MIMPI SENJA |
- Sosilawati miliki harta lebih RM150 juta
- Kes Sosilawati : Lokasi mayat ditanam ditemui di ladang milik suspek utama
- Susulan kes Sosilawati: Pemuda PAS desak hudud atasi jenayah serius
| Sosilawati miliki harta lebih RM150 juta Posted: 25 Sep 2010 04:24 PM PDT Bangunan Nouvelle Beauty Centre di Kampung Baru, Kuala LumpurOleh FIRDAUS SAHAT 2010/09/25 KUALA LUMPUR: "Allahyarham pernah berkata kepada saya, dia lega anaknya boleh diharap dan mempercayai mereka seratus peratus untuk mengendalikan semua perniagaannya, lebih-lebih lagi tiada orang lain yang boleh dipercayai," kata Datuk Zaidi Zain, peguam peribadi jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, yang dibunuh kejam. "Tidak lama dulu dia pernah memberitahu untuk membuat surat wasiat tetapi ia tidak diteruskan. Cuma pada perbincangan terakhir antara kami di bilik saksi sewaktu kes tuntutan harta terhadap bekas suaminya, Nash (Nasharudin Elias) di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 26 Ogos lalu, pelbagai perkara diluahkannya kepada saya. "Antaranya, dia tidak mahu berkompromi dengan mana-mana pihak yang menipunya. Malah dia berkali-kali menyatakan tidak mempercayai sesiapa selain anaknya. "Secara lisan, Allahyarham berhajat menyerahkan segala urusan perniagaannya kepada anak sulung iaitu Erni Dekritawati Yuliana atau Rita," katanya. Selain Rita, 25, lima lagi anak Allahyarham hasil perkahwinan dengan Bukhari Mohamad adalah Erwan Suwari Ridzuan, 24, Erwan Nasri, 23, Erni Erinawati Sofia, 21, Erni Reenilawati, 19, dan Siti Nur Fatimah, 13. Ketika itu, Zaidi berkata, arwah menjelaskan hatinya kembali tenang dan betul-betul lega apabila lima daripada enam anaknya mampu menguruskan perniagaannya. "Daripada percakapannya, saya pasti dia betul-betul lega. Malah, gayanya seperti terlepas daripada satu beban yang sangat berat apabila dia mengatur tugas terhadap lima anaknya mengenai setiap perniagaan dimiliki. "Arwah juga menjelaskan, dia tidak mahu memikirkan mengenai perniagaan yang diserahkan kepada anaknya. Dia ingin menumpukan perhatian terhadap bidang hartanah saja," katanya. Namun selepas kejadian ngeri yang berlaku, Zaidi yakin segala perihal mengenai perniagaan dan harta milik arwah yang dianggarkan bernilai lebih RM150 juta akan dimiliki waris pengasas kosmetik Nouvelle Visages iaitu anaknya meskipun tiada wasiat bertulis. "Mulanya saya beranggapan apa diluahkan kepada saya waktu itu hanya kenyataan biasa. Namun bila sudah jadi begini, baru saya sedar apa diperkatakan arwah waktu itu. "Ia boleh diibaratkan sebagai kenyataan secara lisan. Malah isu mengenai harta pusaka ini boleh berbalik kepada hukum syarak mengikut sisi perundangan. "Bagi orang Islam, wasiat digunakan untuk memudahkan segala urusan dan mengelak kerumitan. Bagaimanapun, dalam situasi ini mungkin sistem fara'id diberi keutamaan terhadap pembahagian harta pusaka arwah," katanya. Allahyarham yang ditemui mati dalam keadaan ngeri awal bulan ini bersama pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, turut meninggalkan seorang suami selain enam anaknya. Selama perkenalannya dengan arwah, perbincangan mengenai harta keseluruhan milik jutawan itu mahupun penyampaian wasiat secara terperinci tidak pernah diadakan. Menyentuh mengenai tuntutan harta bernilai RM1.38 juta yang difailkan Allahyarham terhadap Nash, Zaidi menjelaskan, kes itu tertangguh buat sementara waktu dan terserah kepada waris arwah sama ada mahu meneruskannya atau tidak. "Saya tidak pasti sama ada waris arwah mahu meneruskannya atau tidak. Sehingga kini mereka adik-beradik masih berbincang. Setahu saya, anak Sosilawati sangat rapat dan menyayangi Nash. "Namun ada dua isu di sini. Pertama sekali ialah kehendak dan hasrat arwah untuk menyelesaikan kes berkenaan manakala yang kedua adalah hubungan baik antara waris dengan Nash. "Saya sudah menjelaskan semua hal berkaitan kepada Rita. Kini terpulang kepadanya sama ada mahu menghalalkan segala harta yang bakal menjadi miliknya bersama adik beradik atau meneruskan hasrat arwah ibu," katanya. Selain memasarkan produk kosmetik dengan beratus rangkaian termasuk stokis dan cawangan, Nouvelle Visages membuka galeri pengantin, penjagaan kesihatan, salun rambut dan kecantikan serta hartanah. Butik andaman pengantin, salun rambut dan spa beroperasi di Wisma Nouvelle, Cyberjaya manakala Nouvelle Development pula membangunkan kawasan komersial di Kota Damansara. Anggaran harta Sosilawati:- > Mempunyai 300 rangkaian dan cawangan perniagaan kosmetik Nouvelle Visages di seluruh negara serta Brunei, Singapura dan Thailand dianggarkan bernilai RM11.4 juta > Bangunan Nouvelle Beauty Centre di Kampung Baru, Kuala Lumpur bernilai hampir RM1.5 juta manakala Wisma Nouvelle yang baru dibangunkan di Cyberjaya pula bernilai RM20 juta > Memiliki hampir 50 rumah yang disewakan dan dianggarkan bernilai RM20 juta > Harta dalam bidang hartanah dan pembangunan bernilai kira-kira RM100 juta > Memiliki beberapa butik pengantin di sekitar Kuala Lumpur bernilai RM1 juta > Turut menceburi bidang automobil (jual beli kereta) secara kecil-kecilan RM1 juta > Rumah banglo di Taman Harmonis, Gombak bernilai RM1 juta JUMLAH KESELURUHAN: RM155.9 juta - Metro |
| Kes Sosilawati : Lokasi mayat ditanam ditemui di ladang milik suspek utama Posted: 25 Sep 2010 08:26 AM PDT KUALA LANGAT, 25 Sept — Dua lokasi baru dipercayai merupakan tempat dua mayat yang dikaitkan dengan suspek utama kes bunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lelaki lain ditanam, ditemui di kawasan Ladang Gadong, Banting di sini hari ini. Difahamkan, kedua-dua lokasi itu terletak di kawasan ladang milik suspek utama terbabit di mana satu daripadanya terletak di bahagian dalam manakala satu lagi di bahagian luar. Polis mendapat petunjuk berhubung lokasi berkenaan hasil maklumat daripada empat suspek yang dibawa masuk ke dalam ladang itu kira-kira pukul 4 petang tadi. Tinjauan juga mendapati sebuah jentolak dibawa masuk kira-kira pukul 4.30 petang di kawasan ladang itu dipercayai digunakan untuk kerja-kerja mengesan lokasi mayat tersebut. Bagaimanapun, operasi mengorek dua lokasi itu hanya akan dilakukan pagi esok berikutan kesemua kenderaaan forensik, MPV polis dan sebuah van yang membawa suspek, keluar semula dari ladang itu kira-kira pukul 6.45 petang. Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya, Kamaruddin Shamsuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilapor hilang sejak 30 Ogos lalu yang dikatakan ke Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah. Pada 13 Sept lepas, polis mengesahkan keempat-empat mereka telah dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong. Suspek utama kes tersebut yang merupakan seorang peguam turut dikaitkan dengan kes kehilangan beberapa individu lain termasuk seorang ahli perniagaan dari India, Allal Kanthan Muthuraja, 34, dan seorang kontraktor Shafik Abdullah, 37, dari Kedah serta seorang rakannya. Muthuraja dilaporkan hilang selepas tiba di Malaysia pada 18 Jan lepas dan Shafik serta rakannya dilaporkan hilang sejak lima bulan lepas. Kesemua mereka dilaporkan hilang selepas berjumpa dengan suspek utama itu. — Bernama |
| Susulan kes Sosilawati: Pemuda PAS desak hudud atasi jenayah serius Posted: 25 Sep 2010 12:56 AM PDT Oleh Adib Zalkapli KUALA LUMPUR, 25 Sept — Di sebalik pembunuhan kejam yang terbaru, Dewan Pemuda PAS ulangi desakan agar undang-undang jenayah Islam digubal bagi mengatasi masalah sosial serius - perkembangan terbaru yang kemungkinan akan membuka semula kontroversi lama melibatkan komponen pembangkang. Undang-undang jenayah Islam yang turut dikenali sebagai hudud, yang membolehkan peruntukan memotong dan direjam sehingga mati bagi jenayah-jenayah serius, pernah membawa kepada 'keruntuhan' ikatan pembangkang hampir dua dekad lalu. Bagaimanapun Pakatan Rakyat (PR) telah menggugurkan soal undang-undang itu dalam Dasar Bersama dicapai Disember lalu. "Sistem perundangan semasa tidak berjaya, jadi perlu ada satu sistem alternatif," kata Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan pada sidang media hari ini. Sayap muda PAS mengambil pendirian ini ekoran pembunuhan kejam jutawan produk kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain baru-baru ini. Mereka dilaporkan dibunuh, dibakar dan abu mereka dibuang ke dalam sungai di Banting. "Kami telah membuka pintu kami kepada sesiapa sahaja termasuk rakan-rakan kami di Pakatan untuk perbincangan. "Saya tidak melihat ia akan bertentangan dengan semangat Pakatan Rakyat yang bercita-cita untuk membentuk satu kerajaan yang adil," kata Nasrudin ketika menjawab soalan bahawa syor diadakan undang-undang Islam bukan sebahagian daripada dasar PR. "Sekarang kami meminta kerajaan agar melakukan yang ini. Jika ia terbukti berjaya, saya tidak melihat mana-mana pihak akan membantah termasuk Pakatan," kata beliau selepas mesyuarat dewan itu tengah hari ini. Kelantan merupakan negeri pertama menggubal undang-undang seumpama itu pada 1990. Terengganu ketika diterajui PAS juga melakukan perkara itu. Bagaimanapun kedua-dua negeri itu tidak dapat menguatkuasakan kerana soal kesahihan enakmen berkenaan di bawah Perlembagaan Persekutuan. "Apa yang digubal di Kelantan dan Terengganu kemungkinan boleh diperkenalkan di peringkat persekutuan," kata Nasrudin. "Ia adalah undang-undang komprehensif tetapi tidak dapat dikuatkuasakan ekoran halangan kesahihan," katanya. Barisan Nasional (BN) telah mengisytiharkan Malaysia adalah sebuah negara Islam tetapi tidak mengambil langkah memperkenalkan undang-undang hudud atas alasan negara ini terdiri daripada penduduk pelbagai kaum - TMI |
| You are subscribed to email updates from MIMPI SENJA To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |

Tiada ulasan:
Catat Ulasan