Selasa, 13 Julai 2010

Blog-list Malaysia

Blog-list Malaysia


Dedah Dan Berkokok Lagi Azmin, Selangor Memang Dah Nak Lingkup Pun..

Posted: 12 Jul 2010 06:13 AM PDT

Azmin bidas kerajaan negeri Selangor masih gagal amal bajet berhemah

KUALA LUMPUR, 12 Julai – Azmin Ali. yang dilantik sebagai Pengerusi PKR Selangor bulan lalu, hari ini mempersoalkan kerajaan negeri kerana masih gagal mengamalkan urus tadbir kewangan berhemah.

Adun Bukit Antabangsa ini melahirkan rasa 'kecewa' kerana anggaran perbelanjaan kerajaan negeri meningkat hampir RM200 juta.

Dewan Undangan Negeri membahaskan Rang Undang Undang Perbekalan Tambahan 2010 yang memerlukan peruntukkan wang sejumlah RM117 juta dari Kumpulan Wang Disatukan Negeri bagi menampung perbelanjaan tambahan perkhidmatan 2010.

"Ini adalah perbekalan tambahan kedua dalam tahun ini. Tambahan pertama telah diluluskan oleh Dewan dalam sesi bulan April lalu dengan peruntukkan tambahan sejumlah RM69 juta.


"Anggaran perbelanjaan 2010 telah membengkak dari RM1.3 bilion kepada RM1.49 bilion. Persoalannya adakah ini amalan urus tadbir kewangan yang berhemah?" kata beliau dalam ucapan perbahasannya di Dewan Undangan Negeri hari ini.

Azmin (gambar) yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Negeri Selangor berkata, sebarang usaha untuk mendapatkan perbelanjaan tambahan wajar diasaskan kepada amalan urus tadbir yang baik dan tidak semata-mata kerana kita mampu berbelanja.

Dewan akan membahaskan Rang Undang Undang Perbekalan Tambahan 2010 yang memerlukan peruntukkan wang sejumlah RM117 juta dari Kumpulan Wang Disatukan Negeri bagi menampung perbelanjaan tambahan perkhidmatan 2010.

Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak dari Selangor berkata hujah yang diutarakan untuk mengabsahkan perbelanjaan tambahan kali ini adalah kerana kutipan hasil dan pendapatan negeri sudah melonjak ke paras RM1.5 bilion dan makanya boleh berbelanja lebih.

"... (tetapi) tidak cukup untuk melayakkan kita bergelar pengurus kewangan yang baik," kata Azmin.

"Saya terpanggil untuk merenung ayat 46–48 Surah Yusuf yang memberi peringatan keras bahawa tujuh tahun yang makmur akan disusuli dengan tujuh tahun yang gersang.

"Dalam pembentangan Bajet 2009, kerajaan negeri menyasarkan pendapatan RM1.41 bilion. Adakah sasaran ini sudah berjaya dicapai?" kata beliau yang menggantikan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Pengerusi PKR Selangor bulan lalu.

Sehubungan itu Azmin mahu mendapatkan jawapan daripada kerajaan mengenai trend simpanan kerajaan negeri.

"Apakah meningkat atau menguncup? Sekiranya pendapatan negeri bertambah, berapa peratuskah yang diperuntukkan untuk dimasukkan dalam simpanan?" katanya.

Azmin seterusnya memberitahu Dewan Undangan Negeri telah pun mengambil kira perbelanjaan am atau luar jangka sejumlah RM57 juta dalam Bajet 2010.

"Saya ingin tahu apakah kedudukan peruntukkan luar jangka ini setakat 30 Jun 2010?" katanya.

Bagaimanapun kata Azmin, sekiranya peruntukkan luar jangka ini diurus dengan berhemah dan tidak berlaku pembaziran, Dewan Undangan Negeri tidak perlu memohon peruntukkan perbelanjaan tambahan sehingga mencecah RM117 juta.

Ucapan Azmin juga berkata jemaah kerajaan negeri tidak boleh berterusan datang ke Dewan Undangan Negeri untuk memohon peruntukan perbekalan tambahan dalam setiap persidangan.

Dalam enam bulan pertama tahun ini Dewan Undangan Negeri diminta meluluskan perbekalan tambahan sebanyak RM186 juta.

"Saya bimbang sekiranya amalan ini diteruskan, negeri akan menanggung bajet defisit dan bukan lagi bajet berimbang," kata Azmin.

Kata beliau, punca pupusnya peruntukkan luar jangka 2010 sebanyak RM57 juta ialah kerajaan negeri tidak merancang dan mengawal perbelanjaan.

"Amalan boros ini mesti dihentikan serta-merta. Perbelanjaan oleh STANDCO (Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Pembangunan Tanah) perlu berhemah bagi mengurangkan penggunaan peruntukkan luar jangka Kerajaan Negeri dan merancang perbelanjaan untuk perkara-perkara yang telah dibajetkan.

"Pengalaman saya di Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri memperlihatkan satu sistem yang cukup telus di mana kertas jemaah menteri oleh mana-mana Kementerian mestilah dikemukakan dua minggu sebelum Mesyuarat Jemaah Menteri untuk membolehkan jabatan-jabatan penting memberikan ulasan termasuk Bank Negara, Unit Perancang Ekonomi dan juga Jabatan Peguam Negara.

"Kertas sampingan tidak dilayan sama sekali. Kertas Jemaah Menteri yang dihantar lewat dan tiada ulasan dari jabatan-jabatan ini tidak akan dipertimbangkan oleh jemaah menteri. Ini adalah amalan urus tadbir yang baik dan perlu dipegang oleh kerajaan negeri khususnya ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri," katanya.

Sehubungan itu kata Azmin berkata beliau ingin mendapatkan penjelasan dari kerajaan negeri apakah Kertas Exco yang dibentangkan tanpa ulasan dari Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Perbendaharaan Negeri, Bahagian Perjawatan boleh diterima dalam Mesyuarat Exco?" katanya.

Azmin juga menuntut penjelasan perbelanjaan luar jangka yang sudah pupus dalam tempoh suku tahun kedua.

"Saya difahamkan kerajaan negeri mengeluarkan perbelanjaan yang melampau dalam majlis-majlis keraian sehingga mencecah angka hampir setengah juta ringgit bagi satu majlis perasmian.

"Inilah akibatnya apabila ulasan dari jabatan-jabatan tidak diperolehi terlebih dahulu sebelum kertas ini dibawa ke Mesyuarat Exco," kata beliau sambil meminta agar amalan boros dan membazir seperti ini dihentikan segera untuk menjimatkan peruntukkan luar jangka kerajaan negeri.

Beliau juga meminta penjelasan dari kerajaan negeri apakah benar amalan hari ini lebih cenderung untuk melantik juruperunding majlis dan bukan lagi menggunakan perkhidmatan PBT dan Pejabat Daerah Dan Tanah untuk menjayakan majlis-majlis anjuran Kerajaan Negeri.

"Saya ingin mengetahui siapakah syarikat-syarikat swasta yang dilantik untuk menguruskan majlis-majlis kerajaan negeri dan berapakah jumlah yang dibayar kepada setiap syarikat?" kata Azmin.

Samseng Turut Terlibat Curi Pasir Di Selangor

Posted: 12 Jul 2010 05:21 AM PDT

Langkah kerajaan Selangor mewujudkan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) bertujuan mengawal industri perlombongan pasir yang sebelum ini memberikan pihak tertentu peluang mengaut keuntungan mudah daripada kegiatan berkenaan, kata menteri besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

Selain itu, ia juga bertujuan membolehkan Selangor mengenali selok belok industri berkenaan untuk mengenalpasti ketirisan yang berlaku dalam kegiatan perlombongan pasir.

"Saya dapati terlalu ramai mereka yang terlibat dalam operasi pasir ini bukan saja individu. Ada juga kepimpinan kampung, pegawai kerajaan, pembawa lori, dan rupa-rupanya samseng pun terlibat.

"Barulah saya tahu industri ini ramai peminat. Bila kita kurangkan duit poket ini, terdapat heboh begitu besar, tapi kita mesti selesaikan," katanya ketika menjawab soalan lisan di DUN Selangor hari ini.


Soalan tersebut dikemukakan Mohd Shamsudin Lias (BN Sungai Burong) yang bertanyakan jumlah kerugian yang dialami Selangor akibat kegiatan kecurian pasir.

Dalam soalannya itu, Mohd Shamsudin turut menyoal langkah-langkah yang diambil kerajaan negeri dalam menangani isu berkenaan.

Khalid dalam jawapannya berkata, pada tahun 2006 kerajaan negeri memperoleh royalti sebanyak RM4.37 juta. Manakala bagi tahun 2007 pula jumlah kutipan berjumlah RM4.2 juta - jauh daripada kutipan sepatutnya yang dijangkakan sebanyak RM30 juta setahun.

"Kecurian masih berleluasa. Kita dapati (hasil) berjumlah RM30 juta tidak terkutip sebab kita tidak kawal. Jadi cara kita adalah tubuhkan Kumpulan Semesta," katanya.

Dedah nama

Tambahnya, hasil daripada langkah itu, kerajaan negeri berjaya mengutip hasil sebanyak RM7 juta pada 2008, tidak termasuk keuntungan daripada KSSB.

"Kenyataannya, (KSSB) bukan saja untuk tingkatkan royalti. Unjuran awal bukan (hanya) RM10 hingga RM20 juta, tapi untuk 2010 mereka jangka keuntungan melebihi RM25 juta," katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri juga bercadang untuk mendedahkan senarai individu yang menerima lesen pengeluaran pasir sebelum 2008 untuk membolehkan masyarakat tahu sama ada indvidu berkenaan merupakan pengeluar pasir yang sebenar.

"Ikut kajian kita, 80 peratus daripada mereka tak kenalpun jentera tapi dapat lesen untuk dijual. Sekarang kita buat perubahan," katanya.

Katanya lagi, kaedah menangkap individu terlibat dalam kegiatan tersebut dan menyita peralatan mereka didapati tidak berjaya menyelesaikan masalah berkenaan.

"Untuk ini kerajaan berpendapat, salah satu usaha bukan saja selesaikan pengeluaran tetapi juga mengawasi penggunaan atau pengeluaran," katanya lagi.

Jelasnya, kaedah mengenakan kawalan di pihak pengguna pasir didapati berkesan untuk mengawal industri perlombongan, seperti yang diamalkan dalam industri minyak.

"Dulu kita hanya sekat tempat keluar pasir. Sekarang strategi kita ialah tempat penggunaan pasir. Kita akan letakkan pegawai untuk buat semakan sama ada pasir diambil dari tempat yang diluluskan kerajaan negeri.

Rampas tanah persendirian

"Contohnya, kawasan pembinaan jalan untuk kapal terbang (tambang murah) LCCT yang perlukan berjuta tan pasir," katanya lagi.

Katanya, kerajaan negeri juga akan berbincang dengan pengeluar simen di Selangor supaya dapat bekerjasama bagi menentukan sama ada mereka membeli pasir daripada kawasan yang diberikan lesen.

"Kita tubuhkan syarikat kerajaan negeri (KSSB) untuk bersaing dan selesaikan masalah, sebab kita tidak tahu tentang industri ini. Kita tidak tahu siapa pembeli, siapa penggunanya," katanya.

Katanya lagi, selain langkah makro seperti itu, kerajaan negeri juga akan mengadakan mesyuarat mingguan dengan pegawai setiap daerah untuk mengenalpasti kawasan yang berlaku kecurian pasir.

Tambahnya, kerajaan juga akan membayar sagu hati sebanyak RM5,000 kepada pemberi maklumat yang boleh mendedahkan maklumat kegiatan kecurian pasir.

Selain itu, kerajaan negeri juga telah meluluskan langkah untuk merampas tanah milik persendirian yang membiarkan kegiatan kecurain pasir dilakukan di tanah mereka.

"Kerajaan negeri setuju beri borang 7A untuk rampas tanah tersebut, dan bila dirampas, tanah akan jadi milik kerajaan dan kerajaan negeri akan jaga tanah tersebut supaya tidak berlaku kecurian.

"Hampir 7, 8 keping tanah sudah kita ambil kerana mereka tidak jaga tanah mereka dan dibiarkan dicuri," katanya lagi.

Tambahnya, peruntukan untuk penguatkuasaan seperti itu akan dibiayai oleh KSSB.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: