Selasa, 13 Julai 2010

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Gerabak: PAS gesa PAC bertindak segera

Posted: 13 Jul 2010 01:51 AM PDT

Hazayani Zakaria


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad menggesa Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengambil tindakan segera berhubung proses rundingan di antara kerajaan dan syarikat kereta api Zhuzhou Electric Co Ltd Lokomotif China.

Hal ini kerana jelasnya, meskipun kerajaan telah membatalkan kontrak lama dengan Zhozhou, namun ianya disambung kembali dengan nilai pembelian yang semakin bertambah.

"Kontrak yang lama memang telah dibatalkan tetapi lebih malang setelah dibatalkan, ianya diberikan kembali kepada syrikat yang sama, Zhouzhou.

"Dulu Zhouzhu tawarkan harga sebanyak RM14 juta untuk tiga gerabak tetapi sekarang sebanyak RM48 juta untuk enam gerabak sedangkan tidak ada perbezaan di antara tiga gerabak dengan enam gerabak, kecuali penambahan kamera litar tertutup dan slight presentation, material lain semuanya sama. Mengapa sampai meningkat ke RM48 juta?" jelasnya yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat di lobi Parlimen semalam.

Dzulkefly menjelaskan demikian sebagai mengulas reaksi bekas menteri pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat di blognya yang menganggap wakil Pakatan Rakyat lebih banyak melemparkan tohmahan dan hujah tidak berasas sewaktu perbahasan di Dewan Rakyat tentang pembelian 38 Electric Multiple Unit (EMU) 6 koc.

Beliau berkata, harga yang ditawar itu tidak termasuk pakej penyelenggaraan, baik pulih dan overhaul (MRO).

"Harga 38 EMU tidak termasuk selenggaraan, perbaikan dan overhaul (MRO) pakej. Kerajaan perlu berunding dan mendapatkan harga untuk EMU beserta pakej MRO," katanya.

Beliau juga mengingatkan kerajaan agar tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan dahulu sehingga menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kos penyelenggaraan yang terlalu tinggi kepada General Electric (GE) untuk GE Blue Tiger lokomotif, yang yang juga tidak disertakan dengan pakej MRO.

Sehubungan itu, beliau meminta PAC mengambil tindakan sebelum LOA dikeluarkan dan menyenarai hitamkan syarikat tersebut yang ternyata mengaut keuntungan yang terlalu tinggi.

"Justeru saya menggesa PAC mengambil tindakan sebelum LOA ini dikeluarkan. Apabila keluar surat tawaran, kerajaan sudah tidak boleh tarik balik," katanya.

Beliau juga kesal kerana rundingan berkenaan tidak mendapat sokongan daripada Kementerian Pengangkutan tetapi hanya mendapat arahan daripada Kementerian Kewangan.

Satukan Umno dulu sebelum ajak PAS

Posted: 13 Jul 2010 01:50 AM PDT

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: PAS menasihatkan mereka yang cuba berusaha menyatukan parti itu dengan Umno supaya tolong menyatukan sesama Umno dahulu sebelum menyatukan orang lain.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, Umno kini berada di dalam keadaan yang bercelaru dan perpecahan sesama sendiri, kerana berebut "kek projek " yang semakin kecil.

Menurutnya, Umno sekarang berada di akhir hayat, kerana sudah kehilangan identiti dan krisis nilai di kalangan ahlinya.

Beliau berkata, perjuangan Umno hanya berteraskan kepada benda, bukan ideologi.

Mereka yang memimpin Umno, kata beliau semuanya kerana perjuangan perut bukan menegakkan idealisme perjuangan seperti mereka yang terdahulu.

"Masuk Umno kerana projek dan 'mengalibabakan' khazanah negara sehingga perjuangan bangsa tergadai. Sekarang apabila banyak projek sudah tidak ada khususnya di Selangor yang dianggap lubuk emas, maka pemimpin Umno cuba bercakap soal perjuangan bangsa dan perpaduan Melayu untuk menarik kembali sokongan rakyat di negara ini, dan cuba menjadi umpan perpaduan untuk menimbulkan keraguan di kalangan Pakatan Rakyat," katanya.

Tegasnya, PAS terus komited dengan Pakatan Rakyat dalam agenda perjuangan politiknya di Malaysia.

Penegasan itu, katanya telah dikukuhkan lagi untuk kali terakhir di Retreat Pimpinan Tertinggi PAS di Port Dickson pada 9 hingga Julai lalu.

PAS, jelasnya merasa selesa untuk melaksanakan agenda perjuangannya bersama dengan Pakatan Rakyat di negara ini, dan sudah terbukti di Selangor dan Pulau Pinang walaupun bukan PAS yang mengetuai kedua-dua negeri tersebut.

Katanya lagi, program menyemarakkan kefahaman Islam lebih rancak di bawah pemerintahan PR walaupun baru berusia tidak sampai 3 tahun.

"Pencapaian ini boleh dilihat di masjid-masjid dan surau yang diimarahkan berbanding 51 tahun di bawah Umno memerintah, ini adalah fakta yang boleh diukur dengan mata kasar," katanya.

PAS, katanya hendak menasihatkan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan rakan-rakan yang sewaktu dengannya, kononnya mendakwa sebagai tenaga pemikir, sebenarnya penyokong Umno tegar, yang mempunyai kepentingan dunia yang tidak berkesudahan.

Menurutnya, mereka hanya berani bercakap kepada perkara yang menguntungkan politik Umno, tetapi membisu ketika kemungkaran dan pengkhianatan Umno kepada agama dan bangsa.

"Kita tidak dengar suara mereka mengkritik dengan lantang ketika khazanah negara habis disapu dan digadai.

"Membisu ketika kes Pulau Batu Putih, telaga minyak yang bernilai RM320 bilion terlepas kepada Brunei, 217 hektar tanah KTM difaraid dengan Singapura, tanah rezab Melayu yang ditinggal penjajah selepas merdeka seluas 3 juta hektar yang hanya separuh sahaja lagi yang berstatus rezab Melayu dan banyak lagi isu yang mengguris perasaan orang Melayu Islam di negara ini. Apakah semua ini angkara Pakatan Rakyat?" ujarnya.

Justeru, tambahnya PAS menasihatkan mereka itu agar berhentilah daripada menjadi ayam sabung Umno, untuk bersama-sama dengan PAS.

"Serulah rakyat untuk bersama dengan PAS, bukannya ajak PAS bersatu dengan parti yang sudah hendak karam. Habiskanlah sisa umur yang semakin senja untuk berbakti kepada perjuangan Islam yang dipimpin oleh PAS, ketika gerakan massa dari kalangan muda mudi yang tidak bertudung dan bersubang sebelah bersama PAS untuk menyelamatkan negara daripada kepimpinan yang rakus," ujarnya.

Lebih 1,000 cawangan Umno Kelantan haram?

Posted: 13 Jul 2010 01:46 AM PDT

Harakahdaily


KOTA BHARU: Khamis, 15 Julai adalah tarikh akhir yang diberikan kepada pucuk pimpinan tertinggi Umno untuk menyelesaikan pertikaian mengenai kedudukan lebih separuh daripada 2,181 cawangan Umno di Kelantan yang didakwa tidak sah mengikut akta Pertubuhan 1960.

Kemelut yang melanda Umno bahagian Tanah Merah yang gagal diselesai dengan baik sejak lebih setahun lalu menjadi punca sehingga terdedahkan kedudukan cawangan Umno di Kelantan yang didakwa tidak sah. Implikasi dari situasi itu menyebabkan Umno boleh diisytihar sebagai pertubuhan haram.

Demikian dedah akhbar politik Siasah dalam keluaran terbarunya yang kini berada di pasaran.

Satu sumber memberitahu Siasah, kegagalan penyelesaian Umno Bahagian Tanah Merah itu yang memberi implikasi kepada Umno Kelantan dengan membawa perkara itu ke mahkamah terpaksa diambil sekiranya pucuk pimpinan peringkat pusat berdegil untuk menyelesaikannya.

Mengenai kenapa tarikh 15 Julai dijadikan dateline kerana pada tarikh itu Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yaassin dijangka merasmikan persidangan Umno Bahagian Tanah Merah.

"Sekiranya Muhyiddin hadir merasmikan mesyuarat bahagian itu satu laporan polis akan dibuat ke atas Muhyiddin atas alasan merasmikan persidangan Umno yang haram," kata sumber berkenaan dalam pertemuan eksklusif dengan Siasah baru-baru ini.

Umno bahagian Tanah Merah dianggap dalam keadaan haram bila mana kedudukan ketuanya kini, Datuk Ikhmal Hisyam Abdul Aziz dikatakan tidak sah.

Kedudukan Ikhmal sebagai ketua tidak sah bila mana cawangan yang mencalonkan beliau dalam pemilihan lalu juga tidak sah kerana ianya telah dibubarkan.

Sebagai rekod Umno Bahagian Tanah Merah telah diheret ke mahkamah ekoran kemelut berkenaan. Bekas Setiausaha bahagian, Amran Abdul Rahman telah memohon injuksi di mahkamah tinggi Kota Bharu menghalang Umno bahagian itu menggunakan aset dan dua akaun bank Umno bahagian berkenaan ekoran kesamaran kedudukan Ikhmal itu.

Gara-gara tindakan itu keahlian Amran digugurkan atas alasan membawa perkara itu ke mahkamah dimana ianya bertentangan dengan Perlembagaan Umno yang menghalang ahlinya membawa apa-apa kes ke mahkamah.

Bagaimana pun pemerhati melihat pengguguran Amran itu sebagai untuk menyelamatkan individu tertentu di mana tindakan itu sesuatu yang tidak adil dan melanggar semangat perjuangan parti.

Sekiranya laporan polis ke atas Muhyiddin diteruskan 15 Julai nanti dan masalah cawangan Umno itu dibawah ke mahkamah besar kemungkinan Umno beberapa bahagian di Kelantan boleh diistyharkan tidak sah kerana mesyuarat perwakilan bahagian sebelum ini membabitkan cawangan-cawangan yang tidak sah.

Dalam perkembangan lain satu carian dari Pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS) mendapati lebih separuh daripada 2,181 cawangan Umno di negeri itu tidak sah.

"Daripada 2,181 cawangan Umno di seluruh Kelantan hanya 1,800 saja yang mempunyai fail dengan ROS manakala dari jumlah itu hanya 70 cawangan saja yang sah," tegas sumber itu.

Pindaan akta bakal tindas pekerja

Posted: 13 Jul 2010 01:45 AM PDT

Dzulfikar Mashoor


KUALA LUMPUR: Cadangan pindaan Akta Pekerja 1965 dijangka bakal menindas 42 peratus daripada 11.3 juta pekerja untuk menuntut pampasan daripada majikan, kata Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid.

Menurut beliau, artikel 'sub contract all labour' yang ditukar pada 'contract all labour' seperti dalam akta itu menjadikan majikan yang membekal pekerja, termasuk pekerja asing sebagai majikan kekal sedangkan hak-hak pekerja tidak lagi dilindungi oleh akta pekerja itu.

"Bila akta yang baru ini tergubal, majikan yang menjadi 'out sourcing' akan menjadi majikan kekal," tegas beliau pagi tadi di lobi Parlimen.

Akta yang baru itu, menurut beliau lagi, sekaligus menghalang pekerja membawa kes masing-masing ke mahkamah kelak.

Lanjutan dari itu, majikan yang membekal pekerja, termasuk yang pendatang asing tanpa izin (PATI) bakal terus menikmati keuntungan daripada kerajaan tanpa perlu menghiraukan kaum pekerja yang mungkin bakal diberhentikan kerja kelak.

"Kalau Seksyen 69 (Akta Pekerja) ini dipinda, pekerja tiada hak langsung untuk tuntut hak atau pampasan (daripada majikan) walaupun dia sudah bekerja lebih 10 tahun," tambah beliau.

Bagaimanapun, beliau mengaku bahawa akta yang bakal dipinda itu menguntungkan kaum wanita kerana majikan jelas dilarang memecat pekerja wanita disebabkan faktor mengandung.

Menyambung kebimbangan Abdullah Sani itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mendesak kementerian berwajib supaya menangguhkan bacaan untuk kali yang ketiga di Dewan Rakyat kelak.

Bagi beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok, kerajaan sewajarnya menjelaskan kekeliruan pada akta yang mahu dipinda itu terlebih dahulu agar tidak terus merugikan pekerja.

"Kita minta tangguhkan dulu semua ini sehingga selesai rundingan berhubung status sub kontraktor itu.

"Isunya, akta ini mesti bersifat pro pekerja, bukannya pro majikan yang membekal pekerja," katanya.

Permit: Harakah hantar jawapan ke KDN hari ini

Posted: 13 Jul 2010 01:43 AM PDT

Nazri Abdullah


KUALA LUMPUR: Pihak pengurusan Harakah hari ini telahpun menghantar surat jawapan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung surat tunjuk sebab kedua yang diberikan kementerian itu semalam.

Perkara itu disahkan Pengarah Urusan Harakah, Datuk Kamaruddin Jaffar (gambar) ketika ditemui Harakahdaily di parlimen hari ini.

"Hari ini sebagai penerusan daripada perjumpaan dan perbincangan semalam, kita menghantar jawapan kita tengah hari ini," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Tumpat.

Jawapan itu, katanya bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan KDN berhubung penerbitan dan pengedaran Harakah.

KDN semalam memberi tempoh tujuh hari kepada lidah rasmi PAS itu, bagi menjawab surat tunjuk sebab terbaru yang dikemukakan.

Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Mahmood Adam berkata tempoh itu bermula semalam dan jika gagal berbuat demikian tindakan tegas akan dikenakan termasuk menggantung penerbitan akhbar itu.

Semalam juga, Setiausaha Agung, PAS Datuk Mustafa Ali dan Kamaruddin hadir ke KDN bagi memberi penjelasan berhubung surat tunjuk sebab pertama KDN bertarikh 8 Julai lalu.

Ianya berhubung persoalan lambat menghantar lapan salinan Harakah kepada KDN setiap isu, menjual kepada bukan anggota PAS dan menjual di luar daripada tempat yang dibenarkan.

Biarpun sudah diadakan pertemuan kedua dua pihak, KDN menyatakan mereka masih memerlukan penjelasan bertulis dari Harakah.

"Kita yakin penjelasan kita munasabah dan sepatutnya diterima oleh kementerian," jelas Kamarudin lagi.

Penerbitan Harakah tamat permitnya pada 7 Julai lalu dan belum diperbaharui oleh kementerian hingga kini.

"Kita harap pihak KDN membuat penilain positif dan kita juga berharap menerima jawapan positif," katanya.

Stadium Sultan Zainal Abdidin Runtuh, Mengapa Tiada Pihak Didakwa?

Posted: 12 Jul 2010 10:55 PM PDT

KELAB GREENBOC

Kor Ming pertikai kenapa tiada pihak didakwa

Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming memohon penjelasan daripada pihak berkenaan berhubung insiden runtuhan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Terengganu, tidak lama dahulu.

Kor Ming berkata, perkara berkenaan telah berlalu selama hampir setahun setelah pembukaan rasminya pada 10 Mei 2008 sempena penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) di Terengganu, namun sehingga ke hari ini tidak ada satu pun dakwaan yang dibuat terhadap mana-mana pihak berikutan runtuhan stadium yang dianggarkan bernilai RM292 juta itu.

Menurutnya, kejadian runtuhan stadium yang mampu memuatkan 50,000 penonton pada satu-satu masa itu juga telah sedikit sebanyak menjejaskan imej negara di rantau ini.

"Kerajaan tidak pernah mengambil iktibar daripada beberapa siri kejadian projek-projek kerajaan yang menjejaskan imej negara.

"Sebagai contoh, bangunan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur serta Bangunan Parlimen yang mengalami kebocoran di bahagian bumbung, keretakan di Jejantas Kepong dan juga pelbagai masalah lain di bangunan-bangunan sedia ada," katanya.

Kor Ming berkata demikain bagi mengulas jawapan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor di Parlimen, baru-baru ini.

Katanya, kontraktor utama projek berkenaan juga telah diarahkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu bagi melaksanakan kerja-kerja pembersihan sisa runtuhan stadium berkenaan kerana ianya masih dalam tempoh jaminan (warranty) ketika kejadian runtuhan tersebut berlaku.

Bagaimanapun, kontraktor berkenaan enggan melaksanakan kerja-kerja tersebut walaupun beberapa surat peringatan telah dikeluarkan kepada mereka (kontraktor).

"Oleh sebab itu, kerajaan terpaksa menawarkan tender baru pada 22 Mac 2010 bagi tujuan pembersihan di situ dan tender itu telah pun ditutup pada 19 April 2010 lalu.

"Difahamkan juga, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Pusat Khidmat Kontraktor (PKK), telah menggantung lesen pendaftaran kontraktor utama projek tersebut selain menyenaraihitamkan Ahli Ahli Lembaga Pengarahnya serta Pengarah Sahamnya daripada mengambil bahagian dalam mana-mana tender kerajaan mulai 4 September 2009," katanya.

Sementara itu, Kor Ming turut mengesyorkan agar semua projek pembinaan awam dipilih menerusi sistem tender terbuka yang telus demi membela kepentingan awam.

Katanya, pemilihan menerusi kaedah berkenaan dilihat dapat membantu mengelakkan kos pembinaan yang melambung tinggi hingga mengakibatkan kerugian besar kepada negara.

"Malaysia mengalami kerugian bernilai RM28 bilion setiap tahun selain menanggung hutang berjumlah RM378.3 bilion, setakat 31 Mac tahun ini.

"Oleh itu, sesuatu perlu dilakukan bagi mengatasi masalah ini," katanya.

Memorandum Reformasi Pilihan Raya Malaysia 2010

Posted: 12 Jul 2010 10:47 PM PDT


SABAH DAILY

Kami seperti penama pertubuhan di bawah berpendirian bahawa satu-satu formula bagi penstabilan, peningkatan dan kemakmuran di Malaysia ialah melalui demokrasi pelbagai parti yang aktif dan sihat.

Menjurus kepada pilihan raya 2008, Malaysia melalui perubahan di dalam kerajaan, dari sebuah kerajaan berbentuk kuku besi kepada sebuah kerajaan yang lebih demokratik. Orang awam telah berpeluang mengecapi sebuah persaingan di antara BN dan PR yang mana ia membawa sebuah reformasi pentadbiran dan dasar-dasar yang lebih bersifat inklusif.

Namun, keadaan tersebut masih dalam tahap membimbangkan memandangkan terdapat segelintir yang berada dalam keadaan terdesak yang menggugat pilihan raya, termasuk penyalahgunaan apparatus kerajaan mahupun merubah keputusan pilihan raya melalui defeksi dan menolak pilihan raya yang baru apabila mandat terdahulu dipertikaikan.

Pada pilihan raya yang akan datang ini, patutkah parti-parti politik mengelakkan penerimaan "hanya demokrasi caranya" dan cuba untuk bersaing mendapatkan kuasa dengan cara penipuan dalam pilihan raya atau pun menolak keputusan pilihan raya? Maka, Malaysia akan tenggelam di dalam kemelut politik.

Peranan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam memastikan kestabilan politik dan pendemokrasian adalah suatu yang penting. Perlembagaan Persekutuan melalui artikel 114(2) menyatakan harapan agar SPR dapat menjayakan keyakinan orang awam. Ini bermakna Suruhanjaya Pilihan Raya sepatutnya menjalankan pilihan raya dengan telus dan tidak berpihak dalam mempastikan hak-hak pengundi sejagat, persaingan yang adil bagi kesemua parti-parti politik dan calon-calonnya.

Artikel yang sama juga memaklumkan berkenaan dengan penawaran pilihan-pilihan dengan memaklumkan dan perwakilan inklusif. Bersih 2.0 percaya bahawa melalui peruntukan undang-undang yang sedia ada, SPR mampu menjalankan tugas mereka secara demokratik berdasarkan piawai menurut amalan antarabangsa.

SPR mampu dan mestilah melindungi demokrasi kepelbagaian parti dengan memastikan pilihan raya adalah bersih dan adil, di dalam pentadbirannya dan penguatkuasaan undang-undang berkaitan serta melalui advokasi perubahan-perubahan yang sepatutnya menurut Perlembagaan, undang-undang dan peraturan.

Berpandukan satu cita-cita untuk masa depan Malaysia yang lebih baik, kami mendesak SPR membawa perubahan-perubahan berikut. Kami berharap SPR akan bekerjasama dengan kami dan orang awam melalui rundingan dan pertimbangan. Kami juga menggesa agar orang awam dibiasakan dengan hak-hak mereka sebagai pengundi dan melanjutkan agenda reformasi melalui cara-cara mereka dan rangkaian yang ada.

Kerunsingan Sedia Ada

Penyiasatan kesalahan-kesalahan Pilihan Raya. Kami berpegang bahawa SPR wajib menjalankan tanggungjawab mereka untuk memastikan penyiasatan kesemua kesalahan pilihan raya yang berlaku, terutama sekali dalam dua pilihan raya kecil yang diadakan, berdasarkan Akta Kesalahan Pilihan Raya. Ia akan menjadi suatu yang keterbiaran sekiranya mereka mengabaikan laporan-laporan sedemikian yang difailkan berdasarkan kesalahan-kesalahan yang dijalankan. Di dalam mengekalkan kebebasan badan tersebut, SPR seharusnya diberi kuasa pendakwaan terhadap pihak yang melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Menghalang pendaftaran pengundi. Kami dikejutkan dengan aduan-aduan mengenai sekatan-sekatan tidak munasabah yang berlaku, seperti menghadkan borang-borang pendaftaran kepada Pembantu Pendaftar di dalam usaha mendapatkan pengundi baru memandangkan terdapat seramai empat juta pengundi yang layak mengundi masih belum berdaftar. Halangan di dalam hak-hak sejagat adalah kesalahan serta kepincangan terhadap demokrasi. SPR mestilah menolak sekatan-sekatan sedemikian serta-merta di dalam usaha menambah pengundi baru atau SPR akan hilang keyakinan orang awam sepenuhnya, sehingga menjadikan badan itu tidak layak berfungsi menurut perlembagaan. SPR mestilah dilihat sebagai badan yang bekerjasama kuat dengan kesemua parti di dalam menyediakan segala bentuk bantuan (bukannya menghalang) keefisienan pendaftaran pengundi.

A. Hak Mengundi dan Pembuangan Undi

1. Pendaftaran otomatik – kami berpegang bahawa kesemua pengundi yang layak seharusnya didaftarkan serta-merta sebagai pengundi tatkala mencecah usia kelayakan dan status alamat mereka dikemaskini dengan diseraya dengan senarai pengundi dan pengkalan data pendaftaran negara. Ini akan mengelak sebarang penipuan dan aduan yang bersangkut-paut dengan senarai pengundi sedia ada yang wujud dari pengundi hantu, alamat yang tidak lengkap, pemindahan alamat hinggalah kepada pendaftaran berulangkali.

Kami amat khuatir bahawa SPR telah menolak cadangan mewujudkan pendaftaran otomatik, khususnya perkara ini mempu menyelesaikan kesemua aduan mengenai proses pendaftaran.

2. Menurunkan usia mengundi – kami berpegang bahawa seluruh rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas mempunyai hak mengundi dan menjadi calon di dalam pilihan raya di peringkat parlimen mahupun negeri. Mereka sudah mencapai tahap kematangan untuk mengambil bahagian di dalam kehidupan awam dan terkesan dengan dasar-dasar kerajaan di dalam pendidikan mahupun pekerjaan, hampir 90% negara di seluruh Dunia – termasuk negara-negara jiran seperti Indonesia, Filipina, Thailand dan Kemboja – telah meletakkan usia 18 tahun sebagai usia layak mengundi. Malaysia sepatutnya idak memberi sebarang alasan untuk berada di luar senarai tersebut.

3. Tidak Hadir Membuang Undi – kami berpegang bahawa undi pos yang berasingan pada masa kini sepatutnya dimansuhkan untuk kesemua pengundi – kakitangan kerajaan atau anggota keselamatan, sama ada mereka berada di dalam mahupun di luar negara – mereka sepatutnya memohon untuk dikecualikan daripada tidak hadir pada hari pembuangan undi sekiranya mereka mempunyai alasan-alasan sah. Mereka sepatutnya diberi tempoh untuk mengaju permohonan sedemikian sebelum hari pembuangan undi. Dengan cara ini, ia mampu mengelak timbulnya sebarang faktor ketakutan dan pertuduhan yang mendakwa kerahsiaan dan kebebasan mereka dicabuli di dalam pengundian pos.

4. Dakwat kekal – Kami berpegang bahawa dakwat kekal sepatutnya digunakan di dalam semua pilihan raya bagi mengelak pengundian berganda. Kabinet, walau bagaimana pun telah membuat keputusan mengenai perkara ini pada tahun 2007 dan pekhabaran mengenai kegiatan sabotaj tidak dapat dibuktikan dan tidak berasas. Risiko SPR diperlihatkan sebagai covert dengan membenarkan pengundian berganda bilamana SPR sendiri tidak mahu melaksanakan dakwat kekal.

Persempadanan Semula Kawasan

5. Meminimakan Pengubahan Sempadan (gerrymandering) – Kami berpegang bahawa kawasan-kawasan yang dipertandingkan sepatutnya diletakkan sempadan mereka berdasarkan, antara lain, kepada kepentingan komuniti, yang mana ia menjadi sempadan pentadbiran. Oleh yang demikian, tidak ada kawasan parlimen dan negeri sepatutnya bersilang dengan sempadan yang dirangka oleh sempadan penguatkuasaan tempatan mahupun pentadbiran daerah. Pada masa yang sama, tidak ada komuniti tempatan sepatutnya disisihkan dengan sempadan-sempadan pilihan raya. Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan menyatakan pertalian tempatan sepatutnya dihormati.

6. Meminimakan Kegagalan Pengagihan (malapportionment) – kami perpegang bahawa SPR mestilah secara jujurnya mematuhi peraturan yang termaktub di dalam Seksyen 2, Bahagian 1, Schedule Tigabelas Perlembagaan Persekutuan berkenaan dengan perkara ini. Kekurangan yang dihadapi di kawasan luar bandar bukanlah lesen untuk SPR bagi menjalankan manipulasi kepada saiz kawasan pilihan raya. 17 daripada 56 kawasan negeri di Selangor atau 30% mempunyai lebih ramai pengundi daripada kawasan parlimen terkecil di Selangor iaitu Sabak Bernam pada pilihan raya 2008 yang menunjukkan bahawa SPR, secara tidak adilnya, mencabul peruntukan perlembagaan semasa persempadanan semula yang dibuat sebelum ini. Kami mendesak supaya di dalam merangka sempadan semula pada masa akan datang, SPR sepatutnya pastikan tidak ada cara mana-mana kawasan mempunyai saiz yang lebih besar daripada 50% jumlah pengundi di dalam kawasan parlimen terkecil yang berada di dalam negeri yang sama.

Persaingan dan Media

7. Tempoh Kempen yang Berpada – Kami berpegang bahawa SPR sepatutnya memberi tempoh kempen tidak lebih dari 21 hari. Kempen yang lebih panjang tidak hanya membenarkan pengundi mempunyai lebih banayak masa untuk mengumpul maklumat ecukupnya dalam membuat pilihan, ia juga mengurangkan ketegangan yang dialami semasa pilihan raya memandangkan parti-parti mempunyai jangkamasa yang cukup kepada sumber-sumber mereka. Tempoh 21 hari suatu tempoh yang berpada memandangkan Kerajaan Kolonial British membenarkan tempoh dua kali ganda lebih panjang, 42 hari pada waktu pilihan raya kebangsaan pertama dijalankan pada tahun 1955. Pada masa akan datang, SPR sepatutnya mengusulkan agar Akta Pilihan Raya dipinda atas alasan sedemikian.

8. Akses Media Bebas dan Adil – Kami berpegang bahawa pada pilihan raya umum yang akan datang, SPR sepatutnya mendesak badan penyiaran kebangsaan, Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) membenarkan waktu siaran tertentu kepada debat terbuka perdana selaras dengan amalan di United Kingdom pada Mei 2010. SPR sepatutnya mengusulkan agar Akta Pilihan Raya dipinda agar ianya digunapakai kepada media-media milik kerajaan untuk memberi kebebasan dan ulasan yang sama rata untuk parti-parti politik yang bertanding; juga kepada media milik swasta dalam menyediakan akses yang adil.

Kewangan Pilihan Raya

9. Kawalan perbelanjaan parti – Kami berpegang bahawa SPR mestilah mengusulkan agar Akta Kesalahan Pilihan Raya dipinda agar perbelanjaan yang dinyatakan seperti kos pengiklanan yang dialami parti-parti politik diakaunkan dalam asas pro-rata yang menjadi sebahagian dariapda perbelanjaan pilihan raya calon.

10. Perbelanjaan Parti Kewangan Awam – Kami berpegang bahawa SPR sepatutnya menggesa Kerajaan Persekutuan dan Negeri untuk memberi bantuan kewangan kepada semua parti politik berdasarkan kepada perkongsian undi semasa pilihan raya yang lalu.

Demokrasi Pelbagai Parti

11. Hak untuk Bertanding di dalam Pilihan Raya Selepas Perletakan Jawatan – Kami berpegang bahawa SPR sepatutnya mengusulkan kepada Kerajaan Persekutuan dan Negeri untuk menyisihkan halangan-halangan berhubung dengan Perlembagaan agar wakil-wakil yang dipilih berpeluang untuk bertanding kembali di dalam pilihan raya selepas perletakan jawatan. Kebanyakan daripada wakil-wakil rakyat dipilih melalui tiket parti yang diwakilinya.

12. Kesaksamaan Pentadbiran – Kami berpegang bahawa SPR mestilah mengusulkan bahawa Akta Kesalahan Pilihan Raya dipinda sehingga tiada keputusan penting dan tidak penting termasuk projek-projek pembangunan dan dana yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan, Negeri dan Tempatan berhubung dengan bangsa, kerajaan mahupun kawasan parlimen dan negeri selepas Perundangan Parlimen / Negeri dibubarkan ataupun sesebuah kerusi itu diisytiharkan kosong.

13. Pemulihan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan – Kami berpegang bahawa SPR mesti mengusulkan kerjasama dengan mana-mana Kerajaan Negeri bagi memulihkan pilihan raya kerajaan tempatan selaras dengan Artikel 113 (4) Perlembagaan Persekutuan. SPR mestilah tidak mencabuli tuntutan di dalam Perlembagaan.

Pentadbiran Pilihan Raya

14. Pengadilan dan Mengawal Rapi Sepenuhnya di dalam Petisyen Pilihan Raya – Kami berpegang bahawa SPR sepatutnya mengusulkan agar Akta Kesalahan Pilihan Raya dipinda agar petisyen pilihan raya boleh difailkan atas apa jua keadaan yang berhubung dengan penipuan semasa pilihan raya. Akta tersebut dipinda pada tahun 2003 yang memberi kesan kepada integriti senarai pemilih yang mana senarai pemilih tidak boleh lagi dicabar di mahkamah perundangan.

15. Hak Untuk Pemantauan Pilihan Raya – Kami berpegang bahawa SPR mestilah mempersiapkan sebuah tatacara inklusif yang telus bagi pemantau-pemantau tempatan dan antarabangsa agar mereka dibenarkan didaftarkan di pilihan raya yang akan datang. SPR seharusnya juga mengusulkan bahawa Akta Pilihan Raya dipinda agar membolehkan hak untuk memantau pilihan raya dipulihara.

*Memorandum Pertubuhan Masyarakat Malaysia Mengenai Reformasi Pilihan Raya Malaysia 2010, diserahkan oleh Ambiga Sreenevasan selaku Pengerusi BERSIH 2.0 (Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil) kepada Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR).

Kerajaan tanggung subsidi minyak RM3 bilion bantu nelayan

Posted: 12 Jul 2010 10:43 PM PDT

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Kerajaan menyalurkan sebanyak 4.66 bilion liter diesel dan 314.55 juta liter petrol kepada golongan nelayan dengan menanggung subsidi RM3 bilion sejak 2006 hingga tahun ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar, berkata pemberian subsidi itu dapat membantu nelayan menampung kos bahan api yang juga adalah 70 peratus daripada jumlah kos operasi penangkapan ikan mereka.

"Dalam tempoh itu juga sebanyak 6.075 juta metrik tan ikan telah didaratkan yang bernilai RM36.45 bilion," katanya menjawab soalan Datuk Sapawi Ahmad (BN-Sipitang) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Sapawi ingin tahu jumlah subsidi yang dikeluarkan kepada nelayan setakat ini dan sejauh mana program tersebut berjaya merubah kehidupan masyarakat nelayan tradisional.

Beliau juga bertanyakan usaha kementerian dalam menangani isu bot pukat tunda yang mana lesennya dikeluarkan kepada rakyat tempatan tetapi pekerjanya warga asing yang kadangkala menangkap ikan melebihi syarat lesen.

Noh berkata, kementerian akan memperkenalkan Sistem Pengesanan Penyelidikan bagi membendung kegiatan sedemikian berikutan kegagalan pihak berkuasa seperti Jabatan Perikanan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menahan bot pukat tunda kerana ketirisan maklumat.

Beliau berkata, kementeriannya sedang membuat ujian mengenai sistem itu yang akan diperkenalkan supaya ia dapat memantau kegiatan seperti itu dari pejabat melalui alat khas.

"Mana-mana kapal yang kita kesan memasuki zon larangan, kita akan matikan botnya dari pejabat dan ini yang akan kita buat. Jika ini berjaya kita buat, masalah yang berbangkit akan dapat kita atasi kerana kalau tidak pada hari ini, kita dapat laporan, belum pun sempat penguatkuasa sampai, bot dan pukat pun dah hilang," katanya.

Antara hukuman mati dengan peluang kedua

Posted: 12 Jul 2010 10:40 PM PDT

Puspawati Rosman



Pada 10 Jun 2010 yang lepas, beberapa kumpulan aktivis hak asasi manusia dan perundang-undangan tempatan, antaranya Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Jawatankuasa Undang-undang Perlembagaan Majlis Peguam, Amnesty International dan Lawyers For Liberty (Peguam untuk Kebebasan) telah mengadakan sidang akhbar di Majlis Peguam.

Sidang akhbar tersebut bertujuan untuk mengiringi dan memberi sokongan kepada peguam hak asasi daripada negara Singapura, iaitu M. Ravi (gambar kiri) yang mewakili seorang warga negara Malaysia, Yong Vui Kong yang telah dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Rayuan Singapura.

Yong Vui Kong baru berusia 22 tahun. (Bagi yang masih belum tahu tentang kes ini, sila rujuk pada tulisan di MerdekaReview yang berjudul Kerajaan Malaysia dirayu untuk Selamatkan Yong Vui Kong).

Ketika pendengaran di Mahkamah Rayuan, saudara M. Ravi telah berhujah bahawa hukuman mati adalah tidak berperikemanusiaan dan melanggar perlembagaan. Artikel 9 (1) Perlembagaan Singapura memperuntukkan bahawa tiada seseorang pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali mengikut undang-undang. Kes telah ditetapkan untuk keputusan pada 14 Mei 2010.

Walau bagaimanapun, beberapa hari sebelum Mahkamah Rayuan memberikan keputusannya, iaitu pada 9 Mei 2010, Menteri Undang-Undang Singapura K. Shanmugam telah membuat kenyataan awam yang telah disiarkan di dalam akhbar Straits Times. Katanya, sekiranya Yong Vui Kong dibebaskan daripada hukuman mati hanya kerana simpati dan kerana beliau seorang yang muda, ia akan membuka lebih banyak peluang kepada penjahat-penjahat lain supaya menggunakan orang muda untuk membuat kejahatan. Oleh itu, hukuman harus dilaksanakan.

Pada 14 Mei 2010, Mahkamah Rayuan Singapura telah menolak rayuan Yong Vui Kong.

Isunya hukuman mati!

Kenyataan media K. Shanmugam dan seterusnya keputusan rayuan yang dikeluarkan Mahkamah telah menjadi persoalan dan tanda-tanya yang besar di kalangan rakyat. Ini adalah kerana menurut undang-undang Singapura, seseorang yang dijatuhkan hukuman mati di Mahkamah di peringkat rayuan di Mahkamah, boleh mencuba cara terakhir iaitu dengan membuat rayuan pengampunan kepada Presiden, yang dinasihati oleh Kabinet. Akan tetapi, nampaknya Kabinet telahpun "menjatuhkan hukuman" terhadap Yong sebelum mendengar rayuan pengampunannya, malah, sebelum keputusan Mahkamah Rayuan dikeluarkan! Jadi, peluang apa yang masih tinggal untuk beliau?

Dalam pengamatan saya, kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Undang-Undang Singapura dan keputusan yang diberikan oleh Mahkamah Rayuan negara itu menunjukkan pendirian dan pendapat kerajaan Singapura bukan sahaja dalam isu pengedaran dadah, tetapi yang lebih penting lagi, perlaksanaan hukuman mati.

Hukuman mati kerana mengedar dadah telah lama diamalkan bukan sahaja di Singapura, tetapi juga di Malaysia, Thailand dan China. Alasannya kerana pengedaran dadah adalah sesuatu yang membahayakan bukan sahaja individu, tetapi juga masyarakat secara keseluruhan. Dalam apa jua keadaan pun, tanpa mengira latar belakang dan samada seseorang itu mempunyai potensi untuk berubah, seseorang yang didapati bersalah, boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.

Artikel 5(1) Perlembagaan Persekutuan negara kita adalah serupa dengan Artikel 9 (1) Perlembagaan Singapura. Tiada seseorang pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali mengikut undang-undang. Maka, Singapura telah menggunakan undang-undang untuk menamatkan riwayat Yong (gambar kiri).

Di kalangan pengamal undang-undang di negara kita sendiri, isu hukuman mati sering dibincangkan. Beberapa artikel undang-undang telah diterbitkan yang mana kajian telah dijalankan secara terperinci oleh para pengamal undang-undang dan kehakiman tentang buruk dan baiknya hukuman mati ini. Antaranya ialah oleh Mah Weng Kwai di dalam artikelnya berjudul "Should the Death Penalty be Abolished?" terbitan Current Law Journal (CLJ) dan juga Abdul Malik bin Ishak di dalam artikelnya "Legal Collaboration in the ASEAN Region For a Drug Free World", yang juga diterbitkan oleh CLJ.

Kurangkan penyalahgunaan dadah?

Bagi yang menyokong hukuman mati kepada pengedar dadah, mereka beranggapan bahawa hukuman mati adalah satu-satunya cara terbaik untuk mencegah penyalahgunaan dadah. Benarkah? Saya bertanya demikian kerana sejak hukuman mati untuk pengedar dadah diperkenalkan di negara kita pada tahun 1975, mata kasar saya tidak nampak pun pengurangan penyalahgunaan dadah di negara ini. Malah, ia semakin menjadi-jadi sehinggakan pusat pemulihan dadah juga terpaksa ditambah.

Ketika saya menghadiri satu sesi perbincangan tentang pemulihan penagih dadah di Malaysia, kami dimaklumkan bahawa terdapat 29 pusat pemulihan di negara ini, yang mana satu pusat boleh memuatkan sehingga 500 orang. Daripada 29 pusat tersebut, satu pusat pemulihan ialah untuk wanita. Kini, kerajaan sedang mempertimbangkan untuk membina satu lagi pusat pemulihan dadah untuk wanita kerana angka yang sedang meningkat.

Kenapa ini berlaku? Ia adalah kerana yang dihukum, hanyalah ikan-ikan kecil yang bekerja untuk ikan-ikan besar. Akan tetapi, ikan-ikan besar tidak pula ditangkap atau dihukum mati, sebaliknya mereka masih dibiarkan berenang di lautan yang besar. Akibatnya, ikan-ikan kecillah yang akan menanggung segala perbuatan mereka, termasukkan menghadapi hukuman mati bagi pihak mereka. Kita sepatutnya menggunakan ikan-ikan kecil ini untuk menangkap orang yang bertanggungjawab supaya jenayah pengedaran dadah boleh dibanteras secara total, bukan sekadar menangkap dan menghukum sesiapa sahaja yang didapati mengedar, semata-mata untuk menunjukkan kepada dunia bahawa kita serius untuk membanteras gejala tersebut. Wajarkah perbuatan ini?

Saya menyatakan sedemikian bukanlah bermaksud saya tidak sedar dengan keseriusan kesalahan pengedaran dadah ini, tetapi pada pendapat saya, kita hendaklah lebih berhati-hati dalam menggunakan undang-undang untuk menjatuhkan hukuman bunuh. Malah, demi hak asasi dan kemanusian, hukuman patut tidak patut dilaksanakan langsung dalam apa jua keadaan, lebih-lebih lagi apabila tertuduh telah menyesal di atas perbuatannya dan mengharapkan diberi peluang kedua. Ini adalah kerana kerana ia melibatkan nyawa seseorang. Adakah patut kita menghukum seseorang sebegitu rupa secara kolektif, yakni menggunakan undang-undang terpakai dan sedia ada bagi kesalahan itu dan bukannya atas dasar kemanusiaan?

Dalam usia semuda Yong, beliau harus diberi peluang kedua. Sekiranya saya diberi peluang untuk memutarkan masa, macam-macam perkara yang saya mahu lakukan ketika berusia 22 tahun. Tapi, jika usia Yong adalah 50 tahun sekalipun, adakah kita tidak boleh memberikan peluang kedua kepadanya? Tidak kira berapakah usia dan latar belakang seseorang itu, nyawa adalah sesuatu yang berharga.

Sejak saya mendapat tahu mengenai kes Yong, saya telah melayari beberapa laman web dan telah mendapat tahu sedikit sebanyak tentang beliau dan keluarganya. Kisah hidupnya seperti kita pernah dengar sebelum ini, iaitu seorang remaja yang hidup dengan keluarganya, susah, dan akhirnya terjebak di dalam gejala tidak sihat.

Tapi, nampaknya undang-undang yang diamalkan sekarang tidak mengambil kira semua itu, yang salah tetap salah, tetap akan dihukum walaupun sehingga ke tali gantung.

Sudah tiba masanya kita merenung balik hukuman mati. Kita harus mengkaji semula dan mempertimbangkan alasan-alasan yang diberikan oleh negara-negara lain yang telah memansuhkan hukuman bunuh di negara mereka termasuklah bagi kesalahan mengedar dadah.

Sementara kita mencapai ke tahap itu, Yong perlu diselamatkan. Jika negara Singapura tidak berupaya untuk berbuat demikian, kerajaan kita boleh membantu beliau. Kira-kira tiga tahun lalu, seorang wanita bernama Umi Azlim berusia 25 tahun telah dijatuhkan hukuman mati oleh kerajaan China kerana mengedar dadah. Walau bagaimanapun, hukumannya diringankan selepas campurtangan kerajaan Malaysia. Umi bernasib baik kerana pada waktu itu, orang ramai di Malaysia dan aktivis-aktivis kemanusiaan memberikan perhatian kepada kesnya, termasuklah badan-badan seperti kumpulan peguam syariah di Malaysia yang bersimpati dengan nasib beliau.

Bagaimana pula dengan Yong?

*Puspawati Rosman ialah seorang peguam, ahli Lawyers for Liberty (Peguam untuk Kebebasan) dan ahli sekretariat SUARAM (Suara Rakyat Malaysia)

Usul mengenai kenyataan Bala yang kaitkan nama isteri PM

Posted: 12 Jul 2010 10:36 PM PDT

MERDEKA REVIEW

Saya telah menfailkan usul di bawah peraturan mesyuarat 18 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat pada 7 Julai, 2010, berhubung kenyataan peguam, Americk Sidhu untuk membalas kenyataan Ahli Parlimen Bayan Baru yang dibuat pada 30 Jun, bahawa penyiasat persendirian, P.Balasubramaniam mendakwa kos sara hidupnya di London dibayar oleh seorang usahawan permaidani, Deepak Jakishan atas suruhan isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor.

Usul ini ditolak mengikut peraturan mesyuarat dewan 18(5) bahawa hanya satu usul yang boleh dikemukakan sebelum mesyuarat ditangguhkan. Alasan yang diberikan dari pejabat setiausaha Parlimen ialah usul yang dikemukakan oleh ketua pembangkang, Anwar Ibrahim lebih awal diterima daripada yang saya kemukakan.

Sungguhpun kes pembunuhan Altantuya Sharribuu telah selesai dibicarakan pada 9 April, 2009, yang mana dua suspek, Ketua Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar telah dijatuhkan hukuman mati, tetapi sebaran media antarabangsa yang telah menjejaskan imej Negara masih membara.

Arnaub Dubus, pemberita sebuah akhbar Perancis, La Liberation telah menulis satu asrtikel bersiri mengenai kes pembunuhan ini. Mengikut kenyataan blogger, Susan Loone pada 5 Mei 2009, bahawa TVB Hong Kong telah mengambil ilham atas kes pembunuhan ini, merancang akan menyiarkan satu cerita bersiri yang bernama "Ulaanbatoru, Paris, Kuala Lumpur".

Kemudian pada 4 Disember 2010, SUARAM telah menfailkan petition di mahkamah tinggi Perancis, berhubung kes rasuah dan penyelewengen yang berlaku dalam urusniaga kapal selam Scorpene antara DCN, pembekal senjata Perancis dengan kerajaan Malaysia yang melibatkan RM 4.7 billion. Pendakwaraya Perancis telah mulakan siasatan pada Mac 2010 di mana DCN disiasat berhubung dakwaan komisen dalam beberapa usrusniaga pembelian senjata yang tidak dibenarkan di bawah undang-undang Perancis.

Pada 22 Jun 2010, Setev Shaariibuu (gambar kanan), bapa kepada Altantuya telah membuat kenyataan bahawa kerajaan Mongolia telah menajakan wang deposit sebanyak RM 70,000 yang dikehendaki oleh mahkamah supaya dapat menfailkan petition dakwaan ke atas Abdul Razak Baginda, penganalis politik Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia.

P. Balasubramaniam telah membuat dua surat sumpah yang bercanggah isinya sebelum lari ke London atas alasan nyawa peribadi dan keluarganya telah diancam. Kedua-dua surat sumpah ini mengungkitkan hubungan Perdana Menteri dalam kes pembunuhan Altantuya, yang berperanan sebagai ahli penterjemah dalam urusniaga kapal selam.

Dalam kenyataan P. Balasubramanim baru-baru ini, nama isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor diungkitkan sebagai dalang di sebalik pelarian beliau. Ini telah mengakibatkan rakyat Malaysia, terutamanya golongan laman web dalaman dan luar negara menimbulkan berbagai syak wasangka dan anggapan negatif terhadap isteri PM. Sebagai sebuah kerajaan yang berdaulat dan berwibawa, sepatutnya membenarkan usul ini dibahaskan dalam dewan untuk memberikan penjelasan yang postif untuk mengikiskan tuduhan yang negatif demi menjaga maruah Negara, Perdana Menteri dan Isteri Perdana Menteri.

Mengikut peraturan mesyuarat 18(1), sesuatu usul penangguhan hanya dibenarkan dibahaskan dalam dewan berpandukan kepada 3 syarat, iaitu:-

a) Perkara tertentu.
b) Berkehendak disegerakan, dan
c) Kepentingan orang ramai.

Usul ini memenuhi syarat-syarat di atas, iaitu syarat (a) perkara tertentu di mana kenyataan P. Balasubramaniam (gambar kiri) telah mengungkitkan nama isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor sebagai dalang di sebalik pelarian beliau.

Syarat (b) berkehendak disegerakan di mana sungguhpun kes pembunuhan Altantuya telah selesai dibicarakan, tetapi susulannya isu-isu yang berkaitan masih membara di media antarabangsa seperti isu rancangan cerita bersiri TVB, isu komisen kapal selam Scorpene dan isu saman Setev Shaariibuu yang ditaja oleh kerajaan Mongolia akan mencacat-celakan hubungan diplomatik negara kita dengan negara Perancis dan Mongolia.

Syarat (c) kepentingan orang ramai di mana setelah tersebarnya kenyataan P. Balasubramaniam yang mengaitkan Perdana Menteri dan isterinya, Rosmah Mansor di laman web, sudah tentu kenyataan ini akan disabotajkan yang secara langsung akan menjejaskan imej negara kita. Perdana Menteri sebagai ketua negara telah berulang-kali diungkitkan sejak kes pembunuhan Altantuya sehingga kenyataan P.Balasubramaniam baru-baru ini perlu dibahaskan dan diperjelaskan dalam dewan untuk menjaga kepentingan umum dan maruah bangsa kita.

*Kenyataan oleh Er Teck Hwa selaku ahli parliament Bakri - DAP, Johor pada 9 Julai 2010.

Hentikan segera keangkuhan akta penerbitan

Posted: 12 Jul 2010 10:32 PM PDT

Ahmad Lutfi Othman

Kebebasan media adalah antara ciri utama sistem demokrasi selain elemen lain seperti kebebasan berucap, proses pilihan raya bebas dan adil, kebebasan berorganisasi, pemerintahan berasaskan suara majoriti, hak minoriti dihormati, kewujudan pembangkang yang berkesan, kehadiran NGO dan kumpulan pendesak yang berautonomi, dan kebebasan badan kehakiman. Media yang bebas dan berintegriti boleh menjadi "The Fouth Estate" yang berupaya mencorakkan pandangan umum dan bertindak sebagai "semak dan imbang" terutama dalam pemerintahan yang dikuasai oleh suatu parti yang dominan.

Namun, elit politik yang seringkali menyalahgunakan kuasa, korup dan mengkhianati amanah rakyat cukup bimbang dengan peranan media bebas. Mereka gentar jika pelbagai penyelewengan dapat dibongkar, sekali gus menimbulkan kesedaran sivil yang meluas, serta boleh menggugat survival regim yang memerintah. Justeru, pelbagai akta drakonian dikuatkuasakan, bertujuan menekan media dan menghalang rakyat daripada mendapat maklumat yang benar. Fenomena globalisasi dan langit terbuka yang menyaksikan kepantasan pengaliran maklumat merentasi apa jua sempadan fizikal rupanya tidak berjaya memaksa pemerintah semi-autoritarian itu untuk melonggarkan - apatah lagi membatalkan - peraturan yang bukan sahaja tidak demokratik, kuno malah "karut-marut".

Ketika gelombang pendemokrasian dilihat mendapat reaksi positif di negara jiran, Indonesia, selepas kejatuhan Suharto lebih 10 tahun lalu, Malaysia yang juga pernah menghadapi gegaran hampir sama (tuntutan reformasi 1998) langsung tidak menunjukkan perubahan membanggakan. Meskipun kadar urbanisasi dan pertumbuhan kelas menengah (satu petunjuk jelas yang sepatutnya membuka lebih luas ruang sivil dan perdebatan awam) lebih pantas di sini, namun pemerintah UMNO-BN tetap bersikap bebal, mengamalkan budaya lapuk menutup telinga daripada mendengar suara kritikan atau teguran.

Pandangan berbeda daripada masyarakat sivil dihadapi dengan penuh prejudis, ditanggapi dengan bermacam-macam label negatif dan jahat. Hujah dan rasional langsung tidak dihormati. Pemerintah lebih selesa memilih pendekatan keras menolak perbincangan.

Ketika Indonesia, bermula di bawah era Habibie dan Gus Dur, melakukan perubahan drastik memulihkan demokrasi seperti pemansuhan dwifungsi Angkatan Bersenjata Republik Indonesia (ABRI) dan undang-undang yang menekan kebebasan, selepas 12 tahun Malaysia tidak menyentuh pun sebarang akta rimba.

Baru-baru ini kerajaan memaklumkan akan membentangkan beberapa pindaan terhadap tujuh akta berkenaan, antaranya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Seksyen 27 Akta Polis 1960 berkaitan perhimpunan awam yang tidak memerlukan permit, namun ia belum menjamin ruang untuk rakyat berpatisipasi dalam hal-hal politik diperluaskan. Gesaan agar ISA dihapuskan pernah disuarakan dalam satu perhimpunan raksasa di Kuala Lumpur tidak lama dulu.

Apabila timbul isu permit penerbitan Suara Keadilan tidak disambung (diharamkan) ekoran dakwaannya bahawa "Felda bankrap", saya merasakan sudah sampai masanya peraturan mengenai kebebasan media, iaitu Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 diberikan perhatian istimewa. Tentunya usaha ini tidak mudah dan memerlukan penggemblengan dan dokongan luar biasa.

Kempen pemansuhan akta, yang mengandungi pelbagai syarat-syarat permit yang "karut-marut, tidak masuk akal dan tidak cerdik" itu semakin relevan dan kena pada masanya apabila hayat penerbitan Harakah juga turut terancam di bawah peraturan sama. Selama ini operasi penerbitan dan pengedaran terhad akhbar-akhbar milik parti bukan-BN itu hanya dibenarkan atas ehsan Menteri Dalam Negeri, yang sering dijawat oleh menteri kanan.

Jika beberapa tuntutan massa seperti proses pilihan raya yang bersih-bebas-adil, dan pemansuhan ISA serta PPSMI dapat menggegarkan Kuala Lumpur, saya kira lobi menguburkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan harus dimulakan dengan pembentukan gabungan NGO yang prihatin dengan kebebasan bersuara dan hak asasi. Sebelum ditamatkan perkhidmatan melalui satu rombakan kabinet oleh Najib Razak, Menteri Dalam Negeri, Syed Hamid Albar pada Ogos 2009 berkata kementeriannya bercadang memansuhkan akta tersebut kerana ia sudah tidak relevan dengan perkembangan teknologi dan juga tidak disenangi ramai. "Rakyat tidak suka akta itu, syarikat-syarikat media pun tidak suka akta itu," kata Syed Hamid. Sayangnya cadangan beliau hilang lenyap begitu sahaja dan tidak sempat pun mencetuskan perbincangan mengenainya.

Beberapa tokoh media, misalnya A Samad Said, Pak Said Zahari dan Haji Subky Abdul Latiff dilihat boleh menjadi sumber inspirasi buat gerakan pemansuhan akta berkenaan. Rakyat harus didedahkan dengan kewujudan peraturan "karut-marut yang membodohkan" itu, yang bercanggah sama sekali dengan perkembangan canggih dunia maklumat. Segala-galanya terletak di bawah budi bicara mutlak menteri, sama ada mahu meluluskan, menggantung atau membatalkan sesuatu permit (seksyen 6), tanpa perlu memberikan sebarang alasan.

Akta yang dipinda pada 1998 itu dengan bangganya, melalui seksyen 13A dan 13B, mengisytiharkan bahawa keputusan menteri adalah muktamad dan tidak boleh dipersoalkan di mahkamah, malah "tiada seorang pun boleh diberi peluang untuk didengar berkenaan dengan permohonannya untuk mendapatkan permit atau berhubungan dengan pembatalan atau penggantungan permit".

Itu belum dibahas lagi syarat-syarat permit organ parti yang tidak munasabah langsung, misalnya larangan menjual kepada bukan ahli parti, hanya boleh dijual di premis parti dan tidak boleh dijual di tempat awam. Kandungan akhbar berkenaan juga hanya dihadkan kepada aktiviti dan kenyataan pemimpin parti tersebut sahaja. Seolah-olah PAS dan KeADILAN itu suatu organisasi bawah tanah, atau menteri merasakan ahli-ahli parti berkenaan hanya boleh dibilang dengan jari dan tinggal di gua terpencil!

Pilihan Raya Umum Ke-13 memang kritikal bukan saja buat UMNO-BN, malah kepada Pakatan Rakyat. Najib, yang dilihat dekat dengan Mahathir Mohamad, mungkin mengambil pendekatan sama seperti mentornya itu kepada seteru politik. Meskipun kini ada pilihan lain seperti munculnya kuasa siber, namun Pakatan Rakyat tidak boleh memandang mudah sekatan kepada penyebaran maklumat secara tradisional ini. Selain menuntut kreativiti dan inovasi hebat mencari peluang baru dan memanfaatkan potensi di ruang maya, kempen memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan tidak boleh dilengahkan.

*Ahmad Lutfi Othman ialah Editor Harakah.

Video seks: Cut Tari juga mungkin ditahan

Posted: 12 Jul 2010 10:30 PM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER

JAKARTA – Polis Indonesia akan melanjutkan tahanan anggota utama kumpulan Peterpan, Nazriel "Ariel" Irham manakala teman wanitanya, Cut Tari yang dua hari lalu membuat pengakuan terbuka dialah wanita dalam rakaman video, juga mungkin ditahan.

Ariel, suspek dalam skandal video seks membabitkan akstres Luna Maya dan pengacara Cut Tari, kini ditahan polis di bawah undang-undang Informasi dan Transaksi Elektronik dan Antibahan Lucah 2008 dan juga kanun jenayah melibatkan perbuatan tidak senonoh.

Jurucakap polis kebangsana, Komisioner Marwoto Soeto berkata pihaknya juga bercadang untuk menahan Cut Tari, yang bersama Luna Maya kini dianggap sebagai suspek tetapi belum ditahan oleh polis kerana telah memberi kerjasama dan disebut sebagai "mangsa" tindakan Ariel.

"Tidak mustahil Cut Tari diletakkan di bawah tahanan rumah atau tahanan bandar," kata Marwoto dipetik Jakarta Globe hari ini.

Minggu lalu, polis telah menamakan Luna Maya dan Cut Tari sebagai suspek sehari selepas mereka memohon maaf kepada peminat dan anggota keluarga mereka.

Kelmarin, Cut Tari mengakui bahawa dia merupakan salah seorang wanita dalam rakaman video adegan lucah yang tersebar di ruangan siber sejak awal bulan lalu.

Teman wanita penyanyi Ariel ini membuat pengakuan terbuka selepas lebih sebulan menafikan dia adalah salah seorang wanita terbabit.

Sehari sebelum itu polis mengklasifikasikan Cut Tari dan Luna Maya sebagai suspek dalam kes itu.

Mereka disyaki terbabit dalam kes tersebut bersama Ariel.

Dengan status baru dua artis berkenaan, polis sehingga kini telah menetapkan 12 orang sebagai suspek dalam kes itu.

Dalam permohonan maafnya Jumaat lalu, Cut Tari dengan linangan air mata sekali gus mengaku "berselingkuh" (mengadakan hubungan seks) dengan artis dalam video porno itu dan memohon maaf kepada suaminya.

Berbeda dengan Ariel yang ditahan dilokap polis apabila ditetapkan sebagai suspek pada 22 Jun lalu, polis tidak menahan Cut Tari dan Luna Maya kerana mereka dipercayai tidak akan menyukarkan penyiasatan, menghilangkan barang bukti dan mengulangi perbuatan mereka.

Isu Kg Baru: MB Selangor dakwa Dr M dulu takut, kini berani

Posted: 12 Jul 2010 10:29 PM PDT


SHAH ALAM – Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim menyifatkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai "penakut" kerana tidak melaksanakan cadangan pembangunan Kampung Baru dengan melibatkan orang bukan Melayu ketika era kepimpinannya selama 22 tahun.

"Cadangan untuk melibatkan orang bukan Melayu adalah satu alternatif tetapi beliau (Dr Mahathir) ketika menjadi perdana menteri takut untuk melaksanakannya.

"Ini kerana cadangan tersebut tidak seiring dengan kehendak majoriti penduduk Kampung Baru yang mahukan pembangunan dijalankan tanpa mereka hilang status tanah tersebut," kata beliau ketika ditemui wartawan sempena sidang Dewan Undangan Negeri hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Dr Mahathir yang mengatakan usaha pembangunan semula Kampung Baru iaitu penempatan orang Melayu di ibu negara akan menjadi lebih menarik jika turut melibatkan orang bukan Melayu.

Dengan adanya penyertaan orang bukan Melayu, kata beliau, ia secara tidak langsung akan menjadikan Kampung Baru lebih menarik bukan hanya kepada pelancong asing tetapi juga kepada rakyat tempatan.

"Kita boleh membangunkan Kampung Baru sebagai kawasan komuniti Melayu berniaga tetapi saya rasa ia juga perlu melibatkan sekali orang bukan Melayu untuk ambil bahagian dalam pembangunan tersebut sebab ia akan menjadi lebih menarik.

"Ketika menjadi perdana menteri saya cuba untuk membangunkan Kampung Baru tetapi penduduk membantah," kata Dr Mahathir.

Khalid (gambar) berkata, beliau dan Ahli Parlimen Titiwangsa Dr Lo' Lo' Ghazali akan mengadakan satu forum bersama penduduk Kampung Baru dalam masa terdekat.

"Kita akan mengadakan forum untuk mencari bagaimana boleh membangunkan Kampung Baru tetapi pada masa sama tidak hilang status Bumiputera," katanya.

Kampung Baru mempunyai keluasan 122.93 hektar dan berdasarkan penilaian yang dilakukan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta pada Mac 2007 membabitkan 54.4 hektar, kadar yang ditetapkan bagi satu kaki persegi untuk tanah kediaman ialah antara RM270 hingga RM300 dan RM500 hingga RM600 untuk satu kaki persegi bagi tanah perdagangan.

Sebelum ini Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin pernah menyebut projek pembangunan di Kampung Baru dimajukan dengan pemilikan hartanah 60 peratus orang Melayu dan 40 peratus kaum lain.

Bagaimanapun beliau kemudian menafikan pendekatan penyertaan bukan Melayu di Kampung Baru.

Beliau berkata kerajaan tidak memaksa pemilik tanah Kampung Baru untuk menerima cadangan membangunkan hartanah berdasarkan kuota 60:40 bagi Bumiputera dan bukan Bumiputera.

Namun cadangan tersebut ditolak pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru yang bersetuju dengan cadangan pembangunan semula kampung itu yang akan mengekalkan 100 peratus hak milik Bumiputera.

Selain itu, Lembaga Pentadbiran Petempatan Pertanian Melayu (MAS) Kampung Baru juga membantah cadangan tersebut

17 cawangan Umno Jelutong desak Zahid selesai krisis

Posted: 12 Jul 2010 10:27 PM PDT

BERNAMA


Zahid perlu segera menangani krisis ini, kata Abdul Wahad. — gambar fail

PULAU PINANG — Lebih 4,000 anggota daripada 17 cawangan Umno dalam Bahagian Jelutong hari ini mendesak Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyelesaikan segera krisis dalaman yang dihadapi oleh Umno bahagian sejak tiga tahun lalu.

Wakil ketua-ketua Umno cawangan yang "tergantung" itu, Abdul Wahab Abdullah berkata Zahid perlu berjumpa dengan kesemua ketua dan jawatankuasa 17 cawangan terbabit supaya krisis itu tidak berlarutan dan menjejaskan persiapan pilihan raya umum ke-13 kelak.

"Kami daripada 17 cawangan Umno ini masih lagi sayangkan parti dan masih berdiri teguh di belakang Umno, jadi janganlah biarkan kami meningggalkan Umno hanya kerana tiada apa yang boleh dibincangkan lagi," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata kesemua 17 cawangan Umno itu kesal dengan tindakan kepimpinan Umno Bahagian Jelutong dan Badan Perhubungan Umno Negeri yang menfitnah kononnya status cawangan mereka tidak sah atas alasan mempunyai ahli hantu.

"Sehingga tahun ini, kami tidak menerima apa-apa surat yang menyatakan status kami tidak sah atau digantung ataupun ditangguh dan oleh itu apa yang kami lakukan adalah mengikut undang-undang Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) untuk mengadakan mesyuarat tahunan masing-masing semalam," kata beliau.

Abdul Wahab berkata sebelum ini terdapat wakil Majlis Tertinggi (MT) Umno menjalankan siasatan mengenai dakwaan Umno Bahagian Jelutong terhadap 17 cawangan terlibat dan hasil siasatan itu mengesahkan bahawa kesemua cawangan itu mempunyai lebih 4,000 ahli sah.

"Adalah tidak logik tuduhan bahawa cawangan-cawangan kami mempunyai ahli hantu kerana jika ia benar-benar berlaku, Umno Bahagian Jelutong itu sendiri adalah tidak sah sekarang kerana kebanyakan kami adalah bekas barisan kepimpinan Umno bahagian itu dan telah pernah menghadiri persidangan perwakilan bahagian," kata beliau yang juga bekas ketua pemuda Umno Bahagian Jelutong.

Katanya tindakan kepimpinan Umno Bahagian Jelutong sememangnya cuba melemahkan parti kerana dalam usaha Presiden Datuk Seri Najib Razak memperkukuhkan pengaruh Umno di kalangan rakyat, Umno Bahagian itu pula sedang menyingkir anggotanya.

Beliau berkata lebih 4,000 anggota Umno terlibat memberi tempoh sehingga hujung tahun ini dan jika MT masih tidak memberi sebarang keputusan, mereka mungkin akan membubarkan cawangan masing-masing dan keluar daripada Umno secara beramai-ramai.

Sementara itu, Ketua Bahagian Umno Jelutong, Abdul Razak Abdul Rahman berkata beliau telah menghantar surat kepada ahli-ahli daripada 17 cawangan itu untuk menyertai cawangan lain kerana Badan Perhubungan Umno Negeri telah membuat keputusan untuk menutup cawangan mereka.

Permohonan batal petisyen Zaid didengar 20 Julai

Posted: 12 Jul 2010 10:23 PM PDT

BERNAMA


KUALA LUMPUR— Permohonan Anggota Parlimen Hulu Selangor P.Kamalanathan bagi mengetepikan petisyen pilihan raya oleh Datuk Zaid Ibrahim, calon Parti Keadilan Rakyat yang tewas kepadanya dalam pilihan raya kecil bagi kerusi itu pada 25 April lepas, akan didengar di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azahar Mohamed menetapkan tarikh itu selepas menemui peguam yang mewakili semua pihak yang terlibat hari ini.

Pada 24 Mei lepas, Zaid memfailkan petisyen agar keputusan pilihan raya kecil itu diisytihar tidak sah dan dibatalkan dengan mendakwa berlakunya rasuah dalam bentuk sogokan kepada penduduk.

Zaid kalah kepada Kamalanathan daripada Barisan Nasional dengan majority 1,725 undi.

Zaid menamakan Kamalanathan serta pegawai pengurus pilihan raya berkenaan, Nor Hisham Ahmad Dahlan, dan Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai responden.

Kamalanathan, yang juga ketua penerangan MIC, memfailkan permohonan membatalkan petisyen itu dengan alasan Zaid gagal mendedahkan kausa tindakan yang munasabah dan petisyen itu adalah mengaibkan, remeh, menyusahkan dan satu penyalahgunaan proses mahkamah.

Selain itu, katanya, Zaid gagal mengenal pasti orang yang didakwanya ditawarkan sogokan.

Kamalanathan diwakili peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun, Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dan Cheng Mai manakala Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan dan Mohd Azhar Mohd Yusof mewakili pegawai pengurus pilihan raya dan SPR. Peguam Ang Hean Leng, Leong Sher How dan Azahar Azizan Harun mewakili Zaid.

Perkasa ajak Ketua Pemuda MCA berdialog jernihkan situasi

Posted: 12 Jul 2010 05:06 PM PDT


KUALA LUMPUR — Pertubuhan bukan kerajaan Perkasa masih meletakkan harapan untuk berdialog dengan Ketua Pemuda MCA Datuk Dr Wee Ka Siong bagi 'menjernihkan' suasana dengan menerangkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan khususnya yang berkaitan dengan kaum Melayu dan Bumiputera.

Sayap pemuda Perkasa menunjukkan minat itu meskipun baru-baru ini membuat laporan polis terhadap Wee berhubung isu biasiswa.

Ketua Wira Perkasa Arman Azha Abu Hanifah berkata pihaknya bersedia berdepan dengan Timbalan Menteri Pelajaran itu yang sebelum ini didakwa telah mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Sebagai sebuah pertubuhan yang berdiri teguh di belakang Perlembagaan Persekutuan sudah menjadi kewajiban kami untuk bangun menerangkan maksud perlembagaan kepada individu-individu yang tidak memahaminya termasuk Wee.

"Ini kerana banyak kenyataan yang dikeluarkan Wee menjurus kepada pencanggahan pendapat dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Sebagai seorang pemimpin beliau harus berpegang teguh kepada Perlembagaan Persekutuan dan jangan sesekali mengeluarkan kenyataan yang bertentangan," kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali sebelum ini mendakwa Wee mempersoalkan kontrak sosial dan tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan.

Pertembungan Ibrahim-Wee itu dilihat sebagai yang terbaru Perkasa sejak ia ditubuhkan selepas keputusan pilihan raya umum ke-12.

Bagaimanapun Wee berkata kenyataan beliau tidak sekali-kali mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu dan beliau tidak pernah menyebut bahawa kerajaan perlu memansuhkan biasiswa Mara.

Arman Azha berkata melalui sesi dialog itu beliau akan menyerahkan sendiri satu naskhah Perlembagaan Persekutuan kepada Wee.

Pemuda Perkasa pernah bercadang berbuat demikian beberapa bulan lalu tetapi menjadi kenyataan.

"Sekarang kita sedang membuat perancangan untuk mengadakan sesi dialog bersama Wee dan berharap supaya beliau menerima pelawaan untuk berdialog.

"Mungkin kita akan adakah sesi dialog ini dalam masa terdekat tapi ia bergantung kepada Wee kerana kita sudah bersedia sepenuhnya.

"Selain itu, kita juga mahu semua pemimpin supaya berpegang teguh dan menghormati Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Ekoran perkara tersebut Arman Azha telah membuat laporan polis pada 5 Julai lalu terhadap Wee berhubung kenyataannya mempersoalkan isi biasiswa Mara dan Jabatan Perkhidmatan Awam.

Najib mula lawatan kerja dua hari ke Brunei

Posted: 12 Jul 2010 04:57 PM PDT

BERNAMA

BANDAR SERI BEGAWAN — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tiba di sini malam tadi untuk lawatan kerja dua hari ke Brunei Darussalam sempena sambutan ulang tahun ke-64 keputeraan Sultan Hassanal Bolkiah.

Beliau, yang diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor, disambut oleh Menteri Pembangunan Brunei Dato Seri Setia Awang Suyol Awang Osman sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei dengan pesawat khas dari Kuala Lumpur.

Turut dalam rombongan ialah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Hari ini, Najib akan dikurniakan Darjah Kerabat Laila Utama Yang Dihormati (D.K) yang membawa gelaran Dato Laila Utama, oleh Paduka Sultan, yang juga Yang Di-

Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Bintang tersebut dikurniakan oleh Sultan kepada kerabat diraja atau ketua negara sahaja atas dasar perhubungan erat kedua-dua negara seperti Malaysia dan Brunei yang berjiran, selain menjadi negara anggota Asean.

Majlis penganugerahan itu diadakan di Istana Nurul Iman, dimana Najib juga akan menghadiri majlis santapan tengah hari sebelum bertolak ke Kota Kinabalu, Sabah.

Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Datuk Ku Jaafar Ku Shaari berkata bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi juga akan menerima penganugerahan Brunei yang cukup tinggi itu di sini pada Khamis ini.

Kadar kelahiran di M'sia terus merosot

Posted: 12 Jul 2010 04:51 PM PDT

BERNAMA



Kadar kelahiran penduduk Malaysia yang menurun kepada kadar 2.2 peratus pada 2008 berbanding 2.6 peratus pada 2000 dijangka terus merosot jika faktor melengahkan perkahwinan dan sukar mengimbangi antara kerjaya dan keluarga terus berlaku.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Senator Heng Seai Kie berkata bagi menyelesaikan masalah berkenaaan, individu memainkan peranan penting terutamanya dalam menyelesaikan isu melibatkan kehidupan berkeluarga.

"Keputusan adalah di peringkat individu sama ada nak kahwin atau tidak, nak melengahkan perkahwinan, atau mahu berapa anak dalam keluarga," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar "Penduduk, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim" anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN)di ibunegara hari ini.

Selain itu, kerajaan dan majikan juga perlu menyediakan sistem sokongan kepada pekerja supaya mereka dapat melaksanakan tugas dengan baik di samping dapat meluangkan masa bersama keluarga, kata Heng.

Mengenai seminar itu, Heng berkata LPPKN dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar akan meneruskan usaha untuk menjadikan isu alam sekitar dan perubahan iklim sebagai amalan hidup di kalangan penduduk terutamanya dalam institusi keluarga.

"Saya menyeru ibu bapa supaya selain memfokuskan kepada usaha memastikan anak-anak cemerlang dalam akademik, mereka juga perlu mendidik anak-anak mengamalkan konsep 3R (Kurangkan Penggunaan, Gunakan Semula dan Kitar Semula) untuk melindungi alam sekitar," katanya.

Heng turut mengingatkan semua pihak terutamanya golongan wanita supaya hanya membeli barangan yang mereka perlukan sahaja dan mengamalkan konsep guna dan kitar semula apa sahaja yang dibeli.

Masyarakat perlu bersama-sama berusaha melindungi alam sekitar dan perubahan iklim untuk mewujudkan alam sekitar yang selamat, harmoni dan mesra, katanya.

Heng memberitahu kajian daripada Earth System Science Centre, Brazil, mendapati sebanyak 10,000 manusia dilahirkan setiap jam di seluruh dunia mengakibatkan empat juta tan karbon dioksida dihasilkan.

"Dalam setiap jam 1,500 hektar hutan dipotong di seluruh dunia dan tiga spesis dilaporkan pupus setiap jam.

"Statistik ini menakutkan kita. Jika kita tidak ambil langkah untuk mengatasi dan mencegahnya, suatu hari nanti kita akan menghadapi pelbagai masalah kerana bumi adalah satu-satunya tempat tinggal kita," kata Heng.


Rayuan: Bung Moktar fail hujah bertulis

Posted: 12 Jul 2010 04:50 PM PDT

BERNAMA



Ahli parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin hari ini memfailkan hujahan bertulis berhubung rayuannya terhadap hukuman penjara sebulan kerana berpoligami tanpa kebenaran.

Hujahan bertulis itu difailkan melalui peguamnya Amli Embong di kaunter Pendaftaran Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada pukul 2 petang.

"Hujahan telah difailkan di mahkamah dan satu salinan hujahan itu telah diserahkan kepada pihak pendakwa syarie selaku responden," kata Amli ketika dihubungi.

Pada 1 Julai lepas, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam memerintahkan Bung Moktar memfailkan hujahan bertulis pada hari ini dan pihak pendakwaan mengemukakan hujahan balas pada 19 Julai ini.

Ketua Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Zainor Rashid Hassin turut menetapkan 4 Ogos depan untuk mendengar rayuan Anggota Parlimen Kinabatangan itu.

Pada 19 Mei lepas, Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur menjatuhkan hukuman penjara sebulan terhadap Bung Moktar, 51, kerana kesalahan berpoligami tanpa kebenaran mahkamah, dengan pelakon Izette A. Samad, 31, di rumah No 12, Jalan TC2B/3 Cemerlang Heights, Taman Melati, Gombak pada pukul 8.50 malam, 16 Disember tahun lepas.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 124 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 yang boleh membawa hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Bung Moktar memfailkan rayuan itu di sini pada 25 Mei lepas dan memohon supaya hukuman terhadapnya diringankan kepada hukuman denda.

Pada 19 Mei juga, Bung Moktar turut didenda RM1,000 atau penjara sebulan kerana kesalahan bersubahat dengan Zizie Izette kerana berkahwin tanpa kebenaran Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk.

Beliau membayar denda itu.


Mahkamah tolak rayuan SPRM

Posted: 12 Jul 2010 04:47 PM PDT

BERNAMA



Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak rayuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap keputusan Mahkamah Sesyen melepaskan dan membebaskan seorang anggota polis daripada tuduhan menerima rasuah, lima tahun lepas.

Ketika menolak rayuan itu, Hakim Datuk Ghazali Cha berkata keputusan itu dibuat mengikut pertimbangan maksima berdasarkan keterangan dan kredibiliti pengadu dalam kes Lans Koperal Mohd Rahizan Mohd Ashri.

"Berdasarkan keterangan, pengadu Sirat Miswar mempunyai motif tertentu dan mempunyai niat membalas dendam...justeru itu mahkamah tidak akan mengusik keputusan hakim Mahkamah Sesyen," katanya.

Pada 21 Julai 2005, Mohd Rahizan, 39, dari Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua tuduhan menerima rasuah daripada Sirat di kawasan letak kereta Kedutaan Indonesia di ibunegara.

Beliau didakwa menerima rasuah RM300 daripada Sirat pada 4 Januari 2005 bagi mengelakkan tindakan undang-undang diambil ke atas pengadu kerana memiliki pasport orang lain dan RM100 lagi pada keesokan harinya di tempat yang sama.

Mohd Rahizan didakwa mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama yang membawa hukuman penjara minimum 14 hari hingga 20 tahun dan denda sehingga RM10,000, jika sabit kesalahan.

Pada September tahun lepas, Hakim Mahkamah Sesyen Anita Harun membuat keputusan melepaskan dan membebaskan Mohd Rahizan daripada tuduhan itu.


Chua Jui Meng dilantik ketua PKR Johor

Posted: 12 Jul 2010 04:43 PM PDT

BERNAMA



Bekas Menteri Kesihatan yang juga anggota majlis pimpinan pusat PKR Datuk Chua Jui Meng telah dilantik sebagai ketua PKR Johor.

Setiausaha agung parti itu Saifuddin Nasution berkata pelantikan Chua itu diputuskan pada mesyurat biro politik parti Rabu lepas (7 Julai).

"Datuk Chua Jui Meng akan melaksanakan tugas serta merta," kata Saifuddin dalam kenyataan ringkas pada laman web parti itu hari ini.


Pelajar buat laporan polis pada MP Serdang

Posted: 12 Jul 2010 04:38 PM PDT

Jimadie Shah Othman

Seorang mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) membuat laporan polis ekoran penyebaran risalah anti dua akta kontroversi - ISA dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) - yang ditemui dalam universiti itu semalam.

Ahmad Mustaqim Murad, 21, pelajar tahun akhir jurusan geografi meminta pihak polis menyiasat bagaimana risalah sebegitu boleh beredar dalam kampus yang tidak boleh dimasuki orang luar.

"Bagaimanakah kawalan keselamatan para pegawai keselamatan?" soal Ahmad Mustaqim dalam laporan polisnya di Balai Polis Bandar Baru Bangi, Kajang kira-kira jam 2.30 petang ini.

Dalam laporannya, pelajar berkenaan menyoal apakah terdapat orang luar yang mengedarkan risalah itu memandangkan ahli parlimen Serdang, Teo Nie Ching didakwa masuk ke UKM pada 2 Jun bagi bagi memberikan sokongan terhadap empat mahasiswa universiti itu yang dirujuk kepada AUKU atas dakwaan terlibat dalam kempen pilihan raya kecil.

Ahmad Mustaqim mendakwa, risalah itu ditemui petang semalam di depan pintu bilik di sebuah kolej kediaman di UKM selain bertebaran dalam kuantiti yang banyak di pelbagai tempat.

Beliau menegaskan universiti merupakan kawasan autonomi dan tidak boleh mana-mana parti politik.

"Oleh itu saya hadir ke balai polis membuat laporan meminta agar polis menyiasat siapakah yang mengedar risalah ini yang berbaur hasutan untuk mengajak mahasiswa lain menghapuskan AUKU dan ISA," laporan polis itu dipetik.

Sementara itu, Teo ketika dihubungi Malaysiakini menafikan risalah itu diterbitkan pihaknya.

"Saya langsung tiada apa-apa pengetahuan tentang risalah ini," katanya yang mendakwa gambarnya diambil daripada salah satu poster kempennya dalam pilihan raya umum lalu.

"Bagaimanapun, pendirian saya terhadap AUKU adalah jelas, iaitu mansuhkan AUKU.

"Dan saya menyokong keempat-empat pelajar yang sedang menghadapi prosiding disiplin AUKU kerana pergi ke Hulu Selangor semasa pilihan raya kecil.

Teo juga memberitahu beliau tidak pasti apa motif mahasiswa terbabit membuat laporan tersebut terhadapnya.

KDN panggil pengerusi, pengarah Harakah pula

Posted: 12 Jul 2010 04:35 PM PDT

MALAYSIA KINI



Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini memanggil Pengerusi Jemaah Pengarah Harakah Datuk Mustafa Ali dan pengarah urusannya Datuk Kamarudin Jaffar kerana menerbitkan akhbar rasmi PAS itu tanpa permit.

Menurut setiausaha bahagian kawalan penerbitan dan teks al-Quran KDN Datuk Zaitun Ab Samad, kedua-dua Mustafa dan Kamarudin dipanggil bagi memberikan penjelasan mengenai perkara itu pada petang ini.

"KDN memandang serius tindakan penerbitan dan pengedaran Harakah keluaran bertarikh 12-15 Julai 2010 ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 9 Julai lalu, Harakah - yang belum mendapat permit baru - menjawab surat tunjuk sebab yang diterimanya daripada KDN sehari sebelum itu.

Kamaruddin yang juga ahli parlimen Tumpat dilaporkan berkata surat itu diserahkan oleh Pemangku Ketua Pengarang Harakah Taufek Yahya kepada Timbalan Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran di KDN, Abdul Razak Abdul Latif di Putrajaya.

Menurutnya, dalam jawapan itu, Harakah menjawab semua isu yang dibangkitkan oleh kementerian itu.

Sementara itu, Kamarudin ketika dihubungi Malaysiakini berkata pihaknya diminta hadir ke KDN petang ini bagi menjelaskan lebih lanjut berhubung surat tunjuk sebab yang dikemukakan kepada Harakah.

"Belum ada keputusan (berhubung status permit Harakah)," katanya yang menjangkakan akan ada lagi pertemuan susulan selepas ini.

Mahfuz: 'SPRM takut pada Bala'

Posted: 12 Jul 2010 04:29 PM PDT

Hazlan Zakaria

Ahli parlimen pembangkang hari ini mempersoalkan keengganan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk bersemuka dan menyoalsiasat penyiasat persendirian, P Balasubramaniam.

Sebaliknya, pihak berkuasa Perancis, dakwa mereka, telah menjemput Bala ke Perancis dan menjadikannya saksi pertama dari Malaysia untuk memberi keterangan dalam siasatan dakwaan berlakunya rasuah dalam jualan kapal selam Scorpene oleh DCN kepada Malaysia.

Adalah sesuatu yang memalukan bahawa Perancis yang serius mengenai siasatan dakwaan rasuah itu dan bukannya kerajaan Malaysia, kata ahli parlimen PAS bagi Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dalam satu sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.

"Sebuah kerajaan asing dan bukannya SPRM yang menyiasat perkara ini. Ini kerana mereka tidak mahu cakap-cakap bahawa salah sebuah agensi milik kerajaan mereka terbabit dalam rasuah, melibatkan ahli politik mereka dan Malaysia.

"Mengapa SPRM tidak menyiasat perkara ini? Mengapa mereka tidak bercakap dengan Balasubramaniam? Ini sangat aneh. Saya rasa suruhanjaya itu takut padanya."

Mahfuz kemudiannya secara berseloroh dengan berkata singkatan untuk SPRM - bermaksud "Suruhanjaya Pondan Rasuah Malaysia" jika ia menunjukkan sikap pengecut seperti itu.

PKR Tian Chua Batu parlimen, yang turut menghadiri sidang akhbar yang sama, bersetuju dengan pandangan Mahfuz.

Katanya, SPRM mesti merasakan ia lebih baik dari polis Perancis, apabila hanya menghantar satu siri "soalan kuiz", sedangkan polis Perancis mengambil berat testimoninya dan bersemuka dengannya.

Bala bakal jadi 'agen asing' selepas Anwar - Mahfuz

Posted: 12 Jul 2010 04:28 PM PDT

Dzulfikar Mashor


KUALA LUMPUR: Penyiasat persendirian (PI) Balasubramaniam mungkin bakal difitnah sebagai agen asing sebagaimana beberapa pemimpin Umno mengfitnah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai 'agen CIA', kata Datuk Mahfuz Omar.

Naib Presiden PAS itu membuat jangkaan demikian ekoran kesediaan Bala mendedahkan skandal rasuah berkaitan kapal selam Scorprene kepada sekumpulan penyiasat di Direction Centrale de la Police (DNIF), Nanterre Prefacture, 8 malam ini iaitu jam 2 petang waktu Perancis.

"Itulah permainan pemimpin Umno, mereka nak tutup rasuah yang membelit kapal tak boleh selam ini dengan tuduh beberapa individu ini sebagai agen asing.

"Saya percaya Bala ini akan difitnah seperti Datuk Seri (Anwar)," tegas beliau pagi tadi di lobi Parlimen.

Menurut beliau, permainan itu semata-mata untuk mengelirukan rakyat dari melihat isu sebenar - kapal selam Scorpene bernilai EURO1.084 bilion yang dibeli dari Perancis masih menghadapi masalah teknikal hatta tak boleh menyelam.

Katanya lagi, sepatutnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) lebih awal membuka kertas siasatan berhubung skandal pembelian kapal selam yang dikatakan membabitkan Datuk Abdul Razak Abdullah Baginda (bekas panacea Datuk Seri Najib Razak) dan mendiang Altantuyaa Sharibuu (gadis Mongolia yang dibom menggunakan C4).

"Suatu yang memalukan apabila Perancis pentingkan integriti, mereka tak mahu ada dakwaan kononnya ada agen misteri dalam negara mereka amalkan rasuah.

"Suatu yang pelik, SPRM hanya bersedia serah soalan siasatan kepada peguam Bala saja," sindir beliau.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena turut mempersoal permainan media membunuh karektor Anwar.

"Dua hari lalu, dia fitnah Anwar upah CNN, kemudiannya dia fitnah Anwar 'agen CIA' pula, isunya kalau Anwar 'Agen CIA' hari-hari dia boleh masuk CNN dengan tak perlu bayar sebab CIA bayar," ujar beliau sambil menganggap permainan media yang pro Umno tertentu itu semata-mata bertujuan membendung kebencian rakyat pada kerajaan.

"Dulu masa PKR tak ada, mereka tuduh PAS agen asing, sekarang tuduh Anwar.

Disebabkan itu, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa CNN mungkin akan menyaman kerajaan Malaysia dan beberapa media terbabit.

"Dia ingat CNN ini macam TV3, itu bukan tuduhan pada Anwar, sebenarnya tuduhan itu boleh mendorong CNN saman media arus perdana (dan) mereka yang terbabit," beliau menambah.

Sedangkan, beliau berkata, suatu firma misteri di Amerika Syarikat sebelum ini terbukti membayar sejumlah wang tertentu pada New York Times demi memastikan isteri kepada Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dimahsyurkan sebagai 'First Lady' dalam akhbar tempatan Amarika Syarikat pada 16 April lepas.

(Gambar: Iklan yang menyatakan Rosmah adalah First Lady Malaysia dalam New York Times...Kalau dia first lady, siapa dia Raja Permaisuri Agung)

Sebelum pada itu, Pengarah Strategik PKR Nasional, Tian Chua mendedahkan bahawa pembekal memberi jaminan untuk memperbaiki kapal selam terbabit sepatutnya tamat pada 25 Jun lalu.

Namun, disebabkan terlalu banyak masalah teknikal, jaminan pembekal dipanjangkan sehingga 25 Mei lalu.

Tambahnya lagi, kos penyelenggaraan kedua-dua kapal terbabit dianggarkan akan terus meningkat dari anggaran yang dibuat oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, iaitu EURO270 juta setahun.

Sehubungan itu, beliau bersama-sama Mahfuz menuntut supaya segera menubuhkan suatu suruhanjaya diraja untuk menyiasat skandal kapal selam yang membazirkan EURO1.34 bilion wang rakyat.

Selasa lalu, Harakahdaily melaporkan bahawa Mahfuz turut mendakwa Bala serta Raja Petra Kamaruddin (pemilik blog Malaysia Today) mempunyai 'kunci peti rahsia' berhubung kes pembunuhan Altantuya.

Tiada ulasan: