semua calon.
Apa yang ketara GB lihat beberapa media milik PKR condong kepada menyiarkan hanya berita-berita seorang calon tertentu, seolah-olah ada agenda tersembunyi untuk meletakkan seseorang itu di jawatan tertentu dengan menekan pihak lawannya. Kerana sikap itulah maka blogger seperti GB terpaksa membela pihak yang dilihat telah dizalimi, memberi ruang kepadanya sepertimana GB selama ini telah berjuang untuk Datuk Seri Anwar sendiri sekalipun GB bukan menjadi ahli kepada partinya.

Perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan perlu dimulakan dan dijayakan di dalam diri kita, dalam kumpulan kita dahulu, di dalam PR dahulu, sebelum dapat kita jayakan perjuangan itu di luar kita.

Kalau di dalam parti kita masih ada kezaliman, bagaimana parti hendak membenteras kezaliman di luar parti?

Jangan menjadi seorang doktor yang cuba membedah pesakit di pinggiran sedangkan tangan doktor itu sendiri rupanya sebahagian dari penyakit yang menyerang.

UMNO BN Nak Calonkan Ku Li Di PRK Galas

Posted: 01 Oct 2010 05:30 AM PDT

BN Sedia Timbang Tengku Razaleigh Calon Galas - Muhyiddin

PUTRAJAYA, 1 Okt (Bernama) -- Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah boleh dipertimbang sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Timbalan Perdana Menteri berkata BN sedia membincangkan perkara itu kerana beliau percaya Tengku Razaleigh merupakan calon paling tepat dan sesuai berdasarkan pengalaman dan pengaruhnya di Gua Musang.

Namun, katanya, soal sama ada Tengku Razaleigh mahu bertanding atau terdapat calon yang lebih sesuai untuk dicadangkan kepada pucuk pimpinan, terpulang kepadanya.

"Sebagai mana biasa kita beri lebih ruang pada beliau (selaku pengarah pilihan raya kecil Barisan Nasional bagi kerusi) untuk senaraikan (calon) dan kalau fikir ada nama paling tepat, sesuai dan boleh beri kemenangan cemerlang di situ, kita akan berikan keutamaan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Majlis Sosial Negara pada hari Jumaat.

Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Ketua Pemuda Umno Kelantan Anuar Safian supaya Tengku Razaleigh mampu merampas semula kerusi DUN berkenaan daripada Pas jadi menjadi calon.

Mengenai dakwaan PAS kononnya pelantikan Tengku Razaleigh sebagai Pengarah Pilihan Raya BN bagi kerusi Galas memberi kelebihan kepada PAS kerana beliau turut menyokong tuntutan royalti minyak, Muhyiddin berkata PAS sebenarnya sedang "gundah-gulana".

"Dia (PAS) kata beri kelebihan pada dia sebab isu royalti sebenarnya mereka gundah-gulana dengan pengaruh besar yang ada pada Tengku Razaleigh sebagai pemimpin parti yang cukup berpengalaman, sudah sebati dan sinonim dengan Gua Musang.

"Tengku Razaleigh mempunyai pengaruh besar dalam masyarakat Melayu, Cina dan India kerana sudah biasa mengenalinya secara peribadi, soal isu royalti kita boleh jelaskan lebih-lebih lagi Tengku Razaleigh pastiya bukan sahaja faham tapi pakar dalam soal itu," katanya.

Muhyiddin berkata sebenarnya PAS sangat tertekan selepas mengetahui Tengku Razaleigh merupakan calon paling tepat yang dipilih sebagai Pengarah Pilihan Raya DUN Galas.

Pilihan raya kecil itu perlu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi Galas, Chek Hashim Sulaiman, 46, daripada PAS akibat barah usus.-- BERNAMA

Ulasan GB

PAS perduli apa hatta Najib sekalipun diletakkan bertanding di Galas, inikan pula Ku Li.

Kita memang menghormati dan berterima kasih dengan Ku Li kerana sokongannya terhadap perjuangan menuntut royalti minyak untuk rakyat Kelantan, tetapi apakah jika beliau menang di DUN Galas, maka Pusat berubah untuk memberikan royalti minyak yang diperjuangkan itu bersama PAS?

UMNO BN benar-benar tertekan kini untuk mencari calon yang sesuai. Tidak terjumpa. Lalu dicadangkan nama Ku Li pula. Walaupun pada awalnya nama Ku Li hanya sebagai pengarah, kini dinaikkan sebagai calon. Ia tanda UMNO BN desperate sesangat kini.

Bagi PAS, go ahead. Kita perjuangkan kebenaran dan keadilan... bukan kebangsaan dan kezaliman.

Politikus Murahan Dan Ingusan Penyebab Kegagalan Ke Putrajaya

Posted: 01 Oct 2010 03:30 AM PDT

Saingan 'berpuak' dalam PKR makin jelas, pro-Zaid bidas kumpulan Azmin

KUALA LUMPUR, 1 Okt — Persaingan berpuak dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mula memuncak dengan dua pemimpin pusat parti itu menggesa agar Datuk Zaid Ibrahim, yang menawarkan diri bertanding jawatan timbalan presiden, tidak dipinggirkan menerusi serangan bertubi-tubi.

Naib Presiden Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) N. Gobalakrishnan yang mempertahankan Zaid daripada serangan kumpulan yang memihak Azmin Ali mempersoalkan kenyataan terbuka Naib Presiden Dr Lee Boon Chye.

Azmin yang mendahului senarai pencalonan juga merupakan naib presiden.

"Sungguh aneh pemimpin-pemimpin ini bercakap kepada media mengenai isu ini. Mengapa sekarang Lee mengkritik Zaid (hanya) kerana memberi temu bual kepada media?" kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Ahli Parlimen Padang Serai ini mendakwa "adalah jelas Zaid secara terus-menerus dipinggirkan dalam parti."

Cabang Padang Serai akan mengadakan mesyuarat agung tahunan dan pemilihan Ahad ini selepas ditangguhkan dua minggu lalu.

"Pelbagai insiden ketika pemilihan cabang PKR di seluruh negara sejak dua minggu lalu menunjukkan bahawa sentimen anti-Zaid sedang diatur sedemikian rupa dalam parti oleh mereka yang berjawatan tinggi dalam parti," kata beliau lagi.

Gobalakrishnan berkata, persoalan sekarang ialah siapa yang bertanggungjawab terhadap perkembangan tersebut sekarang ketika PKR mengadakan pemilihan secara langsung.

"Menilai daripada kenyaatan-kenyataan yang datang daripada pemimpin kita sendiri termasuk Ketua Umum yang memberi amaran kewujudan kuda-kuda Trojan dalam parti, saya hanya boleh merumuskan bahawa orang-orang ini sememangnya dalam satu kumpulan — kumpulan yang mahukan Azmin menewaskan Zaid dalam saingan jawatan timbalan presiden," katanya lagi.

Gobalakrishnan seterusnya berkata adalah "saya salah dalam membuat andaian ini?"

"Berdasarkan apa yang berlaku dalam parti, saya rasa tidak. Saya sudah mula mempercayai cerita-cerita mengenai Azmin adalah betul sekarang," katanya yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan naib presiden.

Katanya, adalah sesuatu yang menyedihkan buat parti kerana terpaksa melupakan tujuan dan prinsip hanya kerana mahu memastikan Azmin menang mudah dalam pemilihan bagi jawatan tertinggi parti.

"Saya berharap ia tidak berlaku. Biarkan PKR kekal bebas dan terbuka menghadapi pemilihan," katanya lagi.

Kata Gobalakrishnan, ini bukan kali pertama kenyataan-kenyataan sentimen anti-Zaid muncul di kalangan pemimpin parti.

"Malah pengarah komunikasi parti seperti Nik Nazmi Nik Ahmad memilih untuk menyertai serangan ke atas Zaid Ibrahim, yang memperlekehkan jawatannya yang sepatutnya kekal berkecuali.

"Dan, kita ada timbalan presiden Dr Syed Husin Ali yang menyertai senarai (yang mengecam Zaid). Kemudian Naib Presiden R. Sivarasa, Ketua Wanita Zuraida Kamaruddin dan Pengarah Strategi Tian Chua yang meneruskan serangan," katanya lagi.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan bertajuk "lebih banyak pemimpin pembaharuan diperlukan, Jeffrey menggesa kesemua pemimpin agar menghentikan serangan bertubi-tubi terhadap persaing jawatan timbalan presiden Zaid.

"Saya ada membaca kenyataan naib presiden Dr Lee Boon Chye semalam dan saya merasakan kesesuaian masa kenyataan itu sungguh malang sekali khususnya dengan mesyuarat cabang sedang berlangsung hujung minggu ini," kata beliau.

"Saya juga ada membaca pelbagai wawancara yang diberikan oleh Zaid kepada media.

"Saya merasakan ia membawa aspirasi beliau kepada parti. Beliau tidak mempersalahkan sesiapa (dalam menghadapi saingan) sebagaimana dikatakan oleh Lee," kata pemimpin dari Sabah ini.

Justeru tegas Jeffrey, kesemua pemimpin parti perlu mengalu-alukan saranan-saranan konkrit oleh mana-mana pihak untuk memperbaiki perjuangan parti.

"Sesetengah saranan Zaid boleh membantu kita untuk mencapai matlamat buat rakyat.

"Parti memerlukan lebih banyak pemimpin yang mahu membawa pembaharuan. Ia juga memerlukan pemimpin berfikiran terbuka, yang boleh bergerak ke depan," katanya lagi.

Semalam, Zaid menjadi tumpuan kenyataan dua pemimpin kanannya ekoran beberapa tulisan dan pandangan terbuka beliau yang dilihat sebagai menjejaskan imej parti itu termasuk pemilihan secara langsung "bersejarah" yang sedang berlangsung.

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata parti itu yang mengadakan mesyuarat Biro Politik malam tadi tidak memutuskan sebarang tindakan disiplin ke atas Zaid berhubung kenyataan beliau baru-baru ini mengenai pemilihan yang sedang berlangsung.

"Biro Politik menegaskan juga bahawa tiada arahan, aduan mahupun apa–apa keputusan yang telah diambil untuk apa–apa tindakan displin terhadap Zaid Ibrahim dan menyangkal fitnah dan maklumat palsu berkenaan perkara ini," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini.

Dalam kenyataannya bertajuk "Membalas kritikan terbaru Zaid Ibrahim terhadap PKR dan pemilihan parti" berkata, parti itu kebingungan dengan keluhan anggota Majlis Pimpinan Pusat itu yang tidak habis-habis kepada pihak akhbar tentang parti dan pemilihan parti yang sedang berlangsung, termasuklah wawancara eksklusif dengan Mingguan Malaysia yang pernah disebut beliau sebagai akhbar "Gestapo".

"Apakah beliau lupa bahawa dirinya merupakan subjek kempen kotor Utusan, selama pilihan raya kecil Hulu Selangor dulu?

"Apakah beliau lupa serangan bertubi–tubi Utusan terhadap Pakatan Rakyat yang menyebabkan Pakatan tidak mengendahkan akhbar tersebut?" kata beliau yang dicalonkan untuk mempertahan kerusinya.

Lee menambah, Zaid turut membuat sindiran kasar bahawa sesetengah pemimpin termasuk Tian Chua dan Gobalakrishnan telah dihalang daripada bertanding jawatan cabang PKR sedangkan mereka mereka bebas bertanding dan berkempen sesuka mereka.

Sementara 34 cabang akan mengadakan mesyuarat esok dan lusa dalam pusingan terakhir manakala pusat pula mulai hujung bulan ini. -TMI


Azmin yakin kelebihan rebut kerusi nombor 2

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali, yakin mempunyai kelebihan berbanding pencabarnya dalam saingan merebut kerusi nombor dua parti itu.

Sebagai orang lama dalam parti yang memegang jawatan naib presiden selama 10 tahun, Mohamed Azmin menyifatkan beliau antara barisan pemimpin muda yang bukan saja setia pada parti, sebaliknya sudah diuji dan teruji dengan pelbagai cabaran yang menggugat kekuatan parti itu.

Malah, katanya, kesediaan Timbalan Presiden, Dr Syed Husin Ali untuk tidak mempertahankan jawatan pada pemilihan bulan depan juga antara faktor utama beliau menawarkan diri bertanding jawatan itu.

Bagi jawatan timbalan presiden, beberapa pemimpin termasuk Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim; Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Datuk Zaid Ibrahim; dan Pengerusi PKR Perak, Mustaffa Kamil Ayub antara yang layak bertanding selepas menerima pencalonan pada Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) yang berlangsung sejak 17 September lalu.

Mohamed Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, tidak timbul sama ada beliau layak atau tidak menduduki kerusi panas itu kerana sejarah perjuangan beliau dalam gerakan reformasi 1998 dilihat dan disaksikan oleh rakyat Malaysia, sekali gus menjadi kriteria penting bagi meneruskan kepemimpinan dalam PKR.

Saya tidak perlu melafazkan taat setia saya kepada presiden secara tergesa-gesa kerana kesetiaan saya kepada presiden, (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) dan perjuangan adalah sesuatu yang tidak boleh dinafikan oleh mana-mana individu yang bersikap rasional.

Saya berkhidmat dengan Anwar selama lebih 26 tahun termasuk 13 tahun dalam kerajaan dan saya adalah pegawai yang paling lama memberikan khidmat kepada beliau, tujuh tahun ketika beliau berada dalam penjara saya terus setia pada perjuangan dan menjaga kebajikan keluarganya.

Saya tidak pernah berganjak daripada prinsip perjuangan ketika PKR berada pada tahap paling lemah terutama ketika pasca 2004 walaupun pemimpin lain bertindak keluar parti. Ini adalah sejarah yang tidak boleh dipadamkan, saya diuji, teruji tetapi tetap istiqamah dalam perjuangan, katanya kepada Berita Harian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa itu berkata, walaupun yakin dengan `kad laporan gerak kerjanya selama 12 tahun memberi kelebihan dalam perebutan jawatan timbalan presiden, pencalonan yang diterima ketika ini tidak meletakkan beliau dalam zon selesa. -Berita Harian



Khalid Tak Percaya Azmin Ingin Jatuhkannya

SHAH ALAM, 1 Okt (Bernama) -- Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau tidak percaya bahawa Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali mahu menjatuhkannya seperti yang didakwa oleh beberapa pihak.

Ketika diminta mengulas pendedahan seorang bekas pemimpin PKR semalam mengenai perkara itu, beliau berkata : "Kita tidak boleh terima berita itu terutama tentang kesahihannya. Saya tidak percaya yang Azmin lakukan perkara itu."

Abdul Khalid berkata walaupun wujud banyak perbezaan pendapat dalam PKR, parti itu mencari jalan penyelesaian terbaik dengan cara yang tertib dan teratur melalui perbincangan oleh Biro Politik PKR.

Ketika diminta mengulas mengenai persediaan bagi pemilihan PKR Cabang Kuala Selangor yang diketuainya pada Ahad ini selepas berlaku kekecohan pada pemilihan di beberapa cabang parti tersebut baru-baru ini, Abdul Khalid berkata beliau telah meminta pasukan sukarelawan dari cabang itu untuk membuat beberapa persediaan supaya tidak berlaku perkara-perkara yang tidak diingini.-- BERNAMA


Ulasan GB

Alahai Azmin, sampaikan hal "menjaga kebajikan keluarga Anwar sewaktu Anwar dipenjara pun mahu diungkitkan bagi meraih sekongan dan simpati.

Bukankah kerja-kerja kebajikan sedemikian sebaik-baiknya dirahsiakan supaya ianya menjadi pahala sedekah daripada anda menceritakan kepada satu dunia konon peranan anda di dalam reformasi tak boleh dinafikan?

Ia sepatutnya diserahkan kepada ahli untuk menilai bukan kepada anda untuk mendabik dada mengakui andalah hero yang belum menapak keluar daripada parti seperti Ezam. Itu gaya politikus murahan dan masih ingusan.

Dan kini anda bercakap menggunakan saluran apa? Orang sekeliling anda menghentam Zaid kerana kononnya dia berbicara dengan Utusan, kini anda pula gunakan Berita Harian. It's a pot calling the kettle black!

Sekarang terdedah petualang sebenar di dalm PKR. Petualang yang menyebabkan mengalahkan Zaid di dalam pilihanraya kecil Hulu Selangor - meminjam kata-kata Siddiq Ghouse - kumpulan "bebiri yang pekak dan bisu" yang sedang berkira-kira nak menjadi "ketua umum kepada Ketua JKKK" apabila serigala itu sudah memperoleh kuasa dalam PKR dan kerajaan Pakatan Rakyat tahun depan.

Jika GB Ketua PKR, GB dah tubuhkan Jawatankuasa Khas Siasatan Dakwaan Ng Lam Yong, salah seorang veteran parti terhadap konspirasi Azmin untuk menumbangkan MB Selangor.

Dan jika terbukti benar Azmin perlu dilucutkan pencalonannya sebagai Timbalan Presiden parti.

Sekalipun MB Selangor tidak percaya Azmin berhasrat untuk menumbangkan beliau sebab semua orang tahu sifat Tan Sri Khalid yang berprofail rendah terutama di dalam soal kepimpinan parti
. Malah beliau sendiri sanggup "berkorban" menyerahkan jawatan Ketua PKR Negeri kepada Azmin dan itupun sebenarnya sebagaian dari perencanaan Azmin sendiri sejak dari program retreat lagi yang menyerang MB Selangor secara terbuka.

Tapi nampaknya pimpinan tertinggi parti samada terlalu sayangkan Azmin atau takut dengan "ugutan"nya. No hal. Sebijik macam dalam PAS jugak dulu. Ditekannya Khalid Samad dibiarkannya Hassan Ali.

Itu sebab perjuangan kita nak bebaskan sistem kehakiman negara dari ketidak-adilan tidak berjaya lagi. Sebab di dalam parti-parti sendiri masih penuh kepalsuan dan ketidak-adilan. Dan dengan sebabnya juga Allah menangguhkan kemenangan kita untuk menawan Putrajaya. Menangis tak berlagu rakyat yang meletakkan harapan besar kepada PR selama ini.

Dengan izin Allah,beberapa blogger yang tegak berdiri dengan kebenaran dan keadilan, akan "pancung" mereka yang menyebabkan kegagalan PR selepas ini tak kira besar mana pun pangkat kamu di dunia ini.

Muhyiddin Terperangkap Di Tahap Penafian Mengenai Perlantikan Ku Li

Posted: 01 Oct 2010 02:30 AM PDT

Pelantikan Ku Li tidak jejas peluang BN: Muhyiddin

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pelantikan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah tidak akan menjejaskan peluang Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas walaupun Ku Li terbabit dalam kes royalti minyak.

Katanya, ia adalah demi kepentingan rakyat Kelantan.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sosial Negara di sini, sebentar tadi. -BH



Ulasan GB

Jika sebelum ini pemimpin UMNO sangat optimis di dalam kenyataan-kenyataannya mengenai perlantikan YBM Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengarah Pilihanraya UMNO BN di PRK Galas, tiba-tiba nada itu bertukar meletakkan UMNO di kepompong sindrom penafian atau "state of denial" dengan menyatakan perlantikan Ku Li tidak jejaskan peluang BN.

Sebelum ini GB menyatakan bahawa perlantikan Ku Li sebagai Pengarah Pilihanraya UMNO BN bagi Galas dilihat sebagai usaha UMNO untuk "membalas dendam" kepada Ahli Parlimen Gua Musang tersebut ekoran kelantangan beliau menyebelahi kerajaan negeri Kelantan di dalam tuntutan royalti.

Banyak pihak menyifatkan tindakan tersebut adalah tindakan desperate UMNO sehingga sanggup mengenepi Muhyiddin yang biasanya akan mengetuai jentera pilihanraya-pilihanraya kecil di pantai timur.

Walau apa pun, GB sudah mengulas sebelum ini bahawa dengan satu isu sahaja, jika benar-benar dimenafaatkan oleh PAS, UMNO bakal terkangkang di Galas.

Tiada ulasan: