Rabu, 4 Ogos 2010

WFAUZDIN.BLOGSPOT.COM

WFAUZDIN.BLOGSPOT.COM


BERANIKAH ZAMBRY MENYAHUT CABARAN PR PERAK UNTUK BERDEBAT ?

Posted: 04 Aug 2010 11:00 PM PDT

Harakahdaily

IPOH, 4 Ogos: Pakatan Rakyat (PR) Negeri Perak bersedia mengadakan debat secara terbuka dengan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagaimana yang diucapkan pada persidangan Dun, semalam.

"Saya kira ucapan tersebut didengari oleh semua yang berada di dalam dewan dan tercatat dalam hansard sidang yang dipengerusikan oleh seorang yang mengaku sebagai speaker iaitu Ganesan.

"Sebagai Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak dan Ketua Penerangan PAS Perak, saya dengan ini menegaskan kesedian untuk menyahut cabaran Zambry untuk berdebat dengan mana-mana pimpinan Pakatan Rakyat," ujar Drs Khalil Idham Lim (gambar) dalam satu kenyataan.


Beliau yang juga Adun Titi Serong boleh mengatur satu debat yang dimaksudkan sebagai medan untuk memberi peluang kepada Zambry menjawab kononnya fitnah dan pembohongan yang dilakukan oleh pimpinan Pakatan Rakyat di dalam ceramah mereka.

"Yakinnya Zambry dengan tohmahan itu dengan katanya kami kena bertanggung jawab di hadapan Tuhan. Sekiranya itulah dakwaan Zambry, saya mengulangi cabaran Datuk Seri Nizar di dalam dewan semalam, sekiranya dia (Zambry) 'anak jantan' sila sahut cabaran ini dan nyatakan di manakah pembohongan Pakatan Rakyat dalam debat itu," ujarnya.

Katanya, pihak Zambry juga boleh mengatur di mana dan tempat pilihannya sendiri dan pemimpin Pakatan akan datang untuk berdebat.

Baginya, Stadium Perak cukup luas untuk menampung kehadiran semua rakyat Perak dalam debat tersebut, dan bolehlah disiarkan secara langsung dalam media massa BN.

Namun begitu, beliau ingin tegaskan sikap bacul dan penakut BN sebenarnya terserlah dan perlu diketahui oleh rakyat Perak, bermula dengan merampas kuasa dan menafikan demokrasi sehinggalah pada sidang semalam di mana walaupun Zambry berkata suka berdebat namun dia telah menghadkan dewan bersidang sehari sahaja.

Tambahnya, tindakan menghadkan ketua pembangkang untuk bercakap dalam tempoh yang panjang sebagai mana amalan biasa dalam sidang Dun sebelum ini, atau di mana-mana sidang Parlimen dan Dun negeri di Malaysia, adalah menifestasi dari ketakutan BN untuk mendengar segala hujah dan fakta daripada Adun Pakatan Rakyat.

Sebaliknya, kata ia menggambarkan juga Adun BN tidak mempunyai modal untuk berbahas melainkan memuji dan memuja langkah menambah bajet sebanyak RM80 juta.

"Semuanya Adun BN yang berbahas kelmarin nampaknya dalam nada yang sama dan tidak punya modal," ujarnya lagi.

Bliau menambah, dakwaan Zambry dan Adun BN bahawa Nizar berceramah dalam dewan adalah disangkal.

Andaian tersebut, baginya hanya keluar dari mulut orang yang terdesak dan takut untuk mendengarnya.

Sehubungan itu, beliau menunggu jawapan Zambry dan bersedia untuk berbincang lebih lanjut mengenainya dengan sesiapa sahaja yang mewakilinya bagi menjayakan debat yang dinamakan 'Debat Rakyat, Siapa Pembohong?'./Harakahdaily

UNDANG-UNDANG `HARAMJADAH' ?

Posted: 04 Aug 2010 09:00 PM PDT

Perwakilan Pakatan tak dibenar di sekolah S'gor

Christine Chan
Ogos 4, 10

Satu surat pekeliling berhubung pemimpin-pemimpin BN yang boleh dijemput bagi menghadiri majlis yang dianjurkan oleh sekolah-sekolah di Selangor tetapi membelakangkan pemimpin daripada Pakatan Rakyat dilabelkan sebagai contoh sifat 'talam dua muka' kerajaan persekutuan.

Menurut surat yang bertarikh 16 Feb 2009 itu, menteri pelajaran telah meluluskan senarai 57 pemimpin dari Umno, MCA, MIC dan Gerakan di Selangor yang boleh mewakili Tan Sri Muhyiddin Yassin di negeri itu.

Surat berkenaan ditandatangani oleh setiausaha sulit menteri dan pekeliling itu dihantar kepada pengarah jabatan pelajaran Selangor.

Ia juga menyatakan bahawa wakil BN berkenaan turut dibekalkan dengan surat pelantikkan dengan salinannya dikepil bersama pekeliling tersebut dengan nama penuh serta jawatan mereka yang disenaraikan itu.

Ketika dihubungi, Hannah Yeoh, ADUN DAP bagi kerusi Subang Jaya berkata surat itu memberi implikasi bahawa pihak berkuasa sekolah mesti memndapatkan kebenaran menteri sebelum menjemput perwakilan Pakatan Rakyat.

"(Apabil
a sekolah memohon kebenaran), ia tidak pernah diberikan," dakwanya.

Yeoh dalam laman tweet pernah mempersoalkan kandungan pekeliling itu dan berkata beliau mempunyai senarai pemimpin BN yang diluluskan itu.

"Saya tidak dibenarkan menghadiri sebarang majlis di sekolah-sekolah di kawasan saya. Ini tidak betul erana ia menghantar isyarat yang salah kepada kanak-kanak bahawa seseorang terpaksa menerima apa yang diberikan. Mereka tidak dibenarkan memilih pemimpin sendiri," katanya.

Namun, katanya, dia dibenarkan ke sekolah lamanya - SMK Subang Utama - selepas campur tangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru-guru.

"Dalam kes saya, kerana PIBG mendesak, maka saya boleh hadiri. Jadi ini menujukkan bahawa PIBG mempunyai peranan besar," katanya.

Perkara berkenaan disahkan oleh ADUN Teratai, Jenice Lee.

"Sesetengah sekolah memohon bantuan kewangan daripada saya tetapi saya tidak dibenarkan ke sekolah itu ataupun boleh berucap," katanya.

"Ada satu ketika, saya terpaksa menyampaikan cek di luar perkarangan sekolah.

"Perkara ini berlaku kepada kebanyakan pemimpin Pakatan dan bukan ke atas saya dan hannah sahaja. Ini jelas tidak adil," katanya./Malaysiakini

`SELAMATKAN SELANGOR' - GILIRAN PAKATAN SERANG BALAS UMNO

Posted: 04 Aug 2010 07:00 PM PDT

Giliran Pakatan 'Selamatkan Selangor'

Jimadie Shah Othman
Ogos 4, 10

Selepas kempen pusingan pertama 'Selamatkan Selangor' oleh Umno negeri itu tamat Ahad ini, tiga hari kemudiannya, giliran Pakatan Rakyat pula membuat serangan balas bagi menjawab isu-isu yang dibangkitkan dalam 19 siri ceramah sepanjang kempen tersebut.

Menariknya, penerangan balas kerajaan Pakatan melalui Skuad Komunikasi Selangor (SKS) akan dimulakan pada hari pertama umat Islam berpuasa pada bulan Ramadan - dijangka 11 Ogos.

Pada masa yang sama, Umno - melalui Sekretariat Selamatkan Darul Ehsan (SSDE) - pula memilih berehat sepanjang bulan puasa, sebelum menyambung semula kempen fasa keduanya selepas Hari Raya Aidilfitri yang pada pertengahan September.

"Kita (Pakatan) akan mulakan kuliah di masjid-masjid seluruh Selangor. Kita akan edarkan risalah penerangan.

"Paling kurang pun, kita minta buat tazkirah sekurang-kurangnya 30 minit," kata pengarah penerangan di pejabat menteri besar Selangor Badrul Amin Bahron (kanan).

Bermula 23 Julai lalu, Umno Selangor menganjurkan siri jelajah fasa pertama di seluruh Selangor bagi menjelaskan mengenai "pembohongan kerajaan Pakatan" terhadap rakyat di negeri itu, antaranya menampilkan bekas setiausaha politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ezam Mohd Nor.

Selain membangkitkan isu-isu berkaitan Anwar - yang juga penasihat ekonomi negeri - isu lain yang sering ditimbulkan dalam siri-siri ceramahnya berlegar sekitar pertadbiran hasil pasir di negeri itu.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Badrul berkata pihaknya memilih membuat penerangan di masjid-masjid sepanjang bulan Ramadan memandangkan pada masa itu ramai umat Islam berkumpul bagi beribadat.

Umno: Fasa kedua tanpa isu pasir

Badrul Amin juga menjelaskan selepas kerajaan negeri mengumumkan peruntukan RM15 juta untuk tujuan penerangan negeri, pihaknya akan menaikkan edaran akhbar negeri Selangorkini berkali ganda bagi menjawab dakwaan pembangkang negeri.

"Daripada 60,000, kita jangkakan meningkat kepada 300,000 naskhah diedarkan selepas hari raya Adilfitri nanti," katanya penceramah terkenal itu yang juga ahli majlis pimpinan pusat PKR./Seterusnya di Malaysiakini

SIAPA KATA MASJID TIDAK BOLEH BERPOLITIK ? LIHAT UMNO LAKUKAN

Posted: 04 Aug 2010 05:00 PM PDT

PAS dakwa Umno terus salahguna masjid

Abdul Rahim Sabri
Ogos 4, 10

Umno didakwa terus menyalahgunakan masjid-masjid di negara ini untuk kepentingan politik mereka.

Ahli jawatankuasa pusat PAS, Dr Lo'Lo' Mohd Ghazali yang kesal dengan tindakan itu berkata pihak berkuasa seperti Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur turut diperkudakan dan mereka mengamalkan sikap berat sebelah.

"Saya dimaklumkan oleh ahli kariah, dan terus ke sana. Saya bertanya kepada Pengarah Jawi, kenapa Umno dilibatkan secara langsung.

"Beliau berkata, tidak mengapa, saya ada bersama... Ini double standard yang wujud," katanya yang merujuk kepada program "Bicara Pemimpin Bersama Rakyat" pada 2 Ogos lalu di sebuah masjid yang terletak di sempadan antara Cheras dan Titiwangsa.

Anjuran Umno

Pada majlis itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, ketua Umno Cheras Datuk Syed Ali Alhabsyi dan pemangku ketua Umno Titiwangsa Johari Ghani telah menyampaikan ucapan.

Menurut Dr Lo'Lo' yang juga ahli parlimen Titiwangsa, berdasarkan kain rentang yang dipamerkan, program tersebut adalah anjuran JAWI bersama dengan Umno Cheras dan Titiwangsa.


Selain itu, slot tazkirah Maghrib pada majlis itu juga disampaikan oleh seorang pemimpin pemuda Umno bahagian Cheras.

"Sebagai wakil rakyat, saya kesal dengan sikap double standard menteri yang memperalat Jawi untuk meluaskan pengaruh politik Umno BN yang telah ditolak rakyat khususnya di Kuala Lumpur," katanya kecewa.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar di ibu pejabat PAS di ibunegara yang turut dihadiri pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan Mohd Noor Mohamad dan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad.

Ditanya mengenai kandungan ucapan pemimpin Umno dalam majlis tersebut, Dr Lo' Lo' berkata seingatnya, Syed Ali mengulas mengenai perpaduan dan menunjukkan keprihatinan Umno terhadap perpaduan Melayu dan Islam.

Tolak perpaduan

"Beliau tidak sedar sebahagian ahli kariah (di masjid itu) adalah penyokong PAS dan Pakatan Rakyat. Bagaimana hendak kepada perpaduan, sedangkan mereka mengetepikan saya sebagai ahli parlimen dan menjemput ahli parlimen dari Umno dan BN.

"Sewajarnya PAS menolak perpaduan (daripada Umno) kerana mereka langsung tidak ikhlas," katanya.


Selepas itu, beliau juga turut mencadangkan kepada Che Mat bahawa PAS juga akan mengadakan program bersama ahli karyah di masjid di Wilayah Persekutuan.

Dr Lo' Lo' mendakwa pengarah JAWI itu mengarahkan agar ahli jawatankuasa PAS pusat itu membuat permohonan dan kemudiannya menukar fikirannya selepas memikirkan implikasi cadangannya itu.

"Dia tidak sedar bahawa parlimen Titiwangsa diterajui oleh PAS dan di Cheras oleh DAP... 'Double Standard' wujud," katanya.

Sementara itu, Mohd Noor turut kesal dengan Jamil Khir yang menyampaikan cek berjumlah RM223,000 kepada ahli parlimen Setiawangsa, Datuk Zulhasnan Rafique yang diwakili oleh Umno untuk diagihkan kepada masjid dalam kawasan tersebut./Malaysiakini

ULAMAK MUDA MASUK UMNO ITU SEKULAR RUPANYA

Posted: 04 Aug 2010 11:48 AM PDT

Oleh: Mandor

BARU kita tahu kemasukan `Ulamak Muda' ke dalam Umno hanya untuk berdakwah bukan berpolitik. Jelaslah kepada kita `Ulamak' tersebut adalah Ulamak sekular kerana mengasingkan politik dan ugama. Sewajarnya lah mereka memasuki Umno kerana sememangnya Umno berjiwa sekular. Nasib baik mereka tidak menyertai PAS kerana jika tidak pastinya mereka ini akan menghancurkan PAS dari dalam dengan ajaran sekularnya itu, Baca sini.

Itulah nikmat Allah kepada PAS di mana golongan cerdik pandai agama yang berfikiran sekular tidak akan berselera bersama PAS. Allah mungkin telah membutakan mata mereka untuk memilih PAS kerana jiwa mereka tertarik dengan sekular. Biarkan saja mereka berdakwah dengan Umno, dan pemimpin Umno pula teruskan mencari kekayaan.

Yakinkah kita dengan usaha `Ulamak' yang mengasingkan politik dengan ugama itu untuk memperbetulkan Umno? Kita lihat nanti di mana kesudahannya.

CERAMAH `CAP AYAM' EZAM RAJA SESUMPAH

Posted: 04 Aug 2010 05:00 AM PDT

Oleh Hishamuddin Rais

Pada awalnya saya langsung tidak kenal siapa dia Ezam Mohd Nor ini. Malah saya tidak ambil peduli sangat apa kerja dan tugas dia. Untuk saya sesiapa yang bekerja untuk United Malays National Organisation ini pastilah orang sesat, kurang membaca, kurang berilmu dan kaki bodek. Pandangan saya ini tidak pernah berubah hingga ke hari ini.



Tapi apa yang hendak saya kisahkan di sini bukan hal United Malays National Organisation tapi hal Ezam. Secara jujur saya katakan di sini, saya tidak pernah ambil tahu siapa setiausaha politik, setiausaha akhbar atau siapa setiausaha sulit Anwar Ibrahim. Untuk saya semua mereka ini hanyalah apparatchik kalau pun bukan tukang bodek. Pandangan saya ini berasakan budaya politik yang wujud hari ini.

Pada awalnya - saya terdengar - apabila Anwar ditangkap pada 20 September 1998, ramai juak-juak Anwar termasuk Ezam (kiri sekali) telah melarikan diri ke Indonesia. Ada yang lari membawa duit dan ada yang lari membawa harapan. Apa yang mereka lakukan di Indonesia, tidak Remove Formatting from selectionpula ingin saya ketahui.

Gerakan Reformasi muncul sesudah penangkapan Anwar. Gerakan ini menobatkan jalan raya sebagai wadah politik. Kami tidak ambil peduli tentang juak-juak Anwar yang lari dan yang tidak lari. Malah juak-juak Anwar ini tidak pernah masuk dalam perhitungan politik jalan raya kami. Kami juga langsung tidak ambil peduli terhadap 'polong-polong' peliharaan Anwar yang saku mereka telah penuh dengan 'darah saham' dan 'pink form'.

Gerakan politik jalan raya hanya bercita-cita untuk menghumbankan United Malays National Organisation ke dalam tong sampah sejarah. Untuk saya jenayah besar United Malays National Organisation hanya satu: membodohkan orang Melayu selama 50 tahun.

Saya pun kurang ingat bila Ezam muncul kembali - mungkin sesudah tertubuhnya Parti Keadilan Nasional. Fakta sejarah ini tidak penting. Apa yang penting ialah Ezam terpaksa menerima wadah jalan raya yang telah kami teroka. Kami sedar ada beberapa benggolan juak Anwar yang tidak berapa setuju dengan wadah politik jalan raya.Tetapi kerana ombak jalan raya begitu besar maka mereka terpaksa membuat 'teater' berlakon bersama kami.

Reformasi tak peduli Anwar jadi PM

Juak-juak Anwar ini sedar dan faham bahawa politik jalan raya inilah sahaja jalannya untuk menumpaskan United Malays National Organistion. Tetapi perjuangan juak-juak ini bukan hendak menumpaskan United Malays National Organistion. Justeru mereka selalu 'memberatkan' gerakan Reformasi. Sebenarnya mereka berjuang agar Anwar Ibrahim dinobatkan sebagai perdana menteri (PM) Malaysia. Dalam congak politik mereka, apabila Anwar menjadi PM maka mereka akan sekali lagi berkenduri-kendara dan mengumpul 'pink form' dan memungut harta kekayaan.

Harus dinyatakan jelas di sini - gerakan Reformasi tidak peduli sama ada Anwar Ibrahim jadi PM atau sesiapa pun yang menjadi PM. Yang penting Mahathir Mohamad didobrak dan United Malays National Organistion dihumbankan ke dalam tong sampah sejarah.

Akhirnya setelah sepuluh tahun - sebahagian panennya Reformasi telah kita tuai pada 8 Mac 2008 dahulu. Inilah contoh yang dinamakan perjuangan jangka panjang. Menabur benih kesedaran selama sepuluh tahun. Ini kerja politik yang sulit dan bertahan lama. Turun ke jalan raya itu ialah untuk membajak dan menyemai benih kebencian terhadap kuasa politik United Malays National Organisation.

Pada ketika ini Ezam telah mudik kembali ke sarang lamanya. Saya sifatkan Ezam ini terkena penyakit KKS - kurang kasih sayang. KKS ini adalah satu penyakit tidak berkuman yang selalu menyerang orang yang rapat dengan Anwar Ibrahim. Hasil dari serangan KKS ini Ezam telah mundar-mandir ke hulu ke hilir berceramah membantai dan menelan kembali semua air liur basinya yang diludahkannya dahulu.

Nasib saya agak baik, beberapa hari yang lalu ada kawan menghantar klip video salah satu dari ceramah Ezam. Menurut kawan saya ini klip ini daripada siri ceramah perdana 'Selamatkan Selangor Dari Khir Toyo'.

Saya kurang faham apakah Khir Toyo sudah bertukar menjadi Jepun dan menyerang Selangor. Lalu saya menelefon dan bertanya apakah Khir Toyo telah ada bala tentera? Kawan saya ini ketawa berdekah-dekah dan meminta saya kembali ke sekolah untuk belajar ilmu politik. Cis... bongek punya kawan. Maka tidak dapat tidak saya pun terpaksalah melihat klip ceramah Ezam.

Tiru Anwar

Ezam telah meniru gaya berceramah Anwar Ibrahim. Saya tahu tentang hal ini kerana saya pernah satu masa yang lama dahulu berkongsi pentas dengan Ezam. Ezam telah cuba meniru lenggok dan dengung idgham ma'al 'unnah termasuk tajwid dan sengau si Anwar Ibrahim. Untuk saya gaya ini agak 'geli' tetapi menarik perhatian setengah orang yang mendengar ketika Anwar dalam penjara. Tetapi sekarang ini apabila yang asli telah ada maka Mak Cik Felda tidak akan terpaut untuk datang ke ceramah cap ayam Mat Ezam.

Saya pernah meminta kawan-kawan untuk pergi mendengar ceramah Mat Ezam ini. Sekurang-kurangnya meramaikan orang yang nampaknya semakin susut. Malu melihat kawan lama 'bertandak atas tong' seorang diri. Saya sendiri tak berani pergi kerana umum tahu saya bukan orang Selangor. Kalau tidak, dalam dalam gelap itu boleh juga saya menebeng untuk meramaikan pendengar ceramah.

Seperti di zaman Reformasi, Ezam akan ke hulu ke hilir melaung sambil mencabar dari atas pentas ceramah. Ezam mencabar sesiapa sahaja yang berani mempertikai apa yang dicakapkannya. Hebat. Gugat.

Tetapi sayang sekali, semuanya telah menyakitkan hati Ezam. Bukan kerana yang mendengar tak ramai - ini pun satu hal - tapi tidak ada sesiapa pun yang ambil peduli dan menyambut cabarannya itu. Semua orang buat tidak peduli sahaja. Malah Lokman Adam, seorang pemikir dalam gerakan Pemuda gerombolan yang lebih kurang sama hebatnya dengan Mat Ezam pun terus memperlekehkan Ezam yang tidak sudah-sudah mencabar.

Sesiapa yang ada pergi mendengar ceramah akan tahu bagaimana di pembukaannya, si penceramah akan melafaz berdoa berjela-jela dan selawat dimasukkan ke sana sini untuk menunjukkan betapa alim dan waraknya si penceramah. Pada anggapan si penceramah lagi panjang selawatnya maka lagi sucilah apa yang diperkatakan. Mat Ezam juga tergulung dalam kumpulan ini.

Tetapi ada sesuatu yang paling menakjubkan dalam ceramah Ezam yang saya tonton. Saya tidak berbohong. Saya takjub apabila saya terdengar apa yang dikatakan oleh Ezam ini.
Mat Ezam berkata yang dia bersyukur kerana dengan pertolongan Allah dia telah mendapat tahu bahawa Anwar ini bermaruah rendah. Bagaimana Allah memberi ilham kepada Ezam tidak pula jelas. Tidak ada pula Ezam menyebut beliau bersuluk atau dia pergi bertapa.

'Ilham' dari Muhyiddin

Mengikut ceramah Ezam semenjak mendapat ilham dari Allah, maka dia telah mengambil keputusan untuk meninggalkan bos lamanya Anwar Ibrahim. Kini Anwar yang menjadi idolanya dahulu bukan sahaja seorang yang bermoral rendah malah seorang pengkhianat bangsa. Betul. Anwar dikatakan oleh Ezam sebagai pengkhianat bangsa Melayu.

Di bahagian ini saya minta maaf. Saya agak kurang jelas. Tentang pengkhianat bangsa Melayu, saya agak kabur, apakah ilham ini datang dari Muhyiddin Yassin? Kalau ingatan saya betul, si Muhyiddin inilah orang yang pertama mengatakan si Anwar ini pengkhianati Melayu. Kalau saya silap saya minta maaf.

Sebenarnya, mengaitkan Tuhan dalam politik ini bukan sesuatu yang baru. Kalau kita rajin membaca sejarah kuno Eropah, maka kita akan bertemu dengan para paderi yang mengakui diri mereka mewakili Tuhan di bumi ini. Bayangkan betapa kecutnya petani apabila si paderi datang melawat kampung mereka. Bukan sahaja panen petani ini akan diambil sang paderi malah silap-silap hari bulan anak dan isteri juga akan dibungkus sama. Ini semua dilakukan kononnya atas permintaan Tuhan.

Apabila Ezam cuba mengaitkan Allah maka saya angkat tangan menyerah. Saya mengaku kalah. Saya angkat tangan dan angkat topi. Bandingkan, maklumat yang saya terima hanya melalui laporan hospital Pusrawi dan maklumat daripada laporan tuan doktor dari Hospital Kuala Lumpur. Kemudian saya mengikuti laporan akhbar tentang perbicaraan ini. Inilah sumber maklumat saya. Dari maklumat ini saya membuat rumusan berhubung kes liwat Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Bandingkan pula maklumat saya dengan maklumat Ezam. Apabila Ezam mendakwa mendapat ilham dari Allah - saya tak terkata apa-apa. Siapa yang boleh mempertikaikan hal ini. Saya tidak memiliki kudrat dan iradat untuk mempertikai ilham Ezam ini.

Tetapi saya ada sedikit kekalutan dan merasa resah. Sebenarnya saya ingin bertanya dengan Ezam apakah beliau tidak diilhamkan tentang siapa sebenarnya membunuh Altantuya. Atau tentang adik Sharlinie Mohd Nasyar yang selama ini masih hilang.

Semua ini pelik. Untuk saat ini saya hanya berani berkata seperti dalam kitab Sulalatus Salatin - wallahhu 'alam bissawab - hanya Allah yang Maha Mengetahui.M/Kini

PAS SELANGOR JAWAB CABARAN BODOH DARI NOH OMAR

Posted: 04 Aug 2010 03:00 AM PDT

PAS Selangor komited "amar makruf nahi mungkar"

| Aug 03, 2010

Sebagai sebuah parti Islam PAS Selangor komited dalam kerja-kerja "amar makruf nahi mungkar" khasnya yang melibatkan umat Islam di negeri ini.

Di negeri Selangor di bawah peraturan yang sedia ada pusat-pusat hiburan memang melarang umat Islam dari tercebur dalam aktiviti mungkar termasuklah meminum arak di premis yang seumpama ini. Begitu juga rumah-rumah urut uniseks pula memang dilarang menerima pelanggan yang beragama Islam di premis masing-masing

Premis maksiat seumpama ini sewajarnya dijauhi oleh umat Islam bukan hanya di bulan Ramadhan malah sepanjang tahun. PAS Selangor memang peka dan sentiasa memantau dan memberi perhatian agar agensi penguatkuasaan negeri terutama dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan pihak PBT meningkatkan aktiviti penguatkuasaan dari masa ke semasa bagi mencegah umat Islam mengunjungi premis sedemikian.

Selain itu wakil-wakil PAS di dalam PBT seluruh Selangor telah pun memperkenalkan penambah-baikan agar premis seumpama ini tidak lagi melibatkan umat Islam samada selaku pengunjung atau pelanggan mahupun pekerja. Malahan dalam tempoh singkat pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat ini telah ada PBT di Selangor yang mengharamkan pemilik-pemilik lesen premis seumpama ini dari menggaji atau mengambil sebagai pekerja dari kalangan penganut beragama Islam.

Ternyata kerja-kerja "amar makruf nahi mungkar" yang diusahakan oleh PAS melalui kerajaan Pakatan Rakyat Selangor terbukti berkesan dan lebih membawa makna berbanding dengan pentadbiran yang terdahulu yang tidak mementingkan aspek seumpama ini.

Sehubungan itu PAS Selangor ingin menasihati Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Noh Omar (gambar kanan), agar tidak perlulah membuang masa melontarkan cabaran agar ditutup premis pusat hiburan dan rumah urut di Selangor sepanjang Ramadhan, kerana sesungguhnya pusat-pusat maksiat ini sememangnya tidak wajar dikunjungi oleh umat Islam sepanjang masa. Yang anehnya tiada pula usaha yang sama dibuat semasa BN diterajui UMNO memerintah negeri Selangor sebelum ini. (Merujuk kenyataan Noh Omar dalam akhbar Sinar harian hari ini)

Sesungguhnya apa yang penting adalah seluruh umat Islam di negeri ini dididik dan faham bahawa sebagai seorang Muslim mereka wajib menjauhkan diri dari sebarang aktiviti dan kerja-kerja mungkar. PAS melalui kerajaan negeri akan memastikan yang aktiviti penguatkuasaan terus dilaksanakan sehingga maksiat dapat dibendung di negeri ini.

Sebaliknya PAS Selangor mahu mengesyorkan agar Noh melontarkan cabarannya kepada kerajaan-kerajaan negeri Barisan Nasional termasuklah Kerajaan Persekutuan yang mentadbir Wilayah Persekutuan agar dikawal dan jika berupaya ditutup terus premis maksiat seumpama ini jika benar UMNO adalah parti umat Islam.

Rakyat telah memberi peluang lebih 50 tahun kepada UMNO dan BN khasnya di Selangor tetapi ternyata tidak nampak sebarang perubahan yang dilakukan dalam aspek ini. PAS Selangor melalui Pakatan Rakyat komited untuk membebaskan negeri ini dari sebarang gejala maksiat secara berperingkat-peringkat supaya perubahan yang diperkenalkan dapat diterima dan dipraktikkan secara menyeluruh oleh rakyat di negeri ini.

*Kenyataan media oleh Roslan Shahir bin Mohd Shahir selaku Ketua Penerangan, Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor.

-MerdekaReview

Tiada ulasan: