Sabtu, 21 Ogos 2010

kalam Perantau

kalam Perantau


Mahasiswa: Shabery, kan molek kalau terbuka macam Saifuddin

Posted: 21 Aug 2010 11:00 PM PDT

Oleh Mohd Nasir Awang   

Setakat ini Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah masih istiqomah dengan sikap dan komitmennya memperjuangkan peraturan lebih terbuka untuk aktivisme mahasiswa. Selaku bekas aktivis pelajar di zaman kampus dulu, beliau sendiri tentu lebih maklum dengan kekangan dan kongkongan yang sekian lama dihadapi warga kampus, terutama dalam menyatakan pendirian politik masing-masing.

Kebetulan pula beliau kini berada di tapak yang amat bersesuaian dengan kecenderungan pemikirannya. Kementerian dijaganya membolehkan beliau merealisasikan hasrat mewujudkan suasana lebih liberal dan adil untuk pembinaan insan lebih kreatif dan cemerlang di kampus-kampus institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan.

Perkembangan semasa yang memungkinkan pemimpin mahasiswa IPT menyatakan sikap secara terbuka turut membantu mempercepatkan pencapaian hasrat itu. Sebab itu apabila  ada kumpulan mahasiswa menyatakan persetujuan membenarkan mereka terbabit dalam parti politik, ia bagaikan 'pucuk dicita ulam mendatang' buat Saifuddin.

"Saya menyambut baik resolusi ini. Jadi, kita akan mempertimbangkan cadangan berkenaan berikutan ia dipersetujui dan mewakili suara mahasiswa IPTA itu sendiri," media pada Selasa (10 Ogos) memetik katanya.

Beliau mengulas penyerahan resolusi daripada wakil pemimpin mahasiswa mewakili 20 IPTA pada Konvensyen Majlis Perwakilan Pelajar dua hari sebelumnya. Menerusi resolusi itu, mahasiswa mengambil kata sepakat bersetuju mereka dibenarkan terbabit dalam parti politik.

"Apa yang penting ialah soal hak mereka (mahasiswa) untuk bersuara dan berorganisasi yang dijamin Perlembagaan. Selain itu, ia penting untuk mematangkan demokrasi kita," ulasnya lagi.

Tidak syak lagi, secara idealnya pandangan dan pendirian sebegitulah yang amat kita harapkan. Kehidupan kampus sering dianggap platform terbaik menggilap bakat kepemimpinan yang diharapkan menjadi pelapis teraju masyarakat dan negara.

Untuk itu sudah sepatutnya sebarang kongkongan terhadap aktivisme dan idealisme siswa ditiadakan. Mereka perlu didedahkan dengan perkembangan "dunia luar". Selaku juru bicara ummah dan ejen perubahan masyarakat, mahasiswa perlu diberi ruang menyelami keluh-kesah rakyat.

Tidak dapat tidak, secara adilnya mereka perlu diberi kebebasan memilih dan menzahirkan kecenderungan politik masing-masing. Malangnya, keterbukaan dan sikap lapang dada ditunjukkan Saifuddin itu gagal dikongsi pemimpin lain.

Biar pun secara zahir para pemimpin Barisan Nasional (BN), khususnya Umno, menampakkan kesediaan mewujudkan kelonggaran dituntut mahasiswa, ia bukan kebebasan sepenuhnya. Kebebasan dibayangkan itu tidak akan menyebabkan mahasiswa terlalu berani menzahirkan sikap anti-establishment, yang merugikan parti pemerintah.
Sebab itu di saat gelombang kebangkitan rakyat menuntut keizinan lebih luas kepada penjawat awam dan warga kampus melibatkan diri dalam politik kepartian semakin memuncak mutakhir ini, sikap sebilangan pemimpin negara tidak sealiran dengan kecenderungan rakyat itu.

Bahkan, ada menteri tergamak membangkitkan isu kononnya parti pembangkang membelanjakan puluhan juta ringgit bagi menjayakan program merekrut mahasiswa. Umpamanya, PAS didakwa menjadikan pelajar Malaysia di Mesir sebagai 'kilang' untuk melahirkan pemimpin dan pendokong parti itu.

"Ini kerana mereka melihat Mesir tempat paling subur untuk meraih sokongan dalam kalangan pelajar Malaysia, dan juga sedikit di England," media pada Ahad (8 Ogos) memetik kebimbangan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Dakwaan itu disangkal Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad. Katanya, partinya tidak pernah mengeluarkan duit untuk mengadakan program dengan pelajar di luar negara.

"(Perjuangan di atas dasar) kebenaran tidak memerlukan wang. Sebaliknya, jika memang benar terdapat pelajar di luar negara yang memilih perjuangan PAS, itu menunjukkan golongan cerdik pandai sentiasa bersama parti ini," ulasnya sinis.

Namun isu lebih utama di sini ialah kegagalan Shabery berfikir secara terbuka dan bersikap adil, terutama berhubung peluang sama rata antara parti-parti politik dalam mendekati warga kampus, dalam mahu pun luar negara.

Maksudnya, di saat parti kerajaan menikmati ruang dan peluang seluasnya mengadakan berbagai program mendekati mahasiswa, apakah masih wajar untuk BN-Umno berdengki dengan sokongan diterima parti lawan?

"Yang rekrut (mahasiswa) sebelum ini adalah Umno dan bukannya kita (PAS). Umno yang rekrut untuk tubuhkan Kelab Umno," ujar Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Baginya, penubuhan Kelab Umno Luar Negara, terutama di Amerika Syarikat, Britain dan Mesir adalah bukti jelas bahawa mahasiswa sudah lama dibolehkan aktif politik, tetapi hanya untuk Umno.

Ketidakadilan ini antara perkara yang mengganggu Saifuddin sejak dulu. Sebilangan tulisannya sarat dengan pandangan meliberalisasikan peraturan, terutama berkaitan perjalanan pilihan raya kampus.

Sebab itu apabila ada dakwaan kononnya kumpulan mahasiswa tertentu dalam pilihan raya kampus dibantu pihak luar dalam kempen mereka, beliau mendesak ia dinilai secara lebih adil.

"Siapa pihak luar dimaksudkan itu? Bagi yang memahami politik kampus, lazimnya pihak luar itu ditujukan kepada pembangkang. Bagaimana jika pihak luar itu turut membabitkan orang kerajaan?", soalnya menerusi kolum beliau dalam sebuah akhbar arus perdana, 23 September 2006.

Kita percaya Saifuddin sendiri sedia maklum betapa Umno jauh lebih ke depan dalam mempengaruhi politik kampus berbanding pembangkang. Justeru, di mana adilnya jika kecenderungan politik di kalangan warga kampus dibataskan hanya untuk kepentingan BN-Umno.

Tidak syak lagi pemikiran terbuka sebegitu tidak dikongsi rakannya dalam Umno. Justeru, ada baiknya beliau memperturunkan sedikit pemikiran sebegitu kepada yang lain, terutamanya Shabery


Najib dan Hishamudin tolong jangan kembali ke era Tun Razak dan Hussein

Posted: 21 Aug 2010 07:34 PM PDT

Oleh Subky Latif   

DUNIA media cetak di Malaysia selepas merdeka sememangnya dirundung suasana seperti gerhana matahari.
Jika sebelum era Dr. Mahathir, di era Tun Razak dan Tun Hussein Onn, siangnya seperti gerhana matahari penuh dan malamnya seperti tidak berbulan. Itulah yang dinamakan gelap. Zaman mereka adalah  zaman gelap bagi media cetak.
Tetapi di zaman Dr. Mahathir ada sedikit cahaya. Cahaya itu seperti dunia menghadapi tiga suku gerhana matahari. Ia tidak gelap  gulita, tetapi lebih teruk dari mendung.

Ketika UMNO mula berkuasa di zaman Tunku, cahaya media belum tercemar. Bukan saja UMNO ada lidah rasminya, Malaya Merdeka, Parti Negara dan Partai Rakyat bebas memiliki akhbar.

Dato Onn menerbitkan mingguan untuk Parti Negara bernama Kritik. Dato Onn tidak disyaratkan oleh kerajaan meletakkan di muka depan akhbarnya penjelasan seperti Untuk Ahli Parti Negara Saja. Mingguan Partai Rakyat yang dikelolakan oleh Ahmad Boestamam tidak disyaratkan meletakkan Untuk Ahli Partai Rakyat Saja.

Malah sebelum merdeka kerajaan penjajah Inggeris tidak menyaratkan kepada Malaya Merdeka mencetak Untuk Ahli UMNO Saja.

British tidak mensyaratkan kepada Tunku supaya Malaya Merdeka dijual di pejabat UMNO saja  dan Dato Onn tidak diperintah menjual Kritik di pejabat Parti Negara saja. Ia boleh dijual di mana-mana di pasaran terbuka.

Malaya Merdeka terkubur kerana tidak laku. Kritik terkubur kerana Dato Onn dan Parti Negara mati. Lidah Rasmi Partai Rakyat jadi mendiang kerana parti itu tidak cukup dana.

Di hujung era Tunku dan sepanjang era Tun Razak dan Hussein dunia media cetak bukan saja malap tetapi gelap. Parti pembangkang tidak diberi permit penerbitan. Apa yang dibuat oleh pembangkang ialah penerbitan haram. Berkeliaran polis memburunya.

Datang ke era Dr. Mahathir dengan dia sendiri menjadi Menteri Dalam Negeri yang menjaga permit penerbitan  dibenarkannya PAS menerbitkan Harakah tetapi disyaratkan sebagai penerbitan dalaman, tidak boleh dijual kepada orang ramai – untuk ahli saja.

PAS tidak pernah minta permit terhad tetapi yang Mahathir beri permit terhad.

Harakah diedarkan oleh ahli-ahlinya. Tetapi kerana ia mendatangkan rezeki kepada pengedar, ramailah pengedar akhbar mengambil terus dari pejabat Harakah.

Tetapi polis yang dulunya dipanggil mata-mata gelap betul-betul menjadi mata-mata  gelap mengacau pengedar-pengedar akhbar. Mata-mata gelap itu tidak pula terus menerus mengacau. Ikut angin dan mood UMNO.

Apa yang berlaku itu adalah gambar demokrasi Mahathir. Dia buli Harakah seperti kucing tangkap tikus. Kucing tidak terus makan tikus yang ditangkapnya. Tetapi dikepungnya hingga tikus itu tidak bertenaga.

Dr. Mahathir dari semasa ke semasa mengeluarkan amaran tetapi dibenarkannya pula Harakah diterbitkan dua kali seminggu. Walaupun Harakah mengamalkan demokrasi, mengkritik politik Dr. Mahathir, UMNO dan kerajaan BN, dia sekadar beri amaran tetapi pula menghalang KDN mengeluarkan permit baru apabila lama tamat.

Apabila Tun Abdullah Badawi menjadi Menteri Dalam Negeri, kerja pertama yang dibuatnya ialah menyekat permit dua kali seminggu yang dibenarkan oleh Dr. Mahathir kepada dua kali sebulan,

Dari tak ada langsung seperti di zaman Tun Razak dan Tun Hussein, dua kali sebelum adalah lebih baik dari zaman sebelum Dr. Mahathir. Walau pun  tak dapat semua, jangan tak dapat semua.

Tetapi di pertengahan era Pak Lah yang singkat itu dibenarkannya pula Harakah terbit semula dua kali seminggu dan dikeluarkannya pula permit untuk Roket untuk DAP dan Keadilan untuk PKR.

Seminggu sebelum Pak Lah 'dipaksa' bersara dia cuba bawa balik alam media cetak era Tun Razak dan Tun Hussein yang gelap dulu. Disekatnya permit Harakah. Tetapi apabila Najib mengambil alih kuasa dibatalkannya perintah Pak Lah itu.

Cuma selepas KDN diserahkan kepada Dato Seri Hishamuddin, dilambatkannya pengeluaran permit baru Harakah hingga ia tidak dapat diterbitkan seminggu dan Roket serta Keadilan digantung permitnya.

Perdana Menteri Najib adalah anak Tun Razak dan Menteri Dalam Negeri Dato Hishamuddin adalah anak Tun Hussein. Keduanya seolah-olah sepakat mahu kembali ke era gelap ayah mereka dulu.

Dengan perubahan masa, anak Felda saja sudah 200 ada PhD, dunia media bertambah maju, zaman ini bukan seperti 30 tahun, orang sudah tidak sekuno dulu, biarlah keduanya tidak jadi sekolot ayah mereka.

Datuk Seri Hisham patut ingat apa yang datoknya, Dato Onn bebas menerbitkan akhbar partinya, tidak pernah disekat oleh kerajaan masa itu. Yang Dato Onn buat dulu kira-kira sama dengan PAS, PKR dan DAP buat sekarang. Dato Onn tidak dihalang mengapa cucu Dato Onn dan anak Tun Razak cuba buat apa yang orang dulu tidak buat terhadap Dato Onn.

Najib dan Hisham jangan ulang kelemahan ayah masing-masing!


Tiada ulasan: