Sabtu, 2 Oktober 2010

D'Perbatasan

D'Perbatasan


Kenapa Islam dan Demokrasi Ditakdirkan Bersatu

Posted: 02 Oct 2010 06:21 AM PDT

Tidak ada masalah tentang kesesuaian, tidak juga menjadi masalah bagi sesebuah negara yang mempunyai majoriti penduduk Islam ditadbir mengikut demokrasi berperlembagaan. Dalam kata lain, persepsi bahawa Islam menentang demokrasi dan prinsip-prinsipnya adalah satu anggapan yang salah.

Islam menuntut pengikutnya mendokong keadilan, kesamarataan dan memelihara maruah manusia. Jika teror dan keganasan disebarkan oleh orang-orang Islam atas nama Islam maka itu merupakan masalah individu itu sendiri dan tumpuan hendaklah diberi kepada punca dari perbuatan itu, bukannya Islam.

Dengan menyalahkan Islam tidak akan menyelesaikan masalah selagi punca disebalik kejadian itu tidak ditanggani dan diselesaikan.

Tetapi mereka yang tidak memahaminya berkata Islam bukan sahaja membiarkan kejadian ini berlaku tetapi menggalakkan pengikut-pengikutnya melakukan keganasan ini atas nama jihad.

Ini adalah karut.

Tetapi mereka memetik ayat dan surah dari Al Quran untuk menyokong pandangan mereka. Benar, hanya dengan menafsir secara melampau. Sebaliknya, kebenarannya ialah Islam melarang tindakan keganasan dan teror bagi memelihara dan menyelamatkan tubuh badan dan harta benda dengan bersikap sederhana.

"Maqasid al-Shari'ah

Ini boleh disimpulkan dalam doktrin "Maqasid al-Shari'ah", alat yang penting dan signifikan untuk kemajuan masyarakat Islam, malangnya pendekatan ini sering diabaikan.

Sebagai contoh, doktrin jihad mengajak orang-orang Islam mematuhi syariat Islam dengan berbuat kebaikan dan menolak kebathilan, mendokong keadilan, menggalak kebajikan dan membantu mereka yang lemah dan terpinggir. Ia bukan seruan untuk berperang, apatah lagi untuk menghalalkan pembunuhan dan mencetuskan huru hara.

Lebih dari itu, jihad mengajak orang-orang Islam mengekalkan harmoni dan keamanan serta memelihara kesucian nyawa dan harta benda. Jalan yang murni adalah senada dengan kehendak demokrasi.

Tetapi bagaimana dengan pemikiran yang jumud dan rigid dalam berfikir? Jawapannya terletak kepada kesanggupan kita untuk menolak ideologi yang rigid dan mempengaruhi mereka yang memahami agama dengan jumud dan terpisah.

Kebenarannya ialah Islam itu bersesuaian dengan kehendak masa dengan sifatnya yang inklusif. Berdasarkan pemerhatian, kita tahu bagaimana Islam berkembang di Asia Tenggara. Begitu juga Turki, dan walaupun kita tidak kelihatan berlaku di Timur Tengah namun kita harus melihat dari sudut geo-politik di sana.

Kemodenan Islam di Asia Tenggara

Kemodenan Islam di Asia Tenggara mencerminkan penerimaan prinsip kebebasan dan demokrasi dalam menegakkan sesebuah negara. Dari aspek ini, transisi agama kepada demokrasi menolak kefahaman bahawa Islam dan demokrasi adalah tidak serasi.

Adapun, tindakan menyamakan tindakan keganasan dengan Islam, pada realitinya tidak berasas sama sekali. Orang-orang Islam memerintah Sepanyol selama beberapa abad seperti yang tercatat dalam buku-buku sejarah adalah jelas menunjukkan terdapatnya toleransi dan semangat setiakawan di kalangan orang-orang Islam, Kristian dan Yahudi.

Di Asia Tenggara, para pedagang dan ahli sufi menyebarkan agama melalui cara yang lembut dan menarik dan pada sama yang sama, mengekalkan adat resam dan budaya sesuatu masyarakat itu.

Ini menjelaskan kenapa masyarakat berbilang agama dan berbilang budaya dapat hidup aman damai di kebanyakan negara Islam. Hari ini, golongan yang menggalak keganasan dan teror atas nama Islam tidak mendapat tempat dalam masyarakat.

Sebagai contoh, di Indonesia, dalam dua pilihan raya umum yang lalu, di mana rakyat menolak golongan radikal yang bergerak atas tiket jihad. Sekali gus, ia menolak anggapan bahawa demokrasi di negara yang majoriti penduduknya beragama Islam boleh diperdayakan oleh golongan radikal dan pelampau.

Turki negara contoh

Turki merupakan sebuah negara Islam yang boleh dicontohi jika para pemimpin beriltizam melaksanakan syariat Islam: modernis, moderate, progresif dan bertoleransi dengan keadilan dan peraturan undang-undang sebagai moto untuk mentadbir urus kerajaan.

Referandum rakyat Turki baru-baru ini menuntut perubahan fundamental terhadap perlembagaan untuk memperkukuhkan demokrasi merupakan satu contoh yang baik.

Dalam hal ini, para pemimpin Turki mempunyai sikap yang berbeza berbanding golongan autokrat dan pemimpin kuku besi di setengah negara Islam yang terus menerus menafikan hak demokrasi rakyatnya dengan tindakan-tindakan mereka yang melampau.

Persoalan timbul sama ada benar-benar terdapat kemajuan dalam reformasi politik di dunia Islam selain dari Turki dan Indonesia? Adakah benar masih wujud pemerintahan sistem satu parti atau seorang individu meskipun terdapat tanda-tanda ke arah reformasi?

Walaupun beberapa negara kelihatan menuju ke arah demokrasi sebenar, retorik seringkali mengatasi realiti. Maka negara-negara Islam perlu lebih komited untuk mengamal demokrasi berperlembagaan dan terjemahkannya kepada realiti hidup.

Pemisahan kuasa

Ini boleh dilaksanakan dengan menganjurkan pilihan raya bebas dan adil, memastikan terdapatnya pemisahan kuasa dan menjamin kebebasan individu termasuk penyertaan penuh wanita dalam bidang politik.

Pendakwaan yang bersifat dendam, tahanan melulu, dan penggunaan aparatus kerajaan untuk menutup mulut para penentang hendaklah ditamatkan. Sehingga dan kecuali reformasi-reformasi ini dapat dilaksanakan, titit pertemuan di antara demokrasi dan Islam hanya tinggal bayang-bayang.

Menyentuh proses pendemokrasian itu sendiri, wujud beberapa persoalan yang membimbangkan tentang niat sebenar beberapa kuasa besar Barat. Kita tidak boleh memejam mata terhadap pelanggaran hak asasi manusia secara terang-terangan di beberapa buah negara dan pada masa yang sama negara-negara itu mengutuk terhadap negara-negara lain yang mencabuli hak asasi manusia.

Kita tidak boleh kata kepada negara tertentu, "beri kami sokongan terdapat penglibatan kami dalam satu peperangan" dan pada yang sama, berkata "kami tidak akan campur tangan dalam hal ehwal dalam negara anda".

"Anda membantu kami, kami membantu anda" mungkin merupakan satu sikap yang baik dalam politik tetapi ianya merupakan satu bentuk pengkhianatan ketika kita menjunjung kebebasan dan demokrasi.

Bagaimanapun, malangnya ini adalah hasil dari pendekatan hipokritikal kepada proses pendemokrasian yang kita ambil, di mana kita masih dapat lihat beberapa masyarakat Islam masih berada di bawah sistem demokrasi yang memalukan. Inilah bentuk kerajaan yang kononnya mengamalkan demokrasi tetapi sebaliknya mencabul keadilan, melanggar hak asasi manusia dan rasuah.

Merampuk khazanah negara

"Demokrasi-demokrasi" ini memperalatkan semua jenis jentera kerajaan dan menyalah guna pendapatan orang awam untuk kepentingan peribadi. Mereka merampuk khazanah negara, memberi tanah komersial yang luas dan sangat berharga kepada keluarga dan kroni serta memperkosa jutaan hektar hujan dara dan menukarnya menjadi tanah terbiar.

Jadi, tekanan kepada demokrasi dan kebebasan bukannya datang dari Islam walaupun kebanyakan mereka adalah orang-orang Islam. Indonesia dan Turki telah mempamer demokrasi, yang bukan hanya boleh diterima tetapi juga penting buat Islam.

Maka musuh Islam tidak mengamalkan demokrasi tetapi sebaliknya mengamal ketidakadilan, rasuah, tamak dan kejahatan. Malahan demokrasi dan kebebasan adalah sebahagian dari kebenaran hakiki yang membezakan manusia dengan makhluk Tuhan yang lain.

Isu sebenar ialah bukan sama ada demokrasi dan Islam itu ditakdirkan bersatu tetapi sama ada mereka yang memegang kuasa di kebanyakan negara Islam mendokong kebebasan dan demokrasi, menghormati undang-undang dan memenuhi tanggungjawab mereka terhadap rakyat.

Jika ini tidak terjadi, maka adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan ianya berlaku. Ini menjadi satu matlamat yang harus kita perjuangkan.


Oleh Anwar Ibrahim


*Anwar Ibrahim ialah Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia.

Tulisan ini merupakan terjemahan dari teks asal ucaptama beliau bertajuk "Why Islam and democracy are destined to coincide" di Brussels, Belgium pada 28 September lalu.

Najib Dah Haru Biru

Posted: 02 Oct 2010 06:13 AM PDT

Barisan Nasional secara jelas sudah menyedari mengenai kemungkinan mengalami kekalahan yang lebih besar dari pilihanraya umum ke 12 dalam Pilihanraya Umum akan datang. Bn khususnya Najib mula bercakap bagi pihak mereka yang punya kepentingan yang tidak mungkin menerima hakikat kemungkinan ini cukup besar terjadi. Ini ada logiknya kerana jika difikir mana mungkin adik Najib mampu tinggalkan kerusi empuk dalam CIMB yang menghasilkan pendapatan berjuta setahun begitu sahaja.

Dalam menterjemahkan kegusaran ini semalam Najib dalam ucapannya pada majlis Malam Sejuta Harapan Ke-6 sempena ulangtahun Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) ke-20, di Kuala Lumpur malam semalam berkata bahawa kehilangan kuasa memerintah oleh kerajaan BN boleh mendatangkan kesan buruk terhadap pembangunan dan kebajikan rakyat. Najib membayangkan keadaan huru hara dan seumpamanya.

Kenyataan Najib ini tidak boleh diambil mudah.

Sememangnya banyak persediaan telah dilakukan oleh Bn untuk menghadapi kemungkinan berdepan dengan kekalahan yang lebih besar dari PRU ke 12 yang lalu.

Perkasa contohnya bukan sebuah organisasi biasa ia dicipta secara terancang dan merupakan pemegang 'francais' bagi umno untuk menjalankan operasi menaikkan suhu perkauman. Umno tidak melakukan operasi ini sendiri kerana selepas PRU 12, mereka sedar jika Umno mainkan sendiri membakar api kaum maka Umno akan lebih ditolak, tetapi mereka sudah tidak punya banyak pilihan. Api perkauman harus dibakar untuk mengepung majoriti tapak sokongan Melayu. Malah Perkasa juga merupakan agen yang bakal menimbulkan huru - hara ketika keadaan memerlukan mereka melakukan perkara tersebut berdasarkan keputusan PRU akan datang yang amat genting bagi regim pemerintah.

Walaupun Umno cuba kelihatan berbeza dengan Perkasa tetapi bagi orang yang celik politik pasti mengetahui hakikat sebenarnya. Bayangkan mana mungkin kumpulan tanpa lindungan khas boleh mengepung majlis orang lain dengan melakukan provokasi bakar dan seumpamanya malah selepas itu mengugut tetapi tanpa tindakan polis regim pemerintah. Mereka mendapat perlindungan istimewa demi melaksanakan misi penting bagi pihak regim.

Sehubungan dengan itu rakyat khususnya rangkaian anak muda progresif seperti dalam Pakatan Rakyat harus dipersiapkan dengan kemungkinan tersebut.

sejarah membuktikan setiap kali tapak sokongan rejim terancam mereka akan kembali kepada garis perkauman tebal dan mencipta huru - hara. Ingat ketika regim terlepas menguasai Pilihanraya Kerajaan Tempatan mereka cipta huru hara dan haramkan pilihanraya tersebut.



Oleh Badrul Hisham Shaharin

Polis Tak Berubah Di bawah KPN Baru. Terus Tekan Pakatan Rakyat

Posted: 02 Oct 2010 06:09 AM PDT

Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching hari ini memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang berhubung ceramahnya di ruang solat surau Al-Huda di Kajang Sentral pada 22 Ogos lalu.

Teo hadir bersama Pengerusi DAP Selangor, Ean Yong Hian Wah dan ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo kira-kira jam 10.45 pagi dan berada di situ sehingga 12.30 tengah hari.

"Saya percaya yang saya tidak bersalah dan meminta polis siasat perkara ini dan menyelesaikannya dengan segera," katanya kepada pemberita.

Teo berkata, ketika keterangan diambil, pihak polis memaklumkan kepadanya bahawa tujuan dia dipanggil adalah bagi mengetahui perkara sebenar dan bukan untuk didakwa.

Teo dikatakan memasuki ruang solat surau tersebut dalam satu majlis penyampaian bantuan kepada anak kariah dengan tidak bertudung dan hanya memakai kebaya.

Gambar wakil rakyat wanita itu sedang berucap di ruang solat yang disiarkan oleh sebuah akhbar berbahasa Melayu arus perdana dikatakan telah menimbulkan kemarahan umat Islam termasuk Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah.

Berikutan itu, pada 27 Ogos Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah menghantar surat amaran kepada Teo. - BERNAMA

Anwar Bersama Friends Of Pakatan Rakyat Di London

Posted: 02 Oct 2010 06:01 AM PDT

Friends of Pakatan Rakyat, United Kingdom akan menyiarkan secara langsung perbincangan 'In conversation with Anwar Ibrahim, Raja Petra and Tian Chua' hari ini.

Perbincangan tiga penjuru ini akan diadakan di Cruciform Lecture Theatre 1, University College London (UCL), London dari pukul 1 petang ke 4.30 petang, dan akan di siarkan 'live' di Ustream.com pada pukul 9.30 malam masa Malaysia.

Siaran ini dapat ditonton melalui pautan Friends Of Pakatan Rakyat _1 atau blog FoPR London

Muhyiddin Lantik Ku Li Mahu Sokongan Dalam Pemilihan Umno Tahun Depan

Posted: 02 Oct 2010 05:59 AM PDT

Tindakan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melantik Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengarah Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Galas dilihat sebagai usaha orang nombor 2 Umno itu menarik sokongan bekas Menteri Kewangan itu pada pemilihan parti tahun depan.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata Muhyiddin berkeyakinan tinggi bahawa Umno-BN boleh memenangi kerusi tersebut disebabkan jumlah majoriti tipis yang dimenangi PAS.

"Apa yang menariknya di sini, selepas beliau berjaya menarik sokongan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta Perkasa, kini beliau cuba menarik sokongan pemimpin kanan di dalam Umno seperti Ku Li untuk menentang Najib pada pemilihan Umno tahun depan.

"Walaupun begitu, Ku Li yang lebih arif dan berpengalaman dalam sepak terajang di dalam Umno mengambil pendekatan untuk berdiam diri dengan tawaran Muhyiddin itu.

"Apa yang pasti, Ku Li yang lebih berpengalaman sudah tentulah mempunyai pandangan politik yang berbeza. Apa pun, kita tunggu dan lihat permainan mereka yang pastinya lebih menarik selepas ini," kata Shamsul ketika dihubungi Suara Keadilan.

Shamsul juga tidak menyangkal Umno juga akan melaksanakan sistem satu anggota satu undi yang tidak akan membabitkan perwakilan seperti mana yang dilaksanakan pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) kini.

"Sebab itulah saya yakin Muhyiddin akan benar-benar menentang Najib dan mempunyai keyakinan tinggi beliau mampu mengalahkan Najib," komen beliau.

Dr Mahathir dalam kenyataannya minggu lalu menyalahkan Najib sebagai punca yang menyebabkan visi Wawasan 2020 ilham beliau tidak akan tercapai.

Sementara itu, dalam satu majlis Najib pula menyalahkan Dr Mahathir dan Ketua Oposisi, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai punca Umno semakin lemah.

Cikgu Bad dahului pencalonan ketua AMK

Posted: 02 Oct 2010 05:53 AM PDT

Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Badrul Hisham Shaharin mendahului pencalonan untuk pertandingan jawatan ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) pusat.

Sehingga ini, beliau mendapat 35 pencalonan, manakala penyandang jawatan tersebut, Shamsul Iskandar Md Akin memperolehi 29 pencalonan.

Shamsul telahpun mengumumkan akan bertanding jawatan naib presiden PKR.

Sehingga ini, beliau mendapat pencalonan kedua tertinggi (43) bagi jawatan naib presiden, di belakang ahli parlimen Kuantan, Fuziah Salleh (108).

Seorang lagi yang menawarkan diri bertanding jawatan tersebut - Rafizi Ramli yang juga bekas exco AMK - mendapat lapan undi.

Sumber-sumber parti memberitahu Malaysiakini, kedudukan tersebut berdasarkan keputusan mesyuarat agung 72 cabang AMK yang diserahkan secara kepada parti.

Sementara itu, empat orang calon menawarkan bertanding bagi jawatan timbalan ketua AMK pusat.

Setakat ini, ketua AMK Selangor Khairul Annuar Ahmad Zainuddin mendahului dengan 43 pencalonan.

Ini diikuti oleh ADUN Teja, Chang Lih Kang yang mendapat 20 pencalonan; naib ketua AMK pusat, Amiruddin Shari (8); dan ADUN Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad (1).

Kerana Gila Kuasa Melayu Tipu Melayu

Posted: 02 Oct 2010 05:30 AM PDT



Kasihan warga miskin niii...tapi tak pa,Umno akan bagi balik
wang tersebutlebih daripada yang diberi oleh DAP,sebagai
bayaran menjadi pelakon drama "Umno Munafik"

"Banner" kat belakang tu nampak cantik..??Pandai pulak warga
emas dan miskin ni membuat "Banner"..sapa punya kerja..??

ehh... ehh.. Takut makan duit haram.. tapi tak takut pulak dedah aurat!

Nampak muka macam tak semangat aje..

ni lah salah seorang pimpinan Umno yang beria-ria dan menjadi
dalang kepada warga emas yang lain,agar mengembalikan
semula wang ehsan kepada kerajaan PP.


Puak-puak "Umno" Baca kenyataan di bawah ini..
Jangan jadi Bangang..!!


Kenyataan dari bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri "Rakyat yang mendapat bantuan kerajaan tersebut tidak haram. Sebabnya mereka bukan berjudi, mereka mendapat bantuan atas kemiskinan mereka.Transaksi itu atas bantuan, bukan atas judi."

Katanya lagi , bahawa para penerima wang (orang-orang Islam berusia emas) itu tidak haram. Pihak yang memberinya itulah yang menanggung dosanya. Samalah, kata beliau, apabila kakitangan awam dibayar gaji yang mana kita semua maklum, wang gaji itu bersumber daripada perbendaharaan negara.

Dalam perbendaharaan negara, ia menerima apa-apa sahaja sumber kewangan termasuklah daripada sektor perjudian, minuman keras dan yang sewaktu dengannya. Ia diterima menerusi cukai perniagaan yang dikutip oleh pihak kerajaan.

Sebagai makluman wang kutipan dari hasil judi bagi negara Malaysia dalam tempoh setahun berjumlah RM 2.3 billion.

Dalam kenyataan berasingan Dr Mohd Asri menyeru Umno supaya tidak menakut-nakutkan warga Pulau Pinang dengan dakwaan kerajaan negeri menipu berhubung sumber kewangannya bagi membiayai program membantu golongan miskin termasuk untuk masyarakat Islam.

PAS Sanggup Bubar Jika Umno Ikut Islam

Posted: 01 Oct 2010 11:24 PM PDT

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata beliau sanggup mencadangkan agar PAS dibubarkan sekiranya Umno benar-benar mengikuti lamdasan Islam.

"Sudah berkali-kali saya sebutkan kepada pemimpin Umno agar tinggalkan perjuangan kebangsaan dan terimalah perjuangan Islam. Kalau hari ini Umno berbuat demikian, maka hari ini juga saya sanggup bubar PAS untuk sama-sama berjuang Islam dengan Umno.

"Namun sampai sekarang mereka tidak sanggup mengubah dasar parti Umno itu kepada dasar Islam! Di manakah duduknya roh Islam dalam Umno? Saya tanyakan persoalan ini untuk dijawab oleh seluruh umat Malaysia," soal Nik Abdul Aziz dalam blognya semalam.

Kata Nik Abdul Aziz, Umno adalah punca utama umat Islam di negara ini keliru apabila mengamalkan politik perkauman sempit dengan melaungkan 'Hidup Melayu' tetapi pada masa yang sama menolak hukum Islam (Hudud).

Menteri Besar berkata Umno mengaku memperjuangkan Islam tetapi pada masa yang sama menolak undang-undang jenayah dalam Islam.

Nik Abdul Aziz menegaskan beliau sudah berkali-kali mengajak parti itu agar mengubah dasar tetapi Umno terus berkeras dengan semangat kebangsaan (perjuangan untuk bela Melayu) malahan berbangga dan mengagung-agungkan semangat perkauman yang sempit dengan melaungkan 'hidup Melayu.'

Berhubung dengan dasar Perlembagaan Negara, beliau menjelaskan pernah ada kenyataan dari pihak Majlis Peguam Muslim, betapa di dalam Perlembagaan itu tidak pun dinyatakan sebarang peruntukan yang mengesahkan negara kita adalah sekular.

Malah, seorang pakar Perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Dr Abdul Aziz Bari turut menegaskan hakikat Islam adalah agama persekutuan yang sepatutnya diperundangkan dan diamalkan di dalam setiap segi kehidupan di negara ini.

"Kenapakah pemimpin Umno memandang sepi kenyataan ini? Sedangkan di sisi Perlembagaan Negara ia tiada halangan untuk memakai Islam, kerana ia adalah hak mutlak umat Islam. Maka tiadalah sekular sebagaimana didakwa.

"Soalnya, ada pula pemimpin Umno yang beria-ia mempertahankan amalan sekular dengan menolak dasar Islam dalam keadaan tertentu, dan menerima Islam di mana ia menguntungkan Umno.

Justeru katanya, memang selayaknya Umno dikalahkan dalam pilihan raya demi untuk diberi pula peluang kepada pihak lain berkuasa barulah Perlembagaan dapat diperjelaskan mengikut maksud sebenarnya.

"Dalam hal ini, orang Umno patut malu kepada orang India (yang belum Islam) seperti Balasundram dari Dewan Himpunan Penyokong Pas yang sedia menganjurkan seminar bagi memperjelaskan keadilan Islam kepada pihak yang belum memahami hakikat adilnya hukum Islam!.

"Apakah selama ini, pihak Umno tidak terfikir untuk membuat perkara yang sama kepada rakan-rakan dalam BN?," soal beliau lagi.

Mat Sabu cabar Putrajaya dedah jumlah kutipan ‘cukai dosa’

Posted: 01 Oct 2010 11:16 PM PDT

Pemimpin PAS mencabar kerajaan pusat mendedahkan kepada umum jumlah kutipan wang cukai dosa sejak memerintah negara sepanjang lima dekad lalu ekoran tindakan Umno Pulau Pinang mempertikaikan 'kesucian' wang ihsan RM100.

Demikian dinyatakan oleh ahli jawatankuasa kerja pusat PAS Mohamad Sabu dalam ceramah isu semasa di Markas PAS, Pongsu Seribu di sini malam tadi berkata, kerajaan wajib berbuat demikian.

Menurut beliau lagi, kerajaan wajib mendedahkan kepada rakyat negara ini supaya perbezaan antara wang dari cukai dosa seperti pungutan dari sumber judi, arak, cukai rumah urut da pusat hiburan dapat diketahui.

"Tolong hebahkan melalui media massa termasuk media milik BN bahawa sehingga tahun 2010 berapa pungutan dari Toto, Magnum, Kelab Lumba Kuda, Carlsberg serta rumah-rumah urut yang bertaburan dalam negara telah mereka kutip.


"Ke manakah hasilnya jika bukan disatukan sebagai dana disatukan.

"Dari hasil penyatuan inilah gaji kepada kakitangan awam turut dimanfaatkan.

"Oleh kerana itu, sepatutnya Umno dan BN jangan memainkan isu sumber judi yang boleh memudaratkan mereka sendiri," katanya lagi.

Mohamad juga menyelar tindakan Umno Pulau Pinang yang menimbulkan isu sumber judi di Pulau Pinang bagi membuktikan kepada rakyat kononnya kerajaan negeri tidak layak untuk memerintah.

"Umno di Pulau Pinang sepatutnya sedar, kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan apa-apa lesen judi.

"Kerajaan pusat yang mereka pimpinlah yang telah meluluskan lesen judi kepada Sports Toto, Magnum Corporation, Genting Berhad, agensi empat nombor ekor serta kilang-kilang yang mengeluarkan arak, pusat penjualan arak dan sebagainya," katanya.

Mohamad berkata, seandainya isu ini terus dipermainkan oleh Umno dan BN, beliau yakin ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada kerajaan Pakatan Rakyat (PR), sebaliknya "tamparan seperti meludah ke langit akan mengenai batang hidung mereka sendiri."

Katanya lagi, tiada perbezaan antara wang 'sin tax' yang dipungut oleh kerajaan pusat yang disatukan dengan pendapatan yang diterima oleh mana-mana kerajaan negeri sekiranya ia tidak diasingkan.

"Dalam konteks kerajaan negeri Pulau Pinang, mereka telah menyatakan terdapat lebihan dari peruntukan sebanyak RM20 juta bagi program penghargaan warga emas.

"Hanya RM10.7 juta yang telah digunakan. Lebihan sebanyak RM9.3 juta lagi masih ada hasil dari sistem cekap, akauntabiliti dan telus yang dilaksanakan," tegas beliau.

Tambah Mohamad, usaha yang diambil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN kerusi Penaga, Datuk Azhar Ibrahim baru-baru ini supaya warga emas memulangkan wang penghargaan sebanyak RM100 yang diterima daripada kerajaan negeri juga tidak akan berjaya mempengaruhi majoriti masyarakat Melayu.

Beliau juga tidak menafikan kemungkinan sebilangan warga emas yang telah dibawa ke Pusat Khidmat ADUN Penaga dalam program mengembalikan wang tersebut adalah warga emas yang tidak mendaftar dengan kerajaan negeri atau pun telah diperdayakan bagi retorik politik Umno dan BN.

Baru-baru ini isu wang dari sumber judi yang dislaurkan kepada warga emas dan program miskin tegar telah ditimbulkan oleh Umno Pulau Pinang.

Ketua Pemuda Umno Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Marican Naina Marican telah meminta Ketua Menteri menjelaskan dakwaan yang telah dibuat oleh sebuah blog.

Ketua Menteri turut menafikan dakwaan yang disifatkan sebagai fitnah dan bohong oleh Umno dan BN di Pulau Pinang bagi meraih sokongan masyarakat terhadap mereka.

Ketua Menteri Lim Guan Eng sekali lagi menafikan dakwaan terbaru Reezal bahawa kerajaan negeri menggunakan sumber yang haram bagi program miskin tegar pula.

Exco Kerajaan Negeri, Abdul Malik Abul Kassim juga telah menegaskan dakwaan bahawa wang dari Kelab Lumba Kuda sebanyak RM500,000 digunakan bagi program miskin tegar termasuk masyarakat Islam adalah satu pembohongan.

Sekretariat Pemuda PR sekali lagi telah mengeluarkan kenyataan supaya kesemua 11 ADUN Umno di Pulau Pinang mengembalikan gaji dan elaun yang mereka terima sebelum ini sekiranya mendakwa sumber yang mereka terima itu adalah dari punca yang haram.



Dari The Malaysian Insider

Ketika Hilangnya Qiblah

Posted: 01 Oct 2010 07:46 PM PDT

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Dan Salam Sejahtera buat semua

Ketika ini, di negara kita yang tercinta ini hangat sehangatnya dengan isu-isu politik yang seolah tidak ada kesudahan. Mungkin hangatnya bisa membakar bumi yang memang telahpun panas dan gersang ini. Gersang dengan ilmunya, gersang dengan imannya, gersang kerana jauhnya dari siraman nur kasih dari Allah. Begitu mungkin? Mengapa gersang... Gersang satu istilah yang sinonim dengan kehausan. Dahaga... Inginkan sesuatu tapi tidak dapat. Sedihkan? Mungkin kita dalam pencarian namun masih belum ketemui yang diimpikan? Seperti mencari Al-ghazalie Haha gitu plak dah... Apa lah melalut. Erm oklah sahabat. Maaf.

Ketika hilangnya qiblah... begitu bunyi posting saya hari ini. Qiblah, saya pasti sebagai muslim mukmin yang beriman kepada Allah pasti memahami maksud Qiblah.. Satu arah satu tujuan. Itulah Qiblah. Ya, kita berqiblahkan satu arah. Nun jauh di sana arah kita dalam solat. Arah ke Kaabah Baitullah. Itulah lambang penyatuan yang ditunjukkan oleh Allah. Walau seinci kita lari dari arah ketetapan itu pasti solat kita tidak sah. Begitulah ketetapan hukum dalam keadaan biasa. Mungkin dalam keadaan darurah Qiblah itu bukanlah menjadi satu kewajipan.

Kita tidak menyembah kaabah baitullah... tidak!!! Andaikan satu hari kaabah itu tidak wujud lagi, kita tetap masih berqiblahkan arah yang sama. Di situlah qiblah kita. Ya, itu ceritanya dalam solat. Kita bersatu dalam satu arah. Satu tujuan hanya sanya memperhambakan diri kepadanya, tapi ironinya di luar solat. Kita seolah tidak punya arah. Tidak punya tujuan. Tidak punya pegangan dalam hidup. Kita yang sering terarah dalam solat tidak pernah menyatu di luar solat. Kesatuan yang ditonjolkan ketika solat itu seolah hanya satu lakonan semata-mata. Lakonan? Kasarkah bunyinya? Lantak!!!

Sesungguhnya saya rimas, benar-benar rimas dengan apa yang berlaku di sekeliling kita. Malang!!! ya amat malang apabila satu demi satu keaiban disingkap seluasnya yang hanya menjadi mainan tertawa musuh. Musuh yang tak pernah jemu menjauhkan kita dari agama ini. Keaiban yang seharusnya ditutup rapat!!! Kenapa kita boleh bersatu arah dan tujuan dalam solat kita? Kita berbaris selurusnya berjamaah dalam satu saf yang sama. Bahkan hingga kaki-kaki kita bersentuhan dalam satu saf yang panjang. Itulah kesatuan kita. Namun kenapa harus kita tinggalkan kesatuan itu hanya dalam saf solat sahaja? Bukankah kita adalah muslim yang harus punya satu saf... dan Baginda sendiri menyebut dalam banyak-banyak saf itu hanya satu saf sahaja yang ke syurga bukan? Tidak inginkah kita ke syurga...

Ayuh sahabat... kembalikan saf tersebut. Kembalikan saf tersebut. Kembalikan saf tersebut. Jangan kita tinggalkan hanya dalam solat sahaja. Jangan!!! Ketika solat kita menurut segala kehendaknya agar solat kita diterima... kita menyingkap segala kitab-kitab, kita kutip satu persatu pesana Baginda, kita hadamkan amalan para sahabat juga nabi-nabi... kita leraikan satu persatu hanya untuk menghadiahkan amalan solat yang terbaik pada Dia. Itu sikap kita dalam solat. Ya itu sikap yang terbaik... terbaik dan harus dipuji.

Malangnya... kenapa kita tidak menghadam segala pesanan baginda, kalam paras sahabat juga panduan ulama-ulamak lampau demi untuk sebuah penyatuan. Hanya solatkah ibadah kita kepada Allah... Bukankah kewujudan kita di alam ini untuk memperhambakan diri kepadaNya. Memperhamba dalam ertikata yang amat luas. Dalam seluruh pelosok hidup kita tunduk dan patut kepadaNya... Hari ini kita benar-benar telah kehilangan Qiblah. Hilang yang amat sukar untuk kita kembalikan. Sukar mungkin kerana sedikit keegoan kita...

Oklah tak nak memanjangkan lagi. Just nak kongsikan senikata lagu Rabbani di bawah. Hayatilah...

Ya sallim sallimna sallim sallim dinana

Ada yang hitam, ada yang putih..
zahirnya dia menciptakan kita berbeza
namun batinnya kita dikurnia
akal fikiran yang lengkap sempurna

walau berbeza kasta budaya
hanya amalan pada-nya yang utama
kita mewarisi al-quran suci
sebagai panduan tuk hidup sejahtera

Seringkali iman akan diuji
bak layar dihembus laut gelora
dalam mengejar kehidupan di sana
jangan alpa meredah kabus dunia

Walau pandangan jauh berbeza
tak bermakna ada salah ada benar
pada akhirnya kita semua
sujud ke arah satu qiblat yang sama

Semulia insan adalah yang menghampiri-nya
moga ditempatkan dengan yang bertaqwa
Tak mungkin manusia yang punya nafsu
bisa terlari walau secebis dosa

apa yang mampu kejar pahala
biarlah yang esa menghitungkannya
buang yang keruh ambil yang jernih
tak guna merintih menyesal bersedih

khalifah bumi semua bersaudara
untuk menghambakan diri kepada-nya
Kadangkala kesabaran dicabar
tiang utuh teguh bisa kan runtuh

sedangkan lidah lagi tergigit
inikan pula sesama saudara
Walau pandangan jauh berbeza
tak bermakna ada salah ada benar

pada akhirnya kita semua
sujud ke arah satu qiblat yang sama
Semulia insan adalah yang menghampiri-nya
moga ditempatkan dengan yang bertaqwa


Rabbani : Satu qiblat yang sama..

Maa ashobani min hasanatin faminallah...wamaa ashobani min sayyiatin famin nafsi
(segala yang baik itu dari Allah dan yang buruk itu dari kejahilan diriku sendiri)

Wallahu a'lam bishowaab.Wassalam

-ADP

Tiada ulasan: