Jumaat, 18 Jun 2010

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Kes Norza : Sandiwara SPRM?

Posted: 18 Jun 2010 12:38 AM PDT

Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan bekas Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Norza Zakaria dan ejennya, Halimi Kamaruzzaman, daripada tuduhan rasuah.

Hakim Azuar Che Yusof membuat keputusan itu setelah Ketua Unit Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Datuk Abdul Razak Musa menyatakan pihaknya tidak akan mengemukakan keterangan lanjut selepas saksi-saksi yang dikemukakan sebelum ini berpaling tadah.

Terdahulu, Abdul Razak berhujah pihak pendakwaan sentiasa berharap saksi-saksi bercakap benar bagi menegakkan keadilan.

"Tanpa keterangan yang boleh dipercayai, usaha untuk menghapuskan rasuah dan penyelewengan tidak akan berjaya," katanya.

Peguam Jahaberdeen Mohamed Yunoos yang mewakili Halimi kemudian memohon mahkamah menggunakan budi bicara untuk melepas dan membebaskan tertuduh mengikut Seksyen 254 Kanun Acara Jenayah.

Katanya, pihak pendakwaan juga telahpun diberi peluang memanggil 18 saksi sepanjang perbicaraan itu yang sudah memakan masa lama.

Mahkamah kemudian menerima hujah itu.

Mohamad Norza, 43, yang juga bekas anggota Majlis Tertinggi Umno, dituduh memberi suapan RM1,500 kepada Khadri Musa menerusi Halimi untuk diagihkan kepada anggota perwakilan sebagai dorongan untuk mengundinya bagi jawatan MT pada Perhimpunan Agung Umno pada Mac tahun lepas.

Beliau juga menghadapi satu lagi pertuduhan memberi suapan RM1,900 kepada Mohammad Anuar Yunus menerusi Halimi bagi tujuan sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan pada 6.30 petang, 20 Jan tahun lepas di No 38, Pinggiran Tasik, Taman Bandar Temerloh di sini.

Halimi, 47, dari Bandar Indera Mahkota, Kuantan, pula menghadapi dua pertuduhan memberikan suapan itu kepada Khadri dan Mohammad Anuar bagi pihak

Mohamad Norza pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Sepanjang perbicaraan sejak Mac tahun lepas itu, sembilan saksi pendakwaan dituduh di Mahkamah Majistret Temerloh kerana memberi keterangan palsu.

Mohamad Norza, yang ditemui di luar mahkamah, melahirkan rasa syukur kerana dapat membersihkan namanya daripada tuduhan rasuah.

Katanya keputusan itu juga diharap dapat menamatkan spekulasi berhubung kredibilitinya.

"Saya adalah pemimpin Umno yang dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan rasuah oleh Lembaga Displin Parti dan juga mahkamah," katanya. -Bernama

Ulasan GB

Dari perspektif masyarakat, banyak ekkalahan SPRM di mahkamah adalah kerana ia tidak lain dari sandiwara-sandiwara kononnya SPRM bebas dan berkecuali di dalam penahahan dan pendakwaan. Hakikatnya pesalah dari UMNO BN akan lepas bebas dengan pelbagai cara dan helah.

PAS Sudah Siap Hadapi BN Di Kelantan

Posted: 17 Jun 2010 11:09 PM PDT

Nik Aziz: Nyatakan Tarikh, Pas Sedia Hadapi BN Bila-Bila Masa

PAS bersedia menghadapi pilihan raya umum bila-bila masa dari sekarang, kata Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Walaupun kuasa mengumumkan tarikh pilihan raya itu terletak di tangan Perdana Menteri untuk membuat suatu kejutan, Menteri Besar Kelantan itu berkata kerajaan seharusnya memberi tempoh tertentu sebelum mengadakan pilihan raya bagi membolehkan parti bertanding membuat persediaan.

"Sebagai negara yang mengamalkan demokrasi, pilihan raya tidak patut diadakan secara mengejut dan perlu diisytiharkan lebih awal seperti tiga bulan atau sebagainya supaya kita sama-sama boleh bersedia," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguan Jumaat di Dataran Ilmu, di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa tarikh pilihan raya tidak akan diadakan dalam masa terdekat dan pengumuman mengenainya akan dibuat sebagai suatu kejutan.

Bercakap kepada pemberita di Tumpat dua hari lepas, Najib berkata kerajaan tidak akan membubarkan Parlimen untuk mengadakan pilihan raya umum akan datang semata-mata berdasarkan kepada satu pendapat bahawa semakin ramai rakyat menyokong beliau.

Menteri Besar Kelantan berkata soal cepat atau lambat pilihan raya diadakan, bagi PAS ia tidak menimbulkan masalah kerana parti itu sentiasa dalam keadaan bersedia. -- BERNAMA

Ulasan GB

Bukan cakap besar, tetapi itulah prinsip sebuah gerakan Islam. Sentiasa bersedia, sentiasa bersiap siaga untuk menghadapi pilihanraya bila-bila masa.

Ayuh, BN... ada berani?

Tian Chua Gigit Tangan Polis, Hilang Kelayakan Sebagai MP, Polis Tembak Dan Bunuh Orang Awam Terlepas

Posted: 17 Jun 2010 05:59 PM PDT

Denda RM2,000 memadai Tian Chua gugur status MP

KUALA LUMPUR, 18 Jun — Ahli Parlimen Batu dari PKR, Tian Chua dilihat sudah hilang kelayakan untuk menyandang kerusinya walaupun mahkamah yang mendengar rayuannya semalam telah mengurangkan denda daripada RM3,000 kepada RM2,000.

Melainkan keputusan semalam diubah oleh Mahkamah Rayuan selepas ini, jika rayuan peringkat kedua dibuat, dan menerima pengampunan diraja, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengadakan pilihan raya kecil.

Seorang bekas pegawai kanan SPR memberitahu The Malaysian Insider, undang-undang sedia ada dengan jelas memperuntukkan bahawa jika dikenakan denda RM2,000 dan ke atas boleh menyebabkan wakil rakyat terbabit hilang kerusi disandangnya.

"Perkara ini dengan jelas dinyatakan dalam Perkara 48(1) Perlembagaan Persekutuan," kata beliau.

"Dalam kes ini, mahkamah telah menjatuhkan hukuman RM2,000, bukannya kurang daripada itu... oleh itu jelas bahawa dalam kes ini, Ahli Parlimen (Batu) sudah hilang kelayakan memegang kerusinya.

"Melainkan Ahli Parlimen berkenaan (Tian Chua) membuat rayuan (di Mahkamah Rayuan) dan jika rayuan ditolak, kemudian memohon pengampunan (jika mahu)," kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Mengenai pandangan hakim bahawa keputusannya akan membolehkan pilihan raya kecil dapat dielakkan dan menjimatkan kos, bekas pegawai SPR itu memberitahu, mahkamah tidak seharusnya menyentuh perkara-perkara di luar perlembagaan.

"Hakim tidak boleh mengetepikan peruntukan Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa seseorang anggota Dewan Rakyat boleh hilang kerusi dimenanginya jika dihukum penjara tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang RM2,000 dan ia tidak mendapat pengampunan
.

Dalam buku bertajuk "Penjalanan Pilihan Raya Malaysia", bekas setiausaha dan pengerusi SPR Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, "kehilangan kelayakan di bawah Artikel 48 Perlembagaan Persekutuan, jika timbul keraguan perlu diputuskan oleh Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri di bawah Perkara 53(1) Perlembagaan

Persekutuan dan perkara yang sama dalam Perlembagaan Negeri."

Sebagai contoh katanya, dalam kes Ahli Parlimen DAP kerusi Menglembu Fan Yew Teng mengemukakan kes saman ke atas setiausaha Dewan Rakyat pada 1975.

Pada 13 Jan 1975 Fan telah didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi atas kesalahan di bawah Akta Hasutan dan telah didenda RM2,000 atau enam bulan penjara.

Pada hari yang sama, beliau telah membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Bagaimanapun setelah diberitahu oleh Dewan Rakyat bahawa Fan telah hilang kelayakan di bawah Perkara 48(1) Perlembagaan Persekutuan dan sesuai dengan Perkara 50(1), kerusinya telah menjadi kosong dan dengan demikian SPR telah mengambil tindakan yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya kecil.

Fan telah membawa kes ini untuk ditentukan oleh mahkamah dan mahkamah mendapati bahawa sungguhpun beliau telah didenda, menyebabkannya hilang kelayakan, tetapi berhak menggunakan hak perundangan sepenuhnya. Hak itu diakui oleh mahkamah dan dengan demikian pendapat mahkamah ialah bahawa pilihan raya kecil itu tidak boleh diadakan sehingga rayuannya selesai dibicarakan.

Dalam kes yang berkaitan juga iaitu Fan melawan kerajaan Malaysia, di mana beliau telah memohon pengisytiharan mahkamah mengenai keahliannya dalam Parlimen yang telah terlucut disebabkan oleh kesalahan tersebut, mahkamah antara lain telah memutuskan bahawa dalam kes yang dirujukkan ini, keputusan yang telah dibuat oleh Dewan Rakyat bahawa ahli berkenaan hilang kelayakannya berasaskan Perkara 53 Perlembagaan Persekutuan adalah muktamad dan tidak boleh disoal di mahkamah.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengetepikan hukuman penjara enam bulan dan denda RM3,000 terhadap Tian Chua atau nama sebenarnya, Chua Tian Chang dengan menggantikannya kepada hukuman denda RM2,000 atau dua bulan penjara kerana mencederakan seorang anggota polis pada 2007.

Bagimanapun Hakim Datuk Ghazali Cha menolak rayuan Tian Chua terhadap sabitan atas tuduhan itu setelah mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak.

Ghazali berkata, penghakiman Majistret pada 22 Oktober lalu yang berdasarkan penemuan fakta adalah betul dan pemakaian undang-undang juga adalah tepat dan tidak perlu lagi diganggu.

Ghazali berkata, soal hukuman merupakan budi bicara sepenuhnya hakim perbicaraan berkenaan kecuali yang melibatkan hukuman mati.

"Dalam kes ini perayu adalah pesalah pertama. Tidak dapat dinafikan juga bahawa tiada keistimewaan patut diberikan kepada beliau sebagai Ahli Parlimen," katanya.

Bagaimanapun, katanya jika hukuman yang dijatuhkan boleh menjadikan Tian Chua, 47, tidak layak menjadi seorang Ahli Parlimen, satu pilihan raya kecil terpaksa diadakan.

"Seperti yang diketahui pilihan raya kecil ini memerlukan perbelanjaan yang besar dan memberi kesan kepada keseluruhan rakyat negara ini begitu juga kesejahteraan dan keharmonian di antara berbagai-bagai bangsa.

"Di atas alasan ini, saya berpendapat suatu hukuman yang setimpal yang tidak melibatkan banyak pihak adalah merupakan suatu hukuman yang adil.

"Hukuman yang dijatuhkan oleh Majistret diketepi dan digantikan dengan hukuman denda RM2,000 atau dua bulan penjara," katanya.

Tian Chua didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Konstabel Rosyaidi Anuar, 22, dari Bahagian Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di jalan masuk ke Bangunan Parlimen.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff berkata pihak pendakwaan masih belum memutuskan sama ada merayu keputusan itu. -TMI


Ulasan GB

Tu dia! Tian Chua baru sekadar gigit tangan seorang anggota polis dikenakan hukuman sedemikian rupa sehingga hilang kelayakan sebagai seorang ahli parlimen.

Sedangkan di dalam banyak kes di mana anggota polis mencederakan orang awam, malah sehingga menyebabkan kematian, tidak pula diambil tindakan.

Mengapa Hakim Pula Yang Menyatakan PRK Libatkan Dana Yang Besar?

Posted: 17 Jun 2010 07:53 AM PDT

Kes Gigit Polis: Tian Chua "kekal" MP Batu

Mahkamah Tinggi hari ini menolak rayuan ahli parlimen Batu, Tian Chua kerana menghalang tugas polis dengan menggigit seorang anggotanya di luar bangunan parlimen tiga tahun lalu.

Namun mahkamah mengurangkan denda kepada RM2,000 atau penjara dua bulan.

Ekoran keputusan tersebut, Tian yang nama sebenarnya Chua Tian Chang, 47, akan kekal sebagai ahli parlimen Batu kerana hukuman yang dijatuhkan tidak mempengaruhi kedudukannya sebagai ahli parlimen.

Hakim Ghazali Cha ketika membacakan penghakimannya berkata pihaknya tidak akan mengubah keputusan bersalah yang dijatuhkan oleh Mahkamah Masjistret.

"Walaupun hukuman ditentukan oleh majistret, namun ini adalah kesalahan pertama.

"Membiarkan beliau hilang kelayakan akan menyebabkan satu lagi pilihan raya kecil dan ini akan membabitkan dana yang besar."

Tian yang baru tiba dari Paris pagi ini hadir di mahkamah bersama kira-kira 20 penyokongnya termasuk ahli parlimen Segambut, Lim Lip Eng.

Beliau diwakili oleh peguam Ranjit Singh, Amer Hamzah Arshad dan Razlan Hadri Zulkifli.

Pihak pendakwaan yang diketuai oleh timbalan pendakwaraya Hanafiah Zakaria dan Ishak Mohd Yusof, sebelum itu berhujah bahawa keputusan sepatutnya dikekalkan.

Pada 22 Oktober lalu, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman enam bulan penjara dan denda RM3,000 ke atas Tian Chua, selepas mendapatinya bersalah.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman tersebut untuk membolehkan Tian Chua membuat rayuan.

Tian Chua didakwa mencederakan konstabel Rosyaidi Anuar, 21, di depan bangunan Parlimen pada jam 10.45 pagi 11 Disember 2007.

Rosyaidi bertugas dengan Bahagian Narkotik Ibupejabat Kontijen Polis Kuala Lumpur.

Ulasan GB

Umum sudah mengetahui bahawa sistem kehakiman di Malaysia adalah bobrok. Kes siasatan video VK Lingam adalah bukti wujudnya hakim khianat yang tidak berpegang kepada kebenaran dan keadilan, sebaliknya membaca sahaja keputusan yang telah disediakan oleh peguam yang terlibat di dalam kes yang dibicarakan.

Justeru itu tidak dapat dinafikan perspektif bahawa keputusan-keputusan hakim di negara ini menunggu "lampu hijau" pihak tertentu, setentunya dari UMNO BN, sebelum keputusan diumumkan terhadap sesetua kes.

Di dalam kes Tian Chua nampaknya UMNO BN pengecut dan penakut. Sekalipun pada awalnya mereka merasa yakin untuk merampas Parlimen Batu dari Pakatan Rakyat dengan mengheret Tian Chua untuk disabitkan kesalahan yang boleh menggugurkannya sebagai ahli parlimen Batu, namun setelah UMNO BN tewas di Sibu, mereka sudah tidak berupaya untuk menanggung risiko dimalukan.

Apa tah lagi, di dalam PRU yang lalu Tian Chua memenangi kerusi Parlimen Batu dengan majoriti 9,455 mengalahkan calon BN, Lim Si Pin.

Di dalam negara dimana institusi kehakiman telah disundalkan seperti yang GB utarakan di atas, di dalam kes Tian Chua ini, hakim memberi alasan seperti seorang pengarah SPR lagaknya:

"Membiarkan beliau hilang kelayakan akan menyebabkan satu lagi pilihan raya kecil dan ini akan membabitkan dana yang besar."

Mengapa hakim pula yang berkata demikian? Soal kebenaran dan keadilan bukan soal dana kecil atau besar!

Jika berani, Tuan Hakim, silalah buat keputusan berpihak kepada UMNO BN supaya pilihanraya kecil di adakan. Kita tengok siapa yang bakal terkangkang.

GB menghina mahkamah? Tidak! Hakim-hakim yang telah menghina insntitusi kehakiman negara!

Anwar Bidas Kerajaan Cuba Alih Isu Kepada Soal Pengganas

Posted: 17 Jun 2010 05:46 AM PDT

Umno-BN Bangkit Tentang JI Alih Isu Apco, Tanah KTMB, Limbang, Lesen Judi

KUALA LUMPUR 17 Jun - Taktik kerajaan Umno-Barisan Nasional yang mengalih perhatian umum dengan memainkan isu Jemaah Islamiah merupakan satu strategi agar rakyat leka terhadap isu besar lain seperti penglibatan Apco Worldwide dalam soal keselamatan negara ini, tindakan menyerahkan tanah KTMB di Tanjung Pagar kepada Singapura dan juga beberapa rancangan pengambilan tanah serta soal lesen judi.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau kesal dengan tindakan tersebut dan menyifatkan kerajaan tidak serius dengan segala usul di bawa oleh Pakatan Rakyat berhubung soal keselamatan dan maruah negara.

"Kita lihat kerajaan sekarang sedang melakukan usaha mengalih perhatian umum kepada isu yang telah dikeluarkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkenaan dengan isu JI.

"Umno-BN cuba mengalihkan isu yang telah kita dedahkan dulu berkaitan dengan penglibatan Apco, lesen judi mahupun penyerahan aset negara kepada negara luar dan juga soal pengambilan tanah daripada terus menjadi perhatian umum. Sehingga sekarang perkara tersebut tidak pernah diambil perhatian oleh kerajaan untuk diambil tindakan. Bagi menutup isu tersebut kerajaan menggunakan isu yang baru tentang pergerakan yang berada di negara ini selain bertindak menakut-nakutkan rakyat.

"Kita juga berpendirian sikap pelampau tidak boleh dibiarkan dan diambil tindakan tegas, tetapi isu yang besar itu janganlah dibiarkan perlu diselesaikan segera bukan dengan menggunakan cara mengalihkan pandangan rakyat. Kita tidak bolehterima dengan cara ugutan dan menakutkan rakyat sehingga memberitahu polis akan memantau pelajar-pelajar yang hadir mendengar ceramah.

"Ini satu tindakan yang tidak betul dan sukar untuk kita terima kenapa kerajaan perlu mengambil sikap sedemikian, selesaikan dulu isu yang telah kita bentangkan di dalam parlimen," tegas Anwar pada sidang media di lobi parlimen tengahari tadi.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu juga menambah kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Negara sepatutnya diselesaikan oleh pihak polis bukannya membuat pendedahan kepada media seumpama mencari populariti.

"Isu JI sepatutnya pihak polis mengambil tindakan bukannya membuat pendedahan tanpa tindakan, saya melihat sikap Musa Hassan adalah umpama mencari populariti ataupun menarik perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar kontraknya yang dijangka berakhir pada September tahun ini disambung.

"Kita mahu kerajaan tegas dalam soal yang telah di bentangkan di parlimen bukan mengalih perhatian, apa yang telah didedahkan melibatkan soal keselamatan negara terutamanya soal Apco yang secara jelas terdapat penglibatan perisik Israel, ini belum lagi kes penyerahan aset negara seperti tanah dan blok minyak kepada negara luar," katanya lagi.

Anwar juga berharap fokus perlu ditumpukan kepada soal keselamatan sementara soal JI perlu diselesaikan oleh pihak polis dan bukan menggunakan cara pendedahan awam tentang kumpulan tersebut agar rakyat berasa takut dengan situasi yang berlaku di dalam negara ini.

Sebelum itu kenyataan yang dikeluarkan oleh Musa pada 14 Jun lalu menyatakan kumpulan JI sedang berusaha untuk menghidupkan kembali perjuangan mereka.

Selain itu beliau menambah kumpulan terbabit merekrut pelajar universiti dan remaja tempatan untuk berjihad di luar negara.

Dalam kenyataan yang sana, Musa juga berkata pemantauan akan dilakukan ke atas pelajar yang mengikuti sebarang ceramah atas faktor keselamatan negara. -SK


Pengganas: K'jaan cuba alih tumpuan rakyat

Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas kerajaan hari ini kerana cuba mengalihkan tumpuan rakyat daripada isu-isu nasional kepada kononnya kegiatan pengganas di negara ini pada tahap membimbangkan.

Katanya, kerajaan Barisan Nasional dan Umno cuba mengalihkan tumpuan rakyat daripada isu-isu seperti judi sukan, pembabitan Israel melalui firma antarabangsa Apco Worldwide dan pemberian tanah-tanah utama di Kuala Lumpur kepada sektor swasta.

"Tindakan pengganas tidak boleh dipertahankan dalam apa cara sekalipun tetapi mereka mesti matuhi undang-undang," kata Anwar.

"Di mana bukti bahawa terdapat kegiatan pengganas? Jika ancaman sebegitu mengugatkan mengapa suspek berkenaan diekstradisi tanpa didakwa?" soalnya.

Anwar berkata demikian ketika ditemui pemberita di luar Dewan Rakyat hari ini. Beliau mengulas perhatian serius yang diberikan kerajaan Malaysia kepada fenomena keganasan antarabangsa seperti serangan Israel keatas flotilla keamanan ke Gaza.

"Dalam beberapa minggu ini nampak peningkatan ada propaganda baru tentang ancaman terlampau, kemudian hendak tegakkan negara Islam. Saya tengok ini adalah satu percubaan Umno BN kerajaan untuk mengalih pandangan isu lesen judi, isu Apco dan penyerahan tanah-tanah aset terpenting negara seperti di Wilayah Persekutuan, Sungai Buloh, Sungai Besi, Tanah Keretapi, Sentul, Pudu dan juga diserahkan kepada syarikat swasta dalam masa singkat," katanya.

"Sebab itu kita hendak bagi tahu rakyat jangan terpedaya dengan cubaan Umno BN mengalih pandangan daripada isu besar dalam negara. Kemudian untuk menakutkan rakyat menimbulkan ketegangan baru. Ini peringatan kita supaya kerajaan kalau benar, mesti bentang perkara ini di parlimen, supaya kita dapat tengok buktinya kalau ada, dan kalau ada wajar disokong," katanya.-MK


Video VK Lingam Dedah Konspirasi Hakim, Apa Tindakan RTM?

Posted: 17 Jun 2010 05:30 AM PDT

Anwar Cabar RTM Apa Tindakan Terhadap Video VK Lingam Sebelum Dedah Video Lompat Parti

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak seorang wartawan radio daripada RTM supaya tutup mulut dan bersikap profesional apabila petugas stesen televisyen kerajaan Umno-BN itu menekan Anwar mengenai video skandal lompat parti yang didedahkan beberapa minggu lalu.

Wartawan yang hanya dikenali dengan Tukimin itu mendesak Anwar memberi tarikh yang tepat bila beliau membuat pendedahan berkaitan video skandal lompat parti yang melibatkan ahli parlimen Bebas yang membabitkan sogokan RM2 juta serta imbuhan kontrak.

Anwar dengan nada yang tegas mengarahkan Tukimin diam serta bersikap profesional selain bertanya apa akan dilakukan bila video itu didedahkan dan apa yang telah berlaku kepada video konspirasi melantik hakim yang melibatkan peguam VK Lingam sebelum ini.

"Kamu dari media mana (RTM), jelas sikap Umno itu belum jadi menteri kamu sudah bersikap sedemikian. Sudah habiskah soalan kamu nak tanya. Ok kamu boleh diam dan jawab apa yang saya ingin katakan ini.

"Kamu balik tanya kepada menteri kamu apa yang sudah terjadi dengan pendedahan yang saya lakukan dulu berkenaan kes VK Lingam, selepas itu beritahu saya. Saya akan dedahkan video skandal sogokan RM2 juta, kemudian tanya apa tindakan yang menteri kamu akan ambil.

"Saya berkomunikasi dengan Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Warisan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim lebih beretika dan jauh lebih beradab daripada kamu. Apa yang saya katakan tunggu masa yang sesuai untuk saya dedahkan dan tak perlu saya nyata bila, kamu tidak perlu mendesak saya kerana itu hak saya untuk menyatakan bila saya dedahkan. Saya nasihatkan kamu supaya lebih beretika dan profesional," tegas Anwar pada sidang media di lobi parlimen tengahri tadi.

Disebabkan tidak puashati dengan nasihat dan sanggahan Anwar, wartawan terbabit meninggalkan sidang media tersebut selain memperkecilkan nasihat Anwar.

Menurut beberapa petugas media yang mmebuat liputan sidang parlimen, sikap Tukimin yang dipercayai berasal dari Sabah amat cenderung kepada Umno-Barisan Nasional sekali gus merosakkan kredibiliti beliau sebagai seorang wartawan.

"Elok kalau beliau masuk Umno sahaja dan tidak bekerja sebagai wartawan upahan Umno. Sikap ini menjijikan kami golongan media yang mahu bersikap profesional sebaik mungkin," kata seorang pengarang media cetak.

Sementara itu Anwar berkata beliau akan membuat pendedahan itu pada masa yang sesuai.

"Saya menyahut cabaran Zahrain tetapi tunggu masa yang sesuai untuk saya dedahkan, apa yang saya mahu tahu apa tindakan yang kerajaan akan ambil bila pendedahan itu dilakukan.

"Saya yang akan menentukan bila video RM2 juta itu akan didedakan bukannya media pro-Umno, RTM tidak pernah profesional dalam memdedahkan kepincangan para pemimpin Umno-Barisan Nasional dalam mentadbir negara. Tindakan yang dilakukan oleh wartawan RTM itu bersifat provokasi dan tidak harus dilayan," katanya lagi. -SK

Tiada ulasan: