Kami Sokong Tokguru |
| Toreh Lengan Ukir Nama Kekasih Jadi Trend Remaja Sekarang Posted: 31 Jul 2010 06:34 PM PDT -Isu Semasa- KUALA LUMPUR: Biarpun masih di bangku sekolah, ramai remaja perempuan kini dikesan mengelar lengan hingga berdarah untuk menulis nama kekasih masing-masing, kononnya atas nama cinta. Mereka melakukan perbuatan itu menggunakan pisau kecil atau mencucuk lengan dengan jarum bagi menghasilkan kesan parut seolah-olah tatu. Perbuatan itu yang menjadi 'trend' terkini di kalangan remaja perempuan didedahkan pakar motivasi dan kaunseling remaja, Ahmadi Din berdasarkan pengalamannya mengendalikan beberapa kes gadis bermasalah. Ahmadi berkata, baru-baru ini sepasang suami isteri meminta khidmatnya untuk mengatasi masalah anak gadis mereka yang sukar dikawal selepas terjebak aktiviti tidak bermoral dan dia mendapati tangan remaja itu ada kesan torehan nama teman lelakinya. "Ibu bapa gadis berusia 16 tahun mengadu anak mereka terjebak pelbagai kegiatan tidak bermoral termasuk menghidu gam, merokok, ponteng sekolah dan suka berfoya-foya di disko. "Selepas mendekati gadis itu saya mendapati lengan tangan kirinya yang mempunyai tanda parut tertulis perkataan yang bermula dengan huruf A. Apabila saya tanya, dia memberitahu tulisan itu nama teman lelakinya," katanya. Menurutnya, gadis terbabit mengaku sengaja melukakan tangannya menggunakan jarum sehingga berdarah bagi mengukir nama kekasihnya yang berusia setahun lebih muda daripadanya. "Dia memberitahu perbuatan itu dilakukannya kerana terpengaruh perbuatan sama oleh rakan sebaya yang mengukir nama kekasih masing-masing pada lengan atau pergelangan tangan. "Tanpa berselindung, dia mendakwa perbuatan menoreh lengan itu dilakukan bagi membuktikan kesetiaan dan rasa cintanya yang mendalam terhadap kekasihnya yang belajar di sekolah sama," katanya. Ahmadi berkata, remaja terbabit tanpa rasa bersalah mendakwa terlalu sayangkan teman lelaki menyebabkan dia hilang pertimbangan dan berani melakukannya. "Perbuatan itu juga tidak ubah seperti pertandingan bagi membuktikan siapa paling hebat dan berani di kalangan gadis sebaya. Mereka langsung tidak ragu-ragu melakukannya hanya untuk bermegah. Siapa yang mempunyai parut nama paling panjang dianggap paling berani. "Berdasarkan maklumat dikumpulkan, perbuatan gila mencederakan diri sendiri itu menjadi 'trend' baru yang tersebar meluas di kalangan remaja sekolah rendah dan menengah. Jadi, ibu bapa perlu lebih peka dan menyiasat aktiviti anak masing-masing," katanya. Ahmadi berkata, kegilaan terbaru itu mungkin diakibatkan kaedah lama menoreh nama pada batang pokok atau kerusi batu di taman rekreasi sebagai bukti cinta dianggap ketinggalan zaman. "Lebih menyedihkan perbuatan menoreh nama teman lelaki pada lengan hingga berdarah ini sebahagian besarnya dilakukan gadis Melayu yang masih mentah untuk mengenal erti cinta," katanya. Menurutnya, perbuatan mencederakan tangan untuk menghasilkan parut tertera tulisan nama seseorang sama seperti membuat tatu dan Islam melarang keras amalan ini. "Dalam Islam, apa saja perbuatan memudarat dan membahayakan diri adalah haram. Malah, terdapat hadis Rasulullah yang maksudnya Allah melaknat perempuan membuat tatu, perempuan yang meminta dirinya ditatu, perempuan yang meminta bulu keningnya dibuang dan perempuan yang mengikir giginya," katanya. Selain itu, kata Ahmadi, daripada sudut kesihatan perbuatan menoreh kulit menyerupai tatu itu boleh menyebabkan gejala bengkak dan gatal pada bahagian ditoreh yang mengundang jangkitan penyakit Hepatitis B atau C jika jarum digunakan tercemar.-Mymetro- -ijoks2009- Astaghfirullah'alAzim,remaja sekarang makin hanyut dibuai nafsu dan emosi.Tidak cukup dengan masaalah gengstar,gaduh berebut kekasih,berzina,kini toreh lengan pulak. Ya Allah ,bimbinglah kami ke jalan mu yang benar,jangan biarkan anak-anak kami hanyut dibuai nafsu. Berikanlah hidayahmu kepada kami,anak-anak kami dan pembesar-pembesar kami untuk menjauhi segala laranganMu dan melaksanakan segala perintahMu.. |
| Binatang Aneh Islamkan Manusia Posted: 31 Jul 2010 03:56 PM PDT Ketika Imam asy-Syafi'e Radhiallahu anhu berada di Masjidil Haram, beliau terlihat seorang pemuda yang bernama Usquf yang dulunya beragama Nasrani sedang tawaf di Ka'abah. Imam asy-Syafie menghampirinya dan ingin tahu mengapa dia meninggalkan agama yang dianutinya daripada nenek moyangnya itu. Pemuda itupun menceritakan peristiwa aneh yang dilaluinya sehingga menyebabkan dia memeluk Islam. Saat saya sedang belayar menumpang sebuah kapal, tiba-tiba di tengah lautan yang luas datang angin ribut yang sangat kencang dengan gelombang tinggi menggunung memukul kapal itu sehingga tenggelam. Semua penumpang kapal tersebut turut tenggelam bersama harta benda dan barang dagangan yang dibawa, kecuali saya seorang sahaja yang dapat menyelamatkan diri dengan berpegang kepada sekeping papan serpihan daripada kapal itu. Saya terdampar di tepi pantai sebuah pulau di tengah-tengah lautan setelah mengharungi ombak badai beberapa hari. Saya gagahi diri berjalan mencari-cari kalau ada orang yang tinggal di pulau itu. Namun ternyata pulau itu sepi sekali, tidak berpenghuni, walaupun tanahnya sangat subur, penuh dengan tumbuh-tumbuhan serta buah-buahan. Apabila malam saya merasa takut kalau-kalau ada binatang buas yang berkeliaran mungkin akan mengganggu saya. Akhirnya saya mengambil keputusan memanjat sebatang pokok yang sangat tinggi dan mengikatkan diri di sebuah cabang yang kuat sehingga saya tidur di situ." Cerita Pemuda itu lagi: "Di tengah malam, saya terkejut daripada tidur apabila mendengar suara tasbih dari arah lautan. Saya melihat ke kiri dan ke kanan mencari suara itu. Alangkah terkejutnya saya apabila mendapati suara itu datangnya daripada seekor binatang ganjil yang kelihatan di bawah sinaran bulan. Binatang itu dengan jelas mengucap: ![]() Ertinya: 'Tiada tuhan selain Allah Yang Maha Mulia dan Maha Pengampun. Muhammad itu adalah Pesuruh Allah dan menjadi Nabi yang terpilih. Abu Bakar itu temannya di gua. Umar adalah kunci penaklukan negeri dan kota. Usman pula orang yang terbunuh di dalam rumahnya. Ali adalah pedang Allah untuk menumpas kaum kafir, maka siapa yang membenci mereka nerakalah tempatnya." Kalimat-kalimat yang di atas itu diulanginya beratus kali hingga tidak terkira, sehinggalah masuk waktu fajar. Tatkala binatang itu bergerak meninggalkan permukaan laut menuju ke darat diucapkannya tasbih yang lain pula: ![]() Ertinya: "Tiada tuhan selain Allah Yang Maha Memiliki Lagi Maha Mulia. Muhammad itu adalah utusanNya yang membawa petunjuk yang benar. Abu Bakar adalah sahabatnya yang menyandang pangkat kebenaran. Umar adalah benteng dan besi yang kukuh. Usman adalah sahabatnya yang terbunuh dan yang menjadi syahid. Ali bin Abu Thalib adalah pemilik kekuatan yang keras, bagi pembenci mereka adalah laknat Allah, Tuhan Yang Maha Mulia." "Selama saya hidup inilah pertama kali kata-kata ini saya dengar. Saya sangat terpegun dengan zikir dan tasbih yang diucapkan oleh makhluk itu sehingga membuat saya berfikir sejenak agama yang saya anuti selama ini." Bila binatang itu naik ke darat ternyata ia memiliki mulut seperti burung Na'amah (bangau berkepala panjang), tetapi kepalanya manusia, berkaki binatang dan berekor ikan. "Melihat sifatnya yang sungguh pelik itu, saya ketakutan dan gementarlah seluruh tubuh saya. Rupa-rupanya binatang ini tahu saya sedang memerhatikannya lalu dia melihat kepada saya, lalu dia menyuruh saya turun." "Turun!" Kata makhluk itu dengan suara yang agak kasar. "Rupanya dia boleh berkata-kata seperti manusia." Bentak hati saya. Saya takut dan enggan turun. "Turun! Jangan takut!' Perintahnya sekali lagi. Kali ini suara itu agak perlahan. Saya pun turun dengan hati yang penuh takut dan bimbang. Badan saya gementar, lalu dia bertanya kepada saya: "Wahai manusia! Apakah agamamu?" "Nasrani," jawab saya yang masih dalam ketakutan. "Sebenarnya agama itu sudah ditolak dan tidak berguna lagi," ujarnya. "Kembalilah engkau kepada agama yang benar!" Dia menasihatiku. "Agama yang benar itu apa?" Tanya saya memberanikan diri. "Agama Islam," jawabnya. Dia kemudian menoleh kepada saya lagi, seraya berkata: "Tahukah engkau di mana engkau berada sekarang?" "Tidak," jawab saya ringkas. "Kau berada di negeri jin mukmin, tiada yang selamat daripada gangguan mereka, kecuali orang-orang Islam saja," dia memberitahu. "Mendengar kata-kata makhluk itu, saya menjadi ketakutan yang amat sangat kerana saya bukan orang Islam. Mungkin dia akan mengapa-apakan diri saya. Oleh sebab sebelum ini pun saya sudah tertarik dengan kata-kata makhluk itu, maka saya tidak ragu-ragu lagi ingin memeluk agama Islam." "Kalau begitu saya mahu memeluk agama Islam, tapi bagaimana caranya?" Tanya saya kepadanya. Kata makhluk itu: "Ucaplah ![]() Ertinya: "Saya bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah, dan sesungguhnya Muhammad itu adalah utusan Alah" Makhluk itu menasihati saya lagi: "Wahai orang muda, bertakwalah kepada Allah, jagalah aqidahmu baik-baik supaya jangan terpesong. Sempurnakanlah keimananmu dengan mengakui sahabat Nabi yang empat iaitu: Abu Bakar, Umar, Usman dan Ali Radhiallahu anhum." "Terima kasih," kata saya kepada makhluk itu. "Adakah engkau ingin tinggal di sini atau pulang saja ke negerimu?" Tanya lembaga itu pula. "Ingin pulang ke negeri saya," jawab saya gembira. "Baiklah, sebentar lagi ada kapal yang akan lalu di sini, tunggulah," kata makhluk itu. Saya menjadi hairan bagaimana lembaga itu tahu, ada kapal yang akan lalu di situ. Setelah segalanya selesai, binatang itu pun masuk semula ke dalam laut dengan cepat seperti kilat sehingga tidak kelihatan lagi. Tinggallah saya keseorangan duduk termangu-mangu sendirian dengan hati yang penuh harapan. Tidak berapa lama selepas itu nampaklah dari jauh sebuah kapal melalui pulau tempat saya menunggu itu. Setelah melihat lambaian saya, dengan izin Allah kapal itu datang menyelamatkan saya. Rupa-rupanya di dalam kapal tersebut ada seramai dua belas orang penumpang yang beragama Nasrani. Sebaik saja saya selesai menceritakan kepada mereka peristiwa yang menimpa saya, tiba-tiba mereka juga redha ingin memeluk agama Islam. Maha Suci Allah. Saya merasa binatang itu telah membawa berkat yang sangat besar kepada diri saya, sebab keislaman saya berlaku dengan perantaraannya. Segala puji bagi Allah yang telah memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya jua apabila dua belas orang pemuda Nasrani di dalam kapal tersebut memeluk agama Islam dengan perantaraan saya. Demikianlah cerita bekas orang Nasrani itu kepada Imam asy-Syafi'e mengenai keislamannya. "Alhamdulillah, engkau telah menyaksikan sendiri akan kebenaran Islam itu, semoga engkau mendapat petunjuk dan keberkatan daripada Allah Subhanahu wata'ala," kata Imam asy-Syafi'e kepada Usquf. "Terima kasih, semoga Allah berkenan mematikan diri saya dengan iman dan takwa serta tetap berpijak pada agamaNya yang mulia ini," jawab Usquf pula. والله اعلم *Dipetik daripada kitab Mukhtashar Raudhur-Raiyahin karangan al'Allamah al-Yafi'iy. http://saifunnizam.blogspot.com |
| You are subscribed to email updates from Kami Sokong Tokguru To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |



Tiada ulasan:
Catat Ulasan