Selasa, 13 Julai 2010

.

.


Menjernihkan Siasah

Posted: 12 Jul 2010 10:54 PM PDT

Umno Perlu Juga Bersetuju Menemui PKR

Timbalan Perdana Menteri (TPM), Muhyiddin Yassin mengatakan Umno sedia untuk bertemu dengan Pas bagi menjalinkan kerjasama dalam usaha memperkukuhkan Islam dan kedudukan orang Melayu di negara ini. Katanya walaupun usaha itu sering kali menemui kegagalan ia tidak pernah mematahkan semangat Umno. Baguslah kalau begitu.

Kenyataan Muhyiddin itu pasti akan menjadi kontroversi dan modal politik bagi ahli politik yang mudah miang mulut bila diajukan perkara itu. Dan kenyataan yang sama akan dikeluarkan oleh media massa sekejap lagi yang mengulas kenyataan Muhyiddin itu. Portal berita yang tidak senang dengan penyatuan Melayu akan melagakan pemimpin Melayu.

Kenyataan berbau kebecian kepada Umno akan terhembur di mana-mana secara kesat dan kasar. Pasti akan ada yang mengulas kenyataan Muhyiddin itu sebagai menggambarkan Umno sudah terdesak.

Muhyiddin akan disindar dan disinis semahunya.

Juga akan ada pemimpin Pas mengulas kenyataan itu serta mengulangi tuntutan Pas agar Umno mengubah perlembagaanya sebelum bekerjasama dengan Pas. Selamanya kenyataan sebegitu akan diprejudiskan oleh Pas. Di Kota Bharu sana akan terkeluar kenyataan yang kliese mengenai perkara itu. Paling lama Jumaat akan datang.

Tidak mengapa Pas berhak untuk berkata demikian berpandukan kepada sejarah dan kepercayaan. Tetapi apa yang saya hendak pertikaikan kenyataan Muhyiddin itu kenapakah Umno hanya bersedia untuk menemui Pas sahaja. Kenapa Umno tidak terbuka fikiran untuk menemui sama dengan PKR? Sesekali cubalah Umno menghulurkan salam persaudara dengan PKR? Dalam PKR rasanya ada orang yang akan menyambut salam Umno sebab ada yang faham erti assalamualaikum?

Saya rasa satu kejutan kalau tiba-tiba Umno menyatakan kesediaan untuk berjumpa dengan PKR dan berbincang dengan Anwar Ibrahim. Perjumpaan tiga buah parti Melayu ini akan membuka era baru dan membawa semangat baru kepada orang Melayu. Ia tentu merujakan banyak pihak.

Kalau Muhyiddin atau Umno ikhlas dan benar untuk menyatukan orang Melayu, Muhyiddin tidak boleh abaikan PKR. Mengajak Abdul Hadi Awang dan Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak boleh meninggalkan Anwar Ibrahim. Hampir separuh dalam PKR adalah orang Melayu. Rasanya lebih mudah mengajak orang PKR bersatu berbanding dengan Pas kerana sebahagian besarnya mereka adalah darah daging Umno.

Pada saya selagi penyatuan dan kerjasama tidak membabitkan PKR harapan untuk melihat Melayu bersatu dan kerjasama sia-sia sahaja. Pas yang kini sudah berikat atas dasar politik (Pakatan) tidak akan bersetuju. Dan sekiranya Umno sedia jumpa sama dengan PKR rakan Pas dan PKR, DAP tidak perlu merasa cemas dan cemburu. Mereka berhak berjumpa atas nama bangsa Melayu. DAP juga perlu menghormati pertemuan itu kerana mereka adalah sebangsa dan seagama!

Seharusnya persepakatan politik untuk mendapatkan kuasa tidak menjadi penghalang untuk mana-mana bangsa dan kaum berjumpa sesama mereka memikir mengenai nasib dan masa depan masing-masing. Begitu juga kalau DAP hendak berjumpa dengan parti-parti lain yang sekaum dengannya Pas dan PKR tidak perlu merasa gusar.

Kalau benar kita sedia menerokai politik baru, pro dan liberal pembahruan ini perlu dikemukakan. Selagi kita saling curigai mencuriagai antara satu sama lain maka selama itulah rintisan kepada politik yang profesional tidak akan bermula di negara ini dan selamanya kita akan bercakaran seperti yang berlaku kini. [wm.kl. 2:00 pm 13/07/10]

Susupan Petang

Posted: 12 Jul 2010 04:12 AM PDT

Maklumat Yang Boleh Memakan Diri Sendiri

ORANG Pas yang tidak suka parti mereka dikritik (walaupun untuk kebaikan) mungkin suka dan bahagia dengan apa yang dijelaskan oleh salah seorang Naib Presidenya yang mengatakan undi teras Melayu kepada Pas tidak berubah bahkan meningkat sedikit.

Tentulah pernyataan itu akan menafikan dakwaan ataupun kebimbangan sesetengah pemerhati yang menduga undi Melayu kepada Pas akan merosot ekoran pendekatan baru Pas muasir ini yang dilihat liberal dan tidak berpegang kepada prinsip atau pendekatan asal. Ini termasuklah memberi tumpuan kepada bukan Melayu dengan mewujudkan Dewan Himpunan Penyokong Pas. Kontrasnya usaha ini tidak ada perancangan atau agenda khusus untuk memacing undi Melayu.

Sesetengah pemerhati merasakan tindakan agresif Pas itu seolah mengalpakan pengundi Melayu dan merupakan satu gerakan mempengaruhi pengundi yang tidak seimbang. Pas mengadakan perancangan khas untuk menambah undi bukan Melayu menerusi Dewan Himpunan Penyokongnya dimana dewan itu telah diikhtrafkan oleh Pas, tetapi belum ada program menjerat pengundi Melayu.

Tetapi di sini saya ingin memperbetulkan tanggapan atau analisa selamba Naib Presiden Pas berkenaan yang didakwa merupakan satu rumusan dalam retreat Pas selama tiga hari lalu di Port Dickcson.

Saya tidak bersetuju dan merasakan penegasan mengenai hal itu tidak tepat dan boleh memakan diri sendiri. Menurut Naib Presiden Pas itu, pada tahun 1995 peratus undi Melayu kepada Pas ialah 38% hingga 40%. Peratus pada tahun 1999 bertambah hingga 55%. Pertambahan ini menggunakan alasan kerana berlaku pemecatan Anwar Ibrahim dari Umno. Penambahan itu pun berlaku bukan kerana ada pembaharuan dan tarikan dari Pas melainkan kerana isu Anwar.

Dalam tahun 2008 katanya sokongan Melayu kepada Pas antara 42% hingga 46%. Berdasarkan fakta itu menurut Naib Presiden bermisai dan berjanggut putih itu, undi teras Melayu tidak berubah.

Saya tidak tahu apakah pandangan Naib Presiden itu bahawa peratus undi teras Melayu yang dikatakan itu statitik, maksudnya ia satu angka yang tidak akan berubah menjelang pilihan raya ke 13 nanti atau bagaimana? Bahkan ada kemungkinan makin melonjak? Begitukah yang beliau fikirkan ataupun penjelasan itu sekadar untuk menafikan tanggapan negatif terhadap Pas yang kurang disenanginya? Kalau beliau berfikiran begitu alangkan dangkalnya.

Pada saya, pencapaian-pencapaian itu, tahun 1995, 1999 dan 2008 tidak boleh dipakai lagi kerana kedudukan dan senarionya berubah. Pas tidak boleh asyik dengan perangkaan untuk menyedapkan hati itu. Pencapaian itu tidak boleh dijangka sekiranya ia tidak mengambil kira perubahan semasa dan isu semasa yang berlaku waktu ini di mana sesetengahnya memberi kesan negatif kepada Pas dalam konteks orang Melayu.

Misalnya tahun 1995 membawa ke tahun 1999 Umno di dalam keadaan bergolak. Masa itu berlaku pertukaran kepimpinan dari Dr Mahathir Mohamad kepada Abdullah Ahmad Badawi. Selepas pertukaran itu Umno menghadapi masa yang amat kritikal ekoran kepimpinan Abdullah.

Sesetengah orang Melayu Umno sendiri yang terpengaruh dengan hasutan dan dengki Mahathir menyerang Abdullah, menerima pandangan Dr Mahathir. Orang Melayu Umno ikut protes Umno dan undi Melayu dari Umno (pengundi) inilah yang lari kepada Pas.

Begitu juga Naib Presiden berkenaan mengatakan peningkatan undi Melayu kepada Pas tahun 1999 ekoran pemecatan Anwar dari Umno. Perlu diambil kira hari ini Anwar bukan lagi dipecat, dan Umno bukan lagi di bawah kepimpinan yang diserang siang dan malam, tetapi sudah bertukar tangan kepada Najib. Dan kes liwat yang dihadapkan kepada Anwar hari ini bukan yang pertama tetapi yang kedua, di mana persepsinya berhubung kes ini mungkin berbeza.

Kini suasana itu sudah tidak ada lagi. Malahan peralihan dari Abdullah kepada Najib menyerlahkan kesungguhan dan kerajinan Najib memperbetulkan kesilapan lampau mereka.

Demikian juga kata Naib Presiden itu, undi untuk Pas pada pilihan raya kecil kecil Bukit Gantang, Perak meningkat hingga 45% juga tidak boleh dipakai. Waktu itu Perak dalam keadaan kabur dan belum ada pemulihan dari Umno. Hari ini selepas Umno menguasai Perak setahun 'kepala' Melayu Perak sudah dingin sedikit. Apapun nak dikatakan dan nak dilebelkan mengenai pengambilan alih kerajaan Perak ia memberi untung kepada Umno berbanding Pas. Lainlah tentang pengundi Cina.

Begitu juga sebelum ini tidak ada gerakan untuk menyedarkan (menubakan) orang Melayu agar tidak meninggalkan Umno. Hari ini sudah ada berbagai pertubuhan bukan kerajaan yang siap untuk menjadi perkas kepada Umno. Sedikit sebanyak kemunculan NGO-NGO ini boleh memberi input dan kejutan baru kepada orang Melayu agar kembali semua kepada parti asal mereka. Sebaliknya tidak ada NGO yang vokal untuk membela Pas kecuali NGO menuntut royalti minyak di Kelantan.

Makanya pandangan atau kenyataan Naib Presiden berkenaan tidak boleh diterima sebagai satu lesimpulan konkrit apa lagi untuk diguna pakai sebagai indaktor bagi pilihan raya yang akan datang. Saya cukup bimbang kalau tidak ada program dan agenda khusus untuk memberi keyakinan dan semangat kepada orang Melayu - termasuk generasi muda, bahawa Pas parti yang mempunyai komitmen untuk membela nasib mereka peratus undi yang dibanggakan itu akan menurun. Seharus disamping menerima Islam sebagai ideologi Pas juga harus menerima Melayu sebagai asas perjuangan.

Dalam hal ini pada saya lebih baik Pas berusaha secara senyap untuk menarik undi Melayu daripada bercakap tentang kejayaan masa lepas yang layak untuk dikenangkan saja. Kejayaan yang lepas masih belum tentu apakah ia berulang dan berpihak kepada kita atau sebaliknya. Sesuatu figure yang belum tentu memberi keuntungan sepatutnya tidak didedah sehingga menampakkan kedangkan kita dalam mengatur strategi. [wm.kl. 7:00 pm 12/07/10]

Tiada ulasan: