Ahad, 8 Ogos 2010

WFAUZDIN.BLOGSPOT.COM

WFAUZDIN.BLOGSPOT.COM


JAWAPAN KEPADA AWANG SELAMAT - DAP LEBIH BAIK DARIPADA UMNO

Posted: 08 Aug 2010 11:00 PM PDT

Justify FullOleh: WFAUZDIN NS

NAMPAKNYA sudah terlalu banyak penulis yang buat ulasan terhadap komentar Awang Selamat di Utusan Malaysia seperti yang dipetik oleh Malaysiakini. Setelah membaca banyak penulisan sahabat-sahabat tentang Awang Selamat, maka bolehlah saya anggap bahawa Awang Selamat tidaklah secerdik mana walaupun begitu lama bertugas di akhbar pencacai ternama itu. Memadai tulisan para sahabat, walaupun ramai di kalangannya tidak pernah memegang jawatan di mana-mana akhbar sudah cukup untuk menjadikan Awang Selamat kelihatan amat dungu.

Masalah yang menghantui Awang Selamat iaitu mengapa PAS lebih selesa memilih DAP jika dibandingkan dengan Umno, pesoalan itu sebenarnya ahli-ahli Umno biasa pun tahu jawapannya. Ini adalah kerana ahli-ahli Umno bawahan kebanyakannya orang-orang Melayu yang ingin sekali melihat bangsa Melayu terbela di bawah Umno nampaknya gagal. Orang-orang Melayu Islam yang ingin sekali melihat Islam didaulatkan di negara ini di bawah Umno juga gagal. Malahan terlalu banyak bukti betapa Umno lah sebenarnya perosak Melayu dan perosak kepada Islam sepanjang Umno berkuasa.

Mengapa PAS pilih DAP ? Memang benar DAP adalah parti yang tidak akan faham Islam kerana DAP bukan parti yang majoriti dikuasai oleh orang-orang Islam. Mereka yang bukan Islam tidak berhak dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan Islam apatah lagi mereka tidak punyai kuasa seperti Umno. Sejauh mana mereka mengkritik Islam, tidak akan memberi kesan kepada kita yang diwajibkan untuk memperjuangkan Islam di muka bumi ini. Segala kritikan mereka terhadap Islam mesti kita jawab dengan hujah kita sepertimana yang sering dilakukan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Aziz di dalam menjawab isu Negara Islam yang dibangkitkan oleh Karpal Singh. Adakah PAS mengikut telunjuk DAP? Tidak, malahan PAS mahu menunjukkan kepada DAP keindahan Islam itu.

Mengapa tidak Umno? Adakah PAS perlu mengajar Umno tentang kehendak Islam sama seperti PAS mengajar DAP? Umno adalah parti yang mengaku Islam, mengapakah Umno tidak pernah ingin membantu PAS untuk menegakkan Negara Islam di negara ini sedangkan Umno adalah parti yang berkuasa sekarang di peringkat Pusat? Mengapa perlu Umno menuding jari kepada DAP agar DAP sokong sebuah Negara Islam yang dicita-citakan oleh PAS itu?

Manakah lebih besar kesannya, parti yang menentang Islam tetapi tidak berkuasa dengan parti yang menentang Islam tetapi mempunyai segala kuasa? DAP parti yang Non Muslim, tidak punyai kuasa tertinggi di Pusat. Umno parti Melayu Islam dan mempunyai kuasa tertinggi di Pusat. Kedua-duanya, siapakah yang paing bahaya jika menentang perlaksanaan Hukum Islam? DAP atau Umno?

Sejarah juga telah membuktikan bahawa penentangan seorang dua pemimpin DAP terhadap Islam tidak menghalang mereka untuk terus menyokong PAS di dalam setiap pilihanraya, meskipun mereka tahu PAS komited dengan dasar Islamnya. Manakala Umno pula, mulut berkata mahu kepada Islam tetapi Umno lah yang banyak melakukan sekatan dan penganiayaan terhadap perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS. Bukan sedikit pemimpin PAS yang telah ditangkap bahkan ada yang mati dalam perjuangan Islam kerana hasil kerja tangan-tangan Umno, bukan tangan-tangan DAP.

Penentangan DAP hanyalah penentangan dari mulut seorang dua pimpinan mereka yang jahil terhadap Islam. Ini tidak merisaukan PAS jauh sekali untuk melemahkan PAS. Tetapi, penentangan Umno bukan sahaja datangnya dari mulut bahkan mereka gunakan kuasa eksekutif mereka untuk menentukan PAS gagal melaksanakan amanah Allah ini. Apakah ini kerana Umno juga jahil seperti DAP?

Justeru itu, jawapan kepada persoalan mengapa PAS lebih selesa bekerjasama dengan DAP daripada Umno sudah terjawab. Awang Selamat tentu tahu sejarah penentangan Umno terhadap PAS dan beliau juga tahu betapa DAP di dalam tidak `Islam'nya masih membantu PAS. Adakah PAS tidak perlukan kawan yang sentiasa membantu perjuangannya semata-mata untuk bersama Umno yang sudah terang-terang banyak menganiayai perjuangannya?/wfauzdin.blogspot.com

HELAH `SB' KANTOI - SYABAS SKUAD KOMUNIKASI SELANGOR

Posted: 08 Aug 2010 08:00 PM PDT

Oleh Fazli Othman

SHAH ALAM 8 Ogos - Identiti seorang anggota polis dipercayai daripada Cawangan Khas (SB) yang menyamar sebagai orang awam terdedah apabila cuba menyusup masuk bagi mengikuti serta mengumpul maklumat pada majlis taklimat anjuran Sekretariat Latihan dan Perkaderan (Selkad) di sini minggu lalu.

Anggota SB itu 'kantoi' apabila gagal menunjukkan bukti pengenalan diri apabila didesak petugas KEADILAN pada majlis taklimat yang disampaikan oleh pegawai Skuad Komunikasi Selangor (SKS) pada pukul 9 malam Khamis lalu.

Menyedari perkara tersebut, pegawai SKS bertindak menghalaunya daripada terus berada di premis Selkad dalam sesi taklimat yang diadakan pukul 9 malam Khamis lalu.

Sehubungan itu Pengarah Penerangan Negeri Selangor, Dr Badrulamin Bahron membidas tindakan pihak polis yang dilihat menjadi alat politik Umno-Barisan Nasional untuk mengintip aktiviti KEADILAN di Selangor.

"Kita minta pihak polis supaya tidak menjadi alat atau orang suruhan Umno-BN, mereka hendaklah bertindak profesional dalam menjalankan tugas.

"Mereka sepatutnya tidak menjadi seperti orang suruhan atau anjing politik bagi menjaga kepentingan politik pemimpin jahat," tegas beliau kepada Suara Keadilan.

Tambah Dr Badrulamin, sejak insiden mata lebam Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998 yang dilakukan oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor sehingga membawa kepada era reformasi, pihak polis secara berterusan masih lagi bertindak secara tidak profesional dan hanya mengikut telunjuk pemimpin Umno-BN.

Sepatutnya tugas asasi pihak polis kata beliau adalah untuk menjaga keamanan dan ketenteraman awam bukan campur tangan dalam urusan parti politik.

Mengenai program penerangan diseluruh negeri Selangor, Dr Badrulamin berkata langkah penerangan balas kerajaan Pakatan Rakyat melalui SKS akan dimulakan pada hari pertama umat Islam berpuasa yang dijangka pada 11 Ogos.

Beliau berkata pihaknya memilih untuk membuat penerangan di semua masjid sepanjang bulan Ramadan memandangkan pada masa itu ramai umat Islam berkumpul bagi mengerjakan ibadat.

Tambah beliau, selepas kerajaan negeri mengumumkan peruntukan RM15 juta untuk tujuan sistem penyaluran maklumat, pihaknya akan meningkatkan edaran akhbar rasmi kerajaan negeri, Selangorkini berkali ganda bagi menjawab dakwaan dan tohmahan pembangkang.

Bilangan akhbar Selangorkini dijangka ditingkatkan daripada 60,000 kepada 300,000 dan bakal diedarkan selepas Hari Raya Adil Fitri nanti./Pro Reform

UMNO GAGAL - US NASHA SEDIA TERANGKAN ISLAM PADA CHUA SOI LEK

Posted: 08 Aug 2010 06:00 PM PDT

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 8 Ogos: Kegagalan Umno BN mengimplementasi Islam sebenar punca Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek salah faham tentang Islam.

Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa (gambar) berkata, amalan korupsi dan penyalahgunaan kuasa Umno telah menyebabkan Islam disalah tafsir oleh bukan Islam termasuk Soi Lek.

"Fakta-fakta yang dikemukakan oleh beliau bukan kerana kecacatan dan ketempangan Islam.

"Bahkan ia adalah kesilapan pemerintah yang mengamalkan korupsi dan penyelewengan kuasa kerana gagal mengimplementasikan prinsip-prinsip Islam dalam pentadbiran negara," katanya.

Soi Lek sebelum ini mendakwa bahawa PAS dan Umno telah menggunakan Islam sebagai alat untuk meraih sokongan dikalangan masyarakat Melayu di Malaysia.

PAS, kata Nasharudin begitu terkilan dengan pandangan Soi Lek terhadap Islam yang diperjuangkan oleh PAS sejak dari penubuhannya sehingga ke hari ini dan seterusnya.

"Islam yang diperjuangkan oleh PAS adalah Islam yang tulen dan diambil daripada sumber-sumber yang benar dan ia adalah agama yang menyelamatkan manusia di dunia dan di akhirat," katanya.

Umat Islam jelasnya diwajibkan untuk berdakwah samada kepada bangsa Melayu, Cina, India dan seluruh manusia agar Islam terus dimartabatkan dan disanjung tinggi.

Manakala dakwah kepada orang Melayu adalah yang paling utama memandangkan mereka telah beragama Islam dan ia merupakan sasaran dakwah yang perlu diberikan perhatian serius pada hari ini.

"Saya selaku Timbalan Presiden PAS terpanggil untuk bertemu dan menerangkan intipati Islam yang sebenar kepada Datuk Chua Soi Lek.

"Saya percaya Islam mempunyai solusi-solusi terhadap pemasalahan yang berlaku. Malah, PAS sendiri telah menggagaskan agenda 'Islam Untuk Semua', 'Islam Memimpin Perubahan' dan 'Islam Adil Untuk Semua' kerana berkeyakinan bahawa hanya Islam yang mampu menyelamat manusia di dunia dan di akhirat," katanya./Harakahdaily

TIADA PILIHANRAYA, MB SELANGOR SAMPAIKAN GERAN TANAH

Posted: 08 Aug 2010 01:55 PM PDT

Khalid Sampai Geran Tanah Kepada 118 Penduduk

Menteri Besar Selangor,Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyampaikan geran tanah kepada 118 penduduk yang mengemukakan permohonan mereka sejak tahun 1998.

Ini sekaligus mengiktiraf hak mereka untuk mendapatkan hak milik tanah di Kampung Jaya Setia,Mukim Bestari Jaya, Kuala Selangor hari ini.

Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor bersetuju meluluskan permohonan pemberi milikan tanah seluas 60.5 ekar di Kampung Jaya Setia kepada 118 pemohon dengan tempoh pajakan selama 99 tahun.

Tan Sri Khalid berkata sebahagian besar tenaga, masa dan idea Kerajaan Negeri hari ini dicurah untuk memperbetulkan kesilapan 51 tahun yang dilakukan pentadbiran lepas.

Beliau menggesa penerima geran untuk mengusahakan tanah hak milik mereka dengan bersungguh-sungguh dan bijaksana, demi kepentingan generasi anak-anak Selangor 20 tahun dari sekarang.

"saya juga berharap kita akan dapat selesaikan banyak lagi program-program ini. saya juga akan melihat bagaimana pembangunan kampung yg hampir 800 ekar di kawasan ini di bawah PKNS, kita kena lihat semula. saya dah beritahu PNKS jika tanah terbiar, dan jika PKNS tak betulkan tanah itu, kita akan bagi orang lain betulkan. saya beritahu pegawai-pegawai, kalau beberapa kali terjadi, saya minta orang lain nyang jaga" kata Khalid./TVSelangor

HARUSSANI - HASSAN ALI, SIAPA BELIT SIAPA ?

Posted: 08 Aug 2010 12:39 PM PDT

Oleh: Mandor

MULA-MULA elok kita baca di sini. Mufti Perak sudah tidak mahu mengulas tentang pertemuannya dengan Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Hassan Ali. Alasannya, Dr Hassan Ali sudah tidak mahu mengaku bahawa pertemuan yang berlaku antara beliau dengan Dr Hassan adalah membincangkan perpaduam Umno - PAS. Ini bermaksud, Harussani menuduh Dr Hassan Ali menipu apabila Dr Hassan bertegas menyatakan tiada pertemuan yang membincangkan perpaduan Umno - PAS bersama Mufti Perak itu.

Kedua-duanya tokoh agama dan masing-masing punyai jawatan penting. Di dalam isu ini, mestilah salah seorang kedua tokoh ini penipu. Penipu itu salah satu sifat orang Munafik. Masakan Mufti Perak bersikap Munafik, dan mustahil juga Pesuruhjaya PAS pun Munafik. Pening juga kan?

Apa pun, yang untung adalah Umno juga. Terhasilnya pertemuan itu memang menguntungkan Umno samada pertemuan itu untuk membincangkan perpaduan Umno - PAS atau sekadar pertemuan minta nasihat mahu pun ingin belajar dari Mufti Perak yang popular itu. Soalnya, mengapa perlu kita memberi keuntungan kepada Umno?

Saya berharap agar segala yang dikatakan oleh Mufti Perak itu tidak benar, kerana saya beranggapan sebagai seorang Pesuruhjaya PAS apatah lagi sebagai seorang Pakar Motivasi, Dr Hassan Ali tentu lebih arif dengan tipu helah dan fitnah dari pihak lawan. Paling berkesan untuk membersihkan namanya, Dr Hassan Ali wajar menyaman Harussani kerana menuduhnya menipu. /mandor.blogspot.com

Tiada ulasan: