Selasa, 13 Julai 2010

Anak Cucu Nabi Adam

Anak Cucu Nabi Adam


Permohonan batal petisyen Zaid Ibrahim 20 Julai

Posted: 13 Jul 2010 12:43 AM PDT

Permohonan anggota parlimen Hulu Selangor P Kamalanathan bagi mengetepikan petisyen pilihan raya oleh Datuk Zaid Ibrahim, calon Parti Keadilan Rakyat yang tewas kepadanya dalam pilihan raya kecil bagi kerusi itu pada 25 April lalu, akan didengar di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada Selasa ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azahar Mohamed menetapkan tarikh itu selepas menemui peguam yang mewakili semua pihak yang terlibat hari ini.

Pada 24 Mei lalu, Zaid memfailkan petisyen agar keputusan pilihan raya kecil itu diisytihar tidak sah dan dibatalkan dengan mendakwa berlakunya rasuah dalam bentuk sogokan kepada penduduk.

Zaid kalah kepada Kamalanathan daripada Barisan Nasional dengan majoriti 1,725 undi. Zaid menamakan Kamalanathan serta pegawai pengurus pilihan raya berkenaan, Nor Hisham Ahmad Dahlan, dan Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai responden.

Kamalanathan, yang juga ketua penerangan MIC, memfailkan permohonan membatalkan petisyen itu dengan alasan Zaid gagal mendedahkan kausa tindakan yang munasabah dan petisyen itu adalah mengaibkan, remeh, menyusahkan dan satu penyalahgunaan proses mahkamah.

Selain itu, katanya, Zaid gagal mengenal pasti orang yang didakwanya ditawarkan sogokan.

Kamalanathan diwakili peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun, Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dan Cheng Mai manakala Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan dan Mohd Azhar Mohd Yusof mewakili pegawai pengurus pilihan raya dan SPR. Peguam Ang Hean Leng, Leong Sher How dan Azahar Azizan Harun mewakili Zaid.

~Bernama~

Hutang RM392 juta Talam

Posted: 13 Jul 2010 12:43 AM PDT

Selangor akan menyediakan satu kertas putih berkaitan kutipan hutang berjumlah RM392 juta daripada syarikat Kumpulan Talam Corporation menjelang hujung tahun ini, kata menteri besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

Menjawab satu soalan lisan di DUN Selangor hari ini, Khalid berkata setakat ini Selangor telah berjaya mendapatkan aset tanah berjumlah RM290 juta dan juga tunai sebanyak RM50 juta.

Hutang berkenaan kini berada di bawah seliaan Menteri Besar Incorporated (MBI), katanya ketika ketika menjawab soalan daripada daripada Janice Lee (DAP-Teratai).

"Dewan lepas tetapkan Kumpulan Talam berhutang sebanyak RM392 juta kepada kerajaan negeri, itu yag kita terima untuk dimasukkan dalam akauan yang disatukan.

"Dewan tetapkan pengutipan hitang ini diletakkan kepada MBI untuk selesaikan. Dewan kata Kumpulan Talam berhutang sebanyak RM392 juta dan Talam bersetuju terima keputusan tersebut dan nyatakan dia berhutang dengan kerajaan negeri dan selesaikan melalui MBI.

"Sekarang proses penyelesaian hutang. Talam telah bersetuju untuk serahkan aset-aset kepada MBI supaya sama ada dijual atau diperap supaya dapat selesaikan hutang RM392 juta itu," katanya.

Katanya lagi, Kumpulan Talam juga dimaklumkan bahawa Selangor akan mengambil lebih banyak tanah daripada syarikat tersebut sekiranya dengan jumlah berkenaan tidak mencapai jumlah RM392 juta itu.

Tambahnya lagi, kerajaan akan menjual tanah yang diperoleh daripada Kumpulan Talam itu dengan harga tender sehingga RM12 sekaki persegi selepas diwujudkan pelan pembangunan bagi tanah berkenaan.

MB: Kalau sayang, kena tulis sayang

Ketika menjawab satu soalan tambahan daripada Muhammad Bushro Mat Johor (BN-Paya Jaras), Khalid berkata:

"Saya memang menunggu permintaan tersebut (kertas putih) sebab saya nak tulis satu kes lagi macam mana tanah ini beri sewenang-wenangnya kepada orang.


"Kertas putih yang dikehendaki mesti sudah ada perjanjian yang kita lakukan (dengan Kumpulan Talam). Sekarang kita sedang kumpul perjanjian tersebut.

Tambahnya, beliau memerlukan masa untuk meneliti keputusan yang dibuat oleh exco Selangor berkaitan tanah yang diberikan kepada Kumpulan Talam sebelum ini, bagi menghasilkan kertas putih tersebut.

"Saya dapati banyak yang dinyatakan tidak ditulis dengan baik. Keputusan exco (sebelum ini) agak terlalu longgar, dipersetujui untuk diberi kepada orang ini, sebabnya tak ada.

"Kita nak beritahu kepada rakyat mengapa beri kepada Kumpulan Talam. (Kalau) sayang kepada Talam, kena tulis sayang," katanya.

Tambahnya, kaedah yang dilakukan dalam mendapatkan semula hutang tersebut daripada Kumpulan Talam juga akan diperiksa oleh Jabatan Audit Negara.

~MK~

Laporan 'Anwar bayar CNN' palsu

Posted: 13 Jul 2010 12:42 AM PDT

CNN menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang kononnya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat bayaran agar beliau diwawancara oleh stesen televisyen berita angtarabangsa itu, awal bulan ini.

"Berita CNN menerima bayaran daripada seseorang supaya Anwar muncul di 'Connect the World' adalah palsu," kata seorang jurucakap CNN yang berpangkalan di Hong Kong di mana ibu pejabat Asia stesen itu beroperasi.

"Adalah membimbangkan kerana tiada usaha dilakukan untuk menghubungi kami dan secara berkecuali mengesahkan dakwaan yang tidak berasas itu sebelum melaporkannya sebagai fakta."

Akhbar harian Utusan Malaysia pada Jumaat lalu mencetuskan kontroversi dengan laporan 9 Julai yang bertajuk "Anwar didakwa bayar CNN'.

L
aporan itu merujuk kepada tulisan presiden Trevino Strategies and Media Inc, Joshua Trevino, yang menulis di portal Amerika - The New Ledger yang Anwar mengupah kenalan medianya, khususnya CNN, bagi menyakin para pelobi Yahudi bahawa beliau bukan anti-Israel.

Trevino mendakwa wawancara CNN menerusi 'Connector of the Day' pada 2 Julai lalu adalah 'jinak' berhubung Anwar disoal berhubung retorik anti-Zionis ketua pembangkang itu.

Berikut laporan itu, beberapa pemimpin tertinggi Umno membidas Anwar yang didakwa 'membayar' untuk diwawancara.

"Jika benar Anwar membiayai temu bualnya dengan CNN itu, ia menunjukkan beliau tunduk kepada Amerika Syarikat dan Yahudi...dia akan lakukan apa sahaja untuk mencapai cita-citanya untuk jadi Perdana Menteri," kata naib presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sehari selepas Utusan menyiarkan laporan berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga timbalan presiden Umno berkata laporan itu menunjukkan Anwar adalah terdesak.

~MK~

UMNO Pulau Pinang Bakal Tumbang

Posted: 13 Jul 2010 12:40 AM PDT

Lebih 4,000 anggota daripada 17 cawangan Umno dalam Bahagian Jelutong mendesak pengerusi badan perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menyelesaikan segera krisis dalaman yang dihadapi bahagian itu sejak tiga tahun lalu.

Wakil ketua Umno cawangan yang "tergantung" itu, Abdul Wahab Abdullah (kiri), berkata Zahid perlu berjumpa dengan semua ketua dan jawatankuasa 17 cawangan terbabit supaya krisis itu tidak berlarutan dan menjejaskan persiapan pilihan raya umum ke-13 kelak.

"Kami daripada 17 cawangan Umno ini masih lagi sayangkan parti dan masih berdiri teguh di belakang Umno, jadi janganlah biarkan kami meningggalkan Umno hanya kerana tiada apa yang boleh dibincangkan lagi," katanya kepada pemberita di Georgetown.

Beliau berkata, semua 17 cawangan Umno itu kesal dengan tindakan kepimpinan bahagian Jelutong dan badan perhubungan negeri yang menfitnah kononnya status cawangan mereka tidak sah atas alasan mempunyai ahli hantu.

"Sehingga tahun ini, kami tidak menerima apa-apa surat yang menyatakan status kami tidak sah atau digantung ataupun ditangguh dan oleh itu apa yang kami lakukan adalah mengikut undang-undang Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) untuk mengadakan mesyuarat tahunan masing-masing semalam," katanya.

Ahli-ahli Umno bahagian Jelutong juga melahirkan rasa kecewa mereka kerana Ahmad Zahid yang dijadualkan merasmikan mesyuarat agung tahunan (AGM) bahagian itu gagal berbuat demikian.

Selain Zahid yang juga naib presiden Umno, Senator Ezam Mohd Nor yang juga dijemput bersama langsung tidak kelihatan. Sesetengah ahli mendakwa tindakan pemimpin itu seolah-olah meninggalkan mereka ketika menghadapi kemelut yang belum berakhir.

Abdul Wahab berkata, sebelum ini terdapat wakil majlis tertinggi (MT) Umno menjalankan siasatan mengenai dakwaan Umno bahagian Jelutong terhadap 17 cawangan terbabit dan hasil siasatan itu mengesahkan bahawa semua cawangan itu mempunyai lebih 4,000 ahli sah.

"Adalah tidak logik tuduhan bahawa cawangan-cawangan kami mempunyai ahli hantu kerana jika ia benar-benar berlaku, Umno bahagian Jelutong itu sendiri adalah tidak sah sekarang kerana kebanyakan kami adalah bekas barisan kepimpinan Umno bahagian itu dan telah pernah menghadiri persidangan perwakilan bahagian," katanya.

Beliau yang juga bekas ketua pemuda Umno bahagian Jelutong berkata tindakan kepimpinan bahagian itu sememangnya melemahkan parti kerana ketika presiden, Datuk Seri Najib Razak, memperkukuhkan pengaruh Umno di kalangan rakyat, bahagian itu pula menyingkirkan ahlinya.

Beliau berkata, lebih 4,000 ahli Umno terbabit memberi tempoh sehingga hujung tahun ini dan jika MT masih tidak memberi sebarang keputusan, mereka mungkin akan membubarkan cawangan masing-masing dan keluar daripada Umno secara beramai-ramai.

Sementara itu, Ketua Bahagian Umno Jelutong, Abdul Razak Abdul Rahman, berkata beliau telah menghantar surat kepada ahli-ahli daripada 17 cawangan itu untuk menyertai cawangan lain kerana badan perhubungan Umno negeri telah membuat keputusan untuk menutup cawangan mereka.

~Bernama~

OK untuk lompat ke Pakatan

Posted: 13 Jul 2010 12:39 AM PDT

Bekas ketua Umno Jelutong Datuk Abdul Rashid Ismail berkata parti Melayu itu tidak mungkin dapat terus berkuasa jika ia gagal menangani masalah-masalahnya. Beliau juga menasihatkan ahli-ahli bahagian bahawa tidak salah bagi melompat ke parti lain jika tidak berpuas hati.

Bahagian Umno Jelutong yang tercalar akibat pergeseran dalaman mengadakan mesyuarat agung tahunannya di Pulau Pinang, malam semalam dan tanpa menyangka mendapat sokongan daripada bekas pengerusinya yang kini adalah ahli seumumr hidup Umno dan terbabit dengan kerja-kerja NGO sejak persaraanya.

Abdul Rashid adalah ketua bahagian sebelum 2004 dan secara kontroversial digantung atas dakwaan politik wang tetapi menafikan perkara itu yang dikatakannya tidak berasas. Sesudah digantung, beliau menjalani zaman yang mencabar apabila isterinya, Khatijah Zainuddin dibunuh di Jelutong pada April 2000.

Malam semalam, Abdul Rashid membuat pendedahan bahawa dia sanggup menyokong ahli-ahli seperjuangannya dari belakang.

"Apabila saya mendengar cerita sedih berhubung kepimpinan negeri yang membelakangkan perlembagaan (dengan menutup 17 cawangan Umno Jelutong), saya fikir saya perlu terbabit semula," katanya.

Bagaimanapun, beliau menolak cadangan yang beliau akan memegang jawatan kanan parti itu. Abdul Rashid menggesa ahli-ahli yang tidak berpuas hati supaya terus memprotes dan berani memperjuangkan hak bagi memastikan cawangan mereka dihidupkan semula.

"Jangan rasa bersalah. Pilihan lain, anda boleh lompat ke parti lain seperti PKR atau PAS - masih ada Pakatan Rakyat. Ia masih boleh diterima kerana anda bukan melompat ke agama lain," katanya kepada kira-kira 60 anggota yang hadir.

~MK~

Harakah beri penjelasan kedua pada KDN

Posted: 13 Jul 2010 12:38 AM PDT

Harakah hari ini menjawab surat tunjuk sebab kedua daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung penerbitan dan pengedaran akhbar PAS itu yang telah tamat tempoh permitnya.

"Kita akan jelas secara bertulis dan sampaikan kepada mereka.

"(Jawapan) secara terperinci saya tak boleh cerita. Kita akan jawab," kata Pengerusi Jemaah Harakah Datuk Mustafa Ali (kiri).

Mustafa berkata pihaknya menerima surat tunjuk sebab kedua itu dalam pertemuannya dengan pihak KDN semalam. KDN semalam memanggil Mustafa dan pengarah urusannya Datuk Kamarudin Jaffar kerana menerbitkan akhbar rasmi PAS itu tanpa permit.

Harakah juga diberikan tujuh hari mulai semalam bagi menjawab surat tunjuk sebab berhubung penerbitan dan pengedaran akhbar itu yang telah pun tamat tempoh permitnya. Sementara itu Kamaruddin memberitahu akhbar web PAS Harakahdaily di Parlimen, surat jawapan tersebut telah dihantar kepada KDN tengah hari ini.

Beliau yang juga ahli parlimen Tumpat berkata pihaknya yakin penjelasannya yang "munasabah" itu sepatutnya diterima oleh kementerian terbabit.

"Kita harap pihak KDN membuat penilain positif dan kita juga berharap menerima jawapan positif," beliau dipetik sebagai berkata.

~MK~

Harakah hantar jawapan ke KDN

Posted: 13 Jul 2010 12:37 AM PDT

Pihak pengurusan Harakah hari ini telahpun menghantar surat jawapan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung surat tunjuk sebab kedua yang diberikan kementerian itu semalam.

Perkara itu disahkan Pengarah Urusan Harakah, Datuk Kamaruddin Jaffar (gambar) ketika ditemui Harakahdaily di parlimen hari ini.

"Hari ini sebagai penerusan daripada perjumpaan dan perbincangan semalam, kita menghantar jawapan kita tengah hari ini," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Tumpat.

Jawapan itu, katanya bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan KDN berhubung penerbitan dan pengedaran Harakah.

KDN semalam memberi tempoh tujuh hari kepada lidah rasmi PAS itu, bagi menjawab surat tunjuk sebab terbaru yang dikemukakan.

Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Mahmood Adam berkata tempoh itu bermula semalam dan jika gagal berbuat demikian tindakan tegas akan dikenakan termasuk menggantung penerbitan akhbar itu.

Semalam juga, Setiausaha Agung, PAS Datuk Mustafa Ali dan Kamaruddin hadir ke KDN bagi memberi penjelasan berhubung surat tunjuk sebab pertama KDN bertarikh 8 Julai lalu.

Ianya berhubung persoalan lambat menghantar lapan salinan Harakah kepada KDN setiap isu, menjual kepada bukan anggota PAS dan menjual di luar daripada tempat yang dibenarkan.

Biarpun sudah diadakan pertemuan kedua dua pihak, KDN menyatakan mereka masih memerlukan penjelasan bertulis dari Harakah.

"Kita yakin penjelasan kita munasabah dan sepatutnya diterima oleh kementerian," jelas Kamarudin lagi.

Penerbitan Harakah tamat permitnya pada 7 Julai lalu dan belum diperbaharui oleh kementerian hingga kini.

"Kita harap pihak KDN membuat penilain positif dan kita juga berharap menerima jawapan positif," katanya.

~harakah~

KDN cipta alasan bodoh

Posted: 13 Jul 2010 12:37 AM PDT

Suara Keadilan mempertikaikan tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang membuat laporan polis meminta akhbar rasmi PKR itu disiasat bawah akta rahsia rasmi (OSA).

Mempertahankan tindakannya, Ketua Pengarang Suara Keadilan Dzulkarnain Taib berkata pihaknya menyiarkankan semula surat tunjuk sebab daripada KDN dalam akhbar barunya Keadilan kerana ia "tidak mempunyai apa-apa rahsia pun".

"Saya ingatkan KDN, jangan cuba cipta alasan yang remeh-temeh terhadap kita. Cukuplah. Sebagai sebuah parti politik yang berdaftar, kita berhak menerbitkan akhbar kita sendiri.

"Janganlah cipta alasan bodoh," katanya ketika diminta mengulas laporan polis kementerian itu kepada Keadilan malam tadi.

KDN dilaporkan membuat satu laporan polis meminta Suara Keadilan disiasat bawah akta kontroversi OSA kerana menerbitkan surat bertanda "Sulit" di muka hadapan akhbar terbarunya itu.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Dzulkarnain berkata, pihaknya akan berbincang dengan peguam mereka Shamsul Iskandar Md Akin berhubung tindakan lanjut bagi menangani tindakan terbaru KDN itu.

"Kita rujuk peguam dulu," katanya.

Sementara itu Dzulkarnain juga memberitahu, semalam pihaknya telah menjawab satu lagi surat daripada KDN yang tidak berpuas hati dengan pihaknya.

Katanya, selepas menjawab surat tunjuk sebab pertama bertarikh 28 Julai, KDN menghantar satu lagi surat kepada Suara Keadilan yang memaklumkan tidak berpuas hati dengan penjelasan itu pada 2 Julai.

Selepas pihaknya tidak menjawab surat tersebut, tambahnya, KDN menghantar surat ketiga pada 9 Julai.

"Kita jawab (yang terbaru) semalam. Sebelum ini mereka hantar surat dan kata tidak puas hati sahaja. Kita (sebelum ini) anggap itu sebagai makluman (semata-mata)," katanya.

Malaysiakini sedang mendapatkan reaksi daripada KDN berhubung tindakan terbaru mereka kepada akhbar itu.

~MK~

PKR tetap terbit akhbar

Posted: 13 Jul 2010 12:35 AM PDT

Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertegas tetap akan menerbitkan akhbar mewakili parti itu biarpun terpaksa berdepan tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Keputusan itu diambil ekoran pihaknya masih belum mendapat sebarang keputusan konkrit dari pihak kementerian berhubung status permit penerbitan akhbar Suara Keadilan yang tamat 30 Jun lalu.

"Sekarang ini tiada sebarang jawapan daripada menteri.

"Laporan polis hanya dibuat pegawai KDN, bukan dari menteri sendiri," kata Ahli Parlimen Batu yang juga Pengarah Strategik PKR, Tian Chua pada sidang media di parlimen hari ini.

Semalam, KDN membuat satu laporan polis berikutan pihak penerbitan Suara Keadilan terus mengeluarkan penerbitannya semalam dengan nama baru "Keadilan".

Edisi Keadilan semalam diedar secara percuma sekitar ibu negara sebagai edisi pengenalan menggantikan Suara Keadilan. Ianya diterbitkan bukan berkala oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) sebagai mewakili PKR dengan cetakan sebanyak 30 ribu unit.

~harakah~

Memo Reformasi Pilihan Raya Malaysia 2010

Posted: 12 Jul 2010 09:48 AM PDT

Memorandum Pertubuhan Masyarakat Malaysia Mengenai Reformasi Pilihan Raya Malaysia 2010

Diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR)
Di bawah usaha Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0)

Kami seperti penama pertubuhan di bawah berpendirian bahawa satu-satu formula bagi penstabilan, peningkatan dan kemakmuran di Malaysia ialah melalui demokrasi pelbagai parti yang aktif dan sihat.

Menjurus kepada pilihan raya 2008, Malaysia melalui perubahan di dalam kerajaan, dari sebuah kerajaan berbentuk kuku besi kepada sebuah kerajaan yang lebih demokratik. Orang awam telah berpeluang mengecapi sebuah persaingan di antara BN dan PR yang mana ia membawa sebuah reformasi pentadbiran dan dasar-dasar yang lebih bersifat inklusif.

Namun, keadaan tersebut masih dalam tahap membimbangkan memandangkan terdapat segelintir yang berada dalam keadaan terdesak yang menggugat pilihan raya, termasuk penyalahgunaan apparatus kerajaan mahupun merubah keputusan pilihan raya melalui defeksi dan menolak pilihan raya yang baru apabila mandat terdahulu dipertikaikan.

Pada pilihan raya yang akan datang ini, patutkah parti-parti politik mengelakkan penerimaan "hanya demokrasi caranya" dan cuba untuk bersaing mendapatkan kuasa dengan cara penipuan dalam pilihan raya atau pun menolak keputusan pilihan raya? Maka, Malaysia akan tenggelam di dalam kemelut politik.

Peranan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam memastikan kestabilan politik dan pendemokrasian adalah suatu yang penting. Perlembagaan Persekutuan melalui artikel 114(2) menyatakan harapan agar SPR dapat menjayakan keyakinan orang awam.

Ini bermakna Suruhanjaya Pilihan Raya sepatutnya menjalankan pilihan raya dengan telus dan tidak berpihak dalam mempastikan hak-hak pengundi sejagat, persaingan yang adil bagi kesemua parti-parti politik dan calon-calonnya.

Artikel yang sama juga memaklumkan berkenaan dengan penawaran pilihan-pilihan dengan memaklumkan dan perwakilan inklusif. Bersih 2.0 percaya bahawa melalui peruntukan undang-undang yang sedia ada, SPR mampu menjalankan tugas mereka secara demokratik berdasarkan piawai menurut amalan antarabangsa.

SPR mampu dan mestilah melindungi demokrasi kepelbagaian parti dengan memastikan pilihan raya adalah bersih dan adil, di dalam pentadbirannya dan penguatkuasaan undang-undang berkaitan serta melalui advokasi perubahan-perubahan yang sepatutnya menurut Perlembagaan, undang-undang dan peraturan.

Berpandukan satu cita-cita untuk masa depan Malaysia yang lebih baik, kami mendesak SPR membawa perubahan-perubahan berikut. Kami berharap SPR akan bekerjasama dengan kami dan orang awam melalui rundingan dan pertimbangan. Kami juga menggesa agar orang awam dibiasakan dengan hak-hak mereka sebagai pengundi dan melanjutkan agenda reformasi melalui cara-cara mereka dan rangkaian yang ada.

Kerunsingan Sedia Ada

• Penyiasatan kesalahan-kesalahan Pilihan Raya. Kami berpegang bahawa SPR wajib menjalankan tanggungjawab mereka untuk memastikan penyiasatan kesemua kesalahan pilihan raya yang berlaku, terutama sekali dalam dua pilihan raya kecil yang diadakan, berdasarkan Akta Kesalahan Pilihan Raya. Ia akan menjadi suatu yang keterbiaran sekiranya mereka mengabaikan laporan-laporan sedemikian yang difailkan berdasarkan kesalahan-kesalahan yang dijalankan. Di dalam mengekalkan kebebasan badan tersebut, SPR seharusnya diberi kuasa pendakwaan terhadap pihak yang melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya.

• Menghalang pendaftaran pengundi. Kami dikejutkan dengan aduan-aduan mengenai sekatan-sekatan tidak munasabah yang berlaku, seperti menghadkan borang-borang pendaftaran kepada Pembantu Pendaftar di dalam usaha mendapatkan pengundi baru memandangkan terdapat seramai empat juta pengundi yang layak mengundi masih belum berdaftar. Halangan di dalam hak-hak sejagat adalah kesalahan serta kepincangan terhadap demokrasi. SPR mestilah menolak sekatan-sekatan sedemikian serta-merta di dalam usaha menambah pengundi baru atau SPR akan hilang keyakinan orang awam sepenuhnya, sehingga menjadikan badan itu tidak layak berfungsi menurut perlembagaan. SPR mestilah dilihat sebagai badan yang bekerjasama kuat dengan kesemua parti di dalam menyediakan segala bentuk bantuan (bukannya menghalang) keefisienan pendaftaran pengundi.

A. Hak Mengundi dan Pembuangan Undi

1. Pendaftaran otomatik – kami berpegang bahawa kesemua pengundi yang layak seharusnya didaftarkan serta-merta sebagai pengundi tatkala mencecah usia kelayakan dan status alamat mereka dikemaskini dengan diseraya dengan senarai pengundi dan pengkalan data pendaftaran negara. Ini akan mengelak sebarang penipuan dan aduan yang bersangkut-paut dengan senarai pengundi sedia ada yang wujud dari pengundi hantu, alamat yang tidak lengkap, pemindahan alamat hinggalah kepada pendaftaran berulangkali.
Kami amat khuatir bahawa SPR telah menolak cadangan mewujudkan pendaftaran otomatik, khususnya perkara ini mempu menyelesaikan kesemua aduan mengenai proses pendaftaran.

2. Menurunkan usia mengundi – kami berpegang bahawa seluruh rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas mempunyai hak mengundi dan menjadi calon di dalam pilihan raya di peringkat parlimen mahupun negeri. Mereka sudah mencapai tahap kematangan untuk mengambil bahagian di dalam kehidupan awam dan terkesan dengan dasar-dasar kerajaan di dalam pendidikan mahupun pekerjaan, hampir 90% negara di seluruh Dunia – termasuk negara-negara jiran seperti Indonesia, Filipina, Thailand dan Kemboja – telah meletakkan usia 18 tahun sebagai usia layak mengundi. Malaysia sepatutnya idak memberi sebarang alasan untuk berada di luar senarai tersebut.

3. Tidak Hadir Membuang Undi – kami berpegang bahawa undi pos yang berasingan pada masa kini sepatutnya dimansuhkan untuk kesemua pengundi – kakitangan kerajaan atau anggota keselamatan, sama ada mereka berada di dalam mahupun di luar negara – mereka sepatutnya memohon untuk dikecualikan daripada tidak hadir pada hari pembuangan undi sekiranya mereka mempunyai alasan-alasan sah. Mereka sepatutnya diberi tempoh untuk mengaju permohonan sedemikian sebelum hari pembuangan undi. Dengan cara ini, ia mampu mengelak timbulnya sebarang faktor ketakutan dan pertuduhan yang mendakwa kerahsiaan dan kebebasan mereka dicabuli di dalam pengundian pos.

4. Dakwat kekal – Kami berpegang bahawa dakwat kekal sepatutnya digunakan di dalam semua pilihan raya bagi mengelak pengundian berganda. Kabinet, walau bagaimana pun telah membuat keputusan mengenai perkara ini pada tahun 2007 dan pekhabaran mengenai kegiatan sabotaj tidak dapat dibuktikan dan tidak berasas. Risiko SPR diperlihatkan sebagai covert dengan membenarkan pengundian berganda bilamana SPR sendiri tidak mahu melaksanakan dakwat kekal.

B. Persempadanan Semula Kawasan

5. Meminimakan Pengubahan Sempadan (gerrymandering) – Kami berpegang bahawa kawasan-kawasan yang dipertandingkan sepatutnya diletakkan sempadan mereka berdasarkan, antara lain, kepada kepentingan komuniti, yang mana ia menjadi sempadan pentadbiran. Oleh yang demikian, tidak ada kawasan parlimen dan negeri sepatutnya bersilang dengan sempadan yang dirangka oleh sempadan penguatkuasaan tempatan mahupun pentadbiran daerah. Pada masa yang sama, tidak ada komuniti tempatan sepatutnya disisihkan dengan sempadan-sempadan pilihan raya. Perkara Tigabelas Perlembagaan persekutuan menyatakan pertalian tempatan sepatutnya dihormati.

6. Meminimakan Kegagalan Pengagihan (malapportionment) – kami perpegang bahawa SPR mestilah secara jujurnya mematuhi peraturan yang termaktub di dalam Seksyen 2, Bahagian 1, Schedule Tigabelas Perlembagaan Persekutuan berkenaan dengan perkara ini. Kekurangan yang dihadapi di kawasan luar bandar bukanlah lesen untuk SPR bagi menjalankan manipulasi kepada saiz kawasan pilihan raya. 17 daripada 56 kawasan negeri di Selangor atau 30% mempunyai lebih ramai pengundi daripada kawasan parlimen terkecil di Selangor iaitu Sabak Bernam pada pilihan raya 2008 yang menunjukkan bahawa SPR, secara tidak adilnya, mencabul peruntukan perlembagaan semasa persempadanan semula yang dibuat sebelum ini. Kami mendesak supaya di dalam merangka sempadan semula pada masa akan datang, SPR sepatutnya pastikan tidak ada cara mana-mana kawasan mempunyai saiz yang lebih besar daripada 50% jumlah pengundi di dalam kawasan parlimen terkecil yang berada di dalam negeri yang sama.

C. Persaingan dan Media

7. Tempoh Kempen yang Berpada – Kami berpegang bahawa SPR sepatutnya memberi tempoh kempen tidak lebih dari 21 hari. Kempen yang lebih panjang tidak hanya membenarkan pengundi mempunyai lebih banayak masa untuk mengumpul maklumat ecukupnya dalam membuat pilihan, ia juga mengurangkan ketegangan yang dialami semasa pilihan raya memandangkan parti-parti mempunyai jangkamasa yang cukup kepada sumber-sumber mereka. Tempoh 21 hari suatu tempoh yang berpada memandangkan Kerajaan Kolonial British membenarkan tempoh dua kali ganda lebih panjang, 42 hari pada waktu pilihan raya kebangsaan pertama dijalankan pada tahun 1955. Pada masa akan datang, SPR sepatutnya mengusulkan agar Akta Pilihan Raya dipinda atas alasan sedemikian.

8. Akses Media Bebas dan Adil – Kami berpegang bahawa pada pilihan raya umum yang akan datang, SPR sepatutnya mendesak badan penyiaran kebangsaan, Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) membenarkan waktu siaran tertentu kepada debat terbuka perdana selaras dengan amalan di United Kingdom pada Mei 2010. SPR sepatutnya mengusulkan agar Akta Pilihan Raya dipinda agar ianya digunapakai kepada media-media milik kerajaan untuk memberi kebebasan dan ulasan yang sama rata untuk parti-parti politik yang bertanding; juga kepada media milik swasta dalam menyediakan akses yang adil.

D. Kewangan Pilihan Raya

9. Kawalan perbelanjaan parti – Kami berpegang bahawa SPR mestilah mengusulkan agar Akta Kesalahan Pilihan Raya dipinda agar perbelanjaan yang dinyatakan seperti kos pengiklanan yang dialami parti-parti politik diakaunkan dalam asas pro-rata yang menjadi sebahagian dariapda perbelanjaan pilihan raya calon.

10. Perbelanjaan Parti Kewangan Awam – Kami berpegang bahawa SPR sepatutnya menggesa Kerajaan Persekutuan dan Negeri untuk memberi bantuan kewangan kepada semua parti politik berdasarkan kepada perkongsian undi semasa pilihan raya yang lalu.

E. Demokrasi Pelbagai Parti

11. Hak untuk Bertanding di dalam Pilihan Raya Selepas Perletakan Jawatan – Kami berpegang bahawa SPR sepatutnya mengusulkan kepada Kerajaan Persekutuan dan Negeri untuk menyisihkan halangan-halangan berhubung dengan Perlembagaan agar wakil-wakil yang dipilih berpeluang untuk bertanding kembali di dalam pilihan raya selepas perletakan jawatan. Kebanyakan daripada wakil-wakil rakyat dipilih melalui tiket parti yang diwakilinya.

12. Kesaksamaan Pentadbiran – Kami berpegang bahawa SPR mestilah mengusulkan bahawa Akta Kesalahan Pilihan Raya dipinda sehingga tiada keputusan penting dan tidak penting termasuk projek-projek pembangunan dan dana yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan, Negeri dan Tempatan berhubung dengan bangsa, kerajaan mahupun kawasan parlimen dan negeri selepas Perundangan Parlimen / Negeri dibubarkan ataupun sesebuah kerusi itu diisytiharkan kosong.

13. Pemulihan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan – Kami berpegang bahawa SPR mesti mengusulkan kerjasama dengan mana-mana Kerajaan Negeri bagi memulihkan pilihan raya kerajaan tempatan selaras dengan Artikel 113 (4) Perlembagaan Persekutuan. SPR mestilah tidak mencabuli tuntutan di dalam Perlembagaan.

F. Pentadbiran Pilihan Raya

14. Pengadilan dan Mengawal Rapi Sepenuhnya di dalam Petisyen Pilihan Raya – Kami berpegang bahawa SPR sepatutnya mengusulkan agar Akta Kesalahan Pilihan Raya dipinda agar petisyen pilihan raya boleh difailkan atas apa jua keadaan yang berhubung dengan penipuan semasa pilihan raya. Akta tersebut dipinda pada tahun 2003 yang memberi kesan kepada integriti senarai pemilih yang mana senarai pemilih tidak boleh lagi dicabar di mahkamah perundangan.

15. Hak Untuk Pemantauan Pilihan Raya – Kami berpegang bahawa SPR mestilah mempersiapkan sebuah tatacara inklusif yang telus bagi pemantau-pemantau tempatan dan antarabangsa agar mereka dibenarkan didaftarkan di pilihan raya yang akan datang. SPR seharusnya juga mengusulkan bahawa Akta Pilihan Raya dipinda agar membolehkan hak untuk memantau pilihan raya dipulihara.

Dikeluarkan oleh:

Dato' Ambiga Sreenevasan
Pengerusi
Untuk dan mewakili BERSIH 2.0
(Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil)

Surat terbuka kepada Zahrain al-katak gemok

Posted: 12 Jul 2010 09:45 AM PDT

Surat Terbuka Americk Sidhu Kepada Zahrain Hashim

Zahrain,

Pertama sekali, cuba fahami beberapa fakta yang akan dibincangkan.

Anda dipilih sebagai Ahli Parlimen oleh majoriti pengundi di kawasan pengundian anda yang bersetuju dan menyokong manifesto parti yang anda wakili pada masa itu. Ini bermakna majoriti pengundi di kawasan parlimen anda mengundi untuk parti pembangkang bagi mewakili mereka, dan jelas mereka tidak mahu Barisan Nasional mewakili mereka.

Itulah intipati yang sebenar dan bukan susah sangat untuk memahaminya, dan saya harap anda dapat terus bersabar mendengar penjelasan saya. Tetapi sebaliknya, anda telah mengkhianati kepercayaan para pengundi yang memenangkan anda dengan meninggalkan kesemua prinsip yang anda dokong dahulu dan mengalih sokongan anda kepada BN.

Anda lakukan demikian tanpa meminta izin daripada pengundi yang mengundi anda di kawasan anda. Alasan bahawa anda adalah ahli parlimen bebas yang menyokong BN tidak menjustifikasikan kenyataan bahawa anda telah meninggalkan pengundi yang memilih untuk mewakili mereka, dengan mengabaikan keperluan dan aspirasi mereka ke arah sebuah bangsa dan masa hadapan yang lebih baik.

Biar saya beritahu anda apa seorang yang bermaruah sepatutnya lakukan dalam keadaan ini. Seorang individu yang mempunyai maruah sudah tentu akan mengosongkan kerusinya dan meminta pengundi kawasannya untuk memutuskan siapa patut mewakili mereka, walaupun individu itu telah mengkhianati pengundinya.

Anda tidak berbuat demikian, jadi pada pandangan saya, anda seorang yang tidak bermaruah. Anda kini hanya seorang ahli parlimen dengan alasan palsu. Pada hakikatnya, anda langsung tidak harus menduduki kerusi di Parlimen kerana Ahli Parlimen patutnya mereka yang berintegriti dan mempunyai kehormatan diri, selain menjadi wakil sah yang dipilih oleh majoriti pengundi di kawasannya.

Sebagai seorang ahli parlimen dengan tiada integriti dan berpura-pura mempunyai prinsip yang telah mengkhianati pengundi yang memilih anda, saya tidak merasa anda berada dalam kedudukan moral atau berhak mengkritik tindakan ahli parti yang anda khianati.

Anda juga pada masa yang sama bersembunyi di balik perikatan palsu yang telah anda cipta untuk diri anda sendiri dengan kumpulan yang dianggap rakyat Malaysia yang waras sebagai jelmaan syaitan.

Lebih mengejutkan, komen anda bahawa KEADILAN telah memasang 'jerat' politik untuk SPRM amat melucukan. SPRM bertanggungjawab untuk menyoalsiasat P Balasubramaniam dan tidak ada apa-apa 'jerat' dipasang untuk SPRM. Malah merekalah mahaguru 'menjerat', bukan kita.

SPRM yang mula-mula menyatakan ingin menyoalsiasat Bala. Kita, sebagai peguam mewakili Bala telah melakukan segala termampu bagi membantu SPRM dan ini tiada kaitan langsung dengan KEADILAN.

Hanya kerana bukti yang ada pada Bala berpotensi menjejaskan pemimpin parti baru yang anda sokong tidak bererti itu adalah cerita yang dikarang oleh pembangkang. Cerita dongeng sebenarnya dikarang oleh rakan-rakan baru anda dan bukannya Bala.

Daripada kenyataan anda memuji tindakan SPRM membatalkan soalsiasat di London pada saat akhir jelas membuktikan betapa kuatnya sokongan anda kepada golongan yang berniat untuk memesong dan mengekang keadilan. Saya tidak lihat apa-apa sebab lain disebalik kenyataan anda itu.

Anda telah membuat beberapa dakwaan yang serius yang menjejaskan integriti saya sebagai peguam dengan kenyataan sembrono bahawa saya menyediakan skrip untuk dibacakan Bala kepada SPRM. Saya berharap anda mempunyai bukti yang kukuh kerana jika tidak anda akan kelihatan lebih bodoh daripada keadaan yang anda berada sekarang.

Anda nampaknya lebih mengetahui mengenai kecenderungan politik dan hubungan saya dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih dari saya sendiri. Saya tidak pasti apa kredibiliti sumber kamu dan saya cadangkan anda mencari sumber lain kerana maklumat yang anda perolehi semuanya longgar.

Saya ingin memberitahu anda bahawa malangnya saya bukan ahli KEADILAN tetapi saya harus mengaku melihat kepada perkembangan yang berlaku kebelakangan ini saya sedang membuat mempertimbangan serius untuk menyertai KEADILAN.

Kenyataan anda yang tidak berasas telah menyemarakkan semangat saya menyertai perjuangan KEADILAN dan untuk itu saya ucapkan berterima kasih. Anda mungkin sedikit kurang waras untuk memikirkan bahawa Zaid dan Anwar mempunyai tanggungjawab bersama untuk memujuk Raja Petra dan Bala kembali ke Malaysia dan 'menghadapi sesiapa pun".

Ini kerana pengalaman lalu di negara ini memperlihatkan sesiapa sahaja yang menjadi ancaman kepada golongan berkuasa akan mendapati diri mereka ditembak dikepala sementara mayat mereka diletupkan menggunakan bahan ledakan gred tentera di kawasan belukar.

Akhirnya Zahrain, apabila anda dan rakan-rakan baru anda memutuskan keluar daripada kepompong di mana anda dan rakan-rakan berselindung, anda akan menyedari bahawa rakyat Malaysia tidak lagi sebodoh yang difikirkan untuk menerima apa sahaja sampah politik yang anda lemparkan tanpa menyoal.

Sungguh malang anda tidak berpeluang untuk hadir pada pelancaran 'Friends of Pakatan Rakyat' di London minggu lalu, kerana ia akan menjadi pembuka minda bagi anda, seperti juga kepada saya.

Kini saya sedar bahawa sejumlah besar warga Malaysia ingin melihat semua kesalahan dan kesilapan yang dilakukan masa lalu dibetulkan kembali, dan aspek yang paling terserlah pada pelancaran tersebut ialah sokongan padu yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia daripada pelbagai bangsa dan latar belakang.

Inilah Malaysia yang diingini semua. Bukan Malaysia yang anda dan rakan-rakan anda telah hancurkan dengan sifat tamak dan mementingkan diri sendiri.

1Malaysia pun gagal capai "win-win situation"

Posted: 12 Jul 2010 09:44 AM PDT

~FreeMalaysiaToday~

Adat berunding secara 'bilateral', objektifnya agar kedua-dua pihak mendapat keadilan dan kesaksamaan dan tidak berat sebelah. Jika sebelah pihak sahaja yang meraut manfaat yang banyak manakala pihak yang satu lagi tidak memperolehi faedah yang sama maka hasil rundingan itu tidak dianggap sebagai "win-win situation".

Dalam banyak peristiwa dan kejadian, rundingan di antara Malaysia dengan negara-negara lain khususnya dengan Singapura, kita kecundang dalam rundingan. Namun tewas dalam rundingan boleh dikesan sejak negara mencapai kemerdekaan lagi.

Lapan tahun selepas mencapai kemerdekaan, Perdana Menteri yang pertama, Tuanku Abdul Rahman al Haj "menyerahkan Singapura" begitu sahaja tanpa ada asas rundingan yang kukuh dan tanpa ada apa-apa pertukaran, baik dalam bentuk kewangan, barangan atau faedah-faedah lain sebagai ganti atas 'kehilangan' pulau tersebut.

Pada zaman pemerintahan Perdana Menteri yang keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau pernah membuat kenyataan yang bernada kecewa bahawa "rundingan dengan Singapura ni sampai kiamat pun tak boleh selesai."

Nada kecewa dan putus harap ini membuktikan kita tidak mencapai "win-win situation" apabila berunding dengan Singapura, walaupun Dr Mahathir berpeluang mentadbir negara ini lebih 23 tahun, satu jangka masa yang paling lama berbanding perdana menteri yang lain.

Apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi menerajui negara ini selepas Dr Mahathir, Malaysia juga tidak mencapai "win-win situation" dalam rundingan mengenai penemuan minyak dan gas di perairan Limbang/Brunei yang menjadi pertikaian.

Menjelang perletakan jawatan sebagai perdana menteri, Pak Lah dilaporkan telah menyerahkan begitu sahaja Blok L & M kepada Brunei, yang "isi perutnya" bernilai RM320 bilion tanpa mendapat apa-apa.

Nilai sebanyak itu, jika diuruskan dengan betul dan tidak ada ketirisan, salah urus, penyelewengan dan rasuah maka ia dapat melangsaikan hutang negara yang jumlahnya hampir sama banyak, iaitu RM326 bilion. Jika jumlah hutang ini terus meningkat pada kadar 12% setahun berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar maka Malaysia akan bangkrap menjelang tahun 2019.

Semasa pentadbiran Abdullah juga Malaysia kehilangan Pulau Batu Puteh (atau Pedra Branca) kepada Singapura dalam satu pertikaian hingga membawa kes ini kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). Malaysia tewas kali ini kerana wakil-wakil negara tidak kompeten dalam undang-undang perairan antarabangsa berbanding Singapura.

Kes yang didengar di ICJ telah menimbulkan persepsi buruk dan curiga oleh para hakim memandangkan Malaysia bukan sahaja gagal menyediakan dokumen yang lengkap dan tepat malah menggunakan teknik lensa foto untuk menunjukkan gambar yang agak mengelirukan.

Tewas dalam "win-win situation"

Sebaliknya Malaysia diberi pulau kecil, saiz separuh padang bolasepak "Middle Rocks", yang kedudukannya lebih jauh dari Malaysia berbanding Pulau Batu Puteh. Walaupun tewas dalam perebutan mendapat hak kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh, ia masih dianggap "win-win situation" oleh Dr Rais Yatim, kini Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia.

Apabila Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih teraju negara pada April 2009, "tradisi" tewas dalam rundingan diwarisi beliau dengan membuat kesilapan, khususnya apabila berunding dengan Singapura. Najib dengan begitu mudah menyerahkan tanah Stesen Keretapi Tanjung Pagar kepada Singapura dan digantikan dengan sebidang tanah di kawasan perjudian Woodlands.

Meskipun tanah itu akan dibangunkan secara usahasama menerusi sebuah syarikat M & S Pte Ltd, dengan Malaysia dan Singapura masing-masing memegang ekuiti 60% dan 40% tetapi cara rundingan itu dijalankan dan kata sepakat yang dimudah dicapai menimbulkan tanda tanya. Ini kerana Najib membuat keputusan secara berseorangan, tidak pernah dibentang dalam kabinet, apatah lagi di Parlimen.

Kalau Dr Mahathir, yang dianggap sebagai seorang negarawan yang unggul gagal mencapai "win-win situation" dalam rundingan dengan Singapura bagaimana Najib dengan mudah dapat mencapai keputusan itu. Kenapa tidak dipakejkan tanah itu dengan isu-isu lain yang sudah sekian lama berlarutan dan sehingga kini masih menemui jalan buntu.

Bagaimana dengan isu air yang sekian lama dinikmati oleh Singapura dengan kadar bayaran 5 sen seliter, ruang udara yang dicerobohi oleh jet-jet pejuang Singapura dan wang Simpanan Pekerja Malaysia yang masih terperap di negara itu?

Dalam keadaan sebegini, sukar hendak dipercayai, Malaysia mencapai "win-win situation" dalam rundingannya dengan Singapura. Lebih-lebih lagi memandangkan negara pulau itu mempunyai kekuatan dari segi ekonomi dan ketenteraan.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, menteri besar Kelantan mengingatkan kita dalam kuliahnya baru-baru ini di Kota Bharu, mengenai persoalan kenapa PAS tidak boleh bekerjasama dengan Umno untuk menyatu-padukan bangsa Melayu dan umat Islam. Jawab beliau dengan ringkas, "kita tidak dapat berunding dengan parti yang lebih kuat (Umno) berbanding PAS (parti yang lemah).

Kata hikmah Nik Aziz ini mengingatkan kita kepada zaman Rasulullah saw yang tidak pernah mengadakan rundingan dengan kaum musyrikin Quraisy di Mekah kecuali setelah baginda berjaya membentuk kerajaan Islam di Madinah. Begitu juga golongan Hizbullah di

Lebanon yang tidak pernah berunding dengan zionis Israel. Hamas di Palestin juga tidak pernah berunding dengan Israel yang jauh lebih kuat daripadanya.

Berdasarkan situasi ini, bagaimana mungkin kita boleh mencapai "win-win situation" dalam keadaan kita yang lemah dari segi ekonomi dan ketenteraan dan tanpa adanya "padang permainan yang sama rata" (the same level of playing field)?

Bersatu Kita Bersatu

Posted: 12 Jul 2010 09:41 AM PDT

Satu

Cita-cita untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan dasar Islam akan menjadi kenyataan jika PAS dan Umno bersatu dan bekerjasama.

Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas Agama Islam (JASA), Lokman Nor Adam berkata cita-cita PAS merealisasikan hasrat itu akan menjadi lebih mudah jika mereka berbaik-baik dan bekerjasama dengan UMNO berbanding dengan DAP dan Parti KeADILan Rakyat (PKR).

Menurutnya, kedua-dua parti komponen Pakatan Rakyat itu ternyata mempunyai dasar perjuangan yang berbeza, di mana DAP jelas menolak Islam, manakala PKR adalah parti yang memperjuangkan kepentingan peribadi pemimpin.

"Sebab itu tiada sebab PAS tidak menyahut salam UMNO untuk berbaik-baik dan melupakan sejarah hitam menyebabkan kedua-dua parti itu berpecah daripada gabungan dalam Barisan Nasional (BN) pada 1977.

"Jika UMNO dan PAS bekerjasama banyak perkara boleh direalisasikan, termasuk melaksanakan hukum hudud, berbanding dengan tindakannya bekerjasama dengan DAP dan PKR yang ternyata mempunyai dasar dan matlamat perjuangan yang berbeza," katanya pada majlis Wacana Perdana di Balai Islam, Lundang, di sini, Sabtu malam.

Turut diundang menganggotai panel ialah bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin; Anggota Parlimen Bukit Mertajam, Mujahid Yusoff Rawa dan Pengerusi Biro Agama Badan Perhubungan Umno Kelantan, Mohd Affandi Yusoff.

Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff menjadi moderator wacana yang bertajuk "Bolehkah Melayu Bersatu?". Kira-kira 3,000 penyokong kedua-dua parti itu hadir pada majlis itu.

Lokman yang sebelum ini bekas anggota PKR, berpendapat PAS tidak mungkin dapat menubuhkan negara Islam seperti yang diharapkan kerana tidak mempunyai kuasa yang cukup dua pertiga di Parlimen jika tidak bersatu dengan UMNO yang mempunyai suara majoriti orang Melayu dan Islam.

Sementara itu, Dr Mohd Asri berpendapat, bersatu untuk menyokong sesebuah parti politik tidak membawa makna selagi ia tidak diasaskan kepada bersatu dalam erti kata menegakkan wadah perjuangan Islam yang sebenar.

"Semangat perpaduan dan bersatu dalam konteks bangsa sahaja tidak menjamin perpaduan dalam erti kata sebenar, buktinya dapat dilihat apabila masih ramai umat Islam di dunia yang berpecah belah dan tidak bersatu kerana tidak meletakkan asas perpaduan Islam," katanya.

Dua

Pemangku ketua UMNO Petaling Jaya Selatan Datuk Hanipuddin Raja Nong Chik mengakui masih wujudnya pepecahan ahlinya di peringkat akar umbi di bahagian tersebut.

"Saya melawat beberapa cawangan UMNO, ada pepecahan sesama kita telah saya rasai," katanya ketika menyampaikan ucapan aluan di mesyuarat perwakilan UMNO bahagian itu hari ini.

Lebih 300 perwakilan menghadiri mesyuarat tersebut yang oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Musa Aman yang juga ketua menteri Sabah.

Menurut Hanipuddin, perpaduan sesama ahli UMNO penting untuk mewujudkan satu pasukan yang disegani bagi merampas semula negeri Selangor dalam pilihan raya umum akan datang.

"Kita jangan saling benci-membenci dan hasad dengki sesama kita.

"Sakit hati, dengki dan dendam perlu dibuang jauh-jauh untuk kita rapatkan barisan menghadapi pilihan raya umum akan datang," katanya.

Menurutnya sebelum pilihan raya umum lalu, UMNO dan BN menguasai parliman Petaling Jaya Selatan dan DUN Taman Medan.

Tetapi sekarang kedua-dua kawsan tersebut jatuh ke tangan PKR,
tambahnya.

Sehubungan itu, Hanipuddin menyeru ahli akar umbi agar berusaha kuat dan bersatu padu untuk merampas kembali kawasan tersebut daripada Pakatan Rakyat.

Untuk tujuan itu, katanya, Umno bahagian memerlukan sejumlah peruntukan yang mencukupi untuk bergerak lebih aktif.

Beliau juga memohon kepada kepimpinan tertinggi Umno agar menyalurkan bantuan "yang besar" tanpa mengira kawasan itu dimenangi oleh Umno ataupun tidak.

"Jangan kami di kawasan yang kalah dihukumi dengan bantuan yang kecil tetapi di tempat yang menang diberi peruntukan yang besar.

"Siapa yang hendak kalah...Beri kami peluang dan peruntukkan yang besar," katanya.

Menurutnya lagi, bahagian tersebut yang tidak pernah kalah sebelum ini, turut 'terkena tempias' tsunami politik dalam pilihan raya umum lalu.

"Kalau kita tidak berjaya dalam pilihan raya umum ke-13, saya berpendapat kita bakal gulung tikar pada masa depan," katanya.

Hanipuddin berkata, bagi merealisasikan kemenangan dalam pilihan raya akan datang, beliau mengajak ahli akar umbi turun ke padang bagi "menjuarai rakyat".

Sebelum mengakhiri ucapannya, Hanipuddin merayu kepada Musa agar membawa ke perhatian kepada pucuk pimpinan parti berhubung masalah kekurangan peruntukan itu.

Tiga

Aih... yang dok ada dalam parti sendiri pun tak boleh nak satukan, ada hati nak ajak orang lain "bersatu dengan UMNO"..?

Lokman ni mabuk ke..?

~TPU~

PERKASA Cina bukan pandangan MCA

Posted: 12 Jul 2010 09:40 AM PDT

Tokoh MCA menolak cadangan naib presiden parti, Datuk Donald Lim bagi membentuk sebuah PERKASA Cina. Timbalan presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai, menyifatkan idea Lim sebagai pendapat peribadinya dan tidak mencerminkan pandangan parti.

"Ini bukan pendirian parti. Parti telah menyuarakan pendirian bahawa kami kadangkala tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan atau diperkatakan oleh PERKASA, jadi mengapa harus kami menubuhkan sebuah badan lain untuk bertindak balas?

"Pendirian MCA sentiasa untuk perpaduan dan bekerjasama rapat dengan semua kaum dan terus memupuk harmoni dan perpaduan dalam negara," katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Lim dilaporkan menggesa pembentukan sebuah PERKASA Cina bagi mendepani pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak orang Melayu, dikenali sebagai PERKASA dan diketuai oleh tokoh lantang, Datuk Ibrahim Ali.

Ketua Pemuda MCA, Datuk Wee Ka Siong, berkata parti itu tidak ada membincangkan cadangan seperti itu dan MCA tidak mengamalkan politik "bertindak balas".

"Kami akan menyuarakan rungutan masyarakat tanpa mengira kaum, dan walaupun MCA adalah parti berasaskan kaum, kami masih memperjuangkan kepentingan semua rakyat Malaysia," kata beliau.

~Bernama~

KDN panggil pengerusi dan pengarah Harakah

Posted: 12 Jul 2010 09:39 AM PDT

Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini memanggil Pengerusi Jemaah Pengarah Harakah Datuk Mustafa Ali dan pengarah urusannya Datuk Kamarudin Jaffar kerana menerbitkan akhbar rasmi PAS itu tanpa permit.

Menurut setiausaha bahagian kawalan penerbitan dan teks al-Quran KDN Datuk Zaitun Ab Samad, kedua-dua Mustafa dan Kamarudin dipanggil bagi memberikan penjelasan mengenai perkara itu pada petang ini.

"KDN memandang serius tindakan penerbitan dan pengedaran Harakah keluaran bertarikh 12-15 Julai 2010 ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 9 Julai lalu, Harakah - yang belum mendapat permit baru - menjawab surat tunjuk sebab yang diterimanya daripada KDN sehari sebelum itu.

Kamaruddin yang juga ahli parlimen Tumpat dilaporkan berkata surat itu diserahkan oleh Pemangku Ketua Pengarang Harakah Taufek Yahya kepada Timbalan Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran di KDN, Abdul Razak Abdul Latif di Putrajaya.

Menurutnya, dalam jawapan itu, Harakah menjawab semua isu yang dibangkitkan oleh kementerian itu.

Sementara itu, Kamarudin ketika dihubungi Malaysiakini berkata pihaknya diminta hadir ke KDN petang ini bagi menjelaskan lebih lanjut berhubung surat tunjuk sebab yang dikemukakan kepada Harakah.

"Belum ada keputusan (berhubung status permit Harakah)," katanya yang menjangkakan akan ada lagi pertemuan susulan selepas ini.

~MK~

SPRM takut pada Bala

Posted: 12 Jul 2010 09:38 AM PDT

Ahli parlimen pembangkang hari ini mempersoalkan keengganan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk bersemuka dan menyoalsiasat penyiasat persendirian, P Balasubramaniam.

Sebaliknya, pihak berkuasa Perancis, dakwa mereka, telah menjemput Bala ke Perancis dan menjadikannya saksi pertama dari Malaysia untuk memberi keterangan dalam siasatan dakwaan berlakunya rasuah dalam jualan kapal selam Scorpene oleh DCN kepada Malaysia.

Adalah sesuatu yang memalukan bahawa Perancis yang serius mengenai siasatan dakwaan rasuah itu dan bukannya kerajaan Malaysia, kata ahli parlimen PAS bagi Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dalam satu sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.

"Sebuah kerajaan asing dan bukannya SPRM yang menyiasat perkara ini. Ini kerana mereka tidak mahu cakap-cakap bahawa salah sebuah agensi milik kerajaan mereka terbabit dalam rasuah, melibatkan ahli politik mereka dan Malaysia.

"Mengapa SPRM tidak menyiasat perkara ini? Mengapa mereka tidak bercakap dengan Balasubramaniam? Ini sangat aneh. Saya rasa suruhanjaya itu takut padanya."

Mahfuz kemudiannya secara berseloroh dengan berkata singkatan untuk SPRM - bermaksud "Suruhanjaya Pondan Rasuah Malaysia" jika ia menunjukkan sikap pengecut seperti itu.

PKR Tian Chua Batu parlimen, yang turut menghadiri sidang akhbar yang sama, bersetuju dengan pandangan Mahfuz.

Katanya, SPRM mesti merasakan ia lebih baik dari polis Perancis, apabila hanya menghantar satu siri "soalan kuiz", sedangkan polis Perancis mengambil berat testimoninya dan bersemuka dengannya.

~MK~

Kerajaan Selangor diingatkan supaya berjimat

Posted: 12 Jul 2010 09:37 AM PDT

Pengerusi Kelab Penyokong Selangor Azmin Ali mengingatkan kerajaan Pakatan Rakyat supaya jangan mengulangi kesilapan kerajaan persekutuan dalam menguruskan kewangannya. Beliau mempersoalkan keperluan rang undang-undang bajet tambahan sebanyak RM186 juta, walaupun hanya tujuh bulan dalam tahun 2010.

Ketika membahaskan rang undang-undang tersebut, Azmin berkata beliau bimbang, jika amalan ini berlanjutan, Selangor akan berakhir dengan bajet defisit dan bukannya bajet seimbang.

Menurut Azmin, sebab utamanya mengapa kerajaan negeri terpaksa memperuntukkan RM57 juta untuk kos di luar jangkaan bagi 2010 ialah kerana kurangnya perancangan dan kawalan perbelanjaan.

Oleh itu, beliau yang juga naib presiden PKR, dan pengerusi PKR Selangor, mahu pemborosan dihentikan segera. Azmin, yang juga ADUN Bukit Antarabangsa, menegur kerajaan atas perbelanjaan berlebihan untuk majlis kerajaan negeri, sehingga RM500,000 dibelanjakan untuk satu majlis rasmi.

Katanya, ini berlaku kerana jabatan yang terlibat tidak dibawa berunding terlebih dahulu sebelum yang dibawa ke dalam mesyuarat exco negeri. Azmin berkata amalan pemborosan seperti itu mesti dihentikan segera untuk menjimatkan perbelanjaan di luar jangkaan kerajaan negeri.

Beliau juga meminta penjelasan daripada kerajaan negeri mengenai dakwaan kecenderungan menggunakan konsultan pengurusan acara dan tidak menggunakan perkhidmatan majlis tempatan dan pejabat daerah untuk menguruskan majlis-majlis anjuran kerajaan negeri.

Azmin ingin tahu syarikat-syarikat swasta yang dilantik untuk mengendalikan majlis-majlis kerajaan negeri dan jumlah yang dibayar kepada setiap syarikat terbabit.

Mengenai rezab kerajaan negeri, Azmin menegaskan bahawa langkah-langkah penjimatan perlu diambil untuk memastikan Selangor bersedia untuk menghadapi kemungkinan berlakunya kemelesetan berganda.

Beliau turut menyuarakan kebimbangannya mengenai rezab kerajaan negeri yang berada sikit di bawah paras RM800 juta, dan aset tetap bernilai RM700 juta.

Azmin mencadangkan agar kerajaan negeri mempertimbangkan untuk melanggan Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) dalam usaha untuk meningkatkan pulangan daripada aset kerajaan seperti bangunan-bangunannya.

Menurutnya, kaedah REIT sedang dikaji oleh PKNS dan kerajaan negeri boleh menyumbang dalam usaha ini serta melihat keperluan untuk badan-badan berkanun seperti PKNS dan syarikat milik kerajaan negeri, untuk menerokai peluang tersebut.

Azmin berkata, kemelesetan ekonomi yang dihadapi oleh Eropah dan Amerika Syarikat menuntut kerajaan negeri bersiap dengan perancangan fiskal dan kewangan untuk memastikan rakyat bersedia menghadapi kemungkinan tersebut.

Kerajaan negeri, katanya, harus siap sedia untuk menghadapi kemungkinan kemelesetan berganda, dengan menghentikan amalan perbelanjaan yang lemah dan memperkukuhkan tabungan.

~MK~

Sokongan Melayu kekal kepada PAS

Posted: 12 Jul 2010 09:36 AM PDT

Pemukiman tiga hari PAS bermula Jumaat hingga Ahad lalu di Port Dickson merumuskan parti itu tidak mengalami penurunan sokongan Melayu seperti yang didakwa pihak tertentu.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata berdasarkan analisis yang dibuat, sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 1995 sehingga PRU 2008, undi Melayu terhadap PAS konsisten dan menyaksikan sedikit peningkatan.

"Pada PRU 1995 undi Melayu kepada PAS sekitar 38 hingga 40 peratus, 1999 kita mendapat lonjakan sehingga 55 peratus ekoran isu pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari kabinet.

"Pada PRU tahun 2008, sokongan Melayu terhadap PAS antara 42 hingga 46 peratus.

"Ini membuktikan bahawa PAS tidak kehilangan pengundi teras Melayu selama ini," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menolak dakwaan pihak tertentu bahawa PAS mengalami kemerosotan sokongan Melayu ekoran kerjasama parti itu dalam Pakatan Rakyat.

Dakwaan itu dibuat ekoran serangan hebat terhadap PAS oleh Umno ketika parti itu berusaha untuk mengekalkan kedudukannya walaupun sokongan untuk rakan-rakannya dalam BN hilang.

Dalam pilihan raya 2008, sokongan pengundi luar bandar kepada PAS tidak tinggi bukannya kerana mereka Melayu tetapi kerana maklumat dari PAS dan rakan-rakannya tidak sampai kepada mereka.

Mengulas lanjut Mahfuz berkata, PAS memperoleh 45 peratus sokongan Melayu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Bukit Gantang sewaktu Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaludin menjadi calon.

"Itu tidak termasuk sokongan Melayu di Kelantan, kalau diambil kira Kelantan, sokongan Melayu lagi la tinggi," tambahnya lagi.

Pemukiman hujung minggu lalu itu disertai ahli Majlis Syura PAS serta Presiden dan AJK PAS pusat yang lain.

Ianya antara lain bagi merangka persedian PAS menghadapi PRU ke-13.

Dalam pada itu retreat tersebut juga merumuskan bahawa yang menghakis kepentingan Melayu seperti termaktub dalam perkara 153 Perlembagaan adalah Umno BN.

Menurutnya, isu memperkenal Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dan isu penukaran sistem kemasukan ke IPT dari kuota ke meritokrasi antara contoh penghakisan hak Melayu oleh Umno BN.

Sehubungan itu jelasnya, atas sebab itu PAS juga memutuskan akan memulakan usaha lebih konstruktif melindungi hak orang Melayu yang termaktub dalam perlembagaan tanpa menafikan hak kaum-kaum lain sebagai warga negara Malaysia.

"Teras kita adalah keadilan kepada siapa yang berhak.

"Semua parti dalam Pakatan Rakyat pada konvensyen lalu sebulat suara telah bersetuju mempertahan apa sahaja yang termaktub dalam perlembagaan," katanya.

~harakah~

Rakyat Didahulukan Untuk TNB Membazir

Posted: 12 Jul 2010 09:35 AM PDT

Tenaga Nasional Bhd (TNB) akan membelanjakan lebih daripada RM120 juta dalam tempoh tiga tahun bagi menggantikan 1,720 kenderaannya yang semakin uzur. Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh, berkata semua trak yang bermasalah akan dijual.

Proses penggantian ini, katanya akan dilaksanakan dalam tiga peringkat. Setakat ini, TNB telah menggantikan 521 kenderaan dengan pelaburan berjumlah kira-kira RM50 juta.

Che Khalid berkata keandalan dan kecekapan kenderaan-kenderaannya amat penting kerana sebarang kelewatan dalam operasinya disebabkan oleh kerosakan dan prestasi yang rendah boleh menjejaskan perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan.

"Pembelian ini perlu bagi menggantikan kenderaan yang seringkali rosak dan juga bagi meningkatkan produktiviti TNB.

"Kebanyakan kenderaan yang ada sekarang berusia di antara 10 dengan 15 tahun dan memerlukan kos penyenggaraan yang tinggi. Jadi, kami merasakan masanya sudah tiba untuk menggantikan kesemuanya," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Kenderaan-kenderaan itu akan dibekalkan oleh anak-anak syarikat DRB-HICOM Bhd, Automotive Corporation (M) Sdn Bhd dan EON Auto Mart Sdn Bhd. Memandangkan TNB merupakan operasi 24 jam yang dilaksanakan dalam keadaan mendesak, perkhidmatan kenderaan dan pemandu sentiasa diperlukan pada bila-bila masa sahaja.

"Kami percaya model-model baru ini akan memberikan jaminan keandalan bertahap tinggi dan mengurangkan kos operasi di samping membantu kami mencapai penjimatan operasi yang besar," tegasnya.

TNB juga memperuntukkan RM25 juta bagi peralatan, kata beliau.

~Bernama~

TPM cuba lindungi Rozali Isu Air

Posted: 12 Jul 2010 09:34 AM PDT

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata tindakan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memperkecilkan kecekapan beliau mentadbir sumber air di negeri itu hanyalah untuk melindungi kepentingan ketua pegawai eksekutif Puncak Niaga (M) Sdn Bhd Tan Sri Rozali Ismail.

"Ini dibangkitkan oleh timbalan perdana menteri bertujuan melindungi ketua eksekutif puncak niaga kerana beliau juga bendahari (Umno) Selangor dan juga Hulu Selangor.

"Jadi lebih baik jaga hati kroni daripada beri peluang kepada Selangor dapat air lebih murah dan lebih cekap diuruskan," katanya dalam satu sidang media di bangunan SUK hari ini.

Tambahnya, walaupun beliau "tidak berapa cekap" dalam menguruskan sumber itu di Selangor, tarif bagi penggunaan air lebih murah daripada yang dibayar oleh penduduk Johor.

"Johor yang pernah diperintah oleh timbalan perdana menteri juga pernah kenakan kenaikan harga air," katanya.

Khalid berkata demikian sewaktu mengulas laporan media yang memetik kenyataan Muhyiddin bahawa negeri Selangor akan menghadapi krisis air serius menjelang 2014.

Dilaporkan, krisis tersebut, bakal berlaku disebabkan pentadbiran negeri masih 'bermain politik' dengan kerajaan persekutuan dalam isu pengurusan air Selangor.

Muhyiddin juga dilaporkan berkata, Selangor akan memperolehi bekalan air dari negeri Pahang sekiranya masih berada di bawah pentadibiran BN, yang menyetujui kontrak penyaluran air tersebut.

Mengulas kenyataan itu, Khalid berkata masalah yang dihadapi dalam industri air Selangor adalah disebabkan usaha penswastaan oleh kerajaan BN sebelum.

Jelasnya, Puncak Niaga dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk menguruskan sumber berkenaan.

Katanya, keadaan itu memaksa kerajaan persekutuan memberi pinjaman mudah berjumlah RM302.8 juta kepada syarikat tersebut pada Disember 2009.

"Ini pinjaman tak payah bayar selama lima tahun dan bayar sedikit-sedikit dalam masa 20 tahun. Kemudian, tidak ada faedah dikenakan. Ini bukanlah cara penswastaan yang kita kehendaki," katanya lagi.

Tambahnya, kerajaan Selangor tidak akan menghalang projek penyaluran air dari Pahang.

"Tetapi kita harapkan semua ini dilakukan supaya tidak ada yang dapat keuntungan berlebihan dengan jadi kontraktor kepada projek ini," tambahnya.

~MK~

Saman ekor kerana hendak wang

Posted: 12 Jul 2010 09:33 AM PDT

PAS merasa kesal, di atas sikap kerajaan melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang bertindak menyenarai hitam pesalah trafik melalui saman ekor sehingga mereka tidak dibenarkan untuk membaharui cukai jalan.

Dimaklumkan sejak September 2009, lebih 2.5 juta notis saman dikeluarkan kepada pesalah trafik dan daripada jumlah itu, sebanyak 1.07 juta pesalah trafik telah disenaraihitamkan oleh PDRM.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad berkata, pihaknya merasa kesal ketika rakyat dihimpit dengan kenaikan harga barang dan tekanan hidup, dan indeks pengguna yang bertambah meningkat tiba-tiba pihak polis dan JPJ menyatakan bahawa mereka yang ada sama ekor tidak dibenarkan membaharui cukai jalan.

"PAS bukan menentang saman kepada mereka yang bersalah, tetapi biarlah dihukum mengikut proses yang betul. Kenapa tidak dibawa kepada pengadilan untuk dibicara," katanya.

Kata Idris, PAS berpendapat, ini adalah satu kezaliman, kerana ada di kalangan mereka tidak tahu menahu berkenaan saman tersebut kerana ada yang tersalah saman, sedangkan mereka tidak mengetahui apa yang berlaku.

"Tindakan saman ekor memang bertujuan untuk mendapat wang, bukan untuk hendak mengurangkan kemalangan jalanraya, ada mereka yang dikenakan saman kerana membawa kereta melebihi 60 kilometer sejam," dakwa beliau.

Logikkah saman ekor di kawasan berkenaan, mana ada kenderaan sekarang yang berjalan 60km/jam di jalan raya.

PAS berpandangan, katanya, bahawa memang kerajaan kekurangan wang sekarang, setelah GST yang ditangguh pelaksanaan kerana mendapat penentangan yang hebat daripada Pakatan Rakyat.

"Mungkin kerajaan telah terlepas peluang kerana lesen judi bola yang tidak berani diluluskan kerana ditentang dengan hebat oleh rakyat. Sebab itu tidak hairanlah kepada kita kenapa Datuk Seri Najib menyokong tindakan polis dan JPJ. Maka satu lagi projek 1Malaysia rakyat didahulukan, saman diutamakan," katanya.

PAS, kata beliau, mengharapkan pihak kerajaan perlu mempertimbangkan semula tindakan ini, kerana ia menyusahkan rakyat dan menzalimi rakyat.

"PAS menyeru supaya rakyat sedar inilah kerajaan yang ada pada hari ini hanya pandai menanam tebu dibibir konon membela rakyat, tetapi bertindak sebaliknya dan kita mesti bersatu untuk menolak BN dalam PRU 13," katanya.

~harakah~

Saya diseksa pegawai perisik tentera

Posted: 12 Jul 2010 09:32 AM PDT

N Tharmendran, seorang bekas sarjan RMAF yang telah didakwa berhubung kehilangan dua enjin jet pejuang, mendakwa dia ditahan dan diseksa oleh pegawai perisikan tentera selama tiga minggu berhubung siasatan kes tersebut.

Walaupun setahun telah berlalu, tetapi semunya masih jelas di mata Tharmendran, 42, siasatan dalaman tentera yang telah dilaluinya, seolah-olahnya ianya baru berlaku semalam.

Tharmendran mendakwa cara yang digemari penyiasatnya - yang didakwa diketuai pegawai berpangkat mejar dan pembantunya, juga seorang mejar - adalah memakaikannya dengan topi keledar dan berkali-kali memukulnya sekuat mungkin.

"Mereka menggunakan kayu golf dan sesuatu yang panjang seperti kayu kriket. Alasannya ialah apabila memukul topi keledar yang saya pakai, tidak ada kesan. Anda tidak dapat temui kesan apa-apapun, tapi ia adalah sakit dalaman, "katanya kepada Malaysiakini.

"Itu yang mejar (nama dirahsiakan) kata kepada saya. (Dia kata) 'Saya boleh memukul anda sekuat mana yang sama mahu, tapi tidak akan ada kesan apapun. Bahkan (jika) anda pergi menemui doktor pun, dia akan kata anda hanya sakit kepala."

Dan akibat penderaan fizikal itu, Tharmendran berkata dia menderita sakit teruk di leher serta bahu dan sukar menggerakkan lengan kirinya selama beberapa hari selepas soal siasat itu berakhir.

Dia juga mendakwa berulangkali dibogelkan hanya tinggal seluar dalamnya, disuruh berdiri di atas ketulan ais sehingga sejam, dan diancam dengan kematian.

"Saya diberitahu oleh mejar ini, yang dia mempunyai kawan dalam UTK (unit tindakan khas) dan KDN (Kementerian Dalam Negeri) dan tidak sukar baginya untuk mendapatkan beberapa orang untuk menembak dan membunuh saya.

"Seperkara lagi, dia kata, tak seorang pun akan percaya pada saya (jika saya melaporkan penyeksaan tersebut), kerana dia adalah IO (pegawai penyiasat) dan ia mempunyai kuasa. Bahkan, katanya, jika saya pergi ke hospital dan mengatakan yang saya telah diseksa oleh orang-orang ini, dia kata tak seorang pun akan percaya pada saya."

Tharmendan berkata, dia tidak dibenarkan menghubungi sesiapa pun untuk memberitahu mereka di mana dia berada selama tiga minggu tahanan.

Bapa N Nagarajah telah membuat laporan polis bulan lalu untuk melaporkan mengenai apa yang didakwa telah dialami oleh Tharmendran selama tiga minggu dalam tahanan tentera.

'Hilang maruah'

Tharmendran berkata, berat badannya merosot 20 kg selepas diseksa dan selama enam bulan dia ditahan reman di Penjara Sungai Buloh kerana tidak mampu membayar ikatjamin RM150,000 berhubung tuduhan terhadapnya itu.

Dia percaya dia bukan satu-satunya yang diseksa oleh pegawai perisikan, dan mendakwa sekurang-kurangnya 30 orang lagi turut melalui pengalaman yang sama atas sebab-sebab yang tidak diketahuinya. Dia tidak tahu apa yang berlaku terhadap mereka.

~MK~

Samseng pun terlibat operasi pasir

Posted: 12 Jul 2010 09:17 AM PDT

Langkah kerajaan Selangor mewujudkan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) bertujuan mengawal industri perlombongan pasir yang sebelum ini memberikan pihak tertentu peluang mengaut keuntungan mudah daripada kegiatan berkenaan, kata menteri besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

Selain itu, ia juga bertujuan membolehkan Selangor mengenali selok belok industri berkenaan untuk mengenalpasti ketirisan yang berlaku dalam kegiatan perlombongan pasir.

"Saya dapati terlalu ramai mereka yang terlibat dalam operasi pasir ini bukan saja individu. Ada juga kepimpinan kampung, pegawai kerajaan, pembawa lori, dan rupa-rupanya samseng pun terlibat.

"Barulah saya tahu industri ini ramai peminat. Bila kita kurangkan duit poket ini, terdapat heboh begitu besar, tapi kita mesti selesaikan," katanya ketika menjawab soalan lisan di DUN Selangor hari ini.


Soalan tersebut dikemukakan Mohd Shamsudin Lias (BN Sungai Burong) yang bertanyakan jumlah kerugian yang dialami Selangor akibat kegiatan kecurian pasir.

Dalam soalannya itu, Mohd Shamsudin turut menyoal langkah-langkah yang diambil kerajaan negeri dalam menangani isu berkenaan.

Khalid dalam jawapannya berkata, pada tahun 2006 kerajaan negeri memperoleh royalti sebanyak RM4.37 juta. Manakala bagi tahun 2007 pula jumlah kutipan berjumlah RM4.2 juta - jauh daripada kutipan sepatutnya yang dijangkakan sebanyak RM30 juta setahun.

"Kecurian masih berleluasa. Kita dapati (hasil) berjumlah RM30 juta tidak terkutip sebab kita tidak kawal. Jadi cara kita adalah tubuhkan Kumpulan Semesta," katanya.

Dedah nama

Tambahnya, hasil daripada langkah itu, kerajaan negeri berjaya mengutip hasil sebanyak RM7 juta pada 2008, tidak termasuk keuntungan daripada KSSB.

"Kenyataannya, (KSSB) bukan saja untuk tingkatkan royalti. Unjuran awal bukan (hanya) RM10 hingga RM20 juta, tapi untuk 2010 mereka jangka keuntungan melebihi RM25 juta," katanya.


Tambahnya, kerajaan negeri juga bercadang untuk mendedahkan senarai individu yang menerima lesen pengeluaran pasir sebelum 2008 untuk membolehkan masyarakat tahu sama ada indvidu berkenaan merupakan pengeluar pasir yang sebenar.

"Ikut kajian kita, 80 peratus daripada mereka tak kenalpun jentera tapi dapat lesen untuk dijual. Sekarang kita buat perubahan," katanya.

Katanya lagi, kaedah menangkap individu terlibat dalam kegiatan tersebut dan menyita peralatan mereka didapati tidak berjaya menyelesaikan masalah berkenaan.

"Untuk ini kerajaan berpendapat, salah satu usaha bukan saja selesaikan pengeluaran tetapi juga mengawasi penggunaan atau pengeluaran," katanya lagi.

Jelasnya, kaedah mengenakan kawalan di pihak pengguna pasir didapati berkesan untuk mengawal industri perlombongan, seperti yang diamalkan dalam industri minyak.

"Dulu kita hanya sekat tempat keluar pasir. Sekarang strategi kita ialah tempat penggunaan pasir. Kita akan letakkan pegawai untuk buat semakan sama ada pasir diambil dari tempat yang diluluskan kerajaan negeri.

Rampas tanah persendirian

"Contohnya, kawasan pembinaan jalan untuk kapal terbang (tambang murah) LCCT yang perlukan berjuta tan pasir," katanya lagi.

Katanya, kerajaan negeri juga akan berbincang dengan pengeluar simen di Selangor supaya dapat bekerjasama bagi menentukan sama ada mereka membeli pasir daripada kawasan yang diberikan lesen.


"Kita tubuhkan syarikat kerajaan negeri (KSSB) untuk bersaing dan selesaikan masalah, sebab kita tidak tahu tentang industri ini. Kita tidak tahu siapa pembeli, siapa penggunanya," katanya.

Katanya lagi, selain langkah makro seperti itu, kerajaan negeri juga akan mengadakan mesyuarat mingguan dengan pegawai setiap daerah untuk mengenalpasti kawasan yang berlaku kecurian pasir.

Tambahnya, kerajaan juga akan membayar sagu hati sebanyak RM5,000 kepada pemberi maklumat yang boleh mendedahkan maklumat kegiatan kecurian pasir.

Selain itu, kerajaan negeri juga telah meluluskan langkah untuk merampas tanah milik persendirian yang membiarkan kegiatan kecurain pasir dilakukan di tanah mereka.

"Kerajaan negeri setuju beri borang 7A untuk rampas tanah tersebut, dan bila dirampas, tanah akan jadi milik kerajaan dan kerajaan negeri akan jaga tanah tersebut supaya tidak berlaku kecurian.

"Hampir 7, 8 keping tanah sudah kita ambil kerana mereka tidak jaga tanah mereka dan dibiarkan dicuri," katanya lagi.

Tambahnya, peruntukan untuk penguatkuasaan seperti itu akan dibiayai oleh KSSB.

~MK~

ADUN BN Selangor bertindak keluar dewan

Posted: 12 Jul 2010 09:15 AM PDT

Para ADUN BN Selangor bertindak keluar dewan apabila salah seorang wakil rakyatnya Abdul Syukur Idrus (Kuang) dihalau keluar dewan oleh speaker Teng Chang Khim.

Wakil rakyat berkenaan bertindak demikian sebagai tanda sokongan kepada Abdul Syukur yang mahu mengajukan soalan berkaitan isu pengeluaran pasir di negeri berkenaan.

Salah seorang wakil rakyat berkenaan Mohd Isa Abu Kasim berkata tindakan keluar dewan itu juga sebagai tanda bantahan apabila speaker dewan tidak meluluskan satu usul yang dikemukakan mereka untuk dibincangkan.

"Kita bantah sebab kita hantar usul tapi tidak diluluskan. Kami tidak diberitahu sama ada usul ini diterima atau tidak sedangkan kami telah hantar usul ini sejak 14 hari lalu.

"Usul ini untuk minta kerajaan hentikan pengeluaran pasir untuk sementara waktu sebab timbul banyak masalah berhubung kegiatan ini," katanya ketika ditemui media di luar dewan berkenaan.

Kali terakhir pembangkang bertindak keluar dewan ialah pada November tahun lalu yang membolehkan kerajaan meluluskan beberapa usul sebulat suara tanpa kehadiran pembangkang, termasuk menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat kematian Teoh Beng Hock.

~MK~

Speaker halau ADUN BN keluar dewan

Posted: 12 Jul 2010 09:14 AM PDT

Speaker DUN Selangor, Teng Chang Khim semalam menghalau Abdul Syukur Idrus (BN-Kuang) keluar daripada dewan. Tindakan itu dilakukan Teng mengikut peraturan mesyuarat 44 (2) selepas bertikam lidah dengan Abdul Syukur selama kira-kira 10 minit.

"Saya perintah bawah peraturan mesyuarat 44(2) disebabkan YB degil, saya perintahkan yang berhormat keluar daripada dewan," kata Teng selepas Abdul Syukur (kanan) berkeras untuk mengemukakan soalannya.

Abdul Syukur ingin mengemukakan soalan berkaitan aktiviti kecurian pasir di negeri itu. Bagaimanapun, beliau disekat oleh Teng apabila enggan menyatakan peraturan mesyuarat untuk membolehkannya bangun bercakap.

Teng berkata Abdul Syukur juga digantung daripada dewan selama satu hari memandangkan beliau telah berkali-kali memberi peringatan kepada ADUN Kuang itu seupaya mematuhi perintah tetap.

Katanya, peraturan 35(1) yang dipetik oleh Abdul Syukur hanya peruntukan umum untuk membolehkan seseorang ahli bercakap, dengan kebenaran speaker dewan.

"Tetapi kalau dia hendak bawa apa-apa isu, dia kena spesifik kepada peraturan apa," katanya ketika ditemui pihak media di luar dewan.

Katanya, Abdul Syukur ingin bercakap bawah peraturan 34(1) untuk menyoal mengenai satu usul yang telah ditolak olehnya sebelum ini. Jelasnya, beliau tidak membenarkan tindakan itu kerana peruntukan berkenaan adalah untuk menarik balik sesuatu usul.

Tambahnya, usul berkenaan adalah untuk memotong gaji menteri besar, atas kegagalan menteri besar menguruskan isu kecurian pasir. Katanya, beliau menolak usul tersebut kerana tidak dikemukakan mengikut peraturan sepatutnya, iaitu bawah peraturan perbekalan (bajet).

Beliau juga menolak dakwaan daripada Abdul Syukur, bahawa kerajaan negeri ingin menutup isu pasir apabila menolak usul berkenaan. Jelasnya, dakwaan Abdul Syukur itu menunjukkan wakil pembangkang tidak memahami konsep pengasingan kuasa yang diamalkan kerajaan negeri.

Jelasnya, beliau bertindak secara tidak berpihak dalam memutuskan sama ada sesuatu usul patut dibincangkan. Malah, katanya, cabang eksekutif sendiri tidak akan mengetahui sekiranya dewan telah menolak sesuatu usul daripada dibincangkan.

Bercakap kepada media di luar dewan itu, Abdul Shukur pula berkata beliau telahpun menjangka bahawa DUN tidak akan menerima usul tersebut untuk dibincangkan. Abdul Syukur yang juga ketua penerangan Umno Selangor berkata beliau juga tidak perlu berada di dalam dewan itu sekiranya tidak diberi peluang untuk menyampaikan suara rakyat.

Beliau turut juga menyifatkan penjelasan yang dibuat oleh menteri besar berkaitan industri perlombongan pasir hari ini sebagai satu "penipuan." Dalam pada itu juga, beliau turut mempersoalkan bagaimana syarikat Kuala Semesta Sdn Bhd diberikan kuasa yang luas untuk mengawal kesemua sumber pasir di negeri itu.

"Ini tidak pernah berlaku dalam sejarah," katanya, merujuk kepada dakwaan berlakunya kegiatan kecurian pasir daripada aktiviti perlombongan tersebut di Selangor.

~MK~

Tiada ulasan: