Selasa, 22 Jun 2010

Blog-list Malaysia

Blog-list Malaysia


Katak Gila Nie Teringin Nak Jadi Speaker

Posted: 22 Jun 2010 12:15 AM PDT

Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali berpendapat rakannya di Dewan Rakyat Tian Chua wajar dilucutkan kelayakan sebagai Ahli Parlimen Batu berdasarkan peruntukan undang-undang walaupun hakim berpendapat pilihan raya kecil perlu dielakkan.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas ini berkata Dewan Rakyat juga wajar mengisytiharkan kerusi Batu sebagai "kosong" dan pilihan raya kecil sepatutnya diadakan bagi menghormati peruntukan undang-undang.

"Peruntukan undang-undang mengekehendaki hakim buat keputusan berteraskan kepada undang-undang semata-mata, bukan tujuan mengelakkan pilihan raya kerana itu bukan peranan mengikut doktrin pemisahan kuasa," kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan menerusi teks SMS.


Ibrahim menyatakan demikian ketika wujud polemik tentang status Chua selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengurangkan hukuman denda daripada RM3,000 kepada RM2,000 pada Khamis lalu.

Ditanya mengenai hasrat hakim mahu mengelakkan pembaziran duit rakyat dan tidak mahu diadakan pilihan raya kecil, Ibrahim menambah, isunya bukan membazir ataupun tidak, sebaliknya asas perundangan perlu dipertahankan.

"Isunya bukan membazir atau tidak... ini isu perundangan," kata beliau lagi.

Oleh itu kata Ibrahim, adalah tidak wajar kedudukan Chua yang juga Pengarah Strategi PKR dikaitkan dengan dasar perlu atau tidak pilihan raya kecil kerana beliau merupakan seorang Ahli Parlimen yang turut menggubal undang-undang tetapi melanggar undang-undang dengan mencederakan anggota polis.

Nasib Chua kini terletak di tangan Speaker Dewan Rakyat yang akan menentukan statusnya.

Jaga-Jaga, Lanun Sudah Sampai..

Posted: 21 Jun 2010 09:58 PM PDT

gambar hiasan

Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong tiba di Lapangan Terbang Antarabanga KL di sini hari ini untuk lawatan sehari ke Malaysia.

Berada di lapangan terbang untuk menyambut kedatangan beliau ialah Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan Timbalan Menteri Luar A. Kohilan Pillay.

Lee dan Datuk Seri Najib Razak akan mempengerusikan bersama mesyuarat delegasi di Putrajaya.

Malam ini, Najib akan meraikan Lee dan rombongan pada jamuan makan di Restoran Makanan Laut Putrajaya, Taman Botani, Putrajaya. — Bernama

Kg Baru - 90% Setuju MB Khalid Kacau Daun

Posted: 21 Jun 2010 08:37 PM PDT

Kg Baru: Penduduk 'berminat' lihat pelan alterbatif MB Selangor

Meskipun kerajaan pusat meminta Menteri Besar Selangor agar tidak 'mengganggu' pelan pembangunan semula Kampung Baru, penduduk kawsan berkenaan menyambut baik langkah Tan Sri Khalid Ibrahim yang mahu menawarkan syor alternatif.

Bagaimanapun tegas mereka, keputusan sama ada akan menerima ataupun tidak ia bergantung kepada pengisian cadangan tersebut.

Majoriti penduduk mahu mendengar dahulu cadangan tersebut sebelum membuat sebarang keputusan kerana ia penting kepada mereka dan juga demi masa depan Kampung Baru.

Hasil tinjauan The Malaysian Insider mendapati 90 peratus penduduk bersedia untuk mendengar terlebih dahulu cadangan itu berbanding 10 peratus penduduk tidak kisah, kerana yang penting cadangan itu dapat menyelesaikan masalah pembangunan Kampung Baru.


Mereka yang ditemui berkata mana-mana cadangan yang dianggap boleh menyelesaikan masalah pembangunan Kampung Baru akan diterima, tidak kisah sama ada ia datang daripada kerajaan pusat atau kerajaan negeri Selangor.

Kelmarin, Khalid berkata akan mengadakan pertemuan dengan penduduk Kampung Baru bulan depan untuk menawarkan pelan alternatif kepada rancangan yang telah dikemukakan oleh kerajaan pusat.

Bagaimanapun Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin mengingatkan Khalid agar tidak mengganggu pelan pembangunan semula Kampung Baru diusahakan kerajaan pusat.

Raja Nong Chik mendakwa Khalid tidak pernah menunjukkan sebarang minat terhadap usaha pembangunan semula kawasan tersebut ketika menerajui syarikat pengurusan dana PNB.

"Saya terkejut apabila mendengar Menteri Selangor Khalid Ibrahim mahu menemui penduduk Kampung Baru," kata Raja Nong Chik .

Oleh itu, Raja Nong Chik menasihatkan Khalid agar memberi tumpuan untuk menyelesaikan masalah-masalah di Selangor.

Melalui pertemuan itu, Khalid bercadang penduduk Kampung Baru agar menilai syor-syornya sebagai pilihan kepada pelan yang dikemukakan Putrajaya baru-baru ini.

Dalam hal ini, salah seorang penduduk yang ditemui Abdul Jalil Samad adalah lebih baik mendengar dahulu cadangan tersebut sebelum sebarang keputusan dibuat.

"Saya mahu mendengar cadangan itu terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.

"Ini penting kerana tanpa mengetahui cadangan tersebut bagaimana untuk penduduk membuat keputusan," kata Jalil, 55.

Rohani Sideq, 48, berkata, selagi tidak tahu apa cadangan itu "saya tidak boleh cakap setuju dengan pelan pembangunan itu."

"Apa-apa keputusan akan dibuat selepas mendengar cadangan itu," katanya ketika ditemui The Malaysian Insider.

Azizan Ahmad, 49, berkata penduduk perlu tahu apa cadangan yang hendak dibawa Menteri Besar kerana ia melibatkan masa depan Kampung Baru.

"Sebagai penduduk kami mesti nak tahu apa cadangan pembangunan oleh Khalid kerana tanpa mengetahuinya sukar untuk kami bersetuju apatah lagi membuat keputusan.

"Ini bukan soal main-main, ia melibatkan masa depan penduduk dan juga Kampung Baru. Jadi segala keputusan hanya akan dibuat selepas mendengar cadangan itu," katanya.

Sharuddin Abu Bakar, 42, berkata jika cadangan itu akan memberikan kebaikan kepadanya dan juga penduduk sudah pasti ia tidak akan ditolak.

"Kalau cadangan itu menepati apa yang penduduk mahu sudah pasti kami akan terima.

"Walau bagaimanapun, Khalid perlu membentangkan terlebih dahulu cadangan itu kepada penduduk," katanya.

Sementara itu, Rahimah Abu Bakar, 50, berkata tidak kisah sama ada kerajaan pusat ataupun kerajaan negeri yang penting masalah pembangunan Kampung Baru dapat diselesaikan.

"Saya tidak kisah yang penting masalah pembangunan yang selama ini tidak dapat dijalankan dapat diselesaikan dengan baik.

"Mana-mana cadangan yang beri matfaat kepada penduduk saya akan terima," katanya.

“Saya Nasihatkan Orang Umno Bertaubat Dan Sokong PAS “ - N. Balasubramaniam

Posted: 21 Jun 2010 08:25 PM PDT

"Pada tahun 1980 hingga 1987, saya ahli MIC, dalam masa itu saya jadi Bendahari, Bahagian Jerantut, lepas itu saya belajar ugama,

"cuba lihat kepada orang-orang yang bukan Islam, bagaimana mereka boleh sokong Islam dan terima Islam, orang bukan Islam pun sokong, apa salahnya orang Islam sokong,

"saya nasihatkan (orang Umno) bertaubatlah, terus sokong 'direct' sama (kepada) Parti PAS,"kata N. Balasubramaniam, Timbalan Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS, mengakhiri kata-katanya, ketika ditemui selepas menyampaikan ceramah di Batu Enam, dekat sini, semalam.

Menurut Bala, beliau redha dan memadai duduk dalam PAS, menjadi pimpinan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), walaupun dianggap sebagai ahli kelas kedua, oleh orang-orang lain.


Katanya, beliau sendiri tidak mahu bertanding dan dipilih menjadi pemimpin PAS kerana beliau belum mempunyai ilmu Islam bagi menguruskan organisasi PAS.

Dalam ucapannya sebelum itu, Bala berkata, beliau menerima dan menyokong dasar Islam yang dibawa oleh PAS kerana tidak pernah mengamalkan diskriminasi

"Kami memang sokong parti PAS kerana PAS memerintah atas dasar Islam, kami sokong sepenuhnya, bersama mendokong dasar-dasar Islam dalam PAS,

"sampai kini PAS tak pernah (melakukan) diskriminasi (kepada) mana-mana bangsa atau ugama,"tegasnya.

Beliau berkata sehingga kini terdapat 60,000 ahli-ahli DHPP yang terdiri daripada mereka yang bukan Islam.

Beliau memaklumkan, DHPP Pusat sedang menggerakkan DHPP negeri-negeri membentuk jentera-jenetra pilihanraya bagi menghadapi pilihanraya umum ke 13 akan datang.

Katanya, persiapan awal adalah penting bagi memastikan kemenangan PAS diperingkat Negeri dan Parlimen.

"Kami sekarang buat (menyusun) jentera-jentera pilihanraya, kerana tidak lama lagi akan ada pilihanraya,"

"ini (ia) adalah mustahak (bagi kami) melantik jentera-jentera pilihanraya supaya kita bagi mesej-mesej (maklumat) yang mana boleh (disalurkan) terus ke akar umbi,"jelasnya

Katanya, beliau memastikan supaya ahli-ahli DHPP dapat bergerak meraih sokongan dikalangan masyarakat diperingkat paling bawah.

Menurutnya, DHPP yang dirasmikan pelancarannya oleh Presiden PAS pada 24 Mei lalu, kini telah melengkapkan organisasinya sehingga ke peringkat negeri.

"Baru ni kami telah mendakan mesyuarat di peringkat Pusat, kami telah lantik semua AJK bagi negeri-negeri dan semua negeri telah ditubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS,

"tapi yang paling aktifnya ialah di negeri Pahang, Selangor Perak dan Kedah serta Johor, negeri-negeri lain, sudah ditubuhkan dan sedang diaktifkan,"jelasnya, yang berharap semua ahli-ahli dapat meningkatkan daya juang bersama-sama dengan PAS.

Bloger: 'Ada pemimpin PAS tak boleh ditegur'

Posted: 21 Jun 2010 06:04 AM PDT

Nasihat yang disuarakan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya anggota parti berhati-hati dengan maklumat daripada blog, mengundang reaksi negatif daripada penggiat media berkenaan.

Salah seorang pengendali blog berpendapat, pandangan Abdul Hadi seperti itu menunjukkan sikap hipokrit pemimpin PAS yang pada ketika yang lain, sibuk menguar-uarkan mengenai kebebasan media.

Mat Saman Kati, pengendali Perak Express berkata PAS sepatutnya menggunakan peluang untuk lebih mendekati golongan penulis blog dan bukannya mengambil sikap bermusuhan dengan mereka.

Katanya lagi, sikap yang ditunjukkan itu dilihat sebagai satu perkembangan baru di kalangan pemimpin PAS yang mula menyedari realiti semasa.


"Dulu tidak ada macam ini, tidak ada orang yang berani tegur pemimpin PAS atau beri peringatan. Sekarang jadi fenomena baru apabila ahli PAS kritik presiden sendiri tanpa berselindung lagi," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Tambahnya, semakin ramai penyokong Pakatan Rakyat yang menulis blog apabila melihat kemenangan besar calon-calon mereka dalam pilihan raya Mac 2008.

"Harapan mereka tidak tinggi. Mereka cuma mahu lihat janji pilihan raya itu ditunaikan - janji-janji tentang kebebasan media, kebebasan berfikir dan kebebasan bersuara," katanya lagi.

Bagaimanapun, ramai di kalangan penulis blog yang berasa kecewa apabila pandangan yang diketengahkan melalui blog mereka tidak dihargai oleh para pemimpin.

"(Penulis blog) rasa sumbangan mereka ini sia-sia saja, sedangkan blogger Pakatan Rakyat inilah yang giat untuk tingkatkan imej Pakatan, tapi tidak dihargai.

"Pandangan kita dibakulsampahkan, dipanggil dengan nama 'luncai', 'pengkhianat', sedangkan kita bukan hendak kutuk semata-mata. Kita juga sedia dikutuk," katanya.

Jelasnya, pemimpin berkenaan bagaimanapun enggan bekerjasama dengan mereka, sebaliknya lebih cenderung untuk bermusuhan.

"Dalam PAS, cukup jelas siapa yang menentang dan menyokong blogger. Yang menentang itu ialah geng-geng yang (usaha membentuk) kerajaan perpaduan oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang, (timbalannya) Nasharuddin (Mat Isa).

"Mereka inilah yang teruk dihentam oleh penulis blog kerana promosi kerajaan perpaduan (dengan Umno)," katanya lagi.

Pemimpin berkenaan juga telah dijemput menghadiri satu majlis dialog dengan penulis blog berkenaan, namun jemputan itu ditolak.

Tindakan tersebut, menurut seorang lagi penulis blog, menunjukkan sikap hipokrit oleh pemimpin tersebut.

Mohd Fauzi Mohd Azmi, yang juga dikenali sebagai Topeng Perak berkata, perhimpunan berkenaan sepatutnya menjadi satu peluang untuk pemimpin berkenaan untuk menjelaskan kedudukan sebenar kepada penulis blog - khususnya berhubung dakwaan kerjasama untuk menubuhkan kerajaan perpaduan dengan Umno.

"Mereka tidak kata (pertemuan dengan pemimpin Umno) itu tidak pernah berlaku, mereka cuma melarikan diri daripada menjawab.

"Akhirnya, kongres penulis blog PAS itu menjadi medan untuk mentarbiah penulis blog supaya tidak mendedahkan isu melibatkan parti dalam blog. Perbuatan ini sebenarnya menyekat kebebasan penulis blog," katanya.

Satu lagi faktor yang menjengkelkannya, katanya, ialah tindakan PAS mengamalkan 'double standard' dalam memberikan ruang kepada media dan blogger untuk membuat liputan ketika muktamar ke-55 parti itu berlangsung pada awal bulan ini.

Mohd Fauzi berkata, golongan penulis blog sepatutnya diberikan akreditasi untuk menghadiri muktamar itu sebagai petugas media ataupun sebagai pemerhati.

"Sedangkan akhbar Utusan Malaysia diberikan pas media sedangkan mereka banyak menyerang PAS.

"Penulis blog yang banyak mempertahankan PAS pula dianggap munafik, hendak memecahbelahkan parti dan hendak melaga-lagakan kepemimpinan," katanya lagi.- kedahlanie

Tanah Mana Pula Bakal Tergadai?

Posted: 21 Jun 2010 02:40 AM PDT

PM Singapura Lawat Najib Esok, Bincang Isu Tanah

Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong akan melakukan lawatan sehari ke Malaysia esok untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Dalam lawatan itu, Lee akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak dan mempengerusikan bersama mesyuarat delegasi.

Kedua-dua Perdana Menteri akan juga mengadakan persidangan akhbar bersama, menurut kenyataan Wisma Putra di sini hari ini.

Najib dan Lee dijangka berbincang mengenai susulan penilaian tanah dan cadangan pertukaran tanah yang dibincangkan oleh kedua-dua pemimpin itu semasa mereka mengadakan pemukiman di Singapura pada 23 dan 24 Mei lepas.


Lee akan diiringi oleh Menteri Hal Ehwal Luar republik itu George Yeo Menteri Pembangunan Nasional, Mah Bow Tan, Menteri Undang-undnag dan Menteri Kedua Hal Ehwal Dalam Negeri K.Shanmugam dan para pegawai kanan dari pelbagai kementerian.

Semasa lawatan itu, Najib akan meraikan Lee dan delegasinya pada jamuan makan malam.

Dalam lawatan Najib ke republik itu bulan lepas, Malaysia dan Singapura bersetuju menangani beberapa isu tertangguh, antaranya republik itu bersetuju memindahkan Stesen Keretapi Tanjong Pagar ke pusat pemeriksaan kereta api Woodlands pada 1 Julai tahun depan di bawah peningkatan Perkara-perkara
Perjanjian (PoA).

Kedua-dua pemimpin bersetuju bahawa sebuah syarikat bersama Malaysia-Singapura, dikenali sebagai M-S Pte Ltd, akan ditubuhkan sebelum 31 Dis tahun ini untuk membangunkan tanah-tanah yang dikosongkan oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) itu di Tanjong Pagar.

Mengenai isu air apabila Perjanjian Air 1961 tamat pada 1 Julai tahun depan, kenyataan itu menyatakan Singapura akan menyerahkan kerja air Skudai kepada pihak berkuasa air Johor dengan percuma dan dalam keadaan baik.

(Bernama)

Tiada ulasan: