Ahad, 5 September 2010

kalam Perantau

kalam Perantau


Kedudukan Supp dalam BN: Presiden jumpa PM

Posted: 05 Sep 2010 09:00 PM PDT

Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (Supp) Tan Sri Dr George Chan setakat ini enggan mendedahkan hasil pertemuan beliau dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini berhubung kedudukan parti tersebut dalam BN Sarawak.
Beliau berkata butiran pertemuan itu hanya akan didedahkan selepas berbincang dengan pemimpin utama Supp yang akan berlangsung tidak lama lagi.

“Tidak boleh beritahu anda (apa yang berlaku pada pertemuan tersebut) sekarang, tetapi jangan bimbang, anda akan tahu juga tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-45 Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Sarawak di Miri.

Dr Chan, yang juga timbalan ketua menteri Sarawak, bagaimanapun menyifatkan pertemuannya dengan Perdana Menteri sebagai “sangat baik dan berhasil”.

Supp, parti politik tertua Sarawak, menjadi perhatian beberapa minggu kebelakangan ini berikutan khabar angin yang menyatakan ia mahu meninggalkan BN Sarawak namun kekal sebagai parti komponen BN di peringkat persekutuan.
Ura-ura itu timbul selepas sesetengah anggota akar umbinya berpendirian tiada gunanya Supp berada dalam BN Sarawak jika isu yang dihadapi masyarakat Cina di negeri itu masih tidak dapat diselesaikan.

Pada pilihan raya negeri lalu pada 2006, Supp kalah lapan daripada 19 kerusi yang ditandinginya.

Parti tersebut turut gagal mempertahankan kerusi parlimen Sibu pada pilihan raya kecil baru-baru ini di kawasan yang dianggap kubu kuat Supp sebelum ini.

- Bernama


Keluar BN: Keputusan di tangan presiden Supp

Posted: 05 Sep 2010 04:00 PM PDT

Persoalan sama ada masyarakat Cina di Sarawak tanpa wakil dalam kerajaan BN jika Parti Rakyat Bersatu Sarawak (Supp) memutuskan untuk menarik diri daripada BN, hendaklah ditujukan kepada presiden parti, kata naib presiden Supp Datuk Yong Khoon Seng.

Yong, yang juga timbalan menteri kerja raya berkata beliau tidak wajar untuk memberikan pandangannya mengenai isu itu pada ketika ini kerana ia mungkin menjejaskan keseimbangan parti majoriti Cina itu, antara empat anggota parti campuran di Sarawak.

“Tidak ada arahan agar jangan bercakap tetapi apa sahaja yang melibatkan keputusan besar parti itu mestilah datangnya daripada presiden (Tan Sri Dr George Chan),” kata Yong kepada pemberita selepas melancarkan program “Mempopularkan Kibaran Jalur Gemilang” anjuran jabatan hal ehwal khas Sarawak, (Jasa) di India Street Pedestrian Mall di Kuching hari ini.

Bagaimanapun, Dr Chan, yang juga timbalan ketua menteri tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan ulasan mengenai perkara itu kerana beliau kini sedang bercuti di luar negara.

Semalam, timbalan presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata Supp hendaklah memikirkan dengan serius mengenai masa hadapan masyarakat Cina di negeri ini sebelum membuat sebarang keputusan.
Abang Johari, yang juga menteri perumahan dan pembangunan bandar, dilaporkan berkata bahawa sebagai seorang pemimpin bumiputera, beliau pasti mahukan masyarakat Cina diwakili dalam kerajaan kecuali Supp ingin melepaskan peluang itu.

Dalam menasihati Supp untuk bekerja keras bagi menawan semula kepercayaan masyarakat Cina, beliau berkata PBB tidak akan campur tangan dalam masalah itu kerana Supp mempunyai pemimpin yang berpengalaman dan berkemampuan untuk mengatasinya.

Supp gagal mengekalkan kerusi parlimen Sibu pada pilihan raya negeri baru-baru ini sementara ia tewas dalam lapan daripada 19 kerusi yang ditandingi pada pilihan raya negeri 2006.

Terdahulu Yong berkata beliau yakin bahawa semangat patriotisme dan nasionalisme di kalangan masyarakat pelbagai bangsa boleh diperkuatkan menerusi kibaran Jalur Gemilang, khasnya semasa sambutan Merdeka sebulan itu.

Sebanyak 1,200 bendera diedarkan kepada premis perniagaan di sepanjang India Street sebagai sebahagian kempen seluruh negara untuk menanamkan semangat patriotisme di kalangan penduduk bandar.


Tiada ulasan: