Selasa, 31 Ogos 2010

Kopitiam Bang Nan

Kopitiam Bang Nan


Timbalan Presiden PKR: Zaid bertanding kalau Tan Sri Khalid menolak....

Posted: 31 Aug 2010 07:41 PM PDT

Baguslah kalau begitu. Kalau PKR mahu mereform politik tanahair...biar Khalid atau Zahid yang ganti Anwar. Masing2 tak gila kuasa dan kuat berkerja.....Itu pendapat akulah. BTW Aku orang PAS..he he..!!

Ibrahim Ali patut Berdialog

YB muda Nurul Izzah harus dipuji untuk mempelawa Perkasa berdialog bersamanya mengenai apakah yang menjadi kebimbangan Perkasa. Beliau bertanya apa punca atau perkara yang dikatakan menjadi kebimbangan Perkasa. Beliau mengulas, adakah orang Melayu sudah hilang kedudukan istimewa mereka, atau apakah kemunduran mereka itu berpunca daripada sebab-sebab yang lain? Nurul bertanya, adakah mereka sebenarnya mempunyai 'hak istimewa'?

Kesanggupan anak muda ini mengupas perbezaan konsep 'hak' dan 'kedudukan' (Special position, privileges atau rights) itu mengembirakan saya. Ia menunjukkan seorang pemimpin yang tidak malas berfikir. Malas berfikir adalah penyakit utama kemunduran pemimpin Melayu. Tanpa memahami perbezaan konsep ini, sukar untuk kita faham maksud Perlembagaan. Dan tanpa merujuk kepada Perlembagaan sebagai asas, kita akan berterusan menjerit dan mengancam antara satu sama lain. Beliau juga berani mengupas fakta sejarah seperti latarbelakang peruntukan istimewa Perkara 153 dalam Perlembagaan dan konsep Social Contract.

Seperti yang saya jangkakan, Perkasa tidak akan berdialog dan telah menolak pelawaan itu. Perkasa lebih selesa menghentam dan menjerit-jerit bagaimana Melayu tercabar, bagaimana Melayu sudah hilang segalanya, atau bagaimana institusi Melayu terancam dan sebagainya.

Mereka tidak mahu mencari punca sebenar. Cukup bagi mereka memanaskan api kemarahan dan meninbulkan kebimbangan orang Melayu dan menutup pintu pemikiran orang Melayu tentang punca sebenar kemunduran Bangsa yang Bertuah ini. Sudah lebih 50 tahun kita mempunyai Kerajaan yang dikatakan membela orang Melayu, dan didampingi oleh institusi Raja dan Institusi Melayu yang lain, tetapi masih lagi kekal sebagai bangsa yang ada dalam segala kekurangan. Salah siapa sebenarnya?

Inilah tanggungjawab pemimpin Melayu yang mahu berjuang. Sanggup meneliti and menerima bahawa kita tidak boleh bercakap mengenai hak dan keistemewaan kita tanpa menerima realiti bahawa rakyat lain juga ada hak mereka. Kita tidak mampu berlaku adil kapada satu kumpulan atau puak kalau kita tidak berupaya berlaku adil kapada semua rakyat. Dalam mencari asas keadilan ini, pemikiran dan sikap pemimpin Melayu perlu berubah. Mereka mesti sanggup mencari punca sebenar kelemahan mereka, dan tidak takut memberitahu orang Melayu hakikat sebenar yang mungkin pahit ditelan. Pendekatan ini ada bahayanya.

Pemimpin seperti Nurul ini akan terus dicap sebagai 'terlalu liberal' atau tidak sesuai dengan pandangan orang Melayu. Beliau akan dihentam oleh Perkasa, UMNO dan sesetengah lapisan pemimpin Parti Keadilan sendiri. Beliau akan diingatkan bahawa pandangan 'liberal' ini tidak boleh diterima oleh orang Melayu kerana pandangan orang Melayu masih lagi 'feudal'.

Sebenarnya inilah cara Melayu dikongkong: mereka disalahkan di atas kelemahan pemimipin Melayu mereka sendiri. Sedangkan sebenarnya pemimpin Melayulah yang mengecewakan orang Melayu kerana mereka yang masih feudal, terkongkong dan malas berfikir. Semua pandangan baru yang lebih progresif ditolak, takut kononnya orang Melayu tidak boleh menerima.

Saya sendiri sedar ramai pemimpin Keadilan melihat serong pandangan saya dalam pelbagai isu. Malah dalam masa pemilihan parti dewasa ini, saya telah mendengar bermacam kecaman, bahawa saya akan menjual hak orang Melayu. Saya kononnya Melayu liberal yang suka mencari populariti murahan dengan bangsa lain dalam parti. Dan yang paling dahsyat, yang saya akan menggagalkan perjuangan Anwar Ibrahim dan mungkin menjualkan parti Keadilan ini kepada UMNO suatu hari nanti jika saya diberi kuasa.

Serangan dan fitnah ini tajam sekali dan agak mengejutkan, lebih lagi kerana saya telah kata saya tidak mahu apa-apa jawatan. Tapi mereka tetap mengasak. Jadi, saya telah membuat keputusan baru. Kalau dah kena serang bertubi-tubi, baik saja masuk gelanggang. Kata orang, kalau nak kena tempeleng biar berbaloi. Tapi itu pun kalau Tan Sri Khalid tak mahu jawatan tersebut. Kalau dia mahu, saya lebih selesa memberi laluan kepada beliau kerana dia banyak pengalaman yang boleh membantu parti. Tan Sri tak suka hentam dan burukkan orang lain, dia lebih minat berkerja. Sebenarnya, itulah pemimpin yang boleh membantu orang Melayu dan parti kita.

Ustaz Hasrizal @ Saifulislam di Masjid Bukit Indah malam ni...

Posted: 31 Aug 2010 06:31 PM PDT


Dah lama bebeno ghasenye tak mendengor tazkirah mahupun kuliah Ustaz Hasrizal. Malam ini giliran beliau untuk menyampaikan Tazkirah Ramadhan di Masjid Bukit Indah atas tajuk "Mencari Cinta Hakiki!"

Kawan teman loyar Md. Noh pesan awal2 supaya ngingatkan dia. Ha...jangan lupe yob!!

Di bawah ini tulisan terbaru beliau....

Bertuahkah Islam Mendapat Melayu?
30/08/2010, by Abu Saif

Malam ini aku menangis.

Qiyam Ramadan aku beriring sendu.

Aku tidak dapat menahan rasa sedih dan kesal, bagai ada batu besar terbuku menjadi beban di lubuk hatiku.

Rasa terkilan itu juga bersulam silang dengan rindu.

Aku rindu pada saat-saat kelanaku di bumi yang amat jauh dan terpencil daripada dunia Islam. Merindui Ramadan di kelana dakwahku semasa menggalas tugas mengimamkan umat di tapak krisis Protestant – Katholik itu.

Di bumi Ulster.

Kenanganku kepada Ramadan di Belfast bukan pada kemeriahan berbuka puasa atau berQiyam semata.

Apa yang lebih mengundang rindu, menusuk kalbu, adalah pada manis yang dijamu. Kemanisan bekerja untuk Islam di bulan Ramadan, tatkala masjid kecilku itu menyaksikan begitu ramai anak tempatan disentuh hidayah Allah. Di lindungan bumbung Ramadan, masjidku dilimpahi rahmat dengan ungkapan Shahadah lelaki dan perempuan, yang semenjak lahir mereka tidak kenal Allah dan Muhammad, namun di masjidku, mereka kembali.

Kembali kepada fitrah.

Mereka bersyahadah.

Itulah Ramadan di bumi Eropah.

Bukan hanya di masjid kami, malah di kebanyakan masjid yang ada.

Di masjidku, kami mahu ia seperti Masjid Nabi. Sesiapa yang mencari teduh, dijemput berteduh. Sesiapa mencari hidayah, disambut dengan ramah. Hampir setiap hari tetamu datang dengan pelbagai agama dan latar belakang. Namun mereka bertemu di maksud yang satu. Mereka mahu tahu.

Apa Islam? Siapa Muslim? Mengapa Islam? Bagaimana Muslim?

Mereka tidak pernah mengotorkan masjid. Mereka tidak pernah mencemari masjid. Mencabut kasut, kami beritahu. Berpakaian sopan, mereka sudah tahu. Menghormati jemaah, memang cara hidup mereka begitu, hingga kami tidak terbayang berkemungkinan mengulang perbuatan Nabi, membasuh kencing Badwi, tanpa merungut dan mencela caci.

Pada mereka, datang bertamu.

Pada kami, Allah yang menyeru.

Tugas kami menyambut tetamu.

Bukankah itu amanah di bahu?

Bulan Ramadan adalah bulan yang dinanti-nantikan. Bukan hanya pada segala kebaikan yang sedia terjanji di lisan Nabi yang berpesan. Malah bulan ramai anak tempatan memeluk Islam. Hidayah daripada Allah, namun ikhtiarnya tidak pernah menghela lelah.

SECEBIS KISAH ANTHONY YANG MEMELUK ISLAM DI BULAN RAMADAN

SIAPA BERTUAH SIAPA

Itulah yang mengundang tangisanku malam ini.

Ramadan dalam kenanganku di perantauan, adalah bulan Allah menghadirkan tetamu-tetamu al-Rahmaan ke setiap rumah-Nya.

Ramadan dalam realitiku di kampung halaman sendiri…

Muslim yang tidak datang ke masjid tidak pernah diendah dalam kerisauan.

Bukan Muslim yang datang ke masjid, dihalau, dicaci penuh prejudis, dan dimurkai sesuka hati.

Kalimah Allah mahu dieksklusifkan, Doa Khutbah mahu dieksklusifkan, Masjid dan Surau mahu dieksklusifkan, hingga aku terbelenggu dalam fikiran, betapa bertuahnya Melayu mendapat Islam, namun bertuahkah Islam mendapat Melayu?

Mahsyar akan menuntut jawapan kepada persoalan itu…

"Erti Hidup Pada Memberi"

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang, Selangor

Da'auhum (Biarkan mereka)....

Posted: 31 Aug 2010 05:21 AM PDT

UMNO BERPESTA FITNAH DI BULAN BARAKAH
Oleh : Mohamed Hanipa Maidin

Cuba bayangkan jika Rasulullah s.a.w ditakdirkan Allah masih hidup di zaman ini. Tidakkah kita fikirkan bahawa Utusan dan Umno mungkin juga akan menemplak tindakan Rasulullah s.a.w yang membenarkan orang-orang Kristian Najran masuk ke masjid dan bersembahyang di Masjid Nabi.

Ahli Parlimen DAP Y.B Teo Nie Ching diserang-serang habis-habisan kerana berkunjung ke Surau Al-Huda Kajang untuk menyampaikan bantuan membaiki pagar surau tersebut. Beliau telah dijemput oleh jawatankuasa surau untuk menyampaikan ucapan ringkas. Insiden itu bagaimanapun dieksploitasi media arus perdana dan Umno dengan mendakwa ia satu kesalahan dan mencemar imej Islam.

Kerana seronok memfitnah di bulan Ramadhan , Umno dan Utusan tidak peduli seerah Rasulullah s.a.w dan para sahabat yang berjaya menonjolkan ruh tasamuh ( toleransi ) yang amat tinggi apabila berdepan dengan golongan non muslim . Sebagai satu contoh toleransi yang Rasulullah s.a.w tonjolkan adalah sepertimana kisah yang dinyatakan oleh Ibn Ishak di dalam seerah berkenaaan perjumpaan Baginda dengan golongan Kristian Najran.

Ibnu Ishak meriwayatkan golongan Kristian ini telah bertemu dengan Rasulullah s.a.w di Madinah dan mereka bejumpa Rasulullah s.a.w di Masjid Nabi. Apabila tiba waktu asar golongan Kristian ini bangun ingin menunaikan sembahyang mereka dan ada para sahabat yang cuba menegah mereka. Rasulullah sebaliknya mengatakan " Da'auhum ! ( biarkan mereka ) .

Rasulullah s.a.w membenarkan golongan Kristian itu bersembahyang mengikut cara mereka di dalam masjid Nabi !! Akhirnya mereka bersembahyang dengan mengadap di sebelah timur ( lihat buku tulisan Yusuf Al-Qardhawi " Religious Minority from Shariah's Perspective ). Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat dan Ketua Dewan Ulama Pas,Dato Harun Taib iaitu mereka yang arif tentang Islam menyatakan tidak salah orang bukan Islam memasuki masjid.

Jika Rasulullah s.a.w yang digambarkan oleh Al-Quran sebagai qudwatun hasanah ( role model ) membenarkan orang bukan Islam bersembahyang cara mereka di Masjid Nabi siapakah Utusan dan Umno yang ingin melarang Ahli Parlimen DAP dari memasuki surau Al-Huda, Kajang.

Umno dan Utusan mendakwa kononnya pihak Surau Al-Huda membenarkan Nie Ching memberikan tazkirah sedangkan beliau adalah orang bukan Islam dan tidak memakai aurat.

Sebenarnya ini hujah makan tuan. Baiklah katakan , untuk tujuan berhujah, kami terima pendapat Umno bahawa Nie Ching tidak sepatutnya bertazkirah kerana beliau adalah orang bukan Islam dan tidak menutup aurat . Jika itu hujah Umno kita juga berhak bertanya kenapakah semasa Umno menjadi Kerajaan di Selangor dahulu para alim ulama' seperti Tuan Guru Nik Aziz, Dato' Dr Harun Din , Almarhum Dato Ishak Bahrum dan beberapa alim ulama' yang lain juga dilarang memberikan tazkirah oleh pemimpin Umno .Bukankah Tuan Guru Nik Aziz, Dato' Dr Harun Din , Almarhum Dato Ishak Bahrum adalah orang Islam dan bukankah mereka juga menutup aurat !

Umno katakan Nie Ching tidak menutup aurat ketika bertazkirah . Kita ingin bertanya Umno , adakah hukum atau perintah menutup aurat hanya untuk orang Islam atau juga terpakai untuk orang bukan Islam ? Jika menutup aurat hanya wajib untuk orang Islam sahaja kenapakah kita harus mewajibkan ke atas orang bukan Islam dalam perkara yang Allah tidak wajibkan ke atas mereka. Bukankah pendirian kita bahawa orang bukan Islam yang ingin berkunjung ke masjid mestilah berpakaian sopan. Saya tidak nampak Nie Ching berpakaian tidak sopan hanya kerana beliau tidak bertudung.

Jika Umno begitu serius tentang isu menutup aurat mengapakah Umno tidak ambil peduli sebahagian besar isteri pemimpin Umno dan sesetengah pemimpin wanita dan Puteri Umno yang masih tidak menutup aurat !

Apabila Ahli Parlimen Selayang, Y.B William Leong Jee Keen menyampaikan sumbangan kepada wakil Masjid al-Taqwa, Selayang akhbar Mingguan Malaysia menulis dengan tajuk berikut " Ahli Parlimen Selayang pula " bertazkirah" Kesucian Masjid terus dinodai" ( Mingguan Malaysia 29/8/2010 m/s 3 ) . Akhbar itu melaporkan pengarah JAIS Datuk Mohamed Khusrin Munawi berkata orang bukan Islam tidak dibenarkan memasuki ruang solat utama kerana mereka tergolong dalam berkeadaan hadas besar.

Saya tidak pelik jika JAIS mengambil pendirian begitu kerana bagi saya saki baki pengaruh Umno masih tebal dalam JAIS. Bukankah JAIS di zaman BN dahulu sibuk mengambil tindakan kepada AJK masjid yang dilihat tidak cenderung kepada Kerajaan BN. Saya mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam isu tersebut kerana saya mewakili lebih kurang 7 buah masjid dan surau yang diganggu oleh JAIS !

Untuk Khusrin kita ingin bertanya soalan berikut : Adakah Rasulullah s.a.w tidak tahu orang-orang Kristian Najran berhadas besar semasa Rasulullah s.a.w membenarkan mereka masuk Masjid Nabi dan bersembahyang di Masjid Nabi ?

Apabila Ustaz Zakaria Ahmad mendoakan di dalam khutbah agar Lim Guan Eng diberi hidayah akhbar proksi Umno memfitnah beliau dengan mengatakan doa Ustaz Zakaria berbunyi begini " Ya Allah , Ya Tuhanku, Kau selamatkanlah pemimpin kami Lim Guan Eng… ( lihat Mingguan Malaysia 22/8/2010 m/s 5 ). Malahan ada disiarkan di dalam TV bagaimana seseorang membuat komen bahawa khutbah tersebut boleh dikatakan tidak sah kerana tidak ada doa kepada Yang Dipertuan Agung ( YDPA ). Wow ! sejak bila doa kepada YDPA menjadi rukun khutbah. Habislah semua khutbah Nabi tidak sah kerana di zaman Nabi YDPA tidak ada !

Mengapakah Umno terus menerus memainkan isu seperti ini ? Jawapannya mudah sekali iaitu amat mudah memainkan emosi rakyat dengan isu-isu sensasi ini. Percayalah Umno akan terus menerus memainkan isu seperti ini kerana bagi Umno undi adalah segala-galanya. Bagi mendapatkan undi matlamat menghalalkan cara. Umno tidak akan peduli sama ada isu yang dimanipulasi itu selaras dengan syara' atau tidak.

Lihatlah pendirian Umno dalam isu kalimah Allah di dalam akhbar the Herald. Emosi mengatasi ilmu. Lihat pula dalam isu kuil dan memijak kepala lembu . Sekali lagi perasaan mengatasi ilmu pengetahuan. Lihat pula isu orang bukan Islam masuk ke dalam masjid. Umno tidak peduli seerah dan sunnah Rasulullah s.a.w . Lihat pula isu khutbah. Umno seronok memfitnah di dalam bulan yang penuh barakah.

Muhyiddin kena ingat ni...MB Selangor la ni bukan Khir Toyo!!

Posted: 31 Aug 2010 03:23 AM PDT

Teman dah ngagak dah...Muhyiddin ni kelentong!! Sebab tu teman mohon penjelasana YAB Khalid Ibrahim...

Sorrylah Din...miker pembangkang kat Selangor ni..he he..



MB Selangor: Langat 2 hanya selepas rundingan struktur semula air selesai
August 31, 2010

Mentri Besar Tan Sri Khalid IbrahimKUALA LUMPUR, 31 Ogos — Kerajaan Selangor menegaskan ia hanya akan meneruskan projek Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) selepas perbincangan penstrukturan semula industri air dengan pemegang konsesi swasta dan agensi persekutuan diselesaikan dengan baik.

Dalam kenyataan yang dilihat mempertikaikan pengumuman Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri tidak pernah membantah projek Langat 2, tetapi mempertikaikan langkah kerajaan pusat memberi keutamaan terhadap projek tersebut.

"Kita menerima projek Langat 2, tetapi ia tidak perlu dibuat dengan terburu-buru," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Khalid berkata buat masa sekarang kerajaan negeri mahu menyelesaikan isu penstrukturan semula indusri perkhidmatan air di Selangor.

Khalid berkata, kerajaan negeri menegaskan sekali lagi bahawa perlu memberi keutamaan penstrukturan semula industri perkhidmatan air berbanding projek Langat 2.

Menteri Besar mengulas laporan akhbar yang memetik Muhyiddin, Timbalan Perdana Menteri, yang mendakwa Khalid telah memberi persetujuannya pada mesyuarat Majlis Sumber Air Negara Kelima di Putrajaya, semalam.

Menteri Besar hairan bagaimana Muhyiddin mengulas bahawa Selangor telah memberikan izin untuk projek rawatan air Langat 2.

Oleh itu beliau menggesa agar Timbalan Perdana Menteri menahan dirinya daripada membuat andaian pada masa depan.

"Kita akan meneruskan rundingan untuk menyelesaikan isu penstrukturan semula industri perkhidmatan air yang buntu sejak tahun lalu.

"Kita mahukan perjanjian lebih baik, perkhidmatan lebih baik dan harga lebih baik untuk rakyat – itulah matlamat kami," kata Khalid.

Muhyidddin berkata kerajaan negeri Selangor bersetuju membenarkan projek Langat 2 dilaksanakan di negeri itu, sekali gus menyelesaikan kemelut dengan kerajaan persekutuan selama ini.

Muhyiddin berkata, persetujuan berkenaan dinyatakan oleh Abdul Khalid dalam mesyuarat semalam.

Katanya, Khalid juga telah melahirkan harapan untuk menyelesaikan perkara ini secepat mungkin bagi mengelakkan krisis bekalan air melanda Selangor dan Wilayah Persekutuan.

"Isu ini tidaklah dibincangkan dengan begitu mendalam, tetapi apa yang penting semuanya telah bersetuju agar perkara ini diselesaikan dengan cara sebaik-baiknya.

"Dari apa yang kita tahu, terdapat perbezaan mengenai unjuran waktu yang diberikan berhubung waktu Selangor dan Wilayah Persekutuan akan mengalami krisis bekalan air dan kita telah bersetuju bahawa patutnya tidak ada sebarang perbezaan penilaian waktu ini," katanya.

Langat 2 membabitkan projek pembinaan terowong di Selangor untuk menyalurkan bekalan air bersih dari Pahang untuk menampung keperluan air bersih di tiga tempat iaitu Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sehingga tahun 2025.

Tiada ulasan: