Ahad, 6 Jun 2010

Senyum Tangis Sendu

Senyum Tangis Sendu


Disangka Pengganas

Posted: 06 Jun 2010 04:03 AM PDT

"Saya diarah berbogel semasa disoal siasat selama setengah jam kerana disangka pengganas dan mempunyai kaitan dengan rangkaian al-Qaeda. Mereka cuba kaitkan saya dengan al-Qaeda tetapi saya cakap kami ialah aktivis.

"Mereka mungkin menyangka saya pengganas sebab rambut saya di dalam pasport panjang sedangkan semasa ditahan, saya berambut pendek seperti seorang komando," kata Exco badan bukan kerajaan (NGO) Muslim Care Malaysia, Abd. Halim Mohd. Redzuan, 40.

Menceritakan pengalaman semasa ditahan di sebuah penjara lama oleh tentera Israel, Abd. Halim berkata, beliau ditempatkan bersama-sama seorang Ahli Parlimen Bahrain dan seorang pegawai masjid dari Indonesia.
"Sepanjang 15 jam ditahan di penjara itu, kami banyak dengar bagaimana tentera Israel gunakan kekerasan pada banduan lain dan keadaan penjara juga sangat teruk.

"Semasa dibebaskan mereka cakap mereka nak bawa kami ke penjara lain dan bila tiba di sempadan Jordan, barulah saya nampak kawan-kawan lain, lega sangat rasanya," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, Abd. Halim bersama lapan daripada 12 sukarelawan Malaysia yang berada di atas kapal Turki, Mavi Marmara, diraikan dalam satu majlis menyambut kepulangan mereka sejurus selepas tiba di tanah air pada kira-kira pukul 5.40 pagi.

Abd. Halim juga merupakan antara tiga aktivis yang ditembak dengan peluru getah di bahagian kepala, belakang dan paha oleh tentera Israel.

Maut Berebut Kawasan Dadah

Posted: 05 Jun 2010 03:58 PM PDT

Tindakan dua lelaki memarahi tiga lelaki lain yang menjual dadah di sekitar Chow Kit di sini berakhir dengan tragedi apabila seorang daripada mereka mati dibunuh manakala seorang lagi parah dalam kejadian awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, kedua-dua mangsa yang turut terlibat dalam kegiatan menjual dadah itu menemui tiga lelaki yang turut dikenali mereka di Tingkat 7, Bangunan Selangor Mansion di Jalan Masjid India.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, ketika pertemuan itu mereka bertikam lidah kerana mahu merebut lokasi Medan Bonus di Jalan Masjid India untuk kegiatan menjual dadah.

Tiada ulasan: