Sabtu, 2 Oktober 2010

Justice For All

Justice For All


Alhamdulillah..Anak Saya Yang Pertama Telah Selamat Dilahirkan

Posted: 02 Oct 2010 05:26 AM PDT

Alhamdulillah syukur pada illahi. Anak sulung saya, Imran 'Aathif Bin Hisyamuddin sudah selamat dilahirkan. Betapa besarnya kekuasaan ALLAH apabila melihat anak ini menangis bila dilahirkan ke dunia.

Syukur pada ALLAH, kerana permudahkan isteri saya bersalin pada hari ini. Terima kasih pada semua (pembaca blog, rakan-rakan, keluarga) yang tak jemu-jemu utuskan doa buat kami. InsyaALLAH saya akan didik anak ini, untuk teruskan mata rantai perjuangan ini.

Apapun blog ini masih tak dapat saya update sehingga esok. Kerana kekangan masa dan juga ketiadaan internet kat hospital.

Dan inilah gambar permata kami yang pertama. Alhamdulillah syukur pada ALLAH..

Maaf..Blog Ini Tak Update 1 HAri. Doakan Anak Saya Yang Pertama Selamat Lahir Ke Dunia, InsyaALLAH

Posted: 01 Oct 2010 11:00 PM PDT

Assalamualaikum...

Buat semua para pembaca blog ini, saya nak maklumkan yang isteri saya bakal melahirkan anak pertama saya pada petang ini (mungkin jam 3 petang). Saya minta maaf kerana tak dapat mengemaskini blog ini seperti biasa. Pihak Justice4all menyusun sepuluh jari andai ada silap selama ini.

Saya juga berharap agar para pembaca dan rakan-rakan dapat mendoakan kami sekeluarga agar anak pertama kami selamat dilahirkan ke dunia ini. InsyaALLAH, mudah-mudahan, segala urusan berkaitan dengannya akan dipermudahkan oleh ALLAH.

Semoga blog ini terus segar untuk terus menentang kebejatan UMNO dan pada masa yang sama mengembalikan negara ini kepada islam yang sebenar. Semoga berjumpa lagi. wassalam

Tarikh Penamaan Calon PRK Galas Dijangka Selepas Deevapali

Posted: 01 Oct 2010 10:00 PM PDT

Tarikh penamaan dijangka selepas Deepavali

KUALA LUMPUR: Tarikh penamaan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Kelantan dijangka diadakan selepas Deepavali, manakala hari mengundi pada 14 November iaitu tiga hari sebelum Aidiladha.

Sumber berkata, tempoh berkenaan dianggap paling sesuai diadakan pilihan raya kerana ia memberi masa cukup kepada parti dan calon membuat persiapan dan bertanding bagi merebut kerusi DUN berkenaan.

"Waktu ini juga memberi kelebihan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengadakan pilihan raya yang selamat dan aman bagi pengundi keluar mengundi.

"Ia juga akan memberi kelebihan kepada petugas SPR termasuk polis dan pasukan keselamatan mengawal perjalanan pilihan raya," katanya, semalam.

Kelmarin, SPR menyatakan pihaknya akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan mengenai pilihan raya kecil DUN Galas pada 6 Oktober ini di Ibu Pejabat SPR di Putrajaya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, ketika dihubungi, berkata pihaknya perlu menilai pelbagai aspek dan faktor bagi memilih hari mengadakan pilihan raya kecil itu.

Antara faktor diambil, termasuk senario semasa politik negara, sidang Parlimen, cuti umum atau sekolah dan peristiwa penting yang berlaku dalam negara.

Antara cuti umum diambil kira SPR ialah Deepavali pada 5 November, Aidiladha (17 November) manakala peristiwa besar ialah Perhimpunan Agung UMNO (19 hingga 23 Oktober) dan pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (31 Oktober hingga 21 November).

Pemilihan PKR : Mustafa Kamil Ayub Sah Nak Bertanding Jawatan No. 2

Posted: 01 Oct 2010 09:10 PM PDT

Pertandingan tiga penjuru

KUALA LUMPUR-Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mustaffa Kamil Ayub mengumumkan kesediaannya bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden PKR walaupun popularitinya kurang berbanding pihak lawan.

Beliau yang juga Pengerusi PKR Perak berkata, pihaknya menghormati kekuatan yang ada pada dua pesaingnya iaitu Penyelaras PKR, Datuk Zaid Ibrahim dan Naib Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.

"Setiap calon yang bertanding mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing. Justeru, saya menghormati kekuatan Zaid dan Azmin kerana ini adalah proses untuk memilih pemimpin yang terbaik.

"Pendekatan yang saya ambil kini ialah bekerja dalam kumpulan dan hasrat saya menawarkan diri ini adalah untuk memberi pilihan kepada anggota parti bagi menilai saya," katanya dalam sidang media di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, semalam.

Menurutnya, walaupun sebelum ini beliau kalah dalam pemilihan ketua cabang di Pasir Salak, namun beliau yakin akan memperoleh sokongan padu pada hari pengundian kerana cabangnya itu tetap mencalonkannya bertanding jawatan timbalan presiden.

"Saya menerima keputusan yang dibuat oleh perwakilan itu dengan hati terbuka dan melihat banyak hikmah terkandung di sebalik kekalahan itu. Malah, saya rasa hak yang telah diberi tidak perlu dipertikaikan.

"Bagaimanapun, apa yang boleh saya katakan setelah menyemak sokongan akar umbi di setiap negeri, peluang dan sokongan yang saya peroleh setakat ini tidak kurang hebat memihak kepada saya," katanya.

Beliau berkata, setiap calon yang bertanding mewakili semua, bukan mewakili individu tertentu atau anggota tertinggi parti.

"Setiap yang bertanding tidak mewakili sesiapa baik Anwar Ibrahim mahupun Wan Azizah atau mana-mana pimpinan tertinggi. Setiap calon mewakili semua anggota parti dan kita berjuang dalam satu parti," katanya.

Ketika ditanya mengenai keberkesanan politik nilai yang dibawa parti itu, beliau berkata: "Kita yakin, dengan mengangkat nilai moderat, sederhana, kasih sayang, perpaduan parti dalam pemilihan kali ini mampu merobohkan politik lama yang dibawa oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN)."

Tiada ulasan: