Selasa, 22 Jun 2010

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Rombakan PKR mampu tarik lebih pengundi Melayu

Posted: 22 Jun 2010 02:12 AM PDT


Zaiddd Syed Jaymal Zahiid


KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) dijangka membuat rombakan dalam usaha untuk menarik lebih ramai lagi pengundi Melayu, hujung minggu ini.

Rombakan itu akan dilakukan semasa perjumpaan parti di Quality Hotel Shah Alam.
Menurut sumber dalaman parti, jawatan ketua perhubungan negeri dan kedudukan dalam biro komunikasi akan digantikan.

Besar kemungkinan juga 30 peratus jawatan ahli majlis PKR dalam negeri Pakatan Rakyat akan dirombak, katanya.

Rombakan itu merupakan sebahagian daripada usaha PKR untuk menggantikan ahli majlis yang gagal mempamerkan pretasi baik, berdasarkan beberapa aduan yang diterima terutama di Selangor.

Selain itu, dapat dilihat juga persaingan sengit usaha melobi dalam PKR untuk mengekalkan sokongan.

FMT difahamkan, beberapa sumber dalaman PKR juga memaklumkan bahawa Ahli Majliscua-jui Pimpinan Tertingginya Datuk Zaid Ibrahim dan Datuk Dr Chua Jui Meng akan diberikan peranan penting dalam parti itu.

FMT juga difahamkan jawatan Pengarah Biro Komunikasi yang kini disandang Jonson Chong dan Ketua Biro Penerangan Latheefa Koya akan turut bertukar.

Jawatan Chong dijangka digantikan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad.

Spekulasi kini timbul mengenai Nik Nazmi yang dikatakan telah pun melepaskan jawatannya sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.

Nik Nazmi, bagaimanapun masih berdiam diri dan tidak mengesahkan mengenai desas-desus itu.

Walau apa pun spekulasi timbul, sumber dalaman PKR itu berkata rombakan ini merupakan salah satu usaha parti untuk menambah lebih ramai lagi majoriti pengundi Melayu.

PKR kini masih lagi berusaha untuk memancing pengundi Melayu di kawasan bandar kerana Ketua Umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini turut mengakui matlamat untuk Pakatan Rakyat menawan Putrajaya terletak di tangan pengundi Melayu luar bandar.

PCM Sarawak sudah kenal pasti calon pilihanraya

Posted: 22 Jun 2010 02:07 AM PDT

FREE MALAYSIA TODAY

Gibreal SIBU: Parti Cinta Malaysia (PCM) cawangan Sarawak telah mengenalpasti calon yang akan mewakili parti itu dalam pilihanraya negeri akan datang.

Pengerusinya, Gabriel Adit Demong.berkata, PCM juga bercadang meletakan calon di 10 hingga 15 kawasan pada pilihan raya negeri.

Antara kerusi adalah Bukit Begunan, Balai Ringin, Sri Aman, Tamin, Kakus, Machan, Katibas, Balleh, Meluan, Belaga, Bekenu, Marudi dan Batu Danau, katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Gabriel juga mendakwa pemimpin Parti Rakyat Sarawak telah membantu memusnahkan bekas partinya Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS).

Ini bermakna, PCM juga akan meletakkan calon di Balleh untuk mencabar Presiden PRS Datuk Seri Dr James Jemut Masing, yang juga Menteri Pembangunan Tanah Negeri, yang dijangka mempertahankan kerusi DUN Balleh.

Guan Eng persoal Khazanah urus dana tapak warisan.

Posted: 22 Jun 2010 02:06 AM PDT


Guan eng Oleh Fazy Sahir


KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mempersoalkan tindakan Putrajaya menyerahkan dana bernilai RM20juta kepada Khazanah Nasional Berhad untuk membangunkan tapak warisan bersejarah di Pulau Pinang.

Lim menekankan isu tersebut ekoran kerajaan negeri Pulau Pinang tidak diberikan dana itu secara terus sedangkan Melaka diberikan RM30 juta untuk menguruskan tapak warisan.

"Kenapa beri dana kepada Khazanah untuk diuruskan? Ia merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dan itu bukanlah kemahiran mereka untuk menguruskan dana tersebut.

"Ini jelas merupakan diskriminasi dan ia menghukum kerajaan negeri," kata beliau yang juga ahli Parlimen Bagan dalam sidang media di lobi parlimen hari ini.

Menurut Lim, keenganan kerajaan untuk membenarkan Pulau Pinang mengakses dana sendiri kerana negeri itu diperintah oleh Pakatan Rakyat (PR) manakala Melaka dibawah Barisan Nasional (BN).

"Kerajaan tidak seharusnya berat sebelah mengenai hal ini. Ini berkaitan dengan warisan dan kita harus berbangga mengenainya. Kerajaan perlu memberi layanan yang adil apabila berhubung dengan hal warisan," katanya.

Tambah Lim, setakat ini Pulau Pinang membelanjakan RM3juta daripada RM20 juta peruntukan yang diberi Khazanah namun beliau tidak mendedahkan butir-butir lanjut mengenainya.

Dalam pada itu, perkara tersebut cuba ditekankan Lim ketika sesi soal jawab dalam dewan sebelum ini.

Namun pihak Kementerian Keewangan dalam jawapan balasnya mengatakan RM25juta peruntukan ditarik balik ke atas Pulau Pinang ekoran kerajaan membentuk pembangunan Khas tapak warisan bersejarah seperti yang dikehendaki oleh UNESCO.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Donald Lim berkata RM20juta itu ditarik balik kepada Khazanah untuk membangunkan bangunan warisan di Pulau Pinang.

"Adakah pihak menteri akan memberi jaminan bahawa kami juga akan dapat dana itu secara terus seperti Melaka? Kami tidak mahu situasi di mana satu negara tetapi wujud dua sistem yang mengendalikan hal ini," tanya Lim.

Hak asasi bergantung kepada pendekatan mahkamah

Posted: 22 Jun 2010 02:05 AM PDT


aOleh Jamilah Kamarudin


KUALA LUMPUR: Hak asasi manusia di Malaysia yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan didapati terlalu banyak bergantung kepada pendekatan dan sikap yang diambil melalui keputusan undang-undang di mahkamah.

Pensyarah Fakulti Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Profesor Dr Abdul Aziz Bari berkata, berbanding dengan negara seperti Amerika Syarikat dan negara lain di Eropah, perlembagaan di Malaysia tidak menyediakan apa-apa peruntukan instrumen mengenai hak asasi.

"Salah satu punca mengapa ini berlaku ialah kerana perlembagaan itu sendiri tidak menyebut dengan jelas ruang lingkup peruntukan hak asasi yang sedia ada," katanya ketika membentangkan kertas kerja Seminar Agama dan Hak Asasi Manusia anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia di sini hari ini.

Katanya, Malaysia begitu terikat dengan kedudukan perlembagaan yang menjadi undang-undang tertinggi sehingga mengatasi peruntukan hak dan undang-undang lain.

Mengambil contoh hak kebebasan Malaysia sebagai negara demokrasi, Abdul Aziz menegaskan, wujudnya beberapa pertindihan proses dalam doktrin pengasingan kuasa juga menyebabkan pengisytiharan mengenai hak asasi manusia termasuk hak kebebasan di negara ini tidak dapat dilaksanakan spenuhnya.

"Agak jelas bahawa perkembangan dan pelaksanaan hak asasi bergantung kepada sikap dan komitmen mahkamah.

"Ini kerana tidak mungkin untuk mengharapkan dewan perundangan (Dewan Rakyat) meminda peruntukan-peruntukan yang berkaitan bagi membuat penyesuaian.

"Selain lambat di sana mungkin ada hambatan prosedur yang tidak dapat diatasi mahupun dipenuhi," tegas beliau.

Bagaimanapun katanya, kewujudan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mampu memberi dimensi baru kepada wacana dan pelaksanaan hak asasi di Malaysia.

Ini kerana selain memberi pendidikan mengenai hak asasi, badan berkenaan juga diberi kuasa untuk membuat cadangan kepada kerajaan mengenai instrumen antarabangsa yang boleh diterima pakai di negara ini.

"Kewujudan pelbagao pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Suaram dan Sister In Islam (SIS) juga dilihat mampu memberi kesan kepada wacana mempertahankan falsafah hak asasi yang dominan secara global," katanya.

MEB bakal ulangi kegagalan zaman Mahathir

Posted: 22 Jun 2010 01:52 AM PDT

Neo Chee Hua


Di Malaysia, kos melebihi anggaran adalah sesuatu yang lumrah, terutamanya projek-projek besar yang melibatkan kerajaan. Kontraktor tempatan, terutamanya GLC (syarikat milik kerajaan) sering berdepan dengan keadaan kos berlebihan.

Namun demikian, mungkin Sime Darby telah biasa berurusan dengan kerajaan yang sanggup menanggung kos berlebihan, sehingga terlupa bahawa pelanggan-pelanggan asingnya bukan kerajaan Malaysia. Mereka tidak akan membiayai kos berlebihan ini. Akhirnya, Sime Darby terpaksa menanggung kos berlebihan itu sendiri.

Sime Darby yang mengalami kerugian ini menaruh harapan agar kerajaan akan menanggung kos berlebihan dalam projek Empangan Bakun, supaya tekanan kewangannya akan diringankan. Akhbar The Edge melaporkan bahawa Sime Darby, kontraktor utama projek Empangan Bakun pernah meminta kerajaan membiayai kos berlebihan sebanyak RM700 juta, malah meminta kerajaan supaya mengecualikan segala kerugian yang perlu ditanggung oleh syarikat tersebut.

Sarawak Hidro Sdn Bhd di bawah Kementerian Kewangan merupakan pemilik Empangan Bakun. Disebabkan penangguhan projek, Sarawak Hidro Sdn Bhd berhak meminta ganti rugi dari pihak kontraktor, iaitu Sime Darby yang berjumlah 20% daripada kos modal asal. Selain itu, menurut perjanjian, Sarawak Hidro Sdn Bhd juga berhak meminta Sime Darby membiayai pampasan untuk bahagian elektronik dan kejenteraan.

Sejarah berulang

Jikalau diimbas kembali sejarah Malaysia, Sime Darby bukanlah kes pertama. Penswastaan (privatisation) dan pensyarikatan Malaysia (Malaysia Incorporated) yang disarankan oleh bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad telah melahirkan banyak syarikat atau badan korporat milik kerajaan.

Namun, kebanyakan syarikat ini bukan sahaja tidak berupaya untuk mencapai matlamat asal (termasuk meringgankan beban kerajaan, "menguruskan" sektor awam, meningkatkan efisiensi dan daya saing, meningkatkan kedudukan ekonomi bumiputera dan sebagainya), sebaliknya mengundang kerugian yang besar. Kerajaan terpaksa menyelamatkan (Bailout) syarikat milik kerajaan yang "terlalu besar untuk runtuh" atau "sebagai lambang kekuatan ekonomi kaum bumiputera".

Antaranya, Renong Berhad yang ditimpa krisis pada ketika kemelut Kewangan Asia 1997/98 merupakan satu pengajaran yang baik. Jika dibuat perbandingan, kita akan mendapati banyak persamaan antara Sime Darby dengan Renong Berhad.

Renong Berhad merupakan sayap pelaburan UMNO pada zaman Mahathir, dan merupakan badan korporat yang paling berpengaruh di Malaysia. Perusahaannya merentasi pelbagai bidang, termasuk infrastruktur asas, petroleum dan gas asli, perhotelan, pembankan, hartanah, kesihatan, pengangkutan awam, telekomunikasi, media dan sebagainya. Syarikat GLC yang dikawal secara langsung atau tidak langsung termasuklah UEM Group Berhad (UEM, 37.1%), Bumiputra-Commerce Group (sekarang dikenali sebagai CIMB, 18.3%), Faber Group Berhad (Faber, 60%), Time Engineering Berhad (Time Eng, 46.8%), Park May (50.1%), PLUS, PUTRA LRT, CIMA dan lain-lain lagi.

Namun, Krisis Kewangan Asia dengan mudah memusnahkan Renong Berhad, mendedahkan faktor-faktor kegagalan badan korporat yang berkelihatan kukuh di luar tetapi sebenarnya rapuh di dalam - kerenah birokrasi, struktur operasi yang kurang telus, dan campur tangan parti politik. Kesemua ini menyebabkan penyelewengan dalam pentadbiran, kronisme, rasuah yang semakin berleluasa.

Lebih-lebih lagi, bank-bank berkaitan kerajaan menawarkan pinjaman kewangan berfaedah rendah tanpa batasan, menjurus kepada masalah moral, dan seterusnya menjadikan badan korporat besar itu sering berhutang untuk memperluaskan projek-projek yang kurang praktikal (kebanyakannya berorientasikan politik dan bukan keuntungan). Akhirnya, Renong Berhad terjerat ke dalam krisis muflis lantaran daripada kemelut ekonomi dan penyekatan dalam pinjaman bank.

RM20 bilion untuk selamatkan Renong Berhad

Laporan penyelidikan terhadap kes Renong Berhad dan anak syarikatnya, UEM yang dijalankan oleh Bank Pembangunan Asia (Asian Development Bank) menunjukkan bahawa Renong Berhad dan UEM sebelum rombakan telah menanggung hutang sebanyak RM20 bilion, dianggarkan mencakupi 5% daripada pinjaman dalam sistem pembankan Malaysia. Hutang yang besar ini dipinjam dari bank-bank pelaburan asing dan pemiutang asing.

Akhirnya, kerajaan Mahathir (gambar kiri) telah menubuhkan Jawatankuasa Penstrukturan Semula Hutang Korporat (Corporate Debt Restructuring Committee) menerusi Bank Negara untuk menyelamatkan kedua-dua badan korporat yang hampir bankrap. Tindakan yang diambil termasuk memberikan khidmat nasihat kepada pemiutang kedua-dua badan korporat ini dalam penyelesaian hutang, untuk mengelakkan aset badan-badan korporat tersebut dijual dengan harga yang rendah, dan memberi impak yang besar kepada sistem pembankan.

Antaranya, hutang dengan jaminan dan tanpa jaminan yang ditanggung Renong Berhad dalam penyelesaian ini masing-masing mencatat RM2.545 bilion dan RM3.16 bilion. UEM pula mencatat RM2.962 bilion dan RM179 juta masing-masing. Jumlah hutang keseluruhan kedua-dua syarikat ini adalah RM8.846 bilion.

Dalam penyelesaian hutang ini, kerajaan Mahathir telah menggadaikan syarikat konsesi lebuhraya yang paling bernilai, iaitu PLUS Expressways Berhad. Menerusi jualan bon, PLUS memperolehi modal untuk menanggung 50% daripada hutang pemiutang. 50% hutang yang lain dijelaskan secara tunai. Antaranya, Renong Berhad memperolehi RM5.4 bilion daripada PLUS, dan PLUS juga meminjamkan tunai sebanyak RM2.96 bilion untuk membantu UEM menjelaskan hutangnya (kecuali hutang tanpa jaminan yang bernilai RM179 juta).

Rancangan penstrukturan semula hutang Renong Berhad sebanyak RM13 bilion ini berjalan perlahan, maka kerajaan akhirnya mengambil alih UEM menerusi Khazanah Nasional, sayap pelaburannya dengan RM3.8 bilion. Dengan ini, kerajaan dapat mengawal Renong Berhad dan menyelesaikan krisis hutang badan korporat ini dengan lebih pantas.

"Selamatkan GLC" berulang

Selain daripada Renong Berhad, kerajaan Malaysia juga berusaha untuk menyelamatkan syarikat GLC dalam rantaian industri otomobil dan jaringan bekalan tenaga. Usaha ini menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung beban yang besar. Antaranya, tekad kerajaan Mahathir untuk membina rangkaian industri otomobil (pembekal aksesori otomotif) menerusi promosi kereta Proton pada tahun 1985, seterusnya melahirkan usahawan dan kelas pertengahan bumiputera.
Exclusive FIFA merchandise only at Giant! Rollover to view!

Namun demikian, untuk menyokong and menyelamatkan industri otomobil Proton, kerajaan telah menggunakan dana Petronas sebanyak RM1 billion pada tahun 2000 untuk mengambi alih Proton yang mengalami kerugian besar, di samping meluluskan dasar perlindungan jangka masa panjang (termasuk subsidi dan cukai import).

Perlindungan terhadap Proton menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kerugian yang besar (termasuk bayaran ganti rugi berikutan kelewatan untuk membuka pasaran otomobil dalam negara di bawah Perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN). Namun demikian, jualan kereta Proton semakin merosot, menyebabkan ramai pembekal dan penghasil aksesori otomotif yang bergantung kepada Proton terpaksa mencari jalan baru dengan mengalih perusahaan mereka ke sektor lain.

Selain itu, kerajaan Mahathir berusaha membentuk satu rangkaian pembekalan tenaga menerusi penswastaan Tenaga Nasional dan Independent Power Producer (IPP). Namun demikian, beberapa tahun kebelakangan ini, pembiayaan subsidi tenaga melalui Petronas kepada Tenaga Nasional, dan perjanjian konsesi yang tidak rasional untuk menjamin keuntungan Tenaga Nasional dan IPP telah menyebabkan penjanaan tenaga elektrik yang berlebihan sebanyak 40%.

Setelah menyaksikan kegagalan GLC yang "besar itu indah", dari Renong Berhad, Proton, Tenaga Nasional sehinggalah Sime Darby, Perdana Menteri Najib Abdul Razak tetap ghairah dengan "besar itu indah", membentuk syarikat-syarikat besar tersenarai untuk menarik pelaburan asing. Beliau telah mengabaikan faktor-faktor kegagalan syarikat GLC. Isu Sime Darby hanyalah detik permulaan, rancangan penswastaan dan pensyarikatan Malaysia yang dijalankan di bawah Model Ekonomi Baru (MEB) kerajaan Najib bakal mengulangi jejak kegagalan kerajaan Mahathir. (Bahagian kedua, tamat)


*Neo Chee Hua ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Analisa asal dalam edisi bahasa Cina disiarkan pada 8 Jun 2010. Terjemahan oleh copyleftstudio.com, disunting oleh Lim Hong Siang.

Tian Chua mungkin buat rayuan

Posted: 22 Jun 2010 01:51 AM PDT

Oleh Clara Chooi


Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua membuat pusingan 'U' dengan mengumumkan pendirian terbaru bahawa kemungkinan akan membuat rayuan peringkat kedua berhubung keputusan mahkamah Khamis lalu.

Chua membuat pengumuman itu lebih 10 jam selepas pertemuan beliau bersama peguam-peguamnya berakhir dengan keputusan hakim mengekalkan penghakiman denda RM2,000 atau penjara dua bulan.

Bagaimanapun Chua berkata, sekiranya beliau membuat rayuan ia hanya bertujuan untuk membuktikannya tidak bersalah, bukannya untuk meleraikan pertikaian kesahihan status sebagai Ahli Parlimen.

Pertikaian tentang status beliau yang bermula Khamis berterusan hari ini.

Beliau mempunyai 14 hari untuk membuat rayuan. Selain beliau, pihak pendakwa juga mempunyai hak untuk membuat rayuan.

Pada sidang media lewat malam ini di bangunan Parlimen, Chua menegaskan, beliau masih seorang Ahli Parlimen Batu yang sah.

"Bagaimanapun saya masih mempertahankan, meskipun tidak dilucutkan kelayakan, bahawa ia adalah penghakiman tidak adil kerana saya tidak melakukan apa-apa kesalahan," kata beliau.

Wakil rakyat penggal pertama itu memberitahu isunya bukan status beliau sebagai Ahli Parlimen tetapi Mahkamah Tinggi tidak melihat pada bukti bahawa beliau tidak menggigit sebagaiman didakwa.

Sambil mengulangi dirinya tidak bersalah, Chua berkata: "Saya tidak melakukan apa-apa jenayah."

"Saya akan menunggu nasihat peguam saya dalam isu ini... bukannya berhubung status saya sebagai Ahli Parlimen, tetapi berhubung aspek yang saya tidak bersalah," katanya.

"Tidak timbul isu berhubung status saya sebagai Ahli Parlimen sebab tiada ancaman bahawa kerusi saya telah diisytiharkan kosong," katanya.

Berhubung pendirian Pengerusi DAP Karpal Singh bahawa beliau harus dilucutkan kerusinya, Chua berkata, beliau memahami pendirian peguam veteran itu yang membangkitkan isu undang-undang.

"Saya memahami apa yang Karpal lakukan. Hakikatnya beliau menekankan bahawa selagi adanya undang-undang yang tidak adil, kami akan terus menjadi mangsa undang-undang sedemikian," katanya.

Chua menambah, sama ada RM2,000 atau RM2,500 bukan satu denda yang munasabah dalam kes-kes sedemikian untuk melucutkan kelayakan seseorang wakil rakyat.

"Undang-undang ini tidak harus wujud sama sekali," kata beliau sambil menambah, undang-undang sedemikian tidak harus merangkumi mereka yang terlibat dalam aktiviti seperti perhimpunan aman atau mereka yang bercakap demi kepentingan orang ramai.

"Ahli-ahli Parlimen harus menikmati imuniti dalam menjalankan tugas mereka sebagai suara rakyat," katanya.

Chua membuat pendirian itu beberapa jam selepas Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata wakil rakyat dari PKR ini kekal sebagai Ahli Parlimen sehingga satu usul menentukan status kelayakannya diputuskan oleh Dewan Rakyat.

Bagaimanapun menurut Pandikar, usul itu hanya akan dibawa selepas Chua menggunakan kesemua ruang yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.

Karpal terus menegaskan, Chua seharusnya dilucutkan kelayakan sebagai wakil rakyat sambil meminta Speaker agar mengisytiharkan kerusi tersebut sebagai sudah kosong.

Pagi tadi Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ghazali Cha mengekalkan hukuman denda RM2,000 atau penjara dua bulan terhadap Chua bertujuan supaya tiada pilihan raya kecil diadakan.

Keputusan itu dicapai dalam kamar hari ini.

Hakim itu juga menyatakan beliau tidak boleh mengubah keputusannya yang dibuat pada Khamis lepas, menurut Ranjit Singh yang mewakili Chua yang nama sebenarnya Chua Tian Chang.

"Tidak ada apa-apa perubahan. Hakim tidak bertujuan pilihan raya kecil diadakan, dan kes itu kini adalah functus officio (tiada had kuasa)," kata Ranjit.

Ghazali mengetepikan hukuman penjara enam bulan dan denda RM3,000 terhadap Chua oleh Mahkamah Majistret kerana mencederakan anggota polis pada 2007 dan mengantikannya denda RM2,000 atau dua bulan penjara.

Ketika menyampaikan keputusannya, Ghazali berkata seandainya hukuman yang dikenakan boleh menjadikan Chua tidak layak menjadi seorang anggota Parlimen, satu pilihan raya kecil terpaksa diadakan.

"Seperti yang diketahui pilihan raya kecil ini memerlukan perbelanjaan yang besar dan memberi kesan kepada keseluruhan rakyat negara ini begitu juga kesejahteraan dan keharmonian di antara pelbagai bangsa.

"Atas alasan ini saya berpendapat suatu hukuman yang setimpal yang tidak melibatkan banyak pihak adalah merupakan suatu hukuman yang adil," katanya dalam penghakiman.

Susulan itu, Karpal berkata perlu mengosongkan kerusinya mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa seseorang anggota Parlimen hilang kelayakan jika beliau disabitkan oleh mahkamah dan dihukum penjara tidak kurang setahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000 dan beliau tidak mendapat pengampunan.

Sebagai contoh, pada 1975, katanya anggota Parlimen DAP Fan Yew Teng terpaksa mengosongkan kerusi Parlimen Menglembu setelah beliau dihukum penjara enam bulan dan didenda RM2,000 kerana disabitkan kesalahan mengikut Akta Hasutan.

Mengikut Perkara 53 perlembagaan itu, seseorang anggota Parlimen akan hilang kelayakan serta-merta jika beliau tidak merayu mengenai keputusan mahkamah dalam tempoh 14 hari

Sekutu APCO Memelihara Katak, Sekarang mencari Ular Dalam Semak Pula

Posted: 22 Jun 2010 01:48 AM PDT

Oleh: WFAUZDIN NS


MUSIM untuk `shopping' MP-MP dari PR telah berakhir atau mungkin ke penghujungnya. Kini, `Shopping' terarah kepada para `alim ulamak' yang bersikap seperti `ular dalam semak'. Ular dalam semak seperti ini adalah juga `Syaitan bisu' yang digambarkan di dalam kitab yang mana mereka itu arif tentang agama tetapi bisu tatkala berdepan dengan penguasa.

Setelah mereka menyedari bahawa tidak berbaloi wang jutaan ringgit dibelanjakan untuk `membeli' spesis katak yang kini ada beberapa ekor, mereka terpaksa beralih arah kepada mereka yang sering memakai `kopiah putih' atau `bersongkok hitam' serta memegang sijil/ijazah tinggi di dalam bidang agama. Sehingga ke tahap Phd mereka akan cuba pikat dengan umpannya sudah pastilah untuk menyelamatkan umat Melayu dan Islam.

Kaedah itu sudah kita jangka kerana memang menjadi stail sekutu Apco ini akan melakukan apa jua agar cita-cita mereka tercapai. Cuma, mereka yang bijak dan pintar sahaja boleh membaca gerak tari sekutu Apco ini. Alim di dalam bidang ugama bukan bererti bebas dari godaan Syaitan.

Justeru itu, kita akan lihat nanti benarkah `shopping' ke atas ular dalam semak ini nanti berjaya mencapai ke tahap 100 orang atau mungkin lebih. Di saat kita dihidangkan di depan mata segala macam salah laku dan maksiat Penguasa, tidak terfikir oleh kita golongan agama ini terpedaya dengan tipu muslihat sekutu Apco. Memang benar, golongan Yahudi itu tidak kuat dan segagah mana tetapi mereka tersangat pintar untuk menipu. Jika tidak, masakan mereka masih menungkat langit di tanah umat Islam di Palestine.

Apa yang hendak dikisahkan jika ular dalam semak ini akan merayap ke dalam kem sekutu Apco. Bukankah sebelum ini mereka banyak membisu terhadap pemerintah? Kita tidak boleh melarang mereka untuk menjadi ular, kita hanya boleh mengingatkan sahaja. Kini, di pihak mereka sudah ada spesis `katak' dan tidak lama lagi ada pula spesis `ular'. Kita tunggu sahaja./wfauzdin.blogspot.com

Menangani tingkah laku seksual remaja

Posted: 22 Jun 2010 01:40 AM PDT

Oleh DR. KHAIDZIR ISMAIL

SALAH satu aspek yang paling ditekankan dalam al-Quran adalah aspek memperkasakan dan memperbaiki akhlak manusia sehingga al-Quran itu dijadikan pertunjuk dan rujukan yang paling baik dan Rasulullah SAW sebagai contoh ikutan yang terbaik akhlaknya.

Akhlak yang baik merupakan tonggak dalam kesejahteraan masyarakat. Kejatuhan satu-satu bangsa itu adalah kerana keruntuhan akhlak ahli-ahlinya.

Sekiranya anak-anak muda kita dan para remaja sudah mula menunjukkan ketidakmenjadian akhlaknya maka kita perlu risau dan sesuatu mesti dilakukan segera.

Mengikut Imam Ghazali dalam Ihya' Ulum ad-Din, sesungguhnya semua sifat tertanam dalam lubuk hati. Namun, pengaruh yang ditimbulkannya akan terlihat dengan jelas pada anggota tubuh. Kerananya, seseorang tidak bergerak melainkan sesuai dengan sifat (dalam hatinya).

Dengan kata lain segala perilaku individu itu selaras dengan watak dalaman seperti hubungan antara sebatang dahan dengan akar yang tertanam dalam tanah.

Kesolehan perbuatan seseorang itu berkait erat dengan kebaikan akhlaknya. Justeru, untuk memperbaiki ketidakmenjadian remaja kini adalah dengan membimbing akhlaknya dengan ajaran al-Quran dan sunnah Rasulullah.

Seperti sebelum datangnya Islam, akhlak rata-rata manusia yang hidup zaman itu berada dalam kejahilan sehingga manusia sanggup menanam bayi perempuan hidup-hidup, minum arak dalam tengkorak, melakukan tawaf dalam keadaan bogel.

Apabila Nabi diutuskan maka hati-hati yang keras dan kosong itu dididik dengan Islam. Maka manusia mampu menjadi yang terbaik dan digeruni bukan sahaja di kalangan manusia tetapi juga iblis dan syaitan dan nama-nama mereka telah dijanjikan syurga Allah.

Manusia kini berada dalam abad yang termaju dengan kecanggihan teknologi dan pengetahuan tetapi tingkah laku mereka tidak menunjukkan peradaban yang maju dan tidak selari dengan kemajuan.

Ini apabila perbuatan keji seperti perzinaan dan arak menjadi agenda biasa dalam masyarakat dan ciri-ciri zaman jahiliah ini biasa dilaporkan dalam media dan kehidupan masyarakat dunia.

Daripada Anas bin Malik, Nabi SAW bersabda: ...Di antara tanda-tanda (datangnya) hari kiamat adalah, ilmu pengetahuan diangkat, kebodohan, arak dan perzinaan berleluasa. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Selain itu penglibatan diri generasi muda dengan tingkah laku berisiko tinggi seperti dadah, seks bebas atau penyalahgunaan dadah akan membawa kepada virus HIV yang kemudiannya membawa kepada Aids.

Kesan Aids akan kelihatan selepas 10 tahun. Ia akan membawa kepada kesengsaraan dan kematian, berseronok hari ini sengsara kelak seperti kata-kata, ...the epidemic of Aids will continue, and the spiral of early death will remain. Therefore, act we must, lest suffer. Be warned, as today's amusement is tomorrow's embarrassment. (Khaidzir Ismail, 1997)

Dalam sudut pandang psikologi, zaman peralihan remaja yang penuh cabaran terutamanya perubahan fisiologikalnya yang amat pantas tetapi pencapaian kematangan tidak seiring seperti aspek fizikal. Hormon yang mana setengah individu remaja tidak dapat mengawalnya dengan bijak sehingga boleh menyumbang kepada keputusan dan tindakan yang kurang matang.

Dengan pendedahan awal kepada yang boleh merangsang hormon remaja seperti mula dengan bahan-bahan lucah yang mudah diperolehi. Kemudian melakukannya tanpa segan dan malu bersama rakan sebaya.

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Malik dalam kitab al-Muwatta', Nabi SAW bersabda..Sesungguhnya setiap agama mempunyai akhlak dan akhlak Islam adalah malu.U/M

Komisyen 100 Juta Euro Diselindungi Sebagai Latihan Kapal Selam Scorpene?

Posted: 22 Jun 2010 01:36 AM PDT

KELAB GREENBOC

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua mempersoalkan tindakan Kementerian Pertahanan membelanjakan 100 juta euro yang didakwa kos latihan kepada 500 anggota Tentera Laut Diraja Malaysia.

"Saya ingin tahu 500 anggota ini dilatih untuk apa? Adakah untuk menyelenggara atau mengendalikan kapal selam Scorpene sedangkan menurut spesifikasinya ianya hanya memerlukan 20 orang untuk mengendalikannya.

"Jumlah tersebut tidak munasabah dan kita juga ingin tahu di mana dan mengapa dan yang begitu besar perlu untuk tujuan latihan itu?," soal Tian Chua.

Kata Tian Chua lagi, pada pandangannya 100 juta euro itu sebenarnya kemungkinan besar adalah komisen yang telah dibayar kepada pihak terbabit termasuk bayaran kepada ahli politik di Perancis yang terlibat dalam proses jual beli kapal selam tersebut.

"Kes kapal selam ini sekarang di bawah siasatan pendakwaraya Perancis dan kita juga dimaklumkan oleh pihak Perancis tiga minggu yang lalu, satu tindakan tergempar merampas dokumen mengenai kapal selam Scorpene ini daripada pengilangnya, DCN di Paris," tegas beliau.

Tambah Tian Chua lagi, kertas siasatan tersebut telah dibuka dan dimulakan dan beliau berharap kerajaan Umno-Barisan Nasional telus untuk menjawab isu ini dan bagaimana wang itu diagihkan sebagai komisyen.

Isu JI Ditimbulkan Untuk Alih Perhatian Rakyat

Posted: 22 Jun 2010 01:33 AM PDT

KELAB GREENBOC

JI: Pakatan Rakyat Desak Hishammuddin, Musa Kemuka Bukti Kukuh

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen PAS hari ini mendesak Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan juga Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengemukakan semua bukti kukuh berhubung dakwaan pembabitan pengganas Jemaah Islamiah (JI) dengan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) di negara ini.

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub berkata beliau mengetahui satu taklimat telah diadakan tentang isu pengganas kepada institusi pengajian tinggi.

"Saya mengetahui terdapat satu taklimat di adakan tentang isu pengganas kepada institusi pengajian tinggi, apa yang ingin saya katakan tidak ada sebarang bukti kukuh diberikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi tentang penglibatan JI ini bersama pelajar-pelajar IPT.

"Isu yang cuba digambarkan adalah satu persepsi yang cuba dikukuhkan tentang berlaku dan wujudnya keganasan yang ada di dalam negara ini tentang penglibatan IPT.

"Kita kesal dengan tuduhan yang dilemparkan oleh Ketua Polis Negara dan juga Kementerian Dalam Negeri tanpa usul periksa ataupun bukti kukuh. Kerajaan perlu mengambil serius terhadap tuduhan tersebut.

"Saya berharap pihak yang membuat tuduhan itu mengeluarkan satu kenyataan rasmi mengenai tuduhan tersebut kerana ini melibatkan imej IPT dan juga negara ini. Bagi saya ini amat serius dan tidak boleh diambil mudah kerana tuduhan menggunakan IPT sebagai tempat penambahan ahli JI adalah satu yang tidak wajar, kalau betul kenyataan tersebut laporan perlu dikeluarkan di parlimen agar semua rakyat tahu dakwaan yang dikeluarkan itu.

"Kita tidak mahu dalam menutup kesilapan yang dilakukan ini, akan terdapat individu yang menjadi kambing hitam kepada pihak tertentu dalam mengesahkan dakwaan yang dikeluarkan itu," tegas beliau pada sidang media di lobi parlimen pagi tadi.

Beliau juga mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir di parlimen untuk menjelaskan dakwaan tersebut.

Beliau juga mendesak Hishammuddin supaya jangan membisu kerana jika menteri gagal mengemukakan bukti, beliau sendiri akan mendedahkan segala maklumat berkaitan dengan taklimat itu di dalam Dewan Rakyat.

"Kita tidak mahu ini adalah salah satu agenda global hasil pertemuan antara Perdana Menteri dengan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama. Dalam usaha untuk mengalihkan isu penglibatan Apco ataupun isu serantau menyebabkan masalah JI ini diketengahkan.

"Isu ini sengaja saya ketengahkan kerana ia adalah isu besar, sehingga sekarang tidak ada bukti kukuh yang dapat mengesahkan kemasukkan pengganas di IPT mahupun penglibatan pelajar," kata beliau lagi.

Menjawab isu yang sama, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mengulas tentang kenyataan Hishammuddin yang mengatakan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat sebagai tidak bertanggungjawab kerana mengatakan isu JI sebagai mengalihkan isu besar lain.

"Tuduhan yang dikeluarkan oleh Hishammuddin itu tidak berasas bukannya dakwaan yang dikeluarkan oleh Pakatan Rakyat, kita tahu dakwaan yang dinyatakan oleh Musa Hassan itu tidak benar sama sekali dan juga jika betul penglibatan JI dalam IPT kenapa tidak ada bukti kukuh dikeluarkan termasuk penjelasan di dalam parliman.

"Kita bukannya gila tetapi kita menghadapi politik gila yang diamalkan oleh Umno, tanpa bukti kukuh mereka terlalu mudah membuat kenyataan tersebut," sanggah beliau.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad pula menambah kesilapan besar dilakukan oleh Kementerian Dalam Negeri tentang penglibatan JI ini kerana seluruh dunia akan memandang Malaysia sebagai sebuah negara yang tidak selamat.

Selain itu kemerosotan kemasukan pelajar luar juga akan berkurangan kerana mereka tidak lagi yakin dengan sistem pembelajaran negara ini yang terlalu mudah dimasuki pengganas.

"Selain kemerosotan pelajar luar kenegara ini, dari sudut ekonomi juga akan mengalami kemerosotan. Kita melihat selepas kejadian 11 September ramai pelabur dari negara timur tengah mengalih pelaburan mereka ke Asia dan saya pasti dengan kenyataan yang tidak berasas itu menyebabkan pelabur luar juga akan mengambil tindakan yang sama.

"Jangan menyalahkan sesiapa jika ekonomi negara ini mengalami kemerosotan yang teruk," jelasnya.

Sebelum ini, Musa mengeluarkan kenyataan yang mengatakan terdapat penglibatan pengganas Jemaah Islamiah dalam IPT dan kumpulan terbabit sekarang dalam usaha untuk membuat penambahan ahli mereka. -SK

Adun Umno kosongkan kerusi ?

Posted: 22 Jun 2010 01:31 AM PDT

Oleh Era Pakatan

Setiausaha Perhubungan Umno Selangor Datuk Mohamed Satim Diman tidak hadir pada mesyuarat pengurusan badan Perhubungan Umno Selangor malam semalam.

Sebaik mesyuarat tamat pada pukul 12.30 malam Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar ketika ditemui pemberita berkata Mohamed Satim ada menghubungi dan mengatakan beliau tidak dapat hadir pada mesyuarat malam semalam kerana ada urusan.

Beliau berkata selain Mohamed Satim, bendahari Datuk Fateh Iskandar Mohamed Mansor dan Ketua Pemuda Suhaimi Ghazali juga tidak hadir pada mesyuarat malam semalam kerana mereka ada urusan di luar negara.

Sabtu lalu, Noh dilaporkan berkata beliau akan mendapatkan penjelasan daripada Mohamed Satim berhubung khabar angin yang mengatakan Mohamed Satim akan melepaskan semua jawatan politiknya termasuk sebagai ahli dewan undangan negeri (ADUN) Seri Serdang, pada mesyuarat malam semalam.

Noh berkata mesyuarat malam semalam membincangkan mengenai pengurusan mesyuarat bahagian Umno Selangor.

Sementara itu Mohamed Satim sehingga kini tidak dapat dihubungi bagi membuat sebarang ulasan mengenai khabar angin itu, yang dilaporkan oleh sebuah akhbar sebagai timbul apabila Mohamed Satim tidak hadir semasa mesyuarat ADUN Barisan Nasional (BN) baru-baru ini.

Pada pilihan raya umum pada 2008, Mohamed Satim mengalahkan calon PAS, Ahmad Idzam Ahmad dengan majoriti 45 undi.


100 pekerja KLIA hilang pekerjaan

Posted: 22 Jun 2010 01:26 AM PDT

Oleh Era Pakatan

Lebih 100 pekerja agensi pelancongan bumiputera di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini bakal dibuang kerja berikutan tindakan Persatuan Agen-Agen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) yang didakwa bersetuju mengambil alih tugas semua agensi pelancongan sedia ada di KLIA.

Wakil agensi pelancongan terbabit, Mohd. Anuar Hussin berkata, keputusan MATTA itu menyebabkan Malaysia Airport Berhad (MAB) mengeluarkan notis penamatan perkhidmatan kepada semua agensi pelancongan yang ada di KLIA mulai 1 Julai ini.

''Kami selaku ahli MATTA kecewa dengan tindakan persatuan itu kerana sepatutnya mereka membela kami dan bukannya bersetuju untuk mengambil alih tugas yang kami jalankan sejak KLIA beroperasi.

''MATTA seharusnya ingat bahawa penamatan perkhidmatan kami oleh MAB itu akan memaksa kami menamatkan khidmat pekerja yang berjumlah lebih 100 orang," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Baru-baru ini MAB mengeluarkan notis menamatkan sewaan kepada semua agensi pelancongan di KLIA yang bermula 1 Julai ini berikutan persetujuan MATTA untuk mengambil alih tugas-tugas agensi pelancongan itu di lapangan terbang berkenaan.

Bagaimanapun, Mohd Anuar sangsi dengan keupayaan MATTA untuk menyediakan perkhidmatan pelancongan yang berkualiti kepada pelancong asing yang tiba di KLIA.

''Ini kerana saya difahamkan MATTA hanya akan membuka kaunter penerangan dan bukannya menyediakan pakej pelancongan sebagaimana yang dijalankan oleh kami.

''Sedangkan kami memiliki pekerja yang mahir dan berpengalaman dalam menguruskan pelancong asing yang tiba di KLIA," katanya.

Puteri UMNO bawa imej elitis, Srikandi PKR ‘tawan’ universiti

Posted: 22 Jun 2010 01:12 AM PDT

SELANGOR KINI


SHAH ALAM – Srikandi Parti Keadilan Rakyat semakin melebar sayap dalam meraih sokongan pengundi muda khususnya golongan mahasiswa institusi pengajian tinggi di negara ini.

Bercakap kepada TV Selangor, Ketua Srikandi Parti Keadilan Rakyat, Siti Aishah Shaik Ismail berkata kerancakan kempen Srikandi mendorong mereka menembusi 40 peratus institusi pengajian tinggi (IPT) .

Lebih manis lagi, kejayaan ini datang ketika Pergerakan Puteri UMNO dilanda bibit-bibit perpecahan walaupun ia cuba diselindung Ketua Puterinya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Rosnah dipercayai terpaksa membuat kenyataan media kononnya tiada masalah kepimpinan melanda Puteri UMNO berikutan desas desus mengenai kegagalan pergerakan itu menggamit sokongan pengundi muda, bukan rahsia lagi.

"Sebenarnya Puteri UMNO sedang mengalami permasalahan yang ketara. Kita lihat di peringkat negeri pun, pengaruh mereka semakin menurun akibat sikap pemimpin mereka yang mengamalkan standard tertentu." katanya.

Siti Aishah menyifatkan kebanyakan pemimpin dan ahli Puteri UMNO yang mengejar populariti dan menonjolkan imej elitis di kalangan rakyat marhaen.

Ini menyebabkan Puteri UMNO tidak popular di kalangan rakyat dan kini, tidak lagi kedengaran program melibatkan mereka.

"Punca utama kelemahan mereka ialah kerana mereka dilihat sebagai satu golongan elit yang hanya mengejar populariti – itu yang menyebabkan mereka gagal mendampingi pengundi muda.

"Kita melihat Puteri UMNO hampir 100 peratus mendiamkan diri dan tidak pun memberikan pandangan atau idea-idea yang bernas bagi membantu golongan generasi muda," katanya.

Sebaliknya, Srikandi PKR bersungguh-sungguh menawan hati rakyat hingga mampu menambat keyakinan pengundi muda, lebih-lebih lagi golongan terpelajar.

"Kita berjaya menembusi hampir 40 peratus universiti di Malaysia termasuk UiTM dan UIA. Bukan bergantung kepada mahasiswa mencari kita di luar tetapi kita sudah mampu masuk sendiri melalui gerakan yang kita bina," katanya.

Khurafat Umno dan Mahathir Tentang Agama Lain

Posted: 22 Jun 2010 12:23 AM PDT


http://buletinonline.net/images/stories/berita27/khurafat.gifKUALA TERENGGANU - "Dalam Malaysia kita ada tiga bangsa majoriti, Melayu, Cina dan India, (kebiasaannya) orang Melayu pegang ugama Islam, orang Cina pegang Buddha dan India pegang Hindu,

"pada fahaman saya, mana-mana agama pun tidak galakkan main judi, kalau ada yang menggalakkan, itu bukan dari ugama,

"orang yang tidak pegang ugama, mungkin dia sokong itu judi,"kata Timbalan Pengerusi Dewan Himpunan PAS (DHPP) N.Balasubramaniam.

Beliau yang juga seorang penganut ugama Hindu berkata, ugama Hindu, sama seperti ajaran Islam, tidak membenarkan judi, tidak membenarkan mabuk (arak) dan juga hubungan seks tanpa nikah (zina).

N.Balasubramaniam berkata demikian selepas berucap dalam satu majlis ceramah di Batu Enam, semalam Jumaat, 19 Jun.

Beberapa minggu lalu, seorang wanita Umno Terenggan berkata, lesen judi yang diluluskan adalah untuk bukan Islam (Kafir).

Oleh itu, Wanita Umno itu menambah, orang-oran Islam tidak perlu bimbang.

Pengeluaran lesen judi disokong oleh Mahathir yang berkata, judi untuk orang kafir sebab bagi orang kafir ia tidak haram.

Bercakap dengan pihak media selepas program Melayu Bangkit 14 Jun lalu Mahathr mendakwa bahawa judi adlah budaya orng Cina.

Dakwaan Mahathir diselar oleh Speaker DUN Selangor, Teng Chang Khim.

Beliau seorang Cina yang juga berugama Buddha, menafikan sekeras-kerasnya kenyataan bekas Perdana Menteri Malaysia itu.

Teng berkata Mahathir, seorang Melayu yang bukan Melayu tidak layak untuk bercakap tentang orang Cina dan budya Cina.

"Dia (Mahathir), Melayu pun tak Melalyu, Mamak pun tak Mamak, jangan cerita tentang orang Cina,

"judi bukan budaya Cina, ia merupakan tabiat yang tidak baik, yang tidak digalakkan dalam masyarakat Cina,"katanya ketika menyampaikan ceramah di Pasar Cabang Tga, disini, 17 Jun lalu.

Rupa-rupanya, Mahathir dan parti 'purba' Umno mereka-reka satu dongeng atau mitos, bahawa judi adalah adalah untuk orang kafir dan meruapakan budaya kaum Cina.

Banyak lagi kepercayaan 'khurafat' yang dicipta Umno dan ditanamkan dalam minda orang Melayu Islam.

Tertmasuk dalam khurafat dan bid'ah yang direka oleh Umno sebagaimana kata Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah.

Beliau berkata, mengasingkan politik daripada ugama juga termasuk khurafat dan Bid'ah yang direka oleh Umno.

Projek i-SHARP - Pampasan RM500 Untuk 2 Ekar Tanah; ‘Satu Jenaka Moden’ Mengguris Hati Rakyat

Posted: 21 Jun 2010 11:48 PM PDT


http://buletinonline.net/images/stories/berita27/iBantah.JPGPermaisuri, SETIU Sejumlah 32 ekar tanah yang diusahakan 16 peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Pertanian di Kampung Banggol, dekat sini, bakal dimusnahkan, ekoran pembangunan Projek Taman Akuakultur Udang Bersepadu (i-SHARP).

Setiap peserta telah diberikan 1 lot tanah pertanian di zaman pemerintahan kerajaan Pas Terengganu dengan keluasan 2 ekar bagi setiap lot. telah ditanam dengan nenas dan pelbagai sayur-sayuran.


(Gambar - Dr. Azman (tengah) ketika mengadakan pertemuan dengan penduduk kampung Banggol)

Malangnya, usaha tersebut menjadi sia-sia apabila tanah mereka 'dirampas' oleh kerajaan negeri dan diberikan kepada pihak pemaju i-SHARP.

Walaupun diberikan pampasan, namun menurut peserta terbabit bayaran RM500 terlalu sedikit dan tidak 'padan' dengan apa yang telah mereka usahakan.

Seorang peserta RTB tersebut, warga emas yang dikenali sebagai Pak Su Mat, 68 tahun melahirkan rasa tidak puas hatinya dengan bayaran yang diterima.

"RM500, kos harga baja dengan minyak motor ke kebun pun tak cukup!" Rungut Pak Su Mat.

Seorang lagi peserta yang enggan dikenali mengadu, bayaran yang diterimanya adalah tidak munasabah dengan perbelanjaan projek tersebut yang besar.

"Mengikut maklumat saya, jalan di kawasan projek saja bernilai RM10 juta, tak masuk akal pampasan untuk kami cuma bernilai RM500 saja. Benar tanah kami cuma tanah LMS, tapi inilah kebun yang memberikan kami hasil menyara keluarga,"keluhnya


Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Projek Taman Akuakultur Udang Bersepadu (i-BANTAH) Dr. Azman Ibrahim berkata pampasan yang sedikit adalah dalil ketidak prihatinan pemaju dan kerajaan negeri terhadap nasib rakyat setempat.

"Mereka kehilangan harta yang bakal dimiliki, kehilangan hasil, dari usaha dan titik peluh mereka, membuka dan memajukan tanah tersebut,

"disamping memikirkan keuntungan, pemaju perlu melihat pertimbangan kemanusiaan, dan kerajaan negeri wajib melihat hak-hak mereka sebagai rakyat negeri Terengganu,"katanya ketika menghubungi Buletinonline selepas mengadakan pertemuan dengan penduduk Kampung Banggol yang terkesan dengan projek i-SHARP.

Menurutnya, pampasan RM500 untuk 1 lot tanah pertanian seluas 2 ekar adalah satu jenaka 'moden' yang mengguris hati dan menghina maruah rakyat.

Oleh itu, katanya, i-BANTAH telah merangka beberapa pelan bertindak bagi mengurangkan beban, kesan impak projek mega tersebut kepada manusia dan alam sekitar terbabit.

Dr. Azman berkata, satu kajian dan pengumpulan data telah dilaksanakan dengan kerjasama Sahabat Alam Malaysia (SAM).

"Buat masa kini, Jawatankuasa i-BANTAH bergerak secara dwi-fungsi, memberi penerangan dan kesedaram awam dan mengumpulkan maklum balas serta aduan,

"kita akan mengedarkan bahan-bahan bercetak dan bermaklumat berkenaan projek terbabit kepada orang ramai serta menjadi mata dan telinga, memantau perlaksanaan projek terbabit,"jelasnya.

Menurutnya telah ada kes dimana pihak pemaju melepasi sempadan kawasan projek yang ditetapkan dan melaksanakan kerja-keja pembangunan sehingga 7000 kaki ke dalam kawasan tanah penduduk kampong.


Pelajar keguguran ditemui mati di sebuah resort

Posted: 21 Jun 2010 11:09 PM PDT


SINAR HARIAN ONLINE



KOTA BHARU - Seorang pelajar yang dipercayai mengalami keguguran selepas disyaki mengandung ditemui mati di beranda sebuah bilik penginapan, di Resort Pantai Cahaya Bulan (PCB), dekat sini, pagi semalam.

Pelajar berusia 17 tahun itu ditemui mati kira-kira jam 9 pagi selepas mengadu sesak nafas ketika berada dalam sebuah bilik bersama teman lelakinya berusia 18 tahun, juga seorang pelajar sekolah agama di Pasir Mas, yang baru dikenali sejak dua minggu lalu.

Kejadian disedari teman lelakinya selepas mendapati pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim 1, Pasir Mas, itu sesak nafas dan tiba-tiba pengsan dengan keadaan berlumuran darah.

Remaja lelaki terbabit kemudian bergegas memaklumkan kepada pihak pengurusan resort terbabit untuk mendapatkan bantuan selepas mendapati mangsa tidak sedarkan diri.

Sinar Harian difahamkan, mangsa sebelum ini dipercayai pernah dirogol dan perjumpaan bersama remaja lelaki itu adalah untuk menghilangkan tekanan yang dihadapinya setelah ibu bapanya tidak peduli dengan aduan yang dia mengandung.

Dua pelajar itu ponteng sekolah dan menunggang motosikal ke resort terbabit dan mangsa dikatakan memberikan sejumlah wang kepada remaja lelaki itu untuk menyewa sebuah bilik untuk menceritakan masalah peribadi kepada remaja lelaki itu.

Penyelia resort, Che Hajizul Che Mamat, 49, berkata, selepas mendapatkan arahan daripada pihak pengurusan, dia kemudian berlari naik ke tingkat satu untuk melihat keadaan mangsa.

"Saya terkejut apabila melihat mangsa dalam keadaan terbaring dengan berlumuran darah dan sudah tidak sedarkan diri.

"Saya kemudian memaklumkan kepada pihak pengurusan supaya menghubungi hospital dan memaklumkan kepada polis mengenai kejadian itu," katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam.

Pihak pengurusan resort memberitahu mangsa bersama remaja lelaki itu mendaftar masuk ke resortnya kira-kira jam 8 pagi.

Dalam pada itu, bapa mangsa, Md Noor Mamat, 41, ketika ditemui berkata, anak kedua daripada enam beradik itu keluar kira-kira jam 7 pagi bersama adiknya dengan berpakaian sekolah lengkap.

Md Noor memberitahu, kejadian itu diketahui selepas dihubungi pihak sekolah dan terus bergegas ke tempat kejadian.

Bagaimanapun, dia enggan mengulas lanjut mengenai kejadian itu kerana terkejut dengan kejadian menimpa anak keduanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Amir Hamzah Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian itu.

Musa Hitam didesak letak jawatan dari Sime Darby

Posted: 21 Jun 2010 11:06 PM PDT

SINAR HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Bebas, Wee Choo Keong semalam mendesak Pengerusi Sime Darby Berhad, Tun Musa Hitam dan keseluruhan ahli lembaga pengarah syarikat itu meletak jawatan dengan serta-merta kerana kerugian besar yang dialami syarikat itu.

Choo Keong berkata, kerugian syarikat itu dalam dua projek di Qatar telah bermula pada tahun 2007 tetapi syarikat tersebut telah menafikannya.

Ini bermakna Sime Darby bukan sahaja membohongi pemegang-pemegang sahamnya malah ia juga menipu Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti.

"Saya juga hairan bagaimana Musa boleh membuat kenyataan bahawa Lembaga Pengarahnya tidak tahu-menahu tentang kerugian yang dialami. Ini amat memalukan kerana Sime Darby adalah syarikat perlada- ngan yang terbesar di dunia," katanya

Beliau turut mempersoalkan mengapa Sime Darby hanya mengambil tindakan terhadap Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid sahaja dan bagaimana pula dengan pegawai-pegawai pengurusan kanan yang lain yang turut terlibat dalam membuat keputusan.

Potong gaji bantu Gaza

Posted: 21 Jun 2010 11:04 PM PDT

SINAR HARIAN ONLINE


KOTA BHARU - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang bermula semalam menerima usul mengecam tindakan rejim Israel yang menyerang kapal misi bantuan kemanusiaan, konvoi Freedom Flotilla ke Gaza, baru-baru ini.

Cadangan yang dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Lanas Abdullah Yakub dan disokong oleh semua ADUN termasuk daripada UMNO.

:Seramai empat ADUN mengambil bahagian dalam pembahasan iaitu Nik Mazian Mohamed (Pas-Gaal), Datuk Noor Zahidi Omar (BN-Pengkalan Kubur), Abdul Latif Abdul Rahman (Pas-Mengkebang) dan Mohamed Mustaffa (Pas-Demit).

Bagi tujuan tersebut, Noor Zahidi Omar (BN-Pengkalan Kubor) mencadangkan agar kesemua ADUN termasuk Exco memberi sumbangan kewangan sebulan gaji sebagai tanda sokongan terhadap rakyat Palestin yang menderita akibat kekejaman yang dilakukan oleh Israel.

Selain itu katanya, sokongan itu boleh dizahirkan dengan tindakan menghantar salah seorang ADUN ke misi bantuan kepada rakyat Palestin yang dirancang selepas ini.

Bagi Mohamad Mustafa (Pas-Demit) pula menyokong saranan yang dibuat oleh Noor Zahidi supaya ADUN menyumbang sebulan gaji malah mencadangkan agar seluruh kakitangan Kerajaan Negeri turut melakukan tindakan sama.

Katanya, sumbangan itu boleh dilakukan dengan tindakan pegawai dan kakitangan Kerajaan Negeri memotong gaji secara tetap untuk disalurkan kepada institusi yang menguruskan bantuan kepada rakyat Palestin.

Sementara itu, Nik Mazian (Pas-Gaal) berkata, semangat perkauman tidak dapat membantu menyelesaikan masalah di Palestin sedangkan rakyat di Palestin juga adalah berbangsa Arab dan sama dengan bangsa di Mesir, Syria dan negara Arab yang lain.

Katanya, walaupun memiliki bangsa yang sama, namun disebabkan mementingkan keduniaan dan kebendaan, sesetengah dari negara tersebut tidak bersepakat untuk membantu menyekat kekejaman Israel.

Sementara itu, Abdul Latif Abdul Rahman (Pas-Mengkebang) mencadangkan agar hubungan Kerajaan Pusat dengan perunding komunikasi negara ini iaitu Apco Worldwide ditamatkan segera kerana ramai dikalangkan perunding tersebut ialah mereka yang pernah bekerja dengan Israel.

Abdul Latif berkata, Kerajaan Pusat seolah-olah mempermainkan rakyat negara ini dengan membuat kutukan terhadap kekejaman Israel tetapi dalam masa yang sama menggunakan kepakaran mereka dalam menasihati kerajaan untuk menaikkan imej negara di mata dunia.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Datuk Husam Musa berkata, Kerajaan Negeri telah mengambil beberapa inisiatif untuk membantu warga Palestin termasuk menubuhkan tabung 'Cakna Palestin' selain membiayai pembelajaran warga Palestin yang berada di negara ini.

"Saya juga mencadangkan wakil rakyat di negeri ini mengambil anak angkat di kalangan anak-anak Palestin di Gaza dengan menyumbangkan bantuan secara bulanan kepada mereka," katanya.

Kelantan perkenal produk pelancongan agama

Posted: 21 Jun 2010 11:00 PM PDT

SINAR HARIAN ONLINE


KOTA BHARU - Kelantan akan perkenalkan pelancongan agama, satu produk pelancongan yang berasaskan ilmu keagamaan melalui sistem tradisional pengajian Islam atau lebih dikenali sebagai 'pengajian pondok'.

Cadangan bagi Kelantan mempunyai produk pelancongan baru sebagai daya penarik kepada industri itu di negeri itu dibuat Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, berikutan cadangan itu, pihaknya mencari tapak sesuai untuk tujuan itu.

"Kami bersetuju untuk bina sebuah apartmen di Kandis, Bachok. Projek pelancongan agama itu akan dimajukan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK)," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Muhamad Mustafa (Pas-Demit) mengenai langkah kerajaan dalam menjadikan negeri itu sebagai warisan ilmiah.

Takiyuddin berkata, melalui pelancongan agama, pelancong sama ada dari dalam dan luar negara akan disediakan tempat penginapan bagi mengikuti kursus agama yang ditawarkan dalam pakej pelancongan itu.

"Pakej ilmu agama akan ditawarkan kepada pelancong yang berminat mungkin dua atau tiga hari dalam mengenali program ilmu agama di Kelantan," katanya.

Menjawab soalan Zulkifli Mamat (Pas-Pulai Chondong) mengenai warisan seni ukir kayu, Takiyuddin berkata, Kerajaan Negeri mewartakan seni ukir kayu Kelantan sebagai warisan kebangsaan.

"Kita juga akan bawa seni warisan ukir kayu itu di peringkat antarabangsa," katanya. - Bernama

Tawaran Harga Istimewa Untuk Penerbangan MAS Ke Destinasi Pilihan

Posted: 21 Jun 2010 10:59 PM PDT

MSTAR ONLINE

PETALING JAYA: Para pelanggan Penerbangan Malaysia (MAS) akan menikmati tawaran harga tambang istimewa sehala minggu ini ke beberapa destinasi pilihan.

Antaranya Saigon (RM229), Chennai (RM419), Hong Kong (RM439). Taipei (RM509) dan Perth (RM639).

MAS juga turut menawarkan kadar istimewa ke Bandung pada 17 Julai ini dengan harga RM182.

Kesemua promosi ini hanya sah untuk tempahan yang dibuat di antara hari ini hingga 27 Jun untuk penerbangan di antara 21 Julai 2001 hingga 31 Januari 2011.

Tawaran ini adalah sebahagian daripada program kempen Everyday Value Fares (EVF) yang telah dilancarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Tengku Datuk Azmil Zahruddin dan Pengerusi MAS, Tan Sri Dr Munir Majid selepas Mesyuarat Agung Tahunan yang ke-39 syarikat penerbangan nasional itu yang berlangsung di Akademi MAS, Kelana Jaya hari ini.

Di bawah program ini, semua pelanggan MAS akan menikmati harga rendah yang kompatetif untuk perkhidmatan dan layanan tambang penuh termasuk kemudahan tempahan tiket dan penyediaan makanan serta saluran hiburan dalam pesawat.

Ulama Masuk Umno Hanya Mengorek Kubur Sendiri - PAS

Posted: 21 Jun 2010 10:58 PM PDT

PETALING JAYA: PAS tidak gentar dengan strategi Umno untuk menarik lebih ramai ulama menyertai parti itu.

Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad berkata parti itu tidak akan lemah walaupun lebih seribu ulama menyertai Umno.

"Ulama yang menyertai Umno itu akan hanya 'mengorek lubang untuk menguburkan' diri mereka sendiri kerana parti itu tidak akan memberi jawatan penting kepada pemimpin berkenaan.

"Kami tidak berasa terancam kerana akhirnya ulama yang menyertai Umno itu akan menjadi lemah," katanya di sini hari ini.

Idris berkata demikian sebagai mengulas artikel Umno Online yang mendakwa 100 ulama termasuk bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin akan menyertai parti itu Jumaat ini.

Dalam entri terbaru yang dimuat turun di blognya semalam, Mohd Asri berkata beliau masih belum membuat sebarang keputusan untuk menyertai mana-mana parti politik.

Sementara itu, Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib ragu-ragu dengan dakwaan bahawa bekas Mufti Perlis itu akan menyertai Umno.

"Saya tidak yakin Dr Asri akan bekerjasama dengan Umno. Jika beliau menyertai Umno maka tanggapan saya mungkin silap," katanya.

Harun berkata ulama yang menyertai Umno adalah golongan yang tidak bertakwa.

"Ulama yang bertakwa tidak akan menyokong sebuah parti yang membenarkan judi dan penjualan minuman keras secara terbuka. Ulama yang tidak bertakwa adalah golongan yang tidak beriman kepada Allah," ujarnya.

Jelasnya, PAS tidak merasa terancam dengan langkah Umno merekrut ramai golongan ulama.

"Umno telah lama mempergunakan semua mufti untuk kepentingan mereka selama ini," katanya.

Mohamed Satim Tak Hadir Mesyuarat Pengurusan Umno Selangor

Posted: 21 Jun 2010 10:56 PM PDT

SHAH ALAM: Desas-desus mengenai Setiausaha Umno Selangor, Datuk Mohamed Satim Diman akan melepaskan semua jawatan politiknya semakin kuat apabila beliau tidak hadir pada mesyuarat pengurusan Badan Perhubungan Umno negeri malam tadi.

Ketidakhadirannya itu menguatkan lagi spekulasi yang mendakwa beliau akan berbuat demikian dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, ketika ditemui pemberita selepas selesai mesyuarat pada pukul 12.30 malam tadi, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Noh Omar berkata, Mohamed Satim telah memaklumkan kepadanya bahawa beliau tidak dapat hadir kerana mempunyai urusan lain.

"Bukan sahaja dia (Mohamed Satim), Bendahari, Datuk Iskander Fakeh Md Mansor dan Ketua Pemuda, Shuhaimi Mohd Ghazali juga tidak dapat hadir kerana mereka berdua berada di luar negara.

"Kita adakan mesyuarat pengurusan setiap minggu, bukan semua yang boleh hadir. Ini perkara biasa," katanya kepada pemberita sebaik sahaja selesai mesyuarat pengurusan Umno Selangor selama empat jam di Bangunan Umno Negeri malam tadi.

Terdahulu, usaha mStar Online untuk mendapatkan penjelasan Mohamed Satim mengenai peletakan jawatannya turut menemui jalan buntu kerana beliau enggan menjawab panggilan mahupun membalas SMS yang dihantar.

Semalam Noh dilaporkan berkata, beliau akan mendapatkan penjelasan daripada Mohamad Satim berhubung khabar angin yang mengatakan beliau akan melepaskan semua jawatan politiknya termasuk sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Serdang, pada mesyuarat hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai desas-desus peletakkan jawatan Mohamad Satim.

Noh berkata isu yang dibincangkan pada mesyuarat itu tertumpu kepada persiapan mengenai mesyuarat bahagian Umno Selangor yang akan diadakan tidak lama lagi.

"Kita bincang pasal mesyuarat Umno Bahagian, itu sahaja. Tak bincang pasal letak jawatan," katanya.

Khamis lalu, beberapa laman blog termasuk blog Gerakan Anti PKR (GAP) mendakwa Mohamad Satim bersedia melepaskan semua jawatan politiknya kerana kecewa dengan pucuk pimpinan Umno.

Rebahnya Sebuah Penjara Tua

Posted: 21 Jun 2010 10:54 PM PDT

MALAM tanggal 21 Jun 2010 menyaksikan satu-persatu serpihan batu-bata dari tembok Penjara Pudu sepanjang 394 meter berusia 100 tahun itu rebah, lalu menyembah bumi.

Saat dinding merekah, disusuli adegan jentolak 'menggigit' tembok batu yang sebenarnya masih kukuh itu sehingga pecah, hampir 1,000 warga kota secara bersilih-ganti sudi meluangkan masa mereka melawat penjara tua itu bagi menyaksikan detik penuh bersejarah lagi dramatis itu.



Sebahagian daripada tembok Penjara Pudu yang telah dirobohkan. Foto AZMAN GHANI

Rata-rata yang berkunjung ke situ mahu melihat detik-detik tembok penjara itu ditumbangkan walaupun Penjara Pudu selama ini dilihat dengan pandangan kosong, bagai tidak memberi makna apa.

Malah ada juga yang menganggapnya sebagai tinggalan sejarah yang 'menyemak', mencemar keindahan kota dan cuma mampu menyumbang kepada kesesakan lalu lintas.

Seawal pukul 8 malam, kelihatan orang ramai mula berkumpul di sekitar Penjara Pudu, terutama di gerbang utamanya.

Bagai menjadi perkara wajib, setiap seorang yang berada di situ sama ada secara sengaja atau tidak sengaja, pasti akan mengeluarkan sekurang-kurangnya telefon bimbit mereka untuk merakamkan gambar mereka di Penjara Pudu yang akan lenyap dari pandangan tidak lama lagi.

Pendek kata, Penjara Pudu yang selama ini sepi dan terpinggir, sekelip mata mempunyai ribuan peminat. Tidak keterlaluan juga dikatakan malam robohnya Penjara Pudu umpama pesta bagi sesetengah warga kota.

Tepat pukul 10 malam, dua jentolak yang dibawa khas oleh kontraktor yang telah dilantik oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan gagahnya telah memecahkan tembok yang terbina daripada susunan batu-bata dan simen yang dibawa masuk dari negara Britain pada tahun 1891 dulu.

Ada yang bersorak 'hooray', tak kurang juga yang diam seribu bahasa, pilu melihat penjara yang tidak bersalah itu dirobohkan.

Ternyata, memang mudah untuk menumbangkan tembok penjara yang teguh itu. Dalam masa lebih kurang satu jam, hampir 30 peratus tembok usang itu tiba-tiba menjadi serpihan batu-batu halus.

Jika 'harimau mati meninggalkan belang', 'manusia mati meninggalkan nama', Penjara Pudu yang berkeluasan 10 hektar dan dibiarkan sepi selama 14 tahun dulu meninggalkan apa pula untuk kita?

Kita mungkin boleh berbangga dengan rekod mural terpanjang di dunia yang diabadikan di sepanjang tembok bekas tempat himpunan segala macam penjenayah itu, namun amat tidak wajar jika penjara yang terletak di tengah kota Kuala Lumpur terus dibiar bersemadi di situ tanpa dipelihara.

Zaman yang berubah, pembangunan pesat serta tuntutan masyarakat yang berterusan mendambakan kesenangan dan keselesaan pabila mereka berada di tengah-tengah kota, khususnya semasa meluncuri jalan raya membuktikan ada juga relevannya tindakan menumbangkan penjara yang menyimpan 1001 kisah dan sejarah ini.

Bagi pencinta seni dan warisan misalnya, tindakan merobohkan penjara ini mungkin dilihat tidak wajar sama sekali.

Hj Piroz Ahmad, 60, ketika ditemui menyatakan kesedihannya bila mana dia melihat jentolak membaham tembok Penjara Pudu tanpa rasa belas kasihan.

Dia yang juga pengusaha pasar mini sanggup menutup kedainya lebih awal dan menaiki LRT semata-mata mahu menyaksikan detik bersejarah ini.

"Saya sedih, tapi saya tiada kuasa untuk menghalang. Bagi saya, kita perlu berbangga dengan tinggalan sejarah yang ada di negara kita," katanya.

Menurut Hj Piroz, kerana terlalu cintakan seni, dia sudah pun bergambar di hadapan Penjara Pudu 12 tahun lalu. Ketika itu kerajaan cuma berura-ura untuk merobohkannya.

Sebagai kenang-kenangan, dia telah mengambil dan membawa pulang serpihan mural dan bata yang pecah.



Hj Piroz Ahmad, 60, membawa pulang serpihan batu-bata tembok Penjara Pudu yang dirobohkan sebagai kenang-kenangan.

"Saya ambil ini tak bermaksud apa-apa. Saya cuma mahu simpan dan tunjukkan kepada anak-cucu saya bahawa inilah serpihan batu daripada tembok Penjara Pudu yang satu masa dulu gah di negara kita," katanya.

Penjara Pudu kini tinggal memori. Segala apa yang tinggal hanyalah baktinya. Bakti apabila tempat ini pernah menerima dan mengizinkan beribu-ribu penjenayah menghuni di dalamnya.

Bicara Kes Koperal Polis Sebabkan Kematian Aminulrasyid Bermula 12 Okt

Posted: 21 Jun 2010 10:52 PM PDT

BERNAMA

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan selama 12 hari bermula 12 Okt bagi mendengar perbicaraan kes koperal polis yang didakwa menyebabkan kematian seorang remaja berumur 15 tahun dalam satu kejadian tembakan di Seksyen 11 di sini, dua bulan lepas.

Hakim Latifah Mohd Tahar turut menetapkan 9, 10 dan 11 Nov untuk mendengar kes itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar memaklumkan beliau telah menyerahkan sebanyak 38 dokumen termasuk laporan bedah siasat kepada pihak pembelaan.

Mohd Dusuki memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan akan memanggil seramai 15 saksi untuk memberi keterangan pada perbicaraan kelak.

Pada 10 Mei lepas, Jenain Subi, 48, mengaku tidak bersalah menyebabkan kematian AminulRasyid Amzah di Jalan Tarian 11/2 di Seksyen 11, antara pukul 1.10 pagi dan 2 pagi pada 26 April lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Jenain, memakai kemeja ungu, berseluar jeans biru dan bertopi, hadir di mahkamah bersama peguamnya Salim Bashir, manakala Karpal Singh hadir sebagai peguam pemerhati bagi pihak keluarga mangsa.

Turut hadir kakak mangsa, Nor Azura dan ibu mangsa, Norsiah Mohamad dan Monalisa Mokhtar, wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PBIG) sekolah mangsa, Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9 di sini.

Sementara itu, Karpal Singh ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata pihaknya akan menulis kepada pihak Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat bagi mengetahui perkembangan kes Azamuddin Omar, remaja yang berada dalam kereta yang dipandu Aminulrasyid ketika kejadian.

"Kami khuatir tiada perkembangan tentang kes saksi utama kejadian ini (Azamuddin) walaupun beliau dipanggil memberi keterangan di Bukit Aman.

"Saya akan tulis kepada Peguam Negara untuk mengetahui statusnya berikutan kes ini sudah lama," katanya.

Pada 20 Mei lepas, abang kepada Azamuddin, Muhamad Hafizzudin membuat laporan polis mendakwa berlaku cubaan membunuh oleh pihak polis terhadap Azamuddin kerana melepaskan tembakan ke arah kereta yang dinaiki kedua-dua remaja itu.

ADUN Seri Serdang Letak Jawatan Hanya Khabar Angin - Khir Toyo

Posted: 21 Jun 2010 05:31 PM PDT

PETALING JAYA: Cakap-cakap kononnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang, Datuk Mohamed Satim Diman akan melepaskan semua jawatan politiknya termasuk sebagai ADUN hanyalah khabar angin yang disebarkan di kalangan blogger.

Ketua Pembangkang negeri, Datuk Seri Dr. Mohd Khir Toyo ketika mengesahkan perkara itu menegaskan, beliau sendiri tidak mendengar sebarang pengakuan daripada Mohamed Satim mengenai perkara itu.

"Jika benar dia akan berbuat demikian, saya orang pertama yang tahu sebab saya sebagai Ketua Pembangkang dan kami sama-sama pembangkang di negeri ini.

"Dia juga akan hadir mesyuarat pengurusan Umno negeri malam ni," katanya kepada mStar Online di sini hari ini.

Beliau yang juga bekas Menteri Besar berkata demikian sebagai mengulas kononnya Mohamed Satim yang juga Setiausaha Umno negeri itu akan meletakkan jawatannya seperti yang disebarkan di Internet.

Mohd. Khir menambah, khabar angin itu semakin kuat apabila Mohamed Satim tidak dapat dihubungi oleh mana-mana pihak bagi mendapatkan cerita sebenar mengenainya.

"Ramai yang telefon, mungkin dia tak jawab itu yang menguatkan lagi khabar angin," jelasnya.

Semalam Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan, Datuk Seri Noh Omar mendakwa beliau tidak tahu-menahu mengenai khabar angin tersebut.

Kata beliau, cerita itu yang belum dapat dipastikan kesahihannya memang di luar pengetahuannya .

Noh hanya akan mengesahkan sama ada perkara itu benar atau sebaliknya semasa mesyuarat pengurusan Umno malam ini.

Tiada ulasan: