Selasa, 13 Julai 2010

SharpShooter

SharpShooter


Siapa bunuh Altantuya

Posted: 13 Jul 2010 12:59 AM PDT


Oleh Jonathan Manthorpe

The Vancouver Sun

Roh model dan penterjemah Mongolia yang dibunuh, Altantuya Shaariibuu nampaknya enggan berdiam diri.

Kerajaan Umno-Barisan Nasional dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah dilibatkan secara tidak langsung ke dalam skandal politik yang keji apabila dua pengawal peribadinya semasa berkhidmat sebagai Menteri Pertahanan dijatuhkan hukuman mati tahun lalu atas kesalahan membunuh seorang wanita muda di sebuah hutan di luar Kuala Lumpur pada bulan Oktober 2006.

Tetapi melihatkan kepada peristiwa yang berlaku dalam beberapa minggu lalu telah menimbulkan persoalan apa kaitan pembunuhan tersebut dengan pembelian dua kapal selam diesel Perancis jenis Scorpene bernilai USD1.2 bilion semasa Najib masih menjadi Menteri Pertahanan.

Rakan dan penasihat isu pertahanan kepada Najib, Abdul Razak Baginda, yang mana syarikat milikan isterinya telah dibayar satu jumlah USD150 juta untuk kontrak pembelian kapal selam tersebut telah menimbulkan satu lagi isu cinta terlarang dengan Altantuya yang telah berakhir dengan tragis di mana Altantuya telah diculik dan dibunuh.

Semua usaha telah dilakukan bagi memastikan nama Najib tidak ditimbulkan dalam perbicaraan dua pengawal peribadi yang berlanjutan selama dua bulan.

Dalam satu tindakan yang amat menghairankan pakar perundangan dan hakim pada peringkat awal perbicaraan telah mengugurkan dakwaan ke atas Abdul Razak.

Abdul Razak kemudiannya telah melarikan diri ke Britain dan menetap di sana sehingga kini.

Wujudnya pengurusan drama perbicaraan di balik tabir oleh pegawai tinggi mahkamah di Malaysia telah meyakinkan kumpulan hak asasi manusia bahawa sia-sia sahaja usaha untuk menyelesaikan kes Altantuya di Kuala Lumpur.

Gerakan hak asasi manusia Malaysia, Suaram, telah bertindak untuk memulakan siasatan judisial di Perancis di mana telah ada beberapa siri penyiasatan yang sedang berlangsung terhadap syarikat milik kerajaan yang dikatakan sanggup membayar komisyen tinggi dan insentif lain semata-mata untuk mendapatkan kontrak pembelian senjata.

Sehubungan itu, pejabat pendakwaraya Perancis telah memulakan siasatan bermula dengan pembayaran USD150 juta kepada sebuah syarikat Malaysia, Perimekar Sdn Bhd yang ditubuhkan tidak lama sebelum Najib menandatangani kontrak pembelian dua kapal selam Scorpene dengan syarikat milikan kerajaan Perancis, DCN.

Perimekar yang kononnya dilantik untuk memberikan perkhidmatan "penyelarasan dan sokongan" bagi kontrak tersebut tidak dapat memberikan apa-apa bukti menyokong bahawa syarikat tersebut mempunyai kemampuan untuk tugas-tugas tersebut ataupun berpengalaman dalam industri itu.

Perimekar merupakan anak syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh sebuah syarikat bernama KS Ombak Laut Sdn Bhd di mana pemegang utama saham adalah Mazlinda Makhzan, seorang peguam dan juga isteri kepada Abdul Razak, rakan dan penasihat Najib.

Altantuya yang berusia 28 tahun semasa dibunuh, telah mempelajari bahasa Perancis ketika menjadi model di Paris dan terdapat juga bukti yang menunjukkan Altantuya telah menjadi penterjemah untuk kekasihnya, Abdul Razak dan membantu beliau berunding dengan DCN bagi pihak Najib dan kerajaan Malaysia.

Kerajaan Malaysia berkeras menyatakan tiada apa-apa kesalahan telah berlaku, sebagai respon kepada tindakan pejabat pendakwaraya Perancis yang menyiasat DCN dan Armanis iaitu anak syarikat DCN yang bertanggungjawab membina kapal selam.

Jurucakap Najib baru-baru ini menyatakan bahawa pihak pendakwaraya Perancis mempunyai hak untuk menyiasat, "tetapi pada pandangan kita, tiada kes untuk dijawab."

Dia juga menambah bahawa perjanjian tersebut bebas sepenuhnya daripada unsur rasuah.

Sebab utama mengapa Altantuya dibunuh oleh dua pengawal peribadi Najib tidak pula diselesaikan walaupun dengan perbicaraan yang begitu panjang yang mengemukakan 45 saksi.

Dalam beberapa peristiwa berkait, Altantuya yang ditinggalkan kekasihnya Abdul Razak dikatakan telah membuat bising bersama rakannya di luar rumah beliau.

Abdul Razak kemudiannya telah berjumpa ketua kakitangan Najib, Musa Safri dan meminta bantuan Musa menjauhkan Altantuya daripada rumahnya.

Ekoran itu dua anggota polis dan juga pengawal peribadi, Ketua Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar menculik Altantuya semasa membuat bising di luar rumah Abdul Razak lalu membawanya ke sebuah hutan di luar ibu negara dan menembaknya.

Kemudiannya mereka telah menggunakan bahan letupan C4 gred tentera untuk meletupkan mayat dalam usaha nyata untuk menghilangkan apa-apa tanda pengenalan, dan tindakan ini sudah tentu menimbulkan spekulasi bahawa Altantuya hamil.

Tetapi dalam surat yang ditulis oleh Altantuya dan ditemui selepas kematiannya, yang mana tidak pernah dibawa ke mahkamah sebagai bukti, jelas menunjukkan Altantuya telah mengugut Abdul Razak meminta USD500,000 untuk mendiamkan diri daripada mendedahkan perincian berkenaan USD150 juta yang dibayar kepada syarikat isterinya, Perimekar.

Ada juga yang mencadangkan bahawa Altantuya berkemungkinan mengetahui lebih banyak lagi butiran berkenaan perjanjian pembelian senjata oleh Najib semasa beliau menjadi Menteri Pertahanan dari tahun 2002 hingga 2008.

Perjanjian ini juga meliputi pembelian pesawat jet pejuang supersonik Sukhoi dari Rusia dan beberapa buah kapal laut pertahanan persisiran pantai.

Seperti mana organisasi hak asasi manusia Malaysia, ibubapa Altantuya juga menyatakan tiada keadilan nyata dapat diperoleh atas kematian anak mereka.

Walaupun dengan keadaan perbicaraan yang seperti drama terancang, ibubapa Altantuya telah cuba memfailkan tuntutan sivil menuntut pampasan ke atas kematiannya daripada Abdul Razak dan dua anggota polis tersebut.

Mahkamah Tinggi Malaysia pula anehnya telah meminta deposit jaminan sebanyak USD20,000 untuk membawa kes ke Mahkamah Rayuan dan jika diterima, untuk diteruskan ke Mahkamah Persekutuan.

Keluarga Altantuya pula bingung dengan keputusan mahkamah dan telah menyatakan bahawa keluarga Altantuya tidak mampu membayar jumlah setinggi itu.

Minggu lalu, Kerajaan Mongolia mengumumkan akan membayar jaminan yang diminta oleh mahkamah Malaysia agar kes dapat didengar, meskipun pada saat ini nampaknya roh Altantuya akan mendapat keadilan di Perancis lebih awal daripada Kuala Lumpur.


* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/

Lombong pasir - salah fakta

Posted: 12 Jul 2010 11:29 PM PDT

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata laporan mengenai perlombongan pasir yang disiarkan akhbar hari ini adalah tidak benar kerana fakta yang diberikan kepada media adalah salah.

Berdasarkan gambar yang disiarkan akhbar, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) mengatakan syarikat itu pasti gambar tersebut diambil di sekitar lombongnya yang mempunyai permit sah di Kampung Olak Lempit di Mukim Tanjung 12, Daerah Kuala Langat dan bukannya di Bukit Canggang seperti dilaporkan media.

"Permit melombong pasir di kawasan itu yang dikeluarkan pentadbir Tanah Kuala Langat sejak Januari 2010 selepas mendapat kelulusan jabatan teknikal termasuk Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Mineral dan Geosains, Lembaga Urus Air Selangor, Majlis Daerah Kuala Langat dan pejabat Daerah/Tanah Kuala Langat.

"Kelulusan daripada jabatan ini diperolehi selepas Skim Melombong (mining Scheme) dan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) diluluskan oleh jabatan-jabatan ini.Operasi perlombongan dijalankan selepas JAS dan LUAS berpuashati dengan EMP yang disediakan oleh KSSB.

Antara kandungan EMP adalah operasi perlombongan KSSB tidak jejaskan alam sekitar termasuklah Paya Indah Wetlands,"jelas Abdul Khalid dalam kenyataan beliau hari ini.

Menurutnya, syarikat perunding, Enviro Enhance Sdn Bhd juga bertanggungjawab menghantar laporan setiap bulan kepada JAS.

KSSB juga menyediakan zon penampan selebar 20 meter dari sempadan kawasan melombong. Kecerunan tebing yang landai dengan purata 27 darjah disediakan untuk memastikan tebing tidak runtuh dan membahayakan pekerja serta alam sekitar.

Ini adalah mengikut Skim Melombong yang memenuhi syarat JMG, kata Abdul Khalid lagi.

"Lombong KSSB ini adalah seluas 120 ekar, bukannya 120 hektar (250 ekar) seperti yang dilaporkan oleh akhbar.Operasi fasa pertama hanyalah seluas sekitar 60 ekar. Operasi fasa kedua pula sedang dalam proses pembersihan kawasan.

"Kerja-kerja melombong telah diberikan kepada syarikat kontraktor, Cheong Weng Trading yang berpengalaman selama 15 tahun dalam industri pasir.

"Semenjak operasi bermula pada Januari 2010, sebanyak 400,000 tan metrik pasir telah dijual dengan pendapatan sekitar RM7 juta bukannya RM10 juta tan pasir bernilai RM220 juta seperti yang dilaporkan akhbar," jelas Menteri Besar.

Kata Abdul Khalid, adalah tidak munasabah untuk mengeluarkan 10 juta tan dalam masa 2 minggu seperti yang dilaporkan kerana untuk mengeluarkan pasir sebanyak itu memerlukan lebih 500,000 muatan lori.

Jentera-jentera dan peralatan melombong tidak berkemampuan untuk mengeluarkan 10 juta tan pasir dalam masa 2 minggu.

Menteri Besar berkata kerajaan negeri berterima kasih kepada mereka yang prihatin dengan kejadian curi pasir.

"Kita mencuba sedaya upaya untuk membanteras jenayah ini supaya negeri tidak terus kerugian. Pentadbir Tanah telah mengenal pasti kawasan-kawasan kecurian pasir seluruh Selangor termasuklah di Bukit Canggang dan sedang mengambil tindakan termasuklah memberi Notis 7A di bawah Kanun Tanah Negara.


* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/

Tiada ulasan: