Selasa, 22 Jun 2010

Anak Cucu Nabi Adam

Anak Cucu Nabi Adam


PRK Seri Serdang?

Posted: 22 Jun 2010 12:49 AM PDT

Setiausaha Perhubungan Umno Selangor Datuk Mohamed Satim Diman tidak hadir pada mesyuarat pengurusan badan Perhubungan Umno Selangor malam semalam.

Sebaik mesyuarat tamat pada pukul 12.30 malam Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar ketika ditemui pemberita berkata Mohamed Satim (kanan) ada menghubungi dan mengatakan beliau tidak dapat hadir pada mesyuarat malam semalam kerana ada urusan.

Beliau berkata selain Mohamed Satim, bendahari Datuk Fateh Iskandar Mohamed Mansor dan Ketua Pemuda Suhaimi Ghazali juga tidak hadir pada mesyuarat malam semalam kerana mereka ada urusan di luar negara.
Sabtu lalu, Noh dilaporkan berkata beliau akan mendapatkan penjelasan daripada Mohamed Satim berhubung khabar angin yang mengatakan Mohamed Satim akan melepaskan semua jawatan politiknya termasuk sebagai ahli dewan undangan negeri (ADUN) Seri Serdang, pada mesyuarat malam semalam.

Noh berkata mesyuarat malam semalam membincangkan mengenai pengurusan mesyuarat bahagian Umno Selangor.

Sementara itu Mohamed Satim sehingga kini tidak dapat dihubungi bagi membuat sebarang ulasan mengenai khabar angin itu, yang dilaporkan oleh sebuah akhbar sebagai timbul apabila Mohamed Satim tidak hadir semasa mesyuarat ADUN Barisan Nasional (BN) baru-baru ini.

Pada pilihan raya umum pada 2008, Mohamed Satim mengalahkan calon PAS, Ahmad Idzam Ahmad dengan majoriti 45 undi.

~Bernama~

Khir Toyo nafi Satim Diman letak jawatan

Posted: 22 Jun 2010 12:48 AM PDT

Bekas menteri besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo hari ini menafikan khabar angin bahawa ADUN Seri Serdang Datuk Mohamed Satim Diman mahu meletakkan jawatan.

"(Khabar angin itu) cuma tulisan di media sosial sahaja," katanya melalui kiriman SMS kepala Malaysiakini pagi ini.

Malam tadi, kegagalan Satim hadir dalam mesyuarat pengurusan badan Perhubungan Umno Selangor menyemarakkan lagi spekulasi wakil rakyat itu ingin melepaskan semua jawatan politiknya.

Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar dilaporkan berkata Satim ada menghubunginya dan mengatakan beliau tidak dapat hadir pada mesyuarat malam semalam kerana ada urusan.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Dr Mohd Khir menjelaskan, isu tersebut sengaja dimainkan oleh pihak-pihak yang tidak berpuas hati dengan Umno Selangor.

Menurut ketua pembangkang Selangor itu lagi, terdapat penulis blog yang sebelum ini dilihat sebagai anti-Pakatan turut terlibat menyebarkan maklumat tidak benar itu. Sementara itu, seorang pemimpin Umno Puchong - bahagian yang dipimpin Satim - meminta agar semua pihak tidak membuat andaian.

Ahli jawatankuasa bahagian itu, Abd Hamid Md Yusof berkata Satim menelefonnya malam tadi dan menasihatkan agar mereka "supaya diam tentang perkara ini" dan "tidak membuat sebarang andaian".

"(Dalam perbualan telefon) Saya berkata kepadanya (Satim), kalau tidak betul perkara itu, kita buat sidang media (menafikannya). Tapi beliau suruh (saya) diam sahaja perkara ini.

"Saya pun tidak pasti apa matlamat beliau cakap begitu," katanya ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini.

Menurut Abdul Hamid, pejabat Umno Puchong pagi ini juga telah mengeluarkan arahan supaya isu peletakan jawatan Satim itu "tidak dibesar-besarkan". Katanya, beliau sendiri mendengar desas-desus berhubung hasrat ketuanya untuk mengosongkan kerusi tersebut sejak minggu lalu.

Bagaimanapun, Abdul Hamid yang ketua Umno cawangan Puchong Indah berkata dalam mesyuarat bahagian itu sebelum ini, Satim tidak membangkitkan hasratnya untuk melepaskan kerusi tersebut.

"Itu yang menjadi tanda tanya (sekarang ini). Mesyuarat sebelum ini kita berbincang untuk menguatkan perjuangan. Tak ada masalah," katanya.

~MK~

Hak asasi sekularisme musuhi agama

Posted: 22 Jun 2010 12:28 AM PDT

Masih ada di kalangan kelompok masyarakat yang masih salah tanggapan kepada maksud keadilan dan kebebasan, kata mantan perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Bercakap dalam satu seminar berkaitan agama dan hak asasi manusia anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) hari ini, Abdullah berkata masyarakat tidak seharusnya mengasaskan kefahaman mereka berhubung hak asasi daripada falsafah kemanusiaan.

"Ramai yang tidak sedar bahawa amalan dan konsep hak asasi berasaskan humanisme dan sekularisme adalah musuh kepada semua agama," katanya.

Tambahnya, masyarakat juga tidak memahami beberapa istilah dan kata kunci berkaitan hak asasi.

"Sebagai contoh fahaman keadilan, justice ia bukan bermaksud sama rata dan sama rasa bagi semua orang, bukan juga tidak berpihak kepada mana atau impartiality.

"Sebaliknya, keadilan ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya yang betul dan benar, bermakna ia berpihak kepada kebenaran," katanya lagi dalam seminar yang dihadiri kira-kira 200 orang ilmuwan Islam, aktivis dan juga pakar perundangan.

Abdullah memberi contoh, isu persamaan gender yang giat diperjuangkan oleh kumpulan hak wanita yang perlu difahami sebagai "menyamaratakan tanggungjawab dan hak hak kaum lelaki dan wanita."

"Ia sebaliknya harus difahamkan sebagai keadilan gender, di mana masing-masing patut diletakkan di tempat yang layak .

"Begitu juga makna kebebasan ia seolah-olah difahami oleh penganut hak asasi sebagai sesuatu yang mutlak tanpa sebarang sekatan atau batasan.

"Justeru kebebasan sebenar ialah kebebasan dalam memutus dan melakukan sesuatu yang membawa kebaikan kepada diri pelakunya dan mereka yang berada di sekelilingnya," katanya lagi.

~MK~

Ulama hakiki tidak akan tergamak pilih Umno

Posted: 22 Jun 2010 12:26 AM PDT

Ulama sebenar yang mencintai agama Islam tidak akan tergamak memilih Umno yang sekular sebagai wadah perjuangan mereka, kata Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hasan at-Tantawi.

Sebaliknya beliau berkata, wadah sebenar untuk menyebarkan dakwah Islam adalah bersama dengan PAS yang secara jelas dasarnya adalah Islam.

"Medan ulama sebenar adalah bersama gerakan Islam. Sewajarnya ulama menyertai PAS, bukan menyertai Umno, parti yang sekular," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Mohd Asli dalam web Umno yang menyebut 100 ulama termasuk bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin akan menyertai Umno Jumaat depan.

Mengulas lanjut beliau berkata, sejarah pernah menunjukkan bagaimana satu ketika dahulu beberapa tokoh ulama besar negara menyertai Umno dan kemudiannya keluar kerana tidak sanggup bersekongkol melakukan kemungkaran.

"Dulu Ustaz Ahmad Fuad, Ustaz Ahmad Maliki dan Ustaz Ahmad Badawi pernah menyertai Umno sehingga tertubuhnya Biro Agama Umno.

"Kerana tidak berpuas hati dengan kemungkaran dilakukan Umno termasuk meluluskan lesen judi, mereka kemudiannya keluar Umno dan menubuhkan Persatuan Ulama Malaya sehingga akhirnya tertubuhlah Parti Islam Se-Malaysia (PAS)," katanya lagi.

Sehingga kini tegasnya, Umno belum mengubah dasar dan perjuangan mereka dan masih menghalalkan judi.

Biarpun waktu ini Umno mempunyai ualama mereka seperti Datuk Seri Jamil Khir, Datuk Masitah Ibrahim dan Ustaz Firdaus Ismail, namun kesemuany,a kata Nasruddin tidak mampu menentang kemungkaran dilakukan Umno.

Jika 100 ulama tersebut menyertai Umno, fungsi mereka juga, katanya akan terbatas.

"Bagaimana sebuah parti yang menghalalkan judi yang diharamkan oleh Allah, mendapat tempat di hati ulama.

"Secara peribadi, hati kecil saya berkata, jika mereka ulama hakiki, mereka tidak akan tergamak memilih Umno sebagai medan menyampaikan dakwah Islam," katanya.

Penjara Pudu Dalam Kenangan

Posted: 22 Jun 2010 12:23 AM PDT

Sebahagian daripada penjara Pudu atau dahulunya dikenali sebagai Pudu Goal yang terletak di Jalan Hang Tuah di Kuala Lumpur mula dirobohkan malam semalam. Penjara yang dibina pada tahun 1891 di atas tanah seluas 10 hektar itu pernah digunakan sebagai tempat tahanan tentera bersekutu yang ditawan oleh Jepun ketika perang dunia kedua.

Jentera berat termasuk jengkaut, traktor dan sebagainya digunakan bagi merobohkan sebahagian daripada 394 meter tembok yang mengelilingi penjara itu bagi projek kerja pelebaran dan laluan bawah tanah Jalan Pudu.

Projek berkenaan yang bermula malam semalam akan berlangsung sehingga 24 Jun ini. Pembinaan penjara Pudu yang dibuat secara berperingkat itu siap sepenuhnya pada tahun 1895 manakala temboknya mula dibina pada Februari 1891 dan siap pada bulan Ogos 1892.

Tembok ini dibina daripada batu bata yang dilepa dengan simen yang diimport dari negera jajahan British. Semasa Perang Dunia Kedua, ramai tentera bersekutu dibunuh dan diseksa di penjara berkenaan.

Semalam, Timbalan Menteri Kewangan, Awang Adek Hussin di Dewan Rakyat berkata Penjara Pudu bukanlah sesuatu yang boleh banggakan oleh Malaysia. Awang Adek menjelaskan bahawa kerajaan telah mengkaji perkara itu dan memutuskan bahawa Penjara Pudu bukan tapak warisan dan tidak akan dijadikan sebagai sebuah tapak warisan.

~MK~

Anak buat laporan polis esok

Posted: 22 Jun 2010 12:22 AM PDT

Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman akan membuat laporan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh berhubung isu kejatuhan rizab tunai Felda yang begitu membimbangkan.

Mazlan yang juga Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS Pusat dalam kenyataannya kepada Harakahdaily semalam, berkata beliau akan membuat laporan tersebut pada jam 10 pagi esok (23 Jun).

Dalam laporan yang telah disiarkan akhbar Harakah keluaran terbaru telah memaparkan bagaimana bekas Timbalan Menteri Tanah dan Koperasi, Dr Tan Kee Kwong mendedahkan kekurangan rizab tunai Felda.

Perkara itu terpaksa diakui Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan bahawa rizab tunai Felda merosot daripada RM4.08 bilion pada tahun 2004 kepada hanya RM1.35 bilion pada 2009.

Mazlan yang terkenal sebagai pejuang isu-isu pembelaan golongan peneroka Felda dan generasi keduanya sangat kesal dan turut menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat siasatan terperinci terhadap kemerosotan rizab tersebut.

~harakah~

Srikandi PKR 'tawan' universiti

Posted: 22 Jun 2010 12:21 AM PDT

Srikandi PKR semakin melebar sayap dalam meraih sokongan pengundi muda khususnya golongan mahasiswa institusi pengajian tinggi di Malaysia.

Bercakap kepada TV Selangor, Ketua Srikandi PKR, Siti Aishah Shaik Ismail berkata kerancakan kempen Srikandi mendorong mereka menembusi 40 peratus IPT termasuk Universiti Teknologi Malaysia (UiTM).

Lebih manis lagi, kejayaan ini datang ketika pergerakan Puteri Umno dilanda bibit-bibit perpecahan walaupun ia cuba diselindung ketuanya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Rosnah dipercayai terpaksa membuat kenyataan media kononnya tiada masalah kepimpinan melanda Puteri Umno berikutan desas desus mengenai kegagalan pergerakan itu menggamit sokongan pengundi muda, bukan rahsia lagi.

"Sebenarnya Puteri Umno sedang mengalami permasalahan yang ketara. Kita lihat di peringkat negeri pun, pengaruh mereka semakin menurun akibat sikap pemimpin mereka yang mengamalkan standard tertentu." katanya.

Siti Aishah menyifatkan kebanyakan pemimpin dan ahli Puteri Umno yang mengejar populariti dan menonjolkan imej elitis di kalangan rakyat marhaen.

Ini menyebabkan Puteri Umno tidak popular di kalangan rakyat dan kini, tidak lagi kedengaran program melibatkan mereka.

"Punca utama kelemahan mereka ialah kerana mereka dilihat sebagai satu golongan elit yang hanya mengejar populariti - itu yang menyebabkan mereka gagal mendampingi pengundi muda.

"Kita melihat Puteri Umno hampir 100 peratus mendiamkan diri dan tidak pun memberikan pandangan atau idea-idea yang bernas bagi membantu golongan generasi muda," katanya.

Sebaliknya, Srikandi PKR bersungguh-sungguh menawan hati rakyat hingga mampu menambat keyakinan pengundi muda, lebih-lebih lagi golongan terpelajar.

"Kita berjaya menembusi hampir 40 peratus universiti di Malaysia termasuk UiTM dan UIA. Bukan bergantung kepada mahasiswa mencari kita di luar tetapi kita sudah mampu masuk sendiri melalui gerakan yang kita bina," katanya.

~MK~

Biawak Babi Kera Disusukan

Posted: 22 Jun 2010 12:19 AM PDT

Cuba anda bayangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sanggup membayar RM77 juta kepada warga Yahudi melalui syarikat APCO Worldwide, sedangkan hak rakyat Kelantan mendapat royalti RM2 bilion dinafikan.

Bayaran hampir RM80 juta itu hanya untuk tiga orang, sedangkan hak 1.4 juta rakyat Kelantan mendapat royalti petroleum diketepikan begitu sahaja.

Lebih dibimbangi lagi apabila banyak syarikat milik kerajaan mengalami kerugian besar seperti Sime Darby berjumlah RM1.6 bilion dan aliran tunai Felda pula susut sebanyak RM2.7 bilion dalam tempoh lima tahun.

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa berkata, bayaran diberi kepada APCO sebanyak RM77 juta merupakan deposit dan tidak termasuk bayaran lain, sedangkan hak yang sepatutnya dinikmati rakyat Kelantan disisihkan.

Katanya, beliau juga bimbang wang ihsan yang diberi kerajaan pusat melalui jawtankuasa khas yang diwujudkan digunakan pula bagi mengurus Yayasan Darul Naim bagi mencapai matlamat politik Umno dan BN.

Menjawab soalan tambahan Drs Zainuddin Awang Hamat (PAS-Limbongan) pada persidangan Dun hari ini katanya, tidak dapat ditolak kemungkinan wang ihsan yang diberi sebelum ini digunakan yayasan tersebut.

"Buat apa tubuh Yayasan Darul Naim, kita bimbang pengurusan wang ihsan itu boleh berlaku penyelewengan seperti dialami banyak syarikat milik kerajaan sebelum ini," katanya.

Sebelum itu berlaku perang mulut di antara Husam dan Adhan Kechik (BN-Bukit Bunga) apabila beliau mempertikai ungkapan Exco terbabit yang menyifatkan mahkamah di Malaysia seperti 'mahkamah kangaroo'.

Isu itu tumbul apabila Husam menjawab soalan Adun BN terbabit dengan mengatakan kerajaan negeri tidak tergesa-gesa membawa kes tuntutan royalti ke mahkamah kerana prosesnya seperti diketahui ramai seperti mahkamah kangaroo.

Ketika beliau memberi contoh seperti kes bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas dan kes pita video V.K Lingam biar pun ada suruhanjaya ditubuh kerajaan bagi menyiasat namun tiada tindakan lanjut diambil.

Adhan cuba mengemukakan peraturan deewan nombor 28 ketika Husam terus menghujah mengenai perjalanan mahkamah di negara ini. Ketika itu berlaku perang mulut sehingga Timbalan Speaker, Mohd Zaki Ibrahim campur tangan dan mengarahkan berkali-kali Adhan supaya duduk namun tidak dihiraukan pada awalnya.

Kemudian bangkit Hassan Mahmood (PAS-Tawang) yang meminta Speaker membenarkan Adhan membaca peraturan nombor 28, namun Timbalan Speaker meminta Adun terbabit membacanya.

Ketika Hassan membacanya tidak pun didapati kaitan peraturan dewan dengan apa yang dihujahkan Husam. Ekoran itu Adun Tawang menyimpulkan Adhan sebagai pembohong kerana cuba menggelirukan dewan.

Husam juga meluahkan kebimbangan Petronas sebagai konglomerat besar milik kerajaan hilang wibawa apabila pecah kontrak dengan kerajaan Kelantan apabila menafikan hak ke atas royalti.

"Penjelasan Presiden Petronas kononnya Kelantan tidak berhak mendapat royalti 5 peratus kerana telaga carigali terletak lebih 3 batu nautika tidak boleh diterima kerana ia bertentangan dengan Akta Kemajuan Petronas 1974.

"Sedangkan Telaga Kikeh di Sarawak terletak 210 batu nautika, Tapis di Terengganu 230 batu nautika, dan Bumi Selatan di perairan Kelantan hanya 90 batu nautika. Mengapa Sarawak dan Terengganu dapat royalti, sedangkan Kelantan lebih dekat tidak.

"Kita bimbang tindakan kerajaan boleh merosakkan identiti Petronas ketika sedang berusaha keras melobi untuk meluaskan peluang perniagaan di luar negara," katanya.

Husam juga menjelaskan pasukan peguam yang dilantik sedang mengkaji kemungkinan untuk memfailkan kes yang sama di luar negara memandangkan operator carigali yang terlibat di perairan Kelantan milik syarikat asing.

~harakah~

Tiada ulasan: